Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • VIDEO: Nob Taniguchi tayang Toyota Hiace miliknya

    Jika ahli perniagaan dan selebriti di Malaysia sukakan MPV Toyota Alphard dan Vellfire sebagai pengangkutan yang memberikan mereka satu ruang privasi ketika bergerak, lain pula halnya untuk pelumba Super GT dan drifter bekas juara D1GP, Nobuteru Taniguchi – dia telah mengubahsuai sebuah van Toyota Hiace untuk tujuan itu.

    Baru-baru ini, beliau berkongsi dengan peminat berkenaan spesifikasi van Hiace tersebut menerusi saluran Youtube peribadi miliknya. Sebagai asas, Taniguchi memilih varian badan Hiace Commuter dengan jarak roda paling panjang, paling lebar serta bumbung paling tinggi. Kemudian ia dihantar ke pakar ubahsuai Hiace di Jepun iaitu Car Revolution Style (CRS) untuk menjalankan kerja-kerja transformasi.

    Konfigurasi 12 tempat duduk asal Hiace berkenaan telah diubahsuai menjadi empat tempat duduk sahaja. Ini membolehkan dia mendapat satu ‘ruang tamu’ yang sangat luas pada bahagian tengah dengan bahagian kargo belakang diasingkan dengan satu pembahagi dibuat di belakang sepasang tempat duduk kapten.

    Ruang ini juga diberikan karpet yang agak tebal seperti karpet rumah, dan anda tidak dibenarkan untuk memakai kasut (kasut boleh diletak dalam tray gentian karbon sebenar yang dibuat oleh HKS untuknya!) disini. Dengan ruang yang besar dan tinggi ini, Taniguchi bukan sahaja boleh berehat di litar sambil menonton TV dalam van ini, malah beliau turut boleh menukar sut lumba di sini.

    VIDEO: Nob Taniguchi tayang Toyota Hiace miliknya

    Ruang kargo juga cukup besar – dengan lantai checkered plate yang dipasang, membolehkan sebuah basikal downhill lengkap diletakkan pada bahagian ini, bersama pelbagai storan lain di bahagian atas dan juga satu ruang untuk menggantung baju.

    Manakala pada bahagian kokpit, tempat duduk asal Hiace telah digantikan dengan sepasang tempat duduk lebih sporty dari Bride yang lengkap dengan pemanas. Kemudian tombol gear ditukar dengan tombol yang lebih sporty, dan roda stereng asal juga sudah tidak lagi digunakan, diganti dengan unit yang diperbuat dari gentian karbon dan dibalut dengan kulit.

    Pada bahagian luaran, van ini menerima warna badan hitam dengan lampu hadapan dan belakang ditukar kepada komponen aftermarket yang menampilkan grafik LED. Badan van ini direndahkan tanpa menyebabkan keselesaannya hilang menerusi pemadanan set suspensi lengkap terdiri daripada penyerap hentak boleh laras dan spring HKS Genb Cloud Walker.

    Set roda asal juga telah ditukar dengan rim keluaran CRS dari siri Essex dengan diameter 19-inci, dibalut dengan tayar bersaiz 225/45R19. CRS juga telah melebarkan kesemua ruang roda Hiace ini bagi memastikan ia sesuai dengan set roda baharu.

    VIDEO: Nob Taniguchi tayang Toyota Hiace miliknya

    Taniguchi memilih Hiace yang dijana oleh enjin petrol 2TR-FE Dual VVT-i 2.7 liter yang menurutnya ia lebih senyap dan mesra alam berbanding versi 2.8 liter turbodiesel. Tiada pengubahsuaian dilakukan pada enjin berkenaan, kecuali sistem throttle controller elektronik dari Blitz yang dapat mengubah respon pendikit tanpa kabel Hiace ini dengan respon yang lebih baik.

    Nama Nobuteru Taniguchi sememangnya sangat sinonim dengan HKS kerana beliau berjaya dinobatkan sebagai juara D1GP pertama dengan jentera Nissan Silvia S15 pasukan HKS, dan sehingga kini masih memandu GR Supra HKS untuk kejohanan tersebut. Dia juga pengemudi tetap untuk jentera-jentera Time Attack HKS Tsukuba Record Breaker atau TRB – TRB-01 Toyota Altezza, TRB-02 Mitsubishi Lancer Evo VIII, TRB-03 Toyota 86 dan TRB-04 Suzuki Swift Sport- yang memecahkan pelbagai rekod terpantas di litar Tsukuba, Jepun.

    Taniguchi juga tidak asing dengan Malaysia kerana pernah memandu jentera GT300 Mazda RX-7 pasukan RE Amemiya yang ditaja oleh M7, dan BMW Z4M Pasukan Petronas Syntium bergandingan dengan pelumba negara ‘Wak Tempe’ Fariqe Hairuman dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance 2009.

     
     
  • Toyota GR Supra Horizon Blue Edition untuk pasaran Jepun – enjin lebih berkuasa, hanya 100-unit, RM303k

    Toyota GR Supra Horizon Blue Edition untuk pasaran Jepun – enjin lebih berkuasa, hanya 100-unit, RM303k

    Toyota telah mengumumkan model edisi khas digelar GR Supra Horizon Blue Edition khas untuk pasaran Jepun. Selain hadir dengan warna biru istimewa yang seiras dengan warna GR Supra yang baharu sahaja dilancarkan dalam permainan video Gran Turismo Sport, salah satu model dalam barisan versi kemaskini 2021 di Jepun ini turut menerima lonjakan kuasa enjin dan berberapa tingkat taraf prestasi lain.

    Model ini diasaskan dari versi paling berkuasa JDM iaitu GR Supra RZ, dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo. Namun berbeza dari versi standard yang menjana hanya 340 ps, enjin B58 pada Horizon Blue Edition ini mengekstrak sejumlah 387 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Jika dilihat pada angka kuasa, model JDM edisi terhad ini nampak menghasilkan kuasa yang sama seperti GR Supra 2021 untuk pasaran Amerika Syarikat yang didedahkan pada Februari lalu. Bagi mengekstrak 14% kuasa lebih banyak ini, enjin tersebut telah diolah semula pada berberapa bahagian dan bukan sekadar talaan semula pada kotak komputer enjin.

    Toyota GR Supra Horizon Blue Edition untuk pasaran Jepun – enjin lebih berkuasa, hanya 100-unit, RM303k

    Toyota telah menggantikan set omboh asal dengan unit rekaan baharu yang mampu merendahkan nisbah mampatan dalam kebuk pembakaran dari 11:1 kepada 10.2:1, bagi meningkatkan boost dari pengecas turbo. Kemudian, manifold ekzos juga ditelah direka semula untuk melengkapkan sentuhan semula ini. Ia masih dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF.

    Bagi menyesuaikan casis kereta ini dengan kuasa kuda yang telah bertambah, ia telah menerima berberapa pendakap kerangka baharu, serta sistem suspensi yang ditala semula. Selain hadir dengan warna badan biru, GR Supra edisi khas ini juga menerima berberapa perincian berbeza lain pada bahagian luaran, antaranya set rim 19-inci dan juga penutup cermin sisi yang diwarnakan hitam.

    Toyota GR Supra Horizon Blue Edition untuk pasaran Jepun – enjin lebih berkuasa, hanya 100-unit, RM303k

    Serlahan-serlahan biru turut diberikan pada bahagian kabin seperti jahitan benang biru pada tempat duduk, papan pemukan dan roda stereng. Untuk model kemaskini 2021 di Jepun, skrin infotaimen untuk Supra RZ telah ditingkat taraf dari 6.5-inci kepada 8.8-inci.

    Toyota GR Supra Horizon Blue Edition ini hanya dihasilkan sebanyak 100-unit dan akan dijual pada harga 7,413,000 yen (RM303k), atau 100,000 yen (RM4k) lebih mahal dari GR Supra RZ biasa. Tempahan untuk model ini telahpun dibuka di Jepun, namun pelanggan terawal hanya akan menerima kereta mereka bermula Oktober nanti.

     
     
  • BMW Motorrad Malaysia sediakan khidmat ambil motosikal di rumah untuk servis, baik pulih waktu PKP

    BMW Motorrad Malaysia sediakan khidmat ambil motosikal di rumah untuk servis, baik pulih waktu PKP

    Dengan peraturan kawalan pergerakan yang telah dilonggarkan sedikit sekarang, semakin banyak pusat servis sudah kembali dibuka termasuklah BMW Motorrad Malaysia. Melalui beberapa wakil mereka di seluruh negara, BMW Motorrad juga menyediakan khidmat untuk mengambil dan menghantar motosikal ke rumah.

    Antara pusat servis yang menyediakan khidmat ini adalah termasuk Auto Bavaria di Ara Damansara dan Pulau Pinang, El Chong Motor di Sungai Jawi, Tian Sang di Ipoh, Millennium Welt di Sabah dan Kuantan, serta Regas Premium di Sabah.

    Walaupun sudah dibuka, perhatian sentiasa diberi kepada kebersihan dan penjarakan sosial, sementara pelanggan pula perlu menghubungi pusat servis terlebih dahulu untuk menempah slot waktu servis serta khidmat pengambilan dan penghantaran semula ke rumah.

     
     
  • Motosikal elektrik Super Soco masuk pasaran Malaysia November 2020 — barisan lengkap, dari RM16k?

    Motosikal elektrik Super Soco masuk pasaran Malaysia November 2020 — barisan lengkap, dari RM16k?

    Khabarnya, ada motosikal elektrik terbaru yang akan masuk ke pasaran Malaysia tahun ini. Difahamkan, barisan motosikal elektrik Super Soco dari China ketika ini sedang menunggu kelulusan Vehicle Type Approval (VTA) untuk membolehkannya dijual dan digunakan di Malaysia.

    Bagaimanapun, perkembangan lebih terperinci berkaitan motosikal elektrik atau e-bike ini kemungkinan besar hanya akan dapat ketahui selepas tempoh PKP nanti. Sejauh mana khabar angin ini betul, itu kita lihat perkembangannya kelak.

    Mungkin, keseluruhan barisan model Super Soco akan dibawa masuk untuk pasaran tempatan. Ini termasuk model TC Max dan e-bike TC dalam gaya retro serta TC naked sport. Ini juga dijangka mungkin akan diikuti oleh model-model seperti skuter elektrik CPx dan CUx, bergantung kepada situasi dan peraturan.

    Motosikal elektrik Super Soco masuk pasaran Malaysia November 2020 — barisan lengkap, dari RM16k?

    Tiada sebarang maklumat berkaitan harga untuk pasaran tempatan buat masa ini. Tetapi, berdasarkan jualan motosikal berkenaan di pasaran Eropah dan UK, ia mungkin memberikan sedikit petunjuk. Super Soco TC dijual pada harga 3,748 pound Sterling (RM20,333), sementara CUx pula pada harga 2,811 pound Sterling (RM15,247).

    Ketika ini, difahamkan Super Soco Malaysia sedang dalam usaha untuk memastikan pematuhan peraturan tempatan bagi model-model motosikal elektrik ini. Jika semuanya berjalan lancar, ini akan memberikan pengalaman baru kepada tunggangan dan gaya hidup pengguna di Malaysia.

    Siri TC dan TS bagi Super Soco e-bike ini didatangkan dengan motor elektrik Bosch yang dipasangkan pada hub, memberikan 120 Nm tork dan jarak perjalanan 80 km. Sementara itu bagi e-skuter CPx dan CUx, ia dilengkapi bateri 60-Volt, 30 Ah yang membekalkan jarak perjalanan 75 km dengan motor elektrik Bosch 130 Nm tork.

     
     
  • PKP: SOP fasa ke-4 dilonggarkan; pergerakan lebih 10 km dan 2 ahli keluarga dalam sebuah kereta dibenar

    PKP: SOP fasa ke-4 dilonggarkan; pergerakan lebih 10 km dan 2 ahli keluarga dalam sebuah kereta dibenar

    Bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-empat bermula hari ini, kerajaan memutuskan sedikit kelonggaran untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membenarkan orang ramai melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan melebihi 10 kilometer. Walau bagaimana pun, ia hanya dibenarkan sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediaman individu terbabit

    Selain itu, kerajaan juga membenarkan dua orang individu bergerak dalam satu kenderaan. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan ketua keluarga membawa salah seorang ahli keluarga terdekatnya yang menetap di rumah yang sama, melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian, makanan dan mendapatkan perkhidmatan perubatan.

    Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020 telah diwartakan dan berkuat kuasa 29 April 2020 hingga 12 Mei 2020.

    Beliau berkata, pergerakan melebihi 10 km itu bagaimanapun mesti yang terhampir bagi tujuan dibenarkan. “Contohnya nak ke klinik, jika ada yang jarak 15 km harus pergi ke situ, jangan pula pergi yang jaraknya 30 km,” tegasnya.

    Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

    Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain untuk disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya. Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah.

    Sebelum ini, PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu, hanya memberikan kebenaran kepada seorang sahaja anggota keluarga bagi setiap isi rumah untuk keluar membeli makanan, keperluan harian dan ubatan, dengan jarak radius tidak lebih daripada 10 km dari rumah masing-masing.

     
     
  • Kia Stinger popular dikalangan bekas pemilik Holden Commodore V8, jualan di Australia ‘OK’ – laporan

    Kia Stinger popular dikalangan bekas pemilik Holden Commodore V8, jualan di Australia ‘OK’ – laporan

    Kerana angka jualannya yang tidak memberangsangkan, hayat produksi Kia Stinger dilaporkan akan berakhir hanya pada model generasi pertama, tanpa model gantian generasi kedua. Namun, walaupun jualan untuk kereta ini suram di pasaran seluruh dunia, Stinger nyata mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Australia.

    Menurut laporan CarAdvice, Stinger agak digemari dan popular dikalangan bekas-bekas pemilik sedan besar berkuasa tinggi buatan Australia iaitu Holden Commodore V8 dan Ford Falcon XR6 Turbo, serta mencatatkan jualan domestik yang baik.

    Tahun lalu di pasaran berkenaan, sebanyak 1,773 buah Stinger telah berjaya dijual dan ia mencatatkan jualan yang jauh lebih besar dari kembarnya iaitu Genesis G70, yang hanya dijual sebanyak 63 unit, dedah portal automotif Australia itu.

    Kia Stinger popular dikalangan bekas pemilik Holden Commodore V8, jualan di Australia ‘OK’ – laporan

    Berkenaan kemungkinan tiada lagi Stinger akan dihasilkan untuk generasi kedua, Kia Australia memberi respon, “Kia Motors Australia tidak berminat untuk memberikan sebarang komen terhadap laman blog antarabangsa itu.”

    Kia Stinger telah pun masuk ke pasaran Malaysia pada Julai 2018, hadir dengan dua varian enjin iaitu 2.0 T-GDI GT-Line berharga RM239,888, dan model paling berkuasa 3.3L V6 menjana 365 hp/510 Nm dijual pada harga RM309,888. Namun pada awal tahun lalu, Naza Kia mengumumkan harga baharu Stinger termasuk SST yang menyaksikan peningkatan sekitar RM25k untuk model 2.0 GT-Line kepada RM264,888, dan naik RM74k bagi model V6 kepada RM383,888.

    Mungkin disebabkan harganya begitu tinggi dan kita di Malaysia masih lagi tidak boleh menerima sebuah Kia dengan harga Mercedes-Benz dan BMW, agak sukar untuk melihat Stinger ini merayap di atas jalan di sini.

     
     
  • Toyota telah berjaya jual 15 juta kereta hibrid elektrik

    Toyota telah berjaya jual 15 juta kereta hibrid elektrik

    Sejak pengenalan pertama model Prius generasi pertama di peringkat global 23 tahun lalu, kenderaan hibrid elektrik keluaran Toyota yang telah terjual di seluruh dunia sepanjang tempoh berkenaan telah mencecah 15 juta unit, melibatkan semua jenama di bawah syarikat itu.

    Dan, Australia menjadi pasaran yang menyaksikan peningkatan dan penggunaan kenderaan jenis itu dengan lonjakan yang paling tinggi. Pasaran itu mencatatkan sebanyak 134,200 unit kenderaan – melebihi tahap 100,000 unit dalam tempoh hanya 11 bulan.

    Bagi dua tahun sebelum ini sahaja jualan kenderaan hibrid di sana menunjukkan peningkatan tiga kali ganda. Pada 2017, sejumlah 8,500 unit terjual, tetapi pada tahun lalu, angka berkenaan telah melonjak kepada 27,800 unit. Sementara itu, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini pula, jualan kenderaan hibrid Toyota Australia telah mencapai angka 11,756 unit kenderaan, atau menyumbang kepada 23.5% jumlah jualan syarikat itu di sana yang juga mencapai rekod baru.

    Sejak Prius mula diperkenalkan pada 1997 (2001 di Australia), ia telah diikuti dengan pengenalan banyak lagi model hibrid elektrik yang sentiasa memperkemas dan meningkatkan lagi prestasi, penggunaan minyak serta tahap kecekapan emisi. Jualan kenderaan hibrid Toyota meningkat selepas syarikat itu menggabungkan teknologi hibrid dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang lebih dinamik dan selamat.

    Toyota telah berjaya jual 15 juta kereta hibrid elektrik

    Menurut Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley, kenderaan hibrid akan memainkan peranan penting di dalam keseluruhan penawaran kenderaan oleh jenama itu kerana ia lebih mampu milik dan mudah digunakan oleh pengguna.

    “Toyota memiliki pengalaman dua dekad berkaitan elektrifikasi dan teknologi hibrid – motor elektrik, bateri dan unit kawalan kuasa – dan semua ini boleh dipindahkan kepada semua bentuk unit penjanaan kuasa elektrik,” jelas beliau.

    “Kepakaran ini akan memastikan Toyota sentiasa berada di depan dalam membangunkan beberapa jenis kenderaan dengan ciri elektrifikasi di masa hadapan, sekaligus menyumbang pembebasan emisi berdasarkan peraturan di pasaran berlainan, infrastruktur serta permintaan pelanggan,” ujar beliau lagi.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia mula buka pusat servis terpilih

    Mitsubishi Malaysia mula buka pusat servis terpilih

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan syarikat itu telah memulakan operasi di pusat servis terpilih seluruh negara bermula hari ini. Ini adalah selari dengan beberapa lagi perkembangan sama dari jenama-jenama automotif lain yang juga kini mula operasi mereka secara bersyarat.

    Bagi MMM, ini adalah susulan kepada kelulusan yang diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membenarkan beberapa pusat servis terpilihnya kembali beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Empat yang bermula hari ini. Pelanggan boleh menghubungi pusat servis rasmi MMM terdekat sekiranya kenderaan mereka memerlukan servis dan perhatian segera.

    Namun, dalam usaha untuk memastikan semua pusat servis yang ada selamat untuk petugas dan pelanggan sentiasa terjamin, langkah-langkah berikut akan diambil di setiap lokasi:

    • Ia hanya berdasarkan temujanji, tiada pelanggan walk-in
    • Penerimaan kenderaan tanpa sentuhan individu
    • Hanya untuk serahan dan mengambil kenderaan, pelanggan tak boleh menunggu di premis
    • Pemeriksaan suhu badan dan penggunaan topeng muka bagi semua individu
    • Cecair nyah-kuman akan disediakan dipintu masuk pusat servis
    • Kenderaan juga akan dinyah-kuman sebelum diserahkan semula kepada pelanggan

    Bagi sebarang pertanyaan atau kecemasan, pelanggan boleh menghubungi pusat servis Mitsubishi Assist 24 Jam di talian 1-800-88-2166 / 03-21610246 atau dapatkan maklumat lanjut di http://www.mitsubishi-motors.com.my/.

     
     
  • BMW 4 Series Coupe G22 – perincian awal didedahkan

    BMW 4 Series Coupe G22 – perincian awal didedahkan

    BMW telah mendedahkan perincian awal untuk 4 Series Coupe generasi seterusnya atau juga dikenali sebagai G22. Dalam siaran akhbar rasminya, model ini diberitahu sedang menjalani ujian-ujian akhir dan beberapa spesifikasinya turut didedah bersama. Waktu sebenar ia akan dilancar tidak diberitahu tetapi mengikut laporan sebelum ini, mungkin sekitar bulan Jun.

    Varian paling atas untuk 4 Series Coupe ini adalah M440i xDrive, dan ia akan dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris turbo yang mampu menghasilkan kuasa 369 hp dan 500 Nm tork. Ini mungkin adalah enjin 3.0 liter B58 yang sama seperti yang digunakan pada 3 Series M340i dan M340i xDrive yang dijual di Eropah

    Apa yang berbeza antara enjin 4 Series ini dengan enjin pada 3 Series adalah sistem hibrid ringkas 48 volt yang menggunakan starter generator serta bateri kedua. Sistem ini digunakan untuk mengurangkan kelambatan (lag) turbo, di mana ia menyediakan 11 hp boost elektrik sebelum boost daripada turbo boleh naik sepenuhnya pada 1,500 rpm.

    BMW 4 Series Coupe G22 – perincian awal didedahkan

    Daripada enjin, kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive. Turut diberi adalah differential M Sport kawalan elektronik, brek M Sport serta rim M 18 inci.

    Varian lain yang akan ditawarkan untuk 4 Series Coupe ini adalah 430i, di mana ia menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter B48 yang mampu menghasilkan kuasa 255 hp dan 400 Nm tork. Enjin ini juga dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan, tetapi cuma menggunakan pacuan dua roda belakang. Menurut laporan Autocar, ia juga akan ditambah lagi dengan varian 420i, 430d dan 435d.

    Di sebalik badannya, 4 Series Coupe ini dibina atas platform CLAR (Cluster Architecture) yang sama seperti beberapa model terbaru BMW, dan menjadikannya 42 mm lebih panjang (2,852 mm) berbanding model sebelumnya. BMW juga memberitahu model coupe ini 57 mm lebih panjang berbanding 3 Series dan bumbungnya yang rendah turut membantu menjadikan titik graviti lebih rendah 21 mm.

    BMW 4 Series Coupe G22 – perincian awal didedahkan

    Model 4 Series ini dinyatakan secara jelas bahawa ia bukanlah setakat 3 Series yang mempunyai dua pintu. Ciri lebih sporty diterapkan padanya, dengan jarak antara roda kiri dan kanan 23 mm lebih lebar, sementara suspensinya juga mendapat talaan unik serta pemetaan elastokinematik sendiri.

    Bahagian gandar belakang juga dipasang dengan penguat sokongan untuk menjadikannya lebih tegap dan stabil semasa memecut. Untuk mempertingkatkan maklum balas serta ketepatan stereng, model ini juga mendapat penyambung khas serta tambahan panel pada bahagian bulkhead.

    Selepas masuk dalam pasaran, 4 Series Coupe ini akan disertai pula oleh versi bumbung boleh buka (G23) dan Gran Coupe (G24). Kemasan bahagian luar kenderaan ini walaubagaimanapun masih lagi dilindungi oleh pelekat samaran.

     
     
  • VIDEO: Dengar bunyi ‘VTEC Kick-in’ yang jelas dari enjin V6 Honda NSX dengan trumpet sistem ITB

    ** Edit: this post is not from a Honda page. If you are seeing this as a shared post, please do not ask to join Apex…

    Posted by Dan M Henderson on Saturday, 25 April 2020

    Pada era 90’an dahulu, sistem VTEC dari Honda boleh dianggap sangat maju ke hadapan berbanding sistem pengeluar lain. Namun sekarang pada tahun 2020, teknologi ini sudahpun masuk dalam kategori ‘old-school’, dan Honda sendiri kini lebih gemarkan sistem injap bervariasi yang ‘lebih lembut’ seperti sistem VTC, digandingkan dengan pengecas turbo.

    Walaupun sudah masuk kategori ‘klasik’, rasanya masih ada lagi yang belum dapat dengar bagaimana perubahan bunyi dari mod “Dr. Jekyll” kepada “Mr. Hyde” enjin VTEC sebenar ini. Jadi, seorang warga net bernama Dan M Henderson telah berkongsi satu video yang diambil dengan meletakkan kamera pada ruang enjin Honda NSX kawannya, di mana enjin V6 DOHC VTEC tersebut telah menerima tingkat taraf dengan pengubahsuaian sistem suntikan bahan api asal, kepada sistem Individual Throttle Body (ITB).

    Dengan penggunaan sistem tersebut, setiap silinder enjin berkenaan menerima satu throttle body tersendiri lengkap dengan velocity stack (trumpet), yang menghasilkan bunyi sedutan udara ke dalam enjin yang kuat, seterusnya menghasilkan bunyi enjin yang garau serta peralihan dari satu durasi ke durasi lebih agresif pada aci sesondol (camshaft) yang dibuat oleh sistem DOHC VTEC berkenaan kedengaran jauh lebih jelas.

    Untuk mereka yang masih belum tahu apa sebenarnya sistem VTEC ini, mari sini saya jelaskan sedikit. VTEC bermaksud Variable Valve Timing and Lift Electronic Control – di mana pada sebatang aci sesondol, Honda meletakkan dua atau tiga cam lobe yang berbeza durasi, dari untuk kegunaan jalan raya, kepada durasi yang membolehkan injap terbuka lebih lama seperti aci sesondol kereta lumba yang membolehkan campuran udara dan bahan api masuk lebih banyak ke kebuk pembakaran ketika strok kuasa.

    Penukaran durasi tersebut berlaku dalam takat rpm tertentu – misalnya untuk sistem dua durasi berbeza, ia bertukar pada sekitar 4,500 rpm – dan dioperasikan menerusi sistem hidraulik istimewa pada rocker arm yang menerima arahan dari kotak komputer enjin. Dalam video di atas, anda boleh dengar dengan jelas dalam rpm tertentu, bunyi enjin tersebut berubah lebih agresif menandakan durasi aci sesondol yang berubah dari biasa ke durasi perlumbaan.

    Untuk model-model Honda lebih moden, ia telah digantikan dengan sistem i-VTEC di mana selain dari sistem VTEC pada pada rocker arm, ia juga diberikan sistem VTC dimana tempoh durasi bukaan injap tersebut boleh bermula lebih awal atau lebih lewat menggunakan sistem hidraulik pada pulley aci sesondol.

    Sistem i-VTEC ini bukan hanya digunakan pada model-model prestasi Honda, tetapi turut diberikan pada model-model biasa bagi meningkatkan kadar efisien penggunaan bahan api. Namun untuk model biasa, perbezaan darjah durasi aci sesondol tersebut tidak ketara dan tidak terlalu besar, dan anda tidak akan dengar bunyi ‘jeritan VTEC’ dan terasa pecutan yang agresif seperti sistem asal VTEC dan DOHC VTEC.

    Manakala untuk sistem VTEC Turbo pada enjin-enjin Earth Dreams Honda, hanya enjin 1.0 liter turbo pada Honda City GN1 dan Civic pasaran Eropah yang masih mempunyai mekanisma VTEC sebenar pada injap kemasukan. Pada enjin K20C1 Civic Type R FK8 pula mekanisma VTEC berkenaan hanya diberikan pada injap ekzos bagi memberikan putaran turbo yang lebih laju, manakala pada enjin-enjin turbo 1.5L seperti pada Civic dan CR-V, tiada langsung mekanisma VTEC asal diberikan dan hanya menerima sistem VTC pada pulley aci sesondol.

    NSX generasi pertama telah diproduksi oleh Honda dari tahun 1990 hingga 2005. Sepanjang tempoh berkenaan, ia menerima facelift pada tahun 1997 dengan kod casis NA2 (NA1 untuk model asal dari 1990). Perubahan yang diberikan pada model kemaskini tersebut bukan sekadar melibatkan aspek kosmetik seperti lampu hadapan jenis pop-up kepada jenis tetap, ia turut menerima perubahan dari segi prestasi. NSX NA2 telah dijana oleh enjin C32B 3.2 liter menghasilkan 290 hp/304 Nm, menggantikan enjin C30A 3.0 liter pada NA1 yang menghasilkan 270 hp/285 Nm.

     
     
  • Honda Malaysia kembali buka pusat servis terpilih

    Honda Malaysia kembali buka pusat servis terpilih

    Hari ini Honda Malaysia (HM) mengumumkan operasi di beberapa pusat servis berdaftar mereka kembali dibuka waktu kawalan pergerakan (PKP) ini selepas mendapatkan kebenaran daripada kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (MITI).

    Walaubagaimanapun, pelanggan yang mahu menghantar kenderaan perlulah membuat temu janji terlebih dahulu dan khidmat tidak diberikan kepada mereka yang datang secara terus (walk-in). HM juga telah mewujudkan protokol yang ketat untuk mengelakkan penyebaran Covid-19 termasuk mengimbas suhu dan penggunaan cecair pembasmi kuman waktu tiba.

    Sesiapa yang menunjukkan suhu lebih daripada 37.5 celsius atau menunjukkan sebarang tanda yang berkaitan dengan Covid-19 seperti demam, batuk dan susah bernafas akan dinasihatkan untuk meninggalkan premis dan mendapatkan rawatan secara segera.

    Demi memastikan terdapat penjarakan sosial, pelanggan yang sudah mempunyai temu janji boleh terus beredar selepas meninggalkan kenderaan di pusat servis dan berhubung dengan penasihat servis melalui telefon. Selain untuk pelanggan, kebersihan serta penjarakan sosial antara pekerja juga sentiasa dijaga.

    HM juga memberitahu bahawa pembukaan semula pusat servis ini akan dilakukan secara berperingkat dan senarai pusat servis yang dibuka akan dikemas kini masa ke semasa di dalam laman web rasmi Honda Malaysia.

     
     
  • PKP: Orang ramai boleh keluar berdua untuk beli keperluan harian, makanan dan ubatan mulai hari ini

    PKP: Orang ramai boleh keluar berdua untuk beli keperluan harian, makanan dan ubatan mulai hari ini

    Perintah Kawalan Pergarakan (PKP) yang telah memasuki fasa ke-empat hari ini telah memberikan sedikit kelonggaran kepada orang ramai di mana ketua keluarga yang keluar membeli makanan, ubat-ubatan atau barangan keperluan harian kini dibenarkan membawa seorang lagi ahli keluarga bersama. Walau bagaimana pun, ketiga-tiga tujuan berkenaan masih tertakluk dalam radius 10 kilometer dari kediaman masing-masing.

    Menurut laporan Berita Harian, kebenaran itu berdasarkan kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.

    Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

    PKP: Orang ramai boleh keluar berdua untuk beli keperluan harian, makanan dan ubatan mulai hari ini

    Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain untuk disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.

    Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah.

    Walau bagaimana pun, kami akan mengemaskini maklumat selanjutnya berdasarkan pengumuman oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang hariannya sebentar nanti.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Mac 2020 susut 44%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Mac 2020 susut 44%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Mac 2020. Di mana pada bulan terbabit hanya menyaksikan sebanyak 20,260 unit terjual, iaitu menyusut kira-kira 44% atau kurang 17,925 unit berbanding 40,403 unit yang direkodkan pada Februari.

    MAA berkata, penyusutan ketara bagi jualan kenderaan di Malaysia adalah disebabkan operasi perniagaan yang terpaksa dihentikan mulai 18 Mac lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Bagi angka tahun ke tahun untuk Mac juga dilihat lebih rendah dari tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu sebanyak 32,298 unit berbanding 54,776 unit pada Mac 2019.

    Untuk April 2020, MAA berkata tiada jualan yang direkodkan, kerana semua bilik pameran di seluruh negara masih ditutup berikutan PKP yang dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

     
     
  • PKP: Syarikat dari sektor yang dibenarkan sudah boleh kembali beroperasi sepenuhnya – MITI

    PKP: Syarikat dari sektor yang dibenarkan sudah boleh kembali beroperasi sepenuhnya – MITI

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengumumkan sektor ekonomi yang telah dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh fasa pertama, kedua dan ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diberikan lampu hijau untuk meningkatkan kapasiti operasi mereka sepenuhnya tanpa sekatan mulai hari ini, 29 April 2020.

    Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap bagi sektor masing-masing. Di mana syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran.

    Menurut beliau, sekiranya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan, syarikat terbabit akan diarah untuk menghentikan operasi serta-merta dan turut berhadapan dengan tindakan undang-undang.

    “Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan ‘kebiasaan baharu’ dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan,” katanya.

    Langkah tersebut diambil selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bersidang semalam bagi membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

    Mesyuarat meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional, selain disertai Kementerian Kesihatan (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan serta Ketua Pengarah Kesihatan yang membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan.

    Menurut MITI, perbincangan tersebut tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan.

    Pada 10 April lalu, kerajaan telah mengumumkan beberapa sektor tambahan telah dibenarkan beroperasi sepanjang PKP bagi tujuan menggerakkan ekonomi negara. Bagi industri automotif, ia hanya dihadkan untuk tujuan eksport kenderaan CBU serta peralatan dan komponen, dan pembukaan semula pusat servis bertauliah atau bengkel membaikpulih kenderaan.

     
     
  • Lima pusat servis Auto Bavaria kembali beroperasi

    Lima pusat servis Auto Bavaria kembali beroperasi

    Pengedar BMW, Auto Bavaria, telah mengumumkan pembukaan semula pusat servisnya bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 12 Mei ini. Dimaklumkan bahawa pusat servis berkenaan telah pun mula beroperasi sejak minggu lalu selepas menerima kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Syarikat terbabit turut berkata, untuk pelanggan yang ingin ke salah satu pusat servis yang telah beroperasi semula, perlulah membuat temujanji terlebih dahulu sebelum menghantar kereta masing-masing untuk diselenggara atau dibaikpulih. Berikut merupakan pusat servis yang telah dibuka dan waktu operasinya:

    • Auto Bavaria Ara Damansara (Isnin-Jumaat, 9 pagi hingga 4 petang; Sabtu, 9 pagi hingga 12.30 tengahari)
    • Auto Bavaria Kuala Lumpur (Isnin-Jumaat, 9 pagi hingga 4 petang)
    • Auto Bavaria Sungai Besi (Isnin-Jumaat, 9 pagi hingga 4 petang)
    • Auto Bavaria Johor Bahru (Isnin-Jumaat, 9 pagi hingga 4 petang)
    • Auto Bavaria Penang (Isnin dan Khamis, 8 pagi hingga 5 petang)

    Untuk membuat temujanji, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Auto Bavaria di talian 1-300-133 338.

     
     
  • Hyundai Elantra N Line diprebiu dalam video sebelum didedahkan – bunyi lebih garang, rupa lebih sporty

    Selepas model asasnya didedahkan Mac lalu, tidak lama lagi Hyundai bakal memperkenalkan pula Elantra generasi baharu dalam versi N-Line pula – teaser telah disiarkan dalam bentuk video, menunjukkan ia dipandu dengan badan yang masih dilindungi pelekat penyamaran. Ini bukan model penuh Hyundai N seperti i30 N dan Veloster N, namun ia adalah versi yang lebih sporty bagi menggantikan Elantra Sport pada model generasi sebelum ini.

    Video tersebut masih belum mendedahkan sebarang perincian teknikal, tetapi menerusi khabar yang bertiup sebelum ini, ia tidak akan menggunakan enjin 2.0L NA dan kotak gear CVT seperti model standard, sebaliknya akan dijana oleh enjin 1.6 liter Turbo-GDI seperti Elantra Sport sebelum ini dan Elantra GT (nama i30 di Amerika) N Line berkuasa 201 hp/265 Nm, bersama kotak gear DCT tujuh-kelajuan.

    Khabar tersebut mungkin tepat kerana menerusi video teaser di atas, Elantra N Line ini menghasilkan bunyi yang lebih garang dan bunyi gear ditukar menerusi pedal penukar gear juga tidak seperti transmisi CVT.

    Kita mungkin tidak dapat melihat dengan jelas apa perbezaan rupa Elantra N Line ini dengan versi biasa kerana pelekat penyamaran yang digunakan. Namun boleh dilihat, ia menerima kit badan yang lebih labuh, suspensi lebih rendah, rekaan rim yang berbeza, serta tip ekzos berkembar diserlahkan pada bampar belakang (tip ekzos disorokkan pada model standard).

    Seperti Elantra Sport, Elantra N Line ini akan berhadapan dengan saingan yang sama di Amerika Syarikat ketika dilancarkan nanti, seperti Honda Civic Si dan Volkswagen Jetta GLI. Menerusi laporan sebelum ini, Elantra generasi baharu tersebut turut dikhabarkan akan dihasilkan dalam versi N sebenar, dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 275 PS/353 Nm.

     
     
  • BMW 5 Series G30 facelift 2021 terdedah lebih awal

    BMW 5 Series G30 facelift 2021 terdedah lebih awal

    Rupa sebenar BMW 5 Series facelift 2021 (atau dipanggil oleh BMW sebagai G30 LCI) nampaknya sudah terdedah lebih awal di dalam internet. Muncul di laman BMW Blog, dua gambar ini menunjukkan versi M Sport, yang mempunyai penampilan lebih sporty dan beberapa perubahan.

    Pada bahagian hadapan, perubahan paling utama tentunya adalah gril, di mana sekarang ia menggunakan unit berbentuk baru sama seperti model-model terkini BMW. Saiznya nampak bersesuaian, seperti model 3 Series, dan tidak terlalu besar seperti 7 Series. Jalur menegak yang berwarna krom menampakkan lagi kemasan tengahnya.

    Bahagian lain di hadapan ini juga mengikuti perubahan yang diberikan seperti 3 Series, dengan lampu yang lebih nipis serta DRL LED yang baru. Rekaan bampar untuk versi M Sport ini juga berbeza, di mana anda boleh melihat garisan yang membahagikan bukaan tengah adalah lebih tajam dan bukaan udara di penjuru lebih berpetak.

    BMW 5 Series G30 facelift 2021 terdedah lebih awal

    Pergi ke belakang, cuma bahagian lampu LED sahaja yang ditukar. Ia nampak lebih gelap, sekali lagi sama seperti 3 Series, dan grafik nyalaannya nampak lebih jelas berbanding 5 Series yang dijual sekarang. Bahagian bampar walaupun sekali imbas nampak seperti sama, tapi sebenarnya mempunyai lekuk yang sedikit berbeza.

    Satu lagi perkara menarik yang dapat dilihat adalah lencana 530e, yang sekaligus melenyapkan khabar angin bahawa model ini akan diberikan naik taraf kepada enjin enam silinder seperti 745Le (dipanggil sebagai 740 Le di Malaysia) dan X5 xDrive45e. Mungkin enjin empat silinder 2.0 turbo dengan bantuan elektrik akan terus digunakan padanya.

    GALERI: BMW 530e M Sport G30 dalam pasaran sekarang

     
     
  • Toyota hasilkan 40,000 unit pelindung muka dalam tempoh sebulan sebagai usaha menangani COVID-19

    Toyota hasilkan 40,000 unit pelindung muka dalam tempoh sebulan sebagai usaha menangani COVID-19

    Toyota Motor Corporation (Toyota) dengan beberapa anak syarikat di bawah Toyota Group bekerjasama menghasilkan pelindung muka perubatan di Jepun, dengan meningkatkan kapasiti produksi daripada 600 unit seminggu, kini mencecah 2,000 unit sehari atau pun mencapai 40,000 unit sebulan. Jumlah ini mampu dipertingkatkan sehingga 70,000 unit dalam tempoh sebulan, menurut syarikat berkenaan.

    Syarikat di bawah Toyota Group yang menghasilkan pelindung muka perubatan termasuklah Toyota Motor East Japan, Toyoda Gosei, Daihatsu dan Hino, dengan Daihatsu dan Hino telah pun menyediakan pelindung muka kepada fasiliti perubatan di kawasan berdekatan mereka. Sebagai tambahan, Toyota Industries Corporation telah merancang untuk mengeluarkan sejumlah 10,000 unit pelindung muka bermula 29 April ini, sementara Toyoda Auto Body akan memulakan produksi mulai pertengahan Mei ini.

    Toyota hasilkan 40,000 unit pelindung muka dalam tempoh sebulan sebagai usaha menangani COVID-19

    Pengeluaran pelindung muka perubatan dari Toyota Motor Corporation dihasilkan di kilang Teiho dan Motomacho, sementara yang dari Toyota Industries dan Toyota Motor East Japan pula masing-masing akan dikeluarkan di kilang Kyowa dan Miyagi. Kilang Kyowa akan menghasilkan sekitar 500 unit sehari, sementara kilang Miyagi Ohira pula bakal mengeluarkan sejumlah 600 pelindung muka sehari.

    Peningkatan kadar produksi bagi pelindungi muka perubatan ini adalah susulan inisiatif syarikat gergasi Jepun dalam usaha untuk membantu pengeluar peralatan perubatan dengan menggunakan Toyota Production System (TPS) bagi meningkatkan produktiviti. Toyota juga telah memanfaatkan rantaian bekalannya untuk barang-barang keperluan lain termasuk topeng muka, peralatan pelindung diri, termometer dan lain-lain.

     
     
  • PKP: Perlu memohon permit melalui aplikasi Gerak Malaysia untuk urusan lain, termasuk beli makanan?

    PKP: Perlu memohon permit melalui aplikasi Gerak Malaysia untuk urusan lain, termasuk beli makanan?

    Ketika ini, mungkin ramai yang sudah maklum dengan aplikasi Gerak Malaysia, yang membolehkan pengguna untuk menghantar permohonan pergerakan mereka (jika ada situasi memerlukan), antaranya untuk melakukan perjalanan rentas negeri atau bagi mereka yang terkandas di kampung sebelum PKP untuk pulang ke bandar.

    Apa yang lebih menarik, jika diteliti senarai FAQ Gerak Malaysia, aplikasi berkenaan juga mampu untuk memproses beberapa permit lain. Ini termasuklah permit pergerakan kecemasan (dan hal-hal kesihatan), pembelian makanan dan keperluan harian serta kebenaran untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan. Ciri ini – yang berasingan daripada permohonan pergerakan antara negeri – dimaklumkan akan mula disediakan bermula 1 Mei.

    Walaupun tidak dihuraikan secara terperinci, permit ini dipercayai akan menjadi satu keperluan untuk memudahkan urusan pengguna ketika di tahan di sekatan jalan raya, di mana had pergerakan ketika ini ialah dalam radius 10 km (selain untuk urusan kesihatan) masih lagi diguna pakai. Setiap permit akan mempunyai kekerapan yang berbeza bagi setiap permohonannya.

    Bagi tujuan kecemasan, misalnya untuk membeli ubatan atau mendapatkan rawatan kesihatan, tiada had mingguan yang ditetapkan bagi permohonannya; ia boleh dilakukan secara harian, tetapi pengguna perlu menyediakan sekali dokumen sokongan untuk tujuan berkaitan serta menunjukkan kod QR di sekatan jalan.

    Bagi tujuan pembelian makanan dan keperluan harian pula, kod QR akan disediakan bagi perjalanan yang lancar, tetapi jumlah atau kekerapannya adalah terhad, dan pengguna hanya boleh memohon tiga kali seminggu. Permohon perlu memilih masa untuk keluar, dan kod QR sah akan diberikan untuk pergerakan tersebut mengikut slot waktu yang diberikan.

    PKP: Perlu memohon permit melalui aplikasi Gerak Malaysia untuk urusan lain, termasuk beli makanan?

    JOHOR BAHRU, 16 April — Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia memeriksa pemandu-pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Lebuhraya Sultan Iskandar, hari ini.
    –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

    Selebihnya, ada juga disebutkan tentang permit bagi aktiviti-aktiviti berkaitan. Walaupun belum ada maklumat terperinci, ia mungkin bertujuan untuk mereka yang ingin ke bank, hantar kenderaan untuk servis dan melakukan rutin lain yang melibatkan perniagaan-perniagaan perkhidmatan penting yang dibenarkan semasa PKP. Seorang pengguna hanya dibenarkan memohon permit ini seminggu sekali sahaja, dan dokumen sokongan juga perlu diserahkan ketika diperiksa dalam sekatan jalan, termasuk kod QR sekali.

    Dalam bahasa mudahn, ini bertujuan untuk memudahkan mereka yang ditahan ketika sekatan jalan raya ketika melalukan urusan-urusan seperti yang disebut. Apa pandangan anda terhadap pendekatan baru untuk menguruskan – dan menghadkan – pergerakan ketika PKP, sekiranya ia benar-benar dilaksanakan?

     
     
  • PKP: SOP lebih longgar di zon hijau mungkin diumum minggu depan, perbincangan dalam peringkat akhir

    PKP: SOP lebih longgar di zon hijau mungkin diumum minggu depan, perbincangan dalam peringkat akhir

    Lanjutan dari kemungkinan kawasan-kawasan yang diiktiraf sebagai zon hijau akan diberi sedikit kelonggaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebut oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu, beliau hari ini berkata prosedur operasi standard (SOP) tersebut mungkin akan diumum minggu hadapan, lapor Astro Awani.

    Katanya dalam sidang media harian di Putrajaya sebentar tadi, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini dalam peringkat akhir bagi membentangkan perkara tersebut. Jelas beliau, pada peringkat awal, kelonggaran PKP tersebut kemungkinan dibuat secara berperingkat dan terhad untuk pergerakan dalam kawasan sahaja.

    “Contohnya dalam kawasan projek perumahan awam (pangsapuri), jika sepanjang PKP ini semua penduduk didapati tiada gejala, mungkin kita benarkan mereka bawa anak-anak turun dari blok tapi tidak keluar dari kawasan itu.

    PKP: SOP lebih longgar di zon hijau mungkin diumum minggu depan, perbincangan dalam peringkat akhir

    “SOP yang dikeluarkan mungkin akan menentukan giliran blok dan masa yang akan ditetapkan. Ini semua sedang dirangka dan MKN sedang mendapatkan input daripada semua kementerian. Minggu depan kita boleh muktamadkan input yang dikaji oleh MKN bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kita akan umumkan nanti,” katanya.

    Menteri berkenaan turut mengulas mengenai pertimbangan untuk melanjutkan operasi kedai makan sehingga jam 10 malam bagi kemudahan tempahan pelanggan berbuka puasa dan bersahur, di mana ia mungkin dipertimbangkan dalam SOP baharu membabitkan zon hijau.

    “Setakat ini operasi kedai makan masih kekal dengan SOP lama iaitu sehingga jam 8 malam. Pelanggan perlu buat tempahan lebih awal. Namun SOP berdasarkan zon akan dipertimbangkan. Jadi mungkin boleh dipertimbangkan untuk zon hijau nanti. Tapi kena tunggu SOP (dibentangkan) MKN nanti,” jelasnya

    Selain dari itu, menurutnya kerajaan turut sedang membuat pertimbangan untuk membenarkan premis pajak gadai yang berada dalam zon hijau untuk beroperasi semula.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026