Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Spoon kembali memproduksi rim aloi forged SW388

    Spoon kembali memproduksi rim aloi forged SW388

    Jika anda peminat tegar modifikasi Honda, anda tentu sangat mengenali rim aloi forged berwarna hitam keluaran jenama penala Jepun -Spoon- yang digelar SW388. Spoon telah menghasilkan rim ini bersama pengeluar rim dari Rusia iaitu Desmond pada tahun 1994 (rim ini juga dikenali sebagai Desmond Regamaster Evo – dihasilkan hanya dengan warna putih), dan terkenal kerana sangat ringan dengan berat hanya 3.88 kg.

    Namun setelah Desmond menutup operasinya, SW388 asal hanya diproduksi sehingga 1999. Berita baik untuk peminat rim ini, Spoon mengumumkan rim berkenaan akan dikeluarkan semula, serta diberi penambahbaikkan pada rekaannya.

    Rim ini akan dihasilkan semula 100% di Jepun, dan masih dihasilkan sebagai sebuah rim aloi forged, serta masih ditawarkan hanya dengan warna hitam matte. Untuk SW388 baharu ini, rekaan sebelah dalam pada bahagian yang bersentuhan dengan hab roda dikemaskini bagi memberikan lekatan yang lebih kuat serta menyerap impak dengan lebih baik bagi mengelakkan lug nut dari rosak.

    Buat permulaan, Spoon hanya akan menghasilkan SW388 dalam saiz-18 inci dengan lebar 8.5jj (offset +45) dan PCD 114.3 lima lubang – ini bermaksud ia hanya sesuai untuk Civic generasi kesepuluh standard iaitu sedan FC dan hatchback FK7. Untuk masa hadapan, Spoon bakal memproduksi SW388 dengan saiz bermula 15 hingga 18-inci (lebar 6.5 hingga 8.5 jj) dan juga versi untuk Civic Type R FK8 (dengan PCD 120 lima lubang) dengan diameter 19 hingga 20-inci.

     
     
  • Moto Guzzi V7 III Anniversario di M’sia – unit terhad nombor 0001 dan empat lagi dijual pada harga RM81k

    Moto Guzzi V7 III Anniversario di M’sia – unit terhad nombor 0001 dan empat lagi dijual pada harga RM81k

    Moto Guzzi, melalui syarikat pengedar rasminya di Malaysia iaitu Didi Resources Sdn Bhd telah membawa lima buah model istimewa keluaran terhad V7 III Anniversario ke pasaran dan ia kini dijual pada harga RM80,900 tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain.

    Model ini menggunakan asas daripada V7 III Special, tetapi mempunyai kemasan unik bagi menjadikannya sebuah model istimewa sempena ulang tahun ke-50 Moto Guzzi. Cuma 1,000 unit V7 III Anniversario ini dikeluarkan di seluruh dunia, dan menariknya, Malaysia juga telah menerima unit bernombor 0001.

    Sudah tentu, unit bernombor 0001 ini sudah disambar, oleh seorang individu dari Sarawak, dan dua lagi unit juga sudah dijual. Bermakna kini, cuma tinggal dua unit sahaja lagi yang sedia menunggu penggemar atau pengumpul motosikal, terutamanya jenama ini.

    Antara kemasan istimewa yang terdapat pada motosikal keluaran terhad ini adalah warna krom khas pada bahagian tangki, bersama lencana helang Moto Guzzi berwarna emas, tempat duduk dibalut kulit asli, penutup tangki bahan api aluminium billet dan tapak pemegang yang diukir dengan nombor siri keluarannya.

    Sama seperti V7 III yang lain, model edisi terhad Anniversario ini dikuasakan oleh enjin dua silinder V melintang berkapasiti 744 cc, dan bagi setiap satu silinder mempunyai dua injap serta pushrod dan rocker aloi. Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, enjin ini mampu menghasilkan 52 hp pada 6,200 rpm dan 60 Nm tork pada 4,900 rpm.

     
     
  • Lebuhraya SUKE dan DASH – pembinaan kini berjalan mengikut jadual, beroperasi sepenuhnya Jan 2020

    Lebuhraya SUKE dan DASH – pembinaan kini berjalan mengikut jadual, beroperasi sepenuhnya Jan 2020

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) hari ini mengumumkan bahawa projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) kedua-duanya kini pada tahap lebih 27% siap atau lebih dari 1% lebih cepat dari dirancang. Perkara ini diberitahu oleh pihak Prolintas sendiri ketika majlis penerangan kepada media di Galeria SUKE, Ampang, pagi tadi.

    Kedua-dua projek yang telah dimulakan hampir serentak ini dijangka bakal lengkap pada penghujung tahun hadapan, dan dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2020. Secara rasmi, kedua-dua projek ini sebenarnya telah dimulakan pada tahun 2008 bermula dengan kajian konsep, manakala pembinaannya pula telah bermula pada tahun 2016.

    Apa yang menarik, kedua-dua lebuhraya ini akan menggunakan konsep elevated highway di mana 90% laluan tidak berada di atas permukaan tanah, sebaliknya ia dibina diatas laluan-laluan jalan sedia ada dengan tiga lorong setiap arah. Menurut Prolintas lagi, setelah SUKE dan DASH siap kelak, kesemua lebuhraya dalam Lembah Klang akan dihubungkan dalam bentuk ‘Ring Highway’.

    Lebuhraya SUKE dan DASH – pembinaan kini berjalan mengikut jadual, beroperasi sepenuhnya Jan 2020

    Untuk projek SUKE, ia melibatkan kos pembinaan RM4.63 bilion, dan ia akan bermula dari Sri Petaling (tempat berakhirnya lebuhraya KESAS), melalui bahagian atas sebahagian laluan awal lebuhraya MRR2, kemudian menuju ke Alam Damai, Cheras Hartamas, Bukit Teratai, Taman Kosas, Pekan Ampang dan bertemu semula dengan laluan MRR2 di Hotel Flamingo. Ia tidak tamat disitu, sebalik terus disambung ke Taman Hillview dan berakhir di Bukit Antarabangsa.

    Bagi laluan lebuhraya ini, ia dibina pada jarak 24.4km dengan tiga plaza tol, satu kawasan rehat dan rawat (RSA) dengan 14 susur keluar dan masuk. Lebuhraya ini turut akan dihubungkan dengan lebuhraya-lebuhraya lain iaitu MRR2, DUKE, AKLEH, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Besraya dan Kesas.

    Setelah ia siap kelak, lebuhraya ini dijangka bakal menyuraikan trafik sekitarnya dengan mengurangkan kesesakan 44,000 buah kenderaan setiap hari. Secara spesifik pula, ia bakal mengurangkan 24% kesesakan di MRR2, 36% kesesakan di Jalan Ampang dan 12% kesesakan di Jalan Loke Yew.

    Lebuhraya SUKE dan DASH – pembinaan kini berjalan mengikut jadual, beroperasi sepenuhnya Jan 2020

    Manakala untuk lebuhraya DASH pula, ia melibatkan kos pembinaan RM4.18 bilion dan ia akan bermula dari Shah Alam di Puncak Perdana, melalui Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Lapangan Terbang Subang, RRIM, Persiaran Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan berakhir di Penchala Link.

    DASH dibina pada jarak 20.1 km dengan tiga plaza tol serta 13 susur keluar dan masuk. Lebuhraya ini turut akan berhubung dengan Lebuhraya Guthrie (GCE), NKVE, LDP dan juga Lebuhraya SPRINT.

    Lebuhraya Damansara-Shah Alam ini dijangka bakal menyuraikan trafik jalan sekitarnya dan mengurangkan kesesakan sebanyak 39% di Persiaran Mohkhtar Dahari, 33% di Jalan Sungai Buloh dan 43% di Persiaran Surian.

    Ketika ditanya oleh adakah lebuhraya baharu ini ada diberikan fasiliti khas untuk motosikal, pemangku Pengurus Besar SUKE, Encik Faizal Othman menjelaskan Prolintas membina kedua-dua lebuhraya berkenaan tanpa laluan khas untuk kenderaan dua roda, namun ia diberikan bahu jalan yang luas iaitu dengan kelebaran tiga meter serta laluan yang khusus untuk penunggang-penunggang berkenaan melintasi plaza tol.

    Prolintas juga tidak mengabaikan tanggungjawabnya terhadap alam sekitar. Menurut syarat yang ditetapkan, mereka perlu menggantikan setiap pokok yang ditebang untuk projek ini perlu diganti dengan menanam pokok baharu dalam nisbah 1:1. Namun sebagai badan yang prihatin, syarikat berkenaan bakal menggantikan pokok-pokok berkenaan dengan nisbah 1:2.

    Untuk projek SUKE, 2,089 batang pokok telah dikenal pasti akan ditebang dan dipindahkan, dan pihak Prolintas akan menanam semula sejumlah 4,120 batang pokok. Manakala untuk projek DASH pula, 4,114 batang pokok disahkan terlibat, dimana 1,122 batang akan dipindahkan sementara 2,718 batang akan ditebang dan diganti dengan 5,436 pokok baharu.

    Menurut CEO Kumpulan Prolintas Dato’ Mohammad Azlan Abdullah, pokok-pokok berkenaan akan dipindahkan dan ditanam di sepanjang koridor kedua-dua lebuhraya baharu ini. Beliau turut menambah, Prolintas juga telah berbincang dengan pihak-pihak berwajib tempatan berkenaan lokasi-lokasi lain yang sesuai untuk pemindahan dan penanaman pokok-pokok tersebut.

     
     
  • Daihatsu Sirion terbaru akan dilancarkan di Indonesia Februari ini – rebadge Perodua Myvi, CBU dari M’sia

    Daihatsu Sirion terbaru akan dilancarkan di Indonesia Februari ini – rebadge Perodua Myvi, CBU dari M’sia

    PT Astra Daihatsu Motor (ADM) bakal memperkenalkan Daihatsu Sirion 2018 untuk pasaran Indonesia bulan depan, seperti yang dimaklumkan oleh Pengarah Pemasaran, Amelia Tjandra kepada Kompas.

    Sama seperti sebelum ini, Daihatsu Sirion merupakan model rebadge kepada Peordua Myvi dan akan diimpor sepenuhnya (CBU) dari Malaysia. Tjandra menjelaskan, Daihatsu Sirion untuk pasaran di sana akan sama seperti model Myvi baru dari segi spesifikasinya dan bukan versi dengan spesifikasi yang lebih rendah daripada versi Perodua.

    “Sirion untuk pasaran Indonesia akan dibawa masuk dari Malaysia, dan dilancarkan pada Februari nanti. Yang membezakannya hanya logo, itu saja. Kereta berkenaan juga mencapai penarafan lima-bintang bagi ujian keselamatan ASEAN NCAP,” tambah beliau.

    Perodua Myvi 2018 yang dilancarkan di Malaysia pada November 2017 ditawarkan dengan pilihan enjin 1.3L dan 1.5L. Model Sirion sedia ada di Indonesia (dari Myvi lama) dijual di negara itu dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu 1.3L. Bagi model baru ini pula, masih belum pasti sama ada versi enjin 1.5L akan turut ditawarkan di sana.

    Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang Perodua Myvi, boleh ikuti laporan lengkap kami terhadap kereta ini. Anda juga boleh menonton video panduan lengkap antara Myvi lama dan baru yang telah kami sediakan.

    Perodua Myvi 2018 1.3 Premium X

     
     
  • Honda Malaysia memperkenalkan White Orchid Pearl untuk 4 model CKD – warna baharu ganti Taffeta White

    Honda Malaysia telah memperkenalkan pilihan warna baharu – White Orchid Pearl– untuk BR-V, HR-V dan juga varian petrol bagi Jazz dan City. Warna baharu ini adalah bagi menggantikan Taffeta White untuk model yang disenaraikan itu, dan ia telah pun ditawarkan untuk Civic, Accord, CR-V, Jazz Hybrid dan City Hybrid.

    Menurut syarikat ini, keputusan untuk memperkenalkan White Orchid Pearl bagi lebih banyak model Honda adalah berdasarkan permintaan para pelanggan. Sekitar 38% bagi Civic dan 33% untuk Accord adalah daripada warna premium tersebut, termasuk 26% di kalangan pembeli CR-V.

    Dengan langkah ini, boleh dikatakan hampir kesemua barisan model yang ditawarkan oleh Honda Malaysia kini boleh ditempah dengan warna White Orchid Pearl. Walau bagaimana pun, untuk memilih warna premium ini, ia akan dikenakan surcaj iaitu RM120 untuk Jazz dan City bukan-hibrid; RM300 bagi BR-V dan HR-V.

    Honda Malaysia juga menambah tempoh menunggu untuk semua empat model ini adalah dalam satu hingga ke dua bulan, dan warna baharu ini boleh didapati bagi BR-V dan HR-V mulai minggu ketiga Februari 2018.

     
     
  • Honda HR-V facelift bakal dilancar di Jepun 15 Feb

    Honda HR-V facelift bakal dilancar di Jepun 15 Feb

    Honda telah mengeluarkan beberapa imej awal bagi HR-V facelift, yang dijangka akan dilancarkan di Jepun pada 15 Februari 2018. Model yang menerima pembaharuan minor ini akan turut tiba di Malaysia, berdasarkan unit dengan samaran yang pernah dilihat sedang diuji di sini tahun lalu.

    Antara pembaharuan luaran yang dilakukan adalah termasuk wajah baru dengan palang krom yang lebih tebal, menjadikannya mirip imej yang ada pada Accord dan Civic FC. Lampu utama LED pada Civic juga telah ditampilkan pada HR-V, sementara rekaan baru lain ialah rekaan baru pada bahagian atas gril.

    Meneliti bahagian apron bawahnya pula, kita akan dapat lihat rekaan baru pada bahagian masukan udara serta disekeliling lampu kabus yang kini hadir dengan jalur LED. Tetapi, berdasarkan imej yang bocor, varian yang lebih rendah kemungkinan akan menerima lampu halogen bentuk bulat dan bukan seperti ini.

    Bagi senarai kelengkapan pula, semua varian yang akan dijual di Jepun akan didatangkan dengan pakej keselamatan dan sistem bantuan pemandu Honda Sensing. Pilihan sistem janaan kuasa pula kekal dengan penawaran hibrid dan enjin petrol, dengan beberapa tingkat kemasan berbeza.

    Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita akan menerima model HR-V facelift ini tak lama selepas Jepun. Sama-sama kita tunggu. Tetapi, setakat apa yang anda lihat ini, adakah penampilannya cukup menarik atau sebaliknya?

    Honda HR-V terkini di Malaysia

     
     
  • Yamaha Movistar tunjuk jentera MotoGP musim 2018 – kontrak Maverick Vinales disambung hingga 2020

    Yamaha Movistar tunjuk jentera MotoGP musim 2018 – kontrak Maverick Vinales disambung hingga 2020

    Bahang musim perlumbaan MotoGP kini sudah semakin terasa apabila sesi ujian musim sejuk pertama akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini. Selain daripada itu, beberapa pasukan juga sudah mula menunjukkan jentera musim baru mereka, termasuklah pasukan Yamaha Movistar.

    Kerjasama antara Yamaha dengan jenama telekomunikasi yang dimiliki oleh Telefonica Spain, iaitu Movistar telah ditandatangani pada tahun 2014, untuk selama lima tahun, dan bagi musim ini ia menyaksikan mereka menggunakan logo baru yang kini berwarna putih. Turut boleh dilihat adalah penaja sama termasuk Monster Energy Drink dan ENEOS.

    Khidmat Valentino Rossi masih lagi terus digunakan bagi musim 2018 ini, di mana ia menjadikan tahun ini sebagai tahun ke-13 pelumba berusia 38 tahun itu bersama Yamaha, dan tahun keenam secara berturut-turut beliau bersama pasukan pengeluar rasmi itu setelah kembali semula pada tahun 2013.

    Yamaha Movistar tunjuk jentera MotoGP musim 2018 – kontrak Maverick Vinales disambung hingga 2020

    Untuk seorang lagi pelumba iaitu Maverick Vinales, Yamaha Movistar telah mengumumkan kontrak beliau disambung sehingga tahun 2020. Tahun lepas, Vinales telah menamatkan musim pertama bersama Yamaha Movistar di tempat ketiga, dan Yamaha yakin pelumba berusia 23 tahun itu dapat menjadi pesaing yang hebat dalam musim yang seterusnya.

    “Saya rasa gembira kerana Yamaha telah menyambung kontrak untuk dua tahun lagi. Pengumuman awal ini juga memberikan rasa lega; saya tahu saya akan terus menunggang jentera M1 tersebut, dan kini saya boleh terus fokus kepada perlumbaan sebenar. Saya puas hati dengan keputusan ini,” kata Vinales.

     
     
  • Lagi lima pengedar Proton naik taraf pusat 3S, 4S

    Lagi lima pengedar Proton naik taraf pusat 3S, 4S

    Bersemangat untuk mara, PROTON baru-baru ini mengadakan majlis menandatangani untuk kumpulan kedua bagi perjanjian Naik Taraf Rangkaian Pengedar di Pusat Kecemerlangan PROTON. Majlis kali ini disertai lima pengedar yang bersetuju untuk menaik taraf pusat mereka kepada pusat 3S dan 4S. Acara ini merupakan sesi seterusnya selepas majlis sama yang diadakan dengan kumpulan pertama tiga minggu lepas.

    Perjanjian kali ini ditandatangani antara Dr Ho Tuck Sum, Ketua Jualan dan Perancangan Rangkaian, Proton, bersama Dato’ Shamshudin Nor, Pengarah Pantai Bharu Corporation Sdn Bhd, Liew Vee Lee, Pengarah Harima Automobil (M) Sdn Bhd, Judith Yam Siew Chu, Pengarah Urusan Atiara Johan (M) Sdn Bhd, Mohd Nazrin Mohamad Fozi, Pengarah Rahman Brothers Automotive Sdn Bhd dan Leong Chue Chye, Pengarah dari Hoi Keen Services Sdn Bhd.

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dato ‘Radzaif Mohamed serta barisan pengurusan kanan Proton hadir untuk memeriahkan majlis tersebut.

    Dr Li berkata, “Perlu ada sebab mengapa rakyat Malaysia terpesona dengan sang Rimau. Logo Proton sendiri mempunyai imej harimau yang mengaum. Pastinya ia melambangkan keberanian, kecekalan dan semangat juang. Sama seperti kami sekarang ini, kami akan terus melangkah ke hadapan untuk memastikan Proton kekal relevan dan berdaya saing dalam industri automotif, dengan memberikan kepada para pelanggan produk, kualiti dan perkhidmatan kelas pertama”.

    “Bagi saya, hakikat bahawa kita mempunyai lebih banyak pengedar yang bersetuju untuk menaik taraf rangkaian mereka membuktikan kekuatan yang dimiliki Proton. Masih ada ahli perniagaan di luar sana yang percaya kepada jenama Proton dengan penuh keyakinan bahawa perkongsian dengan Proton ini akan membuahkan kejayaan dan meningkatkan kesedaran jenama dalam industri,” tambah Dr Li.

     
     
  • Kia Optima facelift diperkenalkan – K5 baharu dilancarkan di Korea; 4 pilihan enjin termasuk diesel

    Kia Optima facelift diperkenalkan – K5 baharu dilancarkan di Korea; 4 pilihan enjin termasuk diesel

    Kia Optima telah pun hadir dengan model facelift di Korea, yang lebih dikenali sebagai K5 di pasaran negara asalnya. Peningkatan yang dilakukan termasuklah rekaan yang lebih segar serta penambahan beberapa teknologi baharu.

    Model sedan segmen-D ini masih dipadankan dengan gril ‘hidung harimau’ yang menjadi signatur jenama ini, namun kini ditampilkan dengan kepingan menegak di sebaliknya. Bampar juga baharu, dengan rekaan semula bagi apron bawah dan corong tiruan di sudut yang nampak lebih menyerlah. Bergantung pada varian terpilih, ia turut dipadankan sama ada dengan lampu utama dan lampu kabus dengan unit LED, atau projektor dengan jenis mentol.

    Selain itu, ia turut menawarkan empat pilihan roda iaitu dari set 16- hingga 18-inci, saiz yang paling besar didatangkan dengan rekaan pelbagai-jejari atau dwi-tona yang lebih sporty. Di belakangnya pula, lampunya ditampilkan dengan grafik baharu dan reflektor telah diposisikan sedikit ke atas. Seksyen diffuser juga disemak semula dengan disambungkan ke corong ekzos berbentuk oval.

    Manakala di dalamnya pula, Optima dikekalkan dengan bentangan papan pemuka seperti model terdahulu namun diberikan sistem infotainmen skrin sesentuh baharu. Selain itu, elemen baharu yang ditampilkan termasuklah roda stereng yang lebih bergaya, tempat duduk kulit quilted dan pencahayaan ambien LED.

    Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuklah sistem bunyi Krell, tempat duduk dengan aliran udara dan fungsi haba, kawalan suhu dwi-zon dengan Cluster Ionizer, pelindung matahari di belakang dan brek parkir elektronik. Optima juga ditawarkan dengan sistem kamera pandangan-sekeliling dan Highway Assist – termasuk kawalan kelajuan adaptif dan sistem bantuan kekal lorong.

    Pilihan enjin pula termasuk tiga unit petrol – 2.0L CVVL (163 PS/196 Nm), 2.0L LPI (153 PS/196 Nm dengan manual, 151 PS/194 Nm dengan automatik) dan 1.6L T-GDI (180 PS/265 Nm). Selain turut menawarkan pilihan diesel iaitu enjin 1.7 liter dengan 141 PS dan tork 340 Nm. Pilihan transmisi pula termasuk manual dan automatik enam-kelajuan, serta dwi-klac tujuh-kelajuan – untuk model diesel dan turbo sahaja.

     
     
  • Kawasaki anjur kempen keselamatan di Plaza Tol Sg Besi – sedia pemeriksaan motosikal, helmet percuma

    Kawasaki anjur kempen keselamatan di Plaza Tol Sg Besi – sedia pemeriksaan motosikal, helmet percuma

    Bersempena dengan musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi, Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd telah menganjurkan satu kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, Arah Selatan dan ini adalah kali ketiga ia dilakukan di tempat yang sama, dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Kempen ini bertujuan memberikan kesedaran kepada orang ramai, terutamanya penunggang motosikal supaya menjadi lebih peka, sedia dan responsif semasa berada di atas jalan raya bagi mengelakkan kemalangan. Selain daripada itu, penekanan turut diberi kepada cara tunggangan cermat, pentingnya penyelenggaraan motosikal serta aspek pemakaian yang membolehkan pengguna jalan raya lain mudah melihat.

    Semasa kempen itu berjalan juga, pengguna motosikal boleh singgah di khemah yang disedikan untuk mendapatkan pemeriksaan 16 bahagian motosikal secara percuma, menukar helmet lama mereka kepada helmet baru serta diberikan jaket keselamatan berwarna terang. Khidmat ini diberikan kepada semua jenis motosikal tidak mengira jenama.

    Kawasaki anjur kempen keselamatan di Plaza Tol Sg Besi – sedia pemeriksaan motosikal, helmet percuma

    Semasa majlis pelancaran kempen ini, Liow dalam ucapannya telah memberitahu bahawa pada tahun 2016, 7,152 kematian disebabkan kemalangan jalan raya telah dicatat dan 4,485 daripadanya (bersamaan 62.7%) adalah terdiri daripada penunggang motosikal dan pembonceng motosikal.

    Jadi, usaha seperti kempen yang dilakukan oleh Kawasaki ini sentiasa dianggap perlu untuk membantu pihak kerajaan dalam misi mengurangkan kadar kemalangan atas jalan raya dan beliau berharap banyak lagi phak korporat dan syarikat swasta dapat bekerjasama dalam program seperti ini.

     
     
  • World Car Awards 2018 – senarai calon akhir diumum

    Senarai model-model kereta yang layak ke peringkat akhir bagi World Car Awards 2018 telah diumumkan, dengan pendedahan bagi semua calon akhir enam kategori yang dipertandingkan.

    Sama seperti tahun lalu, enam kategori yang dimaksudkan ialah World Car of the Year, World Luxury Car, World Performance Car, World Green Car, World Car Design of the Year dan World Urban Car. Undian melalui peti rahsia akan dilakukan bulan ini melibatkan barisan seramai 82 orang juri yang terdiri daripada jurnalis automotif antarabangsa. (Tahun lalu hanya melibatkan 75 juri).

    Tiga calon teratas bagi setiap ketegori akan disenarai pendek ketika Geneva Motor Show Mac nanti, dan pemenang akan diumumkan ketika New York International Auto Show penghujung Mac nanti.

    Anugerah tahun lalu menyaksikan Jaguar F-Pace dinobat sebagai World Car of the Year 2017, yang turut membolot anugerah World Car Design of the Year. Kategori World Luxury Car menjadi milik Mercedes-Benz E-Class W213, sementara Porsche 718 Boxster/Cayman diumumkan sebagai pemenang World Performance Car.

    Daripada senarai calon-calon yang ada, banyak model yang mempunyai ciri-ciri untuk muncul sebagai pemenang. Yang mana satu pula pilihan anda untuk setiap kategori?

    World Car of the Year 2018

    World Luxury Car 2018

    World Performance Car 2018

    World Green Car 2018

    World Urban Car 2018

    Design of the Year 2018

    • Citroen C3 Aircross
    • Lexus LC 500
    • Range Rover Velar
    • Renault Alpine A110
    • Volvo XC60
     
     
  • Toyota Yaris GRMN, 86 GR, Prius c GR Sport dan Prius v GR Sport – model lebih sporty dilancarkan di Jepun

    Toyota Yaris GRMN, 86 GR, Prius c GR Sport dan Prius v GR Sport – model lebih sporty dilancarkan di Jepun

    Diumumkan pada September tahun lalu, Toyota Yaris GRMN, 86 GR, Prius c GR Sport dan Prius v GR Sport akhirnya mula dijual di pasaran Jepun. Hampir kesemua model ini telah pun bersedia di semua pengedar Toyota, dengan Yaris GRMN hanya ditawarkan sebanyak 150 unit sahaja, dan tempahannya bakal dibuka mulai 9 April ini menerusi laman web khas dan pengedar GR Garage sahaja.

    Kita mulakan dengan Yaris GRMN, yang dilogokan sebagai Vitz GRMN di Jepun – hot hatch ini dijanakan dengan enjin yang sama di Eropah iaitu 1.8 liter supercharged empat-silinder, dengan hamburan kuasa 212 PS pada 6,800 rpm dan tork 250 Nm pada 4,800 rpm. Hanya ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan, dan ditampilkan peredam, underbody dan strut bracing Sachs, dan Torsen limited-slip differential untuk prestasi yang lebih efektif.

    Apa yang membezakan antara model Jepun dengan yang dijual di Eropah ialah bampar hadapannya yang lebih sporti bersama corong pengambilan udara yang lebih besar, termasuk skirt sisi dan bampar belakag yang lebih menyerlah dengan diffuser yang lebih agresif serta lampu belakang dan tailgate daripada Yaris pra-peningkatan. Malah ia turut menampilkan roda aloi BBS 17-inci, tempat duduk sport, kluster instrumen dengan logo GR, roda stereng yang lebih kecil dan kaliper brek hadapan dengan empat-omboh yang diapit pada cakera.

    Barisan model penuh sport ini turut disertai 86 GR, yang dibangunkan secara edisi terhad dari 86 GRMN. Ia ditampilkan dengan kit aero penuh, roda aloi Rays 17-inci, peredam Sachs, tempat duduk Recaro, kaliper brek hadapan enam-omboh (empat-omboh di belakang) dan Torsen limited slip differential. Walau bagaimana pun, kuasanya masih kekal sama iaitu 205 PS dari enjin 2.0 liter empat-silinder.

    Sementara ini, Prius C dan v GR Sport pula masing-masing hadir dengan pakej penampilan bagi hybrid hatch dan MPV. Kedua-duanya menerima bampar hadapan dan belakang baharu, tempat duduk sport, kluster instrumen berlogo GR, roda stereng yang lebih kecil, suspensi talaan khas dan pendakap tambahan. Prius c turut menerima tombol gear balutan kulit asli dan titik kimpalan tambahan untuk lebih ketegaran.

    Harga bagi Yaris GRMN ialah 4,000,000 yen (RM142,600), sementara 86 GR berharga 4,968,000 (RM177,100). Untuk Prius c GR Sport berharga 2,332,800 yen (RM83,200) bagi model pacuan dua-roda dan 2,538,000 yen (RM90,500) bagi pacuan empat-roda. Manakala Prius v GR Sport pula ditawarkan pada harga 3,351,240 yen (RM119,500) untuk 2WD dan 3,556,440 yen (RM126,800) bagi 4WD.

    GALERI: Toyota Yaris GRMN

    GALERI: Toyota 86 GR

    GALERI: Toyota Prius c GR Sport

    GALERI: Toyota Prius v GR Sport

     
     
  • Kia Rio GT didedahkan sebelum Geneva Motor Show

    Kia Rio GT didedahkan sebelum Geneva Motor Show

    Kia telah mendedahkan imej pertama bagi model Rio GT Line baru, yang akan menyertai model-model lain dalam GT Line sedia ada seperti Sportage, Picanto dan Sorento. Kereta hatchback ini akan membuat penampilan sulung pada Geneva Motor Show 2018 nanti, dan akan mula dipasarkan di Eropah selepas itu.

    Kemasan GT Line menjadikan Rio lebih sporty dan garang. Ini termasuk penggunaan bampar dengan rekaan baru dengan lampu kabus LED segi empat yang pernah dilihat pada cee’d GT dan pro_cee’d GT. Gril pula hadir dalam warna krom dan hitam, DRL LED, kemasan krom pada tingkat, spoiler hitam berkilau dan rim aloi 17-inci.

    Kia Rio GT didedahkan sebelum Geneva Motor Show

    Di dalam, kemasan kulit digunakan pada tempat duduk dengan benang kelabu serta stereng yang rata bahagian bawahnya. Papan pemuka pula menerima kesan visual ala gentian karbon, sementara kemasan metalik turut menghiasi bahagian suis pada pintu dan tuil gear.

    Kia Rio GT Line dikuasakan oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder T-GDI petrol dengan janaan 118 hp dan 171 Nm tork. Ia digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan. Kemudian, pilihan enjin MPI 1.25 liter atau 1.4 liter petrol akan turut ditawarkan, begitu juga dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan Kia.

     
     
  • Perkhidmatan komuter tanpa henti sempena Thaipusam – diskaun Grab ke 16 stesen terpilih

    Perkhidmatan komuter tanpa henti sempena Thaipusam – diskaun Grab ke 16 stesen terpilih

    Sempena dengan sambutan Thaipusam minggu hadapan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan perkhidmatan tren KTM Komuter tanpa henti selama tiga hari dua malam bermula 30 Januari ini.

    Menurut Pengurus Besar Jabatan Operasi KTMB, S. Mahendran perkhidmatan tren 24 jam itu melibatkan 783 perkhidmatan dengan empat laluan tren tambahan iaitu Pelabuhan Klang-Batu Caves; Pelabuhan Klang-KL Sentral-Port Klang; Seremban-Batu Caves-Seremban dan Sentul-Batu Caves-Sentul bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut agama Hindu serta pelancong, ke Batu Caves, laporan Bernama.

    “Sepanjang tempoh tersebut, waktu operasi tren tambahan akan dilanjutkan selepas waktu perkhidmatan sedia ada terakhir, antara jam 10.50 malam hingga 5.30 pagi. Walaupun pada Rabu (31 Jan) dan 1 Feb itu jatuh pada cuti umum iaitu Thaipusam dan Hari Wilayah, waktu perkhidmatan KTM Komuter pada tempoh tersebut mengikut jadual waktu hari bekerja sedia ada dan bukannya jadual hari cuti umum. Ini membolehkan kekerapan perjalanan antara 15 hingga 20 minit mengikut jadual kerja biasa berbanding setengah jam sekali untuk jadual cuti umum,” katanya pada pemberita semalam.

    Katanya lagi, dijangka lebih 500,000 penumpang pada tahun ini, KTMB turut memperkenalkan kaedah bayaran tanpa tunai dan pemberian kad Komuter Link Dewasa secara percuma kepada orang ramai dan kad itu perlu ditambah nilai sekurang-kurangnya RM3.

    “Tambang konsesi sebanyak 50 peratus untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar serta kanak-kanak berumur dua tahun hingga enam tahun dan percuma untuk kanak-kanak berumur bawah dua tahun,” katanya.

    Perkhidmatan komuter tanpa henti sempena Thaipusam – diskaun Grab ke 16 stesen terpilih

    Selain itu, bagi mengelakkan kesesakan di Stesen Batu Caves, para pengguna dinasihatkan menaiki perkhidmatan tren shuttle sehingga Stesen Sentul sebelum menaiki bas shuttle yang disediakan secara percuma untuk ke Stesen KL Sentral dan seterusnya menyambung perjalanan menaiki tren untuk destinasi seterusnya.

    “Perkhidmatan tren shuttle bermula jam 1.14 pagi pada 31 Jan hingga 11.35 malam 1 Feb ini di mana perkhidmatan ini adalah tambahan kepada jadual waktu tren sedia ada. Dalam masa yang sama, KTMB juga menyediakan perkhidmatan terus dari/ke stesen Batu Caves dari laluan Pelabuhan Klang dan perkhidmatan tren tambahan tidak disediakan bagi laluan Tanjung Malim-Rawang seperti sebelum ini berikutan kerja projek menaik taraf Infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) sedang dilaksanakan,” sambungnya lagi.

    Justeru, para pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan merujuk jadual perjalanan tren di laman sesawang www.ktmb.com.my, memastikan baki nilai dalam kad komuter link atau Touch ‘n Go mencukupi dan sentiasa mematuhi arahan dan pengumuman yang diberikan oleh kakitangan bertugas.

    Dalam masa yang sama, Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter Khair Johari Ishak turut memaklumkan KTMB menjalinkan kerjasama strategik dengan GrabCar dan orang ramai diberi diskaun sebanyak RM5 untuk 16 stesen terpilih, seterusnya menggunakan perkhidmatan tren ke Batu Caves.

    Di mana tawaran diskaun ini hanya untuk 1,500 pengguna perkhidmatan GrabCar sama ada pengguna baharu atau sedia ada dan terhad untuk dua kali perjalanan sahaja manakala pembayaran perlu dibuat secara tunai, kad debit/kredit.

     
     
  • Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Lexus Malaysia hari ini mempertontonkan secara rasmi dua model terbaru bagi tahun ini untuk pasaran tempatan. Dua model yang dimaksudkan ialah SUV tujuh-tempat duduk Lexus RX 350L dan kemaskini bagi model NX 300 2018 – kedua-duanya sudah dibuka untuk tempahan pertengahan bulan ini.

    Dijangka akan dilancarkan dalam tempoh terdekat dalam suku pertama tahun ini, Lexus RX 350L merupakan versi SUV tiga-barisan tempat duduk berbanding model sama yang dipasarkan di Malaysia sebelum ini yang hanya hadir dengan dua barisan tempat duduk sahaja.

    Barisan tempat duduk ketiga itu pula bukan sekadar kerusi tambahan dengan ruang yang terhad. Ia boleh menampung penumpang dewasa serta kerusi kanak-kanak, tanpa banyak mengorbankan aspek reka bentuk sedia ada.

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Perbezaannya, bahagian belakang model ini ditambah 110 mm untuk mendapat keluasan ruang yang diperlukan bagi tempat duduk barisan ketiga itu. Bagi tempat duduk barisan kedua, ruang kaki dan ruang kepala yang tersedia tidak berubah.

    Dengan spesifikasi umumnya kekal sama seperti model sebelum ini, saiz beg udara bagi RX 350L ini pula lebih besar untuk menampung keperluan penumpang di barisan ketiga. Bagaimanapun, kelengkapan lain untuk keselesaan penumpang di barisan ketiga ditambah, seperti corong pendingin hawa, ruang meletak cawan serta butang mudah untuk melipat dan kerusi untuk tambahan ruang.

    Sementara berat keseluruhannya pula hanya bertambah sebanyak 65 kg. Jarak antara rodanya pula kekal sama 2,790 mm antara kedua-dua model berkenaan. Ruang barangan sekiranya kerusi terakhir dilipatkan juga bertambah bagi model ini.

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Sebagai rujukan, model RX dua barisan tempat duduk yang dijual sebelum ini dilengkapi dengan enjin 3,456 cc V6 DVVT-iW. Ia mampu menjana sebanyak 295 hp pada 6,300 rpm sementara tork pula sebanyak 370 Nm dari 4,600 rpm hingga 4,700 rpm. Kedua-dua model ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Merupakan unit CBU dari kilang pemasangan di Kyushu, Jepun, Lexus Malaysia menjelaskan bahawa versi hibrid bagi model ini tidak akan diperkenalkan di Malaysia dalam masa terdekat.

    Bagi model Lexus NX 300 2018, ia merupakan versi yang dikemaskini terhadap model NX 200t yang diperkenalkan sebelum ini. Dengan pengenalan penggayaan terbaru ini, varian ini akan menggantikan penawaran sebelum ini; NX 200t Special Edition dan Luxury tiada lagi selepas ini.

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Versi terbaru ini akan ditawaran dalam empat varian – Urban, Premium, F-Sport dan Hybrid. Perubahan paling ketara yang dilakukan ialah pada penampilan keseluruhan bahagian luarannya. Lexus NX 300 2018 menerima rekaan bampar depan dan belakang baru, serta lampu utama projektor dengan tiga LED.

    Selain itu, pembaharuan turut dilakukan dibahagian dalam, dengan penggunaan Touchpad Remote Touch Control dan skrin paparan yang kini lebih besar, 10.3 inci (hanya bagi kemasan F-Sport dan NX 300h) sahaja. Satu lagi ciri terbaru bagi Lexus NX 300 Urban (dan F-Sport) ialah bumbung panoramik. Bagi varian Premium, ia dilengkapi dengan moon roof.

    Lexus RX 350L dan NX 300 2018 kini dipertontonkan di Malaysia – harga bermula dari RM312k hingga RM475k

    Bagi spesifikasi mekanikal, versi terbaru ini kekal menggunakan unit enjin yang sama seperti NX 200t sebelum ini – enjin 2.0 liter turbo yang menjana 235 hp dan 350 Nm tork. Lain-lain kelengkapan seperi lapan beg udara SRS juga masih dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

    Harga bagi model Lexus RX 350L ialah RM475,000 ketika dibuka untuk tempahan. Bagi Lexus NX 300 2018 pula, mengikut varian, adalah seperti berikut; Urban (RM311,900), Premium (RM329,800), F-Sport (RM387,900) dan Hybrid (RM397,800).

    GALERI: Lexus RX 350L

    GALERI: Lexus NX 300 2018

     
     
  • Rapid KL Monorail gantung sementara operasi tren empat gerabak bagi pemeriksaan keselamatan

    Rapid KL Monorail gantung sementara operasi tren empat gerabak bagi pemeriksaan keselamatan

    Dikatakan berhadapan dengan masalah teknikal sejak semalam, Rapid KL Monorail Line telah membuat pengumuman rasmi bahawa pihaknya telah menggantung sementara operasi tren empat gerabaknya, berkuat kuasa serta-merta.

    Menurut CEO syarikat ini, Mohd Ariffin Idris, pihaknya membuat keputusan tersebut bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dilakukan terhadap tren terbabit.

    Katanya, sepanjang tempoh penggantungan tren empat gerabak itu, Rapid KL akan mengoperasikan perkhidmatan bas di sepanjang jajaran monorel bagi kemudahan pengguna. Di mana setiap perjalanan akan dikenakan tambang sebanyak RM1.

     
     
  • Harga minyak 25-31 Jan – semua dilaporkan turun

    Harga minyak 25-31 Jan – semua dilaporkan turun

    Jika minggu bertarikh 18 hingga 24 Januari menyaksikan harga kedua-dua bahan api petrol iaitu RON95 dan RON97 naik serta bagi diesel pula kekal, lain pula senarionya untuk minggu bertarikh 25 hingga 31 Januari ini. Dikhabarkan harga bagi kesemua bahan api utama dilaporkan turun iaitu masing-masing sebanyak 1 sen.

    Sekaligus menjadikan harga baharu bagi RON95 ialah RM2.29 seliter dan RM2.56 seliter bagi RON97.

    Manakala untuk diesel pula, RM2.31 seliter bagi Euro 2 dan Euro 5 pula RM2.41 seliter.

    Semua harga baru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti sehingga Rabu depan, 31 Januari.

     
     
  • Enjin Mazda SkyActiv-X – nisbah campuran udara bahan api nipis sehingga 29.4:1, 30% lebih ekonomik

    Mazda mendakwa enjin baharu mereka yang akan bakal membuat kemunculan pada penghujung tahun ini – digelar SkyActiv-X – bakal memberikan penjimatan jauh lebih baik dari enjin petrol konvesional biasa, lapor Autocar.

    Enjin yang beroperasi dengan konsep hampir sama seperti konsep nyalaan mampatan pada enjin diesel tetapi masih lagi menggunakan palam pencucuh (spark plug) untuk mengawal pembakaran tersebut “bakal memberikan 20-30% lebih ekonomikal” dari enjin petrol 2.0 liter konvensional, menurut pengurus unit janakuasa Mazda, Eiji Nakai.

    Nakai juga mendakwa, penghasilan enjin dengan sistem Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI) atau Pencucuh Mampatan Kawalan Percikan ini mampu dihasilkan dengan harga yang sama hampir sama seperti enjin konvensional biasa.

    Ketika mula-mula diumumkan dahulu, difahamkan enjin SkyActiv-X ini akan menggunakan konsep Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), iaitu konsep enjin petrol yang berfungsi dengan meledakkan pembakaran campuran udara-petrol dengan hanya menggunakan mampatan tinggi, tanpa percikan permulaan dari palam pencucuh.

    Namun setelah didedahkan, sistem SPCCI ini masih agak sama seperti enjin HCCI yang mendapatkan mampatan tinggi bagi memberikan sokongan pembakaran (juga sama seperti enjin diesel), tetapi permulaan pembakaran masih lagi dimulakan dengan unit spark plug yang akan memberikan nyalaan api.

    Bukan sahaja bagi memulakan pembakaran, sistem ini juga secara tidak langsung dapat mengawal pemasaan pembakaran tersebut dan memaksimakan tempoh pencucuhan mampatan, dan juga memastikan peralihan yang lancar antara pencucuhan percikan dan mampatan. Manakala strok yang lebih panjang seperti enjin diesel, ia akan menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi (yang juga hampir menyamai enjin diesel) dan mampu menolak pergerakkan piston lebih kuat bagi menghasilkan tork yang lebih besar.

    Dengan nisbah mampatan yang sangat tinggi, enjin baharu ini mampu menghasilkan nisbah campuran udara-petrol yang sangat lean – menurut Mazda ia mampu mencapai sehingga 29.4:1 (29.4 bahagian udara berbanding 1 bahagian petrol) berbanding enjin petrol konvensional yang mencatatkan nisbah paling optimum pada 14.7:1 – seterusnya meningkatkan kecekapan enjin antara 20% hingga lebih 30% berbanding enjin SkyActiv-G sedia ada dan antara 35% hingga lebih 40% berbanding versi asal dengan kapasiti sama yang muncul pada tahun 2008.

    Eiji Nakai turut menambah, pertukaran antara penggunaan palam pencucuh dan nyalaan mampatan ini ditentukan setelah penderia pada silinder enjin mengesan bila nisbah yang sangat lean berkenaan boleh digunakan dan pengesana tersebut adalah “sangat sukar”.

    Menurut Mazda lagi, teknologi ini sangat efektif sehingga kecekapan bahan api enjin SkyActiv-X berkenaan sama atau lebih baik dari enjin diesel SkyActiv-D. Enjin berkenaan turut akan diberikan suapan supercharger dan ia didakwa menawarkan respon lebih baik serta 10% hingga 30% lebih tork berbanding enjin SkyActiv-G. Mazda mendakwa, enjin SkyActiv-X ini mampu menghasilkan 187 bhp dan tork maksima 194 Nm.

    Mazda telah mengumumkan sebelum ini bahawa enjin SkyActiv-X berkenaan bakal ditawarkan pada pasaran pada penghujung tahun 2018 untuk menjana Mazda 3 generasi baharu, secara tidak langsung ia juga enjin petrol komersial pencucuhan mampatan pertama di dunia. Buat masa sekarang, enjin ini dipadankan pada model konsep Mazda Kai yang membuat kemunculan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 baru-baru ini – hatchback berkenaan juga dikatakan dikatakan memberi gambaran kepada Mazda 3 generasi keempat.

    GALERI: Mazda Kai Concept 2017

     
     
  • Vietnam mula pasarkan petrol Euro 4, diesel Euro 5

    Vietnam mula pasarkan petrol Euro 4, diesel Euro 5

    Di Vietnam, ada dua lagi jenis bahan api baru mula dijual sejak masuk tahun 2018, iaitu petrol Euro 4 dan diesel Euro 5 yang diedarkan oleh Vietnam National Petroleum Corporation (Petrolimex). Kedua-duanya akan dijual bersama barisan produk lain yang ada ketika ini, termasuk petrol RON 95 Euro 3 dan diesel Euro 2.

    Untuk pasaran di sana, petrol RON 95 Euro 3 dan Euro 4 masing-masing dijual pada harga 19,280 dong (RM3.32) dan 19,480 dong (RM3.36), sementara bagi RON 92 E5 (biofuel) pula dijual pada harga 18,240 dong (RM3.14); bahan api ini menggantikan RON 92 biasa sejak 15 Disember tahun lalu sebagai usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahan api campuran E5 dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

    Bahan api campuran E5 berkenaan dibekalkan oleh Petrolimex dan PetroVietNam Oil Corporation, seperti dilaporkan oleh VietNamNet. Peraturan baru bagi bahan api di sana adalah disebabkan piawaian Euro 4 bagi kenderaan diesel bermula tahun ini. Di Malaysia, sejak 2014, BHPetrol telah mula memperkenalkan diesel Euro 5, dan diteruskan pula dengan pengenalan petrol RON 97 Euro 4M oleh BHPetrol dan Petronas pada September 2015.

     
     
  • Proton, Lotus batalkan kontrak JV dengan Goldstar

    Proton, Lotus batalkan kontrak JV dengan Goldstar

    Proton Holdings telah membatalkan kontrak usahasama (JV) dengan Goldstar Heavy Industrial dari China untuk membangun dan memasarkan kenderaan Lotus di China, lapor The Edge. Lotus Group International yang juga merupakan pihak terlibat dalam usahasama itu turut mengeluarkan surat pembatalan kepada Goldstar. Pada April 2015, semua terlibat telah menandatangani persetujuan untuk mempercepat pembagunan kenderaan Lotus bagi pasaran tersebut.

    Di dalam penjelasan kepada Bursa Malaysia, DRB-Hicom menyatakan kontrak berkenaan dibatalkan kerana syarikat usahasama itu, Goldstar Lotus Automobile, telah gagal untuk mendapatkan lesen pengilangan di China yang diperlukan. Tarikh akhir untuk mendapatkannya adalah 25 September tahun lalu, yang kemudiannya dilanjutkan ke 31 Disember 2017.

    Bagaimanapun, lesen berkenaan tetap tidak berjaya diperolehi selepas tarikh dilanjutkan, jelas DRB-Hicom. Syarikat itu juga menambah, semua pihak telah bersetuju untuk mempertimbangkan langkah seterusnya berkaitan ekuiti kontrak usahasama itu, berdasarkan undang-undang China.

    Syarikat baru itu ditubuhkan dengan matlamat untuk mengeluar dan menjual kenderaan jenama Lotus, serta enjin, komponen dan alat ganti berserta aksesori dinegara itu.

    Memang, Lotus Cars bukan lagi milik DRB-Hicom. Mei tahun lalu, syarikat itu mengumumkan penjualan sepenuhnya kepentingan dalam Lotus. Pada September 2017, diumumkan bahawa Zhejiang Geely Holding (ZGH) telah melunaskan transaksi pegangan saham majoriti 51% dalam Lotus, sementara 49% lagi dimiliki oleh Etika Automotive dari Malaysia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026