Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • 49 orang lagi pekerja Proton diuji positif Covid-19

    49 orang lagi pekerja Proton diuji positif Covid-19

    Berikutan satu kes positif yang telah dikenal pasti melibatkan seorang pekerjanya sebelum ini, Proton hari ini di dalam satu kenyataan telah mengesahkan 49 lagi pekerjanya telah diuji positif Covid-19. Semua mereka adalah dari bahagian kejuruteraan di Shah Alam, dan telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

    Setakat ini, syarikat itu telah mengarahkan semua pekerja “non-essential” untuk bekerja dari rumah bagi mengambil langkah berjaga-jaga. Proton juga menegaskan syarikat itu akan terus mengikut garis panduan ketat dan SOP yang ditetapkan, seperti sebelumnya.

    Syarikat itu juga menegaskan bahawa Centre of Service Excellence (COSE) dan bilik pameran di Shah Alam itu diberi prosedur nyah-kuman setiap jam, dan semua individu dipastikan untuk mengikuti prosedur keselamatan ketat seperti yang diarahkan.

    Proton menambah, syarikat itu juga sentiasa patut dengan protokol rasmi yang diumumkan dan akan terus mengambil langkah yang lebih ketat bagi memastikan penularan yang selanjutnya. Pengesanan kontakt rapat juga sedang dilakukan serta pemerhatian dilakukan untuk mengikuti rapat perkembangan ini.

     
     
  • Honda CR-V facelift 2020 – hadir dengan lampu belakang lebih gelap dan tip ekzos trapezoid

    Honda CR-V facelift 2020 – hadir dengan lampu belakang lebih gelap dan tip ekzos trapezoid

    Dua minggu lepas, Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa CR-V facelift 2020 sudah pun boleh ditempah dan menunjukkan berberapa kelengkapan yang telah disahkan pada model kemaskini tersebut. Dan minggu ini, satu lagi teaser disiarkan di laman Facebook rasmi mereka dan menunjukkan berberapa lagi ciri baharu yang akan ditampilkan.

    Menerusi teaser baharu berkenaan, CR-V facelift tersebut nampaknya menerima lampu belakang yang digelapkan bersama tip ekzos yang berbentuk trapezoid. Berdasarkan gambar yang diberikan juga, CR-V tersebut dilihat diberikan sedikit perubahan pada mukanya, terutamanya pada kemasan plastik yang merentangi keseluruhan bampar hadapan, ‘misai’ krom dan juga motif ‘Solid Wing’ juga dalam kemasan krom.

    Boleh dijangka, model pasaran Malaysia ini akan tampil dengan rupa yang hampir sama dengan CR-V facelift pasaran Thailand yang telah pun dilancarkan pada Julai lalu, dimana kemasan skid plate diganti dengan jalur krom. Manakala rim 18-inci dua-tona rekaan baharu sudah sah akan akan diberikan bagi model pasaran tempatan.

    Teaser sebelum ini turut mengesahkan bahawa CR-V facelift pasaran Malaysia ini diberikan pintu tailgate belakang yang boleh dibuka tanpa sentuhan serta sistem kamera titik buta LaneWatch akan dibekalkan secara standard bagi semua varian CR-V.

    Manakala sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang menampilkan sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adpatif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, bantuan kekal tengah lorong, dan lampu tinggi automatik kini turut ditawarkan pada varian AWD.

    Lain-lain perincian termasuk bahagian kabin turut boleh dijangka akan ditingkat taraf dengan pemadanan papan pemuka yang disentuh semula menampilkan tray pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga tempat duduk pemandu dengan fungsi memori.

    Juga boleh dijangka enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat silinder berkuasa 193 PS dan tork maksima 243 Nm yang digandingkan bersama kotak gear CVT automatik masih akan dikekalkan. Namun untuk versi 2.0 liter NA berkuasa 154 PS/189 Nm masih belum jelas adakah ia akan terus ditawarkan atau digugurkan terus.

    Honda Malaysia masih belum mengumumkan tarikh sebenar pelancaran CR-V facelift 2020. Namun ia dijangka akan masuk ke pasaran tak lama lagi, iaitu pada suku keempat tahun ini.

    GALERI: Honda CR-V facelift 2020 pasaran Thailand

     
     
  • BMW R 1250 RT 2021 – kelengkapan asas dipertingkat, boleh didapati dengan Active Cruise Control (ACC)

    BMW R 1250 RT 2021 – kelengkapan asas dipertingkat, boleh didapati dengan Active Cruise Control (ACC)

    Model touring BMW R 1250 RT kali terakhir diperbaharui adalah pada tahun 2018, di mana ia diberikan peningkatan menyeluruh termasuk enjin baru dan tiba dalam pasaran Malaysia pada bulan April tahun 2019. Ia dijual pada harga RM139,500 tidak termasuk insurans.

    Kini, bagi meningkatkan lagi statusnya sebagai model touring yang maju, BMW telah memberikan lebih lagi peningkatan kepada R 1250 RT, termasuk bahagian penampilan, kelengkapan standard serta beberapa lagi bahagian teknikal yang lain.

    Untuk penampilan, selain empat pilihan grafik yang disediakan sekarang, fairing motosikal ini juga diubah untuk menjadi lebih aerodinamik dan tingginya direndahkan sedikit supaya memberi pandangan yang lebih luas untuk penunggang.

    BMW R 1250 RT 2021 – kelengkapan asas dipertingkat, boleh didapati dengan Active Cruise Control (ACC)

    Lampu utama LED penuh kini diberikan secara standard, dan ia boleh ditambah dengan Adaptive Turning Light, yang mana lampunya juga boleh membelok mengikut arah motosikal mengambil selekoh. Pada bahagian brek, Full Integral ABS Pro kini diberikan terus.

    Satu lagi ciri yang dipertingkat adalah mod tunggangan, di mana sekarang R 1250 RT datang dengan mod Eco untuk mendapatkan penjimatan bahan api terbaik. Ia kemudiannya boleh ditambah dengan Riding Modes Pro yang datang sekali dengan pengawal seretan tork enjin MSR.

    Sebagai sebuah motosikal touring, R 1250 RT kini diberikan dengan Dynamic Cruise Control (DCC) secara standard, dan perkataan Dynamic itu menggambarkan ia boleh mengaktifkan brek untuk mengekalkan kelajuan yang ditetapkan waktu menuruni bukit. Fungsi yang terletak satu tahap lebih tinggi, iaitu Active Cruise Control (ACC) disediakan sebagai pilihan tambahan dan ia menggunakan radar untuk mengekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan.

    BMW R 1250 RT 2021 – kelengkapan asas dipertingkat, boleh didapati dengan Active Cruise Control (ACC)

    Pada bahagian panel instrumen, model ini dilengkapi dengan skrin TFT berwarna 10.25 inci, yang boleh disambungkan kepada pelbagai media dan juga navigasi. Peta penuh untuk navigasi boleh dipaparkan pada skrin ini, jadi penunggang tidak perlu menambah unit navigasi berasingan. Ia kemudiannya boleh ditambah dengan Audio System 2.0 yang memberikan bunyi lebih baik, dan Comfort Telephony untuk sambungan tambahan kepada telefon pintar.

    Enjin masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu unit boxer 1,254 cc dengan teknologi ShiftCam, yang mampu menghasilkan kuasa 136 hp pada 7,750 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm. Ciri lain yang melengkapi model ini adalah seperti Dynamic Traction Control, brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan dan suspensi Telelever, sementara Hill Start Control Pro (HSC Pro) dan Dynamic ESA “Next Generation” disediakan sebagai pilihan tambahan.

     
     
  • Daihatsu Rocky bakal masuk pasaran Indonesia tak lama lagi – unit ujian sudah mula dilihat di jalan raya

    Daihatsu Rocky bakal masuk pasaran Indonesia tak lama lagi – unit ujian sudah mula dilihat di jalan raya

    Selepas Astra Daihatsu mengumumkan akan membawa Rocky genrasi baharu dan Taft Reborn ke pasaran Indonesia bulan lalu, nampaknya tindakan susulannya sudah pun dilihat – unit ujian untuk SUV segmen-B tersebut kini kelihatan sedang diuji di jalan raya republik berkenaan.

    Gambar ini disiarkan oleh portal automotif Indonesia, Autonetmagz memaparkan Rocky di uji dengan pelekat penyamaran diberikan pada seluruh badannya. Sebelum ini juga dikhabarkan bahawa Rocky sepatutnya akan membuat penampilan sulung di Indonesia ketika berlangsungnya Gaikindo Jakarta Auto Week pada hujung November nanti.

    Namun disebabkan acara berkenaan ditunda ke Januari tahun hadapan, pendedahannya juga turut akan ditunda ke masa tersebut.

    Daihatsu Rocky generasi baharu ini diperkenalkan buat pertama kali di Tokyo Motor Show 2019 dan mula masuk ke pasaran Jepun pada November tahun yang sama. Berbanding model asalnya yang merupakan kenderaan off-road sebenar, Rocky generasi baharu ini tampil sebagai SUV yang lebih mesra untuk digunakan dalam suasana urban.

    Ia dijana oleh enjin 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 98 PS dan tork maksima 140 Nm, dipadankan dengan kotak gear D-CVT dan memacu roda hadapan, namun turut ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda di pasaran negara asalnya. Rocky turut dihasilkan dengan lencana Toyota yang digelar Raize, dimana kedua-dua model ini dijangka akan dijual di pasaran Indonesia.

    Kita di Malaysia juga bakal menerima kembar Rocky-Raize dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) ini, tetapi dihasilkan oleh jenama automotif nasional, Perodua. Model dengan kod D55L yang sedang dibangunkan di Rawang berkenaan berkemungkinan akan menampilkan rekaan yang lebih unik dengan badan atas rekaan Perodua sendiri seperti apa yang dibuat pada Myvi generasi ketiga dan juga sedan segmen-A Bezza.

    Walau bagaimanapun, bila ia akan dilancarkan pada pasaran tempatan masih lagi belum diketahui. Khabar yang bertiup sebelum ini SUV segmen-B tersebut akan diperkenalkan pada separa kedua 2020, tetapi menerusi apa yang disebut oleh presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, syarikatnya masih belum membuat rancangan untuk melancarkannya tahun ini.

    “Saya tak boleh kata bila, tetapi dalam perancangan asal kami ia tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, kerana kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, kami perlu merangka semula jadual, dan ketika ini kami belum lagi membuat keputusan bila mahu melancarkannnya ,” kata bos besar Perodua berkenaan kepada paultan.org.

    GALERI: Daihatsu Rocky 2019 pasaran Jepun

    GALERI: Toyota Raize 2019 pasaran Jepun

     
     
  • Ducati Streetfighter V4 dan Scrambler 110 Pro dibuka untuk tempahan di M’sia – harga dari RM120k, RM80k

    Ducati Streetfighter V4 dan Scrambler 110 Pro dibuka untuk tempahan di M’sia – harga dari RM120k, RM80k

    Ducati Streetfighter V4 pertama kali dilancarkan untuk pasaran Eropah Mac lalu, dan kini ia sudah tiba di Malaysia. Tempahan untuk model naked ini sudah dibuka, bersama dengan model Scrambler 1100 Pro, pada harga anggaran masing-masing sekitar RM120k untuk Streetfighter V4, RM150k untuk Streetfighter V4S, RM80,000 untuk Scrambler 1100 Pro dan RM85,000 untuk Scrambler 1100 Sport Pro.

    Streetfighter V4 diperkenalkan dalam dua versi iaitu standard dan S, dengan beza utama antara keduanya adalah suspensi, di mana STF V4S mendapat unit Ohlins larasan elektronik depan dan belakang, sementara STF V4 menggunakan fork Showa BPF di hadapan dan monoshock Sachs di belakang (masih lagi boleh dilaras sepenuhnya secara manual). STF V4S juga mendapat rim Marchesini.

    Kedua-dua enjin dan kerangka monocoque pada model naked ini pula diambil terus daripada Panigale V4, cuma STF V4 tidak mempunyai banyak panel badan, mempunyai pemegang yang lebih tinggi dan enjin empat silinder V Stradale 1,103 cc tersebut mampu menghasilkan kuasa 208 hp pada 12,500 rpm dan 123 Nm tork pada 11,500 rpm.

    Dengan berat kering 178 kg (hampir 200 kg apabila diisi segala minyak), Streetfighter V4 mencatat nisbah kuasa kepada berat 1.17 hp/kg, dan menurut ketua pegawai eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, ia adalah 25% lebih berkuasa berbanding pesaing terdekatnya. Tangki bahan api pula berkapasiti 16 liter.

    Jumlah ini dapat ditingkatkan lagi apabila menggunakan ekzos Akrapovic titanium, yang juga menjadikan kuasanya naik kepada 216 hp dan mengurangkan lagi empat kilogram. Penyampaian kuasa Streetfighter V4 ini berbeza berbanding Panigale V4 kerana ia mampu menghasilkan 14% lebih tork pada kelajuan 100 km/j. Kalau dibandingkan dengan Streetfighter 1098 sebelumnya, model V4 ini mencatat 31% lebih tork pada kelajuan 100 km/j.

    Sistem brek menggunakan khidmat Brembo, dengan unit angkup Stylema M4.30 Monobloc serta cakera 330 mm di hadapan dan angkup dua piston serta cakera 245 mm di belakang, sekali dengan ABS Cornering EVO. Sistem elektronik penuh diberikan kepada Streetfighter V4 termasuk Evo 2 Traction Control, Wheelie Control, Slide Control, Engine Braking Control, Power Launch dan quickshifter untuk turun dan naik gear.

    Ducati Streetfighter V4 dan Scrambler 110 Pro dibuka untuk tempahan di M’sia – harga dari RM120k, RM80k

    Untuk Scrambler 1100 Pro pula, ini adalah sebuah model yang diperkenalkan awal tahun ini sebagai kemas kini untuk model Scrambler 1100, dan ditawarkan dalam dua versi iaitu 1100 Pro dan 1100 Sport Pro. Keduanya dikuasakan oleh enjin dua silinder V 1,079 cc yang berkemampuan 86 hp pada 7,500 rpm dan 88 Nm tork pada 4,750 rpm.

    Antara bahagian yang dipertingkat berbanding model Scrambler 1100 sebelum ini adalah warna dua tona, kerangka hitam, ekzos yang dirapatkan kepada badan serta tempat duduk baru. Perbezaan antara Pro dan Sport Pro pula boleh dilihat pada bahagian pemegang serta juga suspensi.

    Ducati Streetfighter V4 dan Scrambler 110 Pro dibuka untuk tempahan di M’sia – harga dari RM120k, RM80k

    Scrambler 1100 Sport Pro menggunakan pemegang jenis lurus dengan cermin sisi di hujungnya, warna hitam matte serta suspensi Ohlins boleh laras di hadapan dan belakang. Model Pro biasa cuma menggunakan fork Marzocchi di hadapan dan monoshock Kayaba.

    Kelengkapan lain pada Scrambler 1100 Pro adalah termasuk sistem pendikit ride by wire, tiga mod tunggangan, Ducati Traction Control (DTC), brek Brembo dengan sistem ABS, transmisi enam kelajuan, klac hidraulik, rim 17 inci, tinggi tempat duduk 810 mm, berat 206 kg dan tangki bahan api 15 liter.

    GALERI: Ducati Streetfighter V4

     
     
  • Geely Okavango — SUV tujuh-tempat duduk Haoyue untuk Filipina; mild hybrid 1.5L turbo dengan 190 PS

    Geely Okavango — SUV tujuh-tempat duduk Haoyue untuk Filipina; mild hybrid 1.5L turbo dengan 190 PS

    Pasaran Filipina akan menerima pengenalan satu lagi model Geely yang dikenali sebagai Okavango, yang sepatutnya merupakan versi yang dinamakan semula bagi model Haoyue yang dilancarkan di China awal tahun ini. SUV tujuh-tempat duduk itu akan menyertai Azkarra dan Coolray sebagai barisan SUV yang dijual di sana oleh Sojitz G Auto Phillippines (SGAP), pengimport dan pengedar kenderaan Geely di Filipina.

    Penggunaan nama Okavango oleh Geely Filipina adalah merujuk kepada Okavango Delta, kawasan delta di tanah besar yang luas yang diiktiraf sebagai salah satu keajaiban alam semulajadi di Afrika serta tapak ke-1,000 yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia UNESCO.

    Beberapa media di sana juga telah melaporkan tentang spesifikasi Okavango. SUV berkenaan bakal menggunakan sistem janaan kuasa yang sama dengan varian Luxury bagi Azkarra. Ini melibatkan enjin petrol tiga-silinder 1.5 liter turbocas serta sistem 48-volt mild hybrid yang menawarkan 190 hp dan 300 Nm tork.

    Ia digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan. Ini berbeza dengan apa yang ditawarkan di China, memandangkan Haoyue menggunakan enjin 1.8 liter turbo empat silinder dengan 181 hp dan 300 Nm, dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan yang sama.

    Kelengkapan lain, Okavango antaranya akan datang dengan kawalan pendingin hawa tiga zon, kamera pemandangan 360-darjah, enam beg udara, ESC, bantuan mula mendaki, tiga mod pemanduan dan kawalan menuruni curam. Kerusi dengan larasan 19-arah turut tersedia, konsol dua lapisan, 42 ruang barangan serta kerusi barisan kedua dan ketiga yang boleh dilipat sepenuhnya.

    Tempahan awal bagi Okavango telah mula dibuka pada 17 Oktober, dengan SGAP memberikan tawaran berbaloi bagi mereka yang berbuat demikian – melibatkan penjimatan sehingga 90,000 Philippine pesos (RM7,662).

    Geely Haoyue pasaran China

     
     
  • Mitchell Cheah buat kejutan di TCR Jerman pusingan Red Bull Ring Austria – tempat kedua dalam Race 1

    Mitchell Cheah buat kejutan di TCR Jerman pusingan Red Bull Ring Austria – tempat kedua dalam Race 1

    Peluang sebagai pemandu gantian untuk Team Engtsler pada saat akhir dalam Kejohonan TCR Jerman pusingan kelima di Red Bull Ring, Austria hujung minggu lalu nyata tidak disia-siakan oleh pelumba negara Mitchell Cheah – dia berjaya mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan dan berjaya menghabiskan Race 1 di kedudukan kedua!

    Mitchell yang memandu Hyundai i30 N TCR bagi menggantikan tempat Nico Gruber (yang juga menggantikan pemandu lain dalam perlumbaan WTCR Hungaroring hujung minggu yang sama) berjaya mencatatkan masa 0.109 saat lebih pantas dari pelumba Finland, Antti Buri dalam sesi kelayakan kedua bagi membolehkannya memulakan Race 1 pada petak paling hadapan.

    Walau bagaimanapun pada hari perlumbaan, sedikit kesilapan ketika berlepas dilakukan oleh Mitchell menyebabkan Buri dan pemandu Austria, Harald Proczyk meluru kehadapan, menyebabkan pelumba negara berkenaan jatuh ke tempat ketiga sebelum tiba ke selekoh pertama.

    Mitchell Cheah buat kejutan di TCR Jerman pusingan Red Bull Ring Austria – tempat kedua dalam Race 1

    Mitchell yang tidak berputus asa terus mengasak Proczyk dan saling bertukar kedudukan pada babak awal perlumbaan berkenaan. Namun Buri dan Proczyk masing-masing berjaya mengekalkan kedudukan satu dan dua sehingga tamat perlumbaan yang berlangsung lebih setengah jam tersebut.

    Tetapi Antti Buri dikenakan penalti 30 saat kerana membuat catatan masa terpantas ketika marshall mengibarkan bendera kuning disebabkan kemalangan yang melibatkan Günther Benninger. Ini menyebabkan Buri jatuh ke tempat kelima perlumbaan tersebut dan membolehkan Harald Proczyk menjadi juara, diikuti Mitchell Cheah di tempat kedua.

    Namun dalam Race 2 yang berlangusng pada hari Ahad, Mitchell tidak berjaya menamatkan perlumbaan kerana masalah teknikal yag dihadapi oleh jentera lumbanya.

    Mitchell berlumba secara musim penuh dalam TCR Jerman untuk musim lalu juga dengan Team Engtsler, dengan jentera Volkswagen Golf GTI TCR. Penyertaannya di Red Bull Ring ini merupakan penampilan pertamanya dalam TCR Jerman untuk musim ini.

    “Litar Red Bull Ring merupakan litar yang saya sudah kenal. Saya juga telah berjaya mencapai kedudukan podium pertama saya dalam TCR Jerman pusingan Austria tahun lalu. Namum situasinya agak sedikit berbeza kali ini. Saya memandu Volkswagen tahun lalu tetapi kali ini saya memandu Hyundai, jadi saya masih perlu menyesuaikan diri. Tapi ia tetap rasa sangat baik untuk berada di atas podium setelah sekian lama tidak berlumba,” kata Mitchell kepada akhbar The Star.

    Pelumba muda berusia 22-tahun berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara kerana membekalkannya dengan dokumentasi-dokumentasi yang diperlukan serta kebenaran bagi membolehkan dia berangkat ke Austria pada saat akhir.

    Mitchell adalah salah seorang pelumba di bawah program Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk perlumbaan empat roda. Selain berlumba dalam musim penuh TCR Jerman tahun lalu, dia turut ditawarkan untuk berlumba di Kejohanan WTCR pusingan Malaysia juga dengan Hyundai i30 N TCR Team Engstler, dan juga menjadi juara Sepang 1000km berpasangan dengan Farique Hairuman dengan jentera Proton Iriz pasukan Proton R3.

     
     
  • Volkswagen Amarok W580 Walkinshaw didedahkan

    Volkswagen Amarok W580 Walkinshaw didedahkan

    Di Australia, cabang Volkswagen komersial telah berganding bahu bersama jenama talaan Walkinshaw untuk menghasilkan trak pikap Amarok sebagai “GT-spec ute paling agung”. Dikenali dengan nama W580, ia akan dibuka untuk tempahan daripada pengedar di sana bermula 1 Disember kelak, dengan serahan dijangka dilakukan bermula April 2021.

    Menggunakan asas dari Amarok spesifikasi paling lengkap, W580 dikuasakan oleh enjin 3.0 liter turbodiesel V6 yang menjana 268 hp dan 580 Nm tork. Ini digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dengan sistem pacuan empat roda kekal 4Motion.

    Dengan sisten janaan kuasa kekal tanpa sebarang perubahan, pihak Walkinshaw memberikan talaan pada suspensi dan menaikkan gandar depan sebanyak 40 mm untuk mendapatkan jarak kelegaan tanah yang lebih baik. Rim aloi 20-inci “Clayton” baru digunakan, dengan profil tayar Pirelli Scorpion 275/50 serta lengkung tayar yang dilanjutkan memberikan imej yang lebih garang.

    Volkswagen Amarok W580 Walkinshaw didedahkan

    Modifikasi lain termasuk sistem ekzos berkembar kustom dengan “side exit” di bawah bampar belakang, termasuk penambahbaikan estetika lainnya. Ini termasuklah gril depan yang berbeza, lampu bi-xenon, lampu kabus LED, sports bar warna badan, pelekat hiasan dan plaque nombor siri di dalam.

    “Kami sentiasa sedar kemampuan prestasi Amarok, tetapi dalam masa yang sama kami sedar ia memerlukan model sebenar dengan GT-spec. Sebagai pelopor ute prestasi kategori ini, kami bekerjasama dengan Wilkinshaw untuk mencapainya,” jelas Pengarah Volkswagen Commercial Vehicles Australia, Ryan Davies.

    Menurut syarikat itu lagi, 30 pelanggan pertama yang membuat tempahan secara dalam talian dan kemudiannya membeli W580 ini akan menerima “pengalaman eksklusif Walkinshaw” – ini termasuk penerbangan, pindahan, makanan dan tempat tinggal untuk berkunjung ke kilang Walkinshaw dan menghadiri hari litar Walkinshaw Andretti United.

     
     
  • Bermaz Motor panggil semula enam model di M’sia akibat masalah pam minyak – 19,685 unit terlibat

    Bermaz Motor panggil semula enam model di M’sia akibat masalah pam minyak – 19,685 unit terlibat

    Bermaz Motor telah mengumumkan panggilan semula bagi kenderaan Mazda di Malaysia, melibatkan 19,685 unit keseluruhannya. Menurut kenyataan yang diterima daripada Mazda Jepun, panggilan semula itu bertujuan untuk menggantikan pam minyak pada model-model yang dikilangkan antara tahun 2017 dan 2019, merujuk kepada model seperti Mazda 2, Mazda 3, Mazda 6, CX-3, CX-5 dan CX-9.

    Syarikat itu memaklumkan, semua model yang dikilangkan pada tahun 2020 tidak terkesan dengan perkara ini. Langkah penukaran pam minyak ini perlu dilakukan memandangkan modul pam minyak yang bermasalah mungkin akan mengakibatkan kehilangan kuasa enjin atau kenderaan terhenti. Panggilan semula ini juga dilakukan pada pasaran-pasaran ASEAN yang lain serta turut melibatkan pasaran China, Timur Tengah, Afrika, Amerika Tengah dan kepulauan Carribean.

    Pecahan bagi 19,685 unit yang terkesan di Malaysia adalah seperti berikut:

    • Mazda 2 – 2,028 unit
    • Mazda 3 – 1,441 unit
    • Mazda 6 – 13 unit
    • CX-3 – 381 unit
    • CX-5 – 15,780 unit
    • CX-9 – 42 unit

    Pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan oleh Bermaz Motor melalui surat pemakluman dan SMS, yang turut akan terkandung perincian panggilan semula itu. Mereka yang telah menerimanya digesa untuk menghubungi mana-mana pusat servis Mazda untuk menetapkan temujanji. Anda boleh juga menyemak sama ada kenderaan Mazda anda terlibat atau sebaliknya dengan memasukkan VIN melalui laman web ini.

    Penukaran modul pam minyak akan dilakukan secara percuma, dengan semua kos ditanggung oleh Bermaz Motor. Syarikat itu menjelaskan ia akan mengambil masa sekitar 1.5 jam atau lebih untuk menjalankan servis berkenaan, bergantung kepada model dan beban kerja pusat servis yang terlibat ketika itu. Stok alat ganti pula akan disediakan secara berperingkat.

     
     
  • SPYSHOT: Porsche 911 992 GT3 RS sedang diuji

    SPYSHOT: Porsche 911 992 GT3 RS sedang diuji

    Kita tahu bahawa Porsche 911 GT3 RS adalah model produksi dengan kelengkapan yang fokus kepada pemanduan litar, dan ia memang dilengkapi dengan rollcage yang sah untuk digunakan di atas jalan. Untuk model generasi 992 baharu, nampaknya GT3 RS akan diberikan kelengkapan yang lebih tak masuk akal – ia hadir dengan spoiler belakang dengan saiz gergasi!

    Set foto ini diambil oleh jurugambar intipan kami ketika unit prototaip GT3 RS tersebut diuji di litar Nurburgring Nordschleife. Spoiler belakang berkenaan bukan sahaja bersaiz sangat besar, malah rekaannya adalah mirip dengan jentera-jentera lumba masa kini menampilkan ‘kaki’ yang seakan leher angsa dan sayap tersebut dipegang dari sebelah atas.

    Model generasi baharu ini juga nampaknya masih mengambil elemen-elemen aerodinamik dari model GT3 RS generasi 991 seperti liang udara pada bonet hadapan serta fender dengan liang untuk membebaskan udara dari ruang roda. Malah, ia juga masih mengekalkan penggunaan set rim dengan nat pengikat tunggal, dan brek gergasi seramik-karbon turut kelihatan disebaliknya.

    SPYSHOT: Porsche 911 992 GT3 RS sedang diuji

    Berkemungkinan besar, model generasi baharu GT3 RS ini masih lagi akan ditawarkan dengan sistem stereng pada roda belakang bagi memberikan kelincahan dan kestabilan lebih baik sama ada pada kelajuan rendah atau tinggi.

    Sebelum ini, versi produksi untuk model 992 GT3 sudah pun kelihatan dalam satu iklan Porsche di Amerika Syarikat, dan ia dikhabarkan dijana oleh enjin boxer enam-silnder 4.0 liter NA menghasilkan 520 hp. Untuk model GT3 RS ini ia dijangka bakal diberikan enjin yang sama tetapi ditala bagi menghasilkan 560 hp.

    Model GT3 biasa juga bakal diberikan pilihan sama ada kotak gear PDK atau manual, manakala untuk versi GT3 RS dikhabarkan hanya akan menerima transmisi PDK. Porsche 911 992 GT3 dijangka akan didedahkan pada tahun hadapan, manakala model lebih hardcore ini akan menyusul selepas itu.

     
     
  • Harga minyak 17-23 Okt 2020 – Petrol naik sebanyak satu sen seliter, diesel naik sehingga lima sen seliter

    Harga minyak 17-23 Okt 2020 – Petrol naik sebanyak satu sen seliter, diesel naik sehingga lima sen seliter

    Kalau minggu kedua Oktober 2020 menyaksikan penurunan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama d negara ini, namun untuk minggu bertarikh 17 hingga 23 Okt, ia dilaporkan mengalami kenaikan harga.

    Menurut Kementerian Kewangan, harga runcit petrol RON 97 dan RON 95, masing-masing naik sebanyak satu sen seliter. Manakala diesel pula naik lima sen seliter.

    Di mana daripada RM1.97 seliter, RON 97 kan menjadi RM1.98 seliter. Manakala petrol RON95 pula menjadi RM1.68 seliter berbanding RM1.67 seliter pada minggu sebelum ini.

    Bagi diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM1.69 seliter dan Euro 5 pula berharga RM1.79 seliter.

    Semua harga baharu berkenaan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 23 Oktober 2020.

     
     
  • Jenama minyak Five dilancarkan secara rasmi di M’sia

    Jenama minyak Five dilancarkan secara rasmi di M’sia

    Jenama bahan api terbaru untuk pasaran tempatan, Five, yang mula diperkatakan sejak Februari tahun ini kini telah dilancarkan secara rasmi di dalam satu acara yang dirakam dan disiarkan di laman Facebook jenama berkenaan.

    Stesen minyak pertama Five mula beroperasi di Kalumpang, Selangor pada 16 Mac lalu. Jenama ini juga menjalin kerjasama dengan penyedia penyelesaian telekomunikasi Green Packet untuk memperkenalkan stesen minyak yang dikuasakan oleh kepintaran buatan (AI) pertama di negara ini.

    Five akan memanfaatkan penyelesaian berasaskan teknologi yang disediakan oleh Green Packet, antaranya termasuk electronic-Know Your Customer (e-KYC), sebuah proses online untuk mengenal pasti identiti pelanggan, e-wallet, gerbang pembayaran serta pengesanan nombor pendaftaran.

    Jenama minyak Five dilancarkan secara rasmi di M’sia

    Bagi barisan produk minyak petrol pula, jenama ini memasarkan bahan api Ultimaxx yang dibekalkan oleh Petronas. Terdahulu, syarikat menganggarkan bakal mempunyai 200 stesen di seluruh negara, dengan pembukaannya dilakukan secara berperingkat. Walaupun tiada tempoh waktu dinyatakan, peringkat pertama akan melibatkan sekitar 30 hingga 40 stesen yang terletak di luar Lembah Klang, sebelum ia diperkenalkan pula ke bandar-bandar besar.

    Pengarah Urusan Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd, Dato’ Seri King Lim Chin Fui menjelaskan, Five juga dalam pelancaran untuk mengeluarkan produk-produk berkaitan yang lain, seperti LPG dan minyak pelincir kenderaan. “Setakat ini, sudah ada pihak dari luar yang berminat terhadap produk pelincir formula khas Five. Kami ingin mengeksport produk tempatan untuk pasaran global,” ujar beliau.

    “Five juga bersedia membantu usahawan-usahawan di luar bandar untuk menyediakan bekalan minyak yang stabil kepada mereka. Saya percaya dengan cara ini, kami dapat memainkan peranan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar dengan adanya pembukaan rangakaian runcit Five di kawasan luar bandar,” tambah beliau.

     
     
  • Renault Megane eVision prebiu untuk hot hatch elektrik yang bakal muncul pada tahun 2021

    Renault Megane eVision prebiu untuk hot hatch elektrik yang bakal muncul pada tahun 2021

    Selepas 25 tahun dan empat generasi, Renault Megane akhirnya akan muncul dengan versi elektrik, dijangka bakal diperkenalkan pada tahun hadapan. Kereta berkenaan telah diprebiu sebagai model konsep Megane eVision, dengan menggambarkan rekaan dan teknologi yang bakal ditampilkan bagi pesaing segmen-C ini.

    Berdasarkan varian kenderaan elektrik yang menggunakan platform yang sama, Common Modular Family (CMF-EV), termasuk Nissan Ariya, eVision turut mengetengahkan konsep Morphoz dan dalam format yang lebih mesra produksi. Renault memposisikan kereta ini sebagai crossover, dengan meningkatkan ketinggiannya (lebih tinggi sebanyak 58 mm berbanding Megane IV, pada 1,505 mm) sekaligus memberikan aura SUV.

    Di hadapannya, kelihatan unit pencahayaan lebar sepenuhnya dalam garisan melintang, menyertai lampu utama matrix LED. Diikuti dengan corong pengambilan udara yang diposisikan lebih rendah (termasuk saluran yang mengalirkan udara ke roda hadapan), skirt sisi dan bampar belakang. Petunjuk cahaya yang mengalir dari lampu depan ke bampar memberikan gambaran berkaitan lampu nyalaan siang berbentuk-C.

    Renault berkata garisan bumbung diinspirasikan dari model coupe, dengan serlahan kemasan keemasan yang didapati pada bampar hadapan dan belakang. Dapra hadapan pula dihiasi dengan logo berlian dan menampilkan indikator status pengecasan. Terdapat juga keratan garisan tingkap khas pada pintu belakang, serta kemasan terang yang menonjolkan bentuk tingkap.

    Renault Megane eVision prebiu untuk hot hatch elektrik yang bakal muncul pada tahun 2021

    Pencahayaan hadapan sama seperti di belakang, juga ditampilkan dengan diffuser rona perak. Melengkapkan gayanya dengan padanan roda aloi dua-tona 20-inci yang didatangkan bersama tayar 245/40-section, dan ciri aerodinamik, Renault berkata dengan saiz kompak, jarak roda yang panjang dan overhang yang pendek memberikan gambaran eVision umpama kereta bandar yang miliki nilai estetika.

    Mempunyai ukuran 4,210 mm panjang dan 1,800 mm lebar, eVision lebih sempit sebanyak 14 mm dan lebih pendek sebanyak 422 mm berbanding model semasa Megane. Walau bagaimana pun, jarak rodanya 31 mm lebih panjang iaitu berukuran 2,700 mm dan secara keseluruhannya, Renault mendakwa ia memiliki ruang dalaman yang terbaik dalam kelasnya.

    Hasil daripada platform CMF-EV, sudut hujung bahagian hadapannya lebih pendek, tetapi mampu menempatkan bateri yang nipis yang diletakkan di bahagian lantai, selain meningkatkan fleksibiliti dan kebolehpercayaannya. Diletakkan di antara petak hadapan yang kompak, motor elektriknya mampu menghasilkan sehingga 160 kW (217 PS) dan tork 300 Nm, membolehkan eVision ini dipecut dari sifar ke 100 km/j di bawah lapan saat.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini tiada angka prestasi didedahkan, namun Renault berkata bateri 60 kWh dan boleh dipertingkatkan sehingga 130 kW dengan keupayaan pengecas pantas DC, eVision ini boleh dipandu dari London ke Newcastle dengan jarak masa yang sama jika menggunakan bahan api petrol atau pun diesel. Kalau menurut Google Maps, jarak tersebut mencecah 480 km.

     
     
  • Volkswagen Arteon facelift 2021 dapat dua enjin baru

    Volkswagen Arteon facelift 2021 dapat dua enjin baru

    Volkswagen telah menambah dua pilihan enjin baru untuk Arteon facelift, sekaligus menjadikan sekarang terdapat 26 varian untuk model tersebut (dicampur dengan model fastback dan shooting brake).

    Model permulaan dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo, yang menghasilkan kuasa 150 PS dan 250 Nm tork, dihantar kepada roda hadapan melalui transmisi manual enam kelajuan. Padanan kuasa ini ditawarkan untuk kedua-dua model fastback dan juga shooting brake.

    Kedua-duanya juga boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat, tetapi model fastback boleh mencapai kelajuan maksimum 220 km/j sementara shooting brake sedikit rendah, iaitu 217 km/j. Penggunaan bahan api purata adalah 5.25 l/100 km bagi fastback dan 5.33 l/100 km bagi shooting brake (WLTP).

    Satu lagi enjin baru yang disediakan adalah unit empat silinder 2.0 liter TDI yang menghasilkan 200 PS. Volkswagen memberitahu ini adalah model kedua paling berkuasa selepas Arteon R (320 PS, 420 Nm). Jumlah tork tidak diberitahu tetapi enjin diesel ini boleh memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat dan dipadankan bersama kotak gear DSG tujuh kelajuan serta sistem pacuan empat roda 4Motion.

    Tahap penggunaan bahan api purata untuk model ini adalah 4.33 liter bagi setiap 100 km untuk model fastback sementara untuk model shooting brake ia berada pada tahap 4.41 l/100 km. Jika mahu, pelanggan juga diberikan pilihan transmisi manual enam kelajuan untuk model ini.

    Untuk kelengkapan, Arteon facelift boleh didapati dengan lampu utama LED matriks IQ.Light, rim sehingga 19 inci, spesifikasi R-Line, pengawal HVAC, skrin infotainmen MIB3, rekaan roda stereng baru, panel instrumen digital 10.25 inci baru, Travel Assist serta kamera undur dengan pandangan sudut.

    Volkswagen Arteon R 2020

    Volkswagen Arteon R-Line 2020

    Volkswagen Arteon Shooting Brake eHybrid R-Line 2020

    Volkswagen Arteon Elegance 2020

     
     
  • Nissan Almera 2020 – barisan aksesori asli diumum

    Nissan Almera 2020 – barisan aksesori asli diumum

    Nissan Almera generasi kedua masih lagi belum dilancarkan secara rasmi – pendedahannya pada September lalu hanyalah prebiu, dan harga rasminya masih lagi belum diumumkan. Namun, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telahpun mengumumkan kesemua aksesori asli untuk Almera Turbo 2020 ini, lengkap dengan harganya sekali.

    Menurut ETCM, kesemua aksesori asli ini akan dilindungi oleh waranti selama tiga tahun atau 100,000 km, dan ia boleh dibeli sama ada menerusi pakej yang disediakan atau secara ala-carte. Semua harga yang dinyatakan adalah siap dengan pemasangan.

    Sebanyak empat pakej yang ditawarkan untuk aksesori ini terdiri dari kelengkapan untuk penggayaan luaran dan dalaman. Pakej pertama adalah Interior Styling Package yang berharga RM400, terdiri dari lampu kabin LED, tray untuk ruang but kargo dan kemasan keluli tahan karat atas bendul pintu dengan logo Almera.

    Pakej kedua pula adalah Exterior Styling Package yang berharga RM950. Pakej ini dikhaskan untuk varian asas VL dan pertengahan VLP, terdiri dari visor pintu, dua pelindung pembuka pintu kemasan gentian karbon palsu dan juga spoiler pada penutup but dalam kemasan hitam berkilat. Untuk varian VLT, pakej ini hanya berharga RM350 kerana spoiler sudahpun diberikan secara standard.

    Seterusnya adalah Protection Package yang berharga RM1,950. Pakej aksesori perlindungan ini terdiri dari filem penebat haba Solar Gard Armorcoat serta kamera perakam digital (DVR) untuk hadapan dan belakang. Jika anda mahukan perlindungan lebih baik, Protection Plus Package ditawarkan pada harga RM2,750 menampilkan DVR yang sama bersama filem penapis haba V-Kool Elite.

    Ingin diingatkan, sekiranya anda membeli aksesori-aksesori ini secara ala-carte harganya adalah lebih mahal. Contohnya untuk semua kelengkapan yang disenaraikan dalam Interior Styling Package jika dicampurkan secara individu adalah RM570, berbanding hanya RM400 secara pakej.

    Nissan Almera 2020 – barisan aksesori asli diumum

    Walaupun harga sebenar Almera generasi kedua ini masih belum diumum, ETCM telah pun memberitahu harga anggaran untuk setiap varian iaitu RM8x,xxx untuk varian paling rendah Almera VL, RM8x,xxx untuk Almera VLP dan RM9x,xxx untuk varian tertinggi Almera VLT. Perincian untuk setiap varian tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Kesemua tiga varian tersebut akan hanya dijana oleh satu pilihan enjin iaitu HR10DET 1.0L tiga-silinder turbo berkuasa 100 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 152 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik Xtronic CVT bersama D-Step Logic dan mod Sport.

    ETCM juga menawarkan kesemua varian Almera tersebut dengan sistem keselamatan Intelligent Forward Collision Warning bersama Intelligent Forward Emergency Braking (brek kecemasan automatik/AEB) secara standard.

     
     
  • Valentino Rossi positif Covid-19 – kini asingkan diri

    Valentino Rossi positif Covid-19 – kini asingkan diri

    Ini satu lagi bukti bahawa Covid-19 boleh menyerang siapa sahaja. Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi juga sudah terkena. Beliau disahkan positif selepas pulang dari Le Mans minggu lepas dan kini berada di kampung halaman beliau di Tavullia, Itali.

    Berita ini disahkan sendiri oleh Rossi dalam media sosial di mana beliau menyatakan rasa sedih dan hampa terutamanya kerana tidak dapat berlumba dalam dua pusingan yang paling hampir sekarang iaitu di Aragon.

    “Malangnya, pagi ini saya bangun dan rasa tidak berapa sihat. Tulang saya rasa mencucuk dan saya ada sedikit demam, jadi saya terus menghubungi doktor yang telah menguji saya dua kali. ‘Ujian pantas PCR’ menunjukkan keputusan negatif, sama seperti ujian yang saya buat Selasa lalu. Tetapi, ujian kedua, yang mana keputusannya diberikan kepada saya 16:00 petang tadi malangnya menunjukkan tanda positif.

    Valentino Rossi positif Covid-19 – kini asingkan diri

    “Saya sangat hampa saya akan terlepas perlumbaan di Aragon. Saya ingin menjadi optimis dan yakin, tetapi saya jangkakan pusingan kedua di Aragon juga saya masih tidak boleh menyertainya. Saya sedih dan marah kerana saya telah lakukan yang terbaik untuk menghormati protokol dan walaupun keputusan ujian Selasa lalu negatif, saya telah mengasingkan diri sejak tiba dari Le Mans.

    Apapun, beginilah keadaan sekarang, dan saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah situasi ini. Sekarang saya akan mengikut semua saranan perubatan yang diberi dan saya harap saya akan kembali pulih tidak lama lagi.”

     
     
  • Nissan Magnite 2021 diperkenal di India 21 Okt ini

    Nissan Magnite 2021 diperkenal di India 21 Okt ini

    Baru tiga bulan berlalu sejak pertama kali Nissan Magnite Concept ditunjuk, tahu-tahu pasaran India akan memperkenalkan SUV segmen B tersebut secara rasmi pada 21 Oktober nanti. Berita ini muncul selepas seminggu model produksinya dilihat sedang diuji di negara tersebut.

    Walaupun sebuah SUV segmen B, Magnite agak kecil daripada biasa. Panjangnya kurang daripada empat meter, dan akan bersaing dalam pasaran SUV kecil yang padat di sana. Magnite bagaimanapun bukanlah model yang unik hanya untuk pasaran India, kerana menurut Nissan, ini sebuah SUV global. Ia juga telah diuji di kemudahan syarikat itu di Nissan Tochigi Proving Ground, Jepun.

    Pengarah Urusan Nissan Motor India, Rakesh Srivastava memaklumkan; “Nissan Magnite direka khusus di Jepun, dengan mempertimbangkan keperluan pelanggan di India. Ia satu penawaran yang berani bagi segmen kenderaan di bawah empat meter panjang, dan kami yakin Magnite akan membawa definisi baru dan mengunjurkan sempadan SUV segmen B.”

    Nissan Magnite 2021 diperkenal di India 21 Okt ini

    Tak banyak yang didedahkan berkaitan spesifikasinya setakat ini. Ia didakwa menggunakan platform CMF-A yang sama dengan Renault Triber, dan kemungkinan akan gunakan enjin yang sama juga. Laporan dari India menyebut akan ada empat gandingan penjana kuasa akan ditawarkan, termasuk unit 1.0 liter NA tiga-silinder yang menghasilkan 72 hp, serta dengan pilihan kotak gear manual atau AMT. Ada juga enjin 1.0L turbocas tiga-silinder dengan gear manual atau CVT. SUV ini dipacu oleh roda depan.

    Walaupun akan dilancarkan dalam masa terdekat, Magnite hanya akan dijual bermual Januari 2021 nanti. Di India, model ini akan bersaing dengan model-model seperti Maruti Suzuki Vitara Brezza, Hyundai Venue, Tata Nexon, dan Kia Sonet.

     
     
  • Hadkan kelajuan 180 km/j idea kelakar? Tonton video dari Volvo ini dan mungkin fikiran anda akan berubah

    Macam-macam sindiran diberikan pada Volvo ketika mereka mengumumkan untuk mengehadkan had laju kereta-kereta mereka kepada hanya 180 km/j awal tahun ini. Sebenarnya, ini bukan pertama kali mereka berhadapan situasi yang sama.

    Seperti yang ramai tahu, tali pinggang keledar tiga poin yang kita pakai hari ini adalah hasil rekaan jurutera Volvo, Nils Bohlin pada tahun 1959. Volvo memberikan paten tersebut secara percuma kepada semua pengeluar automotif untuk menggunakannya dengan niat untuk menyelamatkan seramai mungkin nyawa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

    Namun ketika undang-undang mandatori untuk mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar ini diumumkan, idea berkenaan mendapat pelbagai cemuhan dari orang ramai dan media, sehingga satu laporan dari akhbar New York Times pada 1973 menyebut bahawa pemakaian tali pinggang keledar ini “melanggar hak asasi individu”!

    Hadkan kelajuan 180 km/j idea kelakar? Tonton video dari Volvo ini dan mungkin fikiran anda akan berubah

    Baru-baru ini, Volvo telah menyiarkan satu video bertajuk “A Million More” yang memaparkan cerita-cerita terus dari mulut mereka-mereka yang terselamat dari menjadi korban ketika berlaku kemalangan jalan raya, kerana memakai tali pinggang keledar. Paling mengharukan, kesemua mereka yang terselamat ini seakan tidak percaya apa yang dihamburkan oleh media terhadap undang-undang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar berkenaan.

    Sehingga kini, dianggarkan lebih dari sejuta nyawa yang terselamat dari terkorban dalam kemalangan trafik kerana memakai tali pinggang keledar. Menurut Volvo, walaupun sekali lagi menerima pelbagai kritikan, mereka nekad untuk mengehadkan kelajuan 180 km/j tersebut bagi menyelamatkan lebih sejuta lagi nyawa pada masa akan datang.

    Idea untuk mengehadkan kelajuan kenderaan hanya pada 180 km/j ini telah disuarakan Volvo pada Mac 2019, dengan menyatakan bahawa mereka percaya kelajuan adalah penyebab utama kecederaan dan juga kehilangan nyawa ketika berlakunya kemalangan. Perlaksanaan untuk mengehadkan kelajuan tersebut mula dibuat pada model-model baharu mereka bermula tahun ini.

     
     
  • Heico Sportiv tawar ‘buka’ had laju maksima 180 km/j pada model-model baharu Volvo dengan e.motion

    Heico Sportiv tawar ‘buka’ had laju maksima 180 km/j pada model-model baharu Volvo dengan e.motion

    Awal tahun ini, Volvo telahpun mengumumkan bahawa model-model baharu mereka serta merta akan dihadkan kelajuan maksima masing-masing hanya pada 180 km/j bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian pada kereta-kereta mereka.

    Model-model petrol baharu Volvo kini semuanya hadir dengan enjin Drive-E yang disuap pengecas turbo (T4 dan T5), malah untuk model lebih tinggi (T6 dan T8) turut diberikan turbo dan supercharger serentak – pecutan dah kuat tapi top speed tak tinggi, mesti ada pemilik yang rasa agak geram kan?

    Namun untuk mereka yang tak berpuas hati, masih lagi ada cara untuk mengembalikan had kelajuan asal model-model berkenaan. Penala Volvo dari Jerman, Heico Sportiv mengumumkan bahawa kotak komputer enjin (ECU) e.motion mereka akan dihasilkan dalam versi khusus untuk tujuan tersebut dan akan mula dijual pada November ini.

    Heico Sportiv tawar ‘buka’ had laju maksima 180 km/j pada model-model baharu Volvo dengan e.motion

    Heico Sportiv sudah lama menawarkan ECU e.motion ini untuk kegunaan enjin-enjin Volvo di mana ia akan mengoptimakan lagi talaan enjin berkenaan bagi mengekstrak lebih kuasa kuda dan tork serta kelajuan maksima kereta berkenaan. Untuk versi yang diumumkan kali ini, ia mampu mengembalikan had laju asal (30 hingga 70 km/j bergantung pada model) model-model 2021 sama seperti model-model 2020.

    Ia bukan sahaja untuk model-model petrol, malah turut ditawarkan untuk model-model yang dijana enjin turbodiesel dan model hibrid Volvo siri 40, siri 60 dan siri 90. Pembelian dan pemasangan kotak komputer yang datang lengkap dengan pendawaian ini juga diberikan waranti selama 60 bulan.

    Untuk pasaran Eropah, ECU e.motion Heico Sportiv ini akan dijual pada harga bermula 1,112.06 euro (RM5.4k) hingga 1543.10 euro (RM7.5k).

    Buat masa sekarang, model-model CKD Volvo yang dipasang di kilang Shah Alam masih belum dihadkan kelajuan maksimanya. Menurut Volvo Cars Malaysia, langkah tersebut akan dibuat pada masa akan datang dan antara model terawal yang akan menerapkan fungsi tersebut adalah sedan S60 T8 Twin Engine R-Design.

     
     
  • Nissan Navara NP300 facelift 2021 dijumpai di Thailand

    Nissan Navara NP300 facelift 2021 dijumpai di Thailand

    Nissan Navara NP300 sudah berada kira-kira enam tahun dalam pasaran, adakah Nissan akan menghasilkan model generasi baharu untuk trak pikap ini? Nampak usia produksinya masih lagi panjang di mana ia dijumpai dalam versi facelift di Thailand.

    Gambar Navara facelift yang anda lihat ini disiarkan oleh portal automotif Thai, Headlightmag dan menyatakan ini adalah dari versi ‘minor change’ (MC). Ia nampaknya kini diberikan muka yang diinspirasikan dari ‘abang besar’nya untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu Nissan Titan.

    Kluster lampu hadapan Navara ini nampaknya masih seakan sama dengan model sedia ada (ini mungkin dari varian rendah kerana hadir dengan lampu halogen reflektor dengan rim bukan aloi), tetapi gril hadapan telah diubah dengan kemasan krom yang lebih banyak serta ‘hidung’ yang direka nampak lebih tinggi.

    Gril baharu dengan bezel krom tebal di atas dan sisi ini juga memerlukan bampar hadapan Navara MC ini turut diubah, menampilkan perumah lampu kabus yang direka ‘berdiri’, berbanding melintang pada model sedia ada.

    Nissan Navara 2018 pasaran Malaysia (kiri) dan Nissan Titan pasaran Amerika Syarikat (kanan)

    Ini sebenarnya adalah facelift kali pertama yang diberikan pada Navara, selepas ia membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada tahun 2014, dan kemudian tiba di pasaran Malaysia pada 2015.

    Dikhabarkan, Navara MC 2021 ini bakal menerima enjin diesel 2.3 liter dengan dua pengecas turbo yang sama seperti SUV tujuh-tempat duduk dari platform yang sama iaitu Nissan Terra. Enjin YS23DDTT pada Terra berkenaan menghasilkan 190 PS pada takat 3,750 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,500 hingga 2,500 rpm – kuasa yang hampir sama dengan Navara sekarang tetapi dengan kapasiti 2.5 liter.

    Untuk transmisi, boleh dijangka ia masih akan menggunakan unit kotak gear automatik tujuh-kelajuan yang sama. Memandangkan Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan juga Ford Ranger kini sudahpun menerima sistem bantuan pemanduan termasuk sistem brek kecemasan automatik, Navara 2021 ini juga mungkin akan dibekalkan dengan sistem Nissan Safety Shield 360.

    Jadi apa pendapat anda berkenaan rupa baharu Navara NP300 ini? Suka dengan penampilan ala trak gergasi Amerika, atau lebih suka dengan imej Navara yang sekarang?

    GALERI: Nissan Navara NP300 2018 VL Black Series pasaran Malaysia