Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Porsche Centre Johor Bahru bakal beroperasi pada suku pertama 2020 – kos pelaburan cecah RM48 juta

    Porsche Centre Johor Bahru bakal beroperasi pada suku pertama 2020 – kos pelaburan cecah RM48 juta

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) pengimport kenderaan Porsche di Malaysia, sedang memperluaskan lagi jajahannya di bahagian selatan dengan mewujudkan Porsche Centre Johor Bahru yang sedang dalam pembinaan.

    Dengan anggaran pelaburan sebanyak RM48 juta, Porsche Centre Johor Bahru ini dibina di atas kawasan seluas 74,052 kaki persegi, merupakan pusat terkini selepas melancarkan Porsche Centre Penang pada tahun lalu.

    “SDAP telah menjadi pengimport kenderaan Porsche di Malaysia sejak 2010 dan telah melakukan pelaburan berterusan untuk jenama ini, termasuk menyediakan pelbagai fasiliti dan kakitangan terlatih. Kami mempunyai potensi yang sangat besar di pasaran selatan, dan dengan adanya Porsche Centre Johor Bahru ini, merupakan salah satu lagi kejayaan Porsche di Malaysia,” ujar Christopher Hunter, CEO SDAP.

    Pusat 4S Porsche terbaharu ini akan dilengkapi dengan bilik pameran jualan, pusat servis, gudang alat ganti dan pusat mengetuk/mengecat badan kenderaan. Malahan SDAP telah menetapkan teknikal dan ekologi mengikut standard yang ditentukan oleh Porsche AG. Termasuk fasiliti yang dilengkapi dengan teknologi Porsche terkini, tenaga kerja profesional dan menggunakan alat, material dan kelengkapan Porsche tulen.

    “Pengalaman pemilikan adalah sangat penting bagi kami, justeru perkhidmatan selepas jualan sangat dititikberatkan demi kemudahan dan kepuasan para pelanggan kami. Dengan fasiliti terkini yang serba lengkap ini, SDAP mensasarkan untuk memenuhi keperluan pada pelanggan di samping meningkatkan kecekapan bahagian perkhidmatan selepas jualan,” tambah Christopher.

    Kerja-kerja pembinaan fasiliti dijangka tamat ada hujung 2018 dan operasi pusat 4S ini disasarkan bermula pada suku pertama 2020.

     
     
  • Acura NSX GT3 Evo 2019 – jentera perlumbaan yang ditingkat taraf untuk saingan musim tahun hadapan

    Acura NSX GT3 Evo 2019 – jentera perlumbaan yang ditingkat taraf untuk saingan musim tahun hadapan

    Tahun lalu, Acura telah memperkenalkan jentera perlumbaan NSX GT3 bagi digunakan untuk perlumbaan-perlumbaan tahun ini. Namun baru sahaja berberapa bulan kereta berkenaan berlumba, Acura Motorsport telah pun mendedahkan model yang dinaik taraf digelar Acura NSX GT3 Evo. Menurut badan perlumbaan berkenaan, kereta ini bakal digunakan dalam perlumbaan di seluruh dunia untuk musim tahun 2019.

    Kereta ini masih dibina berasaskan Honda/Acura NSX produksi, dan untuk versi Evo ini, kit aerodinamik yang terdiri dari splitter hadapan, diffuser dan juga bampar belakang telah direka semula. Elemen-elemen berkenaan dikatakan membantu untuk menambahbaik aspek penyejukan, keseimbangan dan juga mengurangkan geseran udara pada kelajuan tertinggi.

    Pada aspek mekanikal, enjin 3.5 liter DOHC V6 berkenaan kini menerima pengecas turbo baharu, yang menurut Honda memberikan respon pendikit, kawalan boost dan juga penggunaan bahan api yang lebih baik. Unit data logging dan paparan dari Bosch turut ditingkataraf bersama kelengkapan dan larasan pada sistem brek ABS.

    Pasukan-pasukan yang menggunakan jentera ini bakal menikmati enjin yang 25% lebih ‘panjang umur’ serta komponen-komponen lain yang lebih tahan lasak menerusi perubahan-perubahan yang dibuat, sekaligus menjimatkan kos ketika berlumba. Seperti sebelum ini, casis NSX GT3 berkenaan masih dikeluarkan oleh kilang Performance Manufacturing Centre Honda di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat, dan pembinaannya disempurnakan oleh JAS Motorsport di Milan, Itali.

    Acura NSX GT3 Evo 2019 – jentera perlumbaan yang ditingkat taraf untuk saingan musim tahun hadapan

    Walau bagaimanapun, pasukan-pasukan yang telah pun menggunakan NSX GT3 sedia ada tidak perlu membeli lagi sebuah NSX GT3 Evo jika mahukan jentera yang lebih kompetitif tahun hadapan. Ini kerana komponen-komponen yang baru dihasilkan ini boleh dipadankan pada versi sebelumnya, dan boleh diperolehi sebagai Variant Supply.

    “Kami sangat gembira untuk mengumumkan spesifikasi NSX GT3 Evo 2019 hari ini. Walaupun kereta ini telahpun memenangi berberapa siri GT3 yang berprestij, kami berpegang untuk secara berterusan menambahbaik produk kami dan memberikan kelengkapan terbaik serta sokongan kepada pelanggan kami,” kata Masashi Yamamoto, pengurus besar Honda Motorsport.

    “Menerusi Program Perlumbaan Pelanggan NSX GT3, kerjasama antarabangsa antara berberapa rakan teknikal Honda, kami mampu untuk menggabungkan kepakaran pada tahap global bagi menghasilkan satu set tingkat taraf untuk versi terkini NSX GT3 yang akan memberikan manfaat kepada setiap pasukan pelanggan kami di seluruh dunia,” katanya.

     
     
  • Kerajaan tiada cadangan gantikan bas perantara di stesen MRT dengan perkhidmatan Grab – Loke

    Kerajaan tiada cadangan gantikan bas perantara di stesen MRT dengan perkhidmatan Grab – Loke

    Setakat ini, tiada cadangan untuk menggantikan perkhidmatan bas perantara di stesen-stesen MRT dengan Grab, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Menurut Loke, pengumuman yang dibuat oleh Tony Pua, Setiausaha Politik Kementerian Kewangan, sebelum ini mengenai Grab yang akan menggantikan bas perantara tersebut bersifat pandangan peribadinya sahaja laporan The Star.

    “Kita takkan membatalkan perkhidmatan bas perantara. Itu hanya cadangan untuk melengkapkan (perkhidmatan bas perantara MRT), dan ia diusulkan oleh Tony. Kita mahu menyepadukan dengan perkhidmatan lain-lain bas, dan berharap dapat memperkenalkan pas bulanan tidak lama lagi. Perkhidmatan sebegini akan menjadi sebahagian daripada sistem pengangkutan awam di Lembah Klang,” ujar Loke kepada pemberita di lobi Parlimen pagi ini.

    Malahan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pua turut tidak disenangi oleh pemandu teksi di negara ini sehingga mendorong mereka melakukan protes secara aman di Putrajaya pagi tadi.

    Loke berkata, bantahan yang disuarakan oleh pemandu teksi juga penting dan diambil kira, malah kerajaan juga menggalakkan mereka menyertai perkhidmatan e-hailing ini.

     
     
  • Proton X70 – tempahan dalam talian kini boleh dibuat di bilik pameran maya; hanya RM99 dari 17-19 Okt

    Proton X70 – tempahan dalam talian kini boleh dibuat di bilik pameran maya; hanya RM99 dari 17-19 Okt

    Bagi memudahkan pelanggan untuk melihat perincian berkenaan SUV pertamanya, Proton X70, jenama automotif nasional berkenaan telah melancarkan platform bilik pameran maya yang boleh diakses secara dalam talian di laman web korporat Proton. Bukan sahaja untuk mengetahui spesifikasi setiap model ini dengan lebih teliti, malah platform tersebut juga boleh digunakan untuk menempah Proton X70 anda, tanpa perlu ke mana-mana bilik pameran sebenar.

    Bagi mempromosikan penggunaan platform baharu ini, pelanggan ditawarkan untuk membuat tempahan X70 mereka pada laman berkenaan dengan bayaran hanya RM99 (RM1,000 sekiranya anda menempah secara konvensional). Namun tawaran istimewa tersebut diberikan hanya dalam tempoh terhad, iaitu bermula pukul 10 pagi hari ini (17 Oktober) sehingga 19 Oktober 2018 ini.

    Pelanggan yang ingin menempah X70 perlu untuk memberikan butiran peribadi mereka, model dan warna pilihan serta bandar dan negeri di mana mereka ingin mengambil kereta mereka.

    Proton X70 – tempahan dalam talian kini boleh dibuat di bilik pameran maya; hanya RM99 dari 17-19 Okt

    Selepas bayaran tempahan dilakukan, juga secara dalam talian, resit yang dihasilkan oleh sistem akan dihantar kepada e-mel pelanggan. Proton kemudian akan melantik penasihat jualan untuk menguruskan pesanan dengan menghubungi pelanggan dalam tempoh tujuh hari bagi memproses tempahan. Bagi tempahan yang dibuat di mana-mana cawangan PROTON, bayaran penuh akan dikembalikan sekiranya pelanggan mengubah fikiran mereka.

    “Selepas mengkaji pilihan pengguna dan trend pasaran, Proton percaya bahawa inilah masa yang tepat untuk menawarkan kemudahan tempahan dalam talian kepada pelanggan. Platform ini membolehkan tempahan dibuat dari mana-mana sahaja mereka berada sekiranya terdapat sambungan Internet. Syarikat juga akan memberi ganjaran kepada mereka yang membuat tempahan sebelum pelancaran Proton X70. Ganjaran ini berupa hadiah istimewa untuk semua pelanggan awal tidak kira sama ada mereka menempah melalui dalam talian atau di cawangan kami,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Namun, anda turut boleh melakukan “tempahan istimewa” secara dalam talian dengan bayaran RM1,000 dalam tempoh berkenaan (sehingga SUV ini dilancarkan kelak). Menerusi tempahan ini, anda bakal menerima hadiah-hadiah istimewa ketika kereta berkenaan diserahkan nanti, antaranya model die-cast Proton X70 dalam skala 1:18. Anda yang menempah awal dengan kaedah konvensional di bilik pameran turut layak menerima hadiah-hadiah berkenaan.

    Buat masa sekarang, prebiu X70 masih lagi berjalan dan orang ramai di Kuching boleh melihat sendiri SUV berkenaan pada 15 hingga 16 Oktober ini. Selepas itu ia akan bergerak ke Kuantan dan Ipoh sebelum hentian terakhirnya di Kota Kinabalu bulan hadapan.

    Nak tahu lebih lanjut berkenaan SUV pertama Proton yang dihasilkan dari Geely Boyue ini? Baca artikel yang telah kami sediakan berkenaan empat varian dan spesfikasi yang ditawarkan, unit janakuasa, sistem bantuan pemanduan, teknologi hubungan dan juga sistem infotainmen GKUI.

     
     
  • 14 cadangan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan projek kereta nasional ketiga – MITI

    14 cadangan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan projek kereta nasional ketiga – MITI

    Cadangan untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga yang pada mulanya menerima banyak bantahan daripada pelbagai pihak, kini bertukar haluan bila mana semakin ramai pula yang bersetuju mengenai pelaksanaannya.

    Terkini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan telah menerima 14 cadangan daripada pihak swasta dan individu berkenaan kereta nasional baharu, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Menteri MITI, Dr. Ong Kian Ming, Dasar Automotif Nasional (NAP) dan hala tuju berkenaan industri automotif negara secara menyeluruh perlu dikenal pasti sebelum melaksanakan kajian impak ekonomi kereta nasional ketiga tersebut.

    “Kita perlu menampakkan hala tuju yang lebih tepat oleh kerana kita belum lagi menilai semua cadangan yang telah kita dapat daripada syarikat dan individu mengenai projek kereta nasional baharu,” katanya yang menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) serta soalan susulan daripada Wong Chen (PH-Subang) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    14 cadangan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan projek kereta nasional ketiga – MITI

    Katanya lagi, projek kenderaan nasional baharu ini akan dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta. Di mana Kerajaan hanya akan membantu dari segi kemudahan dan bantuan tertentu bergantung kepada komitmen syarikat.

    Beliau turut menegaskan bahawa industri automotif merupakan elemen penting dan strategik dalam sektor perkilangan di Malaysia. Di mana industri automotif serta sektor yang berkaitan automotif menggunakan lebih 700,000 pekerja dan telah menyumbang hampir empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia.

    “Ia amat penting untuk pertumbuhan negara dan projek beerkenaan dijangka dapat meningkatkan keupayaan kejuruteraan dan teknologi di Malaysia. Kerajaan buat masa ini sedang dalam proses kajian semula NAP bagi menerapkan pelbagai elemen selaras dengan kemajuan teknologi mobiliti dan Industri 4.0 untuk memastikan industri automotif tempatan selari dengan perkembangan global,” katanya.

    Beliau berkata, kajian semula ini akan membincangkan perkara berkaitan pembangunan industri automotif tempatan seperti pembangunan syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan eksport.

    14 cadangan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan projek kereta nasional ketiga – MITI

    Tambahnya lagi, projek kereta nasional baharu akan dibuat selari dengan hala tuju dan strategi masa depan industri automotif Malaysia, dengan mengambil kira unsur-unsur Kenderaan Generasi Akan Datang (NXGV), Mobiliti, Revolusi Industri (IR) 4.0 dan Kecerdasan Buatan (Al).

    “Projek kereta nasional baharu yang dicadangkan ini tertumpu kepada pembangunan keupayaan pembuatan dengan melibatkan keseluruhan rantaian nilai dan ekosistem industri automotif,” katanya.

    Menurutnya, cadangan projek kereta nasional baharu ini juga perlu memberi penekanan kepada R&D, tren dan teknologi baharu yang akan memacu pertumbuhan industri automotif dan industri lain yang berkaitan serta kerjasama dengan negara ASEAN yang lain.

    Malahan cadangan projek kereta nasional ketiga ini juga dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi serta tenaga kerja pakar baharu, terutama dalam bidang kejuruteraan automotif.

    Beliau berkata, MITI mempelawa mereka yang berminat untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung projek tersebut dan tarikh akhir bagi penghantaran cadangan adalah pada 15 Okt 2018.

     
     
  • DBKL mula senarai hitam pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun sebelum 30 september lalu

    DBKL mula senarai hitam pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun sebelum 30 september lalu

    Nampak gayanya usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggalakkan pesalah trafik menjelaskan kompaun dengan menawarkan diskaun selama sebulan pada September lalu tidak begitu berjaya. Sasaran asal DBKL adalah RM100 juta namun bayaran yang berjaya dikutip adalah sekitar RM2 juta walaupun kadar diskaun sebanyak 70% telah diberikan mulai 1 hingga 30 September.

    Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun tersebut sudah mula disenarai hitam. Tindakan itu akan tetap diteruskan sebagaimana yang diputuskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khalid Samad, sebelum ini, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, senarai hitam itu akan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada pesalah trafik DBKL yang gagal menjelaskan kompaun.

    “Buat masa ini ya tindakan itu akan diteruskan walaupun tawaran diskaun DBKL masih tidak mampu menggalakkan orang ramai membayar saman. Saya akan berbincang dengan beliau ( Khalid) untuk mencari cara terbaik menyelesaikan isu tunggakan kompaun ini,” katanya kepada pemberita.

    Menurut rekod DBKL, kira-kira empat juta saman kesalahan trafik dikeluarkan DBKL sehingga Ogos tahun ini melibatkan nilai hampir RM1 billion.

     
     
  • Dieselgate: Audi terima saman berjumlah 800 juta euro

    Dieselgate: Audi terima saman berjumlah 800 juta euro

    Salah satu jenama di bawah payung Volkswagen Group yang turut terlibat dalam skandal penipuan ujian emisi Dieselgate, Audi, telah menerima saman berjumlah 800 juta euro setelah Pendakwa raya Munich mengeluarkan perintah pentadbiran terhadapnya kerana penyelewengan terhadap pengawalseliaan enjin diesel V6 dan V8 tertentu. Dengan saman ini, kes berkenaan dianggap telah ditutup, sekurang-kurangnya di Jerman.

    “Menerusi pemeriksaan menyeluruh, Audi menerima denda itu dan ia tidak akan membuat rayuan terhadapnya. Dengan berbuat demikian, Audi mengakui tanggungjawabnya kerana menyimpangan dari keperluan pengawalseliaan,” kata Audi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut penemuan penyiasatan yang dijalankan oleh pendakwaraya awam Jerman, tugas pemantauan telah dilanggar dalam unit organisasi “kelulusan servis emisi dan kuasa enjin” syarikat tersebut, yang memantau pematuhan pengawalseliaan kenderaan. Salah laku ini menyebabkan enjin diesel V6 dan V8 tertentu yang dibangunkan oleh Audi tidak memenuhi syarat pengawalseliaan.

    Juga dinyatakan bahawa Audi turut gagal untuk mengesan bahawa enjin EA288 (Gen3) di USA dan Canada dan enjin EA189 diseluruh dunia yang dihasilkan oleh Volkswagen telah diiklankan, dijual kepada pelanggan, dan diletakkan dalam pasaran dengan fungsi perisian yang tidak dibenarkan sejak 2004.

    Walaupun jumlah saman tersebut sangat besar, Audi dan Volkswagen pastinya boleh bernafas dengan lebih lega kerana satu lagi episod skandal Dieselgate berkenaan dapat diselesaikan. Jun lalu, Volkswagen telah disaman sebanyak 1 bilion euro di Jerman kerana menggunakan “fungsi perisian yang tidak dibenarkan” pada enjin-enjin TDI mereka. Pemilik jenama Mercedes-Benz, Daimler, turut dilaporkan terlibat dengan skandal serupa.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi September turun 52%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi September turun 52%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan angka jualan dan produksi bagi bulan September 2018, di mana ia menurun berbanding pada Ogos.

    Sebanyak 31,241 kenderaan telah dihantar pada September, di mana ia 52% lebih rendah berbanding yang direkodkan pada Ogos sebanyak 65,551 unit. Jumlah jualan pada September tahun ini juga dilihat menyusut 23% atau 9,715 unit lebih rendah berbanding bulan yang sama pada tahun 2017.

    MAA berkata penurunan angka ini disumbangkan oleh syarikat kereta yang menghabiskan stok mereka disebabkan faktor permintaan luar biasa sepanjang kadar sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lalu.

    Sementara itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi September 2018 mencecah 454,971 unit, meningkat 7% berbanding 425,678 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Bagi bulan Oktober, MAA menjangkakan angka jualan juga tidak banyak berbeza daripada September kerana pelarasan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan memenuhi pesanan berikutan sifar-GST.

     
     
  • Mitsubishi Triton facelift baharu diperkenal 9 Nov ini

    Mitsubishi Triton facelift baharu diperkenal 9 Nov ini

    Mitsubishi telah pun menyiarkan teaser kedua bagi Triton baharu (atau L200 di beberapa pasaran lain) bersama tarikh pengenalannya, 9 November. Menurut pengeluarnya , trak pikap ini direka mengikut tagline ‘Engineered Beyond Tough’ , mengikut maklumbalas daripada pemiliknya di seluruh dunia.

    Melihat gambar di atas, anda dapat melihat sebahagian daripada piakp ini. Ia menampilkan bahagian hadapan yang disemak semula termasuk dengan sentuhan gaya bahasa Dynamic Shield rekaan Mitsubishi sendiri dengan lampu utama yang lebih tirus disambung pada gril dan lampu kabus/indikator pada bahagian sudut.

    Gaya baharu ini signifikan daripada model semasa, malah ia mempunyai banyak persamaan dengan model yang baru diperkenalkan oleh Mitsubishi termasuk Eclipse Cross dan Xpander. Selain itu, cab dan cermin sisinya dilihat tidak berubah, masih seperti sebelum ini.

    Mitsubishi Triton facelift baharu diperkenal 9 Nov ini

    Berdasarkan imej yang pernah disebarkan sebelum ini, roda baharu juga diperkenalkan. Malah lampu belakang juga direka semula. Perubahan bahagian dalaman juga dijangka dilakukan, namun tidak dipastikan adakah ia melibatkan perubahan kecil-kecilan atau sebaliknya.

    Untuk sistem mekanikal, masih tidak dipastikan sama ada Triton facelift ini akan diberikan peningkatan atau kekal sama seperti model sebelum ini. Buat masa ini, trak pikap Mitsubishi Triton dijana enjin MIVEC turbodiesel 2.4 liter berkuasa 181 PS/430 Nm digandingkan bersama pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau lima-kelajuan automatik.

    GALERI: Spyshot Mitsubishi Triton facelift 2019

     
     
  • McLaren Speedtail didedahkan sedikit bahagian belakang sebelum diperkenalkan pada 26 Oktober ini

    McLaren Speedtail didedahkan sedikit bahagian belakang sebelum diperkenalkan pada 26 Oktober ini

    McLaren telah mengumumkan akan mendedahkan rekaan dan perincian teknikal mengenai jentera Speedtail pada 26 Oktober ini, iaitu hanya tinggal beberapa hari lagi saja. Bersama dengan pengumuman tersebut, syarikat ini juga telah menyiarkan teaser belakang jentera prestasi ini, memberikan penekanan “bentuk yang menakjubkan, lebih rapi”.

    Seperti yang dapat dilihat, paparan tidak terganggu dengan kehadiran spoiler atau ekzos seperti mana yang dipasang pada Senna. Sebaliknya, satu-satunya ciri yang dapat dilihat ialah shutlines yang boleh dijadikan sebagai spoiler aktif atau elemen lain yang dibuka menerusi penutup enjin.

    Kehadiran visual hyper-GT akan dilengkapi dengan penjana luasa hibrid elektrik-petrol yang didakwa boleh mencapai kuasa melebihi 1,000 PS. Membolehkan Speedtail ini mencecah kelajuan maksimum melebihi 391 km/j, atau lebih tinggi daripada mana-mana jentera yang dikeluarkan oleh McLaren.

    Speedtail merupakan jentera pertama daripada 18 model yang McLaren akan perkenalkan sebagai sebahagian daripada perancangan perniagaan Track25, dan hanya 106 unit sahaja yang akan diproduksi. Setiap unit tunggal ditawarkan pada kos 1.75 juta pound British (RM9,555,534), dan pembeli boleh menikmati posisi kedudukan tengah dengan dua tempat duduk seperti pada McLaren F1.

    Produksi ini akan bermula pada hujung tahun hadapan, dengan setiap unit Speedtail akan ditetapkan sendiri mengikut gaya pilihan pemiliknya oleh McLaren Special Operations (MSO) sendiri.

     
     
  • Volkswagen Passat NMS 2019 diperkenalkan di pasaran China – lebih besar, gaya seperti Arteon

    Volkswagen Passat NMS 2019 diperkenalkan di pasaran China – lebih besar, gaya seperti Arteon

    Selain dari Volkswagen Passat yang kita kenali pada pasaran Malaysia, VW sebenarnya ada memperkenalkan Passat NMS (New Midsize Sedan) yang direka dalam saiz berbeza dan hanya untuk pasaran tertentu seperti Amerika dan China. Model yang anda lihat ini adalah Passat NMS generasi kedua yang telah pun diperkenalkan di pasaran China, dan ia dibina oleh divisi kerjasama Volkswagen di sana iaitu SAIC-VW. Walaupun belum rasmi, model ini juga dikatakan sebagai prebiu untuk Passat pasaran Amerika generasi seterusnya.

    Passat NMS baharu ini direka dengan dimensi 4,933 mm panjang, 1,836 mm lebar, 1,465 mm tinggi dan jarak roda 2,871 mm. Ini bermaksud, berbanding model sebelumnya, kereta ini adalah 61 mm lebih panjang, 2 mm lebih lebar, 7 mm lebih rendah manakala jarak rodanya pula 68 mm lebih jauh. Jadi, Passat ini mempunyai ruang kaki yang lebih luas pada bahagian belakang, sesuai dengan pasaran China yang banyak menghasilkan model-model jarak roda lebih jauh dari versi standard.

    Model generasi baharu ini dibina berasaskan platform modular MQB VW Group baharu, yang secara asasnya menyebabkan saiz fizikalnya berubah. Penggayaannya turut mengalami evolusi di mana ia direka seakan model coupe empat pintu VW baharu iaitu Arteon. Elemen berkenaan boleh dilihat pada rupa gril hadapan, kluster lampu (hadapan dan belakang), serta kedudukan tulisan ‘Passat’ di belakang.

    Namun bahagian dalaman, model NMS ini direka unik, berbeza dari Passat atau Arteon. Tiada lagi tingkat tengah yang bersepadu dengan liang penghawa dingin, sebaliknya bahagian tersebut hanya dihuni skrin infotaimen, manakala liang penghawa dingin diletak di bawah, hampir dengan panel kawalan.

    Kelengkapan lain yang turut boleh ditemui dalam kabin model ini adalah panel instrumen digital bersaiz 10.2 inci, skrin sesentuh infotaimen bersaiz 9.2 inci, sistem lampu suasana dengan 10-warna, tempat duduk larasan berkuasa, bumbung panaromik, paparan head-up, upholsteri kulit, cruise control adaptif, amaran pelanggaran, fungsi Park Assist dan pelbagai lagi.

    Volkswagen Passat NMS 2019 dijana oleh enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder TSI yang dihasilkan dalam dua talaan berbeza iaitu 186 PS dan 220 PS, di mana kedua-duanya hanya ditawarkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan. Versi janaan plug-in hybrid turut akan ditawarkan selepas ini, menggandingkan enjin 1.4 liter TSI bersama motor elektrik yang boleh menjana 211 PS/400 Nm secara keseluruhan, dengan bacaan ekonomi bahan api hanya 1.4 liter/100 km.

     
     
  • Skoda Kodiaq GT – SUV coupe khusus untuk China

    Skoda Kodiaq GT – SUV coupe khusus untuk China

    SUV dengan saiz paling besar dari jenama pengeluar Czech, Skoda Kodiaq nampaknya akan terima versi coupe pula. Kumpulan Volkswagen telah mengeluarkan lakaran rekaan Skoda Kodiaq GT terbaru, yang akan menjadi model utama dan paling tinggi bagi jenama itu untuk pasaran China.

    Untuk Kodiaq GT, model SUV berkenaan diberikan garis bumbung yang lebih rendah di bahagian belakangnya. Bermula dari penghujung pintu depan, ia semakin tirus ke bawah menuju ke bahagian pintu ruang karga di belakang.

    Susun letak nama Skoda pada bahagian itu juga menggunakan saiz huruf yang lebih besar. Juga ada dua hujung ekzos pada sisi yang bersebelahan pada diffuser – nampak kemas.

    Skoda memang banyak menumpukan perhatian terhadap SUV kebelakangan ini, yang menjadi strategi jenama itu untuk bergerak ke hadapan. Sama seperti corak yang diamalkan oleh pengeluar kenderaan lainnya.

    Skoda juga sedang menghalakan perhatiannya kepada pasaran China; Kodiaq GT ini nanti akan menjadi model kedua dari jenama itu yang dikeluarkan khusus untuk pasaran China selepas model Kamiq. Ketika ini ada empat model Skoda yang telah memasuki pasaran di sana.

    Tidak lama sebelum ini, Skoda memperkenalkan model Kodiaq RS – SUV tujuh tempat duduk yang paling pantas dalam litar Nurburgring.

     
     
  • Driven Movie Night – menangi 16 pas percuma untuk menonton filem Bohemian Rhapsody bersama kami

    Driven Movie Night – menangi 16 pas percuma untuk menonton filem <em>Bohemian Rhapsody</em> bersama kami

    Masih ingat dengan kumpulan Queen? Paling tidak, tentu ramai di antara kita yang mengenali lagu-lagunya yang sering berkumandang dari kumpulan ini; siapa yang tidak pernah mendengar baris-baris lagu “We Will Rock You”, “We Are The Champions” atau lapis-lapis melodi memukau dari “Bohemian Rhapsody”, bukan?

    Kini, sudah 25 tahun berlalu selepas kematian penyanyi utama Queen, Freddie Mercury, namun muzik yang pernah dihasilkan oleh mereka terus bernafas dan menemui pendengar baru hingga ke hari ini. Dan, sebuah filem khusus tentang ini akan masuk ke pawagam berdekatan anda tidak lama lagi.

    Untuk itu, Driven Movie Night ingin menjemput anda untuk menontonnya bersama kami – ehsan dari 20th Century Fox Malaysia – pada 30 Oktober ini, jam 9 malam di GSC One Utama, Petaling Jaya lebih awal sebelum tayangan rasminya bermula di sini pada 8 November nanti.

    Keseluruhannya ada lapan pasang pas percuma untuk dimenangi – atau 16 pas semuanya – dan apa yang perlu anda lakukan hanyalah menonton sedutan filem di bawah dan seterusnya jawab dua soalan mudah yang dinyatakan.

    Bohemian Rhapsody mengisahkan tentang kugiran Queen, terutamanya kisah perjalanan muzik mereka bersama Freddie Mercury yang bertindak selaku penyanyi utama yang melanggar semua stereotaip dunia hiburan untuk kemudiannya muncul sebagai ikon baru generasinya.

    Filem ini menyorot kembali tempoh-tempoh awal pembentukan Queen dengan penampilan dan muzik yang berbeza yang ingin dibawa, kemudian terarah kepada hari-hari sukar disebabkan oleh cara hidup Freddie yang menjadi semakin liar dan selepas itu, kejayaan mereka untuk disatukan semula bagi persembahan Live Aid – pada masa yang sama, Freddie Mercury sedang menanggung sakit yang kritikal, bangkit dan memimpin kumpulan itu untuk tampil memberikan persembahan paling agung yang pernah disaksikan dalam sejarah muzik rock. Filem ini juga adalah tentang pahit-manis perjalanan muzik Queen yang terus menjadi inspirasi ramai orang.

    Sertai peraduan ini sekarang untuk mengikuti kisah selanjutnya dalam perjalanan Freddie Mercury menjadi seorang penyanyi rock paling ikonik di dunia.

    *Tarikh akhir peraduan ini ialah pada Jumaat, 26 Oktober 2018. Pemenang akan diumumkan melalui laman paultan.org dan dimaklumkan melalui emel dan SMS pada Isnin, 29 Oktober 2018. Keputusan adalah muktamad, dan sebarang bantahan tidak akan dilayan. Tayangan filem ini akan diadakan pada Selasa, 30 Oktober 2018 pukul 9 malam di GSC One Utama, Petaling Jaya. Pemenang perlu mengambil pas mereka di lokasi yang dinyatakan sejam sebelum tayangan. Disebabkan lokasi tayangan ini, maka peraduan terbuka kepada mereka tinggal di sekitar Lembah Klang sahaja.

     
     
  • Porsche Panamera GTS dan Panamera Sport Turismo GTS – 4.0 liter V8, dua pengecas turbo, 460 hp/620 Nm!

    Porsche Panamera GTS dan Panamera Sport Turismo GTS – 4.0 liter V8, dua pengecas turbo, 460 hp/620 Nm!

    Model ‘sedan’ dan ‘wagon’ Porsche iaitu Panamera dan Panamera Sport Turismo kini menerima varian baharu dijana enjin petrol 4.0 liter V8 bersama dua pengecas turbo digelar GTS. Varian yang diletakkan di bawah model paling berkuasa Turbo dan di atas varian V6 4S ini turut dilengkapi dengan pelbagai sistem casis dinamik tambahan dan juga peralatan serta rekaan yang unik hanya untuknya.

    Enjin V8 GTS ini mampu untuk menjana 460 hp dan tork maksima 620 Nm, atau 20 hp/100 Nm lebih berkuasa dari model terdahulu. Ini membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 4.1 saat dengan pakej Sport Chorno. Model sedan Panamera GTS mampu untuk mencapai kelajuan maksima 292 km/j, manakala wagon Panamera Sport Turismo GTS berupaya mencatatkan 289 km/j.

    Kuasa dari enjin dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD Porsche Traction Management (PTM) dan juga kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan PDK. Sistem ekzos sport dibekalkan secara standard untuk model GTS ini, bersama penapis gasoline particulate filter bagi membolehkan bacaan penggunaan bahan api dicatatkan pada 10.3 liter untuk 100 km (10.6 liter/100 kmm untuk Sport Turismo).

    Model-model GTS ini juga didatangkan standard bersama sistem suspensi udara adaptif dengan teknologi tiga chamber, yang menurut Porsche membolehkan kawalan fleksibel dan kadar spring paling optimum dapat dilaras dengan lebih rata. Casis sport kereta ini telah direndahkan lagi sebanyak 10 mm, manakala sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) dapat mengadaptasi talaan yang lebih sporty. Versi GTS ini turut menerima brek berdiameter 390 mm di hadapan dan 365 mm di belakang bagi memberhentikan badan dengan janaan enjin V8 berkenaan.

    Panamera GTS generasi baharu ini menerima pakej asas yang lebih baik dari versi generasi sebelumnya. Pakej Sport Design diberikan bersama kemasan hitam di hadapan dan bahagian bawah belakang, serta elemen-elemen lebih gelap bagi menyerlahkan “imej yang lebih atletik”. Rim Panamera Design berdiameter 20-inci pula dibekalkan secara standard.

    Masuk ke kabin, balutan-balutan Alcantara dan juga kemasan-kemasan aluminium tersadur diberikan dan juga ciri-ciri standard lain seperti roda stereng sport bersama pedal penukar gear dan juga modul Connect Plus untuk servis-servis digital. Pakej Interior GTS pula ditawarkan sebagai opsyen, membolehkan pemilik menentukan sendiri pilihan elemen rekaan seperti pada meter RPM dan logo-logo GTS dengan warna Carmine Red atau Crayon.

    Dari segi teknologi lain, varian GTS ini menawarkan kelengkapan yang sama dengan varian Panamera generasi kedua yang lain. Ini termasuk Porsche Advanced Cockpit digital, sistem-sistem bantuan seperti Porsche Innodrive termasuk cruise control adaptif, dan juga sistem stereng untuk gandar belakang yang ditawarkan sebagai opsyen.

    Namun, model GTS ini merupakan varian pertama dalam barisan model Panamera yang menerima paparan Head-up. Pancaran paparan berwarna tersebut boleh dilaras oleh pemandu, dan memberikan pelbagai informasi yang relevan.

    Bagi mereka yang belum mengetahui, akrnonim ‘GTS’ dalam kamus produksi Porsche adalah bermaksud Gran Turismo Sport, iaitu model yang membawa teknologi litar perlumbaan ke versi jalan raya biasa. Model pertama yang menerima lencana GTS ini adalah 904 Carrera GTS yang dilancarkan pada tahun 1963, diikuti 924 GTS dan 928 GTS pada era 80’an dan 90’an. Model GTS mula diperkenalkan semula pada tahun 2007 menerusi model 911 Carrera GTS, dan kemudian diberikan pula pada Panamera GTS generasi pertama pada tahun 2011.

     
     
  • Honda CRF450L, CRF250RX 2019 terima peningkatan

    Honda CRF450L, CRF250RX 2019 terima peningkatan

    Baru-baru ini ketika acara MXGP di Belanda, Honda memperkenalkan barisan motosikal dengan kemaskini bagi tahun 2019 – yang dimaksudkan ialah Honda CRF450L dan CRF250RX 2019, disertai juga dengan barusan motosikal CRF enduro yang lain. Untuk menawarkan ketahanan dan kemudahan penggunaan dalam cara tunggangan dual-purpose, model CRF450L menggunakan asas yang sama dari moto-cross CRF450R.

    Sah sepenuhnya untuk penggunaan di atas jalan raya dan turut dilengkapi dengan tongkat, CRF450L mempunyai tangki minyak yang lebih besar untu memberikan lebih jarak tunggangan. Selain itu, ia turut dilengkapi lampu LED dan enjin silinder tunggal yang ditala untuk memberikan lebih kuasa pada rpm yang lebih rendah. Jarak servis enjin ini adalah setiap 32,000 km.

    Lagi model baru dalam genre yang sama dari Honda ialah model CRF250RX yang menggunakan CRF250R sebagai asas awalnya. Model ini direka untuk tunggangan litar cross tertutup. Sama seperti CRF450L, CRF250RX didatangkan dengan rim belakang 18-inci, tangki minyak dengan kapasiti 8.5 liter serta launch control tiga peringkat dari HRC.

    Honda CRF450L, CRF250RX 2019 terima peningkatan

    Dua lagi model CRF450R dan CRF450RX juga dilengkapi dengan launch control tiga peringkat yang sama dari HRC serta pemegang Renthal. CRF450R menerima penambahan janaan 2.5 hp dan 2 Nm hasil daripada bahagian cylinder head, bahagian kemasukan udara serta ekzos yang diperkemas.

    Bagi kemaskini 2019, Honda CRF250R menerima power pump di bahagian bawahnya melalui penggunaan throttle body dengan diameter 2 mm lebih kecil serta bahagian cam, profil kemasukan udara dan ekzos yang dipertingkat. Honda CRF250R turut menerima ciri launch control tiga peringkat HRC sebagai tambahan kepada tiga mod tunggangan sedia ada. Ia juga dilengkapi dengan kaliper brek dua-piston baru, pemegang boleh laras Renthal serta rim hitam.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024