Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Geely Borui GE hybrid didedahkan di Beijing – dua varian PHEV dan MHEV, enjin turbo 1.5 liter 3-silinder

    Geely Borui GE hybrid didedahkan di Beijing – dua varian PHEV dan MHEV, enjin turbo 1.5 liter 3-silinder

    Selain dari model konsep Icon, Geely turut mendedahkan sedan segmen-D Borui dengan unit janakuasa tenaga baharu di Beijing International Auto Show 2018. Borui yang juga model sedan flagship jenama dari China berkenaan sebelum ini telah pun diperkenalkan dalam janaan enjin petrol konvensional, manakala versi baharu ini merupakan model yang digerakkan dengan unit janakuasa hibrid.

    Dua varian didedahkan untuk versi baharu ini iaitu plug-in hybrid PHEV dan juga MHEV dimana M bermaksud mild (ringkas). Unit janakuasa PHEV tersebut menggabungkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Menurut Geely, unit janakuasa berkenaan mampu memberikan bacaan penggunaan petrol serendah 1.6 liter untuk jarak sejauh 100 km, dan ia telah melangkaui pelbagai jenama antarabangsa dalam aspek penggunaan bahan api dan prestasi.

    Geely belum mengumumkan angka kuasa atau prestasi sebenar unit janakuasa ini, namun konfigurasinya macam pernah dengarkan? Ya, ia adalah unit janakuasa yang sama untuk Volvo T5 Twin Engine, dimana untuk versi Volvo ia menghasilkan 250 PS/400 Nm. Kotak gear yang dipadankan pula merupakan transmisi DCT baharu yang dibangunkan Volvo dan bukan transmisi Getrag/Ford Powershift yang digunakan sebelum ini.

    Untuk model hibrid MHEV pula, ia masih dijana enjin 1.5 liter turbo yang sama, tetapi hanya digabungkan dengan sistem hibrid ringkas 48V yang terdiri dari penghidup generator bateri (BSG). Ia memberikan bacaan pengunaan bahan api 5.8 liter untuk 100 km, atau 15% lebih rendah sekiranya enjin petrol tersebut beroperasi sendirian.

    Borui dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2015, dan kereta ini merupakan air tangan bekas pereka Volvo (yang kini naib presiden rekaan senior Geely) iaitu Peter Horbury. Model janaan enjin petrol konvensional sedia ada pada Borui termasuk dari versi 1.8 liter turbo, 2.4 liter empat silinder NA, dan juga 3.5 liter V6 NA. Pengenalan model lebih mesra alam ini merupakan sebahagian dari misi hijau Geely yang disasarkan untuk menjadi peneraju kenderaan dengan sumber kuasa baharu di China.

    “China akan menjadi pusat revolusi tenaga baharu terunggul di dunia yang akan mencipta semula kereta seperti yang kita tahu, seterusnya membuatkan industri automotif lebih kuat dan lebih berdaya tahan. Sebagai jenama peneraju automotif China, kami sedar bahawa persaingan dalam era baharu ini akan datang dalam bentuk perang teknologi dan sebab itu kami perlu mendahului menerusi inovasi teknologi bagi menjadi pelopor dalam era baharu ini,” kata An CongHui, presiden dan CEO Geely Auto ketika pendedahan Borui GE ini di Beijing.

    “Geely sedar dalam 12 tahun kebelakangan ini serentak dengan permulaan kami menyerang sektor tenaga baharu dengan melabur banyak untuk penyelidikan dan pembangunan, bersepadu dengan sumber global kami, dan juga pemerkasaan kolobrasi strategik yang kami ada dengan Volvo. Kami telah menggaji sekitar 2,500 pemikir bijak dari seluruh dunia dalam kejuruteraan tenaga baharu untuk menumpukan terhadap pembangunan teknologi hibrid, elektrik sepenuhnya, sel bahan api dan juga bahan api alternatif,” tambahnya.

    Dalam Inisiatif Blue Geely yang diumumkan pda 2015, jenama tersebut mensasarkan untuk memproduksi kenderaan sumber tenaga baharu secara besar-besaran menjelang tahun 2020, dengan sasaran 90% kadar jualan untuk kenderaan dengan teknologi elektrik. Dalam rancangan induk tersebut, 35% kereta hijau adalah kenderaan elektrik sepenuhnya, dan selebihnya adalah model hibrid dan PHEV.

    Geely Borui GE hybrid didedahkan di Beijing – dua varian PHEV dan MHEV, enjin turbo 1.5 liter 3-silinder

    “Kesemua kereta ini mewakili permulaan untuk kemasukan Geely dalam era di mana kendraan tenaga baharu yang akan mendominasi jalan-jalan kami. Untuk tahun ini sahaja, kami akan melancarkan pelbagai model-model tenaga baharu dan tidak lama lagi, kesemua platform dan siri produk kami akan sepenuhya menerima teknologi elektrik,” kata An berkenaan dua versi Borui yang didedahkan kali ini.

    Untuk bahagian luaran, kedua-dua versi baharu Borui berkenaan menyerlahkan rekaan signatur gril “expanding cosmos” Geely yang melambangkan jenama tersebut sedang berkembang di alam semesta. Ia juga diberikan lampu hadapan dan belakang bersama grafik 3D yang diinspirasikan dari putaran riben gimnas tradisi China.

    Pada bahagian dalaman pula, Borui hibrid diberikan papan pemuka Full Vision versi produksi yang diprebiu buat pertama kali untuk model Emgrand Concept pada tahun 2015. Sedan flagship ini juga menerima ekosistem pintar GKUI dan juga Energy Hub yang menawarkan pengecas tanpa wayar untuk peranti-peranti mudah alih. Kedua-dua Borui GE PHEV dan MHEV tersebut akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran China padaa 28 Mei ini.

    GALERI: Geely Bo Rui GE PHEV

    GALERI: Geely Bo Rui GE MHEV

     
     
  • Everus EV Concept – Honda HR-V janaan kuasa letrik?

    Everus EV Concept – Honda HR-V janaan kuasa letrik?

    Honda telah menunjukkan sebuah kenderaan konsep baru semasa Beijing Motor Show yang sedang berlangsung sekarang. Ia dinamakan sebagai Everus EV Concept, dan memberi petunjuk awal kepada model elektrik penuh yang akan diperkenalkan kepada pasaran awam China pada masa hadapan.

    Sekali imbas, ia memang nampak seperti HR-V yang lebih futuristik, tetapi dengan garis badan crossover segmen B sama, dan juga pemegang pintu yang terletak berhampiran cermin bagi pintu belakang. Walaubagaimanapun, muka hadapannya menampilkan lampu kesan grafik 3D, lencana Everus serta gril yang telah direka semula untuk menempatkan soket pengecas.

    Bahagian bawah bampar kenderaan ini menampilkan bukaan yang besar, dan hanya sebahagian kecil daripadanya dibuka kerana ini adalah kenderaan elektrik. Dapat dilihat banyak diguna juga adalah lampu biru, yang sekali lagi menunjukkan ia adalah kenderaan elektrik dan terdapat pada bawah bonet, penjuru bampar dan side skirt.

    Buat masa sekarang, informasi yang diberi tidak termasuk sebarang perincian teknikal, tetapi kami diberitahu versi produksi akan mula dijual hujung tahun ini. Crossover tersebut akan dipasarkan menggunakan jenama Everus, yang dimiliki oleh Guangqi Honda, iaitu syarikat kerjasama antara Honda dan Guangzhou Automobile Group (GAC Group).

     
     
  • Lexus ES 2019 tampil di Beijing – platform TNGA, penjana kuasa petrol dan hibrid, pakej F Sport

    Lexus ES 2019 tampil di Beijing – platform TNGA, penjana kuasa petrol dan hibrid, pakej F Sport

    Selepas memaparkan gambaran awal mengenai Lexus ES 2019 serba baharu, akhirnya pengeluar kereta tersebut mendedahkan perincian lebih lanjut mengenai pesaing bagi BMW 5 Series, Audi A6 dan Mercedes-Benz E-Class.

    ES generasi ketujuh (XV70) ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-K, yang turut digunakan pada model terkini Camry. Hasilnya, dimensinya turut berubah, di mana sedan ini memiliki 66 mm lebih panjang dan 46 mm lebih lebar, tetapi 5 mm lebih rendah. Manakala jarak rodanya dipertingkatkan sebanyak 51 mm, dengan +10 mm di hadapan dan +38 mm di belakang.

    Bagi rekaannya, ES mengikut jejak langkah adik-beradiknya yang lebih besar, LS, dengan semakan yang lebih signifikan termasuk menampilkan gril gelendong. Bergantung pada varian – ES 250, ES 260 (spesifikasi-China), ES 350 dan ES 300h – gril dengan kepingan menegak atau paten cross-hatch ditampilkan.

    Bentuk-Z dengan lampu utama tiga-elemen juga adalah baharu, walau pun tidaklah begitu langsing seperti yang ada pada LS. Unit pencahayaan didatangkan dengan sistem lampu tinggi adaptif dua-fasa, dengan 24 butir pelbagai cahaya LED bagi mengadaptasikan paten cahaya yang mampu memberikan iluminasi lebih baik dengan mengurangkan kesilauannya apabila ada kenderaan lain datang dari arah hadapan.

    Lexus ES 2019 tampil di Beijing – platform TNGA, penjana kuasa petrol dan hibrid, pakej F Sport

    Pada bahagian belakangnya pula, ia kelihatan lebih menonjol dengan lampu baharu. Tingkap sisi juga berbentuk lebih signifikan, dan bebayangnya mampu membentukkan pandangan tiga-suku yang lebih dinamik.

    Penampilan ini memiliki kesinambungan apabila melihat kereta ini daripada belakang dengan bampar dan boot lid yang ditampilkan bagi senada dengan “gaya X” di hadapan. Lampu belakang juga dilitupi kepingan kekemasan yang lebar yang turut menempatkan kamera undur, dan spoiler kecil pada boot lid serta logo Lexus yang diposisikan di bawahnya.

    Terdapat tiga rekaan roda yang berbeza (dari saiz 17- hingga 18-inci) untuk ES 350 dan ES 350h, tetapi bagi F Sport ia diberikan pilihan 19-inci dengan unit yang lebih kurang sama dengan LC. Pakej F Sport didatangkan dengan spoiler belakang yang lebih menyerlah, valence belakang yang lebih rendah dan gelap serta cat metalik Heat Blue eksklusif. Palet standard mengandungi 12 warna, termasuk dua daripadanya adalah warna baharu – Moonbeam Beige Metallic dan Sunlight Green.

    Di dalamnya pula, kabin ES telah diperbaharui dengan instrumennya kini terletak di antara perumah, tidak seperti pada LS dan LC, dengan dial kawalan yang lebih mudah dicapai seperti mana LFA. Malah ia juga menampilkan paparan digital teater pada kluster instrumen yang boleh berubah mengikut pemilihan mod pemanduan.

    Lexus ES 2019 tampil di Beijing – platform TNGA, penjana kuasa petrol dan hibrid, pakej F Sport

    Bagi infotainmen, terdapat skrin standard 8-inci, atau pilihan unit 12.3-inci – kedua-duanya dipadankan dengan kawalan pad sentuhan Lexus pada konsol tengah. Selain itu, bahagian tengahnya juga bersambung dengan bentangan bagi butang untuk kawalan suhu dan sistem media. Jam analog turut diubah posisinya ke sebelah skrin infotainmen dan tuil gear juga adalah baharu.

    Manakala penumpang di belakang kini boleh menikmati poin kedudukan pinggul dan headliner yang lebih rendah yang telah dikonfigurasikan bagi memberikan lebihan pada ruang kepala, sementara jarak roda yang lebih pajang memberikan ruang yang lebih luas untuk bahagian kaki. Warna dalaman juga hadir dengan beberapa pilihan termasuk Hitam, Chateau, Topaz Brown dan tona baharu Rich Cream.

    Model dengan pakej F Sport mendapat kekemasan kabin metalik Hadori yang unik dengan menampilkan paten ‘gelombang turun naik’ untuk imej 3D, yang diinspirasikan daripada pedang tradisional Jepun. Model lain masih kekal menggunakan material tradisional termasuk buluh dan kayuan Shimamoku.

    Semua ES 350 dijanakan oleh enjin petrol 3.5 liter V6 dengan suntikan bahan api D4-S yang dipertingkatkan, dengan kuasa yang disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik Direct Shift lapan-kelajuan. Penjana kuasa tersebut kini mampu menghamburkan kuasa sehingga 300 hp dan tork 335 Nm, iaitu lebih 32 hp dan +19 mm berbanding model V6 terdahulu. Bagi pasaran terpilih, ES 250 juga dijanakan oleh enjin petrol 2.5 liter empat-silinder yang menampilkan Variable Valve Timing with intelligence (VVT i) dan penjimatan terma keseluruhan sebanyak 38%.

    Lexus ES 2019 tampil di Beijing – platform TNGA, penjana kuasa petrol dan hibrid, pakej F Sport

    Bagi ES 300h pula, ia dipadankan dengan enjin petrol 2.5 liter Atkinson-cycle empat-silinder dengan motor elektrik yang lebih ringan, kompak, berkuasa, sistem hibrid pengecasan sendiri dan electronically controlled continuously variable transmission with intelligence (ECVT-i). Keseluruhan kuasa yang boleh dihasilkan mencecah 205 hp, dengan penjimatan 17 km/l.

    Seperti yang disebut awal, ES kini menggunakan platform TNGA-K pacuan-roda hadapan, di mana Lexus menyatakan ia adalah persaing bagi platform Global Architecture-L pacuan-roda belakang yang digunakan pada LC dan LS bagi ketegarannya. Casis pula ditampilkan dengan rekaan suspensi double wishbone serba baharu, roda stereng berkuasa dan V-brace yang dipasang di tempat duduk belakang.

    Sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) dengan pemboleh ubah peredam juga ditawarkan pada model F Sport, yang turut didatangkan dengan mod pemanduan Sport+ eksklusif. Ia mampu menggerakkan larasan enjin, transmisi dan suspensi supaya lebih agresif, bagi memberikan prestasi yang lebih maksimum, bersama Engine Sound Enhancement baharu.

    Akhir sekali, semua versi bagi ES turut didatangkan dengan Lexus Safety System+ 2.0 sebagai elemen standard, yang kini turut menambah keupayaan baharu seperti pengesan basikal siang hari sebagai sebahagian daripada Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) yang mampu mengesan kenderaan dan pejalan kaki dari arah hadapan. Jualan bagi ES baharu ini dijangka pada hujung tahun ini.

    GALERI: Lexus ES 300h 2019

    GALERI: Lexus ES 350 F Sport 2019 (spesifikasi-US)

    GALERI: Lexus ES 260 F Sport 2019 (spesifikasi-China)

    GALERI: Lexus ES 2019

     
     
  • Nissan Sylphy Zero Emission diperkenal – untuk China

    Nissan Sylphy Zero Emission diperkenal – untuk China

    Nissan Sylphy Zero Emission telah pun diperkenalkan di Beijing Motor Show 2018 dan menjadi kereta elektrik pertama bagi jenama tersebut yang dibina di China untuk pengguna negara berkenaan. Kereta elektrik baharu ini merupakan salah satu daripada 20 model elektrifikasi yang dirancangkan oleh Nissan untuk diperkenalkan dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

    Sylphy ZE sebenarnya dibina berdasarkan Lead dan berkongsi 2,700 mm jarak roda yang sama dengan hatchback tersebut. Rekaan di bahagian hadapan adalah kombinasi dari model facelift Sonata pasaran-USA sama seperti Leaf, termasuk gril V-Motion dengan kekemasan biru berhampiran pot pengecasan. Walau bagaimana pun, bentuknya masih sedan, dengan ruang but berkapasiti 510 liter.

    Walau bagaimana pun, Nissan tidak mendedahkan perincian penuh mengenai penjana kuasa elektrik yang digunakan, tetapi terdapat beberapa informasi yang menyatakan ia ditampilkan dengan bateri 38 kWh, iaitu bagus untuk pacuan semua-elektrik sehingga 338 km menurut standard di China. Unit tersebut kecil sedikit berbanding Leaf, 40 kWh yang menawarkan jarak sehingga 400 km mengikut kitaran Jepun dan 378 km bagi New European Driving Cycle (NEDC) untuk pengecasan tunggal.

    Nissan Sylphy Zero Emission diperkenal – untuk China

    Bateri diposisikan di bawah tempat duduk belakang dan kuasa bagi motor elektrik 107 hp (80 kW) disalurkan ke roda hadapan – dengan Leaf memiliki e-motor 148 hp (110 kW). Walau bagaimana pun keupayaan prestasi bagi Sylphy ZE tidak didedahkan, namun dijangka ia cukup untuk dipandu mengelilingi bandar seperti Beijing.

    Foto dalaman bagi kereta ini juga tidak disertakan, namun dijangka ia mempunyai elemen yang hampir sama dengan Sylphy dan Leaf standard. Walau bagaimana pun, Nissan berkata di dalam kabinnya menawarkan tempat duduk berhaba ergomik dan pilihan ketersambungan, dengan Nissan Intelligent Mobility sebagai salah satu elemennya.

    Buat masa sekarang, Sylphy ZE merupakan model spesifik untuk China, tetapi ia boleh menyertai pendahulu bagi sedan pasaran global yang lain pada masa akan datang. Sylphy ZE bakal dijual penghujung tahun ini, dan informasi selanjutnya akan disalurkan kemudian.

     
     
  • Geely Concept Icon muncul di Beijing Motor Show

    Geely Concept Icon muncul di Beijing Motor Show

    Ketika berlangsungnya Beijing Motor Show yang bermula hari ini, Geely telah mendedahkan model konsep terbaharunya digelar Concept Icon. Model ini dihasilkan di studio rekaan Geely di Shanghai, dan diketuai oleh Guy Burgoyne iaitu naib presiden Geely Design China. Model ini didakwa menampilkan dua tema rekaan serentak iaitu “teknologi tinggi” dan “memberi inspirasi”.

    “Apa itu ikon? Pada sesetengah orang ikon mewakili generasi mereka dan memegang semangat era berkenaan. Hari ini, dalam abad ke-21, terma ikon telah ditafsirkan dalam makna yang baharu. Ia di mana aplikasi bermula dalam perjalanan digital. Kami ambil semua maksud ini dan menerapkannya dalam solusi mobiliti kami,” jelas Burgoyne.

    Model konsep ini tampil dengan bentuk badan SUV, namun berbanding model-model crossover dalam pasaran, Geely menghasilkan Icon dengan bentuk yang agak berkotak. Bagi memadankan rekaan ini seperti gajet-gajet elketronik yang minimalis pada era sekarang, rekaan serta permukaan panel luaran kereta ini turut direka sangat ringkas.

    Rekaan ala-digital diserlahkan pada lampu hadapan dan belakang serta pada bahagian-bahagian lain seperti pada bumbung kaca kereta ini. Ia masih menampilkan gril cosmos signatur Geely, namun direka dengan lebih berkotak [turut menempatkan skrin untuk memaparkan mesej dan imej], seiring dengan pengayaan keseluruhan model konsep tersebut.

    Pintu model ini direka seakan model konsep MPV Geely yang muncul di Shanghai tahun lalu – menampilkan bukaan bertentangan antara hadapan dan belakang, tanpa tiang pada bahagian tengah. Rekaan dalaman juga dihasilkan secara minimalis namun sarat dengan pelbagai teknologi.

    Skrin infotaimen utama bersaiz besar diletakkan pada bahagian tengah dan turut berfungsi untuk membuat pelbagai tetapan pada kereta ini, manakala penumpang belakang pula menerima skrin berasingan untuk sistem infotaimen mereka.

    “Bahagian dalaman yang ringkas ini turut memberikan kami ruang storan yang lebih besar, yang membuktikan ia berguna kepada pengguna hari ini untuk membawa pelbagai peranti untuk kegunaan harian. Konsol terapung Energy Hub yang telah diperkenalkan pada Geely Bo Rui GE juga ditampilkan di sini, membolehkan pengguna mengecas peranti mereka tanpa sebarang wayar serta bertukar informasi menerusi skrin di dalam kereta,” jelas Burgoyne lagi.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class L Sedan Z177 dipamer di Beijing – versi alternatif bagi negara lain pada H2 2018

    Mercedes-Benz A-Class L Sedan Z177 dipamer di Beijing – versi alternatif bagi negara lain pada H2 2018

    Mercedes-Benz A-Class L Sedan mencuri pandangan umum dalam penampilan perdananya di Beijing Motor Show 2018. Kedatangan versi sedan A-Class ini telah diuar-uarkan sejak penampilan Concept A Sedan pada April tahun lalu.

    Pertamanya, L merujuk pada jarak roda yang lebih panjang bagi varian spesifik untuk China ini – menunjukkan kedatangannya memang cukup dinantikan. Angka rasminya ialah 2,789 mm atau 66 mm lebih panjang berbanding hatchback (2,729 mm), yang memberikan lebih banyak ruang kaki pada penumpang belakang.

    Bagi lain-lain dimensi, A-Class L Sedan berukuran 4,609 mm panjang, 1,796 mm lebar dan 1,460 mm tinggi. Sementara keluasannya sama seperti hatchback, tetapi sedan 190 mm lebih panjang dan 20 mm lebih tinggi jika dibandingkan.

    Belakangnya yang lebih panjang disumbangkan oleh ruang but berkapasiti 420 liter, iaitu lebih 50 liter berbanding yang ditawarkan pada hatchback (370 liter). Walau bagaimana pun, kapasiti bagi ruang lutut tidak dimaklumkan, namun pastinya lebih daripada hatchback.

    Mercedes-Benz A-Class L Sedan Z177 dipamer di Beijing – versi alternatif bagi negara lain pada H2 2018

    Bagi enjinnya pula, sedan hanya untuk China ini menawarkan pilihan M282 1.33 liter pengecas turbo empat-silinder mengikut talaan – 134 hp dan 161 hp. Malah, enjin 2.0 liter empat-silinder juga akan ditawarkan kemudian dengan kuasa 188 hp, tetapi semua enjin dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan 7G-DCT secara standard.

    Berkenaan rekaannya, bahagian hadapannya hampir sama dengan hatchback dan elemen termasuk gril radiator berlian dengan louvre tunggal, pin krom dan bintang di tengah. Pelanggan juga boleh memilih antara versi Sport Sedan dan Sport, yang versi dahulunya lebih menonjol pada bahagian bonet.

    Melihat sedan ini dari sisi, kelihatan bentuknya yang menampakkan perbezaan, dengan garisan bumbung yang lebih bergaya, malahan pintunya juga dibentukkan semula. Dua lampu belakang turut memberikan kelainan berbanding hatchback, walau pun ia mengingatkan pada versi facelift W176.

    Lain-lain elemen yang jelas kelihatan termasuklah seksyen yang cekung pada bootlid iaitu sebahagian daripada lip spoiler, sudutnya dan juga kekemasan ekzos berkembar. Pilihan bagi roda juga ditawarkan, dari saiz 16- hingga 19-inci. Satu lagi nota penting yang cukup istimewa, warna rose gold ditampilkan sebagai kekemasan eksklusif bagi pasaran China ini.

    Mercedes-Benz A-Class L Sedan Z177 dipamer di Beijing – versi alternatif bagi negara lain pada H2 2018

    Walau bagaimana pun, dalaman hatchback kelihatan diguna pakai bagi versi sedan dengan bentangan yang sama. Papan pemukanya didominasikan dengan dua paparan skrin lebar 10.25-inci yang disambungkan pada sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX), untuk pasaran China.

    Ini termasuklah sokongan bagi pengesan suara membabitkan dialek Cina dan juga aplikasi popular WeChatMy. Malahan fungsi paparan navigasi juga menampilkan teknologi ‘augmented reality’ – Mercedes-Benz merupakan pengeluar kereta yang pertama di dunia menampilkan elemen sedemikian untuk pasaran China.

    Lain-lain elemen biasa termasuklah rekaan bagi roda stereng dengan Kawalan Sentuhan, gear suis bagi suhu dan kawalan pad sentuhan pada konsol tengah. Bukan itu sahaja, kekemasan di sekeliling corong udara juga memiliki bentuk yang berlainan berbanding hatchback.

    Barisan sistem bantuan pemandu juga ditawarkan, tetapi pengeluar kereta ini tidak memberikannya secara spesifik. Kemungkinan ia terdiri daripada kawalan kelajuan adaptif Distronic, Bantuan Berhenti Kecemasan Aktif dan Bantuan Tukar Lorong Aktif, Bantuan Brek Aktif Lanjutan dan Pre-Safe Plus bakal ada dalam senarainya.

    Mercedes-Benz A-Class L Sedan Z177 dipamer di Beijing – versi alternatif bagi negara lain pada H2 2018

    A-Class merupakan model penting bagi Mercedes-Benz di China, dengan 40% pembelinya adalah yang pertama kali membeli kereta. Malahan hampir 50% pembeli A-Class di negara berkenaan adalah golongan wanita. Sebagai perbandingan, di Eropah sekitar empat daripada 10 pembeli bagi A-Class adalah dari kedua-dua jantina.

    A-Class L Sedan akan diproduksi secara eksklusif di Beijing Benz, syarikat kerjasama antara Daimler dan BAIC Motor – dengan pelancarannya dijangka pada separuh kedua (H2) 2018. Portfolio semasa Beijing Benz adalah C-Class Sedan dengan jarak roda yang pendek dan panjang, E-Class Sedan dengan jarak roda yang panjang, GLA dan GLC.

    Malahan versi A-Class sedan juga akan diubah mengikut keperluan pengguna di luar China dan akan dilancarkan juga pada H2 tahun ini. Adakah kita di Malaysia juga mahukan model yang sama?

     
     
  • Mitsubishi Lancer mungkin akan dihidupkan kembali, tetapi bakal dijelmakan semula dalam bentuk SUV?

    Mitsubishi Lancer mungkin akan dihidupkan kembali, tetapi bakal dijelmakan semula dalam bentuk SUV?

    Selepas masuk ke dalam Pakatan Renault-Nissan, Mitsubishi nampaknya bakal bangkit semula dan mula membuat pelbagai bayangan bahawa nama-nama ikonik mereka akan kembali ke pasaran. Sebelum ini Colt/Mirage telah disebut-sebut untuk dihasilkan dalam generasi baharu, Eclipse pula telah dijelmakan semula tetapi dalam bentuk SUV. Manakala nama Evolution telah keluar semula di Tokyo Motor Show tahun lalu, juga tampil sebagai SUV tetapi dalam bentuk konsep janaan elektrik.

    Ketika penampilan SUV konsep e-Evolution tersebut, difahamkan nama ‘Lancer’ tidak akan dibawa sekali seperti gugurnya nama ‘Impreza’ pada Subaru WRX dan juga ‘Skyline’ pada Nissan GT-R R35. Namun dalam laporan AutoExpress, Mitsubishi kini sedang berusaha mengembalikan nama Lancer dan ia disasarkan untuk bersaing bukan sahaja terhadap Ford Focus, malah turut akan mengacau pasaran Crossover funky seperti Toyota C-HR.

    Menurut laporan tersebut lagi, Mitsubishi kini sedang menikmati pertumbuhan yang sangat pesat seiring jenama lain dalam Pakatan Renault-Nissan, jadi CEO Mitsubishi Trevor Mann bersama ketua perekanya Tsunehiro Kunimoto kini sedang berusaha untuk menghasilkan model-model gantian terhadap barisan produk sedia ada termasuk SUV, kereta kecil dan juga Lancer.

    Mitsubishi Lancer mungkin akan dihidupkan kembali, tetapi bakal dijelmakan semula dalam bentuk SUV?

    Selain dari memberitahu bahawa arah tuju Lancer kini hampir dimuktamadkan, Mann turut mendedahkan sedikit petunjuk segmen mana yang bakal diterjah oleh model baharu berkenaan. “Kami mempunyai perancangan produk jangka masa panjang yang agak kukuh sehingga 2025, dan melakar had selepasnya,” kata Mann.

    “Dalam pada apa yang kami perkatakan adalah, ‘model yang mana kami mahu? Apa yang akan kami hasilkan?’ Kami akan menggantikan ASX, Outlander dan Triton. Dan kami ada dua nama ini: Pajero dan Lancer.

    “Lancer merupakan yang paling mudah; kami percaya kami ada solusi yang sesuai dengan segmen. Kerana jika anda lihat secara global, pasaran hatchback segmen-C [Golf dan Focus] tidak menyusut. Ia turun sedikit di Amerika dan Eropah. Tetapi jumlahnya masih lagi meningkat di China. Jadi ada sebab untuk itu. Dan saya rasa segmen ini adalah sangat besar untuk peringkat global, kami perlu melihatnya,” tambah Mann.

    Model konsep Mitsubishi e-Evolution

    Kunimoto pula berkata, rekaan yang diprebiu pada model konsep e-Evolution adalah ideal untuk model lebih kecil. “Bukan kerana ia adalah segmen-C bermaksud ia perlu menjadi sebuah hatchback yang konvensional,” katanya. “Mungkin kami boleh menghasilkan kenderaan hatchback jenis baharu. Kami berfikir dengan cara yang agak radikal. Keaslian merupakan sebahagian dari falsafah rekaan Mitsubishi kini sudah pun konsisten.”

    Berkemungkinan besar Mitsubishi bakal menghasilkan SUV Lancer berkenaan berasaskan platform terkini CMF C/D dari Pakatan Renault-Nissan. Platform tersebut cukup besar dan fleksibel untuk menyokong sebuah crossover yang direka seperti e-Evolution. Ia juga berpotensi untuk menawarkan pilihan pacuan hadapan atau semua roda, termasuk pemadanan sistem hibrid dari Mitsubishi sendiri.

    Untuk model konsep e-Evolution, ia dijana sepenuhnya oleh kuasa elektrik menerusi tiga buah motor elektrik dengan tork yang sangat tinggi – satu memacu roda hadapan, manakala lagi dua diletakkan pada gandar belakang membolehkan ia berfungsi sebagai sistem Dual Motor Active Yaw Control (AYC). Secara keseluruhan, bentangan sistem tersebut menjadikan e-Evolution sebagai kenderaan elektrik dengan kawalan dinamik Super All-Wheel Control (S-AWC), yang didakwa mampu memberikan pengendalian yang lincah terhadap semua permukaan dan keadaan jalan.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class W177 terima Sport Equipment

    Mercedes-Benz A-Class W177 terima Sport Equipment

    Mercedes-Benz telah memperkenalkan lebih banyak aksesori untuk A-Class W177 baharu dengan pek Sport Equipment baharu, yang mensasarkan individu yang inginkan lebih banyak imej sporty pada model kompak mereka.

    Sport Equipment merangskumi beberapa kekemasan gaya-karbon, termasuk pada perumah cermin sisi luaran, penutup tiang-B, apron spoiler lip hadapan, skirt sisi dan spoiler bumbung. Kesemua elemen ini boleh ditempah secara berasingan atau pun set, dan ia termasuk dengan spoiler belakang dengan cat yang sama warna dengan badan kereta.

    Pengeluar kereta terbabit juga telah memperkenalkan beberapa rekaan roda , dari saiz 16- hingga 19-inci. Ini termasuklah pilihan set jejari-berkembar-lima dengan kekemasan vanadium silver 16-inci dan juga unit jejari-lima 17-inci yang juga dicat dengan kekemasan yang sama. Selain itu, ia turut mendatangkan pilihan roda bersaiz 18- dan 19-inci dengan rekaan jejari-berkembar-lima yang dicat dengan warna hitam.

    Model terkini A-Class pertama kali diperkenalkan di Geneva Motor Show tahun ini, dengan mempamerkan rekaan dan pelbagai barisan teknologi serba baharu. Ini termasuklah dengan antara muka Mercedes-Benz User Experience (MBUX), dan juga enjin serta dua konfigurasi suspensi yang disemak semula.

     
     
  • Perodua Bezza GXtra – varian 1.0L terbaru bakal tiba

    Perodua Bezza GXtra – varian 1.0L terbaru bakal tiba

    Perodua telah mengeluarkan teaser bagi varian baru untuk model Bezza, yang khabarnya akan diperkenalkan secara rasmi dalam minggu ini. Dikenali sebagai varian GXtra, ia bakal penjadi penawaran tambahan terbaru bagi pilihan enjin 1.0L model.

    Tiada apa-apa perincian didedahkan setakat ini, tetapi seperti yang dicadangkan oleh namanya, ia sepatutnya menjadi penawaran dengan spesifikasi yang lebih tinggi berbanding varian paling asas, 1.0L Standard G sebelum ini, yang ditawarkan dengan pilihan transmisi manual atau automatik.

    Perodua Bezza yang dilancarkan pada Julai 2016, telah menerima kemaskini minor tahun lalu melibatkan perubahan kosmetik bagi semua variannya. Ini termasuk juga bagi model asas 1.0L Standard G, yang turut menerima tambahan skirting bahagian belakang yang lebih luas dan melindungi pandangan ke bahagian bawah kereta jika dilihat dari belakang.

    Sementara itu, varian Premium X dan Advance pula menerima beberapa pembaharuan tambahan, seperti kemasan cerah (serta upholstery kulit baru pada Advance). Bagaimanapun, ruang dalaman varian Standard G tidak menerima apa-apa kemaskini ketika itu – mungkinkah ia akan diperkenalkan untuk kemaskini kali ini?

    Perodua Bezza 1.0L Standard G buat masa ini hadir dengan kelengkapan seperti rim aloi 14-inci, tempat duduk fabrik, stereng polyurethane, sistem audio standard dengan port USB, cermin sisi manual, lipatan kerusi belakang 60:40, sensor undur, tingkap kuasa, dua beg udara dan ABS dengan EBD serta bantuan brek.

    Adakah Bezza GXtra akan menggantukan varian paling asas itu selepas ini? Sama-sama kita nantikan.

    Perodua Bezza Standard G 2016

     
     
  • BAIC BJ80 6×6 – Mercedes-AMG G 63 tiruan dari China

    BAIC BJ80 6×6 – Mercedes-AMG G 63 tiruan dari China

    Minggu lalu, sebuah SUV buatan China – Traum Meet 3 – yang meniru rekaan model Mercedes-Benz GLA muncul di negara tersebut, dan minggu ini satu lagi SUV tiruan muncul dengan bentuk seakan model lebih eksotik iaitu Mercedes-AMG G 63 6×6 dihasilkan oleh Beijing Auto International Corporation (BAIC). Model copycat dari BAIC berkenaan digelar BJ80 6×6.

    Trak pikap enam-tayar dengan tiga gandar berkenaan dilihat di perkarangan dewan Beijing Motor Show 2018 yang akan bermula esok. Ia dilihat turut dibekalkan dengan aksesori-aksesori lasak seperti unit snorkel pada tiang-A sebelah kanan, set light bar LED di bawah gril hadapan, cangkuk tunda dibina bersama bampar hadapan serta plat pelindung di bawahnya.

    Gambar ihsan dari laman Autohome dan PCauto ini juga mendedahkan BJ80 menerima lampu hadapan projektor berbentuk bulat serta liang udara tambahan pada bonet dan juga fender hadapan. Penutup cermin sisi pula menerima kemasan krom, manakala kamera pada bahagian sisi mungkin sebahagian sistem pemantau 360 darjah.

    BAIC BJ80 6×6 – Mercedes-AMG G 63 tiruan dari China

    Ciri luaran lain yang turut dapat dilihat pada pikap ini termasuk rak bumbung, tayar gantian bersaiz besar, lampu kombinasi belakang LED dan empat tip ekzos.

    Walau bagaimanapun, rekaan dalaman trak ini nampaknya tidak ditiru sepenuhnya dari Mercedes. Kabin BJ80 ini diberikan roda stereng empat jejari balutan kulit, dan juga kluster paparan informasi (mungkin digital sepenuhnya) bersaiz besar. Bahagian tengah papan pemukanya pula diberikan sistem infotaimen dengan skrin sesentuh.

    Namun pada bahagian bawah skrin utama tersebut, rekaannya kembali seakan G-Wagen Mercedes terutamanya pada suis-suis kawalan serta pada balutan kulit dengan elemen seperti berlian pada tempat duduk.

    Jika anda perasan, dihujung papan pemuka terdapat perkataan PHEV manakala diluar juga terdapat penutup dengan logo pengecas elektrik. BAIC memang terkenal dengan kereta-kereta berteknologi elektrik, dan trak pikap ini juga sebenarnya dijana oleh gabungan enjin petrol serta motor elektrik dari sistem plug-in hybrid.

    Tiada perincian lanjut berkenaan unit janakuasa tersebut, namun menurut CarNewsChina, trak pikap ini menggunakan enjin petrol empat silinder 2.3 liter turbo dari Saab menjana 250 hp/350 Nm. Motor elektrik pula ditempatkan di dalam roda, pada gandar paling belakang, dibina oleh syarikat yang juga dari China iaitu Protean Electric.

    Dari pandangan mata kasar, saiz BJ60 6×6 ini kelihatan lebih kecil dari G 63 AMG 6×6 asli, namun perincian sebenar hanya dapat diketahui ketika ia didedahkan secara rasmi nanti. Ada juga khabar yang mengatakan bahawa trak ini merupakan unit prototaip dan belum pasti BAIC akan menghasilkannya untuk versi produksi sebenar.

     
     
  • Honda Malaysia buka pusat 3S baharu di Banting

    Honda Malaysia buka pusat 3S baharu di Banting

    Hari ini Honda Malaysia telah menambah satu lagi pusat 3S baharunya, dengan berlokasikan Banting, Selangor. Dioperasikan oleh Banting Star Sdn. Bhd. ia merupakan pusat 3S Honda yang pertama di daerah berkenaan dengan mensasarkan pelanggan di Banting dan juga kawasan sekitarnya.

    Dengan kos perlaburan berjumlah RM15 juta, Pusat 3S Honda di Banting ini berkeluasan 23,250 kaki persegi, turut menempatkan 16 petak perkhidmatan untuk menyelenggara/membaiki kereta Honda iaitu merangkumi 11 petak penyelenggaraanm tiga bahagian pembaikian umum dan dua ruang penyelenggaraan tayar. Ia mampu menampung kapasiti 44 buah kereta sehari.

    Selain itu, pusat 3S ini turut menempatkan ruang rehat bagi pelanggan, Ruang Eksekutif, kaunter kafe, ruang permainan kanak-kanak dan juga surau. Ia turut menawarkan perkhidmatan WiFi secara percuma, servis mencuci kereta serta pembaharuan cukai jalan dan insurans buat para pelanggannya.

    Merupakan Pusat 3S Honda yang ke-96, cawangan di Banting ini boleh dikunjung di lokasi Lot 1608, Jalan Klang Banting, Telok Panglima Garang. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 03-3191 6100 (Servis dan Jualan) atau layari www.honda.com.my.

     
     
  • Audi Q8 – teaser rasmi menjelang pengenalan Jun ini

    Audi Q8 – teaser rasmi menjelang pengenalan Jun ini

    Audi mula menunjukkan teaser rasminya sempena kedatangan Q8 baharu menerusi laman Facebook dengan imej yang menggambarkan garisan SUV berkenaan. Q8 ini merupakan model perdana dalam barisan Q bagi pengeluar Jerman ini, yang turut disertai Q7, Q5, Q3 dan Q2.

    Tidak banyak informasi yang dibekalkan, namun difahamkan Q8 bakal menggunakan MLB Evo platform, seperti yang digunakan oleh Q7 dan model lain di bawah Volkswagen Group. Dijangkakan enjin hibrid juga akan ditawarkan, dengan pacuan semua-roda quattro, sementara penjana kuasa plug-in hybrid bakal ditawarkan kemudian.

    Membandingkan imej teaser dengan spyshot yang pernah disiarkan, tiada banyak perbezaan di antara kedua-duanya. Dua garisan melintang merentasi gerbang roda hadapan dan belakang memang agak jelas kelihatan, di samping jaluran krom di sisi bawah SUV berkenaan.

    Foto spyshot Audi Q8

    Pita reflektif menggambarkan garisan bumbung yang rendah sehingga ke cermin belakang dan tiang-D. Selain itu, Q8 turut menampilkan gril bingkai tunggal haksagon yang menyerlah bersama lampu belakang bersaiz-penuh.

    Di dalamnya, Q8 masih mengekalkan bentangan yang sama seperti model konsepnya dan Q8 Sport yang pernah dipertontonkan sebelum ini, dengan larasan dua skrin seperti model A8 terkini. Skrin ketiga akan menjadi sistem kokpit maya pada panel instrumen.

    Pada Mac lalu, Peter Mertens, ahli lembaga pengarah Audi, telah mendedahkan Q8 hanya akan dipertontonkan di peringkat dunia di Shanghai pada Jun ini. Jadi kena nantikan bersama perincian dan informasi selanjut mengenainya.

    GALERI: Spyshot Audi Q8

     
     
  • Fast and Furious bakal tampil dalam bentuk animasi

    Fast and Furious bakal tampil dalam bentuk animasi

    Siri filem aksi lumba kereta jalanan Fast and Furious bakal dihasilkan pula dalam bentuk siri animasi dan akan ditayangkan secara dalam talian di Netflix. Siri berkenaan merupakan hasil pertama dari perjanjian berberapa tahun yang telah ditandatangani antara Netflix dan juga Dreamworks Animation Television.

    Walau bagaimanapun, siri ini bukanlah berkisar kisah Dominic Toretto bersama pasukannya, sebaliknya watak utama animasi berkenaan adalah Tony Toretto iaitu sepupu kepada Dominic. Tony dan rakan-rakannya mengikut jejak langkah Dom apabila direkrut oleh agensi kerajaan untuk menyusup masuk ke liga perlumbaan elit yang menyembunyikan aktiviti sebuah organsasi jenayah jahat.

    “Kami teruja untuk melanjutkan dan meluaskan lagi kerjasama yang berjaya dengan Netflix bukan hanya untuk memberikan program berkualiti tinggi DreamWorks, malah menghubungkan peminat dari Universal Films dengan cerita-cerita baharu yang menarik,” kata Margie Cohn, presiden DreamWorks Animation Television.

    Menerusi imej yang disiarkan, nampaknya siri ini akan dihasilkan menerusi teknik 3D. Manakala kereta yang digunakan pula adalah kereta imaginasi tanpa lesen dari pengeluar – kereta berwarna putih kelihatan seakan badan Mercedes-Benz SLS bersama muka seperti Alpine A110 klasik, manakala ‘American Muscle’ disebelahnya nampak seperti Dodge Challenger tetapi dengan gril hadapan berlainan.

    Jadi, apa pendapat anda berkenaan siri animasi ini? Adakah ia akan menjadi animasi yang sesuai untuk tontonan orang dewasa yang minat kereta seperti Initial D atau sekadar lagi satu kartun untuk hiburan kanak-kanak?

     
     
  • Proton Perdana Executive – teaser dari rekaan terbaru

    Proton Perdana Executive – teaser dari rekaan terbaru

    Imej render atau rekaan bayangan bagi model-model tertentu, terutamanya oleh pengeluar tempatan kerap kami paparkan di laman ini. Memang, tidak semestinya rekaan-rekaan itu akan menjadi kenyataan, tetapi dari satu sisi ia menjadi satu platform untuk meraikan kreativiti pelbagai pihak.

    Saharuddin Busri, yang sebelum ini antara nama yang kerap ditampilkan di sini hadir dengan satu teaser dari rekaan terbaru yang dibayangkan olehnya. Selepas Proton Savvy 18 dan juga Proton Suprima yang dibayangkan semula (masih ingat Suprima X dan Suprima R?), beliau kini tampil dengan rekaan konsep bagi Proton Perdana Executive pula.

    Rekaan ini masih menggunakan asas yang sama pada Proton Perdana semasa, tetapi dengan pendekatan rekaan bahagian hadapan dan belakang yang sama sekali berbeza. Di depan, melihat imej yang dihadirkan akan mengingatkan kita kepada Mitsubishi Lancer, dengan rekaan lampu dan “muncung” depan Perdana ini yang seperti mengambil inspirasi dari model berkenaan.

    Lampu utama juga hadir dengan dua jalur lampu LED yang bertindak sebagai DRL. Selain itu, turut dapat dilihat ialah sebahagian rekabentuk gril – yang terbahagi kepada dua ruang – serta kemasan-kemasan krom/satin yang turut menghiasi bahagian depan berkenaan. Kemasan krom yang sama turut dilanjutkan ke bahagian bamparnya.

    Proton Perdana Executive – teaser dari rekaan terbaru

    Bahagian belakang pula menampilkan visual yang lebih sporty dan elegan. Rekaan lampu LED yang digunakan lebih jelas kelihatan, dengan jalur tengahnya menyambungkan dua lampu belakang yang berada di sisi kira dan kanan. Mudah lihat, dan dalam masa yang sama ia menyuntik estetika rekaan yang sangat menarik bagi Perdana ini.

    Satu lagi jalur kemasan krom turut disertakan di bawah lampu melintang yang sama. Selain itu, lengkuk spoiler yang bersekali dengan bahagian belakang kereta ini juga menjadikan penampilannya lebih garang, tetapi tidak keterlaluan. Ini diikuti rekaan bampar yang kelihatan mempunyai garis yang berperingkat untuk menampakkannya lebih solid.

    Dan, tidak lupa juga, bahagian tengah pada badan kereta ini turut dipanjangkan sebanyak 200 mm, untuk menyesuaikan imej eksekutif dan mewah yang ingin dibawakan. Jadi, apa pula pandangan anda tentang teaser rekaan untuk Proton Perdana Executive ini?

     
     
  • PERCAMAS naungan penunda kereta – pastikan pengguna tidak ditindas termasuk elak caj tak relevan

    PERCAMAS naungan penunda kereta – pastikan pengguna tidak ditindas termasuk elak caj tak relevan

    Pertubuhan Kebajikan Callman SeMalaysia (PERCAMAS) menasihati orang ramai agar berwaspada dengan kewujudan individu menyamar sebagai penunda kereta yang mengenakan caj melebihi harga sepatutnya kerana ingin memperdayakan pengguna dan mengaut keuntungan mudah. Tanpa berdaftar dengan mana-mana persatuan berkaitan, mereka dikesan bergerak secara bebas, tidak mempunyai prosedur operasi standard dan meletakkan harga yang tinggi berbanding kadar biasa dikenakan kepada orang ramai.

    Menurut orang kuat PERCAMAS, Ramlan Ramli, walau pun pertubuhan ini baru dilancarkan pada 18 April lalu namun sebenarnya ia telah diwujudkan sejak Disember 2017. Sejak itu, pihaknya menerima banyak aduan mengenai salah laku penunda kereta seperti mengenakan caj tinggi, bertindak kasar serta menipu pengguna, laporan Harian Metro.

    “Semakan mendapati ramai penunda kereta yang tidak berdaftar menyebabkan mereka tidak ada garis panduan di dalam perkhidmatan dan gemar mengambil tindakan sendiri yang akan memberi masalah kepada pengguna. Justeru, PERCAMAS memberi fokus untuk memberikan khidmat terbaik kepada pengguna dan pada masa sama menjaga kebajikan penunda kereta yang berdaftar,” ujarnya.

    Katanya lagi, ini merupakan satu tanggungjawab yang besar kerana sejak lebih 35 tahun yang lalu, tiada pihak tampil untuk menjadi penaung kepada penunda kereta menyebabkan mereka tiada tempat mengadu terutama apabila membabitkan masalah dalam pekerjaan.

    “Kita juga kumpulkan maklumat mengenai penunda kereta dan akan berikan sijil penghargaan kepada mereka kerana jasa dan kebajikan yang dilakukan. Ini sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan yang selama ini hanya dilakukan di jalanan,” sambungnya lagi.

     
     
  • Ford Mustang EcoBoost dengan sistem ekzos aktif – bunyi lebih garang, boleh diubah mengikut keadaan

    Menerusi pakej Performance Pack baharu yang diperkenalkan untuk Ford Mustang EcoBoost 2.3 liter, Ford turut menyertakan sekali sistem ekzos berprestasi aktif yang didakwa mampu “mengujakan deria dan memberikan bunyi prestasi”.

    Sistem berkenaan dihasilkan spesifik untuk model yang menggunakan enjin EcoBoost empat silider turbo berkuasa 310 hp tersebut oleh para “pereka bunyi’ Ford. Ia direka agar boleh dihidupkan atau dimatikan mengikut pilihan pengguna, dan memberikan bunyi yang jauh lebih garang dari asal. Walau bagaimanapun, ia masih tidak dapat menandingi bunyi yang dihasilkan oleh enjin V8 sebenar pada model Coyote 5.0 liter.

    “Kami adalah berberapa orang jurutera yang tidak perlu merekabentuk sesuatu berdasarkan nombor mahupun spesifikasi,” kata jurutera pembangunan ekzos Ford, Hani Ayesh. “Sebaliknya, kerja kami adalah untuk mengenalpasti bunyi DNA signatur yang menghubungkan pemandu kepada jangkaan emosi untuk kereta tertentu.”

    Tugas jurutera bunyi ini adalah bergantung kepada analisis untuk membuat rekaan, contohnya, sistem ekzos aktif kawalan komputer yang membuka injap seperti saksofon atau organ paip besar bagi mengubah bunyi kereta berdasarkan mood pemandu.

    Ford juga mendakwa, dengan menekan pendikit Mustang EcoBoost yang dilengkapi sistem ini, ia akan memberikan ngauman yang akan membuatkan bulu roma anda berdiri, seperti pada Mustang GT atau Shelby GT350 dengan enjin yang lebih besar.

    Butang untuk mengkatifkan sistem tersebut berada pada konsol tengah, dan pemandu boleh memilih sama ada mahu menggunakan mod senyap, normal atau sport/track – kesemua memberikan bunyi yang berbeza. “Ketika saya mengambil anak dari sekolah, mereka mahu mendengar bunyi yang garang dari enjin,” kata Ayesh, “tetapi isteri dan jiran saya, tidak berapa suka. Jadi saya boleh memilih mod ‘jiran yang baik’ yang lebih senyap, bagi terus menggembirakan mereka juga.”

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0T Luxury – ketelitian dan kemewahan dalam satu pakej SUV yang sarat kualiti

    PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0T Luxury – ketelitian dan kemewahan dalam satu pakej SUV yang sarat kualiti

    Kebelakangan ini, semakin banyak masa diluangkan untuk mencuba dan memandu uji jenis kenderaan SUV, semakin terserlah pula kelebihan dan ketenangan ketika memandu kenderaan dalam segmen berkenaan. Tambahan pula, penawaran SUV generasi baru ketika ini – dari jenama mana pun – jika diperhatikan dengan dekat, akan membuatkan ramai orang untuk menghargainya dengan lebih baik.

    Ini didorong pula oleh senarai kelengkapan dan spesifikasi yang sangat mengkagumkan, bahkan ada ciri-ciri yang termaju juga, yang melengkapi penawaran SUV-SUV yang sekaligus menjadikan pasaran dalam segmen itu sangat menarik dan kompetitif sekali. Jika anda ingin mencari sebuah SUV, dan sekiranya tidak terlampau terikat dengan kekangan wang ringgit, pilihan yang ada sangat meriah dan pelbagai.

    Jika anda kerap mengikut perkembangan artikel di laman kami ini, tentunya anda pernah terserempak dengan beberapa ulasan pandu uji model yang pernah ditampilkan – sebagai contoh Volvo XC60 dan BMW X5 xDrive 40e – dan anda akan faham mengapa segmen kenderaan ini semakin berkembang dan lebih menarik berbanding sebelumnya.

    Penawaran teknologi termaju (misalnya teknologi plug-in hyrbid bagi kedua model yang disebutkan itu), dengan perincian sistem bantuan memandu yang lain serta ciri-ciri keselamatan yang ada mencerminkan perkara yang dimaksudkan di sini.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Mitsubishi Triton khas untuk jelajah Fast & Furious

    Mitsubishi Triton khas untuk jelajah Fast & Furious

    Setakat ini memang sudah banyak keluaran khas untuk Mitsubishi Triton (dikenali sebagai L200 di United Kingdom) di luar negara seperti Barbarian SVP dan SVP II. Kini, ia disertai satu lagi model yang dibuat khas untuk kempen jelajah Fast & Furious Live.

    Enjin 2.4 liter turbodiesel daripada Triton standard turut diubah suai untuk model khas ini, dengan termasuk pengecas turbo Garrett baru, manifold buatan khas, intercooler yang lebih besar, penapis udara prestasi tinggi, ECU prestasi serta salur pemasukan udara khas. Jumlah kuasa sebenar tidak disiarkan, tapi pastinya, ia akan menghasilkan kuasa yang lebih.

    Sudah tentu, bahagian luarnya diubah suai secara ganas dengan adanya roll cage di luar yang melindungi keseluruhan kenderaan termasuk bampar hadapan, fender, A-pillar serta bahagian-bahagian lain. Seperti yang anda boleh lihat, bahagian badan belakang Triton ini dijadikan singkat dan tinggi supaya suspensinya boleh bergerak lebih banyak.

    Mitsubishi Triton khas untuk jelajah Fast & Furious

    Ekzos juga dibuat khas untuk keluar di tepi, manakala rim belakang pula menggunakan unit 15 inci yang lebih lebar supaya nampak lebih ganas. Masuk ke dalam pula, mereka yang berada di hadapan akan mendapat manfaat daripada tempat duduk bucket bersama tali pinggang keledar four-point.

    Triton ubah suai khas ini akan menjadi satu daripada tiga kenderaan ubah suai Mitsubishi yang akan ditampilkan semasa pameran jelajah Fast & Furious Live. Salah satu kenderaan itu adalah Tokyo Drift Lancer Evolution yang akan melibatkan aksi interaktif serta penyertaan penonton.

     
     
  • BMW Malaysia eksport model 3 Series, 5 Series dan 7 Series ke Vietnam, Filipina mulai suku ketiga 2018

    Pada April 2016 lalu, BMW Malaysia telah mengumumkan bakal mengeksport tiga model pemasangan tempatan (CKD) ke Vietnam dan Filipina bermula tahun 2018. Baru-baru ini, syarikat terbabit mengulangi kenyataan yang sama dan mengesahkan bahawa perlaksanaan eksport ke dua negara terbabit akan bermula suku ketiga 2018 ini.

    Model kenderaan yang terbabit iaitu BMW 3 Series, 5 Series dan 7 Series itu adalah hasil pemasangan kilang tempatan yang terletak di Kulim Hi Tech Park, Kedah. Perlaksanaan eksport terbabit adalah berdasarkan perjanjian dengan ibu pejabat BMW di Jerman.

    “Kilang pemasangan di Malaysia memiliki kelebihan kapasiti dan logistik untuk membekalkan model kereta ke dua pasaran terbabit, malah BMW turut mensasarkan untuk meningkatkan pasaran kita dalam sektor yang pesat membangun termasuk negara-negara di Asia Tenggara,” ujar Ketua Komunikasi Korporat BMW Malaysia Sashi Ambi kepada The Malaysia Reserve baru-baru ini.

    Sashi turut berkata syarikat ini merancang untuk mengeksport 100 kereta ke Vietnam dan Filipina dalam tempoh setahun bagi memenuhi peningkatan permintaan bagi kedua-dua negara terbabit.

    Buat masa ini, Vietnam dan Filipina mengimport kereta BMW terus dari Jerman.

    Malaysia merupakan hab BMW di rantau ini dengan fasiliti pemasangan di Kulim yang buat masa ini memproduksi lapan model dengan 11 varian iaitu dengan kapasiti lebih 8,000 unit kenderaan setahun, selain memiliki pusat pengedaran alat ganti di Senai, Johor Bahru yang turut menjadi hab bagi 23 negara bagi Asia Pasifik.

     
     
  • Ford siar teaser Mustang Cobra Jet – kereta drag produksi dengan kebolehan 0-400 meter sekitar 8 saat

    Ford siar teaser Mustang Cobra Jet – kereta drag produksi dengan kebolehan 0-400 meter sekitar 8 saat

    Ford telah menyiarkan teaser untuk model Mustang yang dibina khas sempena ulangtahun ke-50 kereta muscle ikonik berkenaan, digelar Mustang Cobra Jet 2018. Model tersebut akan dihasilkan secara terhad, hanya diproduksi sebanyak 68 unit dalam warna Race Red dan Oxford White.

    Model istimewa ini akan dihasilkan dengan kerjasama rapat bersama sayap perlumbaan Ford iaitu Ford Performance, dan ia bakal dijana enjin Coyote V8 dengan sesaran 5.2 liter serta disuap dengan unit supercharger. Ford mendakwa jentera tersebut boleh memecut dalam jarak 0 hingga suku batu (400 meter) dengan masa sekitar 8 saat serta boleh mencapai kelajuan 241 km/j juga dalam jarak tersebut!

    Mustang ini juga direka berdasarkan undang-undang perlumbaan drag yang ditetapkan oleh National Hot Rod Association (NHRA) dan juga bersama berberapa kategori dalam National Mustang Racers Association dan National Muscle Car Association.

    Jadi, Mustang Cobra Jet ini sebenarnya tidak sah untuk digunakan diatas jalan raya, berbanding Dodge Challenger SRT Demon (0-400 m dalam 9.65 saat) yang masih lagi boleh dipandu di atas jalan raya secara sah.

    Selain dari ubahsuai pada enjin, Mustang istimewa ini juga bakal menerima sistem suspensi four link pada bahagian belakang bersama gandar solid dari Strange Engineering. Ia turut diberikan roll cage yang disahkan oleh NHRA, tempat duduk Racetech FIA, suspensi boleh laras yang direka spesifik untuk perlumbaan drag serta rim khas ulangtahun ke-50 Mustang dari Weld Racing.

    Kereta ini juga tidak akan dapat didaftarkan secara sah untuk digunakan di atas jalan raya awam kerana Ford tidak mengeluarkan nombor identiti kenderaan (nombor VIN/casis) pada kesemua 68 unit Mustang Cobra Jet tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026