Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan tertinggi bagi 2018 – 13,079 unit terjual, naik 9% dari 2017

    Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan tertinggi bagi 2018 – 13,079 unit terjual, naik 9% dari 2017

    Untuk tahun 2018, dengan 20 pelancaran model kenderaan terkini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) sekali lagi mencatatkan rekod jualan tertinggi bagi syarikat itu berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sepanjang tahun lalu, MBM berjaya menjual sebanyak 13,079 unit kenderaan di Malaysia. Ini juga bersamaan dengan peningkata sebanyak 9% berbanding 2017, dengan sejumlah 12,045 unit kenderaan terjual.

    Dengan pencapaian ini, kadar perkongsian pasaran MBM kini berada pada tahap 2.4%, dan meletakkan jenama ini menjadi jenama mewah nombor satu di Malaysia. Bulan Jun 2018 – ketika bermulanya tempoh cuti cukai GST selama tiga bulan – menjadi bulan dengan jualan paling tinggi pernah dicatatkan, iaitu sebanyak 1,750 unit.

    Jika mengikut pecahan segmen kenderaan, segmen kereta kompak MBM menyaksikan penurunan sebanyak 7.7% berbanding tahun lalu, dengan hanya 1,875 unit terjual. Bagaimanapun, segmen limosin/sedan pemasangan tempatan menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih positif, dengan peningkatan sebanyak 12% atau jualan sebanyak 7,910 unit.

    Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan tertinggi bagi 2018 – 13,079 unit terjual, naik 9% dari 2017

    Segmen yang merekodkan pertumbuhan paling tinggi ialah dari barisan Dream Cars, kereta-kereta sport mewah keluaran syarikat ini. Sepanjang 2018, pertumbuhan yang dicatatkan ialah sebanyak 77%, dengan 662 unit terjual. Bagi model-model SUV, 2,613 unit berjaya dijual, diterjemahkan kepada 0.5% peningkatan berbanding 2017, dengan penyumbang utama ialah model GLC 200 dan GLC 250.

    Satu lagi faktor yang menjadi kebanggaan MBM sepanjang 2018 ialah jumlah kenderaan yang diservis telah mencecah angka 148,800 unit, mencerminkan kenaikan 16% berbanding 2017. Dari sudut pengeluaran kenderaan pula, kilang pemasangan MBM di Pekan mengeluarkan sebanyak 9,854 unit bagi 2018. Bulan Julai menyaksikan kadar pengeluaran tertinggi dengan 1,104 unit diproduksi. 2018 juga menjadi tahun pertama pengeluaran model AMG pemasangan tempatan – melalui model seperti Mercedes-AMG C 43 dan GLC 43.

    Selain itu, cabang perniagaan pembiayaan kenderaan syarikat ini, Mercedes-Benz Services Malaysia turut memperluas jumlah pembiayaan mencecah RM2.7 bilion kepada kira-kira 18,000 pelanggan aktif. Angka ini memperlihatkan peningkatan sebanyak 23% berbanding tahun sebelumnya. Dengan perkhidmatan ini, lima daripada 10 unit kenderaan Mercedes-Benz yang dijual diinsuranskan oleh Mercedes-Benz Finance, begitu juga dengan empat daripada 10 kenderaan yang dijual dibiayai oleh syarikat ini sendiri.

     
     
  • Mercedes-Benz CLA C118 – generasi kedua diperkenal

    Mercedes-Benz CLA C118 – generasi kedua diperkenal

    Waktu pameran CES 2019 di Las Vegas, Mercedes-Benz telah memperkenalkan model baru CLA C118, yang merupakan model generasi kedua serba baru bagi coupe empat pintu tersebut. Saiznya lebih besar daripada model sebelum ini, dengan ukuran 4,688 mm panjang, 1,830 mm lebar dan 1,439 mm tinggi, bersamaan 48 mm lebih panjang, 53 mm lebih lebar dan dua mm lebih pendek berbanding C117. Jarak roda juga bertambah 30 mm menjadi 2,729 mm.

    Selain daripada itu, CLA baru ini juga mempunyai jarak antara roda kiri dan kanan yang lebih lebar berbanding model generasi pertama, iaitu meningkat sebanyak 63 mm bagi tayar hadapan dan 55 mm bagi tayar belakang. Pada aspek penggayaan, model baru ini kurang radikal dan garis badannya seakan memberi gambaran ia seperti CLS yang lebih kecil. Bentuk baru ini juga mampu memberikan aerodinamik lebih baik.

    Dalam keadaan standard, CLA baru dilengkapi dengan lampu utama halogen dengan lampu siang LED bersepadu, tetapi pelanggan masih mempunyai pilihan tambahan lampu LED High Performance dan Multibeam LED. Lampu belakang juga boleh didapati dengan teknologi LED penuh. Untuk rim pula, unit yang ditawarkan bermula dari saiz 16 inci standard sehinggalah 19 inci.

    Mercedes-Benz CLA C118 – generasi kedua diperkenal

    Bahagian dalam pula menampilkan papan pemuka yang seperti diambil terus daripada A-Class, lengkap dengan panel skrin ‘terapung’ yang lebar serta corong pendingin hawa rekaan seperti turbin. Model CLA sebelum ini diketahui mempunyai ruang yang sempit, dan Mercedes-Benz cuba untuk mengatasinya.

    Melihat kepada catatan nombor, ruang kepala hadapan kini sudah meningkat 17 mm, belakang meningkat tiga mm, manakala ruang siku juga ditambah lagi, masing-masing 35 mm di hadapan dan 44 mm di belakang. Turut dipertingkat adalah ruang bahu, tetapi ruang kaki masih lagi sama seperti sebelum ini.

    Selain daripada skrin tadi, ciri lain yang diberi adalah termasuk sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) versi terbaru, yang lengkap dengan fungsi sama seperti GLE baru termasuk Interior Assist yang boleh dikawal menggunakan pergerakan. Sistem ini boleh mengenal pasti arahan pergerakan daripada pemandu dan penumpang hadapan, dan boleh digunakan sama ada waktu siang ataupun gelap.

    Mercedes-Benz CLA C118 – generasi kedua diperkenal

    Contoh kepada fungsi pintar sistem ini adalah seperti membuka atau menutup lampu membaca dengan hanya menghalakan tangan ke arah cermin pandang belakang atau menyalakan lampu kecil apabila pemandu menjangkau ke arah tempat duduk penumpang hadapan yang kosong. Sama seperti A-Class, CLA ini turut mempunyai fungsi kawalan suara ‘Hey Mercedes’, kawalan keselesaan Energising dengan fungsi Energising Coach.

    Bagi sistem bantuan memandu pula, model baru ini dilengkapi dengan fungsi yang diambil daripada S-Class, dengan Active Brake Assist dan Active Lane Keeping Assist diberikan secara standard. Fungsi lain yang boleh didapati adalah termasuk Active Distance Assist Distronic, Active Emergency Stop Assist dan Active Lane Change Assist.

    Kereta yang dipamerkan di CES ini adalah varian CLA 250, dilengkapi dengan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter M260 berkuasa 224 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 4,000 rpm. Beberapa enjin lain akan ditawarkan untuk CLA baru ini apabila ia dilancarkan pada bulan Mei nanti, dan ini termasuk unit petrol 1.33 liter M282 dan diesel 1.5 liter seperti A-Class. Versi AMG yang lebih berkuasa juga pastinya akan menemui pasaran seperti CLA 35 dan CLA 45 yang ditawarkan dengan sama ada dengan enjin 387 hp ataupun yang lebih tinggi, 421 hp.

     
     
  • Volkswagen tawar promosi sempena TBC – rebat sehingga RM20k, tayar dari RM184, bateri dari RM365

    Volkswagen tawar promosi sempena TBC – rebat sehingga RM20k, tayar dari RM184, bateri dari RM365

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan tawaran promosi hebat sempena Tahun Baharu Cina (TBC) yang bakal menjelma awal bulan hadapan – termasuk menawarkan rebat untuk model terpilih.

    Bagi Passat, ia hadir dengan rebat sehingga RM20,000 untuk Comfortline, dengan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM1,635 untuk sedan segmen-D itu. Passat Highline pula menawarkan penjimatan sehingga RM6,000 dan melibatkan bayaran ansuran bulanan dari RM1,976. Pengiraan tersebut berdasarkan pinjaman sewa-beli selama sembilan tahun dengan bayaran deposit 10%, pada kadar pinjaman 2.8% untuk model yang ditawarkan itu.

    Turut ditawarkan dengan diskaun lima-angka ini ialah Vento Comfortline, dengan penjimatan sehingga RM12,000, dan hanya dari RM760 untuk bayaran bulanan. Sementara Vento Highline pula ditawarkan dengan penjimatan sehingga RM8,000, dengan bayaran bulan sebanyak RM870.

    Untuk Polo hatchback pula didatangkan dengan penjimatan sehingga RM6,000 atau bulanan RM720. Manakala model paling laris bagi barisan Golf pula – 1.4 TSI R-Line kini ditawarkan dengan penjimatan sehingga RM4,000 atau bulanan RM1,767. Manakala GTI pula dengan penjimatan RM2,000 atau RM2,550 sebulan. Manakala varian tertinggi R dengan penjimatan RM2,000 atau RM3,155 sebulan.

    Tawaran selepas jualan termasuk harga tayar dari RM184 per unit termasuk pemasangan, penjajaran dan imbangan, bergantung pada kuantiti tayar bagi setiap pembelian. Malah turut ditawarkan pemeriksaan bateri percuma untuk semua pemilik, dan jika ada yang memerlukan penggantian, diskaun sebanyak 20% untuk bateri baharu turut ditawarkan dan harga bermula RM365, bergantung pada model kenderaan. Kempen bateri akan bermula dari 15 Januari hingga 28 Februari.

     
     
  • Nissan Leaf e+ baharu – bateri 62 kWh, kuasa 215 hp, boleh gerak 40% lebih jauh, laju maksimum naik 10%

    Nissan Leaf e+ baharu – bateri 62 kWh, kuasa 215 hp, boleh gerak 40% lebih jauh, laju maksimum naik 10%

    Nissan telah mendedahkan Leaf e+, yang dilengkapi dengan sumber kuasa baru, bersama lebih banyak kuasa dan jarak gerak lebih jauh. Nama “e+” yang digunakan itu merujuk kepada peningkatan kuasa pek bateri kenderaan ini, yang kini menggunakan unit 62 kWh, sekaligus menambahkan kuasa serta jarak geraknya sehingga sekitar 40%.

    Catatan jarak gerak ini adalah satu berita utama kerana sebelum ini Leaf cuma boleh pergi sejauh 241 km (150 batu) mengikut ujian EPA US, tetapi sekarang boleh bergerak sehingga 364 km (226 batu). Walaubagaimanapun, ada saja pesaingnya yang menawarkan jarak lebih jauh dengan sekali cas seperti Kia Niro EV (239 batu) atau Hyundai Kona Electric (258 batu).

    Jika mengikut ujian kitaran Jepun, Leaf generasi kedua yang dilancarkan pada September 2017 dengan pek bateri lithium-ion 40 kWh mampu mencatat jarak gerak 400 km, manakala dalam ujian New European Driving Cycle (NEDC), ia mencatat 378 km. Sebelum ini Nissan ada memberitahu mahu menghasilkan Leaf yang lebih berkuasa, dan inilah jawapannya.

    Nissan Leaf e+ baharu – bateri 62 kWh, kuasa 215 hp, boleh gerak 40% lebih jauh, laju maksimum naik 10%

    Motor yang digunakan pada Leaf e+ juga adalah lebih berkuasa, dengan catatan kuasa 215 hp (160 kW, naik daripada 110 kW/148 hp) dan lebih 20 Nm tork menjadi 340 Nm. Hasilnya, pecutan dari 80 km/j ke 100 km/j dapat dijadikan 13% lebih pantas, manakala laju maksimum pula naik sebanyak 10%.

    Menurut Nissan, Leaf e+ juga boleh dicas dengan lebih cekap hasil penggunaan sistem pengecasan pantas 70 kW (boleh pergi hingga 100 kW) baru. Berdasarkan ujian awal, apabila disambungkan pada pengecas pantas ini,
    pemilik Leaf e+ baru boleh menjangkakan tempoh mengecas yang sama seperti Leaf biasa yang disambung pada pengecas 50 kW, meskipun kapasiti simpanan baterinya 55% lebih besar.

    Walaupun dengan peningkatan 25% pada ketumpatan tenaga dan peningkatan pada kapasiti simpanan tenaga, pek bateri Leaf e+ masih mempunyai saiz serta konfigurasi hampir sama seperti bateri 40 kWh pada Leaf biasa. Selain daripada tinggi keseluruhan yang bertambah lima mm (menggunakan rim 16 inci), dimensi lain bahagian dalam dan luar kenderaan ini tidak berubah.

    Nissan Leaf e+ baharu – bateri 62 kWh, kuasa 215 hp, boleh gerak 40% lebih jauh, laju maksimum naik 10%

    Nissan Leaf mempunyai satu ciri istimewa iaitu e-Pedal, di mana pemandu boleh memulakan perjalanan, memecut, memperlahankan serta memberhentikan kenderaan dengan hanya menggunakan satu pedal sahaja. Disebabkan Leaf e+ ini mempunyai lebih kuasa dan berat, perisiannya telah diprogramkan semula supaya menjadi lebih lancar, dengan tindak balas pedal yang ditingkat, terutamanya untuk operasi waktu mengundur dan pengurangan laju yang lebih pantas dan lancar, sekaligus menjadikan pemberhentian kenderaan lebih mudah.

    Leaf juga dilengkapi dengan teknologi pemanduan pintar ProPILOT, iaitu sistem pemanduan autonomous dalam satu lorong. Apabila diaktifkan, kenderaan ini dapat mengekalkan jarak dengan kenderaan hadapan pada kelajuan yang ditetapkan (antara 30 km/j hingga 100 km/j), sambil stereng dikawal untuk memastikan kenderaan tetap dalam satu lorong. Ia juga boleh membrek sehingga berhenti sepenuhnya secara automatik apabila perlu.

    Sebagai tambahan kepada ProPILOT dan e-Pedal ini, Leaf juga dilengkapi dengan pakej Safety Shield, yang termasuk Intelligent Lane Intervention, Lane Departure Warning, Intelligent Emergency Braking, Blind Spot Warning, Traffic Sign Recognition, Rear Cross Traffic Alert, Intelligent Around View Monitor dengan pengesan objek bergerak dan Emergency Assist for Pedal Misapplication.

    Nissan Leaf e+ baharu – bateri 62 kWh, kuasa 215 hp, boleh gerak 40% lebih jauh, laju maksimum naik 10%

    Satu ciri baru bagi Leaf e+ ini skrin paparan lebih besar, lapan inci dengan warna penuh dan sistem navigasi yang dipertingkat dan boleh disambung dengan telefon pintar. Paparan pada skrin ini juga mempunyai operasi yang menyerupai telefon pintar dan boleh dikemas kini dengan sentuhan satu butang sahaja.

    Leaf e+ akan dijual di Amerika Utara di bawah barisan Leaf Plus Series, dengan setiap trim mempunyai nama tersendiri termasuk S Plus, SV Plus dan SL Plus. Secara globalnya, kereta baru ini dipanggil cuma sebagai Nissan Leaf e+. Ia akan menyertai Leaf biasa di Jepun dalam bulan ini, manakala di Eropah pula pertengahan tahun ini. Leaf juga pernah dilaporkan akan dilancar di Malaysia.

     
     
  • Porsche 911 Cabriolet baru, siri 922 bumbung terbuka

    Porsche 911 Cabriolet baru, siri 922 bumbung terbuka

    November tahun lalu, Porsche mendedahkan coupe Porsche 911 siri 992 kepada umum. Kini, mereka kemudiannya tidak menunggu lama untuk memperkenalkan pula Porsche 911 Cabriolet sebagai tambahan terbaru bagi barisan model berkenaan.

    Ia mempunyai semua ciri yang ada pada model coupe 911 berkenaan, serta beberapa ciri khusus cabriolet, misalnya sistem hidraulik baru untuk menurun dan menaikkan bumbung dengan pantas. Bumbung berkenaan boleh dibuka atau ditutup dalam kelajuan sehingga 50 km/j, dan hidraulik baru mengurangkan masa yang terlibat kepada 12 saat. Sementara itu, panghadang angin kawalan elektrik akan memastikan leher pemandu dan penumpang dilindungi daripada impak angin.

    Model 911 Cabriolet ini datang dalam varian Carrera S dengan pacuan belakang dan Carrera 4S dengan AWD. Sama seperti versi coupe, model ini turut menggunakan enjin 3.0 liter twin-turbo boxer enam-silinder yang menjana 450 PS pada 6,500 rpm dan 530 Nm tork dari 2,300 hingga 5,000 rpm. Kecekapan dan emisi bagaimanapun telah dipertingkatkan.

    Porsche 911 Cabriolet baru, siri 922 bumbung terbuka

    Kuasa disampaikan oleh transmisi lapan-kelajuan klac berkembar baru. Versi Carrera S memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat (3.7 saat dengan Pakej Sport Chrono) dan boleh mencapai kelajuan sehingga 306 km/h. Carrera 4S bula sedikit lebih pantas dengan laju maksimum 304 km/j.

    Porsche menyatakan posisi mounting enjin baru menjadikan Cabriolet ini lebih kukuh (torsionally rigid) berbanding model sebelumnya. Buat pertama kali, casis sport Porsche Active Suspension Management (PASM) ditawarkan bagi model Cabriolet ini. Spring yang digunakan lebih pendek dan keras, anti-roll bar depan dan belkaang lebih kukuh dan keseluruhan casis direndahkan sebanyak 10 mm.

    911 Cabriolet baru ini kelihatan lebih lebar dan muskular berbanding yang sebelumnya. Tayar depan menggunakan saiz 20-inci, sementara di belakang menggunakan rim 21-inci. Model pacuan roda belakang (RWD) kini mempunyai rekabentuk yang sama dengan model AWD, dengan gandar belakang kini 44 mm lebih panjang. Bahagian belakang juga nampak lebih lebar, dengan jalur lampu yang melintang sepenuhnya.

    Porsche 911 Cabriolet baru, siri 922 bumbung terbuka

    Banyak kelengkapan yang didatangkan bagi model ini. Antara yang utama ialah Wet Mode sebagai ciri standard. Fungsi ini mengesan air di atas jalan, dan sistem kawalan akan memaklumkan pemandu terlebih dahulu. Lain-lain ciri keselamatan termasuk amaran berdasarkan kamera dan sistem bantuan brek (mengesan pejalan kaki dan basikal).

    Turut ada ialah sistem bantuan parkir dengan kamera undur. Pilihannya termasuk Night Vision Assist dengan kamera imejan thermal, serta kawalan kruise adaptif dengan kawalan jarak automatik.

     
     
  • Dana RM20 juta bukan hanya untuk prototaip kereta nasional ketiga, ia juga melibatkan R&D lain – Redzuan

    Dana RM20 juta bukan hanya untuk prototaip kereta nasional ketiga, ia juga melibatkan R&D lain – Redzuan

    Dua hari lepas, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) mengumumkan pemberian dana bernilai hampir RM20 juta untuk membangunkan prototaip kereta nasional ketiga. Walau bagaimana pun, semalam, menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, dana berkenaan adalah peruntukan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan R&D sedia ada untuk Kementerian Pembangunan Usahawan, hanya sebahagian yang akan digunakan bagi pembangunan prototaip kereta nasional ketiga.

    Menurutnya lagi, kementerian itu mempunyai geran untuk R&D dan beliau telah mengetengahkan pandangan kepada jemaah menteri supaya sebahagian daripada dana tersebut digunakan bagi mewujudkan prototaip kereta nasional, laporan Bernama.

    Redzuan juga berkata kos penyediaan prototaip kereta nasional, yang akan dibangunkan oleh vendor yang bakal diputuskan kelak, adalah lebih rendah daripada jumlah itu.

    Dana RM20 juta bukan hanya untuk prototaip kereta nasional ketiga, ia juga melibatkan R&D lain – Redzuan

    “Dana R&D yang dimiliki kementerian dianggarkan berjumlah RM20 juta, dan kita tidak gunakan kesemuanya untuk hasilkan prototaip kerana kita akui kos bagi bangunkan prototaip adalah lebih rendah daripada itu,” katanya mengulas pandangan sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan kementerian menggunakan wang kerajaan bagi menjayakan projek kereta nasional itu.

    Katanya, pengkritik projek ke­reta nasional tersebut tidak memahami perkara atau kebaikan tersirat di sebalik idea tersebut.

    Perkara tersirat yang tidak diberi perhatian ialah kewujudan projek kereta nasional itu boleh menjadi pemangkin kepada ramai usahawan automotif dan mereka yang terlibat dalam internet of thing, robotik, perisian serta aeroangkasa untuk turut sama memperoleh peluang ekonomi.

     
     
  • Hyundai Elevate muncul di CES 2019 – ada kaki beroda

    Hyundai Elevate muncul di CES 2019 – ada kaki beroda

    Biasanya apabila berlaku bencana, orang yang mahu membantu ataupun pasukan penyelamat cuma boleh bergerak menaiki kenderaan sehingga ke kawasan yang tertentu sahaja dan ia kemudiannya diteruskan dengan berjalan kaki. Ini memberikan inspirasi kepada Hyundai untuk menghasilkan sebuah kenderaan konsep yang lebih cekap untuk berhadapan kawasan mencabar, dan ia dikenali sebagai Elevate.

    Seperti yang boleh dilihat dalam gambar, Elevate mempunyai empat ‘kaki’ beroda dan ia boleh dipanjangkan untuk menaikkan kenderaan lebih tinggi. Kabin untuk penumpang pula dibina atas platform kenderaan elektrik (EV) modular jenama itu, dan digerakkan oleh kuasa elektrik.

    Memandangkan ini adalah sebuah kenderaan konsep yang masih baru, Hyundai tidak mendedahkan sebarang informasi teknikal berkenaan Elevate, tetapi ia diberitahu boleh memanjat tembok sehingga lima kaki, melangkah dalam jarak lima kaki, berjalan atas pelbagai permukaan dan semuanya boleh dilakukan dengan mengekalkan kabin penumpang seimbang.

    Hyundai Elevate muncul di CES 2019 – ada kaki beroda

    Apabila berada atas jalan biasa, kaki robotik Elevate ini boleh dilipat ke dalam, dan menghasilkan bentuk seperti kereta biasa. Dalam keadaan itu, ia juga boleh bergerak seperti kereta biasa, dan kuasa kepada sendi kaki tersebut akan ditutup untuk menjimatkan bateri.

    Selain penggunaan di kawasan bencana seperti runtuhan bangunan dan banjir, Elevate juga dilihat boleh membantu mengeluarkan kenderaan sekiranya pemandu terbabas ke bahu jalan atau kawasan lain. Untuk orang kurang upaya yang tiada akses kepada tanjakan khas untuk kerusi roda pula, kenderaan ini boleh memanjat tangga untuk mengambil mereka.

     
     
  • Terowong baharu di Jln Tuanku Abdul Halim-Lebuhraya Sultan Iskandar ditutup hingga 16 Jan ini

    Terowong baharu di Jln Tuanku Abdul Halim-Lebuhraya Sultan Iskandar ditutup hingga 16 Jan ini

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memaklumkan, mulai semalam (8 Januari 2019) sehingga 16 Januari ini, terowong baharu di Jalan Tuanku Abdul Halim ke Lebuhraya Sultan Iskandar (dulunya dikenali sebagai Lebuhraya Mahameru) ditutup sepenuhnya.

    Penutupan terowong tersebut adalah bagi memberikan laluan kepada DBKL untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan. Sebelum ini hanya satu lorong sahaja yang ditutup. Walau bagaimana pun, penutupan sepenuhnya terowong tersebut telah mengakibatkan laluan berkenaan sesak teruk pada awal pagi semalam.

    Justeru, DBKL menasihati para pengguna laluan berkenaan agar menggunakan jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing sepanjang penutupan terowong terbabit.

     
     
  • Harga Kia Stinger naik – kini dari RM265k-RM384k

    Harga Kia Stinger naik – kini dari RM265k-RM384k

    Harga sedan sport empat pintu dari Korea – Kia Stinger – kini sudahpun dikemaskini. Ketika dilancarkan pada pasaran Malaysia Julai tahun lalu, versi asas 2.0 T-GDI GT-Line dijual pada harga RM239,888, manakala untuk varian paling berkuasa 3.3 V6 GT adalah RM309,888.

    Kini setelah harga berkenaan disemak semula, model 2.0 GT-Line akan dijual pada harga RM264,888, naik RM25,000, manakala model 3.3 V6 GT pula dijual pada harga RM383,888, atau RM74,000 lebih mahal dari sebelum ini.

    Menurut Naza Kia, ketika mereka mengumumkan harga baharu September lalu sempena implemantasi semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), harga untuk Stinger tidak termasuk kerana mereka masih menunggu kelulusan dari kementerian kewangan. Harga baharu berkenaan hanya diterima hujung tahun lalu.

    Harga Kia Stinger naik – kini dari RM265k-RM384k

    Dengan harga yang lebih tinggi ini, nampaknya beza antara Stinger dan pencabar terdekatnya, Mercedes-AMG C 43 4Matic kian rapat – hanya berbeza sekitar RM38,000, walaupun harga model Jerman tersebut turut meningkat setelah versi faceliftnya diperkenalkan.

    Kia Stinger varian asas dijana oleh enjin empat-silinder 2.0 liter Theta II disuap oleh pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menjana 251 hp pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 353 Nm. Kuasa dialirkan ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan automatik membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6 saat.

    Manakala versi tertinggi GT pula, ia menerima enjin 3.3 liter V6 Lambda II dengan dua pengecas turbo, membolehkan ia membekalkan kuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Model paling buas ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

    GALERI: Kia Stinger GT

     
     
  • Perodua Axia duduki tangga ke-3 jualan kereta terlaris di ASEAN 2018, Toyota Hilux ungguli carta – kajian

    Perodua Axia duduki tangga ke-3 jualan kereta terlaris di ASEAN 2018, Toyota Hilux ungguli carta – kajian

    Perodua Axia direkodkan sebagai model kereta ketiga yang terlaris di pasaran negara Asia Tenggara pada tahun 2018, hasil kajian Focus2Move. Ia telah terjual sebanyak 89,373 unit, iaitu meningkat sebanyak 33% berbanding tahun sebelumnya.

    Menurut firma bebas yang menggumpulkan data jualan bagi 146 buah negara di seluruh dunia bagi semua model, jenama dan segmen ini, rekod jualan yang diperoleh daripada negara-negara ASEAN termasuk Thailand, Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia, Brunei, Laos, Myanmar dan Kemboja menobatkan Toyota Hilux, yang diproduksi di Thailand, sebagai juara carta. Ia mencatatkan jualan sebanyak 152,054 unit iaitu meningkat sebanyak 24.9% berbanding tahun 2017.

    Manakala pencabar terdekatnya, Isuzu D-Max, yang juga diproduksi di negara yang sama, mencatatkan rekod jualan sebanyak 134,902 unit (+11.9%). Nampak gayanya dua model terkenal trak pikap ini memang cukup digemari di negara-negara berkenaan sehingga berjaya menduduki dua tangga tertinggi dalam carta jualan kenderaan terlaris di ASEAN tahun lalu.


    Di belakang Axia, Toyota Vios menduduki tangga ke-empat dengan jualan sebanyak 82,866 unit, turun sebanyak 11.3% berbanding tahun 2017 dan MPV Toyota Avanza pula di tangga ke-lima, turut mencatatkan penurunan sebanyak 29%, dengan jualan sebanyak 81,188 unit pada tahun lalu.

    Model serba baharu, Mitsubishi Xpander, yang kini semakin meledak di pasaran Indonesia, pula menduduki tangga ke-enam dengan jualan sebanyak 77,688 unit. Di tangga ke-tujuh pula menjadi milik Honda City dengan jualan sebanyak 74,862 unit (+2.3%) dan diikuti dengan Toyota Innova (73,750 unit/-11.2%) dan Honda HR-V (71,374 unit/-6.7%). Tempat ke-10 pula diduduki oleh Ford Ranger dengan jualan sejumlah 66,934 unit iaitu meningkat sebanyak 11.1% berbanding tahun sebelumnya.

     
     
  • Jangan salahkan tayar celup, kerajaan perlu pantau kilang haram hasilkan produk kualiti rendah – TRMAM

    Jangan salahkan tayar celup, kerajaan perlu pantau kilang haram hasilkan produk kualiti rendah – TRMAM

    Memberikan respon kepada menteri kerja raya Baru Bian yang menyatakan bahawa 10,000 kemalangan di negara ini adalah kerana tayar celup, Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM) menyatakan bahawa tuduhan berkenaan adalah tidak adil.

    Dalam laporan Bernama, presiden persatuan berkenaan Chin Hon Meng berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri berkenaan baru-baru ini kerana semua syarikat di bawah TRMAM diiktiraf dengan MS 224: 2005 yang termaktub dalam Akta Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan pensijilan mandatori produk MS 224: 2005 untuk tayar celup juga telah diwartakan kerajaan pada Nov 2007.

    “Pensijilan MS 224:2005 di mana ujian ketahanan dan prestasi tayar ini mematuhi piawaian MS1394:2017 dan ia bersamaan dengan European Commercial Vehicle Tyres Standards (ECE R109),” kata Chin.

    Beliau turut menyatakan bahawa tayar celup digunakan di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Singapura dan ada di antara pengeluar tayar melantik pengilang tayar celup bertauliah untuk menghasilkan tayar celup di bawah jenama mereka.

    Menurut Chin, sehingga kini terdapat kilang-kilang tayar celup haram yang menghasilkan produk yang tidak memenuhi pengiktirafan Malaysia Standard (MS) dan kerajaan perlu membuat pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas dari semasa ke semasa.

    “Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran kami telah dibanjiri dengan tayar lori dan bas import yang murah dan berkualiti rendah untuk kenderaan komersial dan ini mendatangkan masalah bukan sahaja kepada kami yang diiktiraf dengan pensijilan malah kehadiran kilang haram ini juga membahayakan nyawa pengguna jalan raya,” jelas Chin.

    Chin turut menegaskan bahawa terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan tayar di atas jalan raya khususnya kepada tayar lori atau bas sama ada tayar celup atau baru.

    “Antaranya, kurang tekanan angin tayar di mana ‘under-inflation’ akan menyebabkan lebihan beban kepada tayar walau beban yang dibawa adalah dibenarkan, sikap pemandu yang memandu secara melulu, keadaan jalan raya yang tidak rata, kurangnya penguatkuasaan pemantauan kilang haram dan wujudnya tayar lori dan bas murah dan tidak memenuhi piawaian,” katanya.

    Presiden persatuan itu juga berkata pihaknya telah berusaha menghubungi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mendapatkan maklum balas mengenai statistik kemalangan yang dikeluarkan tetapi tidak berjaya.

     
     
  • Program Pas Tanpa Had My50 fasa kedua diperluaskan ke Pulau Pinang pertengahan 2019 – Anthony Loke

    Program Pas Tanpa Had My50 fasa kedua diperluaskan ke Pulau Pinang pertengahan 2019 – Anthony Loke

    Pas Perjalanan Tanpa Had My50 yang dilancarkan pada Disember lalu bakal diperluaskan ke Pulau Pinang pula.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, ia adalah bagi pengguna bas RapidPenang dan fasa kedua tersebut disasarkan dilaksana menjelang pertengahan tahun ini, laporan Bernama.

    Katanya lagi, beliau sudah meminta Prasarana untuk segera mengkaji, sekali gus menghasilkan cadangan.

    Ditanya sama ada ia akan diperluas bagi perkhidmatan Rapid Ferry di Pulau Pinang, Loke berkata ia terserah kepada Prasarana untuk mengkaji kesesuaian dan mencadangkannya di dalam kertas kerja.

    Loke turut berkata, fasa pertama bagi My50 yang turut dilancarkan bersama My100 untuk pengguna di Lembah Klang mencatatkan peningkatan jualan memberangsangkan, dengan 30,653 pas My100 dijual hanya dalam tempoh tujuh hari bulan ini berbanding 34,472 untuk sepanjang bulan lalu, manakala pas My50 sebanyak 726 pas berbanding 851 untuk tempoh sama.

    “Walaupun belum capai sasaran tetapi ini satu unjuran memberangsangkan, saya yakin ada lebih ramai akan langgan, sasaran kita ialah supaya dapat 200,000 sekurang-kurangnya setiap bulan,” katanya.

     
     
  • Continental cadangkan guna robot kecil dan kereta autonomous untuk sistem penghantaran ekspres

    Continental cadangkan guna robot kecil dan kereta autonomous untuk sistem penghantaran ekspres

    Anda mungkin sudah melihat banyak cadangan penyelesaian pengangkutan masa hadapan yang menggunakan kenderaan autonomous (gerak sendiri), namun Continental telah membawanya satu lagi tahap ke hadapan. Konsep yang dibangunkan oleh Continental ini menggabungkan kereta autonomous dengan robot kecil.

    Ia adalah untuk servis penghantaran ekspres, di mana kebanyakan konsep yang ada sekarang cuma menunjukkan kereta autonomous yang boleh mengambil dan menghantar barang, tetapi masih memerlukan orang untuk mengambil barang tersebut secara sendiri apabila kereta itu sudah tiba.

    Melalui konsep Continental ini, apabila kereta itu sudah tiba di destinasi, robot kecil akan keluar dari kereta dan menghantar pakej betul-betul di hadapan pintu atau masuk ke dalam bangunan. Selain lebih cekap dan mudah, ia juga menjamin keselamatan pakej yang mahu dihantar.

    Continental cadangkan guna robot kecil dan kereta autonomous untuk sistem penghantaran ekspres

    Untuk kereta autonomous itu sendiri, Continental sudah ada model sendiri yang digunakan dalam kawasan pejabat mereka di Frankfurt untuk membawa orang, dipanggil Continental Urban Mobility Experience (CUbE), tetapi untuk sistem penghantaran barang ini, bahagian dalamnya telah diubah.

    Demonstrasi konsep ini turut ditunjukkan semasa pameran CES 2019 di Amerika Syarikat, dan robot kecil itu sendiri dikatakan padat dengan teknologi serta tahan lasak seperti barangan automotif, dan ia boleh mengesan manusia, halangan serta keadaan sekitar waktu bergerak.

     
     
  • Jualan Geely Auto meningkat sehingga 20.3% pada 2018, catat rekod pertama kali melebihi 1.5 juta unit

    Jualan Geely Auto meningkat sehingga 20.3% pada 2018, catat rekod pertama kali melebihi 1.5 juta unit

    Geely Auto telah mendedahkan jumlah jualan bagi tahun 2018, dan syarikat itu menyaksikan peningkatan sebanyak 20.3% dengan 1,500,838 unit kenderaan terjual. Pada 2017, Geely berhasil menjual sebanyak 1,247,116; ketika itu menjadi rekod pertama seumpamanya yang pernah dicapai sepanjang sejarah penubuhannya. Pencapaian tahun lalu juga merupakan tahun pertama jumlah jualannya melepasi angka 1.5 juta.

    Lebih separuh daripada jumlah unit terjual itu disumbangkan oleh SUV – 857,922 unit atau 57% daripada 1.5 unit keseluruhan. Geely Boyue sahaja terjual sebanyak 255,695 unit. Sejak mula diperkenalkan pada Mac 2016, Boyue sudah mencapai angka jualan kira-kira 650,000. Ini diikuti pula oleh Emgrand GS dengan 157,638 unit serta SUV Vision dan Vision X3, masing-masing dengan 113,309 dan 116,944 unit.

    Model crossover pertama keluaran Geely yang menggunakan platform BMA, Bin Yue dan baru saja dilancarkan di China Oktober 2018 telah terjual sebanyak 23,361 unit dalam tempoh dua bulan. Bagi segmen sedan, Emgrand kekal menjadi model paling laris di bagi tujuh tahun berturut-turut dengan jualan sebanyak 246,933 unit tahun lalu.

    Jualan Geely Auto meningkat sehingga 20.3% pada 2018, catat rekod pertama kali melebihi 1.5 juta unit

    Model dengan harga yang lebih mampu milik, Vision sedan pula dijual sebanyak 143,851 unit, sementara Emgrand GL terjual sebanyak 148,531 unit, satu peningkatan 20% di dalam satu daripada segmen paling kompetitif di China.

    Model flagship Geely Bo Rui GE sedan pula berjaya terjual 44,299 unit, peningkatan 4% dari tahun sebelumnya. Sedan pertama menggunakan platform BMA, Bin Rui, dijual sebanyak 33,084 unit dalam tempoh hanya empat bulan ia berada dalam pasaran pada 2018.

    Jenama di bawah Geely, Lynk & Co, yang menjadi jenama lebih premium di China, turut menunjukkan prestasi kukuh bagi tahun pertama sepenuhnya ia berada dalam pasaran. Jualan mencecah 10,000 unit bagi enam bulan berturut-turut, menjadikan angka akhir 120,414 unit.

    Model pertama Lynk & Co, SUV 01 terjual 89,405 unit, sementara model 02 yang lebih kecil meyumbang sebanyak 21,751 unit. Model 03 pula dilancarkan pada Oktober 2018, dalam tempoh dua bulan yang ada ia berjaya dijual 9,258 unit. Geely mendakwa 65% pelanggan Lynk & Co adalah dari mereka yang menaiktaraf kenderaan dari jenama usahasama dan lebih 70% model 02 dan 03 yang terjual adalah dari varian yang lebih mahal.

     
     
  • Subaru siar teaser WRX STI 2019, ditayang di Detroit

    Subaru siar teaser WRX STI 2019, ditayang di Detroit

    Subaru WRX STI S209 bakal ditayangkan di North American International Auto Show (NAIAS) 2019 di Detroit, dan teaser rasminya telah pun disiarkan. Pemerhati JDM pastinya akan beranggapan keputusan untuk mempertontonkan S20X terkini di Detroit bukanlah sesuai sangat, tetapi sebenarnya ia adalah tepat.

    Selalunya, model edisi terhad hanya untuk Jepun, tetapi kali ini S209 akan datang ini memecahkan tradisi dan ia akan berada di pasaran USA secara rasminya. Sesuai dengan tagline yang dipilih; “The S209. From Japan With Love”.

    “Semua Subaru Tecnica International S-model berkongsi dua perkara yang sama: Ia selalu mewakili sejumlah pengetahuan yang dipelajari dari Subaru motorsport dan pembangunan kenderaan, dan ia tidak pernah ditawarkan di US,” ujar Subaru.

    “Bulan ini, di Detroit, anda boleh menyaksikan buat pertama kalinya model STI yang sangat menguja, sangat berkuasa dan miliki pengendalian terbaik, yang bakal dipamerkan secara langsung dari NAIAS 2019,” tambahnya.

    S-model terdahulu, WRX STI S208, diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2017. Ia didatangkan dengan enjin EJ20 2.0 liter turbo empat-silinder mendatar dengan hamburan kuasa 329 PS dan tork 432 Nm dari 3,200 hingga 4,800 rpm. Pacuan disalurkan ke semua roda menerusi kotak gear manual enam-kelajuan.

    NBR Challenge Package bagi S208 termasuklah spoiler lips hadapan dan belakang, aloi BBS hitam 19-inci dan skirt sisi. Ia juga didatangkan dengan bumbung gentian karbon dan wing belakang, dengan perkataan ‘S208’ pada endplate.

    GALERI: Subaru WRX STI S208

     
     
  • Harley-Davidson tunjukkan dua model elektrik konsep

    Harley-Davidson tunjukkan dua model elektrik konsep

    Selain membuat pengumuman Livewire kini sudah dibuka untuk tempahan, Harley-Davidson juga telah menunjukkan dua lagi ‘motosikal’ elektrik sewaktu acara Consumer Electronics Show (CES) 2019 di Amerika Syarikat. Dua model ini mempunyai saiz lebih kecil dan lebih kepada penggunaan ringan.

    Model yang pertama mempunyai bentuk yang ringkas seperti Honda Ruckus dan ia terletak rendah dengan rim yang kecil dan di bawah sekali terdapat pek bateri serta motor elektriknya. Brek pula hanya dipasang untuk roda hadapan manakala bahagian pemegangnya mempunyai bentuk seperti basikal BMX.

    Dengan kelengkapan seperti ini, kami jangkakan ia sekadar untuk penggunaan jarak dekat dan perlahan. Walaupun begitu, ia masih mempunyai fork USD di hadapan dan kuasa daripada motor elektrik disampaikan ke roda belakang menggunakan tali sawat.

    Harley-Davidson tunjukkan dua model elektrik konsep

    Model konsep kedua yang diperkenalkan oleh HD mempunyai bentuk yang menyerupai basikal offroad spesifikasi tinggi tetapi ia dilengkapkan sekali dengan motor elektrik yang terletak di bawah. Tempat duduknya agak nipis dan berkemungkinan besar, anda akan berdiri sepanjang masa menaiki jentera ini.

    Rimnya agak besar, dipasang bersama suspensi yang tinggi dan tayar jenis offroad, sekaligus memberi gambaran kemampuan meredah jalan hutan. Kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk suspensi boleh laras serta brek cakera depan dan belakang.

     
     
  • Mazda RT24-P pecah rekod lap terpantas di litar Daytona, padam rekod Toyota Eagle Mk III pada 1993

    Mazda RT24-P pecah rekod lap terpantas di litar Daytona, padam rekod Toyota Eagle Mk III pada 1993

    Jentera lumba Mazda RT24-P dengan nombor perlumbaan 77 telah merekodkan lap terpantas di litar Daytona ahad lalu ketika sesi kelayakan perlumbaan Rolex 24 Jam dengan catatan masa 1 minit 33.398 saat. Kereta lumba yang dipandu oleh Oliver Jarnis untuk pasukan Mazda Team Joest tersebut secara tidak langsung telah memadamkan rekod 1 minit 33.875 saat yang bertahan selama 26 tahun, dibuat oleh P.J. Jones dengan memandu All-American Racers Toyota Eagle Mk III milik Dan Gurney pada Rolex 24 1993.

    Bukan itu sahaja, malah sebuah lagi jentera dari pasukan sama menggunakan nombor perlumbaan 55 dipandu oleh Harry Tincknell turut mencatatkan masa kedua terpantas dalam sesi tersebut dengan masa 1 minit 33.423 saat. “Ia memberikan perasaan yang sangat hebat. Terima kasih banyak kepada Mazda Team Joest, Multimatic dan AER.Mazda ini sangat seronok untuk dipandu,” kata Oliver Jarvis.

    “Kami berlumba dalam spesifikasi ujian kelayakan penuh, saya rasa tidak banyak pesaing kami boleh berkata sedemikian, tetapi dengan konfigurasi bahan api pada tahap rendah, ia rasa sangat hebat. Anda boleh memandu kereta ini sehingga hadnya, dan itu adalah hidup kami sebagai pemandu, perasaan untuk mendapatkan segalanya dari kereta,” jelas Jarvis lagi.

    “Segala yang kami lakukan di litar didedikasi kepada peminat Mazda, pemilik Mazda dan pengedar-pengedar Mazda kami, tetapi saya rasa penghargaan perlu diberikan pada All American Racers dan apa Dan Gurney serta apa yang mendirikan program ini. Untuk lebih laju dari rekod litar merupakan saat yang istimewa untuk Mazda, peristiwa penting untuk IMSA, dan saya rasa untuk apa yang dimaksudkan oleh program DPi – membenarkan pengeluar datang ke sini dengan kereta yang melambangkan jenama, yang membenarkan ketua pereka turut menyertai, saya rasa ia merupakan satu peristiwa yang penting,” kata pengarah Mazda Motorsport, John Doonan.

    Mazda RT24-P merupakan jentera lumba prototaip dijana oleh enjin MZ-2.0T 2.0 liter empat silinder turbo yang mampu menjana sekitar 600 hp. Seperti model-model produksi Mazda, kereta lumba ini turut dihasilkan dengan rekaan konsep ‘Kodo soul of motion‘. Perlumbaan Rolex 24 Daytona ini akan berlangsung dari 26 hingga 27 Januari nanti dan ia merupakan pusingan pembukaan untuk kejohanan IMSA WeatherTech SportsCar Championship 2019.

     
     
  • Harley-Davidson Livewire akhirnya dibuka untuk jualan

    Harley-Davidson Livewire akhirnya dibuka untuk jualan

    Motosikal elektrik Harley-Davidson Livewire adalah antara model yang paling lama ditunjukkan sekadar sebagai teaser dan paling tidak, sudah lebih lima tahun ia membuat penampilan, tapi masih belum dilancarkan untuk jualan. Sekarang, semua itu sudah berubah apabila pengeluar motosikal dari Amerika Syarikat itu kini sudah membuka tempahan untuk Livewire.

    Mereka yang berminat dengan motosikal ini boleh membuat tempahan melalui laman web www.h-d.com/livewire dan harganya bermula pada USD29,799 (RM122,473). Penghantaran kepada pelanggan pula dijangka berlaku dalam tahun ini juga.

    Dengan pembukaan tempahan ini, Harley-Davidson (HD) juga telah mendedahkan beberapa maklumat tentang motosikal ini termasuk kemampuan memecut 0-60 bsj (0-96 km/j) dalam masa 3.5 saat dan jarak perjalanan yang boleh mencecah 177 km dalam kawasan bandar dengan satu cas penuh baterinya. Namun, itu sahaja yang diberitahu tentang prestasinya.

    Kuasa motor elektrik dan kapasiti bateri juga masih belum didedahkan, tetapi ia diberitahu boleh dicas menggunakan kabel Type 1 dan soket rumah untuk pengecasan biasa, manakala untuk pengecasan pantas, pemilik boleh menggunakan pengecas Type 3 DC di stesen pengecas kenderaan.

    Selain menawarkan tunggangan yang lebih mudah dan mesra alam, Livewire turut disambung kepada rangkaian atas talian serta aplikasi khas. Melalui aplikasi ini, walaupun tidak berada di motosikal, pemilik boleh melihat status bateri motosikal, jarak perjalanan yang boleh dicapai, lokasi motosikal, penggera amaran sekiranya ia diganggu dan waktu servis.

    Antara kelengkapan lain yang berada pada Livewire adalah brek hadapan cakera berkembar dengan angkup Brembo, panel meter skrin sesentuh warna penuh 10.9 sm, tayar Michelin Scorcher Sport, fork hadapan dan monoshock belakang Showa boleh laras dan pilihan tiga warna.

     
     
  • GALERI: Vespa Primavera 150, Sprint 150 versi 2018

    GALERI: Vespa Primavera 150, Sprint 150 versi 2018

    Dua skuter Vespa ini, Primavera 150 dan Sprint 150 sudah berada dalam pasaran untuk beberapa ketika. Tetapi, pada Oktober tahun lalu, Naza Premira Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama ini di Malaysia memperkenalkan versi terbaru 2018 dengan beberapa pembaharuan facelift diberikan.

    Antara yang paling ketara ialah penggunaan lampu depan dan belakang jenis LED, rekaan baru pada elemen “neck tie” di hadapan serta kedudukan slot USB untuk mengecas peranti elektronik di dalam ruang simpanan depan yang dialihkan ke kedudukan lebih tinggi bagi mengelakkannya terkena air ketika hujan.

    Kedua-dua model ini menggunakan enjin yang identikal; enjin i-Get 150 cc yang menjana sebanyak 9.5 kW pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Walau bagaimanapun, pengalaman tunggangan serta maklum balas yang diberikan ada perbezaan yang boleh dirasa.

    Misalnya, Primavera hadir dengan saluran kuasa yang lebih linear. Ia mengambil sedikit masa untuk mula memecut dan ada waktunya terasa sedikit berat, contohnya ketika ingin memotong. Sebaliknya, model Sprinter hadir dengan lebih tenaga. Maklum balas yang diberikan juga dirasakan lebih baik berbanding Primavera.

    Walaupun unit enjin sama, ada talaan yang khusus diberikan dan menjadikan pengalamanan tunggangan kedua-dua model bersaudara ini sedikit berlainan. Selain itu, penawaran baru yang didatangkan dengan versi 2018 ini juga ialah pilihan warna yang ada.

    Bagi Primavera, warna unit yang anda lihat ini ialah Beige Metallic, dan disertai lagi dengan dua warna baru lainnya – Nero Vulcano dan Monto Bianco. Bagi Sprint, selain warna Blue Matte yang ada pada unit ini, ada tiga lagi warna baru lain sebagai pilihan – Monte Bianco, Rosso Dragon dan Grigio Titantio.

    Vespa Primavera 150 ’18 ini dijual pada harga RM15,600, manakala Vespa Sprint 150 ’18 pula pada harga RM16,400. Selain itu, barisan aksesori lain juga turut boleh didapatkan.

    Vespa Primavera ’18

    Vespa Sprint ’18

     
     
  • Suzuki Jimny di render sebagai jentera 6×6 Off-Road

    Suzuki Jimny di <em>render</em> sebagai jentera 6×6 Off-Road

    Setakat ini, kita sudah lihat banyak genre penampilan Suzuki Jimny generasi terbaru. Ada yang suka dengan rupa bentuk dan pakej visual standard sedia ada dari pengeluarnya. Tetapi ada juga yang mempunyai imaginasi lain yang lebih garang dan drastik terhadap SUV kompak ini.

    Pelbagai model konsep sudah dihasilkan, misalnya daripada Wald, DAMD malahan Suzuki sendiri. Yang terbaru, SRK Designs turut menunjukkan rekaan yang mereka bayangkan, walaupun masih dalam bentuk olahan digital sahaja.

    Kali ini lain sedikit, kerana rekaan yang dihasilkan menggambarkan Jimny dalam versi tayar 6×6! Hasilnya, dimensi Jimny yang ada diperbesar dan dipanjangkan untuk menambah satu set tayar tambahan yang diperlukan. Selain gandar belakang, turut disertakan ialah ruang barangan rata di belakang, menjadikannya kelihatan seperti trak pikap.

    Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana agaknya versi kecil Jimny bagi Mercedes-Benz G 63 6×6 kelihatan, rekaan yang dihasilkan ini tampil hampir tepat untuk bayangan berkenaan. Ada sekali segala kelengkapan untuk off-road disertakan; menjadikan penampilan Jimny ini nampak gagah.

    Moga-moga syarikat berkenaan akan menjadikan rekaan ini satu kenyataan kelak. Untuk ada sebuah kenderaan 6×6 dalam saiz Jimny? Itu sesuatu yang sangat menarik untuk dilihat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026