Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Letupan di kilang Honda di Jepun, dua pekerja cedera

    Letupan di kilang Honda di Jepun, dua pekerja cedera

    Salah satu kilang Suzuka milik Honda di Jepun, telah mengalami insiden letupan kelmarin yang mengakibatkan dua pekerjanya cedera akibat melecur dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Menurut laporan Reuters, polis negara berkeaan berkata, letupan pada bod suis itu terjadi pada jam 9:15 pagi (waktu tempatan) di kilang yang terletak di daerah Mie. Kedua-dua pekerja yang tercedera itu sedang memeriksa bod suis berkenaan sewaktu insiden berlaku. Jurucakap Honda berkata pihaknya sedang menyiasat punca insiden berkenaan.

    Merupakan salah satu kilang produksi domestik Honda yang terbesar, kilang Suzuka berkenaan menghasilkan model termasuk siri kei car N-Box. Jurucakap kilang berkenaan pula berkata kilang terbabit akan beroperasi seperti biasa hari ini.

    Ini merupakan insiden kedua yang menimpa kilang Honda sejak kebelakangan ini. Pada minggu lalu, kilang Honda menjadi sasaran serangan siber. Ia menyebabkan Honda menggantung produksi beberapa pengeluaran kereta dan motosikalnya di seluruh dunia, termasuk di USA, Turki, India dan Brazil.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Mazda turun hingga RM8,090

    Pengecualian SST 2020: Mazda turun hingga RM8,090

    Bermaz Motor telah mendedahkan harga terbaru model Mazda yang dijual di Malaysia, setelah dilaras mengikut pengecualian cukai jualan yang diberikan kerajaan sebanyak 50% untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk model import (CBU).

    Harga baru ini diguna pakai serta merta, sehingga 31 Disember 2020 dengan melihatkan penjimatan antara 2.7% hingga 3.9% atau jika melihat pada nilainya, ia antara RM2,800 hingga RM8,090. Mazda 2, yang merupakan model paling mampu milik Mazda sekarang dijual pada harga RM100,870 (-RM2,800) untuk kedua-dua sedan dan hatchback.

    Pergi pula kepada Mazda 3, pembeli baru boleh menikmati penjimatan sehingga RM5,380 atau 3.36% bergantung kepada varian mana yang dipilih. Mazda 6, yang ditawarkan dalam empat varian pula menunjukkan penurunan harga sehingga RM7,690 atau 3.5%.

    Pengecualian SST 2020: Mazda turun hingga RM8,090

    Bagi model SUV Mazda, CX-3 sekarang dijual pada harga RM126,829, iaitu RM3,330 atau 2.56% lebih murah berbanding harga sebelum ini RM130,159. CX-30, yang masih baru dalam pasaran menunjukkan penjimatan sehingga RM5,600 atau 3.18% manakala CX-5 pula menunjukkan penurunan sehingga RM6,808.30 atau 3.91%.

    Dua model yang tertinggi dijual Mazda sekarang, dan merupakan SUV tujuh tempat duduk, iaitu CX-8 dan CX-9 masing-masing menunjukkan penurunan sehingga RM7,657.20 atau 3.9% dan RM8,090 atau 2.78% (kini dijual pada harga RM282,520.40).

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Renault umum penjimatan sehingga RM11,670 atau 3.89% lebih murah

    Pengecualian SST 2020: Renault umum penjimatan sehingga RM11,670 atau 3.89% lebih murah

    TC Euro Cars,pengedar rasmi model Renault di Malaysia, juga tidak ketinggalan dalam mengumumkan senarai harga baharu susulan pengumuman kerajaan yang memberikan pengecualian/pengurangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Seperti jenama kenderaan yang lain, senarai harga ini hanya sah mulai hari ini, 15 Jun sehinggalah 31 Disember 2020.

    Bagi model pemasangan tempatan (CKD) Captur layak menerima pengecualian cukai sebanyak 100%, kini 2.49% lebih murah iaitu berharga atas jalan RM105,289 tanpa insurans, memberikan penjimatan sehingga RM2,691. Walau pun syarikat ini tidak mengumumkan harga bagi varian lain di dalam kenyataan mediannya, namun menerusi laman web rasminya mendedahkan varian Captur+ menerima rebat yang sama, walau bagaimana pun terdapat beberapa ciri tambahan yang dianggap sebagai aksesori dan tidak dicukaikan. Jadi harganya kini RM110,608, iaitu 2.38% lebih murah berbanding sebelum ini.

    Pengecualian SST 2020: Renault umum penjimatan sehingga RM11,670 atau 3.89% lebih murah

    Manakala model yang lebih mahal pula ialah Captur Trophy. Model yang dilengkapi dengan kit badan ini merupakan edisi terhad yang pada dasarnya dijual dengan harga yang sama dengan Captur standard iaitu RM107,980, tapi Trophy kini didatangkan dengan pakej berasingan dengan kos extra RM6,020, menjadikan harga keseluruhannya meningkat hingga RM111,308.

    Lain-lain model dalam barisan pula adalah import sepenuhnya dan hanya menerima pengurangan SST sebanyak 50%. Bagi Koleos, kini ia RM6,687 lebih murah untuk versi standard (kini RM173,201, turun 3.72%) dan RM7,021 lebih murah untuk Signature (kini RM182,867, turun 3.72%. Varian Signature Plus kini didatangkan dengan kit badan dan dash cam. Harga runcitnya ialah RM194,888, tetapi dengan diskaun yang sama iaitu sebanyak RM7,021 iaitu 3.6% lebih murah dan kini berharga RM187,867.

    Pengecualian SST 2020: Renault umum penjimatan sehingga RM11,670 atau 3.89% lebih murah

    Untuk Megane RS 280 pula, ia menerima penjimatan yang lebih signifikan dan kini ditawarkan pada harga RM270,089 (turun 3.5%, atau RM9,799) untuk versi manual enam-kelajuan dan RM288,218 (turun 3.89%, atau RM11,670) bagi transmisi dwi-klac.

    Tawaran penjimatan ini juga adalah untuk pelanggan yang membeli kereta pilihan mereka menerusi dalam talian Renault E-Store. Turut diterima ialah pengecualian bayaran ansuran selama enam bulan dan rebat tambahan untuk trade-in sehingga RM8,400 untuk Captur, RM4,000 bagi Koleos dan RM17,000 untuk Megane RS 280. Captur dan Koleos juga menerima pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun/100,000 km.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    5 Jun lalu, kerajaan mengumumkan pelan pemulihan ekonomi dikenali dengan nama Penjana, bertujuan untuk memangkin dan perancakkan pertumbuhan ekonomi dan perniagaan selepas tiga bulan kita berada dalam keadaan “beku” akibat Covid-19.

    Termasuk dalam pelan berkenaan ialah bantuan kepada sektor automotif berkaitan pengecualian cukai jualan. Seperti yang diumumkan, pengecualian berkenaan melibatkan 100% pengecualian cukai jualan (SST) terhadap kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% pengurangan cukai bagi kenderaan CBU – bermula dari 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

    Jadi, di sini kami himpunkan senarai harga baru bagi semua jenama dan kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi oleh pengeluar masing-masing setakta ini. Antara lain, jadual ini juga menunjukkan jumlah penjimatan sebenar bagi setiap model yang terlibat. Bagaimanapun, masih ada beberapa jenama yang masih belum mengumumkan harga rasmi terbaru mereka. Itu akan kami kemaskini dari semasa ke semasa.

    BMW

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Hampir semua barisan model BMW terlibat dengan penurunan harga, bermula dari RM7,005 bagi model peringkat kemasukan 320i Sport G20 hingga RM31,388 bagi model 840i Gran Coupe M Sport G16. Daripada semua model yang ada, 740Le xDrive LCI G12 menikmati penjimatan paling banyak iaitu -4.97%. Bagaimanapun, varian-varian 5 Series G30 belum termasuk di dalam senarai pengecualian SST ini.

    Lexus

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Harga kenderaan Lexus secara keseluruhannya turun, bermula dengan model paling murah dalam barisan sedia ada, UX 200 Urban melibatkan RM8,416. Menjengah kepada model-model lain yang lebih mahal, pengecualian cukai ini juga memberikan penjimatan yang semakin banyak – sekitar RM40k – bagi model yang berharga jutaan ringgit, seperti LS 500 Executive dan LC 500 2020 yang baru saja diperkenalkan. Bagi Lexus, struktur harga baru ini adalah sah sehingga 31 Januari 2021.

    Mazda

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Barisan kenderaan edaran Bermaz Motor pula terdiri daripada kedua-dua model CBU dan CKD, dengan semuanya memperlihatkan penurunan harga sehingga RM8,090 atau 3.91%. Model popular CX-5 misalnya melibatkan penjimatan sehingga RM6,808.30 atau 3.75% bagi varian paling tinggi 2.5T AWD High. Sementara Mazda 3 kini dijual pada harga RM5,380 atau 3.36% lebih rendah bergantung kepada varian.

    Mercedes-Benz

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Mercedes-Benz Malaysia, dengan barisan model dan varian yang sangat banyak, menyaksikan penurunan harga antara RM7,734 hingga RM49,775, atau dari 1.86% kepada hingga 7.11%. Secara purata, semua model, termasuk versi AMG, mencatat penurunan antara 3%-4% – termasuklah model AMG terbaru, A45S Edition 1 dan CLA45S. Pengurangan paling banyak ialah bagi model S450 AMG Line, melibatkan angka RM50k/7.11%.

    MINI

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Seperti BMW, semua model MINI turut menikmati penurunan harga hingga Disember nanti, dengan penjimatan dari RM8,146 bagi Countryman Pure hingga RM13,997 bagi Countryman John Cooper Works. Keseluruhannya, semua model MINI melibatkan penurunan antara 3.52% hingga 3.86%.

    Perodua

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Perodua merupakan syarikat yang pertama sekali mengumumkan harga baru dengan pengecualian SST bagi model-model keluarannya. Dan, secara purata, ia melibatkan penjimatan sekitar 3%-6%. Penjimatan bermula dari RM723 bagi Axia 1.0 E manual hinggalah kepada RM4,674 bagi Aruz 1.5 Advance. Bagi Bezza dan Myvi pula melibatkan penjimatan harga antara 3.25% dan 3.5%.

    Renault

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Bagi Renault, hanya ada satu kenderaan CKD yang dijual ketika itu, iaitu Captur. Sedikti aneh, walaupun Captur 1.2 TCe dan TCe + kini lebih murah, Captur Throphy sebaliknya menjadi model pertama dengan harga dikemaskini yang lebih mahal – naik RM6,020. Megane RS 280 Cup EDC menjadi model dengan penjimatan paling banyak – RM11,670.

    Toyota

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Bagi Toyota, semua kenderaan – kecuali Innova “spec teksi” dan trak pikap Hilux – mencatatkan penurunan. Bagi model CBU seperti Alphard dan Vellfire, turut menyaksikan penurunan yang besar disebabkan tanda harganya yang tinggi.

    Volkswagen

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Dengan pengecualian SST ini, harga kenderaan Volkswagen mencatatkan pengurangan harga antara RM930 bagi model Polo 1.6 MPI Comfortline hinggalah RM9,484 bagi unit CBU Golf R Mk7.5. Dua varian Tiguan pula kini jimat RM3,882, sementara Passat menerima pengurangan harga RM6,134. Hanya harga Beetle Sport masih kekal.

    Volvo

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Semua kenderaan Volvo untuk pasaran tempatan ketika ini adalah versi CKD. Untuk itu, semuanya menikmati penjimatan daripada pengecualian SST ketika ini – sebagai contoh, S60 T8 R-Design jimat RM13,348, hinggalah kepada XC90 T5 Momentum dengan penjimatan RM23,078; bagi XC90, ia mengambil kira kenaikan harga sebelum ini dari RM373,888 kepada RM350,810, melibatkan pengurangan 6.17%.

    Tiada perubahan harga trak pikap

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga terbaru semua kenderaan yang telah diumumkan secara rasmi

    Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), trak pikap tidak akan menikmati pengecualian cukai jualan sama seperti kenderaan penumpang lain kerana ia diklasifikasikan sebagai kenderaan perdagangan. Insentif ini hanya untuk kenderaan penumpang, termasuk SUV dan MPV. Jadi, semua model trak pikap seperti Ford Ranger, Isuzu D-Max, Mitsubishi Triton, Nissan Navara dan Toyota Hilux masih kekal dengan harga seperti sebelum ini.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: MINI Malaysia umum turun harga antara RM8,146-RM13,997 sehingga 31 Dis 2020

    Pengecualian SST 2020: MINI Malaysia umum turun harga antara RM8,146-RM13,997 sehingga 31 Dis 2020

    MINI Malaysia telah mengemaskini senarai harga untuk kesemua modelnya mengikut pengecualian cukai jualan sebanyak 100% bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk model import sepenuhnya (CBU) yang diberi oleh kerajaan sehingga 31 Disember 2020.

    Menurut MINI Malaysia, inisiatif cukai di bawah pelan stimulus PENJANA yang disasarkan untuk mendorong perniagaan dan merangsang ekonomi pada saat negara kita melalui masa pemulihan akibat wabak COVID-19. Semakan harga ini adalah untuk semua barisan model MINI di Malaysia dan bagi kenderaan yang disaftarkan dari 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

    Bagi MINI Cooper S 3-pintu yang sebelum ini ditawarkan pada harga dari RM249,888, kini menjadi RM240,777.56, menyaksikan penurunan harga sebanyak RM9,110.44 atau 3.65%. Manakala model John Cooper Works 3-pintu dikurangkan dari RM313,888 ke RM302,831.50, menurun sebanyak RM11,056.50 atau 3.52%.

    Pengecualian SST 2020: MINI Malaysia umum turun harga antara RM8,146-RM13,997 sehingga 31 Dis 2020

    Sementara itu, Cooper S Convertible juga dikurangkan dari RM278,888 ke RM269,899.47, melibatkan penurunan harga sebanyak RM9,988.53 atau 3.57%. Bagi Cooper S 5-pintu kini menjadi RM250,506.94 berbanding harga sebelum ini RM259,888, turun sebanyak RM9,381.06 atau 3.61%.

    Untuk barisan Clubman pula, harga Cooper S dikurangkan dari RM298,888 menjadi RM287,725.61, turun sebanyak RM11,162.39 atau 3.73%. Manakala Clubman John Cooper Works menyaksikan penyusutan harga dari RM358,888 ke RM345,497.82, iaitu kurang sebanyak RM13,390.18 atau 3.73%.

    Bagi Countryman Pure, harganya dikurangkan dari RM228,888 ke RM220,741.14, dengan pengurangaan sebanyak RM8,146.86 atau 3.56%. Manakala Countryman Sports pula melibatkan penurunan harga dari RM248,888 ke RM239,280.38, turun sebanyak RM9,607.62 atau 3.86%. Untuk Countryman Blackheath Edition pula, turun dari RM253,888 menjadi RM244,280.38, dikurangkan sehingga 3.78%. Dan Countryman John Cooper Works pula dikurangkan dari RM378,888 ke RM364,890.83, melibatkan pengurangan sebanyak RM13,997.17 atau 3.69%.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Kenderaan BMW turun harga antara RM7k hingga RM31k, 1.82% hingga 4.97%

    Pengecualian SST 2020: Kenderaan BMW turun harga antara RM7k hingga RM31k, 1.82% hingga 4.97%

    Berikutan daripada pengecualian cukai jualan kenderaan 100% untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk kenderaan import sepenuhnya (CBU), kami kini telah memperoleh senarai harga penuh untuk kenderaan yang dipasarkan oleh BMW Malaysia.

    Disebabkan ini adalah jenama kenderaan mewah yang mempunyai harga jualan lebih RM240k, anda akan dapat melihat jumlah potongan harga yang lebih tinggi iaitu dari sekitar RM7k hingga RM31k. Peratusan penurunan harga pula berada antara 2.82% hingga 4.97%.

    Model paling murah yang dijual oleh BMW sekarang adalah 320i Sport, pada harga RM241,794.40 (sebelum ini RM248,800) manakala model paling tinggi adalah 840i Gran Coupe M Sport, pada harga RM937,411.23 (sebelum ini RM968,800).

    Pengecualian SST 2020: Kenderaan BMW turun harga antara RM7k hingga RM31k, 1.82% hingga 4.97%

    Sekiranya anda saksikan jadual di atas, barisan model 5 Series G30 tidak dimasukkan kerana tiada perubahan harga dan mungkin juga menandakan ketibaan model facelift baru tidak lama lagi. Model 6 Series 630i Gran Turismo G32 masih lagi dijual pada harga RM430,800 (turun RM8,000).

    Model yang menerima penurunan paling banyak adalah 740Le xDrive, iaitu 4.97%, yang menjadikan harganya sekarang RM569,052.87. Pergi kepada model SUV, peratusan penurunannya adalah antara 2.93% hingga 3.59%, dengan model paling murah adalah X1 sDrive20i M Sport pada RM225,410.37 (turun RM8,389.63.

     
     
  • Volkswagen Passat & Tiguan ‘United’ diperkenal di Malaysia – edisi terhad dengan aksesori istimewa

    Volkswagen Passat & Tiguan ‘United’ diperkenal di Malaysia – edisi terhad dengan aksesori istimewa

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini telah mengumumkan model edisi terhad ‘United’ untuk sedan Passat dan juga SUV Tiguan. Menurut syarikat berkenaan, dua model istimewa ini dilancarkan bagi “meraikan kekuatan perpaduan, satu semangat yang sememangnya sudah lama wujud dalam jenama Volkswagen.”

    Kedua-dua model tersebut hadir dengan penutup hab pada rim dengan logo VW yang sentiasa tegak walaupun roda berputar seperti logo pada model-model mewah Rolls Royce. Untuk Passat, ia turut hadir dengan logo VW yang terpancar menerusi lampu LED apabila pintu hadapan di buka.

    Volkswagen Passat United akan dijual pada harga RM193,856, dan menurut VPCM ia turut hadir dengan aksesori yang bernilai RM12,000. Antara aksesori berkenaan termasuk set pedal aluminium, plat kaki pada bendul pintu, rim Verona 19-inci baharu, filem penapis haba VW Tint dan juga emblem United.

    Manakala untuk Tiguan United, ia dijual pada harga RM166,108 dan menerima aksesori bernilai RM4,000 yang terdiri dari bampar sport di hadapan, spoiler belakang, kemasan krom pada bahagian belakang, pelindung ruang kargo, tip ekzos krom, filem penapis haba VW Tint dan emblem United,

    “Walaupun ada hubungan di antara rangkaian model United dengan penglibatan Volkswagen dalam sukan bola sepak, signifikan nama dan apa yang diwakilinya sangat relevan dengan perkembangan dan cabaran yang kita hadapi pada hari ini. Bukan itu sahaja, prinsip utama jenama Volkswagen ialah #wenotme yang memberi penekanan terhadap aspek kesatuan dan kebersamaan,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

    Volkswagen Malaysia juga akan mengadakan Rumah Terbuka Raya Volkswagen secara maya pada 13 dan 14 Jun 2020 oleh semua pengedar Volkswagen di seluruh negara menerusi saluran media sosial masing-masing. Pelanggan bakal menerima rebat tambahan sebanyak RM1,000 ke atas mana-mana model Volkswagen yang ditempah sepanjang dua hari tersebut.

    Tawaran lain yang turut diumumkan oleh VPCM termasuk Tiguan yang kini hadir dengan pembayaran bulanan selama enam bulan secara percuma bagi unit yang didaftarkan sehingga 30 Jun. Manakala Passat pula ditawarkan dengan insurans percuma selama setahun. Perkhidmatan penghantaran secara percuma ke rumah pelanggan dalam radius 20km turut disediakan.

     
     
  • Harga minyak 13-19 Jun – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 8 sen, diesel pula naik sebanyak 10 sen

    Harga minyak 13-19 Jun – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 8 sen, diesel pula naik sebanyak 10 sen

    Minggu bertarikh 13 hingga 19 Jun 2020 turut menyaksikan kenaikan harga bagi bahan api utama di negara, dan merupakan kenaikan tertinggi sepanjang tempoh sebulan ini.

    Harga runcit bagi petrol naik sebanyak 8 sen, iaitu RM1.86 seliter bagi RON 97 yang minggu sebelum ini berharga RM1.78 seliter. Manakala untuk RON 95 pula, daripada RM1.48 seliter, kini menjadi RM1.56 seliter.

    Untuk diesel pula, harganya naik lebih banyak iaitu 10 sen, kini menjadi RM1.73 seliter bagi Euro 2M, dan RM1.83 seliter untuk Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 19 Jun 2020.

    Seperti sebulan yang lalu, Kementerian Kewangan Malaysia masih memberikan alasan yang sama bagi kenaikan harga ini, iaitu disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Sebelum itu, terdapat laporan media menyebut Kerajaan Persekutuan sudah membatalkan perintah harga siling terhadap minyak petrol dan diesel melalui Warta Kerajaan bertarikh 3 Jun lalu. Walau bagaimana pun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi menafikan perintah harga siling bagi minyak petrol dan diesel telah dibatalkan.

     
     
  • Pas Perjalanan tanpa had My30 bermula 15 Jun ini, ganti sementara pas My100, My50 – COO Prasarana

    Pas Perjalanan tanpa had My30 bermula 15 Jun ini, ganti sementara pas My100, My50 – COO Prasarana

    Seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai program My30 iaitu pas perjalanan tanpa had menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (#PENJANA) yang bakal bermula pada Isnin ini, 15 Jun 2020, ini pula kenyataan rasmi daripada Prasarana Berhad sendiri.

    Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias menggambarkan kelebihan pas perjalanan tanpa had bernilai RM30 untuk tempoh 30 hari ibarat dengan harga sekeping roti canai atau seringgit, warga kota boleh menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana tanpa had untuk satu hari.

    Beliau turut berkata, program pas My30 ini adalah bagi menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had #My100 dan #My50, yang merupakan inisiatif yang cukup bijaksana daripada Kerajaan dalam menjana semula ekonomi negara, yang amat terkesan daripada penularan wabak COVID-19.

    “Bayangkan dengan harga sekeping roti canai atau RM1, anda boleh menggunakan perkhidmatan MRT, LRT, monorail, BRT dan semua bas henti-henti Rapid KL di samping bas perantara berulang alik dan tanpa had dalam masa satu hari dengan menggunakan My30. Ia sememangnya satu penjimatan yang cukup hebat untuk semua rakyat Malaysia di Lembah Klang,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini.

    Pakej istimewa ini sah untuk tempoh enam bulan daripada 15 Jun sehingga akhir Disember, sekali gus menggantikan sementara pakej My100, yang dijual dengan harga RM100 untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari.

    Terbuka eksklusif untuk rakyat Malaysia, para pengguna boleh mula mendaftar untuk pakej baru My30 ini mulai Isnin ini di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan 5 hab bas di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

    “Pihak pengurusan Kumpulan Prasarana sentiasa mendukung aspirasi kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat. Dalam mengharungi situasi yang mencabar pada ketika ini, kami berharap agar pengguna dapat memanfaatkan produk My30 sebaiknya dan terus menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid KL. Sejurus selepas berakhir promosi untuk My30 ini, pakej-pakej My100 dan My50 akan dijual semula mulai 1 Januari 2021,” katanya lagi.

    Manakala pakej My100, yang diperkenalkan pada 1 Januari 2019, memberi kelebihan untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan LRT, MRT, monorel, BRT dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT, pakej My50, yang berharga RM50, adalah untuk penggunaan tanpa had bas henti-henti Rapid KL selama 30 hari.

    “Nyata, pakej My30 menawarkan penjimatan yang jauh lebih hebat. Dan, dengan peningkatan dalam mobiliti dan produktiviti untuk rakyat melalui perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien, ini tentunya akan membantu menjana ekonomi domestik negara dan memberikan impak yang positif dalam usaha pemulihan ekonomi negara,” kata Muhammad Nizam.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi nasihat kepada semua para pengguna pengangkutan awam untuk sentiasa mematuhi etika dalam norma baharu penggunaan pengangkutan awam khususnya pemakaian penutup muka dan menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman.

    Pengguna Rapid KL boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pas My30 daripada kakitangan Rapid KL di stesen rel atau hab bas. Selain itu, mereka juga boleh melayari media sosial Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Volvo jimat sehingga RM23k

    Pengecualian SST 2020: Volvo jimat sehingga RM23k

    Ada yang mengidam nak beli mana-mana model Volvo baharu selepas cukai jualan ditolak seperti apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam pelan stimulus PENJANA minggu lalu? Ini dia, Volvo Cars Malaysia (VCM) telah memperincikan harga setiap model mereka selepas 15 Jun ini, sehingga 31 Disember 2020 nanti.

    Dengan kesemua model mereka kini dibuat secara pemasangan tempatan (CKD) menerusi kilang yang terletak di Shah Alam, model-model Volvo mampu dijual dengan harga cukup kompetitif – insentif yang diumumkan tempoh hari menyatakan bahawa model CKD akan menerima penolakan 100% untuk cukai jualan, manakala model import sepenuhnya (CBU) hanya menerima pengecualian 50% cukai berkenaan.

    Oleh itu, XC40 T5 R-Design akan dijual pada harga RM241,450, berbanding RM255,888 pada harga asal dengan penjimatan RM14,438 (atau 5.64%).

    Pengecualian SST 2020: Volvo jimat sehingga RM23k

    SUV lebih besar XC60 dari varian bermula T5 Momentum hingga T8 Inscription Plus pula menyaksikan penjimatan sehingga RM19,478 atau 6.52%. Manakala barisan model SUV paling besar Volvo iaitu XC90 juga membariskan varian yang sama kini RM23,078 atau 6.17% lebih murah dari sebelum ini.

    Untuk anda yang berminat dengan model sedan, S60 T8 R-Design CKD berkuasa 407 hp/640 Nm yang baharu sahaja dilancarkan tempoh hari akan dijual pada harga RM282,540, atau RM13,348 (-4.51%) lebih murah dari harga asal RM295,888.

    Sedan paling besar Volvo iaitu barisan model S90 dalam tiga varian –T5 Momentum, T8 Inscription dan T8 Inscription Plus – kini menawarkan penjimatan sehingga RM19,258 atau 5.68%.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Lexus Malaysia umumkan penjimatan sehingga RM47k untuk model CBU

    Pengecualian SST 2020: Lexus Malaysia umumkan penjimatan sehingga RM47k untuk model CBU

    Selain dari Toyota, divisi mewah jenama Jepun berkenaan iaitu Lexus turut mendedahkan harga baharu dengan pengecualian cukai jualan sebanyak 50% untuk model-model yang diimport sepenuhnya (CBU) seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam pelan stimulus PENJANA minggu lalu.

    Seperti yang diberitahu sebelum ini, penolakan cukai berkenaan akan bermula pada 15 Jun sehingga akhir tahun nanti, namun Lexus mengumumkan bahawa tawaran harga yang diumumkan ini akan dipanjangkan sehingga 31 Januari 2021.

    Menerusi jadual yang telah kami sediakan di bawah, dapat dilihat penjimatan antara RM8,416 hingga RM10,524 diberikan pada barisan model UX 200, atau purata -3.5% lebih rendah dari sebelum ini. Untuk barisan model NX 300 pula, penjimatan hampir RM14k (-3.96%) diberikan, manakala untuk pembeli RX300 pula akan menikmati penjimatan sehingga RM15,701 (-3.57%) untuk varian F-Sport.

    Pengecualian SST 2020: Lexus Malaysia umumkan penjimatan sehingga RM47k untuk model CBU

    Beralih ke barisan model sedan, model ES 250 Premium dan Luxury yang sebelum ini dijual pada harga masing-masing RM299,888 dan RM332,888, selepas ini akan menerima harga baharu masing-masing RM288,663 (-RM11,225 atau -3.74%) dan RM320,510 (-RM12,378 atau -3.72%).

    Untuk model flagship LS 500 Luxury pula, pembeli akan menerima penjimatan sebanyak RM38,008 (-3.62%) dari sebelum ini dengan harga RM1,012,692, manakala versi Executive dengan Kiriko Glass diberikan pengurangan harga lebih banyak iaitu RM47,292 (-3.48%) dengan harga baharu RM1,311,508.

    Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana pula dengan model sport LC 500 bukan? Model yang baharu sahaja dikemaskini untuk versi 2020 berkenaan akan dijual pada harga RM1,205,217, atau RM44,783 (3.58%) kurang dari harga sebelum ini.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Harga kenderaan Toyota turun antara RM1,099 ke RM17,391 sehingga 31 Disember

    Pengecualian SST 2020: Harga kenderaan Toyota turun antara RM1,099 ke RM17,391 sehingga 31 Disember

    Satu lagi pengeluar yang telah mengeluarkan harga rasmi kenderaan setelah dilaras mengikut pengecualian cukai jualan yang diberi oleh kerajaan sehingga 31 Disember 2020 adalah UMW Toyota dan di bawah kami sediakan jadual menunjukkan kadar penurunannya.

    Seperti yang anda boleh lihat, hampir semua kenderaan yang dijual oleh UMW Toyota diberikan pengurangan harga sementara beberapa lagi model seperti Hilux, Hiace dan teksi Avanza dikecualikan kerana ia termasuk dalam kategori kenderaan komersial (tiada pengecualian cukai).

    Penurunan harga kenderaan Toyota di Malaysia berada dalam lingkungan antara 1.34% (Vios 1.5G) hingga 5.71% (Fortuner 2.4 VRZ 4×4), dan apabila melihat kepada jumlahnya pula, ia berada antara RM1,099 (Vios 1.5J) hingga RM17,391 (Alphard 3.5L).

    Pengecualian SST 2020: Harga kenderaan Toyota turun antara RM1,099 ke RM17,391 sehingga 31 Disember

    Model paling mampu milik yang ditawarkan oleh UMW Toyota sekarang adalah Yaris 1.5J, di mana harganya telah menurun RM1,312 menjadi RM69,576 manakala untuk varian paling tinggi model ini, Yaris 1.5G dikurangkan RM1,413 untuk menjadi RM82,475.

    Selain model yang sudah berada dalam pasaran, UMW Toyota juga telah mendedahkan harga RAV4 yang cuma akan dilancarkan 18 Jun ini, di mana untuk tempahan, harga untuk varian 2.0L dan 2.5L masing-masing adalah RM203,880 dan RM223,880, tetapi akan dilaras menjadi RM196,436 dan RM215,665 setelah mengambil kira pengecualian cukai ini.

     
     
  • PKPP: Pemantauan aktiviti konvoi motosikal, samseng jalanan dan lumba haram dipertingkatkan – PDRM

    PKPP: Pemantauan aktiviti konvoi motosikal, samseng jalanan dan lumba haram dipertingkatkan – PDRM

    Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan pemantauan terhadap sebarang kegiatan lumba haram dan aktiviti konvoi bermotosikal. Ini termasuklah dengan kegiatan samseng jalanan.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, Skuad Unit Risikan Operasi (Skuad 42) tindakan undang-undang adalah seperti biasa dan tiada perbezaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

    “Jika melakukan kesalahan seperti memandu dalam keadaan laju, melulu, dan bahaya serta mabuk, mereka ini akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya. Skuad 42 JSPT sentiasa dalam keadaan bersedia termasuk meningkatkan lagi Op Mabuk,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Walau bagaimana pun, katanya, setakat ini tiada laporan lumba haram dan aktiviti konvoi motosikal dalam jumlah besar diterima pihaknya, namun polis sentiasa memantau dengan mengadakan sekatan jalan raya khas, dari semasa ke semasa.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Senarai harga kenderaan Volkswagen – turun antara RM930 hingga RM9,485

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga kenderaan Volkswagen – turun antara RM930 hingga RM9,485

    Berikutan pengecualian cukai jualan kenderaan yang diberikan oleh kerajaan dalam usaha untuk merancakkan semula ekonomi selepas PKP, kami kini sudah memperoleh senarai harga penuh daripada satu lagi pengeluar iaitu Volkswagen.

    Ini adalah harga yang telah dilaras untuk mengikut pengecualian cukai tersebut, dan memperlihatkan pengurangan antara 1.24% hingga 3.12%, atau bersamaan antara RM930 hingga RM9,485. Model paling murah yang dijual oleh Volkswagen sekarang adalah Polo 1.6 MPI Comfortline, pada harga RM74,060 (-RM930).

    Kebanyakan model Volkswagen yang dijual di Malaysia adalah model pemasangan tempatan, termasuk Polo, Vento, Tiguan dan Passat, jadi kesemuanya menerima potongan cukai jualan penuh. Melihat kepada model Tiguan, varian tinggi 1.4 TSI Highline JOIN kini dijual pada harga RM172,108 (-RM3,882) manakala Passat pula RM181,856 (-RM6,134).

    Penjimatan paling banyak adalah untuk model Golf R Mk7.5, iaitu kini dijual pada harga RM294,905, dengan menandakan pengurangan RM9,485 atau 3.12% meskipun ia adalah model import sepenuhnya dan cuma menerima 50% pengurangan cukai.

     
     
  • Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan – 4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

    Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan –  4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

    Selepas lebih tiga tahun diperkenalkan, akhirnya Porsche Cayenne generasi ketiga kini menerima enjin dalam konfigurasi V8 dengan lencana GTS, selepas ianya digugurkan pada model facelift generasi kedua pada tahun 2014. Model baharu ini didedahkan untuk kedua-dua versi badan serentak iaitu Cayenne GTS dan juga Cayenne GTS Coupe.

    Enjin V8 pada GTS generasi baharu ini dihasilkan hanya dalam kapasiti 4.0 liter berbanding 4.8 liter sebelum ini. Namun dengan dua pengecas turbo, ia mampu menghasilkan kuasa 460 PS dan tork maksima 620 Nm, atau 20 PS/20 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya.

    Model GTS ini masih diletakkan di bawah satu anak tangga berbanding Cayenne Turbo di mana model tersebut juga dijana enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo ditala bagi menghasilkan 550 PS/770 Nm. Namun GTS masih lagi lebih berkuasa dari model Cayenne S yang menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo berkembar yang menghasilkan 440 PS/550 Nm.

    Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan –  4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

    Kedua-dua versi Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe ini mampu mencatatkan pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat (dengan pakej Sport Chrono) atau 0.6 saat lebih pantas dari GTS generasi sebelumnya. Kelajuan maksima pula dicatatkan pada 270 km/j. Enjin V8 berkenaan turut diberikan sistem kawalan silinder adaptif dan juga sistem ekzos sport. Ia digandingkan bersama kotak gear lapan-kelajuan automatik Tiptronic S.

    Casis model GTS ini juga 20 mm lebih rendah dari model S, dan turut hadir dengan sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus). Pembeli turut boleh memilih sistem suspensi udara tiga-kebuk yang membolehkan ia direndahkan lagi sebanyak 10 mm.

    Opsyen lain yang turut ditawarkan untuk sistem pengendalian Cayenne GTS dan GTS Coupe ini adalah sistem stereng untuk gandar belakang dan juga sistem penstabil olengan badan Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC).

    Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan –  4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

    Untuk brek, model ini datang standard dengan angkup berwarna merah bersama cakera logam berdiameter 390 mm di hadapan dan 358 mm di belakang. Namun, pembeli turut ditawarkan dengan tingkat taraf pakej Porsche Surface Coated Brake (PSCB) dengan salutan tungsten karbida pada cakera atau pilihan pakej Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).

    Porsche Cayenne GTS dan GTS Coupe ini diberikan pakej penggayaan Sport Design secara standard, bersama pelbagai serlahan hitam pada bahagian luar seperti pada liang udara hadapan, kemasan tingkap sisi, tip ekzos dan juga logo-logo pada bahagian belakang.

    Penggayaan SUV ini turut dilengkapkan dengan rim 21-inci RS Spyder Design dalam kemasan hitam satin berkilat, serta lampu-lampu LED termasuk Porsche Dynamic Light System (PDLS).

    Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan –  4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

    Pada bahagian kabin pula, versi GTS ini diberikan balutan Alcantara pada kemasan bumbung, panel tengah tempat duduk, perehat tangan konsol tengah dan juga pintu, bersama kemasan-kemasan brushed aluminium gelap. Kelengakapan lain yang turut diberikan termasuk tempat duduk sport dengan larasan berkuasa lapan-hala dan logo-logo GTS. Untuk opsyen, pelanggan ditawarkan dengan pilihan panel-panel serlahan warna Carmine Red atau Crayon.

    Di Jerman, Porsche Cayenne GTS akan dijual pada harga bermula 114,087 euros (RM550,673), manakala Cayenne GTS Coupe pula dijual pada harga bermula 118,490 euros (RM571,925). Kedua-dua model tersebut akan tiba di bilik-bilik pameran pasaran berkenaan bermula pada bulan Julai nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025