Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Civic generasi ke-11 didedahkan dalam bentuk prototaip – tunjuk rekaan luar & dalam lebih matang

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan dalam bentuk prototaip – tunjuk rekaan luar & dalam lebih matang

    Tuan-tuan dan puan-puan, memperkenalkan, ini Honda Civic generasi ke-11! Seperti yang diumumkan tempoh hari, ia masih dalam versi prototaip. Namun jika di lihat pendedahan-pendedahan model-model baharu Honda sebelum ini, ‘prototaip’ yang dimaksudkan ini adalah prototaip akhir yang hampir sama sepenuhnya dengan versi produksi sebenar nanti.

    Menurut Honda, Civic generasi ke-11 ini akan mula dijual pada lewat musim bunga 2021 nanti sebagai model 2022. Jadi rekaan akhir sebenar mungkin akan didedahkan dalam masa berberapa bulan lagi. Model prototaip yang didedahkan kali ini adalah dari versi sedan, dan model generasi baharu ini turut akan tampil dalam versi hatchback. Model-model berprestasi tinggi turut tidak ketinggalan, di mana ia juga bakal tampil dengan lencana Si dan Type R.

    Berbanding dengan Civic FC sedia ada, model generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lebih matang, kurang elemen-elemen seperti robot Gundam, dan ia nampak lebih elegen seperti model-model Eropah dalam masa yang sama masih menampilkan rupa sebuah sedan segmen-C yang sporty.

    Muka Civic ini masih diberikan gril signatur Solid Wing Honda, tetapi ia dihasilkan lebih nipis bersama jalur-jalur melintang dalam kemasan hitam. Ia digandingkan dengan lampu depan yang juga lebih tirus, bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-L.

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan dalam bentuk prototaip – tunjuk rekaan luar & dalam lebih matang

    Bampar hadapan Civic generasi baharu ini juga nampak jauh berbeza dari Civic FC. Tiada lagi liang kemasukan udara palsu yang besar pada kedua-dua sisi, dan ia hanya menampilkan kemasan berbentuk-C berwarna hitam, bersama gril bawah tengah yang besar juga dalam kemasan hitam.

    Pada profil sisi, bayangan badan Civic ini seakan Honda Accord generasi sedia ada, tetapi dalam skala lebih kecil. Bukan sahaja bentuk, malah perincian seperti rekaan bentuk lengkuk pada tiang-C serta pintu penutup lubang tangki bahan api juga menampilkan rupa yang sama seperti Accord.

    But belakang Civic generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lentik seperti diberikan spoiler ekor itik – juga satu lagi rekaan yang disalin dari Accord. Lampu ‘sepit ketam’ pada FC hilang terus, dan digantikan dengan lampu lebih melintang lurus, bersama grafik jalur LED berbentuk-L, membuatkan ia seakan sebuah kereta rekaan jenama Eropah.

    Rekaan belakang Civic ini dilengkapkan dengan bampar yang direka jauh lebih ringkas dan tidak ‘sibuk’ seperti pada Civic FC. Ia hanya menampilkan sepasang reflektor yang sangat nipis, bersama kemasan ringkas berwarna hitam disekeliling tip ekzos oval di kiri dan kanan.

    Honda masih belum mendedahkan gambar sebenar bahagian dalaman Civic ini, dan hanya menyiarkan lakaran kabin hadapannya. Seperti yang boleh anda lihat, konsep minimalis turut diberikan pada bahagian dalaman ini.

    Papan pemuka Civic baru ini sangat ringkas – tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

    Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Suis larasan fizikal untuk sistem pendingin hawa pula diletakkan di tingkat bawah papan pemuka ini.

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan dalam bentuk prototaip – tunjuk rekaan luar & dalam lebih matang

    Rekaan yang ringkas ini nampaknya membolehkan Honda memberikan ruang storan lebih besar pada panel tengah yang bersambung dengan konsol gear, di mana ia turut menempatkan dua pemegang cawan serta suis brek parkir elektronik. Model generasi baharu ini turut menerima paparan meter digital, bersama roda stereng baharu dengan jejari pukul tiga dan sembilan yang lebih nipis dan tegak.

    Tiada sebarang spesifikasi mekanikal didedahkan. Namun Honda ada mengumumkan bahawa Honda Civic generasi ke-11 ini akan dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan Honda Safety Sense yang ditingkat taraf, struktur badan Advanced Compatibility Engineering (ACE) yang memberikan lebih perlindungan kepada penumpang dan pejalan kaki ketika berlaku kemalangan.

    Honda turut menyatakan bahawa struktur badan Civic generasi baharu ini dihasilkan lebih tegar, bagi menawarkan kualiti pemanduan yang lebih diperhalusi serta pengendalian yang sporty. Jadi apa pendapat anda dengan Civic baharu ini? Rasa teruja dengan imej yang lebih matang, atau lebih suka gaya sebelum ini?


     
     
  • Yamaha Tracer 9 dan Tracer 9 GT didedah – enjin lebih berkuasa, unit IMU, suspensi elektronik untuk GT

    Yamaha Tracer 9 dan Tracer 9 GT didedah – enjin lebih berkuasa, unit IMU, suspensi elektronik untuk GT

    Yamaha Tracer 900 pertama kali diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2015, dan sejak dari itu ia telah mengalami beberapa kali perubahan dan peningkatan. Kini bagi model tahun 2021 yang baru diperkenalkan di Eropah, ia dipertingkat lagi dan dipanggil sebagai Tracer 9 dan Tracer 9 GT.

    Perubahan paling besar adalah pada bahagian enjin, di mana ia sekarang menggunakan enjin tiga silinder Crossplane 3 berkapasiti 890 cc dan mendapat penarafan Euro 5, sama seperti MT-09 2021. Jumlah kuasa yang dihasilkan juga sama iaitu 117 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Sebelum ini, enjin 847 cc yang digunakan pada Tracer 900 menghasilkan kuasa 113 hp dan 87.5 Nm tork, sekaligus memberi makna enjin baru ini mencatat peningkatan tork 7% dan sampai ke puncak pada rpm yang lebih rendah. Enjin baru 890 cc ini juga 1.7 kg lebih ringan dan dipadankan bersama ekzos berkembar yang juga lebih ringan 1.4 kg berbanding ekzos sebelum ini.

    Transmisi masih lagi unit enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper, tetapi sedikit perubahan dibuat bagi menjadikan tarikan klac itu lebih ringan. Nisbah gear untuk gear 1 dan gear 2 juga dilaras kembali supaya padan dengan tork yang sudah berubah dan memastikan penukaran lebih lancar.

    Satu lagi perubahan besar adalah kedudukan enjin dijadikan lebih tegak pada casis Deltabox, demi memberikan imbangan serta maklum balas yang lebih baik kepada penunggang. Lengan ayun aluminium model baru ini juga direka semula dan mempunyai panjang yang lebih 60 mm. Walaupun begitu, jarak roda masih tidak berubah iaitu 1,500 mm.

    Bahagian elektronik juga menunjukkan peningkatan yang jelas. Yamaha telah memasang unit pengukur inertia (IMU) six axis pada Tracer 9 dan unit generasi baru ini 50% lebih kecil dan 40% lebih ringan berbanding unit awal yang digunakan pada model R1 tahun 2015.

    Yamaha Tracer 9 dan Tracer 9 GT didedah – enjin lebih berkuasa, unit IMU, suspensi elektronik untuk GT

    IMU digunakan untuk mengawal sistem elektronik seperti mod tunggangan (semuanya ada empat mod), Cruise Control, Traction Control (tiga tahap), Slide Control (tiga tahap), Wheelie Control (tiga tahap) dan pilihan manual untuk melaras semua ciri ini pada tahap yang dimahukan.

    Untuk brek, di hadapan menggunakan set berkembar cakera 298 mm manakala di belakang terdapat cakera 245 mm. Sistem ABS disediakan dalam dua mod yang boleh ditukar oleh penunggang sementara rim pula adalah unit 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55.

    Model baru Tracer 9 ini menggunakan panel paparan TFT-LCD yang berbentuk petak dan dibahagikan kepada dua. Informasi berkenaan laju, tahap rpm, tahap minyak dan kedudukan gear ditunjukkan di bahagian kiri manakala bahagian kanan terdapat paparan seperti jarak perjalanan, suhu dan pelbagai lagi. Semua lampu model ini menggunakan unit LED.

    Tempat duduk Tracer 9 kini adalah 15 mm lebih rendah dan ia boleh dilaras secara mudah tanpa menggunakan sebarang alat. Peletak kaki juga boleh dilaras sehingga 15 mm sementara pemegang disediakan dalam dua kedudukan.

    Suspensi Tracer 9 menggunakan unit daripada Kayaba dengan di hadapan terdapat fork USD 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya – 30 mm lebih rendah berbanding sebelum ini – sementara di belakang pula terdapat monoshock.

    Bagi Tracer 9 GT, suspensi ini dipertingkat dengan kawalan elektronik yang datang dalam dua mod, bersama kelengkapan lain seperti quickshifter naik dan turun gear, lampu membelok LED, pemanas tangan serta beg barangan.

     
     
  • Lexus LC 500 Convertible kini di M’sia — RM1.35 juta

    Lexus LC 500 Convertible kini di M’sia — RM1.35 juta

    Selepas lebih kurang tiga tahun Lexus LC 500 pertama kali diperkenalkan untuk pasaran tempatan (dengan versi kemaskini pada Jun 2020), kini Lexus Malaysia melancarkan pula model sama dalam versi bumbung boleh dibuka di Malaysia. Lexus LC 500 Convertible merupakan model convertible pertama jenama berkenaan di sini, yang mempamerkan kualiti model flagship yang sama seperti sebelum ini.

    Dari segi rekaan, sama seperti versi coupe-nya, ia mewarisi banyak sentuhan daripada model konsep LF-LC. Antara rekaan khusus yang ditampilkan pada model ini ialah rekaan depan yang rendah dan tajam, lampu projektor LED tiga-tahap serta gril “Spindle” yang melengkapi imej rekaan bumbung terbuka untuk menjadikannya tampil dinamik.

    Di belakang, lampu kombinasi LED sepenuhnya membantu memberikan kedalaman tersendiri kepada bentuk keseluruhan yang terhasil, sementara lampu brek ketiga yang disepadukan di hujung bahagian penutup ruang barangan untuk menjadikan rekaannya lebih kemas. LC 500 Convertible menggunakan rim 21-inci yang diperkukuhkan dengan penyudah dua-tona berkilat serta salutan hitam yang menyumbang kepada imej maskulin kereta ini.

    Lexus LC 500 Convertible kini di M’sia — RM1.35 juta

    Di dalam, kereta sport ini memuatkan tata letak tempat duduk 2+2 (dengan ruang penumpang belakang yang sangat terhad sebenarnya) serta rekaan kokpit yang memberi tumpuan lebih kepada pemandu. Tempat duduknya dari jenis sport dengan balutan kulit yang lengkap dengan liang dan pemanas; ia juga datang dengan larasan elektrik lapan-arah dengan fungsi memori.

    Selain itu, LC 500 Convertible turut menampilkan stereng tiga-jejari balutan kulit bersama tombol penukaran gear dengan rekaan Takumi. Skrin multimedia resolusi tinggi 10.3-inci dengan paparan terpisah juga ada, yang menyediakan capaian segera kepada audio atau kawalan pendingin hawa atau pelbagai sistem lain, termasuk sistem tunjuk arah dengan pengaktifan suara.

    Sistem ini yang turut disepadukan bersama Apple CarPlay dan Android Auto membolehkan pengguna memaparkan apa yang ada pada telefon mereka ke skrin utama. Turut tersedia ialah paparan lapan-inci Digital Combination Meter serta Heads-Up Display. Interface sentuhan jarak jauh juga ada tersedia di konsol tengah. Bagi sistem audio, model ini dipasangkan dengan 13 pembesar suara Mark Levinson Reference Surround Sound System.

    Lexus LC 500 Convertible kini di M’sia — RM1.35 juta

    Dan tentulah, ghairah pada model ini tidak hanya terletak pada penampilan semata-mata – aspek pemanduannya juga setanding dengan imej yang cuba dibawa. LC 500 Convertible menggunakan enjin 5.0 liter V8 yang digunakannya. Digandingkan bersama transmisi automatik Direct-Shift 10-kelajuan, enjin suntikan terus ini menghasilkan sebanyak 470 hp kuasa dan 540 Nm tork.

    Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 270 km/j. Hantaran kuasa ke roda belakang adalah melalui Torsen Limited Slip Differential yang akan mengagihkannya antara roda di sebelah kanan dan kiri secara pintar.

    Dengan prestasi seperti itu, LC 500 Convertible masih mampu memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 12.7 L /100 km (gabungan) disebabkan oleh ciri Dual Variable Valve Timing-intelligent (DVVT-i) yang turut digabungkan dengan ciri Artificial Intelligence Shift Control pada transmisi. Ciri pintar ini membantu meramalkan hasrat pemandu dan memilih gear yang sepatutnya untuk memberikan pengalaman pemanduan terbaik.

    Suspensinya telah ditala dengan optimum bagi memberikan keselesaan dan pada masa yang sama, menawarkan prestasi dan kepuasan pengendalian. Ciri Adaptive Variable Suspension (AVS) telah diperhalusi untuk melengkapkan lagi rekaan kereta tanpa bumbung, menyediakan sehingga 650 tahap berbeza bagi daya serap.

    Perbezaan utama berbanding model coupe sebelum ini tentulah mekanisme bumbung boleh buka yang ada padanya. Untuk itu, versi convertible ini melibatkan penambahan berat sebanyak 90 kg, dengan ruang barangan belakang yang tersedia berkapasiti 149 liter.

    Bumbung lembut yang digunakan padanya terdiri daripada empat lapisan material (tiga lapis fabrik + material NVH) dan boleh dibuka atau ditutup ketika kereta bergerak dalam kelajuan maksima sehingga 50 km/j. Mekanisme lipatan bumbung dengan kuasa hidraulik ini juga membolehkan bumbung diturunkan dalam masa 15 saat, manakala dinaikkan semula dalam masa 16 saat.

    Dari sudut keselamatan, LC 500 Convertible terbaru ini dilengkapi dengan Lexus Safety System+ (LSS+), yang terdiri daripada ciri-ciri keselamatan terkini yang direka untuk menghindari kejadian tidak diingin. Ini termasuklah sistem pra-perlanggaran, amaran menukar lorong dengan bantuan mengekalkan lorong, kawalan melayar radar dinamik serta lampu tinggi automatik. Kenderaan ini juga dilengkapi dengan enam-beg udara serta peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang sebagai ciri standard.

    LC 500 Convertible ditawarkan dalam pilihan warna White Nova Glass Flake, Deep Blue Mica, Sonic Silver, Terrane Khaki Mica Metallic, Naples Yellow Contrast Layering, Blazing Carnelian Contrast Layering, Radiant Red Contrast Layering, Black, Graphite Black Glass Flake, Dark Grey Mica dan Sonic Titanium dengan pilihan warna untuk bumbung sama ada hitam atau beige. Bagi warna ruang dalaman, LC 500 Convertible menyediakan pilihan antara Flare Red, Black dan Ocher.

    Lexus LC 500 Convertible dijual pada harga RM1,350,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan, tidak termasuk insurans. Ia datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma sepanjang tempoh itu atau bagi jarak 100,000 km yang pertama, selagi ia diselenggara oleh juruteknik profesional Lexus yang terlatih di semua Pusat Lexus bertauliah. Serahan pembelian terawal LC 500 Convertible akan dilakukan pada awal Februari 2021.

     
     
  • Mercedes-AMG GT Black Series kini kereta produksi paling pantas di litar Nürburgring – 6 minit 43.616 saat!

    Kalau anda tertanya-tanya, kereta apa yang paling pantas di litar Nürburgring Nordschleife, tanpa sebarang ubahsuai dan sama spesfikasi seperti yang dijual di bilik pameran, ini jawapannya – Mercedes-AMG GT Black Series.

    Kereta ini baru sahaja mencatatkan rekod baharu untuk kereta produksi terpantas di litar ‘The Green Hell’ berkenaan dengan catatan masa 6 minit 43.616 saat di pandu oleh pelumba GT3, Maro Engel bagi memadam rekod 6 minit 44.97 saat dicatatkan Lamborghini Aventador SVJ sebelum ini.

    Malah, model paling liar AMG GT ini juga menunjukkan catatan masa yang jauh lebih pantas dari model AMG GT paling berkuasa sebelum ini iaitu Mercedes-AMG GT R Pro dengan perbezaan lebih 21 saat!

    Mercedes-AMG GT Black Series ini masih dijana oleh enjin 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo dan sistem pelinciran jenis dry-sump, namun telah dirombak sepenuhnya dan diberikan kod M178 LS2.

    Mercedes-AMG GT Black Series kini kereta produksi paling pantas di litar Nürburgring – 6 minit 43.616 saat!

    Dengan perubahan seperti menukar aci engkol dari jenis cross-plane kepada flat-plane, urutan nyalaan yang diubah kepada 1-8-2-7-4-5-3-6, aci seondol dan manifold ekzos baru, intercooler lebih besar, bersama roda pemampat pengecas turbo lebih besar, enjin ini mampu menghasilkan 730 PS dan tork maksima 800 Nm, berbanding 557 PS/680 Nm pada M178 pada GT R Pro.

    Menurut Mercedes-AMG, bukan hanya kuasa kuda lebih besar yang membuatkan GT Black Series ini lebih laju, ia juga melibatkan perubahan aerodinamik dan juga talaan semula pada suspensi yang ekstensif. Splitter udara hadapan gentian karbon hadapan model ini telah dilaras pada posisi “Race”, manakala bilah sayap bawah dan atas pada spoiler belakang telah dilaras pada posisi pertengahan.

    Model Black Series ini juga menerima kelengkapan aerodinamik yang diambil terus dari dunia perlumbaan sebenar. Antaranya adalah penutup bonet gentian karbon hadapan dengan dua liang ekzos bersaiz besar. Menurut Mercedes-AMG, ia bukan sahaja dapat mengalirkan udara panas keluar dari ruang enjin, malah turut memberikan downforce lebih kuat. Sebahagian bawah badan kereta ini juga ditutup bagi memberikan aliran udara lebih lancar.

    Mercedes-AMG GT Black Series kini kereta produksi paling pantas di litar Nürburgring – 6 minit 43.616 saat!

    Manakala pada suspensi, penyerap hentak adaptif AMG boleh laras pada kereta ini direndahkan 5 mm di hadapan dan 3 mm di belakang bagi memperbaiki kesan venturi pada diffuser hadapan. Sudut camber pula ditala pada kedudukan paling maksima iaitu 3.8 darjah di hadapan dan 3 darjah di belakang.

    Bar anti-oleng pada AMG GT Black Series ini juga boleh di laras, di mana Engel memilih tahap kekerasan paling maksima. Engel juga memilih untuk melaras sistem AMG Traction Control (larasan maksima pada tahap sembilan) kereta ini pada tahap enam dan tujuh bergantung pada seksyen litar.

    Mercedes-AMG turut menggunakan tayar yang sama seperti tayar yang diterima oleh pelanggan ketika membeli kereta ini di bilik pameran iaitu Michelin Pilot Sport Cup 2 R MO dengan kompaun lembut. Begitu juga dengan sistem brek, ia menerima komponen standard sistem brek seramik komposit berprestasi tinggi.

    Mercedes-AMG GT Black Series kini kereta produksi paling pantas di litar Nürburgring – 6 minit 43.616 saat!

    Kereta yang digunakan untuk catatan rekod ini juga hadir dengan Track Package yang juga dibekalkan secara standard untuk Mercedes-AMG GT Black Series – terdiri dari roll cage serta tali pinggang keledar empat poin.

    “Dengan kelajuan hampir 270 km/j di seksyen Kesselchen dan lebih 300 km/j di laluan lurus panjang Döttinger Höhe, AMG GT Black Series ini sememangnya lebih pantas dari kereta lumba GT3 saya. Akhirnya dapat memandu di Nordschleife dalam masa 6:48.047 menggunakan kereta produksi dengan keadaan litar seperti ini adalah sangat hebat,” kata Maro Engel setelah berjaya membuat rekod berkenaan.

    “Seperti kereta lumba GT3 saya, AMG GT Black Series menawarkan banyak cara untuk larasan semula, kesemua ini membolehkan saya membuat talaan yang khas untuk saya,” tambahnya lagi.

     
     
  • Van Perantara LRT dalam peringkat percubaan, digunakan untuk laluan yang tidak dapat dilalui bas

    Van Perantara LRT dalam peringkat percubaan, digunakan untuk laluan yang tidak dapat dilalui bas

    Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad dan pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara LRT dan MRT, telah mengambil insiatif untuk menyediakan kemudahan Van Perantara LRT bagi laluan baru yang sebelum ini tidak dapat dilalui oleh bas Rapid KL kerana adanya jalan-jalan yang terlalu sempit bagi kenderaan yang lebar.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij, perkhidmatan percubaan van perantara LRT bermula pada 16 November lalu sehingga 16 Mac 2021 iaitu selama empat bulan. Ia akan menggunakan tiga buah van berwarna merah jambu dan berkapasiti 10 orang penumpang.

    “Sebagai peringkat percubaan, van berkenaan adalah bagi laluan T252 dari PPR Sungai Bonus ke LRT Wangsa Maju (melalui PPR Desa Rejang). Laluan T252 ini merupakan laluan baru yang sebelum ini tidak dapat dilalui oleh bas Rapid KL kerana adanya jalan-jalan yang terlalu sempit bagi kenderaan yang lebar.

    “Kami berharap penduduk di sekitar laluan baru ini dapat mencuba perkhidmatan ini serta memberikan maklum balas kepada kami mengenai T252 ini,”ujarnya.

    Perkhidmatan ini disediakan setiap 20 minit dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam dengan kadar tambang RM1 melalui kaedah pembayaran pas tanpa had My30, Touch ‘N Go dan Kad Konsesi sahaja.

    Bagi mengetahui lokasi semasa van, pelanggan digalakkan menggunakan aplikasi Google Maps atau Moovit atau melayari portal MyRapid Bus Kiosk.

    “Segala maklumat dan maklum balas yang dikumpulkan akan dianalisis bagi tujuan pertimbangan Prasarana sama ada akan meneruskan atau mengembangkan perkhidmatan van perantara ini pada masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus, En. Muhammad Yazurin Sallij.

    Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03- 7885 2585 atau melalui laman media sosial Rapid KL atau e-mel ke [email protected].

     
     
  • Proton X50 rekaan kustom garang oleh Durian Works

    Proton X50 rekaan kustom garang oleh Durian Works

    Walaupun Proton X50 tampil dengan penggayaan yang sudah agak kemas dan sporty, tapi untuk sesetengah orang itu masih belum cukup. Kami pernah alih perhatian anda kepada satu contoh sebelum ini, dan kini ada satu lagi rekaan dengan imaginasi yang lebih radikal dan agresif diberikan kepada SUV segmen B berkenaan oleh Durian Works.

    Tiga tahun dulu, mereka pernah hasilkan rekaan baru digital bagi Perodua Myvi. Kini hal-hal yang dikustom pada X50 lebih ekstrim, dengan wajah depan berbeza dan dikenali sebagai “Rebel Edition”.

    X50 Durian Works ini menerima rekaan gril baru dengan jalur berkembar dan elemen mesh yang nampak rumit, walaupun perincian merahnya dikekalkan. Rekaan lampu utama projektor berkembar juga diberi sentuhan baru, manakala perincian krom asal yang ada dijadikan warna hitam.

    Namun, bahagian bamparlah yang menerima perubahan paling ketara, dengan bahagian hitam yang dilanjutkan serta jalur yang menempatkan lampu nyalaan siang tambahan. Jalur berkenaan dipanjangkan dengan kemasan hitam pada sisi bamparnya, sementara lip hitam pula menggunakan warna badan.

    Proton X50 rekaan kustom garang oleh Durian Works

    Di bahagian sisi, pelindung keliling badan berwarna hitam disertakan, sementara jalur krom atas tingkap telah diwarnakan merah. Seperti X50 yang diubahsuai sebelum ini, versi ini juga diberikan rim saiz 20-inci, dengan rekaan ala Lamborghini. Melengkapi rekaan di tepi ialah rekaan grafik warna perak.

    Di belakang pula, rekaan umum X50 nampaknya dikekalkan sebaik mungkin, terutama pada bahagian pintu kargo, dengan spoiler standard dibesarkan sedikit. Lampu pula dihubungkan oleh satu jalur yang melanjutkan grafik tiga lampu yang ada, sementara perumah lampu itu digelapkan.

    Bukan itu saja, jalur asal krom yang menghubungkan lampu kini dijadikan warna hitam, sementara jalur dengan warna badan ditambah pada bahagian diffuser. Empat muncung ekzos yang bersepadu juga datang dengan rekaan bersegi baru yang nampak seperti disambung di tengahnya. Proton X50 telahpun dilancarkan bulan lalu, dengan harga antara RM79,200 hingga RM103,300. Anda ada idea lain untuk ubah suai penampilan X50 ini?

     
     
  • Honda e jadi kereta buatan Jepun pertama yang diiktiraf sebagai Kereta Tahunan Jerman 2021

    Honda e jadi kereta buatan Jepun pertama yang diiktiraf sebagai Kereta Tahunan Jerman 2021

    Baru-baru ini, Honda e telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Jerman 2021 (German COTY) dan ini merupakan kereta pertama dari jenama Jepun yang memenangi anugerah tersebut. Selain itu, Honda e juga telah memenangi kategori “New Energy”.

    Secara keseluruhan, anugerah ini dimenangi selepas Honda e menerima pengiktirafan “Best of the Best 2020” dalam Red Dot Design Award, selain memenangi kategori “Best Car Tech” dalam Britain Best Car Award 2020 anjuran Autocar, itu antara penghargaan yang diterima dari pihak media dan organisasi.

    Pemenang anugerah German COTY ini telah diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada wartawan automotif Jerman. Di mana para panel juri telah menguji dan mengulas model terkini kenderaan, menentukan kedudukannya berdasarkan kebolehgunaan, karakteristik pemanduan, kesesuaian pasaran dan tahap inovasi. Pemenang bagi lima kategori – Compact, Premium, Luxury, New Energy dan Performance – akan dinilai dan dibincangkan untuk menentukan pemenang keseluruhan.

    Honda e jadi kereta buatan Jepun pertama yang diiktiraf sebagai Kereta Tahunan Jerman 2021

    “Pemilihan Honda e sebagai kereta Jepun pertama yang memenangi anugerah German COTY ini merupakan satu penghargaan buat kami. Para pelanggan dan pihak media telah memberikan maklumbalas yang baik sejak Honda e diperkenalkan buat pertama kalinya. Honda e merupakan contoh yang sempurna bagi produk yang hadir dengan rekaan unik, menampilkan teknologi terkini dan ketersambungan pintar termaju. Kami sangat menghargai pengiktirafan ini,” ujar Katsuhisa Okuda, presiden Honda Motor Europe.

    “Honda e mewakili kenderaan mobiliti baharu di mana kereta ini memainkan peranan penting dalam ‘hubungan lancar’ dalam pelbagai aspek kehidupan,” ujar Tomofumi Ichinose selaku large project leader (atau pun ketua jurutera) bagi model ini.

    Sambungnya lagi, “Ia juga dibangunkan sebagai pengangkutan urban terbaik sebagai respons kepada isu persekitaran, terutamanya di kawasan bandar. Membangunkannya merupakan cabaran besar, tetapi dalam masa yang sama, ia memberikan keseronokan. Ahli pasukan dan saya sendiri sangat berbesar hati menerima anugerah ini.”

    Honda e jadi kereta buatan Jepun pertama yang diiktiraf sebagai Kereta Tahunan Jerman 2021

    Dilancarkan awal tahun ini, EV comel ini merupakan model penting dalam komitmen pengeluar kereta ini untuk mengelektrifikasi 100% bagi model arus perdana pasaran Eropah menjelang tahun 2022. Honda e ini dihasilkan dengan ditumpukan lebih untuk pemanduan dalam bandar, walaupun untuk model yang lebih tinggi Honda e mampu bergerak sejauh 220 km dengan satu caj penuh

    “Kebanyakan EV menggunakan bateri berkapasiti tinggi, tetapi selalunya, kebanyakan kapasiti tersebut tidak digunakan ketika dipandu di dalam bandar. Kami mempersoalkan adakah kereta yang lebih besar sesuai untuk kawasan urban, dan percaya bahawa lebih kecil adalah opsyen yang lebih baik untuk kegunaan bandar,” ujar Ichinose sebelum ini.

    Honda 3 boleh didapati dengan dua versi kuasa iaitu 100 kW (136 PS) dan 113 kW (154 PS), kedua-duanya dengan tork 315 Nm. Di jerman, harga bagi EV ini bermula dari 29,470 euros (RM143,470) untuk versi 100 kW. Sementara versi 113 kW pula berharga 32,470 euros (RM158,075). Ia menggunakan bateri unit 35.5 kWH. Buat masa sekarang ini, EV terbabit hanya dijual di pasaran Jepun dan Eropah sahaja.

    GALERI: Honda e, versi produksi

     
     
  • VIDEO: Enjin 2.0L Drive-E pada kereta lumba Lynk & Co 03 TCR sama dengan enjin produksi 03 jalan raya!

    Tahun ini baru masuk tahun kedua Cyan Racing berlumba di bawah jenama divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co dalam World Touring Car Cup (WTCR), setelah Polestar dipisahkan dari Volvo pada tahun 2017. Namun kejayaan yang ditempa oleh pasukan ini dengan kereta baharu mereka nampaknya diluar jangkaan – dinobatkan sebagai juara dunia kategori pasukan tahun lalu, dan menyapu bersih gelaran dunia untuk pemandu dan pasukan tahun ini.

    Namun tahukah anda kereta lumba Lynk & Co 03 TCR ini masih banyak berkongsi komponen dengan model jalan raya sedan 03 yang kini dijual di pasaran China? Selain dari kedua-duanya masih menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo/Geely (platform sama dengan Volvo XC40) serta komponen-komponen badan dan juga lampu-lampu luaran, kereta lumba ini juga sebenarnya masih menggunakan enjin yang sama dengan model yang dijual di bilik pameran Lynk & Co.

    Perkara ini telah disebutkan oleh Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski ketika kami berpeluang menemuramahnya di Sepang ketika berlangsung perlumbaan WTCR pusingan terakhir tahun lalu. Menurut Murdzevski, enjin Drive-E 2.0L pada kereta-kereta lumba pasukannya ini masih lagi enjin dengan komponen dalaman yang sama dengan model produksi jalan raya, hanya perubahan pada sistem turbo dibuat bagi menghasilkan kuasa 350 hp/450 Nm.

    VIDEO: Enjin 2.0L Drive-E pada kereta lumba Lynk & Co 03 TCR sama dengan enjin produksi 03 jalan raya!

    Untuk model produksi jalan raya, model varian paling berkuasa untuk sedan ini adalah dari versi 03+, dijana enjin Drive-E 2.0L yang ditala bagi menghasilkan 254 hp/350 Nm, iaitu talaan yang sama seperti pada model-model T5 Volvo. Dan menerusi satu video yang disiarkan oleh Lynk & Co, lebih perincian pada enjin berkenaan diterangkan sendiri oleh Ketua Pembangunan Enjin Cyan Racing, Mattias Evensson.

    Menurutnya, Cyan Racing telah menggunakan enjin Drive-E ini lebih 10-tahun lalu, iaitu ketika sebelum enjin ini diperkenalkan pada pasaran bagi menggantikan barisan enjin lima-silinder Volvo sebelum itu. Dan antara semua variasi enjin perlumbaan yang dibangunkan oleh Cyan Racing, enjin pada 03 TCR ini adalah yang paling hampir dengan versi jalan raya.

    Evensson menerangkan hanya berberapa bahagian yang ditukar pada enjin produksi jalan raya untuk menjadikan ia sebuah enjin perlumbaan, antaranya pulley untuk menggerakkan alternator, pendawaian (bagi disesuaikan dengan kotak komputer stand alone yang dibekalkan oleh penganjur WTCR), roda tenaga, berberapa komponen sistem penyejukan.

    Selain itu, komponen luaran lain seperti pam cecair penyejuk, manifold kemasukan, pendikit, alternator dan sebagainya adalah sama dengan model produksi jalan raya.

    “Jika kami terlibat dalam kemalangan dan merosakkan enjin, kami boleh pergi ke pengedar Lynk & Co untuk membeli enjin dan pasang komponen-komponen custom yang kami hasilkan, dan berlumba semula keesokan harinya,” kata Evensson membuat analogi betapa samanya enjin lumba mereka dengan enjin yang dijual dalam pasaran untuk orang awam.

    Mengapa Lynk & Co begitu yakin untuk menggunakan enjin Drive-E ini untuk berlumba? Mattias Evensson bukanlah staf baru dalam Cyan Racing. Dia telah berkhidmat dengan firma kejuruteraan perlumbaan berkenaan sejak Cyan Racing mengendalikan program perlumbaan ‘one-make’ di Sweden pada awal era 2000.

    Selepas program tersebut ditamatkan, Evensson bertugas di unit pembangunan enjin Volvo bagi membangunkan enjin Drive-E generasi baharu berkenaan, dengan menggunakan pengetahuannya dalam menghasilkan enjin-enjin perlumbaan. Hasilnya, mereka berjaya menghasilkan enjin konsep kegunaan jalan raya Drive-E 2.0L yang berupaya menjana 367 hp dan tork maksima 470 Nm.

    Mattias Evensson juga bertanggungjawab untuk menghasilkan enjin perlumbaan pertama berasaskan enjin Drive-E ini untuk kereta lumba Volvo C30 pada tahun 2010. Enjin tersebut dibangunkan dari blok enjin pra-produksi yang diberikan oleh Volvo kepada Cyan Racing untuk kereta lumba yang akan digunakan untuk perlumbaan World Touring Car Championship (WTCC) musim 2011.

    “Ketika kami mengambil keputusan untuk menyertai kejohanan dunia, kami lihat pesaing-pesaing kami menggunakan enjin yang dibangunkan khas untuk perlumbaan. Namun kami memilih untuk menggunakan enjin Drive-E sebagai asas enjin lumba kami, yang mempunyai asas mekanikal yang sangat solid dan sangat efisien kepada sistem pembakaran yang sangat sesuai untuk dijadikan enjin perlumbaan,” jelas Evensson.

    Antara versi yang paling berjaya dan paling berkuasa tentulah enjin 2.0 liter Drive-E pada jentera Volvo S60 TC1, yang memberikan gelaran juara dunia kepada Thed Bjork untuk WTCC musim 2017.

    Selain dari dibangunkan untuk perlumbaan, enjin Drive-E ini juga dihasilkan untuk model-model konsep Polestar seperti S60 Polestar Concept yang telah berjaya mencatatkan rekod kereta sedan empat pintu paling laju ni litar Nürburgring pada tahun 2016.

    Enjin ini sekali lagi digunakan pada kereta konsep jalan raya Cyan Racing, iaitu Lynk & Co 03 TCR Concept yang diperkenalkan tahun lalu. Ini adalah kereta konsep jalan raya Cyan Racing paling ekstrem yang pernah dibina, dengan enjin Drive-E 2.0 liter berkenaan mampu menghasilkan kuasa 528 hp dan tork maksima 504 Nm.

    Kereta tersebut turut dibawa ke Nürburgring tahun lalu – masih dipandu oleh Thed Bjork, ia berjaya mencatatkan rekod kereta kereta pacuan hadapan terpantas, dan kereta empat pintu terpantas (keseluruhan, bukan hanya produksi) dengan catatan masa 7 minit 20.143 satu lap.

    Baru-baru ini, Cyan Racing memperkenalkan satu lagi kereta konsep klasik dengan teknologi moden iaitu Volvo P1800 Cyan. Kereta ini diasaskan dari model klasik Volvo P1800 ‘The Saint’ dengan diberikan badan dan casis binaan gentian karbon, sistem suspensi yang dirombak semula, dan disumbat enjin 2.0 liter Drive-E dengan spesifikasi yang sama seperti kereta lumba Volvo S60 TC1.

    GALERI: Lynk & Co 03+ di Malaysia

    GALERI: Jentera lumba sebenar Lynk & Co 03 TCR binaan Cyan Racing

     
     
  • Polestar 2 kini di Malaysia – fastback elektrik penuh 408 hp, 660 Nm tork dipamerkan di Vision Motorsports

    Polestar 2 kini di Malaysia – fastback elektrik penuh 408 hp, 660 Nm tork dipamerkan di Vision Motorsports

    Model elektrik penuh yang menggunakan bentuk badan fastback lima pintu, iaitu Polestar 2 kini sudah tiba di Malaysia, dengan sebuah unit dipamerkan di Vision Motorsports Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya. Walaubagaimanapun, ia masih belum dijual kerana pelarasan cukainya masih belum selesai. Jadi, harganya pun masih belum ada.

    Unit panduan sebelah kanan ini telah dibawa masuk oleh syarikat tersebut sebagai pameran dan untuk melihat kepada permintaannya. Menurut Vision Motorsports, unit import baru dari UK ini perlu melalui penilaian VTA dan ia masih belum dilakukan kerana baru tiba minggu lepas.

    Selain daripada itu, unit ini juga tidak akan berada lama dalam negara kerana ia terlibat dalam panggilan balik berkenaan inverter, yang bermaksud ia akan dihantar untuk pelarasan semula. Apa pun, kehadirannya dalam negara akan memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk melihatnya secara lebih dekat.

    Polestar 2 kini di Malaysia – fastback elektrik penuh 408 hp, 660 Nm tork dipamerkan di Vision Motorsports

    Polestar 2 diperkenalkan kali pertama bulan Februari tahun lepas dan ia merupakan versi produksi bagi kereta konsep Volvo 40.2 tahun 2016. Ia dibangunkan atas platform Compact Modular Architecture (CMA) sama seperti Volvo XC40 dan Lynk & Co 01, 02 dan 03, dan memberi saingan kepada Tesla Model 3.

    Penggeraknya adalah dua motor elektrik yang masing-masing mampu menghasilkan 150 kW (204 hp) dan 330 Nm, diletakkan di setiap gandar untuk menghasilkan pacuan semua roda. Kuasa keseluruhan adalah 300 kW (408 hp) dan 660 Nm, sekaligus dapat membenarkan Polestar 2 memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat. Pek bateri 78 kWh padanya mampu memberikan jarak gerak sehingga 500 km melalui kitaran WLTP.

    Pada bahagian dalam, model ini menggunakan bahan Weave Tech baru yang kalis air dan kotoran, dan dijadikan kemas dengan penggunaan warna kelabu dan hitam. Ruang dalam tidak nampak seluas Tesla Model 3 tetapi tempat duduk itu sendiri mempunyai ciri serba guna.

    Pada bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 11 inci yang diletakkan menegak dan disambungkan dengan sistem infotainmen berasaskan Android. Ia dibangunkan dengan kerjasama Google dan menampilkan ciri seperti kawalan suaran Google Assistant, Google Maps (lengkap dengan lokasi mengecas kenderaan) dan Google Play Store untuk aplikasi lain.

    Sekiranya keadaan berjalan lancar, Vision Motorsports memberitahu mereka juga bercadang menjual kenderaan ini bersama pakej pilihan tambahan Performance Pack. Melaluinya, kereta akan dilengkapi dengan penyerap Ohlins, brek Brembo, rim 20 inci serta kemasan warna emas pada barang seperti tali pinggang keledar serta angkup brek.

     
     
  • UK akan hentikan jualan kenderaan petrol dan diesel bermula tahun 2030, lebih awal dari perancangan

    UK akan hentikan jualan kenderaan petrol dan diesel bermula tahun 2030, lebih awal dari perancangan

    Menurut perancangan awal, United Kingdom akan menghentikan penjualan kenderaan petrol dan diesel pada tahun 2040, tetapi nampaknya tempoh itu telah diubah menjadi awal, iaitu pada tahun 2030. Menurut laporan Financial Times, perdana menteri negara itu akan mengumumkan perkara tersebut dalam minggu ini.

    Langkah yang diambil ini adalah untuk merangsang jualan kenderaan elektrik di UK dan sebagai sebahagian daripada inisiatif mesra alam negara itu. Bagi kereta hibrid pula, penjualannya dibenarkan sehingga tahun 2035. Berdasarkan laporan FT lagi, sekarang ini hanya satu daripada empat kereta yang dijual di UK mempunyai teknologi hibrid sementara jualan kenderaan elektrik (EV) masih lagi rendah, iaitu pada kadar 7% daripada jumlah keseluruhan kenderaan baru yang dijual pada bulan lepas.

    Pengeluar kenderaan cuba membantah dengan mengatakan dana besar diperlukan untuk infrastruktur yang boleh meyakinkan pengguna untuk bertukar kepada EV, dan kenderaan jenis itu juga adalah lebih mahal. Sebagai maklum balas, kerajaan UK mengumumkan akan mengeluarkan dana 500 juta pound untuk pembangunan infrastruktur mengecas kenderaan bermula tahun hadapan.

    UK akan hentikan jualan kenderaan petrol dan diesel bermula tahun 2030, lebih awal dari perancangan

    Volkswagen ID.4 1ST

    Syarikat yang sudah menjadi penyokong terawal dan terbesar untuk kenderaan hibrid pula cuba untuk mendapatkan tempoh yang lebih lama untuk kenderaan dengan bantuan tenaga elektrik. Kedua-dua Honda dan Toyota mempunyai kilang pengeluaran di UK, dan Honda telah memberi amaran bahawa larangan penjualan kenderaan hibrid akan menjejaskan pelaburan masa hadapan di UK. Honda pula mengatakan perubahan kepada landskap EV sahaja dalam masa 15 tahun adalah “terlalu sempit”.

    “Terdapat halangan berkaitan teknologi serta sumber yang boleh menjadikan keadaan sulit dan ini bermaksud kenderaan elektrik bateri tidak boleh menggantikan kenderaan yang menggunakan enjin biasa di dalam semua segmen,” kata wakil Honda sambil memberitahu semua kenderaan yang dijual di UK menjelang 2022 akan menjadi cuma hibrid sahaja.

     
     
  • Nissan ingin jual 34% pegangan dalam Mitsubishi

    Nissan ingin jual 34% pegangan dalam Mitsubishi

    Satu laporan Bloomberg menyatakan – tanpa menamakan sumber – bahawa Nissan sedang mempertimbangkan untuk menjual 34% sahamnya di dalam Mitsubishi Motors Corporations (MMC). Jika ini benar, adakah kerjasama perikatan Ranault-Nissan-Mitsubishi akan tiba ke penghujung?

    Laporan berkenaan menjelaskan, pengeluar automotif ketiga terbesar Jepun itu mungkin akan melepaskan pegangannya kepada sebuah syarikat dari kumpulan Mitsubishi seperti Mitsubishi Corporation, yang memiliki satu per lima pegangan dalam MMC. Perkembangan itu akan mengubah dinamik kerjasama antara tiga penjuru sedia ada, yang kini baru saja berlangsung selama empat tahun.

    Pada Mei 2016, Nissan menjadi pemegang saham terbesar MMC sebaik sahaja syarikat itu membeli 34% pegangan ekuiti dalam Mitsubishi dengan nilai 237 bilion yen selepas pendedahan skandal penggunaan minyak MMC, yang memberi kesan besar kepada mereka. Pada Oktober tahun yang sama, MMC diserap secara rasmi ke dalam perikatan Nissan-Renault.

    Pandemik Covid-19 pula kini memberi kesan kepada kerjasama itu, yang sebelum itu turut terkesan dengan skandal melibatkan pengerusinya, Carlos Ghosn – semua ini memburukkan lagi situasi mereka. Semua tiga syarikat kerjasama itu melaporkan kerugian, dan ramalan untuk masa akan datang juga tidak menyebelahi mereka.

    Bulan Mei lalu, Nissan melaporkan kerugian sebanyak 671 bilion yen (RM26.4 bilion) bagi tahun kewangan 2019, rekod terburuk syarikat dalam tempoh 20 tahun. Pada Julai pula, ramalan berikutnya menjangkakan kerugian 670 bilion yen akan dicatatkan bagi tahun 2020. Minggu lalu, pengeluar kenderaan itu – yang dimiliki 43% oleh Renault – mengurangkan ramalan kerugian operasinya bagi tahun berkenaan hingga Mac sebanyak 28%, menyatakan bahawa usaha penstrukturan semula dan jangkaan jualan yang lebih baik di China banyak membantu.

    Mitsubishi pula, yang merupakan pengeluar automotif ke-enam terbesar di Jepun, mencatatkan kerugian 25.78 bilion yen (RM1.04 bilion) pada 2019, dan menjangkakan kerugian sebanyak 360 bilion yen (RM14.4 bilion) bagi tahun kewangan 2020. Sementara itu, Renault pula mencatatkan rekod kerugian 7.29 bilion Euro bagi separuh pertama 2020, dan menyatakan syarikat itu perlu menjalankan langkah penjimatan.

     
     
  • Nissan March 2021 ditambahbaik bagi pasaran Eropah

    Nissan March 2021 ditambahbaik bagi pasaran Eropah

    Nissan March generasi kelima, atau turut dikenali sebagai Micra di Eropah, pertama kali diperkenalkan pada September 2016, dan kini telah diberikan penambahbaikan dan peningkatan untuk model 2021. Walau bagaimana pun, perubahan yang dilakukan tidaklah begitu ketara, malah rekaan luaran bagi hatchback segmen-B ini tidak begitu banyak berubah seperti sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, ciri baharu banyak diberikan untuk tahap kemasan N-Sport, termasuklah kemasan hadapan, belakang dan sisi dengan rona hitam berkilat, bersama perumah cermin sisi berwarna hitam dan juga roda aloi Perso 17-inci. N-Sport turut menerima lampu utama dan lampu kabus LED, sementara ruang dalamannya dihiasi tona serba hitam, selain ditampilkan dengan tempat duduk Alcantara, dengan jahitan kontras putih.

    N-Sport menyertai barisan March yang lain termasuk Visia, Acenta dan Tekna, dengan Nissan turut menambah kemasan N-Design baharu bagi menambahkan lagi pilihan penyesuaian yang ada. Ini termasuklah dengan beberapa bahagian luaran yang hadir dengan kemasan hitam berkilat atau krom, bersama pilihan roda Genki dua-tona 16-inci.

    Di dalamnya, tempat duduk balutan fabrik hitam pada N-Design ditampilkan dengan serlahan kelabu, bersama kemasan ala kulit pada papan pemuka, pad lutut dan pintu. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh memilih ruang dalaman Energy Orange dengan aksesori pilihan bagi memantapkan lagi temanya.

    Untuk bahagian enjin, hatchback ini telah menggugurkan unit penjana kuasa buatan Renault, K9k 1.5 liter empat-silinder turbodiesel, dan masih mengekalkan unit 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol sahaja. Walau bagaimana Nissan belum memberikan perincian penuh mengenai mekanikalnya, tetapi mengesahkan enjin yang ditampilkan adalah mematuhi piawaian Euro 6d dan telah “mempertingkatkan keluk penghantaran tork untuk memberikan prestasi pemanduan yang lebih baik dengan beberapa penukaran gear.”

    Bagi aspek keselamatan, kemasan selepas Visia dilengkapi dengan bantuan mula mendaki, Kawalan Pengendalian Pintar dan Kawalan Pengesanan Pintar. Varian terpilih juga menerima sistem daripada Nissan Intelligent Mobility termasuklah bantuan lampu tinggi, Intelligent Lane Intervention, pengesan isyarat trafik, dan Brek Kecemasan Hadapan Pintar dengan pengesan pejalan kaki.

     
     
  • ACO Tech – Syarikat kerjasama antara Proton, ECarX dan Altel bangunkan sistem kenderaan terhubung

    ACO Tech – Syarikat kerjasama antara Proton, ECarX dan Altel bangunkan sistem kenderaan terhubung

    Selepas perjanjian kerjasama antara Proton, Altel Communication dan ECarX (Hubei) Technology diumumkan pada Jun tahun lalu, kini segala yang dirancang bakal direalisasikan menerusi satu syarikat baharu yang diwujudkan dengan nama ACO Tech.

    ACO Tech ini sebenarnya telah pun ditubuhkan pada September 2019, dan apa yang dihasilkan menerusi kerja-kerja R&D yang dibuat bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah turut melibatkan pasaran ASEAN.

    Kerjasama ini sebenarnya bermula antara Proton dan ECarX untuk menghasilkan sistem infotainmen Global Key User Interface (GKUI) untuk Proton X70 pada 2018. Setelah ACO Tech ini dibentuk, semua kerja-kerja berkenaan akan diteruskan pada firma baharu ini dengan sasaran bagi menambah baik serta meningkatkan lokalisasi dalam GKUI untuk Proton.

    Menurut CEO ACO Tech, Li Pu, syarikatnya memainkan peranan penting dalam melokalisasikan perisian pemain utama infotainmen (IHU), yang turut melibatkan kerja-kerja menambah “perisa tempatan” pada sistem tersebut bagi disesuaikan dengan kegunaan dan kebiasaan pemanduan pengguna tempatan.

    Selain dari aplikasi untuk Malaysia, proses lokalisasi untuk sistem infotainmen GKUI ini turut akan dibuat untuk pasaran lain dalam rantau ASEAN. ACO Tech kini sedang menghasilkan GKUI untuk versi Thailand sebagai persediaan untuk Proton masuk ke pasaran berkenaan dengan Proton X70 dan X50, menurut syarikat tersebut lagi.

    Li Pu turut menyatakan bahawa ACO Tech berusaha untuk menyokong dan menyumbang kepada Proton dan industri automotif Malaysia, bagi memastikan ia tidak ketinggalan dalam inovasi automotif global, dan menjadi peneraju pasaran dalam industri teknologi kereta terhubung. Li Pu juga merupakan naib presiden untuk ECarX China, dan sebelum ini telah bekerja di pelbagai syarikat telekomunikasi di negara berkenaan sebelum menyertai industri automotif pada 2015.

     
     
  • Renault Kangoo dan Express generasi baharu diperkenalkan, akan dijual bermula tahun depan

    Renault Kangoo dan Express generasi baharu diperkenalkan,  akan dijual bermula tahun depan

    Kenderaan pelbagai guna Renault Kangoo dan Express kini sudah pun didedahkan dalam versi generasi baharu. Kedua-duanya turut boleh dipilih dalam dua bentuk badan sama ada untuk kegunaan penumpang atau versi kenderaan komersil ringan iaitu Kangoo Van dan Express Van.

    Model generasi baru ini dihasilkan bagi menggantikan Kangoo generasi kedua yang sudah pun berada dalam pasaran sejak 2013. Untuk Kangoo dan Kangoo Van akan dihasilkan di kilang Renault terletak di Maubeuge, Perancis, manakala Express dan Express Van akan dipasang di Tangiers, Maghribi.

    Menurut Renault, Kangoo Van generasi baharu ini disasarkan untun penggunaan operasi besar-besaran satu-satu badan dan juga untuk peniaga-peniaga yang mencari kenderaan yang dihasilkan untuk profesional. Model ini ditawarkan dalam dua jenis panjang badan, serta pilihan penjana petrol, diesel atau elektrik sepenuhnya, serta diberi pilihan kotak gear manual atau automatik – namun Renault belum memperincikan setiap satu daripadanya.

    Kangoo Van mempunyai ruang kargo yang boleh digunakan antara 3.2 dan 3.9 meter persegi bagi versi standard, dan meningkat kepada antara 4.2 dan 4.9 meter persegi untuk model dengan badan lebih panjang.

    Renault Kangoo dan Express generasi baharu diperkenalkan,  akan dijual bermula tahun depan

    Pintu gelangsar yang digelar sebagai Easy Side Access direka bagi memudahkan pengguna di pusat bandar yang lazimnya mempunyai ruang yang sempit untuk mengendalikan muatan. Pintu ini dihasilkan dengan memansuhkan tiang tengah, membolehkan ruang akses sebesar 1,416 mm lebar dan ia menawarkan ruang bukaan sisi paling besar dalam kelasnya, menurut Renault.

    Pada bahagian dalaman pula, ia turut dilengkapi Easy Inside Rack, iaitu galeri dalaman yang boleh dilipat/dibuka dengan mudah, bagi membolehkan anda membawa barang yang panjang di dalam kabin dengan cara memberikan ruang lantai yang maksima.

    Walaupun ia sebuah model untuk kegunaan komersil, Kangoo Van masih diberikan sistem infotainmen Renault Easy Link. Ia juga diberikan fungsi Permanent Rear View, iaitu cermin pandang belakang digital yang membantu memberikan pandangan belakang yang lebih jelas.

    Selain itu, Kangoo Van turut diberikan sistem bantuan pemanduan keselamatan seperti Bantuan Hayunan Treler, Pengawal Kestabilan Brek dan juga sistem brek kecemasan automatik (AEB).

    Bagi versi penumpang Kangoo pula, ia diberikan lima tempat duduk, bersama kelengkapan serta keselesaan yang telah ditingkat taraf, bersama pelbagai fungsi bantuan pemanduan dalam masa yang sama mengekalkan kelengkapan-kelengkapan yang popular dikalangan pengguna persendirian dan profesional.

    Manakala untuk Express dan Express Van pula, ia disasarkan untuk “usahawan muda dan operasi syarikat lebih kecil yang mencari kenderaan dengan nisbah harga/manfaat lebih baik,” menurut Renault. Model Express untuk penumpang akan dijual di pasaran luar Eropah, manakala Express Van akan dijual di Eropah serta pasaran antarabangsa lain.

    Express Van juga dilengkapi tempat duduk yang diperkuatkan, bersama berberapa fokus diberikan kepada ruang storan serta ergonomik, kata Renault. Ia menawarkan ruang storan terbaik dengan kapasiti 48 liter, manakala ruang kargo di belakang pula berkapasiti antara 3.3 hongga 3.7 meter persegi.

    Renault Express Van ini diberikan sistem multimedia Renault Easy Link, bersama sistem keselamatan lain seperti bantuan pandangan belakang, amaran titik buta, bantuan parkir hadapan dan belakanf, serta cermin pandang belakang yang lebar.

    Manakala untuk Renault Express versi penumpang, ia juga diberikan konfigurasi lima-tempat duduk bersama ruang kargo yang besar (tetapi tidak diperincikan kapasitinya).

    Seperti Kangoo, Express ini turut dihasilkan untuk kegunaan gabungan vokasional dan persendirian, serta dimensi ruang kargo lebih kecil, serta disasarkan untuk pelanggan yang mementingkan kos lebih rendah. Malah model ini juga akan dijual dengan harga lebih rendah dari Kangoo.

    Menurut Renault, kesemua model Kangoo, Kangoo Van, Express dan Express Van ini akan mula dijual di kawasan Hemisfera Utara bermula musim bunga 2021.

     
     
  • Infiniti QX55 2022 diperkenalkan pada 17 November

    Infiniti QX55 2022 diperkenalkan pada 17 November

    Sepatutnya ia diperkenalkan pada 11 November lalu, namun Infiniti telah menunda perancangannya itu dengan memilih tarikh baharu untuk mendedahkan QX55 baharu ke peringkat global iaitu pada 17 November ini. QX55 bakal kembali ke segmen crossover coupe mewah, yang sebelum ini diwakili oleh QX70 (atau sebelum ini dikenali sebagai FX).

    Ini menandakan, ia bakal memberi saingan sengit bagi model SUV yang memiliki garisan bumbung meleret seperti Mercedes-Benz GLC Coupe serta BMW X4. Teaser terkini Infiniti tidak menunjukkan apa-apa yang baharu, apa yang boleh dilihat hanyalah hujung belakang model ini sahaja, termasuk spoiler bumbung dan tailgate yang turut ditempatkan lip di atasnya. Tailgate ini mengingatkan kita pada model konsep Q80 Inspiration, sementara kemasan tingkap krom pula tidak jelas kelihatan kerana kekurangan pencahayaan pada bahagian tersebut.

    QX55 dijangkan berkongsi platform yang sama dengan Renault-Nissan D serta QX50 generasi kedua. Pilihan penjana kuasanya kemungkinan besar termasuklah KR20DDET, iaitu enjin Nissan 2.0 liter VC-Turbo (pemampatan boleh ubah, pengecas turbo) petrol dengan hamburan kuasa 272 PS dan tork 390 Nm, dipadankan bersama CVT sama ada pacuan roda-hadapan atau pun semua-roda.

    Sebelum ini, Infiniti pernah mengesahkan QX55 ini hanya akan memasuki bilik pameran Amerika Utara pada musim bunga tahun 2021, dan akan dijual sebagai model tahunan 2022. QX55 ini juga merupakan produk baharu dalam barisan jenama Infiniti untuk beberapa tahun akan datang.

     
     
  • Modenas siarkan teaser model baru – Elegan facelift?

    Modenas siarkan teaser model baru – Elegan facelift?

    Modenas telah mengeluarkan satu teaser di dalam laman media sosial mereka, yang menunjukkan muka sebuah model baru yang diberitahu akan diperkenalkan secara langsung atas talian 19 November ini. Selain daripada gambar itu, tiada maklumat lain yang didedah.

    Walaupun cuma gambar bahagian hadapan motosikal yang digelapkan, kita boleh mengetahui ini adalah sebuah model skuter berdasarkan lebar serta bentuknya. Walaupun sejak baru-baru ini Modenas lebih serius tentang kerjasama dengan Bajaj, mereka juga mempunyai kerjasama dengan Kymco sejak tahun 2016 dan ia masih lagi diteruskan.

    Apabila melihat di laman web Kymco, gambar teaser ini paling hampir dengan model X-Town 300i, dan ia sememangnya sudah digunakan sebagai asas untuk Elegan 250. Bezanya cuma Elegan mempunyai kapasiti enjin yang lebih kecil.

    Modenas siarkan teaser model baru – Elegan facelift?

    Model yang dipaparkan dalam laman web Kymco itu juga masih adalah model sama yang digunakan sebagai asas untuk Elegan 250, sedangkan di dalam gambar teaser, anda boleh melihat lampunya adalah jenis projector LED berserta DRL LED di atas. Jadi, kami menjangkakan ini adalah model facelift.

    Selain rupa yang lebih moden, diharap juga nanti model facelift ini akan menerima beberapa peningkatan lain pada ciri atau kelengkapannya. Semasa dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2016, Elegan 250 dijual pada harga RM13,599 dan menjadi pilihan yang berbaloi kerana harga yang jauh lebih murah berbanding pesaingnya.

     
     
  • Toyota Vios facelift 2021 – perincian didedahkan, harga anggaran RM76k-RM89k, kini sudah boleh ditempah

    Toyota Vios facelift 2021 – perincian didedahkan, harga anggaran RM76k-RM89k, kini sudah boleh ditempah

    Nampaknya Toyota tak ‘tengok saja’ persaingan antara dua sedan segmen-B iaitu Honda City 2020 dan juga Nissan Almera Turbo – selepas mendedahkan perincian hatchback Yaris facelift dua minggu lalu, kini tiba giliran kembar sedannya pula iaitu Toyota Vios facelift 2021.

    Toyota Vios sedia ada sebenarnya baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada Januari tahun lalu, manakala untuk facelift 2021 ini masih kekal dengan varian sedia ada iaitu Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Toyota turut mendedahkan harga jangkaan untuk model kemasikini ini iaitu bermula RM75,701 untuk 1.5J, RM85,674 untuk 1.5E dan RM89,232 untuk varian tertinggi 1.5G.

    Angka-angka yang disebut ini adalah harga atas jalan tanpa insuran untuk Semenanjung Malaysia, dan ia lengkap dengan pengecualian cukai jualan 2020 sehingga 31 Disember nanti, serta perlindungan waranti komprehensif lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Toyota Vios facelift 2021 – perincian didedahkan, harga anggaran RM76k-RM89k, kini sudah boleh ditempah

    Seperti Yaris, Vios juga menerima perubahan muka yang seiras. Tiada lagi bampar dengan kemasan bampar yang ‘sibuk’, digantikan dengan rekaan bampar, gril dan juga aerokit yang dirombak seakan rekaan Corolla dan Camry baharu. Vios ini juga turut diberikan lampu hadapan LED “triple bezel” baharu sama seperti Yaris.

    Pecahan kelengkapan untuk setiap varian masih lagi belum diperincikan, namun UMWT mengesahkan bahawa untuk varian tertinggi Yaris menerima pelbagai perincian baharu antaranya skrin infotainmen 7.0-inci yang lengkap dengan sokongan Android Auto dan Apple Carplay, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar, dan juga sistem telematik kenderaan (VTS).

    Perincian lain yang turut ditunjukkan termasuk sistem pendingin hawa automatik, panel meter Optitron dengan skrin MID berwarna, serta cermin pandangan belakang anti-silau elektrokromik.

    Vios facelift ini juga bakal dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem pra-perlanggaran (PCS) yang aktif dalam kelajuan bermula 15 km/j dan Amaran penukaran lorong (LDA) yang berfungsi dalam kelajuan 50 km/j ke atas.

    Toyota Vios 2021 masih ditawarkan dalam lima warna, di mana dua daripadanya adalah warna baharu. Warna Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic dan Silver Metallic adalah warna-warna yang sudah sedia ada pada model asal, manakala warna putih Super White II digantikan dengan Platinum White Pearl. Namun untuk warna merah Red Mica Metallic telah digugurkan bagi digantikan dengan satu lagi warna cerah iaitu Orange Metallic.

    Versi yang dipertingkat ini dijangka akan terus menerima sistem mekanikal sedia ada dengan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm, digandingkan dengan transmisi CVT automatik.

    Seperti Yaris, Vios ini juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang di kilang baharu UMWT yang terletak di Bukit Raja, Klang.

    Model sedia ada sudah pun diberikan sistem keselamatan yang agak baik dalam kelas segmen-B dengan kelengkapan seperti kawalan bantuan mula mendaki (HAC), tinjauan titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), perakam video digital di depan dan belakang (DVR) serta kamera pandangan panaromik 360-darjah.

     
     
  • Petronas Yamaha SRT pasukan persendirian terbaik MotoGP 2020 – 230 mata, enam kali di tempat pertama

    Petronas Yamaha SRT pasukan persendirian terbaik MotoGP 2020 – 230 mata, enam kali di tempat pertama

    Musim perlumbaan MotoGP 2020 hanya tinggal satu pusingan sahaja lagi, dan pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) telah menunjukkan prestasi membanggakan dengan mendapat gelaran pasukan persendirian terbaik dan mengumpul 230 mata sepanjang 13 pusingan yang berlangsung.

    Antara catatan prestasi lain pasukan ini adalah termasuk 14 kali memulakan perlumbaan di barisan hadapan, enam kali memulakan perlumbaan di tempat pertama, tujuh kali naik atas podium dan enam kali menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

    Perlumbaan musim ini bermula baik bagi SRT dengan Fabio Quartararo berjaya mendapat tempat pertama berturut-turut di Jerez. Franco Morbidelli pula bangkit sedikit lambat, tetapi masih berjaya memenangi perlumbaan di Misano, Aragon dan Valencia.

    Perjalanan pasukan ini tidak begitu mudah. Beberapa minggu lepas kedua-dua pasukan Yamaha iaitu pasukan factory dan juga satellite (SRT) telah dikenakan penalti kerana melanggar peraturan teknikal yang berkenaan dengan enjin. Akibatnya mata pasukan ini ditolak tetapi bagi pelumba, ia tidak memberi kesan. Walaupun begitu, SRT kembali bangkit dengan mata yang dikumpul pelumbanya, termasuk Morbidelli yang memenangi perlumbaan di Valencia semalam.

    Untuk tahun hadapan, pasukan ini akan mengalami sedikit perubahan. Quartararo akan berpindah ke pasukan factory Yamaha sementara Valentino Rossi pula akan mengganti tempat beliau di dalam SRT dan berlumba bersama anak buah beliau sendiri, Morbidelli. Adakah pasukan ini akan terus mencatat rekod pada musim hadapan? Bersama kita nantikan.

     
     
  • Subaru BRZ 2022 ditunjukkan lagi sebelum dilancar

    Subaru BRZ 2022 ditunjukkan lagi sebelum dilancar

    Subaru seakan sengaja nak menambahkan lagi debaran di kalangan penggemar jentera prestasi dengan menyiarkan satu lagi teaser BRZ generasi kedua. Dijangka dilancarkan pada 18 November ini, sebenarnya klip video berdurasi 46 saat ini tidaklah memberikan paparan baharu, sebaliknya ia menayangkan bahagian BRZ 2022 yang pernah dilihat sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, paparannya lebih jelas kelihatan, ini termasuklah corong bahagian sisi pada roda hadapan, malah kelibat jentera ini menerusi video tersebut menampakkan penampilan yang cukup sporty dan lebih agresif.

    Malahan corong terbabit disambungkan ke skirt sisi sebelum melunjur ke bahagian roda belakang, lebih kurang sama dengan model semasa BRZ, jadi tidaklah begitu mengujakan.

    Untuk melihat keseluruhan jentera ini, ia sudah pun didedahkan serba sedikit dalam penganjuran 2020 Subiefest World Record Attempt and Charity Drive di Costa Mesa, California pada bulan lalu.

    Berdasarkan petunjuk yang ada sekarang, bahagian bawah lampunya mempunyai jalur LED yang bertindak sebagai DRL, dan rekaan ini turut diguna pada prototaip Toyota GR 86 yang merupakan ‘kembarnya’, yang ditunjuk pada bulan Ogos lalu.

    Perincian lain adalah termasuk bonet yang lebih berlekuk, dengan garisan yang pergi dekat kepada lampu utama, manakala bahagian bawah bampar pula mendapat kemasan berbentuk-C di sekeliling bukaan udara yang direka semula.

    Selain itu, lampu belakang yang lebih tajam sehingga ke tepi turut diberikan. Di atas bahagian but terdapat sedikit lengkungan seperti ducktail yang menjadikan penampilannya masih nampak menarik tanpa spoiler tambahan.

    Perkara yang masih kekal misteri ialah berkenana dengan apa yang ada di bawah bonetnya. Terdapat ura-ura awal mengatakan, ia bakal diberikan enjin F!24F 2.4 liter pengecas turbo empat-silinder, sama seperti SUV tiga-barisan tempat duduk Ascent, dengan lonjakan kuasa 260 hp dan tork 376 Nm.

    Walau bagaimana pun, ada lagi ura-ura yang lebih hangat memperkatakan, BRZ baharu ini akan menggunakan unit FA24D 2.4 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan 217 hp dan 240 Nm. Apa pun, dijangka ia akan menerima lebih lonjakan kuasa berbanding model semasa dengan unit FA20D 2.0 liter (205 hp dan 212 Nm), bersama pacuan roda-belakang dan pilihan transmisi manual serta automatik.

     
     
  • Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    Kereta rali yang dihasilkan untuk produksi jalan raya, Toyota GR Yaris disahkan akan membuat kemunculan sulungnya di Thailand bulan hadapan. Menurut laporan Headlightmag, Yaris yang dihasilkan untuk asas jentera WRC tersebut akan didedahkan pada Thailand International Motor Expo 2020 di Bangkok, kemudian tempahannya akan mula di buka dan pelanggan akan menerima kereta mereka pada tahun hadapan.

    Tidak seperti Toyota 86 dan GR Supra yang dihasilkan bersama pengeluar lain, GR Yaris adalah kereta sport yang dibangunkan sepenuhnya oleh Toyota selepas 20-tahun. Model ini adalah jentera yang dibangunkan khas menerusi permintaan prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team iaitu Tommi Makinen, bagi membolehkan mereka mendapat asas sebuah jentera rali yang lebih kompetitif pada masa hadapan.

    Walaupun ia dihasilkan dari platform TNGA-B yang sama dengan Yaris biasa pasaran Jepun dan Eropah, GR Yaris ini menampilkan lebih banyak ciri tersendiri yang tidak dikongsi dengan Yaris standard, dan memerlukan ia dipasang di fasiliti GR Factory khas terletak di di kilang Motomachi, Toyota City, Jepun.

    Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    GR Yaris mungkin berkongsi rekaan lampu hadapan dan belakang yang sama dengan Yaris standard, namun model yang jauh lebih berkuasa ini dihasilkan hanya dalam bentuk badan tiga-pintu yang jauh lebih kuat, berbanding lima pintu pada Yaris biasa.

    Dengan badan yang berbeza dan bespoke ini juga membolehkan bumbung GR Yaris ini dihasilkan lebih landai di belakang, 91 mm lebih rendah dari Yaris biasa bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik. Selain itu, GR Yaris juga menerima panel-panel badan yang lebih ringan dan kuat seperti bumbung yang diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga penutup bonet hadapan dan belakang aluminium.

    Jentera rali jalan raya ini ia dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo menghasilkan kuasa 272 PS dan tork maksima 370 Nm – didakwa enjin produksi paling berkuasa dalam kelasnya buat masa sekarang. Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan iMT, dan kuasa diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-Four, secara tidak langsung ini adalah model kesinambungan dari jentera-jentera Celica GT-Four Toyota sebelum ini.

    Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring dengan klac pelbagai lapisan, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Model paling tinggi GR Yaris RZ dan juga versi yang diberikan Circuit Pack di Eropah turut menerima LSD jenis torsen di gandar hadapan dan belakang. Berbanding model Yaris biasa yang hanya memacu roda hadapan dan disertakan hanya sistem suspensi torsion beam di belakang, gandar untuk sistem GR-Four ini pula bergandingan dengan sistem suspensi bebas dari jenis double wishbone.

    Malah sistem brek parkir elektronik pada Yaris biasa turut digantikan dengan brek tangan manual pada GR Yaris ini, dan Toyota turut menghasilkan sistem agar kuasa pada gandar belakang diputuskan ketika brek tersebut ditarik, memudahkan pemandu membuat aksi hand brake turn atau memulakan aksi drift.

    Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    Toyota GR Yaris ini didedahkan buat pertama kali ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020 awal tahun ini, dan mula dijual di Jepun Jun lalu. Ia juga telah dilancarkan di Eropah minggu lalu, dan harga untuk model tertinggi dengan Circuit Pack pada pasaran Jerman adalah 36,740 euros (RM178,800) – lebih kurang dengan harga Honda Civic Type-R FK8 pada pasaran sama.

    Tempahan untuk model ini turut sudah dibuka untuk pasaran Australia pada September lalu, dan kesemua 1,000 unit untuk kumpulan pertama sudah pun habis ditempah hanya dalam masa enam hari.

    Selepas Thailand, adakah pasaran lain di ASEAN akan menerima GR Yaris ini? Kita di Malaysia mungkin turut akan menerimanya selepas ini – Julai lalu, pengedar Toyota di Malaysia iaitu UMW Toyota Motor (UMWT) sudah pun menaikkan satu hantaran di laman media sosial mereka, yang mungkin adalah teaser untuk GR Yaris tersebut.

    Tambahan pula, UMWT telah pun melantik berberapa pengedar untuk mengoperasikan GR Garage di Malaysia bagi menjual GR Supra yang telah dilancarkan pada tahun lalu. Fasiliti dah bersedia, memang tak mustahil GR Yaris akan dijual di sini. Harga? dengan trend yang ditunjukkan bahawa model ini dijual pada harga lebih kurang Civic Type R diseluruh dunia, ia mungkin akan dijual pada harga lebih RM300k di sini.

    GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020