Walau pun sudah empat tahun dilancarkan di Malaysia, baru-baru ini Mitsubishi Outlander telah menjalani ujian pelanggaran oleh ASEAN NCAP. Hasil ujian tersebut, SUV tujuh-tempat duduk ini telah diberikan penarafan lima-bintang, seperti mana model plug-in hybrid yang turut menerima keputusan yang sama pada tahun lepas.
Unit khas, yang dipasang dan dijual di Vietnam ini, menerima keseluruhan markah sebanyak 83.54% berbanding Outlander PHEV yang dipasang di Jepun dengan 86.75%. Walau pun jurang markah tidak jauh, ia menerima 33.06 mata daripada 36 mata untuk pelindungan penumpang dewasa (AOP), 40.48 mata daripada 49 mata untuk pelindungan penumpang kanak-kanak (COP) dan 12.21 mata daripada 18 mata bagi teknologi bantuan keselamatan (SAT).
Outlander untuk pasaran Vietnam itu turut diberikan sistem bantuan pemandu termasuklah brek kecemasan sendiri, pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang, yang menambahkan mata dalam markah SAT. Sayangnya, tiada satu pun ciri tersebut ditawarkan untuk Outlander pasaran Malaysia.
“ASEAN NCAP sangat berbangga dengan Mitsubishi Outlander, bagi model bukan-hibrid, yang mencapai penarafan lima-bintang ini, lebih kurang sama dengan model PHEV yang diuji pada tahun 2019,” ujar Ketua Pengarah MIROS, Khairil Anwar Abu Kassim, yang juga merupakan setiausaha agong dan pemangku pengerusi bagi ASEAN NCAP.
Sambungnya lagi, “Kami gembira kerana Mitsubishi telah mempertimbangkan untuk menawarkan pilihan kepada para pengguna untuk memilih jenis enjin bagi SUV ini tanpa menjejaskan prestasi keselamatannya. Malah kami juga berbesar hati dapat bekerjasama dengan Mitsubishi dan pengeluar kereta lain untuk meningkatkan prestasi keselamatan kenderaan yang dijual di rantau Asia Tenggara.”
GALERI: Mitsubishi Outlander 2.4 4WD CKD di Malaysia
Toyo Tyre Malaysia hari ini telahpun melancarkan tayar baharu, Toyo Proxes CR1 dan juga CR1 SUV pada pasaran tempatan. Pelancaran yang dilakukan secara maya berkenaan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi mereka, dan turut menampilkan Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley.
Menurut Toyo, tayar siri baharu ini dihasilkan khas untuk kegunaan kereta penumpang biasa dan juga SUV, serta memberikan empat kelebihan utama iaitu senyap, selamat, selesa dan bergred tinggi.
Untuk menjadikan ia senyap, Proxes CR diberikan bahan penyerap bunyi di dalam tayar mampu untuk mengurangkan kadar kebisingan di jalan raya dan mampu untuk meningkatkan keseronokan pemanduan, dakwa Toyo. Selain itu, corak bunga pada tayar ini juga menampilkan ciri Out-In Different pitch arrangement, bersama lapisan perlindungan kebisingan yang mampu mengurangkan kadar pelepasan tenaga bunyi yang terhasil di setiap bahagian.
Proxes CR1 juga dikatakan menawarkan ciri yang selamat di mana ia menawarkan prestasi yang unggul ketika berada di jalan basah dan kering. Tayar ini direka dengan corak saliran yang terdiri daripada empat jalur lebar utama, yang membantu pembuangan air dengan cepat dari kawasan sentuhan, bagi memberikan prestasi terbaik pada permukaan basah.
Ia juga menampilkan ciri triple taper & rib bagi membantu menambah baik ketahanan terhadap kehausan bunga dan meningkatkan prestasi dalam keadaan kering. Ciri multi-wave sipe pula membantu menghalang kadar kehausan yang tidak sekata pada sisi tayar, manakala Jointless cap ply diberikan bagi menambah baik prestasi pemanduan pada halaju tinggi.
Untuk keselesaan, Proxes CR1 menampilkan teknologi signatur Toyo iaitu T-Mode dan Nano Balance. Menerusi teknologi ini, ia didakwa menawarkan pemanduan yang lebih lancar dan menyenangkan.
Menurut Toyo lagi, dari segi prestasi secara keseluruhan, Proxes CR1 mampu mengurangkan sehingga 11 peratus kadar bunyi, dan 2 peratus pengurangan kesan aquaplaning, sekaligus meningkatkan prestasi di atas permukaan basah jika dibandingkan dengan model terdahulu, Nano Energy 3. Selain daripada itu, Proxes CR1 turut mempunyai kadar rintangan golekan yang lebih rendah yang menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih baik.
“Tayar Toyo Proxes CR1 adalah sangat ideal untuk digunakan pada kedua-dua kenderaan Jepun dan Eropah, khususnya kereta dan SUV antara segmen A sehingga segmen D,” kata Tan Song Chye, Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd.
“Hasil daripada penggunaan teknologi termaju Jepun, Proxes CR1 pasti dapat memenuhi keperluan pemandu terutama bagi mereka yang menghargai tayar yang menawarkan prestasi unggul dan beraksi secara konsisten dalam kelajuan tinggi, baik di atas kondisi jalan basah dan kering. Ia turut menawarkan ciri keselamatan, penggunaan bahan api yang lebih efisien dan pengurangan bunyi bising yang menyumbang kepada keseronokan pemanduan yang lebih baik,” tambahnya lagi.
Tengku Djan Ley hadir bukan sekadar menjadi tetamu, pelumba drift professional Malaysia itu sempat menguji sendiri tayar Proxes CR1 ini pada kereta Mercedes-Benz C230 beliau dan berkongsi maklum balasnya terhadap tayar berkenaan. Menurut beliau, tayar CR1 ini menawarkan pemanduan yang selesa dan selamat untuk lebuhraya dan jalan biasa, selain merasakan kadar bunyi bising yang terhasil adalah minimum.
Tayar Proxes CR1 untuk kereta penumpang boleh didapati dalam 36 saiz bermula dari untuk rim berdiameter 14 inci hingga 18 inci, manakala tayar Proxes CR1 SUV terdapat dalam sembilan saiz untuk rim berdiameter 17 hingga 19 inci. Harga jualan untuk tayar kereta Proxes CR1 bermula dari RM160 hingga RM440, manakala tayar SUV Proxes CR1 pula bermula dari RM380 hingga RM580 bergantung kepada saiz tayar yang dipilih.
Tayar Toyo Proxes CR1 ini boleh didapati di Pusat Tayar Toyo, dan Pusat Tayar Silverstone di seluruh negara. Bersempena dengan pelancaran tayar baharu Proxes CR1, para pengguna yang membeli satu set tayar Proxes CR1 akan menerima hadiah percuma berupa payung edisi terhad Proxes CR1 sementara stok masih ada.
Drift King Malaysia Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel turut akan membuat penampilan istimewa ketika pelancaran tersebut berlangsung, dan beliau akan berkongsi maklum balas peribadinya terhadap tayar Toyo Proxes CR1 berkenaan, yang telah dipasang pada Mercedes-Benz C 230 dan telah dipandu uji di tempat letak kereta Pusat Konvensyen Setia City baru-baru ini.
Selain dari input yang diberikan oleh pemandu profesional ini, acara pelancaran maya interaktif tersebut turut akan menawarkan hadiah untuk pemenang bertuah. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk set tayar Toyo Proxes CR1 ini sendiri dan juga 50 kad minyak Petronas yang masing-masing bernilai RM20.
Apa yang perlu anda lakukan adalah menjawab 5 soalan pada video pelancaran. Setelah anda mendapat jawapan, pergi ke laman Toyo Tyres Malaysia dan hantar jawapan anda dalam hanya satu komen di sana. Pemenang akan dipilih secara rawak.
Modenas baru sahaja melancarkan Elegan 250 2021, yang menerima beberapa peningkatan dan dijual pada harga RM15,315 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km dan pembeli mempunyai dua pilihan warna iaitu Satin Matte Red dan Satin Matte Black.
Elegan 250 yang menggunakan asas daripada Kymco X-Town 250i ini diperkenalkan kali pertama pada tahun 2016, dan peningkatan utama yang diberikan pada model baru ini adalah pada bahagian brek, di mana ia sekarang datang dengan sistem ABS two channel. Kelengkapan brek itu sendiri terdiri daripada set cakera 260 mm di hadapan dan cakera 240 mm di belakang.
Penampilan serta panel badan skuter ini masih lagi sama, tetapi ia dipertingkat dengan lampu jenis projector serta DRL LED. Lampu belakang masih lagi menggunakan LED seperti sebelum ini dan menampilkan pencahayaan unik berbentuk X.
Selain daripada perkara yang dinyatakan di atas, kelengkapan Elegan 250 ABS ini masih sama seperti sebelumnya, termasuklah enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 249.1 cc yang mampu menghasilkan kuasa 22.1 hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm.
Sebagai sebuah skuter, ia menawarkan pelbagai kemudahan yang termasuk ruang simpanan barang luas di bawah tempat duduk, pengecas USB di dalam glovebox serta panel meter gabungan analog dan digital yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk kelajuan, tahap rpm, jarak perjalanan, kuasa bateri dan peringatan servis.
Tradisi Ducati memperkenalkan versi edisi terhad untuk jentera berprestasi tinggi mereka diteruskan lagi dengan pengenalan Panigale V4 SP 2021. Ia hanya akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, dengan nombor keluarannya diukir atas bahagian triple clamp.
Model yang menggantikan V4 R ini juga didatangkan dengan pelbagai peningkatan, bermula pada bahagian rim, yang menggunakan unit gentian karbon 1.4 kg lebih ringan. Kemudiannya, superbike ini juga menggunakan warna khas Ducati Winter Test yang terdiri daripada warna hitam matte, jalur merah serta kemasan brushed aluminium pada tangki.
Angkup Brembo Stylema R jenis radial digunakan pada brek hadapan, bersama master cylinder brek dan klac Brembo MCS yang boleh bleeding sendiri demi memastikan prestasi yang terbaik waktu penggunaan agresif. Enjin V4 Desmosedici Stradale 1,103 cc yang berkuasa 214 hp pada 13,00 rpm dan 124 Nm tork pada 9,500 rpm pada Panigale V4 SP ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan serta klac kering STM-EVO SBK dan juga quickshifter DQS EVO 2.
Kelengkapan prestasi lain yang digunakan pada model ini adalah termasuk peletak kaki boleh laras yang dibuat daripada aluminium billet, serta penggunaan gentian karbon pada sayap tepi, pelindung klac jenis terbuka serta mudguard hadapan. Turut diberi adalah penutup untuk tempat meletak nombor plet serta tapak cermin sisi, sementara modul Ducati Data Analyzer+ dengan fungsi GPS pula disediakan sebagai pilihan tambahan.
Suspensi Panigale V4 SP menggunakan unit daripada Ohlins, dengan fork NIX-30 di hadapan, monoshock TTX36 di belakang dan damper yang semuanya boleh dikawal secara elektronik melalui sistem Ohlins Smart EC 2.0. Berat keseluruhan model ini adalah 194 kg dan ia cuma datang dengan satu tempat duduk kerana cuma boleh digunakan di dalam litar.
Senarai panjang sistem elektronik Panigale V4 SP kini ditambah dengan satu lagi mod tunggangan iaitu Race. Ia membenarkan penunggang menyimpan dan memilih dua pemetaan enjin serta tetapan suspensi – Race A dan Race B – sekaligus memudahkan penggunaan di dalam litar.
Lexus RC 2021 telah pun diberikan peningkatan untuk pasaran Australia dengan beberapa ciri yang dikemaskini. Antara peningkatan yang dilakukan ialah melibatkan perician kawalan adaptif baharu untuk kotak gear automatik Sports Direct Shift lapan-kelajuan, yang berkeupayaan membuatkan pertukaran gear menjadi lebih “aktif dan tegar” untuk mod pemanduan Sport dan Sport S+.
Lexus berkata, sistem ini mengesan aktiviti pemanduan sama ada mod Sport atau Sport S+, jadi kawalan adaptif akan memilih gear yang rendah sewaktu membrek. Dalam mod Normal, ia akan menahan gear rendah yang lebih lama untuk kawalan dan respons yang lebih baik.
Kini, kedua-dua varian RC 300 dan RC 350 juga akan menerima palang penstabilan belakang yang lebih panjang untuk mengurangkan ketebalan lapisan bahagian tersebut, termasuk juga dengan menampilkan upper arm aluminium serba baharu. Bagi pengendaliannya, ia telah ditambah baik sedikit. Larasan dua topang wishbone dengan penyerap hentak prestasi di bahagian hadapan dikekalkan. Brek parkir kaki kini telah ditukar ke unit brek parkir elektronik.
Selain itu, Lexus turut memperkenalkan Kawalan Kelajuan Aktif Radar baharu untuk semua-kelajuan bagi barisan RC 300 2021, ini termasuklah pendikitan dan brek sendiri (terus berhenti ketika dalam trafik). Ia juga didatangkan dengan Lexus Safety System+, yang menampilkan sistem keselamatan pra-pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki, lampu tinggi automatik dan amaran ketibaan lorong dengan bantuan stereng.
Akhir sekali, dua warna baharu juga telah diberikan iaitu Sonic Chrome dan Celestial Blue. Ia melengkapkan warna sedia ada termasuklah White Nova, Sonic Quartz, Titanium, Onyx, Graphite Black, Infrared, Zinnia Yellow,dan Cobalt Mica. Kesemuanya didatangkan dengan penambahan harga sekitar dollar Australia $100 (RM299).
Untuk bahagian enjin, tiada perubahan dilakukan, jadi RC 300 masih dijanakan oleh unit 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, yang memberikan hamburan kuasa sehingga 245 PS dan tork 350 Nm. Sementara itu, bagi RC 350 pula, ia masih diberikan enjin 3.5 liter V6 naturally-aspirated dengan kuasa 315 PS dan tork 380 Nm. Kedua-dua varian juga menerima kemasan Luxury atau F Sport, dengan beberapa pek penambahbaikan.
Walaupun banyak model-model kenderaan yang maju dan beprestasi tinggi, jarang sebenarnya ada satu kereta yang membuatkan kita terpaut erat secara emosi. Kita mungkin kagun terhadapnya, tetapi belum tentu kita akan menginginkannya.
Untuk saya, setidak-tidaknya dalam jangka waktu tahun 2020 ini, Toyota GR Supra A90 meninggalkan kesan yang agak berlainan. Dan semua itu dibahaskan dalam video ini. Yang ditampilkan ialah model dari tahun 2019, tentunya. Tetapi bagi tahun 2020 ini, ada peningkatan yang telah diberikan kepadanya.
Antaranya, peningkatan berkenaan tertumpu kepada enjin enam-silinder turbocas yang digunakan, dengan kini menghasilkan 285 kW (388 PS) kuasa antara 5,800 dan 6,500 rpm; peningkatan sebanyak 14% dari sebelumnya. Tork maksimum pula kekal pada angka 500 Nm, tetapi dicapai pada julat yang lebih luas antara 1,800 rpm – 5,000 rpm berbanding 1,600 rpm – 4,500 rpm sebelum ini.
Meningkatkan output kuasa ini tidak hanya melalui talaan semula, tetapi turut melibatkan penambahan manifold ekzos dua cabang utama dengan enam port (berbanding hanya dua), bertujuan memperbaiki pengurusan haba enjin.
Rekaan piston baru juga mengurangkan nisbah mampatan enjin daripada 11:1 kepada 10.2:1. Enjin yang dipertingkat dengan julat tork yang lebih tinggi ini mengekalkan keupayaan rev yang tinggi dengan kelancaran optimum. Dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF sebagai standard, tempoh pecutan 0-100 km/j kini menjadi 4.1 saat, berbanding 4.3 saat sebelum ini.
Cukup setakat ini. Apa yang ingin disampaikan semua sudah disentuh dalam video berkenaan. Silakan menonton.
Baru sahaja dilancarkan lebih sebulan lalu, Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan bahawa angka tempahan untuk model generasi baharu sedan segmen-B, City 2020 kini sudah pun mencapai hampir 9,000 unit, manakala 2,400 pelanggan sudah pun menerima kereta baharu mereka.
Menurut syarikat berkenaan, varian tertinggi untuk model janaan petrol sepenuhnya iaitu City 1.5L V menjadi varian paling popular, dengan menjadi pilihan 54% pelanggan dari angka keseluruhan yang ditempah tersebut.
Kebanyakkan tempahan pula diterima dari pelanggan bahagian tengah Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 44%, diikuti Utara tanah air sebanyak 22% dan bahagian Selatan dengan 22%. Untuk warna pula, majoriti pelanggan memilih warna Platinum White Pearl, mewakili 28% dari jumlah keseluruhan tempahan.
Menurut pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, model generasi kelima Honda City ini diterima baik dalam pasaran berdasarkan tempahan yang naik sehingga 80% dalam bulan pertama selepas pelancaran rasminya. Beliau juga berterima kasih kepada pelanggan Honda di Malaysia kerana sokongan berterusan yang diberikan serta memberikan maklum balas yang positif terhadap model ini.
Honda City generasi baharu ini ditawarkan dalam empat varian iaitu tiga varian dijana enjin petrol sepenuhnya, manakala varian RS e:HEV yang menjadi City pertama di dunia yang dijana oleh sistem hibrid i-MMD hanya akan masuk kepasaran pada awal tahun hadapan.
Buat masa sekarang, Honda City 2020 dijual pada pasaran Malaysia bermula RM74,191 untuk varian asas S, RM81,664 untuk varian E dan RM86,664 untuk varian V – kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran, serta dengan pengecualian cukai jualan 2020.
Model generasi terkini ini masih dijana enjin 1.5 liter NA, namun telah dikemaskini dengan kepala silinder DOHC i-VTEC berbanding SOHC sebelum ini, menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.
Untuk lebih perincian berkenaan harga, spesifikasi setiap varian serta pelbagai lagi informasi untuk Honda City generasi kelima ini, anda boleh baca laporan-laporan yang telah kami sediakan sebelum ini pada pautan di bawah:
Yamaha Indonesia telah menyiarkan satu video teaser dalam laman media sosial mereka, yang membuatkan ramai tertanya-tanya. Apa yang boleh dilihat cuma garis luar bahagian depan motosikal itu, berserta slogan “Don’t miss the evolution bro!”
Setakat ini tidak siapa yang pasti model apakah yang mahu diperkenalkan oleh Yamaha pada 21 November ini, kecuali mereka sendiri, tetapi kita boleh melihat bentuk itu sangat mirip dengan skuter NMax. Mungkinkah setakat warna baru, versi edisi khas ataupun sesuatu yang serba baru?
Tidak mungkin ia adalah model NMax serba baru kerana skuter ini baru sahaja mengalami perubahan besar hujung tahun lepas. Malah, ia juga masih belum tiba di negara kita. Bukan setakat penampilan sahaja yang baru, NMax 2020 juga diberikan pelbagai kelengkapan canggih termasuk sistem sambungan Y-Connect serta kawalan cengkaman.
Perkataan evolusi yang digunakan juga perlu diambil kira, dan ada yang membuat andaian Yamaha akan memperkenalkan NMax versi hibrid. Untuk NMax, setakat ini memang tiada versi hibrid tetapi Yamaha sudah menggunakannya pada motosikal produksi semasa seperti Filano Hybrid yang dipasarkan di Thailand.
Enjin Filano Hybrid ini adalah lebih kecil, iaitu 125 cc tetapi ia datang dengan starter generator yang boleh memberikan tambahan kuasa sewaktu mula memecut dan membantu penjimatan bahan api. Apa pun yang kita jangka, jawapannya cuma akan diketahui apabila Yamaha mendedahkan model baru ini 21 November nanti.
Sportsbike Ducati yang direka untuk menjadi lebih selesa dan sesuai digunakan hari-hari iaitu Supersport 950 telah diberikan naik taraf untuk tahun 2021, dengan yang paling utama adalah pada bahagian panel badan, demi mengurangkan rasa panas kepada penunggang.
Rupanya sekarang lebih hampir kepada Panigale dengan lampu jenis LED dan DRL, panel tepi yang lebih panjang dan menutupi bahagian tengah ekzos, serta tambahan sirip udara pada panel tepi. Menurut Ducati, rekaan ini mengambil penting aspek pengurusan haba dan memberikan udara yang lebih sejuk kepada kaki penunggang. Penghadang angin di hadapan pula boleh dilaras dalam dua kedudukan.
Enjin masih lagi sama, iaitu unit V-twin Testastretta 11 937 cc tetapi sedikit perubahan dibuat pada bahagian kemasukan udara dan ekzos demi menjadikannya menepati tahap emisi Euro 5. Kuasa tidak berubah dan masih lagi 110 hp pada 9,000 rpm dan 93 Nm tork pada 6,500 rpm.
Supersport ditawarkan dalam dua versi iaitu versi asas Supersport 950 dan di atasnya terdapat Supersport 950 S. Beza utama antara dua model ini adalah suspensi, di mana Supersport 950 menggunakan fork Marzocchi 43 mm yang boleh dilaras sepenuhnya bersama monoshock Sachs dengan pelarasan pra beban serta lantunan, sementara Supersport 950 S mendapat fork Ohlins 48 mm yang boleh dilaras sepenuhnya serta monoshock Ohlins.
Bahagian brek tidak berubah, di mana Supersport 2021 masih lagi menggunakan cakera berkembar 320 mm serta angkup Brembo M4.32 di hadapan, dan cakera 245 mm serta angkup dua piston di belakang. Sistem Cornering ABS oleh Bosch diberikan secara standard.
Pada bahagian kokpit, panel paparan LCD sebelum ini telah diganti dengan unit TFT-LCD berwarna penuh yang boleh disambungkan kepada pelbagai multimedia sekiranya pemilik mendapatkan kit Ducati Multimedia System yang dijual secara berasingan.
Sistem bantuan penunggang pada motosikal ini dikawal oleh unit pengukur inertia (IMU), termasuklah fungsi Traction Control serta Wheelie Control, dan ia juga disediakan dengan tiga mod tunggangan serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.
Tinggi tempat duduk standard untuk Supersport 950 adalah 801 mm dan tempat duduk yang lebih rendah, iaitu 790 mm disediakan sebagai pilihan sekiranya pemilik mahu. Bentuk tempat duduk ini juga telah diubah supaya menjadi lebih selesa.
Berat keseluruhan Supersport 950 masih tidak berubah, iaitu 210 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 16 liter. Pilihan warna yang diberikan untuk Supersport 950 cuma ada satu, iaitu Ducati Red sementara Supersport 950 S pula boleh dipilih dalam warna Ducati Red ataupun Artic White Silk.
Di India, segment kenderaan dengan panjang di bawah empat meter sangat sengit saingannya. Ini kerana kadar duti eksais yang dikenakan oleh kerajaan terhadapnya. Maka, banyaklah pengeluar memanfaatkan hal itu dan cuba memenangi hati pelanggan.
Dengan populariti SUV yang kian diterima, segmen berkenaan menyaksikan beberapa calon. Ini termasuk Maruti Suzuki Vitara Brezza, Hyundai Venue, Mahindra XUV300, Honda WR-V, Tata Nexon, Ford EcoSport, Kia Sonet, Toyota Urban Cruiser serta Nissan Magnite yang akan datang.
Renault juga tidak asing lagi bagi segmen ini, kerana jenama itu ada tawarkan model Kwid dan Triber di India. Senarai model ini dijangka akan ditambah dengan sebuah lagi model yang dipanggil Kiger, yang mana SUV kompak berkenaan kini mula ditunjukkan dalam bentuk rekaan konsep.
Menurut Renault, versi produksinya nanti akan 80% sama seperti konsep yang ditunjukkan ini. Dari segi rekaan, Kiger merupakan kerjasama antara pasukan pereka di Perancis dan India, dan disifatkan mempunyai penampilan “yang menarik yang menangkap imaginasi dan minda”. Sekilas pandang, model ini ada iras K-ZE dan Dacia Spring Electric yang pernah ditunjukkan sebelum ini.
Di depan, wajahnya sinonim dengan rekaan pada model-model lain Renault ketika ini, dengan lampu DRL LED yang disambung dengan jalur lampu di tengah. Gril agak kecil, dengan elemen seakan sayap, sementara apron bawah yang bersegi menempatkan lampu utama serta apa yang kelihatan seperti corong bukaan udara.
Gelembung bahagian bonet dilanjutkan juga ke fender, dengan elemen hiasan padanya. Dari sisi, rekaan konsep ini nampak kukuh dengan garis bahu yang ditarik dari bahagian depan ke belakang. Cat dua tona yang digunakan menjadikan bahagian bumbung “floating roof” seolah terpisah daripada badan.
Untuk menambah sisi rugged kereta ini, pelapik keliling kawasan tayar diberikan, begitu juga dengan tambahan landasan pada bumbung. Ia menggunakan rim 19-inci, dengan jarak kelegaan tanah 210 mm. Di belakang, lampu bentuk C digunakan.
Tiada gambara untuk bahagian dalam didedahkan setakat ini. Ia akan menggunakan platform Renault CMF-A+, yang turut digunakan oleh Triber dan Nissan Magnite. Sama juga dengan perincian bagi sistem jana kuasa Kiger ini, masih belum diketahui. Namun, melihat kepada penggunaan platformnya, ia dijangka sama dengan unit kuasa Nissan Magnite.
Model Nissan itu ditawarkan dengan dua pilihan enjin; 1.0 liter NA tiga-silinder petrol dengan output 71 hp/96 Nm, serta versi turbo dengan 99 hp/160 Nm. Kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT diberi sebagai pilihan. Kiger dijangka akan diperkenalkan di India pada suku pertama tahun depan sebelum dipasarkan ke negara lain pula.
Pada Tokyo Motor Show 2011, peminat jentera-jentera JDM menerima apa yang mereka tunggu sejak sekian lama iaitu model kelahiran semula Toyota Corolla AE86, dikenali sebagai Toyota 86. Dan seperti yang diketahui, pembangunan kereta sport berkenaan bukanlah hasil kerja bersendirian dari Toyota kerana platform dan juga enjin model tersebut adalah dari rakan usahasamanya iaitu Subaru, yang turut memperkenalkan ’86’ versinya sendiri dikenali sebagai Subaru BRZ.
Konsep penghasilan versi generasi baharu ini masih lagi sama seperti dulu; ia adalah kereta sport dua pintu, tanpa kuasa yang besar, di mana keseronokan memandunya disumbangkan dari karekter pengendalian yang dihasilkan dari enjin boxer dengan titik graviti rendah, memacu hanya roda belakang serta dengan badan yang ringan.
Menurut Subaru sendiri, BRZ generasi kedua ini disifatkan sebagai kereta yang “lebih mengujakan, lebih keseronokan pacuan roda belakang, dan lebih semuanya untuk mereka yang serius sukakan apa sahaja berkenaan BRZ.”
Untuk model generasi sebelumnya, rata-rata peminat BRZ (dan juga Toyota 86) mempunyai pendapat yang sama iaitu ia perlu lebih kuasa. Jadi Subaru berikan apa yang mereka mahu pada model baharu ini, namun bukan dengan pengecas turbo, sebaliknya BRZ kini menerima enjin NA dengan kapasiti lebih besar.
Enjin boxer empat-silinder dari siri FA masih lagi digunakan, tetapi ia dalam versi 2.4 liter yang menghasilkan 228 hp pada takat 7,000 rpm, serta tork maksima 249 Nm yang boleh dicapai pada takat 3,700 rpm. Kapasiti yang lebih besar ini sudah tentu melibatkan perubahan pada dimensi omboh, di mana ia kini bukan lagi sebuah enjin jenis square; ukuran bore naik dari 86 mm kepada 96 mm, manakala lejang masih kekal 86 mm menjadikan ia sebuah enjin under-square.
Nisbah mampatan juga kini lebih tinggi dengan meningkat dari 12.5:1 kepada 13.5:1. Maka tidak hairanlah bukan sahaja angka kuasa kuda dan tork naik, malah bacaan puncak untuk kedua-duanya juga dapat dicapai pada takat rpm yang lebih rendah.
Sistem suntikan bahan api berkembar port dan juga terus D4S dari Toyota masih digunakan pada enjin ini, bersama sistem Dual Active Valve Control System (DAVCS) bagi mengawal pemasaan bukaan injap kemasukan dan ekzos. Ia masih digandingkan dengan pilihan dua jenis kotak gear enam-kelajuan sama ada manual atau automatik, manakala LSD jenis Torsen pada gandar belakang kini standard untuk semua model iaitu Premium dan Limited.
Platform untuk BRZ ini pula dihasilkan berdasarkan platform generasi pertama yang ditingkat taraf, seperti yang diketahui ia adalah berasal dari platform Subaru Impreza. Jadi khabar angin yang mengatakan model generasi baharu ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) adalah kekal sebagai khabar angin.
Walau bagaimanapun, platform baharu ini menerima pelbagai elemen dari Subaru Global Platform yang baru. Jadi, ia kini menampilkan ketegaran torsi 50% lebih tinggi menerusi sistem cagak casis yang diperkuat. Secara keseluruhan, model baharu ini adalah lebih panjang dengan ukuran 4,265 mm (+30mm), jarak roda sedikit lebih panjang pada 2,576 mm dan ia kini sedikit lebih rendah pada 1,311 mm (-1 mm). Lebarnya pula tidak berubah dengan dimensi 1,775 mm.
Dengan saiz badan dan kapasiti enjin yang sedikit lebih besar ini turut membuat BRZ generasi kedua sedikit lebih berat. Berdasarkan varian kemasan, ia ditimbang dengan berat 1,277-1,286 kg untuk model manual dan 1,299-1,307 kg untuk model automatik – namun sebagai sebuah kereta sport, julat jisim ini masih dalam kategori ringan.
Secara asasnya, konfigurasi suspensi untuk casis ini juga masih sama iaitu Topang McPherson di hadapan, dan juga double wishbone di belakang. Ia juga masih menggunakan penyerap hentak jenis pasif. Ketegaran lentur sisi kini 60% lebih keras dari sebelum ini bagi memberikan respon dan juga turn-in ketika masuk ke selekoh yang lebih bagus.
Untuk roda pula, model Premium hadir dengan rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar bersaiz 215/45R17, manakala model Limited dibekalkan dengan rim 18-inci 10-jejari dengan dibaluti tayar bersaiz 215/40R18. Dengan kuasa yang lebih besar, BRZ tidak lagi diberikan tayar ‘eco’ bagi menyenangkan ia menggelangsar, tetapi kali ini ia terus menerima tayar prestasi Michelin Pilot Sport 4 pada rim 18-inci tersebut.
Bentuk asas Subaru BRZ generasi kedua ini masih kekal seperti model generasi sebelumnya, tetapi diberikan perubahan drastik pada muka dan bahagian belakang. Muka model ini diberikan lampu hadapan berbentuk seperti air mata yang nampak lebih ‘gemuk’, bersama jalur lampu nyalaan siang LED berbentuk-C di dalamnya (yang turut berfungsi sebagai lampu isyarat membelok).
Manakala pada bampar, ia direka dengan gril bawah yang besar seperti mulut, dan udara ‘dikaut’ menerusi liang udara sisi dengan kemasan berbentuk-L. Bonet hadapan juga menerima rekaan yang menampakkan BRZ ini lebih gemuk, dan ia seakan bersambung dengan rekaan ‘double bubble‘ pada bumbung seperti model generasi pertama.
Pada bahagian sisi, tiada lagi liang udara kecil pada sebelah atas fender hadapan, tetapi digantikan dengan liang lebih besar pada sebelah bawah yang kelihatan seperti mengalirkan udara keluar dari ruang roda hadapan. Aliran tersebut juga kelihatan seperti terhubung dengan ‘otot’ pada fender belakang menerusi skirt sisi yang lebar.
Di belakang, nampaknya Subaru telah pun mula menggunakan elemen rekaan yang diserlahkan pada model konsep Subaru Viziv dan Viziv Performance STI yang dikatakan bakal dijelmakan sebagai model produksi WRX generasi seterusnya. Ia menampilkan lampu berbentuk-C, bersama but belakang yang sedia lentik tanpa spoiler, serta kemasan diffuser yang sangat agresif pada bampar dan turut menempatkan dua tip ekzos berbentuk bulat.
Pada bahagian kabin, BRZ diberikan papan pemuka dengan rekaan yang lebih bersegi dari sebelum ini, namun liang penghawa dingin sisi yang bulat dan besar masih dikekalkan. Ia diberikan skrin infotainmen bersaiz lapan-inci, dan panel instrumen juga kini dalam bentuk digital bersaiz tujuh-inci.
Roda stereng pula nampak seperti diambil terus dari BRZ facelift generasi pertama. Manakala suis-suis putar sistem pendingin hawa, suis-suis kawalan lain yang disusun seperti kunci-piano, dan juga tombol gear walaupun menerima rekaan baharu, tetapi asasnya nampak hampir sama seperti model sebelum ini.
Berita baik, kereta sport ini masih dibekalkan dengan brek tangan manual bagi membolehkan anda melakukan lebih banyak aksi berbanding brek parkir elektronik yang hanya berfungsi untuk memastikan kereta dalam keadaan statik semata-mata.
Untuk model varian Limited, ia hadir standard dengan sistem telematik Subaru. Manakala model-model dengan transmisi automatik, BRZ generasi baharu ini turut menampilkan sistem keselamatan bantuan pemanduan Subaru EyeSight.
Subaru BRZ 2022 ini masih akan diproduksi di kilang Subaru yang terletak di wilayah Gunma, Jepun, sama seperti model generasi pertama. Ia akan mula dijual pada pasaran Amerika Syarikat pada awal musim luruh 2021 sebagai model 2022. Model ini tidak lagi akan ditawarkan di Eropah, berkemungkinan kerana standard emisi yang semakin ketat pada benua berkenaan.
Infiniti telah mula menunjukkan SUV baru keluaran syarikat itu, QX55 yang sekali gus menandakan kehadiran semula jenama itu ke dalam segmen crossover-coupe selepas QX70. Sebaik sahaja memasuki pasaran tahun depan, QX55 akan ditawarkan dalam tiga varian; Luxe, Essential dan Sensory.
Rekaan asasnya disandarkan pada model FX yang muncul 17 tahun lalu. Dengan landasan bumbung yang tirus dan spoiler belakang yang sproty, garis bumbung SUV ini adalah sebagai memperingati rekaan lama tersebut, tetapi diberikan sentuhan pembaharuan sesuai dengan dekad ini.
Sentuhan rekaan lainnya juga lebih segar dan moden. Gril dengan ilham dari lipatan origami menjadi cap mohor terbaru bagi kenderaan ini. Lampu utama LED pula hadir dalam rekaan yang lebih kurus, serta elemen pada bonet dengan garisan yang terarah ke bahagian fender depan.
Dari sisi, bentuknya kekal menarik dengan rim 20-inci dan profil tayar 255/45 – saiz tayar standard untuk semua varian. Di belakang, bahagian diffuser menggunakan warna badan, dua muncung ekzos serta rekaan lampu yang khas – setiap satunya terdiri daripada 45 LED.
Setakat pengenalan rasminya ini, Infiniti memaklumkan hanya ada satu sistem janaan kuasa bagi QX55, iaitu unit KR20DDET 2.0 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan sebanyak 268 hp pada 5,600 rpm dan 380 Nm dari 4,400 rpm hingga 4,800 rpm. Ia digandingkan bersama transmisi CVT. Bagi pasaran Amerika Utara, ia turut datang dengan sistem Intelligent All-Wheel-Drive.
Di dalam, kedudukan papan pemukanya agak rendah, menyediakan penglihatan ke luar yang jelas kepada pemandu dan penumpang. Di tengah ialah paparan sistem Infiniti InTouch dengan skrin sentuh terpisah – lapan-inci di atas dan tujuh-inci di bawah – untuk kawalan infotainmen dan kawalan kenderaan.
Kelengkapan standard termasuk kerusi depan “zero gravity” dengan pemanas dan larasan lapan-hala, bumbung gelas kuasa elektrik dan kawalan pendingin hawa dua-zon. Material balutan kerusi terdiri daripada kulit (bergantung pada varian) dengan pilihan tiga warna ruang dalaman Graphite, Stone/Graphite dan Monaco Red/Graphite.
Perincian kemasan juga berbeza mengikut varian. Luxe dan Essential hadir dengan kemasan aluminium gelap pada bahagian panel instrumen dan pintu, manakala Sensory menggunakan kemasan kayu Natural Maple. Varian paling asas datang dengan sistem audio enam-pembesar suara, sementara dua varian yang lebih tinggi dengan 16-pembesar suara Bose Performance.
Pelbagai tenologi sambungan ditawarkan, antaranya sistem InTouch yang menyambung telefon melalui Bluetooth, empat slot USB (satu Type-C dan tiga Type-A), sambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto serta sambungan 4G LTE untuk wifi.
Alat bantu pemanduan pula antaranya tersedia ciri amaran penukaran lorong, amaran perlanggaran hadapan, brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki, peringatan titik buta, bantuan lampu tinggi, amaran lintasan trafik di belakang dan brek belakang automatik.
Lapan warna luaran ditawarkan bagi QX55 ini, iaitu Dynamic Sunstone Red, Slate Gray, Majestic White, Liquid Platinum, Graphite Shadow, Mineral Black, Black Obsidian dan Hermosa Blue. Infiniti QX55 akan mula dijual di pasaran Amerika Utara pada musim bunga tahun depan, disusuli kemudiannya oleh pasaran lain.
Semasa majlis pelancaran MT-25 September lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut membawa model MT-15 tetapi cuma sebagai pengenalan awal dan belum dilancarkan secara rasmi. Kini, harganya sudah ada, iaitu RM11,998 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Warna yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia ada dua iaitu Yamaha Blue dan Ice Fluo – sama seperti yang dipamerkan sebelum ini – dan setiap pembelian akan diberikan kunci cakera brek yang bernilai RM100 serta rantai kunci MT-15 First Edition secara percuma.
MT-15 menggunakan enjin sama seperti R15, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. Penukaran gear juga dijadikan lebih lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper.
Pada bahagian depan, MT-15 menggunakan fork jenis USD manakala di belakang pula adalah monoshock. Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera manakala rim pula adalah 17 inci dengan tayar saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang.
Perincian lain MT-15 adalah termasuk tangki 10.4 liter, pemula enjin elektrik, meter digital, berat 133 kg, lampu depan dan belakang LED, tinggi tempat duduk 810 mm serta jarak dari tanah 155 mm.
Nampaknya usaha pengerusi Geely, Li Shufu yang bersungguh-sungguh dalam mendapatkan saham sebanyak 9.69% dalam Daimler sebelum ini telah pun membuahkan pelbagai hasil – sebelum ini Geely dilaporkan berjaya menandatangani kerjasama untuk membangunkan model-model jenama Smart, dan kini jenama dari China berkenaan bakal menghasilkan enjin hibrid generasi seterusnya bersama gergasi automotif Jerman tersebut.
Menurut laporan dari Reuters, kerjasama ini akan membolehkan Geely dan pemilik jenama Mercedes-Benz berkenaan berkongsi kos pembangunan untuk enjin pembakaran dalaman, bagi mengurangkan impak dari pandemik Covid-19 yang sedang dihadapi dunia, serta mengurangkan kos masing-masing bagi mendapatkan enjin baharu yang boleh memenuhi standard emisi yang semakin ketat.
“Syarikat-syarikat ini merancang untuk membangunkan enjin modular dengan kadar efisien yang tinggi,” kata jurucakap Daimler, dan menambah enjin-enjin tersebut akan dihasilkan di Eropah dan China. Daimler turut menyatakan bahawa walaupun fasiliti mereka di Jerman kini sedang diubah bagi menghasilkan penjana untuk kenderaan elektrik, enjin-enjin pembakaran dalaman masih akan terus diproduksi di disitu.
Berita ini didedahkan oleh akhbar perniagaan Jerman, Handelsblatt semalam dengan memetik dari sumber dari syarikat dan industri yang mengatakan bahawa kebanyakkan enjin akan dibuat di China. Namun berita tersebut tidak diterima baik oleh semua pihak, terutamanya kesatuan sekerja kilang Daimler di Untertuerkheim, yang dikhaskan untuk memasang enjin petrol dan unit penjana elektrik.
“Kami tak mampu untuk berkata apa-apa. Langsung tiada perbincangan berkenaan potensi alternatif untuk lokasi pembuatan,” kata ketua kesatuan berkenaan, Michael Haeberle. “Kami mempunyai keupayaan untuk menghasilkan enjin empat silinder di Untertuerkheim, tetapi tiada langsung perbincangan dibuat,” tambahnya.
Menurut laporan Handelsblatt lagi, penjimatan sebanyak “tiga digit juta euro” bakal dilihat dari kerjasama Geely-Daimler tersebut. Dengan perjanjian kerjasama baharu ini bermakna kerjasama sedia ada antara Daimler dan Renault mungkin akan digugurkan. Namun sumber dari Renault memberitahu Reuters bahawa mereka tidak akan menamatkan kerjasama berkenaan.
Selain Tracer 9, Yamaha juga ada menyediakan model sports touring yang sedikit lebih kecil, iaitu Tracer 700. Bagi model tahun 2021, ia dipanggil sebagai Tracer 7 dan melibatkan beberapa perubahan.
Bagi model asas Tracer 7, kebanyakan spesifikasi masih lagi sama cuma enjin dua silinder DOHC 689 cc Crossplane 2 padanya ditala semula supaya menepati tahap emisi Euro 5. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 72 hp pada 8,750 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan.
Penggerak yang sama (kuasa juga sama) turut digunakan pada Tracer 7 GT, tetapi model ini mendapat kelengkapan berspesifikasi lebih tinggi. Bagi model tahun 2021, Tracer 7 GT dipertingkat dengan penghadang angin lebih tinggi dan lebih lebar di hadapan serta tempat duduk yang lebih selesa (tinggi 840 mm).
Pada bahagian hadapan terdapat cakera brek 282 mm dan fork teleskopik yang boleh dilaras sementara di belakang pula menggunakan cakera 245 mm serta monoshock dengan pelarasan pra beban serta lantunan. Rim bersaiz 17 inci manakala tangki bahan api pula berkapasiti 17 liter.
Kelengkapan lain yang diberikan pada Tracer 7 GT adalah termasuk lampu hadapan LED projector, panel instrumen LCD, ABS dan kotak barangan tepi yang masing-masing berkapasiti 20 liter.
Hanya beberapa minggu selepas Triumph Trident 660 diperkenalkan di United Kingdom, kini model naked terbaru itu dilancarkan pula di negara jiran. Ini bukan sesuatu yang pelik kerana Triumph sememangnya mempunyai kilang yang besar di negara itu untuk mengeluarkan model yang mempunyai permintaan tinggi.
Apa yang menarik untuk kita lihat melalui pengenalan model ini di negara jiran adalah harganya, di mana Trident 660 dijual pada harga 309,000 baht atau bersamaan RM41,833 sekiranya ditukarkan secara terus. Kita sudah tahu ini adalah model Triumph yang disasarkan untuk pengguna yang lebih luas, dengan harga yang mampu milik, tapi apabila dibandingkan dengan model pesaing jenama Jepun, Trident mempunyai harga hampir sama.
Honda CB650R contohnya, dijual di Thailand pada harga 309,060 baht (RM41,833) manakala Yamaha XSR700 pula dijual pada harga 339,000 baht (RM45,886). Jika melihat pula kepada harga model Triumph yang sudah dilancarkan di Malaysia, dalam pasaran Thailand pula, Street Triple RS contohnya dijual pada harga 490,000 baht (RM55,361) sementara harganya di Malaysia adalah RM67,900.
Daripada petunjuk ini, kita boleh menjangka mungkin harga Trident tidak akan menjadi RM42k seperti di pasaran Thailand kerana terdapat kos lain yang perlu dikira untuk membawanya ke Malaysia. Tetapi ia juga masih bergantung kepada Triumph Malaysia kerana jika harganya lebih tinggi, ia akan menjadi lebih mahal berbanding CB650R yang dijual di Malaysia sekarang pada harga RM43,499. Adakah mereka mahu menjadikannya lebih mahal daripada CB650R? Bersama kita nantikan pelancarannya yang dijangka berlaku awal tahun hadapan.
Trident 660 dikuasakan oleh enjin tiga silinder DOHC berkapasiti 660 cc dan mampu menghasilkan kuasa 80 hp pada 10,250 rpm dan 64 Nm tork pada 6,250 rpm. Antara kelengkapan lain padanya adalah seperti suspensi Showa, angkup brek Nissin, pendikit ride by wire, dua mod tunggangan serta panel instrumen TFT digital.
Barisan motosikal kembara keluaran Triumph kini ditambah dengan satu lagi model baru iaitu Tiger 850 Sport. Ini adalah sebuah model yang lebih ringkas, lebih mesra pengguna dan semestinya lebih mampu milik berbanding Tiger 900 yang berada di atasnya.
Penggerak Tiger 850 Sport masih lagi adalah sama seperti Tiger 900, iaitu enjin tiga silinder DOHC 888 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan, tetapi kuasanya dikurangkan menjadi 85 PS pada 8,500 rpm dan 81 Nm tork pada 6,500 rpm (Tiger 900 berkuasa 93.9 hp dan 87 Nm tork).
Walaupun sudah mempunyai Tiger 900 GT sebagai sebuah model yang lebih memberi tumpuan kepada penggunaan atas jalan biasa, Triumph menghasilkan Tiger 850 Sport ini sebagai satu pilihan yang lebih mampu milik dan asas. Bahagian suspensi contohnya, Tiger 850 Sport menggunakan unit tanpa pelarasan, yang terdiri daripada fork USD Marzocchi 45 mm dan monoshock Marzocchi dengan pelarasan pra beban.
Panel instrumen TFT pula menggunakan unit yang lebih kecil, iaitu 5.0 inci, manakala mod tunggangan cuma ada dua iaitu Road dan Rain. Untuk sistem kawalan cengkaman, selain pelarasan tahap yang berlaku secara automatik apabila menukar mod tunggangan, ia juga boleh ditutup melalui pilihan dalam menu sekiranya mahu.
Walaupun beberapa kelengkapan menggunakan spesifikasi lebih rendah, Triumph tidak mengubah bahagian brek, di mana Tiger 850 Sport masih menggunakan set cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo Stylema empat piston di hadapan, serta cakera 255 mm dan angkup Brembo satu piston di belakang. Ini adalah tetapan yang sama seperti Tiger 900 dan dilengkapi dengan ABS two-channel.
Kelengkapan lain pada model ini adalah termasuk semua lampu jenis LED, penghadang angin boleh laras secara manual, klac jenis slip & assist, tangki bahan api 20 liter, rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, tinggi tempat duduk antara 810 hingga 830 mm (boleh laras) serta soket pengecas 12V.
Proton X50 telah pun mula dibuka tempahannya di Brunei, menjadikannya sebagai pasaran eksport pertama bagi model SUV berkenaan.Negara yang kaya dengan sumber minyak ini memang sering kali menjadi destinasi pertama eksport untuk kereta Proton.
Pengedar rasmi Proton di Brunei, Pad Motors Proton Brunei, walau bagaimana pun tidak memaklumkan varian atau spesifikasi X50 yang dibuka tempahannya. Sebaliknya, hanya menyebut “luaran yang memukau, ciri ketersambungan pintar dan prestasi mendahului kelasnya.” Tetapi kebiasaannya, pasaran Brunei akan berkongsi varian dan spesifikasi yang sama seperti Malaysia, begitu juga dengan X70.
Untuk pasaran Malaysia, X50 ditawarkan dengan empat varian – Standard, Executive, Premium adan Flagship – ditawarkan dengan harga dari RM79,200 hingga RM103,300. Dari kesemua varian yang ditawarkan, hanya model spesfikasi penuh Flagship dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan 177 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 255 Nm pada takat 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.
Untuk varian lain, ia masih diberikan enjin 1.5 liter Turbo tetapi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) menjana 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.
Proton X50 dipasang di kilang Proton di Tanjung Malim, dan sehingga akhir Oktober lalu (ia dilancarkan pada 27 Oktober), sebanyak 27,400 tempahan telah diterima dan 447 unit telah dihantar kepada pemiliknya.
Toyota telah mendedahkan Proace Verso Electric baharu, MPV elektrik sepenuhnya yang bakal dijual di Eropah mulai Februari 2021. Model baharu ini menyertai van komersil Proace Electric, dan menawarkan beberapa pilihan konfigurasi.
Ini termasuklah tiga pilihan panjang bagi saiz badan – Compact (4,609 mm), Medium (4,959 mm) dan Long (5,309 mm) – dengan jumlah muatan 280, 640 dan 1,060 liter dengan semua tempat duduk berada dalam kedudukan normal. Sementara itu, empat gred telah ditawarkan, termasuklah versi Combi dan Shuttle, serta pilihan yang lebih sofistikated Family dan VIP, meningkat sehingga sembilan tempat duduk.
Penjana kuasa elektrik disalurkan kuasanya menerusi pek bateri lithium-ion yang ditempatkan di lantai, yang didatangkan dengan dua versi. Versi pertama adalah unit 50-kWh yang menyalurkan pacuan sehingga 230 km dalam pengecasan penuh. Sementara pilihan kedua pula ialah unit 75-kWh yang mampu memberikan pacuan sehingga 330 km – kedua-duanya berdasarkan data WLTP.
Bergantung pada pemilihan bateri, kedua-dua kuasa bagi motor elektrik pada gandar hadapan dianggarkan sehingga 136 PS (134 hp) dan tork 260 Nm. ini membolehkan ia mencecah kelajuan maksimum sehingga 130 km/j, dengan kapasiti tundaan bersama braked trailer bagi satu tan (termasuk 50% payload on board). Toyota turut menawarkan waranti sehingga lapan-tahun/160,000 km untuk bateri bagi ketenangan minda pemilikan.
Secara standard, semua versi MPV ini dilengkapi dengan pengecas 7.4-kW onboard AC, yang boleh dipertingkatkan ke unit pengecasan pantas 11 kW, dengan kos ekstra. Proace Verso Electric menggunakan sambungan Type 2 untuk pengecasan AC, walau bagaimana pun Toyota tidak memberikan perincian mengenai masa pengecasan jika menggunakan kaedah ini.
Namun demikian, Toyota memberikan maklumat untuk pengecasan DC, yang merupakan salah satu kaedah pengecasan untuk MPV ini. Dengan sambungan CCS dan apabila disambung ke stesen pengecasan 100-kW, bateri 50-kWH mengambil masa sekitar setengah jam untuk dicas, sementara bateri 75-kWH memerlukan masa selama 45 minit.
Penjana kuasa juga didatangkan dengan kawalan E-toggle untuk memilih sama ada Drive, Reverse, Neutral, Park, dan Regenerative Braking, dengan satu lagi suis yang menentukan mod pemilihan pemanduan Eco dan Normal.
Untuk kelengkapan cirinya, EV ini didatangkan dengan tempat duduk bersama fungsi haba, sistem infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci, radio digital DAB, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, kemasukan tanpa kunci, brek parkir elektronik, dan cermin yang boleh dilipat secara elektronik, sebagai standard. Sementara ciri navigasi berdasarkan satelit dan pendingin hawa automatik diberikan secara pilihan.
Selain itu, sistem Toyota Safety Sense turut diberikan, merangkumi Sistem Pra-pelanggaran (PCS) dengan pengesanan pejalan kaki, kawalan kelajuan sepenuhnya, Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA), Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan Bantuan Isyarat Jalan (RSA). Turut ditambah ialah penderia parkir hadapan dan belakang, kamera belakang 180-darjah dan bagi model gred tertinggi menerima Pemantauan Titik Buta.