Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kia Concept EV9 sah akan masuk fasa pengeluaran – pengenalan kepada pasaran Eropah tahun 2023

    Kia Concept EV9 sah akan masuk fasa pengeluaran – pengenalan kepada pasaran Eropah tahun 2023

    Kia telah mengesahkan bahawa model Concept EV9 akan dibawa ke fasa pengeluaran, dan mula ditawarkan kepada pasaran Eropah pada tahun 2023 untuk menyertai crossover EV6 dalam pilihan kenderaan elektrik penuh mereka.

    Dengan ukuran panjang 4,930 mm, lebar 2,055 mm, tinggi 1,790 mm dan jarak roda 3,100 mm, SUV elektrik ini mempunyai saiz lebih besar daripada EV6, yang mencatat panjang 4,680 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,550 mm dan jarak roda 2,900 mm.

    Berkenaan penggerak, Concept EV9 dibina atas platform E-GMP sama seperti EV6, dan dilaporkan bakal menerima teknologi pengecasan pantas yang mana apabila disambungkan kepada pengecas pantas 350 kW, boleh menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam masa 20 hingga 30 minit. Menurut Kia, jarak gerak dengan bateri penuh boleh mencapai sehingga 480 km.

    Dalam bentuk konsep yang didedahkan sebelum ini, EV9 mempunyai rel bumbung yang boleh tenggelam dan dikeluarkan apabila perlu dengan hanya menekan satu butang, serta kamera kecil untuk menggantikan cermin sisi, tetapi kelengkapan ini berkemungkinan besar tidak digunakan untuk versi produksi.

    Ciri menarik lain pada EV9 ini adalah seperti panel solar untuk membantu memberikan sedikit kuasa tambahan kepada bateri, rekaan muka “Digital Tiger Face”, bumbung panoramik besar serta pintu yang dibuka secara “suicide.”

    Kia Concept EV9 sah akan masuk fasa pengeluaran – pengenalan kepada pasaran Eropah tahun 2023

    Masih ada papan pemuka di dalam model konsep ini, tetapi ia lebih ringkas seperti meja dan di depan pemandu terdapat stereng serta skrin 27 inci yang boleh memparkan pelbagai informasi termasuk input media. Beberapa bahagian seperti alas kaki dan balutan tempat duduk menggunakan bahan kitar semula.

    Tetapan tempat duduk di dalam Concept EV9 boleh diubah kepada tiga konfigurasi iaitu Active Mode, Pause Mode dan Enjoy Mode. Dua daripadanya adalah untuk waktu kereta tidak bergerak. Dalam mod Active, tempat duduk disusun seperti kenderaan biasa lain, sementara dalam mod Pause tempat duduk dilipat supaya dapat digunakan sebagai meja. Mod Enjoy pula menyediakan susunan seperti panggung dan tempat duduk paling hadapan serta baris kedua dipusingkan untuk menghadap ke belakang.

     
     
  • Lotus Eletre didedahkan – SUV elektrik AWD berkuasa sekurang-kurangnya 600 hp, 0-100 km/j bawah 3 saat!

    Lotus Eletre didedahkan – SUV elektrik AWD berkuasa sekurang-kurangnya 600 hp, 0-100 km/j bawah 3 saat!

    SUV Lotus – perkara ini telah dicanangkan sejak jenama kereta sport British berkenaan masih bernaung di bawah Proton. Dengan niat yang sama seperti apa yang telah di realisasikan oleh Porsche Macan dan juga Lamborghini Urus, SUV tersebut diharapkan dapat membantu Lotus untuk tampil dalam segmen dengan pengikut yang lebih luas, sekaligus dapat menjana keuntungan dengan menjual model yang boleh dibeli oleh lebih ramai orang.

    Namun pelbagai halangan dan perubahan rancangan untuk merealisasikan projek tersebut. Di bawah Geely, SUV tersebut sebelum ini dikatakan bakal dijana oleh enjin petrol turbo dari Volvo. Namun akhirnya – ini dia model SUV sebenar dari Lotus yang diberi nama Eletre, iaitu SUV-Hyper dengan kuasa elektrik sepenuhnya!

    Kenapa Hyper-SUV? Ini kerana Eletre menerima dua buah motor elektrik – satu setiap gandar – membolehkan ia memacu semua roda dengan kuasa keseluruhan “bermula 600 hp”, sekaligus mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai tiga saat! Ia juga didakwa mampu untuk mencapai kelajuan maksima 260 km/j.

    Lotus Eletre ini juga hadir dengan pilihan bateri berkapasiti “lebih 100 kWj”, memberikan jarak gerak sekitar 600 km dalam kitaran WLTP yang ketat. Ia juga menyokong pengecas cepat DC sehingga 350 kW, memberikan kuasa untuk jarak gerak 400 km dalam masa hanya 20 minit. Manakala dengan pengecas onboard 22kW, ia juga memberikan sistem cas AC yang agak cepat.

    Lotus Eletre didedahkan – SUV elektrik AWD berkuasa sekurang-kurangnya 600 hp, 0-100 km/j bawah 3 saat!

    Menurut Lotus, Eletre adalah salah sebuah dari tiga model elektrik “gaya hidup” yang akan diperkenalkan selepas ini. Ia dibangunkan dengan platform khas yang menggunakan struktur aluminium dan logam berkekuatan tinggi bagi memberikan ketegaran yang optimum.

    Manakala untuk asas sistem elektrik pula, Eletre diberikan seni bina elektrikal 800-volt yang membolehkan sistem pengecas pantas beroperasi serta menampilkan sistem agihan kuasa bervoltan tinggi berintegrasi.

    SUV ini menampilkan bateri dan motor dengan gaya papan luncur – kedua-duanya diletakkan pada posisi yang rendah bagi memberikan titik graviti rendah, membolehkan ia mendapat “prestasi dinamik yang luar biasa”. Motor-motor elektrik yang diberikan turut bersepadu dengan pengawal dan pengurang bagi memberikan pakej unit keseluruhan yang kecil dan lebih ringan.

    Eletre juga tampil dengan sistem suspensi udara bersama penyerap hentak adaptif serta gandar belakang jenis lima-sambungan secara standard. Untuk sistem yang lebih bagus, pembeli boleh memilih opsyen untuk fungsi ketinggian aktif, stereng untuk gandar belakang, sistem penstabil oleng aktif dan juga torque vectoring menerusi sistem brek.

    Walaupun ia sebuah SUV, Eletre tetap menampilkan bentuk badan yang ‘leper’, juntaian hadapan dan belakang yang pendek, serta bonet hadapan pendek, yang menurut Lotus ia mengingatkan kepada kereta-kereta sport enjin tengah Lotus sebelum ini.

    Lampu LED berbentuk-L pada muka Eletre ini sebenarnya adalah lampu nyalaan siang bersama lampu isyarat membelok jenis sequential, manakala lampu utamanya kelihatan tersorok di dalam bampar hadapan. Lampu belakang pula direka ringkas dengan menampilkan hanya satu jalur LED.

    Aspek aerodinamik juga diambil berat untuk SUV ini. Liang udara pada bampar hadapan berfungsi untuk mengalirkan udara keluar dari bonet hadapan. Manakala liang udara pada fender hadapan Eletra ini pula mengalirkan udara ke liang udara besar yang terdapat pada kedua-dua hujung lampu belakangnya. Ia juga turut menerima spoiler belakang aktif yang disorokkan sekiranya tidak digunakan.

    Pada bahagian gril hadapan dengan elemen kelopak segi tiga pada muka SUV ini juga sebenarnya menampilkan sistem penutup aktif. Selain itu, Eletra juga menerima pelbagai perincian luaran seperti pembuka pintu yang tenggelam, port pengecas yang diletakkan pada kedua-dua belah fender hadapan, kamera sisi untuk menggantikan cermin sisi (untuk pasaran-pasaran yang membenarkan fungsi ini), dan spoiler bumbung belakang yang direka terpisah didakwa untuk mengurangkan beratnya.

    Dari segi saiz, Eletre menampilkan dimensi 5,103 panjang, 2,135 mm lebar (termasuk kamera sisi) dan tinggi 1,630 mm tinggi dengan jarak roda 3,019 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiz sebenarnya, Eletra adalah 507 mm lebih panjang dengan jarak roda 359 mm lebih jauh berbanding Honda CR-V.

    Dengan badan yang begitu besar, ia kelihatan amat cocok dengan rim aloi 23-inci dalam kemasan dua-tona (aloi digilap-gentian karbon), bersama angkup brek 10-omboh (ya, 10!) dan cakera karbon seramik di sebalik rim hadapan.

    Lotus Eletre ini menggunakan jumlah penderia lidar yang agak banyak. Ia diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan dan belakang serta di atas kedua-dua ruang roda hadapan – menampilkan rekaan yang boleh disorokkan, menjadikan ia model produksi pertama menggunakan rekaan sedemikian.

    Lotus Eletre didedahkan – SUV elektrik AWD berkuasa sekurang-kurangnya 600 hp, 0-100 km/j bawah 3 saat!

    Ketika dilancarkan, Eletra akan ditawarkan dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong, bantuan kekal lorong, bantuan tukar lorong, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, brek kecemasan parkir hadapan dan mengundur, pengenal tanda trafik, amaran bukaan pintu dan juga pengingat tempat duduk belakang.

    Selepas itu, pelbagai lagi fungsi pemanduan autonomi boleh ditambah, dan ia boleh dilakukan dengan mudah hanya menerusi kemaskini secara over-the-air.

    Pada bahagian dalaman pula, Eletra tampil minimalis bersama papan pemuka yang direka dengan elemen melintang dan berlapis yang kelihatan bersambung dengan panel pintu, dan juga konsol tengah “terapung”. Sebuah skrin sesentuh OLED 15.1-inci diletakkan ditengah-tengah papan pemuka, yang direka dengan antara muka diinspirasikan dari permainan video dan turut menampilkan model 3D kereta berkenaan. Menurut Lotus, 95% fungsi pada skrin tersebut dapat diakses hanya dengan tiga tap.

    Manakala di hadapan pemandu dan penumpang hadapan masing-masing turut diberikan skrin nipis. Skrin untuk pemandu berfungsi sebagai paparan instrumen yang turut disokong dengan paparan head-up dengan teknologi AR. Pemandu turut diberikan mod pemanduan Range, Tour, Sport, Off-Road dan Individual. Kawalan-kawalan lain pula boleh dibuat menerusi sistem infotainmen dan juga arahan suara, sementara beberapa fungsi boleh dioperasikan menerusi suis-suis fizikal.

    Lotus menggunakan bahan gentian mikro pada titik-titik sentuh utama dalam kabin Eletre ini, bersama uphosteri gabungan bulu yang dikatakan 50% lebih ringan berbanding kulit. Trim karbon yang digunakan pula dihasilkan dari bahagian hujung kemasan dari produksi gentian karbon, dimampatkan dalam resin bagi memberikan hasil akhir seperti marmar.

    Lotus Eletre ini akan ditawarkan dengan pilihan konfigurasi empat- atau lima-tempat duduk. Bagi versi lima tempat duduk, ia akan dibekalkan dengan skrin infotaimen bersaiz sembilan inci. Secara standard, SUV ini akan menerima sistem bunyi KEF Premium 1,380-watt dengan 15-pembesar suara. Tak cukup? Anda turut boleh memilih sistem bunyi KEF Reference 2,160-watt dengan 23-pembesar suara.

    SUV ini juga menawarkan hubungan 5G bersepadu yang membolehkan pelbagai fungsi kawalan jauh dibuat hanya menerusi aplikasi telefon pintar. Ia juga membolehkan pelanggan membeli fungsi tambahan apabila ia ditawarkan kelak.

    Lotus Eletra tidak diproduksi di fasiliti Lotus di Britain, sebalik ia akan mula dipasang di kilang baharu yang terletak di Wuhan, China tahun ini. Pelanggan terawal yang menempah SUV ini di pasaran China, Britain dan Eropah akan menerima kereta mereka pada tahun hadapan. Menurut laman Facebook rasmi Lotus Cars Malaysia, pelanggan tempatan yang berminat dengan SUV ini turut sudah boleh mendaftarkan minat mereka secara atas talian.

     
     
  • Yamaha Xmax SP diperkenal di Thailand – suspensi Ohlins, tempat duduk sporty, beza harga cuma RM4k

    Yamaha Xmax SP diperkenal di Thailand – suspensi Ohlins, tempat duduk sporty, beza harga cuma RM4k

    Yamaha Thailand telah memperkenalkan satu versi baru bagi skuter XMax, dipanggil sebagai XMax SP untuk pasaran, dan dijual pada harga 209,000 baht (RM26,332). Beza harganya dengan model biasa adalah 30,000 baht atau bersamaan sekitar RM4k.

    Keistimewaan utama model ini adalah ia dipasang dengan penyerap hentak Ohlins boleh laras sepenuhnya di belakang, yang diberi selama lima tahun atau 50,000 km. Bukan setakat itu, pemilik juga masih akan menerima penyerap hentak asal skuter ini, yang akan diletakkan di dalam kotak dan boleh digunakan sebagai ganti.

    Bagi menambah lagi ciri sporty XMax SP ini, ia didatangkan dengan warna kelabu serta rim dan grafik merah, sementara tempat duduk pula dinaik taraf dengan unit yang mempunyai bentuk khas berserta sokongan tambahan dan kain eksklusif. Turut ditukar adalah paparan digital pada meter, yang kini menggunakan latar belakang hitam.

    Selain daripada itu, ciri teknikal skuter ini masih sama seperti model biasa, di mana XMax untuk pasaran Thailand dijual dalam versi 300 yang menggunakan enjin satu silinder 292 cc berkemampuan 27.6 hp pada 7,250 rpm dan 29 Nm tork pada 5,750 rpm.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah termasuk tangki bahan api 13 liter, brek cakera depan dan belakang dengan ABS, rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, sistem kawalan cengkaman, lampu hadapan dan belakang LED, soket 12V, fork teleskopik serta ruang simapanan luas di bawah tempat duduk.

     
     
  • Peugeot 2008 dan 208 dapat pemilih gear jenis suis

    Peugeot 2008 dan 208 dapat pemilih gear jenis suis

    Peugeot telah mengumumkan bahawa kedua-dua model 208 dan 2008 menerima pemilih gear baru jenis suis sebagai naik taraf tahun ini. Ia menggantikan penukar elektronik yang digunakan sebelum ini, bagi mengawal operasi transmisi automatik lapan kelajuan Aisin padanya.

    Selain kedudukan R, N dan D, suis pemilih baru ini juga datang butang Park serta M untuk memilih fungsi penukaran gear manual (pemandu boleh tukar gear menggunakan pedal di stereng). Bagi model elektrik e-208 dan e-2008, pilihan yang terletak paling bawah adalah B, iaitu untuk mengaktifkan penjanaan semula kuasa brek.

    Suis penukar ini masih terletak di tempat yang sama, jadi ia sebenarnya tidaklah memberi ruang tambahan pada konsol tengah tersebut. Di sekeliling butang tersebut terdapat kemasan krom sementara tempat meletakkan pergelangan tangan dipasang dengan kemasan seakan gentian karbon.

    Peugeot 2008 2022 pasaran Malaysia

    Tiada perubahan mekanikal dibuat, bermakna 208 dan 2008 masih ditawarkan dengan sama ada enjin petrol tiga silinder turbo 1.2 liter PureTech, diesel turbo 1.5 liter BlueHDi atau motor elektrik 136 PS/221 Nm dengan bateri 50 kWh (jarak gerak 340 km).

    Model pasaran Malaysia mungkin tidak akan menerima pemilih gear jenis suis ini kerana kita mendapat kotak gear enam kelajuan dengan penukar gear jenis tombol seperti biasa.

    GALERI: Peugeot 2008 2022 pasaran Malaysia

     
     
  • Subaru BRZ dilancarkan di Thailand – RM338k hingga RM357k, 2.4L boxer 237 PS/250Nm, pilihan AT dan MT

    Subaru BRZ dilancarkan di Thailand – RM338k hingga RM357k, 2.4L boxer 237 PS/250Nm, pilihan AT dan MT

    Subaru BRZ generasi kedua secara rasminya telah dilancarkan di Thailand ketika berlangsungnya Bangkok Motor Show 2022, selepas model berkenaan membuat penampilan sulung globalnya di Amerika Syarikat pada November 2020. Ia dijual pada harga bermula 2.699 juta baht (RM337,735) untuk varian dengan kotak gear manual, sehingga 2.849 juta baht (RM356,505) untuk model dengan transmisi automatik.

    Sama seperti pasaran lain, BRZ generasi baharu di Thailand ini dijana oleh enjin boxer NA dengan kapasiti 2.4 liter yang lebih besar dari model generasi terdahulu. Enjin FA24 tersebut mampu menghasilkan 237 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm – lebih berkuasa dari enjin boxer NA 2.0 liter model generasi sebelumnya yang hanya menghasilkan kuasa 200 PS/205 Nm.

    Bagi model dengan kotak gear manual enam-kelajuan, ia bukan sahaja lebih murah, malah mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.3 saat sebeblum mencapai kelajuan maksima 226 km/j. Manakala varian dengan kotak gear automatik enam-kelajuan pula membuat pecutan yang sama dalam masa 6.9 saat sebelum dan mencatat kelajuan maksima hanya 216 km/j. Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda belakang, dan gandar belakang BRZ ini diberikan LSD jenis Torsen secara standard.

    Subaru BRZ dilancarkan di Thailand – RM338k hingga RM357k, 2.4L boxer 237 PS/250Nm, pilihan AT dan MT

    Dari segi kelengkapan pula, model manual hadir standard dengan lampu hadapan (responsif terhadap stereng), lampu nyalaan siang dan lampu belakang semuanya LED, rim 18-inci dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 215/40R18, spoiler ‘ekor itik’, paparan instrumen digital tujuh-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci, sistem pendingin hawa dua-zon, Kawalan Bunyi Aktif (penjana bunyi palsu enjin), tujuh beg udara, kawalan kestabilan elektronik, mod Track, pemantau titik buta, bantuan mula mendaki dan kamera undur.

    Manakala bagi model dengan kotak gear automatik, ia turut diberikan mod Sport untuk transmisi dan mod pemanduan tambahan Snow. Ia juga diberikan sistem bantuan pemanduan Subaru EyeSight, meliputi sistem seperti lampu tinggi automatik, brek kecemasan automatik (hadapan dan undur), amaran keluar laluan, cruise control adaptif dan amaran pergerakan kenderaan hadapan.

    Tujuh warna badan ditawarkan untuk BRZ pasaran Thailand ini iaitu Ignition Red, Magnetite Grey Metallic, Sapphire Blue Pearl, World Rally Blue Pearl, Crystal Black Silica, Crystal White Pearl dan Ice Silver Metallic.

    Subaru BRZ 2022 ini juga turut bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi. Tempahannya telah dibuka oleh Motor Image awal minggu ini, dan ada pengedar-pengedar Subaru mendedahkan bahawa model dengan transmisi enam-kelajuan manual dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM229,245, manakala varian dengan kotak gear automatik enam-kelajuan pula berharga RM239,245. Agak jauh juga beza harga dengan Thailand kan?

     
     
  • Ford Everest 2022 tiba di Thailand – 2.0 Turbo Sport 4×2 6AT dan Titanium+ 4×4 10AT, RM183k ke RM232k

    Ford Everest 2022 tiba di Thailand – 2.0 Turbo Sport 4×2 6AT dan Titanium+ 4×4 10AT, RM183k ke RM232k

    Selepas didedahkan kali pertama awal bulan lalu, Ford Everest 2022 kini sudah pun mula dijual di Thailand, dalam dua gred iaitu 2.0L Turbo Sport 4×2 6AT dan 2.0L Bi-Turbo Titanium+ 4×4 10AT, dengan kedua-duanya menggunakan tetapan tujuh tempat duduk.

    Everest 2.0 Turbo Sport yang dijual pada harga 1.464 juta baht (RM183,230) dipacu oleh enjin 2.0 liter Si-Turbo sama seperti sebelum ini, mampu menghasilkan kuasa 170 PS pada 3,500 rpm dan 405 Nm antara 1,750 ke 2,250 rpm. Enjin Panther ini dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan 6R80 dengan Select Shift untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

    Pakej Sport yang diberi pada SUV ini melibatkan banyak kemasan warna hitam di bahagian luar, termasuk gril, rim serta tulisan Everest di atas hud. Dalam keadaan standard, versi Sport terus dipasang dengan lampu hadapan LED dengan fungsi automatik, DRL LED berbentuk C, serta lampu kabus dan lampu belakang LED.

    Konsep Sport diteruskan di bahagian dalam, di mana ia menggunakan tema hitam, lengkap dengan tempat duduk kulit sintetik berwarna hitam, dan kedua-dua tempat duduk hadapan boleh dilaras lapan arah secara elektrik. Panel instrumen digital pada varian ini bersaiz lapan inci, manakala skrin sesentuh menegak di bahagian tengah adalah bersaiz 10.1 inci.

    Spesifikasi infotainmen pula termasuk sistem SYNC 4A, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, FordPass Connect serta lapan pembesar suara. Turut diberi adalah pengecas telefon tanpa wayar, empat soket USB, kamera belakang, cermin pandang belakang malap sendiri, kunci pintar dengan fungsi penghidup enjin automatik serta brek parkir elektronik.

    Pada bahagian keselamatan, Everest Turbo Sport dilengkapi dengan tujuh beg udara (depan, tepi, bidai dan kaki pemandu), ABS, EBD, Electronic Stability Contro, Traction Control, Hill Start Assist dan cruise control.

    Ford Everest 2022 tiba di Thailand – 2.0 Turbo Sport 4×2 6AT dan Titanium+ 4×4 10AT, RM183k ke RM232k

    Untuk Everest 2.0 Bi-Turbo Titanium+ yang dijual pada harga 1.854 juta baht (RM232,000) pula, ia digerakkan oleh enjin 2.0 liter EcoBlue Bi-Turbo yang mampu menghasilkan kuasa 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm tork dari 1,750 hingga 2,000 rpm. Enjin model pacuan empat roda ini dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift 10 kelajuan 10R80.

    Seperti yang boleh dijangka, varian Bi-Turbo Titanium+ ini diperkenalkan dengan senarai kelengkapan yang lebih tinggi, termasuk lampu LED matriks daripada Ranger, lengkap dengan pelarasan sudut automatik. Varian ini juga menerima bumbung panoramik, sementara penambahan lain adalah di bahagian dalam.

    Selain terdapat lebih banyak kemasan krom, Everest Titanium+ juga menerima skrin yang lebih besar, iaitu panel instrumen 12.4 inci, dan di tengah ia menggunakan skrin sesentuh 12 inci. Turut diberi dalam kabin adalah lampu suasana.

    Sistem bantuan pemandu juga dipertingkat bagi varian ini, dengan termasuk Adaptive Cruise Control bersama fungsi Stop and Go, Lane Keeping Assist, Lane Departure Warning, Blind Spot Detection, Forward Collision Warning dengan fungsi membrek, AEB dengan pengesan pejalan kaki, Rear Brake Assist dengan amaran trafik belakang serta Evasive Steer Assist.

    Varian ini juga dilengkapi dengan sistem pemerhati tekanan angin tayar, lampu tinggi pintar serta Active Park Assist bersama kamera pandangan 360 darjah. Untuk warna luar, terdapat tujuh pilihan disediakan dengan enam daripadanya adalah untuk kedua-dua varian, iaitu Aluminium Metallic, Meteor Grey. Absolute Black, Equinox Bronze, Snowflake White Pearl dan Sedona Orange, manakala Blue Lightning hanya disediakan untuk versi Sport.

    GALERI: Ford Everest Sport 2023

    GALERI: Ford Everest Titanium 2023

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

    Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

    Ford Ranger Raptor 2023 telah pun didedahkan untuk peringkat global bulan lalu, dan kini ia sudah mula dijual secara rasmi di Thailand. Walaupun Ford ada menyatakan bahawa beberapa pasaran masih menerima Ranger Raptor dengan enjin diesel 2.0 liter bi-turbo seperti generasi terdahulu, nampaknya Thailand adalah antara pasaran yang bertuah menerima versi paling berkuasa dengan enjin petrol 3.0 liter V6 EcoBoost dengan dua pengecas turbo.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, enjin berkenaan berupaya menghasilkan kuasa 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm. Untuk itu, Ford Ranger Raptor 2023 pasaran Thailand ini dijual pada harga 1,869,000 baht (RM233,804).

    Enjin tersebut sebenarnya merupakan enjin yang sama dengan Bronco Raptor yang hanya dijual di pasaran Amerika Syarikat. Enjin V6 baharu ini menampilkan blok silinder yang diperbuat dari material grafit-logam yang dipadatkan, yang menurut Ford ia adalah 75% lebih kuat dan 75% lebih tegar berbanding blok silinder besi tuang biasa.

    Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

    Manakala pengecas turbo untuk enjin ini pula menampilkan sistem anti-lag yang diambil dari teknologi kereta lumba, bagi memastikan penghantaran boost yang cepat setiap kali ia diperlukan. Menurut Ford, dalam mod Baja, turbin pada pengecas turbo berkenaan akan terus berputar selama tiga saat selepas pemandu melepaskan sepenuhnya pedal pendikit, membolehkan ia membekalkan respon pendikit dengan kadar sepenuhnya apabila pedal pendikit tersebut dikerah semula selepas itu tanpa sebarang lag.

    Kuasa dari enjin berkenaan disalurkan kepada kotak gear automatik 10-kelajuan, sebelum memacu semua roda menerusi sistem pacuan-empat roda sepenuh masa, yang dibekalkan bersama transfer case dua-kelajuan, serta locking differential diberikan pada gandar belakang dan hadapan.

    Seperti sebelum ini, Ranger Raptor turut dibekalkan dengan mod pemanduan berbeza untuk permukaan tar dan juga off-road. Untuk jalan raya biasa, tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Sport dan Slippery. Manakala untuk pemanduan off-road pula ia menampilkan mod Rock Crawl (cengkaman dan momentum maksima pada permukaan licin),Sand, Mud dan Ruts, serta mod “perlumbaan rali padang pasir” iaitu Baja.

    Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

    Ford Ranger Raptor ini juga kini menerima sistem Trail Control iaitu sistem cruise control untuk jalan off-road, yang boleh digunakan oleh pemandu sekiranya mereka mahu menumpukan terhadap kawalan stereng ketika melalui laluan yang dengan permukaan mencabar. Sistem ini boleh beroperasi sehingga kelajuan maksima 32 km/j.

    Dengan kuasa yang semakin besar, sudah tentu sistem suspensi yang berbeza dari Ranger biasa masih ditampilkan pada Ranger Raptor 2023 ini. Suspensi trak pikap ini direka semula sepenuhnya, kini dengan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox.

    Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini. Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap kini ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road.

    Dengan sistem Bottom-Out Control yang progresif dari Fox, Ranger Raptor kini lebih stabil pada permukaan jalan tar. Sistem berkenaan akan memberikan daya menyerap hentak maksimum pada bahagian pergerakan 25% terakhir suspensi berkenaan, dan dapat mengelakkan bahagian belakang menjadi mendap ketika melakukan pecutan mendadak.

    Untuk rupa luaran, Ranger Raptor diberikan lampu hadapan dengan teknologi LED Matrix jalur LED berbentuk-C, serta Dynamic Bending yang membolehkan ia menyuluh mengikut haluan kereta. Tulisan “FORD” pada gril hadapan juga kini lebih garang, dan seperti biasa ia menerima fender flare yang lebih lebar untuk setiap ruang roda. Rim 17-inci yang diberikan pada Ranger Raptor ini adalah lebih lebar, dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich KO2.

    Perincian istimewa lain yang turut dipadankan pada Ranger Raptor ini termasuk lampu belakang LED, pemijak sisi aluminium dengan logo Raptor serta plat pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm. Plat pelindung berkenaan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada komponen penting seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, takung minyak pelincir enjin dan juga differential hadapan ketika ia meredah laluan lasak.

    Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

    Pada bahagian kabin pula, pemandu Ranger Raptor ini menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik. Ford turut menyatakan bahawa tempat duduk hadapan Ranger Raptor ini dihasilkan dengan inspirasi dari jet pejuang F22.

    Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana.

    Bagi sistem keselamatan pula, Ranger Raptor 2023 pasaran Thailand ini diberikan tujuh-beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, sistem brek ABS dengan EBD dan kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau tekanan angin tayar dan kamera pemantau 360-darjah

    Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan seperti cruise control adaptif, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran titik buta dengan amaran dan bantuan brek lintasan trafik belakang, bantuan brek mengundur, bantuan stereng untuk mengelak dan bantuan parkir aktif.

    Empat warna ditawarkan untuk Ford Ranger 2023 pasaran Thailand ini iaitu Absolute Black, Arctic White, Code Orange dan Conquer Grey.

    Dengan spesifikasi dan harga yang didedahkan untuk pasaran Thailand ini, nampaknya macam ada peluang Malaysia juga akan menerima Ranger Raptor generasi baharu ini dengan enjin petrol V6 turbo berkembar yang sama, tetapi sudah tentu ia lebih mahal dari model terdahulu. Buat masa sekarang, Ford Ranger Raptor generasi sedia ada dijual di Malaysia pada harga RM208,888. Agak-agak berapa harga model generasi baharu ini di Malaysia nanti ye?

     
     
  • Mercedes-Benz T-Class akan didedah 26 April ini – Citan versi penumpang, lebih kecil daripada V-Class

    Mercedes-Benz T-Class akan didedah 26 April ini – Citan versi penumpang, lebih kecil daripada V-Class

    Mercedes-Benz telah mendedahkan bahawa mereka akan memperkenalkan T-Class baru pada 26 April ini. Ia adalah satu barisan model baru yang disasarkan untuk keluarga serta pelanggan swasta yang memerlukan banyak ruang, tapi masih mahukan kenderaan dengan saiz kompak.

    Dalam barisan model Mercedes-Benz, T-Class akan diletakkan di bawah V-Class yang lebih besar. Sama seperti V-Class yang mempunyai versi komersial dipanggil Vito, T-Class juga sebenarnya sudah ada versi komersial yang dipanggil sebagai Citan dan diperkenalkan kepada pasaran Ogos lalu.

    Untuk pengetahuan anda, T-Class baru ini, dan Citan terkini sebenarnya dibangunkan dengan kerjasama Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, dan mempunyai kaitan dengan Renault Kangoo generasi ketiga yang dibina atas platform CMF-CD.

    Mercedes-Benz T-Class akan didedah 26 April ini – Citan versi penumpang, lebih kecil daripada V-Class

    Mercedes-Benz Citan 2022

    Sebagai sebuah kenderaan yang lebih fokus kepada penggunaan untuk penumpang, Mercedes-Benz memberitahu bahawa T-Class “menggabungkan ciri sporty dengan rekaan penuh emosi bersama ruang luas dan bahagian dalam boleh ubah, pintu gelungsur dan keselesaan, sambungan, tarikan berkualiti tinggi serta ciri keselamatan tipikal sebuah Mercedes.”

    Teaser T-Class yang dikeluarkan oleh pengeluar Jerman itu menunjukkan bahawa rekaannya tidak lari jauh berbanding versi komersial, tetapi kita masih perlu menunggu sehingga bulan hadapan untuk mengetahui selanjutnya berkenaan keistimewaan spesifik T-Class. Kita juga boleh menjangkakan pelbagai enjin pembakaran dalaman disediakan pada model ini, sementara penggerak elektrik juga mungkin ada, seperti yang telah ditunjukkan melalui model konsep EQT.

    GALERI: Mercedes-Benz Citan 2022

     
     
  • Ford Ranger 2022 dijual di Thailand dalam versi Sport dan Wildtrak, enjin 2.0L, harga RM116k ke RM163k

    Ford Ranger 2022 dijual di Thailand dalam versi Sport dan Wildtrak, enjin 2.0L, harga RM116k ke RM163k

    November lalu Ford telah menunjukkan kali pertama Ranger 2022 baru dan kini ia berada di Bangkok International Motor Show (BIMS), dan harga untuk pasaran Thailand telah pun didedah. Setakat ini hanya model double cab yang disediakan, dan ia terdiri daripada varian Sport dan Wildtrak.

    Model generasi baru ini dijual pada harga bermula 929,000 baht (RM116,400) untuk varian 2.0L Turbo HR (high-rider) 6MT, diikuti 964,000 baht (RM120,700) untuk versi 6AT dan 1,049,000 baht (RM131,400) untuk versi 4×4. Varian Wildtrak pula dijual pada harga 999,000 baht (RM125,100) untuk Turbo 6MT, 1,049,000 baht untuk 6AT, 1,159,000 baht (RM145,200) untuk Bi-Turbo 10AT dan 1,299,000 baht (RM162,700) untuk 4×4.

    Daripada sini, mungkin ada di antara anda yang sudah nampak bahawa transmisi untuk model single-turbo kini telah diturunkan, daripada unit automatik sepuluh kelajuan 10R80 kepada enam kelajuan 6R80 (sebelum ini hanya digunakan untuk model 2.2L). Transmisi manual enam kelajuan itu pula adalah unit MT88 baru.

    Enjin pula masih menggunakan unit diesel empat silinder EcoBlue “Panther” yang mampu menghasilkan 170 PS pada 3,500 rpm dan 405 Nm tork antara 1,750 hingga 2,500 rpm – turun 10 PS dan 15 Nm berbanding sebelum ini. Varian Bi-Turbo pula mampu mengeluarkan 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm antara 1,750 hingga 2,000 rpm. Buat masa ini, enjin diesel turbo 3.0L V6 250 PS/600 Nm dan petrol turbo 2.3L 302 PS/452 Nm masih belum ditawarkan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Ranger baru dibina atas platform T6 yang telah ditambah baik, dan mendapat bahagian luar yang direka semula sepenuhnya, dengan lampu hadapan berbentuk-C, gril lebih besar, lekuk-lekuk badan yang lebih menonjol serta lampu belakang LED tiga dimensi. Pada bahagian tepi ruang barangan trak ini juga sudah terdapat pemijak untuk memudahkan pengguna mencapai barang di dalam.

    Model Sport dan Wildtrak dapat dibezakan melalui bampar hadapan, di mana Wildtrak menggunakan rekaan yang lebih agresif, rekaan rim 18 incinya serta rel bumbung dan sport bar yang disediakan pada Wildtrak. Varian yang lebih tinggi juga mendapat lampu yang memancar ke tanah di tepi pintu, soket 12 volt dan 230 volt di ruang barangan belakang serta brek cakera berliang.

    Perubahan menyeluruh juga dibuat pada bahagian dalam, dengan yang paling utama adalah skrin sesentuh menegak berukuran 10.2 inci untuk semua varian Sport dan 12 inci untuk Wildtrak. Turut diberi adalah panel instrumen digital lapan inci untuk semua varian.

    Ford Ranger 2022 dijual di Thailand dalam versi Sport dan Wildtrak, enjin 2.0L, harga RM116k ke RM163k

    Kelengkapan standard lain yang diberi adalah termasuk sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal suhu dua zon, corong pendingin hawa belakang, brek parkir elektronik, balutan kulit, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera undur serta pengecas Qi tanpa wayar. Varian Wildtrak pula mendapat tambahan tempat duduk pemandu larasan kuasa, lampu suasana, soket 230 dan cermin pandang belakang malap sendiri.

    Pada bahagian keselamatan, Ranger datang secara standard dengan enam beg udara dan kawalan stabiliti, sementara Wildtrak mendapat tambahan beg udara kaki. Hanya varian Wildtrak Bi-Turbo yang mendapat Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan stop-and-go, Lane Centring Assist, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik serta Reverse AEB.

    Meskipun varian lain tidak datang dengan sistem bantuan pemandu ini secara standard, pemilik masih boleh menambah kesemuanya kecuali Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist pada varian Sport dengan bayaran tambahan. Anda boleh membaca secara terperinci tentang Ranger baru ini di sini.

    GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2022

    GALERI: Ford Ranger Sport 2022

     
     
  • VIDEO: Honda HR-V pasaran Indonesia – 1.5L NA dan 1.5L VTEC Turbo, bermula RM105k hingga RM147k

    Seperti yang telah kami laporkan minggu lalu, Honda HR-V 2022 sudah pun dilancarkan di Indonesia, selepas model berkenaan dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu. Dan apa yang istimewa, Indonesia merupakan negara pertama di dunia menerima HR-V generasi ketiga dengan enjin 1.5L VTEC Turbo. Tak puas tengok gambar-gambar rasmi yang disiarkan tempoh hari? Ini dia video rasmi telah pun ditayangkan di YouTube.

    Enjin turbo berkenaan diberikan pada varian paling tinggi dan paling berkuasa dalam pasaran negara tersebut iaitu HR-V RS, menjana 177 PS dan tork maksima 240 Nm. Untuk pengetahuan anda, HR-V RS turut ditawarkan di Thailand, namun ia hadir sebagai varian hibrid e:HEV dengan unit rangkaian kuasa i-MMD.

    Unit penggerak hibrid untuk HR-V RS pasaran Thai tersebut menampilkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC berkuasa 105 PS/127 Nm yang dalam kebanyakkan masa hanya mengecas bateri lithium-ion, bersama motor elektrik berkuasa 131 PS/253 Nm untuk memacu roda hadapan.

    Bagi tiga lagi varian lebih rendah di Indonesia iaitu HR-V S, HR-V E dan HR-V SE, ia tampil dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC tanpa turbo, menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm – sama seperti unit penjana pada Honda City. Ini bukanlah konfigurasi yang pelik kerana HR-V generasi kedua juga ditawarkan dengan enjin 1.5L NA di Indonesia. Walau bagaimanapun, kedua-dua enjin turbo dan NA digandingkan hanya dengan pilihan kotak gear CVT automatik.

    Untuk penampilan, kesemua model yang dijana enjin NA diberikan gril hadapan dengan jalur melintang, sementara versi RS dengan enjin turbo pula meneriman gril dengan elemen pin krom. HR-V RS juga tampil dengan kit badan lebih garang serta kemasan-kemasan hitam yang lebih banyak.

    Dari segi kelengkapan pula, model asas HR-V S datang dengan perincian standard termasuk sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, lampu hadapan LED penuh dan rim aloi 17-inci, paparan pelbagai info 4.2-inci pada panel meter, sistem infotaimen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci serta bersama empat pembesar suara, kunci automatik walk away.

    Sistem keselamatan lain yang juga diberikan standard untuk semua varian termasuk pengingat pemakaian tali pinggang belakang, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, bantuan kestabilan kenderaan, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, brek parkir elektrik bersama fungsi brake hold.

    Untuk varian satu tangga lebih tinggi iaitu HR-V E menerima penambahan kit seperti penghidup enjin kawalan jauh, kemasan bampar hadapan dan perumah lampu kabus yang diwarnakan, pedal penukar gear dan cermin sisi auto-lipat bersama lampu isyarat membelok, upholsteri gabungan kulit dan fabrik, tempat duduk Combi, sebahagian balutan kulit pada roda stereng dan tombol gear balutan kulit. Manakala untuk penumpang belakang, model ini diberikan liang penghembus penghawa dingin, perehat tangan tengah dengan pemegang cawan serta port kuasa khas.

    VIDEO: Honda HR-V pasaran Indonesia – 1.5L NA dan 1.5L VTEC Turbo, bermula RM105k hingga RM147k

    Manakala varian tertinggi untuk enjin 1.5L NA iaitu HR-V E SE masih diberikan kelengkapan-kelengkapan sama dari versi E biasa, tetapi menerima perincian tingkat taraf seperti lampu isyarat membelok jenis sequential, bumbung panaromik, lampu kabus LED serta rim aloi 18-inci.

    Dalam kabin, HR-V E SE diberikan perumah suis tingkap piano black, lampu bacaan LED, manakala untuk sistem infotainmen ia diberikan skrin sesentuh kapasitif lapan-inci. Model ini juga diberikan sistem kamera titik buta Honda LaneWatch serta kamera undur pandangan pelbagai sudut.

    Akhir sekali untuk HR-V Turbo RS, ia hadir dua tip ekzos yang diserlahkan pada bampar belakang – identiti khusus untuk model-model Honda yang dijana enjin 1.5L VTEC Turbo. Untuk kabin, HR-V RS Turbo ini datang dengan upholsteri kulit hitam dengan serlahan jahitan benang merah, panel-panel sentuhan lembut pada pintu dan juga roda stereng yang dibalut sepenuhnya dengan kulit.

    Pemandu pula diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci, serta mod pemanduan Sport, Normal dan Econ. Sistem infotainmen untuk HR-V RS ini pula ditambah dengan dua unit tweeter. Perincian tingkat taraf lain yang turut diberikan termasuk pintu tailgate belakang dengan fungsi bukaan tanpa sentuh serta boleh ditutup secara automatik secara walk away. Manakala untuk keselamatan, model ini menerima beg udara paling banyak iaitu enam-unit.

    Untuk warna, rona Ignite Red Metallic 2-Tone hanya ditawarkan untuk HR-V RS, dan Sand Khaki Pearl 2-Tone hanya untuk HR-V RS, E dan E SE. Manakala warna Crystal Black Pearl, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic dan Meteoroid Grey Metallic ditawarkan untuk semua varian.

    Bagi harga pula, HR-V pasaran Indonesia ini dijual bermula 355.9 juta rupiah (RM104,738) untuk varian S, 379.9 juta rupiah (RM111,798) untuk varian E, diikuti 399.9 juta rupiah (RM117,701) bagi model E SE. Manakala varian tertinggi HR-V Turbo RS dijual pada harga 499.9 juta rupiah (RM147,070).

    Selepas Thailand dan Indonesia, Malaysia turut akan menerima HR-V generasi ketiga ini tak lama lagi – unit prototaip SUV segmen-B tersebut sudahpun kelihatan di uji di Malaysia baru-baru ini.

    Petunjuk yang diberikan oleh Honda Malaysia juga membayangkan bahawa model ini adalah salah sebuah model baharu yang akan dilancarkan tahun ini selain BR-V generasi kedua. Ia juga dibayangkan mungkin akan menerima enjin 1.5L VTEC Turbo dan juga versi hibrid e:HEV, berdasarkan komitmen yang telah diumumkan oleh Honda Malaysia baru-baru ini.

     
     
  • Can-Am sedia masuk dunia elektrik – empat jentera dua roda elektrik akan mula ditawarkan pada 2024

    Can-Am sedia masuk dunia elektrik – empat jentera dua roda elektrik akan mula ditawarkan pada 2024

    Meskipun sekarang Can-Am lebih terkenal dengan model-model tiga tayar dan empat tayar seakan buggy, jenama yang dimiliki oleh BRP Inc yang sudah wujud sejak tahun 1973 itu sebenarnya pada awal penubuhannya lebih tertumpu kepada jentera dua roda, terutamanya jenis motocross.

    Kini, ia bersedia untuk masuk ke dunia baru dengan pengeluaran jentera elektrik, dan gambar awal yang disiarkan menunjukkan empat model yang kesemuanya adalah dua roda. Dua daripadanya nampak seperti motosikal cruiser, satu model naked street dan satu lagi dual purpose.

    “Dengan industri motosikal yang kini sedang beralih ke elektrik, kami nampak satu peluang untuk menuntut semula warisan motosikal kami dan masuk kembali ke dalam pasaran. Kategori produk baru ini sangat penting bagi kami, dan kami teruja Can-Am akan menjadi model EV pertama dalam barisan produk BRP yang sudah disahkan untuk pelanggan,” kata presiden dan CEO BRP, José Boisjoli.

    Selain gambar ini, tiada sebarang perincian lain yang didedahkan, namun dalam siaran akhbar yang disiarkan, Can-Am memberitahu bahawa model pertama bagi barisan motosikal elektrik ini dijangka akan mula ditawarkan kepada pasaran menjelang pertengahan tahun 2024.

     
     
  • Ferrari 296 GTB kini di Malaysia — 830 PS dan 740 Nm V6 plug-in hybrid, harga bermula dari RM1.228 juta

    Ferrari 296 GTB kini di Malaysia — 830 PS dan 740 Nm V6 plug-in hybrid, harga bermula dari RM1.228 juta

    Naza Italia dengan rasminya melancarkan Ferrari 296 GTB untuk pasaran Malaysia. Supercar dua pintu dengan enjin tengah-belakang ini merupakan model janaan enjin V6 yang pertama jenama ini bagi tempoh setengah abad terkahir. Ia dijual pada harga RM1.228 juta (sebelum duti, pilihan kustom, cukai dan insuran).

    Model F171 ini merupakan model kedua plug-in hybrid dari Ferrari selepas SF90 Stradale. Mempunyai dimensi ukuran 4,565 mm panjang, 1,958 mm lebar dan 1,187 mm tinggi, serta jarak antara roda 2,600 mm, 296 GTB menampilkan penggayaan retro di luar.

    Ilham dari 250 LM 1963 boleh dilihat dalam rekaan tiang B serta “sayap” tempat bukaan udara disertakan. Bahagian depannya lebih tirus jika dibandingkan dengan model V8 enjin di tengah-belakang Ferrari sebelum ini. Bahagian belakangnya paling unik dengan permukaan kaca 3D serta penutup ruang enjin yang menonjolkan karekter rekaan secara keseluruhannya.

    Ferrari 296 GTB kini di Malaysia — 830 PS dan 740 Nm V6 plug-in hybrid, harga bermula dari RM1.228 juta

    Bagi rim pula, 296 ini menggunakan rekaan baru jejari berkembar aloi, serta rim lima-jejari corak berlian sebagai pilihan. Selain itu, ada juga pilihan untuk rim gentian karbon, yang lapan kilogram lebih ringan berbanding versi logam seperti dinyatakan.

    Enjinnya pula merupakan unit F163 enam-silinder pertama yang digunakan untuk kereta jalanan Ferrari. Sebelum ini memang ada kereta sport V6 dalam barisan modelnya pada tahun 70an, tetapi itu dijual di bawah nama Dino, dan yang terakhir adalah 246 GT pada 1974.

    Dibangunkan sendiri sepenuhnya, enjin V6 120° turbo berkembar itu berkapasiti 2,992 cc, yang menjadi asas kepada nama kereta ini — 2.9 liter adalah kapasitinya, dan jumlah enam silinder yang ada menjadi pelengkap nama yang dipilih. Antara kelebihan teknikal kereta ini adalah kedudukan turbo yang dipasang dalam enjin dan memperkemas pakej keseluruhannya, pusat graviti rendah dan enjin lebih ringan. Pengecas turbo IHI juga dibikin semula, kini mampu menampung rev hingga 180,000 rpm dan memberikan prestasi lebih baik dan lebih cekap.

    Ferrari 296 GTB kini di Malaysia — 830 PS dan 740 Nm V6 plug-in hybrid, harga bermula dari RM1.228 juta

    Seperti SF90, kereta ini menampilkan MGU-K (Motor Generator Unit, Kinetic), yang ditempatkan antara enjin dan kotak gear, dengan sebuah Transition Manager Actuator (TMA) — sama seperti klac — di antara enjin dan motor elektrik untuk memisahkannya dalam mod eDrive elektrik semata. Namun, tork bagi motor yang digunakan itu dinaikkan kepada 315 Nm; tidak seperti Stradale, tiada motor elektrik depan pada 296 GTB ini.

    Enjinnya menghasilkan 654 hp (663 PS) dan digandingkan dengan motor elektrik yang menyalurkan 164 hp (167 PS atau 122 kW). Kombinasi ini membekalkan 296 GTB sebanyak 818 hp (830 PS) pada 8,000 rpm dan 740 Nm tork pada 6,250 rpm. Kotak gear pula unit lapan-kelajuan klac berkembar yang sama seperti yang digunakan pada SF90 Stradale dan SF90 Spider, Roma dan Portofino M.

    Dengan berat 1,470 kg, kereta ini memecut 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat, 0-200 km/j dalam masa 7.3 saat dan laju maksimumnya lebih daripada 330 km/j. Bateri lithium-ion pada 296 ini menggunakan 80-sel 7.45 kWh, dengan kurang empat sel berbanding 7.9 kWh pada SF90 tetapi dua kg lebih ringan dan mengecas 5% lebih pantas (tiga jam untuk penuh). Pek bateri ini memberikan jarak elektrik sepenuhnya 25 km, dan boleh dikendalikan sehingga 135 km/j pemanduan elektrik.

    Ferrari 296 GTB kini di Malaysia — 830 PS dan 740 Nm V6 plug-in hybrid, harga bermula dari RM1.228 juta

    Kawalan dinamik kereta ini pula antara lain terdiri daripada eSSC (electronic Side Slip Control), kawalan cengkaman elektrik (eTC) and eDiff, tetapi Chassis Dynamic Sensor enam-arah (6w-CDS) menjadi penampilan sulung dalam kereta ini.

    Kemampuan membrek juga dipertingkat, dengan tambahan sistem brake-by-wire serta fungsi baru dipanggil ABS evo, yang memastikan jarak opersi pedal dikurangkan seminimum mungkin tanpa menjejaskan kecekapannya. Berbanding F8 Tributo, 296 GTB mengurangkan jarak brek 200-0 km/j sebanyak 8.8%.

     
     
  • Honda CR-V 2023 sah akan dapat pilihan hibrid, PHEV

    Honda CR-V 2023 sah akan dapat pilihan hibrid, PHEV

    Honda secara rasminya telah mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan CR-V model baru di Eropah dengan pilihan enjin hibrid serta buat pertama kalinya, plug-in hybrid (PHEV). SUV generasi keenam ini nanti akan mula dijual di benua itu pada tahun 2023, dengan pengenalan pertamanya dijangka berlaku seawal hujung tahun ini.

    Bersama dengan pengumuman itu, tiada sebarang perincian lain, tetapi kita sudah tahu beberapa perkara tentang kenderaan tersebut berserta rupanya. Ini kerana satu lukisan paten 3D telah tersebar dalam media sosial bulan lalu dan menunjukkan ia mendapat banyak pengaruh daripada HR-V terbaru.

    Antara yang boleh dilihat adalah lampu utama nipis dan lebar, gril lebih besar, jalur kemasan gril yang masuk pada kedua-dua belah lampu, bentuk L pada bucu bampar, lampu belakang jenis menegak serta kemasan plastik di sekeliling ruang roda dan bawah badan.

    Honda CR-V 2023 sah akan dapat pilihan hibrid, PHEV

    Honda CR-V generasi sekarang sudah ditawarkan dalam versi PHEV di China

    Kita juga tahu kemungkinan besar CR-V baru ini masih akan terus menggunakan enjin sekarang, iaitu unit 1.5 liter VTEC Turbo (mungkin dengan kuasa yang lebih tinggi) bersama padanan transmisi CVT, serta penggerak hibrid e:HEV yang mungkin sama seperti Civic.

    Versi plug-in hybrid adalah sesuatu yang baru, meskipun sebenarnya versi e:PHEV bagi CR-V sudah dijual di China sejak tahun 2020. Kereta itu menggabungkan enjin hibrid Accord dengan bateri lithium ion 17 kWh yang lebih besar, dan mampu memberikan jarak gerak elektrik 85 km.

    Apabila keluar CR-V baru di Eropah nanti, ia boleh bersaing dengan Toyota RAV4 plug-in hybrid, tetapi model Toyota tersebut mempunyai jumlah kuasa keseluruhan yang lebih tinggi, iaitu 306 PS dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa enam saat.

     
     
  • Toyota GR Corolla akan didedahkan 1 April ini!

    Toyota GR Corolla akan didedahkan 1 April ini!

    Toyota baru sahaja mengumumkan bahawa mereka bakal mendedahkan “kereta sport GR serba baharu” pada 1 April ini. Tidak dinyatakan model apa yang bakal didedahkan berkenaan, namun menerusi imej teaser yang disiarkan menunjukkan satu panel yang tertulis “GR-Four”, sudah pastinya ia adalah GR Corolla yang kini ditunggu sekian lama oleh pelanggan di Amerika Syarikat.

    Pasaran AS tidak menerima hot-hatch homologasi istimewa untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu GR Yaris, jadi sebagai ganti mereka akan menerima GR Corolla. Ia akan diasaskan dari Corolla Hatchback (dihasilkan dari platform TNGA-C yang lebih besar berbanding TNGA-B pada Yaris), dan menerusi ‘petunjuk’ pada pelbagai teaser sebelum ini, GR Corolla akan menerima kelengkapan mekanikal yang sama seperti GR Yaris.

    Toyota GR Corolla akan didedahkan 1 April ini!

    Ia termasuk enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo berkuasa 272 PS, kotak gear manual enam-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four. Manakala menerusi teaser terbaharu ini pula, GR Corolla nampaknya turut diberikan liang udara sisi yang besar pada fender hadapan, serta angkup brek GR juga bersaiz lebih besar dari standard.

    Masih tidak dapat dipastikan sama ada GR Corolla ini hanya akan dijual di Amerika Syarikat atau ia turut akan menjadi model global dan dijual pada pasaran lain. Namun Toyota dilihat sudahpun mendaftarkan tanda dagang “GR Corolla” di Australia pada 2020.

    GALERI: Imej Toyota GR Corolla pada pelbagai teaser sebelum ini

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0 Luxury 2022 — kuasa berkurang, tapi banyak kelebihan lain lebih penting

    PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0 Luxury 2022 — kuasa berkurang, tapi banyak kelebihan lain lebih penting

    Toyota Harrier sentiasa menjadi semacam “peringatan” dan “jambatan” kepada pengeluar kenderaan dari Jepun ini sejak dulu. Harrier selalu menjadi cerminan penawaran yang lebih premium bagi Toyota, meninggalkan agak jauh model-model lain keluarannya yang lain dari segi kualiti buatan dan kelengkapan. Padahal, Lexus sudah ada sebagai sayap jenama premium dengan barisan kenderaan dan penawaran untuk tujuan itu.

    Jadi, mengapa perlu ada Harrier? Sedangkan Lexus RX juga boleh mengisi kekosongan yang sama — seperti yang pernah dilihat dalam dua generasi awal Harrier, yang meminjam banyak dari SUV Lexus terbabit. Satu perkara yang mungkin menjelaskan perkara ini adalah kerana Toyota ingin sentiasa mengingatkan pasaran bahawa walaupun jenama itu menjual begitu banyak kenderaan pasaran massa di seluruh dunia, ia tetap tidak mahu tertinggal menunjukkan kemampuan dalam menghasilkan kenderaan premium, seperti juga Toyota selalu ingin diingati melalui model-model prestasinya yang kembali rancak dikeluarkan beberapa tahun kebelakangan ini.

    Untuk itu, bagi segmen SUV, Harrier generasi keempat ini yang mula diperkenalkan di peringkat global pada tahun 2020, menjadi buktinya. Sekali pandang, serba-serbi yang ditampilkan oleh model ini tampak menyerlah, sama sekali lari jauh daripada imej Lexus RX yang ada ketika ini — ia telah lama berubah menjadi dirinya yang tersendiri. Harrier generasi terbaru ini juga dirasakan datang dengan penampilan yang paling matang dan elegan.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Model EV pertama Proton akan muncul pada 2027

    Model EV pertama Proton akan muncul pada 2027

    Selain dari berkenaan pelancaran model baharu Proton yang terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan, analisis dari Hong Leong Investment Bank (HLIB) yang dilaporkan oleh The Edge juga turut ada menyebut berkenaan rancangan elektrifikasi jenama automotif tempatan itu.

    Menurut penganalisis bank berkenaan, Daniel Wong, Proton berkemungkinan besar akan mula memperkenalkan dan menjual kereta dengan kuasa elektrik sepenuhnya (EV) pada tahun 2027. Menurutnya lagi, Proton mungkin hanya akan menggunakan “batu loncatan yang kecil” dalam segmen hibrid sebelum terus menperkenalkan EV, yang kami jangkakan ia adalah teknologi hibrid ringkas.

    Apa yang disebut oleh Wong ini adalah sedikit bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh naib CEO Proton, Roslan Abdullah pada November lalu berkenaan rancangan elektrifikasi syarikatnya, yang turut menyenaraikan pengenalan sistem plug-in hybrid (PHEV) sebelum Proton memperkenalkan model EV penuh.

    Model EV pertama Proton akan muncul pada 2027

    Unit rangkaian kuasa 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat yang dipamerkan di Galeri Inspirasi Proton

    Berkenaan sistem hibrid ringkas, unit rangkaian kuasa berkenaan telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang. Proton menamakan unit rangkaian kuasa berkenaan sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG). Menurut maklumat yang diberikan Proton, unit 1.5L TGDi dengan BSG tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L TGDi yang ada pada Proton X50 Flagship buat masa sekarang.

    Unit rangkaian kuasa tersebut berkemungkinan besar akan membuat penampilan pertamanya menerusi SUV X90 yang kini masih lagi dalam pembangunan, mungkin akan dilancarkan tahun hadapan. Ini kerana sistem yang sama telah pun digunakan pada Geely Okavango pasaran Filipina, iaitu asas kepada X90 berkenaan.

    Proton juga dilihat tidak mempunyai masalah untuk menghasilkan kereta elektrik penuh. Ini kerana Geely sudahpun membangunkan platform modular untuk kereta elektrik digelar Sustainable Electric Architecture (SEA) yang boleh digunakan untuk menjadi asas kepada model segmen-A, sehinggalah model mewah segmen-F, kereta sport, kenderaan komersil dan sebagainya.

    Model EV pertama Proton akan muncul pada 2027

    Platform SEA berkenaan direka bagi boleh digunakan oleh semua jenama di bawah Geely, dari model mampu milik seperti Geometry sehinggalah kepada jenama lebih premium seperti Zeekr. Model pertama keluaran Smart yang kini juga sudah berada dalam kumpulan Geely, digelar Smart #1 turut dihasilkan menggunakan platform SEA.

    Apa yang menarik, Proton menerusi Proton Edar telah pun mendapat hak untuk menjual model Smart tersebut di Malaysia dan Thailand, yang bukan sahaja membolehkan Proton bertapak semula di negara jiran tersebut, malah turut membolehkan Proton bersedia untuk menjual dan menyediakan servis selepas jualan untuk kereta elektrik dengan jenama mereka sendiri kelak.

     
     
  • Honda HR-V pasaran AS adalah model global, guna nama lain untuk cabar Corolla Cross; akan ke M’sia?

    Honda HR-V pasaran AS adalah model global, guna nama lain untuk cabar Corolla Cross; akan ke M’sia?

    Honda sebelum ini telah pun menyiarkan imej teaser HR-V pasaran Amerika Syarikat, yang menampilkan rupa berbeza dengan model-model pasaran lain termasuk Jepun Eropah mahupun Asia Tenggara. Namun Honda baru sahaja mengumumkan bahawa model yang sama sebenarnya turut akan diperkenalkan di Eropah.

    Walau bagaimanapun, ia mungkin diberikan nama lain kerana HR-V sudah sinonim dengan model SUV segmen-B, manakala model baharu dihasilkan lebih besar untuk bertanding dalam kelas segmen-C. Jadi bermakna ini adalah SUV segmen-C yang lebih kecil dari CR-V, dan khusus untuk berhadapan terus dengan Toyota Corolla Cross.

    Setakat ini Honda masih belum memberikan sebarang bayangan untuk nama SUV baharu ini. Manakala di Amerika Syarikat, model ini akan diperkenalkan secara rasmi pada 4 April nanti.

    Honda HR-V pasaran AS adalah model global, guna nama lain untuk cabar Corolla Cross; akan ke M’sia?

    Berdasarkan lakaran yang disiarkan sebagai teaser sebelum ini, SUV baharu tersebut diberikan muka yang berbeza dari model-model terkini Honda. Ia tampil dengan gril berbentuk heksagon seakan model-model dari Ford, bersama lampu hadapan berbentuk trapezoid. Manakala di belakang, ia diberikan lampu berbentuk-L dengan pengaruh dari Acura.

    Di Eropah, seperti barisan model Honda yang lain, SUV baharu ini hanya ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV. Untuk HR-V e:HEV pasaran Eropah sedia ada, ia dijana oleh unit rangkaian kuasa i-MMD yang menggandingkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 107 PS/131 Nm yang pada kebanyakkan masa hanya mengecas bateri litihium-ion, bersama motor elektrik berkuasa 131 PS/253 Nm yang memacu roda hadapan.

    Model SUV baharu yang lebih besar ini mungkin akan berkongsi unit rangkaian kuasa i-MMD dengan enjin 2.0 liter yang sama dengan Civic e:HEV yang baharu sahaja diperkenalkan. Enjin tersebut masih menampilkan kitaran Atkinson, dan mampu menjana 152 PS, bersama motor elektrik lebih berkuasa menghasilkan 184 PS/315 Nm.

    Honda HR-V pasaran AS adalah model global, guna nama lain untuk cabar Corolla Cross; akan ke M’sia?

    Bagi pasaran Amerika Syarikat pula, HR-V ini mungkin akan menerima pilihan enjin yang sama dengan Civic iaitu unit 2.0 liter NA i-VTEC berkuasa 152 PS/187 Nm, dan juga enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 182 PS/240 Nm. Model hibrid e:HEV juga mungkin akan ditawarkan di sana.

    Apa yang menarik, bukan AS dan Eropah sahaja yang akan menerima SUV segmen-C baharu Honda ini. Portal automotif Jepun Creative Trend dan portal permotoran dari China iaitu Autohome telah menyiarkan imej spyshot model ini yang dirakam dari negara masing-masing, menanda ia bakal dilancarkan di kedua-dua negara tersebut.

    Jadi tak mustahil SUV baharu ini turut akan tiba ke pasaran Asia Tenggara kerana lawannya iaitu Corolla Cross sememangnya ‘lahir’ disini. SUV segmen-B dengan saiz hampir kepada segmen-C berkenaan muncul buat pertama kali untuk peringkat global di Thailand pada 2020, dan kemudian barulah dilancarkan ke pasaran lain termasuk Jepun dan Amerika Syarikat.

    Sekiranya SUV baharu dari Honda ini benar-benar ke pasaran Asia Tenggara, ini bermakna ada harapan cerah untuk SUV saingan Corolla Cross ini turut akan dilancarkan di Malaysia!

     
     
  • Porsche Cayenne CKD – unit pertama sudah keluar dari pusat pemasangan di Kulim, Kedah, dari RM550k

    Porsche Cayenne CKD – unit pertama sudah keluar dari pusat pemasangan di Kulim, Kedah, dari RM550k

    Masihkah anda ingat pengumuman tentang Porsche Cayenne CKD yang kami siarkan tahun lepas? Inilah dia, sekarang unit pemasangan tempatan pertama untuk model tersebut sudah pun keluar dari kilang pemasangan Sime Darby di Kulim, Kedah.

    Ia adalah satu waktu yang bersejarah kerana ini adalah pusat pemasangan pertama Porsche di luar Eropah. Menurut syarikat itu, operasi CKD adalah hanya untuk pasaran tempatan, dan setakat ini hanya model Cayenne sahaja yang berada dalam perancangan.

    Kilang pemasangan ini melibatkan 100% tenaga pekerja Malaysia, yang telah dilatih secara menyeluruh oleh Porsche, dan pengeluaran turut disokong oleh rangkaian pengedar serta penyedia servis tempatan.

    Ahli pengarah pengeluaran dan lojistik Porsche, Albrecht Reimold berkata: “Kilang pemasangan baru di Malaysia menepati keperluan spesifik pasaran, dan beroperasi selari dengan rangkaian pengeluaran Porsche di Eropah. Ia menepati tahap kualiti komprehensif yang telah ditetapkan oleh Porsche apabila memasang kereta sports Porsche.”

    Di atas bumbung kilang ini terdapat panel solar untuk memberikan sumber tenaga tambahan, sementara di atas tanah, terdapat teknologi tuaian air hujan yang dapat membantu mengurangkan pembaziran sumber air.

    Berdasarkan laporan kami sebelum ini, Cayenne CKD akan dijual pada harga bermula RM550k, menjadikan ia sekitar Rm115k lebih murah berbanding model CBU. Kelengkapan standard juga dinaik taraf, iaitu rim 21 inci RS Spyder, sistem bunyi Bose, tempat duduk larasan kuasa 14 arah dengan fungsi memori serta Park Assist dengan pandangan hadapan, belakang serta keliling. Sebelum ini, semua kelengkapan tersebut disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Ia juga datang dengan lampu utama LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu belakang LED, pendingin harga empat zon, Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sesentuh 12 inci, servis Porsche Connect, sambungan Apple CarPlay, Porsche Advanced Cockpit, roda stereng sport, pedal penukar gear di stereng, konsol tengah dengan Direct Touch Control serta Comfort Access.

    Selain daripada itu, terdapat pelbagai lagi pilihan tambahan daripada Porsche Exclusive Manufaktur serta aksesori Tequipment. SUV ini digerakkan oleh enin petrol V6 turbo 3.0 liter, dengan kemampuan 340 PS pada 5,300 hingga 6,400 rpm, dan 540 Nm tork dari 1,340 hingga 5,300 rpm. Transmisi menggunakan unit automatik Tiptronic S lapan kelajuan, menghantar kuasa kepada semua tayar melalui sistem AWD aktif.

     
     
  • Mazda CX-3 pasaran Malaysia dinaik taraf – terima skrin sesentuh lapan inci, pengecas Qi, harga RM132k

    Mazda CX-3 pasaran Malaysia dinaik taraf – terima skrin sesentuh lapan inci, pengecas Qi, harga RM132k

    Selain pengenalan varian Ignite Edition untuk Mazda 3 dan CX-30, Bermaz Motor juga telah melancarkan CX-3 versi dinaik taraf untuk pasaran Malaysia. Beberapa perubahan diberi kepada crossover segmen B yang diimport sepenuhnya (CBU) ini, dan harganya juga meningkat sedikit.

    Sama seperti sebelum ini, hanya satu varian ditawarkan bagi model ini, iaitu 2.0L High, dan sekarang ia dijual pada harga RM131,929 tidak termasuk insurans. Harga ini adalah termasuk pengecualian cukai bagi kenderaan CBU sebanyak 50%, dan lebih tinggi RM1,200 berbanding harga yang dikeluarkan pada tahun 2021.

    Antara ciri baru bagi model tahun 2022 ini adalah pengecas Qi tanpa wayar serta skrin sesentuh lapan inci – satu inci lebih besar berbanding sebelum ini. Skrin ini terus disambungkan kepada sistem infotainmen Mazda Connect, yang kini boleh digunakan secara tanpa wayar untuk Android Auto dan Apple CarPlay.

    Mazda CX-3 pasaran Malaysia dinaik taraf – terima skrin sesentuh lapan inci, pengecas Qi, harga RM132k

    Selain daripada bahagian yang dinyatakan di atas, semuanya masih sama pada CX-3 ini, dengan ciri standard seperti rim 18 inci dengan tayar 215/50, lampu LED (lampu utama automatik, DRL, lampu kabus dan lampu belakang), pengelap cermin automatik, sistem masuk tanpa kunci, bumbung suria, lapan pengesan jarak serta kamera undur.

    Di dalam, ia menerima balutan kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori, panel instrumen TFT LCD 4.6 inci, head-up display, pengawal suhu automatik satu zon, enam pembesar suara serta pedal penukar gear di stereng.

    Pakej i-Activsense terus diberi sekali pada model ini, dan ia termasuk High Beam Control (HBC), Lane Departure Warning System (LDWS), Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support (SCBS), Blind Spot Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).


    Klik untuk besarkan

    Sistem keselamatan pasif pula termasuk enam beg udara, ABS, Dynamic Stability Control, EBD, Brake Assist, Traction Control, Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, amaran tali pinggang serta cagak Isofix.

    Penggerak juga masih menggunakan enjin empat silinder NA 2.0 liter SkyActiv-G yang mampu menghasilkan 154 hp pada 6,000 rpm dan 206 Nm tork pada 2,800 rpm, untuk dihantar kepada roda hadapan melalui transmisi automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan. Kenderaan ini juga dilengkapi dengan i-Stop dan G-Vectoring Control (GVC).

    Setiap pembelian CX-3 2022 datang dengan jaminan lima tahun, 100,000 km berserta pakej penyelenggaran percuma. Ia ditawarkan dalam warna Soul Red Crystal, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Machine Grey, Polymetal Grey dan Platinum Quartz.

     
     
  • Mazda 3 Ignite Edition dilancar di Malaysia – RM165k

    Mazda 3 Ignite Edition dilancar di Malaysia – RM165k

    Bermaz Motor baru sahaja memperkenalkan Mazda 3 Ignite Edition 2022 untuk pasaran Malaysia. Ia menggunakan asas daripada varian 2.0L Hatchback High Plus paling tinggi, dan menjadi satu-satunya model CBU dari Jepun, dijual pada harga RM164,679. Harga ini adalah RM9k lebih tinggi berbanding model yang digunakannya sebagai asas.

    Dengan harga ini, pembeli juga akan menerima jaminan pengilang selama lima tahun bersama penyelenggaraan percuma lima tahun (termasuk upah, alat ganti dan minyak). Kedua-duanya juga terhad kepada lima tahun atau had batuan 100,000 km, yang mana tiba dahulu.

    Keistimewaan model ini adalah ia menggunakan cermin sisi warna hitam, rim metalik 18 inci, tempat duduk kulit warna Burgundy dan sistem kamera 360 darjah. Tujuh warna luar disediakan untuk model ini, iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey, Jet Black, Snowflake White Pearl, Polymetal Grey, Deep Crystal Blue (Hatchback sahaja) dan yang baru, Platinum Quartz.

    Pada aspek keselamatan, pakej i-Activsense pada model ini dinaik taraf dengan Front Cross Traffic Alert (FCTA) dan Cruising & Traffic Support (CTS), manakala sistem Driver Attention Alert (DAA) pula kini hadir dengan Driver Monitoring.

    Ciri lain yang disediakan adalah Adaptive Front-lighting System (AFS), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS), Lane Keep Assist System (LAS), Smart Brake Support (SBS – AEB depan dan belakang), High Beam Control (HBC) serta Mazda Radar Cruise Control (MRCC)

    Tiada perubahan lain yang dibuat, bermakna enjin empat silinder 2.0 liter SkyActiv-G padanya masih lagi menghasilkan 162 hp dan 213 Nm tork, dengan kuasa dihantar ke roda hadapan melalui kotak gear automatik enam kelajuan.