Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kadar parkir di stesen kereta api berpatutan dan tidak membebankan rakyat – Kementerian Pengangkutan

    Kadar parkir di stesen kereta api berpatutan dan tidak membebankan rakyat – Kementerian Pengangkutan

    Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah memaklumkan kadar yang ditetapkan oleh setiap pengurusan kemudahan parkir di stesen kereta api adalah berpatutan berbanding kawasan parkir komersial yang mencecah hingga dua digit sehari.

    Tambahnya, kadar bayaran parkir di stesen kereta api adalah tidak membebankan rakyat. Malah kutipan parkir itu akan digunakan pihak pengurusan parkir untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan tapak, bangunan, atau kemudahan parkir berkenaan, laporan Berita Harian.

    “Ketika ini terdapat tiga pengendali perkhidmatan kereta api di Semenanjung iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERLSB).

    “Berdasarkan Akta Keretapi 1991, stesen termasuk kemudahan parkir di jajaran KTMB diletak hak kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang bertanggungjawab untuk mentadbir dan mengurus termasuk menetapkan kadar parkir di stesen berkenaan. Kadar caj maksimum ditetapkan RAC adalah RM5 sekali masuk sehari bagi parkir bertingkat dan RM4 sekali masuk sehari bagi parkir terbuka,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

    Kadar parkir di stesen kereta api berpatutan dan tidak membebankan rakyat – Kementerian Pengangkutan

    Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai kesediaan kementerian menilai semula pelaksanaan kutipan bayaran meletak kereta di stesen kereta api.

    Hasbi berkata, Prasarana bertanggungjawab mengurus dan menyelia stesen termasuk kemudahan parkir bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dengan kadar maksimum ditetapkan adalah RM4 sekali masuk bagi sehari. Manakala bagi perkhidmatan MRT pula, MRT Corp selaku pemilik infrastruktur termasuk stesen dan kemudahan parkir menetapkan kadar maksimum sebanyak RM4.30 sekali masuk bagi sehari.

    “Bagi jajaran ERL pula, hanya terdapat enam stesen sahaja. Daripada jumlah ini, ERLSB hanya bertanggungjawab mengurus dan menyelia kemudahan parkir di Stesen Salak Tinggi sahaja. Kemudahan parkir di stesen lain seperti Stesen Sentral Kuala Lumpur, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya Sentral dan KLIA/KLIA2 diselia pengendali terminal atau lapangan terbang masing-masing.

    “Kadar parkir ditetapkan ERLSB adalah RM3 sehari manakala pemegang kad bulanan, kadar dikenakan adalah RM50 sebulan. Ini bermakna, mereka yang bekerja selama 20 hari sebulan, purata bayaran sehari hanyalah RM2.50 sahaja,” katanya.

     
     
  • Honda akan hentikan pengeluaran enjin petrol dan diesel di Eropah pada tahun 2023, fokus EV dan hibrid

    Honda akan hentikan pengeluaran enjin petrol dan diesel di Eropah pada tahun 2023, fokus EV dan hibrid

    Semalam, ada laporan menyatakan yang Jepun ketika ini dalam pertimbangan untuk memansuhkan sebarang pengeluaran kenderaan baru dengan enjin petrol menjelang tahun 2030 nanti. Dan, berita itu bukanlah sekadar khabar angin. Sebab, Honda juga telah umumkan komitmen mereka sebagai merintis langkah awal untuk tujuan itu, walaupun untuk pasaran Eropah terlebih dahulu.

    Honda bakal memansuhkan pengeluaran dan jualan enjin petrol dan diesel sepenuhnya daripada barisan kenderaan keluaran syarikat itu di Eropah menjelang penghujung tahun 2022. Selepas tempoh itu, kenderaan yang dijual di sana hanyalah daripada barisan kenderaan hibrid dan elektrik sahaja.

    Naib Presiden Kanan Honda Eropah, Ian Howells memaklumkan, Honda percaya kepada pelbagai pendekatan untuk mengurangkan jejak karbon, dan pengumuman terbaru untuk mengharamkan jualan kenderaan baru petrol/diesel di UK menjelang 2030 tidak mengubah pendirian berkenaan. Beliau percaya sentiasa akan ada peranan baru bagi teknologi alternatif seperti e-fuel, biomass, hidrogen, bahan api konvensional dan juga bateri.

    Dalam usaha industri untuk beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik di masa hadapan, Howel juga berkata EV bukanlah penyelesaian segera untuk mengurangkan jejak karbon. Beliau menjelaskan, kos untuk membuat EV adalah 50% lebih mahal berbanding kenderaan konvensional atau hibrid.

    Beliau juga turut menyedari ada keterbatasan pada teknologi hibrid semasa. “Ia hanya bersifat peralihan untuk menjambatani jenis teknologi di masa akan datang, misalnya bagi teknologi di bateri yang memerlukan prasarana tersedia untuk membolehkanya berkembang pesat dan menawarkan pilihan lebih cekap kepada pengguna di masa hadapan.”

     
     
  • Volkswagen Golf R, GTI Clubsport Mk8 2021 dilancar secara rasmi di UK — harga bermula dari RM203k

    Volkswagen Golf R, GTI Clubsport Mk8 2021 dilancar secara rasmi di UK — harga bermula dari RM203k

    Baru saja mula ditunjukkan, kini Volkswagen Golf GTI Clubsport dan Golf R Mk8 telah diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran UK. Dua model ini menyertai barisan model GTI, GTD dan GTE sedia ada untuk pasaran sana.

    Merupakan kenderaan pacuan roda depan, GTI Clubsport dikuasakan oleh enjin EA888 evo4 2.0 liter TSI yang ditala untuk menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork. Diganding bersama kotak gear DSG tujuh-kelajuan (Direct Shift), ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat, menjadikannya Golf GTI paling pantas pernah dihasilkan setakat ini.

    Komponen unik untuk model ini termasuk spoiler belakang besar dalam dua bahagian untuk mengurangkan terangkat pada gandar belakang, bampar depan khusus dengan bahagian splitter untuk memberikan downforce yang lebih baik, muncung ekzos bujur dan diffuser diperkemas. Kerusi ArtVelours, kokpit digital dan sistem tunjuk arah Discover Media juga khas untuk versi ini.

    Volkswagen Golf R, GTI Clubsport Mk8 2021 dilancar secara rasmi di UK — harga bermula dari RM203k

    Lain-lain kelengkapannya termasuk Vehicle Dynamics Manager, kunci differential gandar depan elektromekanikal, kunci differential elektronik XDS dan Kawalan Casis Dinamik pilihan. Golf GTI Clubsport Mk8 dijual bermula £37,215 (RM203k).

    Bagi Golf R Mk8 pula, ia merupakan Golf paling berkuasa yang pernah dihasilkan. Menggunakan enjin EA888 2.0 liter yang menghasilkan 320 PS dan 420 Nm. Kotak gear DSG tujuh-kelajuan menghantar kuasa ke semua roda (4Motion), memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat. Laju maksimum ialah 250 km/j, tetapi dengan pakej R-Performance pilihan (£2,000 atau RM11k), ini boleh naik ke 270 km/j.

    Volkswagen Golf R, GTI Clubsport Mk8 2021 dilancar secara rasmi di UK — harga bermula dari RM203k

    Pakej berkenaan melibatkan tambahan rim aloi Estoril 19-inci, spoiler belakang prestasi serta dua mode pemanduan baru – Drift dan Special. Yang kedua itu merupakan lanjutan kepada mod Race, yang mengerah prestasi lebih tinggi dengan kesan bunyi yang lebih ketara. Kawalan Casis Dinamik ditawarkan sebagai pilihan.

    Sebagai ciri standardnya, Golf R Mk8 menggunakan rim 18-inci Jerez, kaliper brek biru, kit badan R penuh, spoiler kecil dengan empat mungcung ekzos, perumah cermin sisi krom kesat dan stereng R dengan pemanas. Aksesori lain yang turut ditawarkan antaranya ialah ekzos titanium Akrapovic, bumbung panoramik dan sistem audio Harmon Kardon. Harga bermula dari £39,270 (RM214k).

    Dua model ini dah tentu jadikan Golf lebih menarik, kan?

    Volkswagen Golf GTI Clubsport

    Volkswagen Golf R Mk8

     
     
  • Honda City 1.5L 2020 – 5,100 unit telah dihantar kepada pelanggan sehingga akhir November lalu

    Honda City 1.5L 2020 – 5,100 unit telah dihantar kepada pelanggan sehingga akhir November lalu

    Honda City nampaknya masih lagi kekal antara sedan segmen-B yang paling popular di Malaysia – pada 19 November lalu Honda Malaysia (HM) menyatakan bahawa tempahan untuk model generasi baharu berkenaan telah pun mencecah 9,000 unit dan 2,400 unit kereta telah dihantar kepada pelanggan selepas ia dilancarkan pada pertengahan Oktober tahun ini.

    Angka tersebut nampaknya berganda pada akhir bulan lalu – kami diberitahu oleh pihak HM bahawa sejumlah 5,100 unit City 2020 ini telah dihantar kepada pelanggan yang menempahnya setakat 30 November! Sebagai perbandingan, Proton X50 yang dilancarkan dua minggu selepas City hanya berjaya dihantar 2,203 unit sehingga berakhir bulan lalu.

    Untuk kemaskini terbaharu ini masih tiada lagi pecahan varian yang telah dijual dinyatakan oleh HM. Namun pada 19 November lalu, varian tertinggi untuk model janaan petrol sepenuhnya iaitu City 1.5L V menjadi varian paling popular, dengan menjadi pilihan 54% pelanggan dari angka keseluruhan yang ditempah tersebut.

    Honda City 1.5L 2020 – 5,100 unit telah dihantar kepada pelanggan sehingga akhir November lalu

    Buat masa sekarang, Honda City 2020 dijual pada pasaran Malaysia bermula RM74,191 untuk varian asas S, RM81,664 untuk varian E dan RM86,664 untuk varian V – kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran, serta dengan pengecualian cukai jualan 2020. Istimewa untuk model S dan E, Honda kini menawarkan rebat RM2,000 dalam Jualan 12.12 dalam masa terhad.

    Model generasi terkini ini masih dijana enjin 1.5 liter NA, namun telah dikemaskini dengan kepala silinder DOHC i-VTEC berbanding SOHC sebelum ini, menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

    Pasaran Malaysia turut menerima City generasi baharu ini dalam versi hibrid dan ia akan diletakkan sebagai varian tertinggi RS e:HEV. Walaupun ia telah diperkenalkan sekali ketika pelancaran model 2020 ini tempoh hari, jualannya hanya bermula pada awal tahun hadapan kerana produksi model ini di kilang Honda di Pegoh, Melaka terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

    Honda City 1.5L 2020 – 5,100 unit telah dihantar kepada pelanggan sehingga akhir November lalu

    Model dengan teknologi elektrifikasi ini menampilkan unit penjana i-MMD, terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm.

    Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD dari City sebelum ini, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri seperti sebuah sistem hibrid range extender atau ‘generator pasar malam’, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

    Lebih perincian berkenaan kelengkapan dan fungsi yang dibekalkan pada model generasi baharu ini, anda boleh baca artikel yang telah pun kami sediakan sebelum ini pada pautan di bawah:

    Honda City 1.5L V 2020

    Honda City 1.5L E Modulo 2020

    Honda City 1.5L RS e:HEV 2020

     
     
  • Jepun mungkin haramkan enjin petrol baru pada 2030

    Jepun mungkin haramkan enjin petrol baru pada 2030

    Kerajaan Jepun sedang mempertimbangkan untuk memansuhan semua kenderaanb baru yang berkuasa petrol menjelang pertengahan tahun 2030. Ini menurut Reuters diutarakan oleh NHK, saluran TV rasmi di Jepun.

    Negara itu menjadi yang terbaru yang turut mempertimbangkan untuk mengharamkan penghasilan kenderaan baru dengan enjin pembakaran dalaman konvensional. Langkah sama sudah disahkan oleh United Kingdom yang akan mengharamkan penjualan kereta atau van dengan enjin petrol atau diesel pada tahun 2030 nanti – 10 tahun lebih awal berbanding tarikh akhir asal.

    Kementerian Industri Jepun akan menetapkan jangka waktu untuk tujuan itu menjelang hujung tahun ini, seperti dijelaskan oleh jurucakap kerajaan, Katsunobu Kato dalam satu sidang media hari ini. Antara pertimbangan kerajaan adalah untuk mewajibkan semua kenderaan baru menggunakan teknologi elektrifikasi, termasuk hibrid, lapor NHK. Semuanya akan diputuskan selepas debat peringkat tertinggi selesai hujung tahun ini atau awal tahun depan.

    Kenderaan elektrik dijangka akan menguasai 55% perkongsian pasaran di Jepun menjelang tahun 2030, menurut sebuah laporan oleh Boston Consulting Group. “Kepesatan perkembangan ini akan berlangsung lebih pantas disebabkan harga batri yang mula jatuh ketika ini,” jelasnya. Toyota, Honda dan Nissan bagaimanapun mengelak untuk memberikan komentar tentang hal ini, menurut Reuters.

    Di Eropah, Perancis sangat tegas pendiriannya untuk mengharamkan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman menjelang tahun 2040, dengan kota Paris sendiri akan berbuat demikian pada tahun 2030. Kota itu juga sudah menghadkan akses kenderaan ke kawasan tengah bandar sebelum 1997 lagi, termasuk memperkenalkan hari-tanpa-kereta. Lebih banyak negara di benua itu akan membuat keputusan tentang perkara yang sama dalam bulan ini, lapor Reuters.

     
     
  • Land Rover Defender Racing Green Edition – ubah suai Carlex Design dari Poland, harga RM420k

    Land Rover Defender Racing Green Edition – ubah suai Carlex Design dari Poland, harga RM420k

    Syarikat talaan kenderaan dari Poland, Carlex Design telah memperkenalkan satu lagi versi ubah suai Land Rover Defender, yang dipanggil sebagai Racing Green Edition. Ini adalah model Defender kedua yang dikeluarkan oleh syarikat itu, selepas versi Yachting Edition.

    Defender Racing Green Edition ini dijual pada harga 85,000 Euro (RM419,583) dan ubah suainya bermula dengan penggunaan warna inspirasi daripada British Racing Green, bersama jalur putih di beberapa bahagian. Badan kenderaan ini juga dijadikan lebih lebar dengan tambahan kemasan gentian karbon pada lengkuk roda, dan bahan sama turut digunakan pada bonet, pelindung cermin sisi serta penutup tayar gantian.

    Bahagian bawah pintu Defender ini diletakkan dengan pelekat putih tertulis Racing Green Edition manakala lencana serta tulisan Land Rover dan Defender telah diganti dengan lencana Carlex. Anda boleh melihat perbezaan model ubah suai Carlex ini dengan model standard seperti di dalam gambar.

    Tempat duduk yang berada di bahagian dalam telah dibentukkan semula dan ia dibalut dengan kulit berliang berwarna coklat, bersama jalur hijau dan tulisan Racing Green Edition. Konsep serta bahan sama digunakan pada roda stereng, papan pemuka, kulit pintu serta perehat tangan. Perincian unik lain adalah termasuk alas kaki, plet nombor keluaran, serta hiasan brushed aluminium dan gentian karbon di beberapa bahagian.

    Ciri mekanikal kenderaan ini masih tidak diubah, di mana di Poland, ia dikuasakan oleh sama ada enjin diesel turbo Ingenium 2.0 liter bagi D200 dan D400, petrol Ingenium 2.0 liter bagi P300 atau enam silinder 3.0 liter bagi P400.

     
     
  • Ducati Monster, Monster+ 2021 diperkenal – 111 hp, 93 Nm tork, tiada lagi kerangka Trellis, 18 kg lebih ringan

    Ducati Monster, Monster+ 2021 diperkenal – 111 hp, 93 Nm tork, tiada lagi kerangka Trellis, 18 kg lebih ringan

    Satu lagi model baru tahun 2021 yang diperkenalkan oleh Ducati adalah Monster, yang ditawarkan dalam dua versi iaitu Monster dan Monster+. Ia kini menggunakan kerangka baru – tiada lagi jenis Trellis – dan menjadi lebih ringan berbanding model sebelumnya.

    Enjin Testastretta 11 V-twin pada model ini sekarang menepati tahap Euro 5 dan mampu menghasilkan kuasa 111 hp pada 9,250 rpm dan 93 Nm tork pada 6,500 rpm. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 109 hp dan 86 Nm tork pada model sebelumnya dan sekarang cuma memerlukan servis penukaran minyak pada setiap 15,000 km manakala talaan semula injap Desmo pada 30,000 km.

    Untuk model generasi baru ini, ia telah dijadkan lebih ringan, dengan berat kering keseluruhan 166 kg. Kerangka jenis Trellis yang sudah sinonim dengan Monster tidak lagi digunakan, dan ia diganti dengan kerangka inspirasi daripada Panigale yang 4.5 kg lebih ringan sementara lengan ayunnya pula, yang lebih mirip seperti model Mulstistrada V4 mencatat berat kurang 1.6 kg.

    Bahagian lain yang membantu menjadikan model ini lebih ringan adalah rim, di mana unit 17 inci dengan lebar 3.5 inci di hadapan dan 5.5 inci di belakang sekarang 1.7 kg lebih ringan berbanding unit pada Monster 821. Apabila sudah diisi dengan minyak dan sedia untuk ditunggang, Monster 2021 mencatat berat 188 kg, iaitu 18 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya.

    Klac jenis anti-slip dipasang pada kotak gear enam kelajuan motosikal ini, dan tarikan tuilnya kini lebih ringan 20%. Sistem pendikit ride-by-wire serta quickshifter diberikan secara standard, dan ia menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Sport (kuasa penuh dan maklum balas pendikit lebih agresif), Touring (kuasa juga penuh, dengan maklum balas lebih lembut) serta Urban (75 hp). Sistem kawalan cengkaman mempunyai lapan tahap.

    Selain ABS dan kawalan cengkaman (lapan tahap), Monster 2021 turut datang dengan Wheelie Control serta Launch Control. Untuk Wheelie Control, ia boleh dilaras secara berasingan sementara mod tunggangan, Traction Control dan Wheelie Control boleh dilaras sewaktu motosikal bergerak.

    Ducati Monster, Monster+ 2021 diperkenal – 111 hp, 93 Nm tork, tiada lagi kerangka Trellis, 18 kg lebih ringan

    Pada bahagian kokpit, panel meter LCD sebelum ini telah diganti dengan skrin TFT-LCD yang mana paparannya lebih menyerupai seperti unit pada Panigale V4 dengan tahap rpm di bahagian tengah skrin. Sambungan Bluetooth boleh digunakan selepas mendapatkan modul Ducati Multimedia System yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Keseluruhan bentuk badan Monster 2021 ini telah mengalami perubahan dengan lampu hadapannya kini menggunakan unit LED bersama DRL manakala tangki bahan api 14 liternya pula mempunyai lebih banyak lekuk berbanding bulat besar pada Monster sebelum ini. Ia sekaligus memberikan penampilan yang berbeza.

    Subframe Monster 2021 pula menggunakan fibreglass dan ia disambungkan terus kepada enjin seperti Panigale V4. Bagi penunggang, kedudukan di atas Monster baru ini adalah lebih menegak dan tinggi tempat duduknya adalah 820 mm. Pilihan tempat duduk yang lebih rendah juga ada disediakan. Pemegang kini lebih ke belakang 70 mm manakala peletak kaki pula 10 mm lebih rendah dan 35 mm lebih ke hadapan.

    Bahagian brek menggunakan tetapan cakera berkembar 320 mm berserta angkup empat piston Brembo M4.32 di hadapan, manakala di belakang terdapat cakera 245 mm dan angkup Brembo satu piston. Suspensi terdiri daripada fork USD 43 mm tanpa sebarang pelarasan di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Ducati Monster 2021 didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Ducati Red dan Dark Stealth dengan rim hitam, atau Aviator Grey dengan rim GP Red. Berbeza dengan model biasa, Monster+ mendapat tambahan penghadang angin kecil di atas lampu serta penutup tempat duduk belakang.

     
     
  • MG EP dilancarkan di Thai – wagon elektrik penuh dengan harga hanya RM133k, jarak gerak 380 km

    MG EP dilancarkan di Thai – wagon elektrik penuh dengan harga hanya RM133k, jarak gerak 380 km

    Jenama British yang kini dimiliki SAIC dari China iaitu MG baru sahaja melancarkan model elektrik sepenuhnya dengan harga mampu milik di Thailand, iaitu MG EP EV ketika berlangsungnya Thailand International Motor Expo 2020.

    Model wagon segmen-C yang dijana oleh motor elektrik sepenuhnya ini dijual pada harga 988,000 baht (RM133,135). Sebagai perbandingan, model elektrik sepenuhnya Nissan Leaf dijual pada pasaran sama dengan harga sekali ganda 1.99 juta bath (RM298k), dan harga MG EP ini sebenarnya lebih kurang sama dengan model segmen-C petrol sepenuhnya seperti Honda Civic 1.8 varian asas yang dijual pada harga bermula 874,000 baht (RM118k).

    Kereta ini dijual dalam versi CBU, diimport sepenuhnya dari China. Buat masa sekarang, ia turut ditawarkan dengan pengecaj wallbox percuma berharga 45,000 baht (RM6,062), dan juga pemasangan percuma bernilai 20,000 baht (RM2,694) serta insuran percuma selama setahun.

    Kereta elektrik ini juga diberikan pelindungan waranti selama empat tahun atau 120,000 km, manakala baterinya pula dilindungi lebih lama iaitu selama lapan tahun atau 180,000 km. Modul pada bateri berkenaan juga direka agar boleh ditukar secara berasingan sekiranya perlu.

    MG EP dilancarkan di Thai – wagon elektrik penuh dengan harga hanya RM133k, jarak gerak 380 km

    Bukan sahaja harganya sahaja yang hampir serupa dengan kereta biasa, MG EP EV ini juga menampilkan rupa seakan kereta wagon petrol biasa tanpa rekaan pelik-pelik seperti kebanyakkan kereta elektrik lain. Model ini dihasilkan dengan dimensi 4,544 mm panjang dengan jarak roda 2,665 mm – saiz dalam julat sama seperti model segmen-C biasa.

    Dengan bahagian belakang direka sebagai wagon sebenar, ia memberikan ruang kargo sebesar 464 liter, dan bertambah sehingga 1,456 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

    MG EP EV ini dijana oleh motor elektrik berkuasa 163 hp dan tork maksima 260 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear 1 kelajuan bagi menghantar kuasa ke roda hadapan. Ini membolehkan wagon elektrik tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat, dan mencapai kelajuan maksima 185 km/j.

    Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri lithium-ion berkuasa 50.3 kW yang diletakkan pada bahagian lantai. Ia membolehkan kereta ini bergerak sejauh 380 km (dalam kitaran NEDC) dengan satu caj penuh.

    Bateri berkenaan boleh dicaj semula menerusi port pengecaj CCS yang terletak disebalik logo MG pada gril hadapan. Dengan menggunakan wallbox (7 kW AC), bateri tersebut mengambil masa selama tujuh jam 15 minit untuk dipenuhkan dari 0-100%. Manakala dengan pengecaj pantas 50 kW DC, sejumlah 80% caj (dari 0%) dapat diisi dalam masa hanya 40 minit.

    Menurut MG Thailand, kos mengecaj di rumah akan memakan kos sekitar 200 baht (RM26.90) untuk satu caj penuh, manakala kos selenggara kereta ini untuk tempoh lima tahun/100,000 km pula tidak melebihi 8,000 baht (RM1,079).

    Di China, EP EV ini masih dijual dengan lencana SAIC, dikenali sebagai Roewe Ei5, dan ia sebenarnya sudah pun dilancarkan di sana sejak 2017. Selain dari menukar lencana, MG EP ini juga menerima rupa lebih “seakan Mazda” berbanding rupa “seakan VW” pada Roewe. Ia juga ada dijual pada pasaran asal jenama MG berkenaan iaitu di UK dengan nama MG5 EV.

     
     
  • Pendaftaran RFID oleh kenderaan Singapura terjejas akibat penutupan sempadan Malaysia susulan PKP

    Pendaftaran RFID oleh kenderaan Singapura terjejas akibat penutupan sempadan Malaysia susulan PKP

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, memaklumkan pendaftaran Radio-Frequency Identification (RFID) oleh kenderaan Singapura jatuh mendadak susulan penutupan sempadan Malaysia-Singapura sejak 18 Mac lalu kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Beliau memaklumkan perkara ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Johor turut berkata, sejak penutupan pintu sempadan, tiada pendaftaran RFID direkodkan, laporan Bernama.

    Kenyataan beliau ini adalah bagi menjawab soalan Chen Kah Eng (PH-Stulang) yang ingin tahu sebab projek RFID dan Permit Kemasukan Kenderaan Bermotor Asing di sempadan Malaysia-Singapura masih belum mencapai angka yang disasarkan.

    Jelas beliau lagi, sebelum pelaksanaan penutupan sempadan, sebanyak 65,471 tag RFID berjaya didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di mana pengagihan tag RFID itu dilaksanakan di empat kaunter yang dibuka di kawasan Hentian dan Rawat Pandan, Gelang Patah, Lima Kedai dan kawasan parkir Angsana.

    “Inisiatif ini berlangsung dari 1 Jan 2019 hingga 18 Mac 2020 iaitu sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, hari ini.

     
     
  • Hyundai Elantra 2021 dilancar di Malaysia minggu depan – spesifikasi penuh sedan 1.6L IVT didedahkan

    Hyundai Elantra 2021 dilancar di Malaysia minggu depan – spesifikasi penuh sedan 1.6L IVT didedahkan

    Hyundai Malaysia mengesahkan pelancaran bagi model generasi ketujuh Elantra 2021 (Avante di beberapa pasaran luar termasuk Korea) bakal berlangsung secara maya menerusi laman Facebook rasminya pada minggu hadapan. Tarikh serta masanya akan dimaklumkan kemudian. Tempahannya juga telah mula dibuka sejak 27 November lalu.

    Dengan perkembangan ini, Hyundai Malaysia juga telah mendedahkan spesifikasi penuh bagi Elantra 2021 yang hanya didatangkan dalam varian tunggal untuk pasaran tempatan. Disifatkan sebagai trend baharu bagi kereta sedan segmen-C, Elantra 2021 merupakan model pertama Hyundai yang menggunakan teknologi transmisi pintar dengan prestasi dan penjimatan bahan api sekali gus.

    Ia diberikan enjin petrol Smartstream G1.6 MPi (1.6 liter) naturally-aspirated DVVT dengan Dual Port Injection System yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 123 PS (121 hp) pada 6,300 rpm dan tork 154 Nm pada 4,500 rpm. Enjin ini menggunakan kepala silinder jenis DOHC, bersama sistem pemasa injap boleh ubah berterusan (CVVT), sistem suntikan multi-silinder serta modul pengurusan haba enjin yang baharu. Ini sama seperti apa yang digunakan pada Elantra/Avante di Singapura.

    Hyundai Elantra 2021 dilancar di Malaysia minggu depan – spesifikasi penuh sedan 1.6L IVT didedahkan

    Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi Smartstream Intelligent Variable Transmission (IVT) dengan lapan-kelajuan maya. Menurut Hyundai, IVT menggunakan rantai sawat (chain belt) berbanding push belt. Ini disifatkan mampu memberi respon lebih baik serta mengurangkan kehilangan kuasa dari enjin (5-8%) dan lebih menjimatkan minyak (4.2%).

    Gandingan enjin dan transmisi berkenaan membolehkan Elantra 2021 dipecut dari 0-100 km km/j dalam 10.4 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 196 km/j. Manakala anggaran penggunaan bahan api kombinasi pula sekitar 5.6 liter bagi setiap 100 km. Bagi pengendaliannya, ia juga diberikan tiga mod pemanduan iaitu Normal & Smart, Eco dan Sport.

    Sebagai perbandingan, Elantra generasi keenam yang diperkenalkan pada tahun lalu ditawarkan dengan enjin 2.0 liter Nu naturally-aspirated empat-silinder dengan hamburan kuasa 152 PS dan tork 192 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan. Untuk casisnya, model ini dilengkapi dengan topang MacPherson di depan dan palang torsion di belakang. Manakala sistem brek pula menggandingkan cakera ventilated di hadapan dan cakera solid di belakang.

    Hyundai Elantra 2021 dilancar di Malaysia minggu depan – spesifikasi penuh sedan 1.6L IVT didedahkan

    Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan ini memiliki dimensi berukuran 4,675 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,430 mm tinggi dengan jarak roda 1,245 mm. Ini menjadikannya lebih panjang sebanyak 55 mm dan 25 mm lebih lebar berbanding model sebelumnya. Malah jarak rodanya juga bertambah sebanyak 20 mm. Namun demikian, ia telah diturunkan ketinggiannya sebanyak 20 mm. Manakala kapasiti bagi ruang but pula mencecah 474 liter.

    Pertama kali melihat Elantra 2021 dalam sesi pra-tontonnya tempoh hari, perkataan ‘wow’ muncul di bibir. Rekaannya agak ranggi dan impresif. Sekali pandang, ia umpama model coupe empat-pintu yang sporty. Ia menampilkan rekaan parametric dynamic yang diterjemahkan menerusi Sensuous Sportiness ciptaan Hyundai sendiri.

    Menurut Hyundai, garisan bentuk tiga segi pada badannya mungkin bakal dianggap tabo dalam rekaan automotif. Namun ia sebenarnya mewakili emosi baharu dengan paparan inovasi geometrikal. Ia begitu jelas kelihatan bermula pada gril bahagian hadapan yang hadir dengan konsep paten batu permata. Ditambah pula dengan gabungan lampu utama dwi LED (Low & High Projection) yang nampak garang, bersama air curtain dan lampu indikator membelok yang agak tersorok di dalam gril.

    Senada dengan bahagian hadapan, sisi profilnya juga jelas kelihatan dengan karakteristik parametric dynamic bersama garisan berinspirasikan batu pertama yang melingkar sehingga ke hujung belakang. Hyundai turut meminjam elemen fastback untuk penggayaan bahagian tepi. Menyerlahkan lagi gayanya dengan menampilkan roda aloi 17-inci yang dibaluti tayar profil 225/45R17 Kumho Ecsta PS71.

    Manakala untuk bahagian belakangnya, masih mengekalkan gaya elegan umpama coupe empat-pintu namun elemen ducktail pada bahagian bonetnya agak tinggi dan membuatkan pandangan belakangnya agak sedikit pelik. Bahagian ini diberikan lampu kombinasi LED, lampu H-tail yang seperti dua boomerang bersambungan bersama logo Hyundai dan lencana Elantra yang terpisah dek lampu tersebut.

    Menjengah bahagian dalamnya pula, pelanggan mempunyai pilihan sama ada mahukan bentangan warna hitam atau pun kelabu cerah untuk keseluruhan kabinnya. Jika memilih rona hitam, bentangan kabinnya tampil dengan tiga kemasan termasuk kulit berwarna hitam, tricot dan natural leather yang menampakkan gaya lebih elagan. Manakala jika memilih kemasan berwarna kelabu cerah, kemasan kulit dan woven diberikan.

    Dan jika anda memilik kemasan ini, jangan terkejut sekiranya mendapati kemasan panel pada pintu tempat duduk penumpang hadapan berbeza daripada tempat duduk pemandu dan penumpang belakang. Ini bukan disebabkan kilang Hyundai salah pasang pintu, tetapi itulah konsep gayanya yang ingin menampilkan kelainan.

    Untuk bahagian kabinnya, antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah tempat duduk pemandu larasan kuasa (larasan manual untuk penumpang hadapan), pemegang cawan yang boleh dilaras ketinggiannya, tempat duduk hadapan dengan fungsi haba dan aliran udara, kawalan keselesaan suhu pintar untuk tempat duduk pemandu, paparan kluster Supervision TFT LED berwarna sepenuhnya 10.25-inci, dan skrin ‘terapung’lapan-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple Carplay.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan Bluetooth multi-connection bersama pengesan suara, brek parkir elektronik dengan fungsi menahan automatik, pendingin hawa automatik dwi-zon dengan tiga kawalan bagi blower, corong udara untuk tempat duduk belakang, soket kuasa dan tiga pengecas USB dan pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar.

    Elantra 2021 ini turut diberikan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, smart trunk untuk bahagian bonet, empat penderia parkir hadapan dan empat lagi untuk parkir belakang, dan Kawalan Kelajuan Pintar dengan fungsi Stop & Go.

    Untuk aspek keselamatan, ia diberikan ABS dengan EBD, sistem bantuan brek, sistem kawalan cengkaman (TCS), kawalan kestabilan elektronik (ESC), pengurusan sistem kenderaan (VSM), kawalan mula mendaki (HAC), cagak Isofix dan enam beg udara (bahagian pemandu, penumpang hadapan, sisi dan tirai).

    Bukan setakat itu sahaja, Elantra 2021 turut diberikan kelengkapan Hyundai SmartSense yang merangkumi Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Forward Collision-Avoidance Assist-Junction (FCA-JT) dan Blind Spot Collision-Avoidance Assist (BSC).

    Selain itu, ia turut menampilkan Driver Attention Warning (DAW), Leading Vehicle Departure Alert (LVDM), Safe Exit Warning (SEW), Rear Cross Traffic Collision-Avoidance (RCCA) dan Rear Occupant Alert (ROA).

    Bagi Elantra 2021 ini, ia diberikan empat pilihan warna luaran – Polar White, Electric Shadow, Amazon Grey dan Intense Blue. Jadi pelanggan diberi pilihan untuk memilih warna luaran yang dirasakan ‘ngam’ dengan dua variasi warna dalaman seperti yang dinyatakan di atas.

    Buat masa ini, Hyundai Malaysia masih belum mendedahkan lagi harganya. Walau bagaimana pun, tempahannya telah pun mula dibuka dengan yuran serendah RM777. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sedan segmen-C baharu ini, sama-samalah kita menantikan perkembangannya sewaktu ia dilancarkan pada minggu hadapan.

    Hyundai Elantra 2021 di Malaysia

     
     
  • Vespa GTS 300 HPE Super Tech tiba di M’sia – RM33k

    Vespa GTS 300 HPE Super Tech tiba di M’sia – RM33k

    Pengedar motosikal Vespa di Malaysia, Didi Resources Sdn Bhd telah melancarkan varian terbaru bagi model GTS 300 HPE iaitu GTS Super Tech. Model yang menjadi versi tertinggi bagi GTS 300 HPE ini dijual pada harga RM33,300 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan ditawarkan dalam dua warna iaitu Black Vulcano dan Grey Materia.

    Kelebihan utama model ini adalah sistem Vespa MIA di mana ia boleh disambungkan kepada telefon pintar, untuk memberikan akses kepada fungsi paparan navigasi, menjawab panggilan, notifikasi mesej, kawalan muzik serta lokasi pusat servis. Operasi sistem ini akan terpapar pada skrin TFT 4.3 inci di hadapan penunggang dan boleh dikawal menggunakan butang di bahagian kiri pemegang.

    GTS 300 HPE Super Tech juga dilengkapi dengan sistem brek ABS two-channel serta kawalan cengkaman ASR yang boleh ditutup menggunakan suis di sebelah kiri pemegang. Brek di kedua-dua roda hadapan dan belakang yang bersaiz 12 inci menggunakan unit cakera.

    Memandangkan ini adalah sebuah model GTS 300 HPE, ia dilengkapi dengan enjin paling berkuasa yang pernah digunakan oleh Vespa iaitu unit satu silinder 300 cc empat strok, suntikan bahan api, yang dipadankan bersama transmisi CVT, mampu menghasilkan 23.5 hp pada 8,250 rpm dan 26 Nm tork pada 5,250 rpm. Jika dibandingkan dengan enjin pada model sebelumnya, enjin HPE ini mempunyai lebihan kuasa 2.6 hp dan 4 Nm tork.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada GTS 300 HPE Super Tech adalah lampu hadapan dan belakang LED, cermin sisi krom, kemasan lubang udara hadapan warna kuning, bentuk tempat duduk khas, spring penyerap hentak warna kuning, tangki bahan api 8.5 liter, pengecas USB serta ruang tempat letak barangan di bawah tempat duduk.

     
     
  • Geely pertimbang program langganan rentas jenama

    Geely pertimbang program langganan rentas jenama

    Seperti yang ramai sudah sedia maklum, program langganan kini menjadi antara pilihan “pemilikan” kenderaan yang semakin banyak ditawarkan. Ia biasanya disediakan oleh satu-satu jenama melibatkan model-model keluarannya, atau oleh pihak ketiga yang menawarkan pilihan kenderaan dari pelbagai jenama atau segmen.

    Bagi Geely, syarikat itu mungkin akan mengubah corak penawaran program ini kelak. Ini kerana, menurut sebuah laporan Autocar, mereka yang kini dalam pertimbangan untuk memperkenalkan servis seperti itu juga menaungi banyak jenama kenderaan dengan pelbagai model. Misalnya, ini termasuk Volvo, Polestar, Lynk & Co, smart, Lotus dan juga Proton.

    Bercakap di acara Future of the Car anjuran Financial Times, Pengarah Eksekutif, Strategi Korporat dan Pengurusan Produk Lotus, Uday Senapati berkata, cadangan seperti itu masih dalam peringkat awal perbincangan. Bagaimanapun, menurutnya; “Jika anda sebahagian daripada sebuah kumpulan yang besar, memang ada banyak perkara yang boleh dibuat bersama.”

    Geely pertimbang program langganan rentas jenama

    Dengan faktra bahawa purata kereta menghabiskan 96% masanya diparkir sahaja, Senapati menambah; “Angka itu mungkin lebih lagi bagi kenderaan Lotus. Kita boleh mengubah itu pada masa hadapan, dengan cara menggerakkan kenderaan kami ke arah segmen berlainan serta mungkin juga untuk dikongsi.”

    Beliau juga menambah, servis perkongsian kenderaan seperti itu bukanlah penamat kepada pemilikan kenderaan, kerana masih ada masa depan bagi pembelian biasa. “Pembelian kenderaan akan kekal, saya yakin,” tambahnya. Pada kebanyakan orang, kereta bukan sekadar komoditi, malahan lebih besar daripada itu.

    Program langganan kenderaan kini semakin mendapat perhatian, dengan laporan Global Market Insights menjangkakan 20% daripada perjalanan kenderaan akan melibatkan servis berkenaan menjelang tahun 2026. Di Malaysia juga sudah ada perkhidmatan seperti itu, misalnya oleh Renault dan juga melalui platform Flux. Jadi, anda masih akan membeli kenderaan seperti biasa atau lebih untuk melanggan sahaja?

     
     
  • Lexus UX pasaran Australia dikemaskini — ECU talaan semula, CVT, kabin lebih senyap, harga lebih murah

    Lexus UX pasaran Australia dikemaskini — ECU talaan semula, CVT, kabin lebih senyap, harga lebih murah

    Lexus UX kini menerima kemaskini bagi model tahun 2021. Di Australia, SUV peringkat kemasukan itu diberikan peningkatan pada Direct Shift CVT, yang didakwa memberikan pengalaman pemanduan yang lebih selesa, disebabkan kawalan tekanan pelincir klac yang baru padanya. Unit ECU-nya juga diselaraskan semula, walaupun angka output masih kekal sama.

    Menurut Lexus, kabin UX baru ini juga lebih senyap, menampilkan penggunaan bahan penyerap bunyi di beberapa bahagian penting dan lebih tebal. Lain-lain kemaskini termasuk dua slot USB C dengan nyalaan LED pada konsol belakang, yang menggantikan slot USB A – untuk pengecasan yang lebih pantas.

    Tidak lupa, kapasiti ruang barangan di belakang juga diberi peningkatan. Bagi versi bukan hibrid, ia menyaksikan peningkatan kapasiti dari 50 hingga 90 liter. Model dengan rim 17-inci menerima 419 liter ruang barangan, manakala yang menggunakan rim 18-inci mempunyai 424 liter ruang – ini dicapai dengan mengurangkan ketinggian deck.

    Lexus UX pasaran Australia dikemaskini — ECU talaan semula, CVT, kabin lebih senyap, harga lebih murah

    Varian UX 250h hibrid turut menerima pertambahan ruang barangan, disebabkan sistem deck-tray berkembarnya. Ini memberi kelebihan empat liter ruang lagi (bagi UX 250h F Sport dan Sports Luxury 2WD) dan 44 liter (bagi UX 250h Luxury 2WD sahaja).

    Aspek keselamatan, UX diberi kemaskini lain, misalnya boleh mengesan papan tanda kawasan sekolah. Ini telah ditambah kepada sistem Lexus Road Sign Assist, yang merupakan sebahagian daripada Lexus Safety System+ yang lebih komprehensif.

    Lexus UX pasaran Australia dikemaskini — ECU talaan semula, CVT, kabin lebih senyap, harga lebih murah

    Lebih penting, harganya juga dilaraskan semula. Lexus UX 200 Luxury menyaksikan harganya dikurangkan sebanyak AUD$2,000 (RM6,000) menjadi AUD$44,445 (RM134k). Tetapi, itu melibatkan pengurangan beberapa perkara.

    Kelengkapan seperti lampu kabus LED, landasan pada bumbung, brek sokongan parkir, peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang, sistem masukan pintar dan radio digital DAB+ telah disekalikan dalam satu pakej pilihan, Enhancement Pack 1, dan tidak lagi ditawarkan secara standard. Varian lain UX turut menerima penurunan harga, antara AUD$75 (RM226) hingga AUD$325 (RM981) bergantung kepada model.

     
     
  • Nissan Magnite — harga untuk pasaran India bermula RM28k-RM52k, pilihan enjin 1.0 liter NA dan Turbo

    Nissan Magnite — harga untuk pasaran India bermula RM28k-RM52k, pilihan enjin 1.0 liter NA dan Turbo

    SUV Nissan yang dihasilkan lebih kecil dari Kicks, iaitu Magnite yang didedahkan di India bulan lalu, kini sudahpun dilancarkan secara rasmi pada pasaran berkenaan. Model tersebut akan ditawarkan dalam 10 varian berbeza (ya, 10!) dengan pilihan enjin 1.0 liter tanpa turbo dan juga enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo.

    Untuk model 1.0 liter NA, ia hanya digandingkan dengan kotak gear manual hadir dalam lima kemasan, dan ia ditawarkan dari versi paling asas XE dengan harga 4.99 juta rupee (RM28k) sehingga varian paling tinggi XV Premium dengan harga 7.55 juta rupee (RM42k).

    Model dengan enjin 1.0 liter turbo dengan kotak gear manual pula ditawarkan dalam tiga kemasan, bermula versi XL dengan harga 6.99 juta rupee (RM39k) hingga versi tertinggi XV Premium berharga 8.45 juta rupee (RM47k).

    Nissan Magnite — harga untuk pasaran India bermula RM28k-RM52k, pilihan enjin 1.0 liter NA dan Turbo

    Manakala model dengan enjin 1.0 liter turbo bersama kotak gear automatik CVT juga ditawarkan dalam tiga kemasan, bermula dengan versi XL berharga 7.89 juta rupee (RM44k) sehingga versi tertinggi XV Premium berharga 9.35 juta rupee (RM52k).

    Nissan belum mengumumkan sebarang spesifikasi untuk enjin 1.0 liter tanpa turbo untuk Magnite ini. Manakala untuk versi turbo, ia dijana oleh enjin HRA0 – macam pernah dengar? Ya, ia enjin yang sama dalam perut Nissan Almera turbo pasaran Thailand dan Malaysia. Walau bagaimanapun, talaan kuasa untuk Magnite turbo ini juga masih belum diumumkan secara rasmi.

    Menurut Nissan, rekaan Magnite ini dibuat di Jepun, namun ia dihasilkan dengan “mengambil kira keperluan unik dan aspirasi pelanggan sekitar India.” Walau bagaimanapun, Magnite turut dirancang untuk dilancarkan di pasaran lain kemudian.

    Rekaan versi produksi Magnite ini juga dilihat tak lari jauh dari versi konsepnya. Pada bahagian muka, ia diberikan gril besar bersama sepasang lampu utama yang nipis. Lampu nyalaan siang dihasilkan berasingan, dengan jalur LED berbentuk-L yang diletakkan pada bucu bampar, dan ia turut diberikan kemasan skid plate bagi melengkapkan rupa lasaknya.

    Kesemua ruang roda turut diberikan kemasan overfender, dan ia bersambung dengan kemasan sama pada panel rocker sisi serta pada bampar hadapan dan belakang bagi menghasilkan perlindungan sekeliling badan. Penampilan bahagian belakang pula dilengkapkan lampu LED yang direka melintang bersama spoiler pada pada bahagian atas pintu tailgate.

    Magnite dipadankan dengan rim bersaiz 16-inci dan tayar tebal dengan saiz 195/60R16. Ia mengahsilkan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm.

    Nissan Magnite — harga untuk pasaran India bermula RM28k-RM52k, pilihan enjin 1.0 liter NA dan Turbo

    Menurut Nissan lagi, Magnite menawarkan ruang yang luas, posisi duduk yang tinggi serta jarak tempat duduk hadapan terbaik di dalam kelasnya (700 mm). Penumpang belakang juga dikatakan boleh menikmati “ruang kaki yang biasanya terdapat pada kenderaan satu kelas lebih tinggi” serta ruang barangan belakang 336 liter.

    Dalam kabin, Magnite diberikan papan pemuka dengan rekaan bertingkat bersama corong pendingin hawa berbentuk heksagon manakala di tengah pula terdapat skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen yang boleh disambung dengan Android Auto serta Apple CarPlay. Butang penghidup enjin terletak rendah di konsol tengah dan di bawahnya terdapat tempat simpanan barang serta soket USB.

    Kelengkapan lain turut diberikan pada Magnite termasuk panel instrumen TFT tujuh inci, cruise control dan tempat duduk dibalut fabrik. Nissan juga menawarkan pakej Tech Pack yang menambah pengecas tanpa wayar, pembersih udara, sistem bunyi JBL, lampu suasana serta lampu di bawah cermin sisi yang menyala apabila pintu dibuka.

    Untuk keselamatan, Magnite pasaran India dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, Vehicle Dynamic Control, Traction Control, Hill Start Assist dan kamera 360 darjah.

     
     
  • Lexus LS facelift 2021 dilancarkan di Thailand – empat varian ditawarkan; harga dari RM1.556-2.140 juta

    Lexus LS facelift 2021 dilancarkan di Thailand – empat varian ditawarkan; harga dari RM1.556-2.140 juta

    Lexus LS facelift 2021 telah pun dilancarkan di Thailand, selepas sedan tersebut diperkenalkan pada Julai lalu. Untuk pasaran Thailand, ia menawarkan empat varian bagi LS, bermula dengan model asas LS 350 Luxury yang berharga 11.55 juta baht (RM1,558,270), diikuti dengan LS 500 Executive dengan harga 13.11 juta baht (RM1,768,679).

    Seterusnya, LS 500h Executive yang ditawarkan dengan harga 14.53 million juta (RM1,960,284), dan spesifikasi tertinggi LS 500h Pleat Executive pula berharga 15.86 juta baht (RM2,139,683). Memang agak jauh bezanya harga bagi dua model tertinggi LS ini kerana ia disertakan dengan pakej kemasan Kiriko Cut Glass.

    Bagi enjinnya, kesemua varian LS dikuasakan oleh unit petrol, dengan LS 350 dijanakan oleh unit 8GR-FKS 3.5 liter naturally-aspirated V6 yang membolehkannya mengeluarkan output sehingga 315 PS (311 hp) pada 6,600 rpm dan tork 380 Nm dari 4,800 hingga 4,900 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik 10-kelajuan, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat, sementara penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 10.8 km/l (9.3 l/100 km).

    Sementara itu, LS 500 pula menerima enjin Dynamic Force dengan unit V35A-FTS, di mana penjana kuasa 3.5 liter twin-turbo V6 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 421 PS (415 hp) pada 6,000 dan tork 600 Nm dari 1,600 hingga 4,800 rpm. Varian ini turut menerima transmisi automatik 10-kelajuan yang sama seperti LS 350, tetapi dengan talaan yang lebih tinggi yang memberikannya pecutan 0-100 km/j lebih cepat sekitar lima saat. Bagi penggunaan bahan apinya pula sekitar 10.3 km/l (9.7 l/100 km).

    Lexus LS facelift 2021 dilancarkan di Thailand – empat varian ditawarkan; harga dari RM1.556-2.140 juta

    LS 500h pula dipadankan dengan penjana kuasa hibrid iaitu unit 8GR-FXS 3.5 liter NA V6 dengan output 299 PS (295 hp) pada 6,600 rpm dan tork 350 Nm pada 5,100 rpm. Aspek elektrifikasi disalurkan dari motor elektrik pada kadar 179 PS (177 hp) dan 300 Nm, yang bekerjasama dengan transmisi hibrid Multi-Stage, dengan keseluruhan kuasa mencecah 359 PS (354 hp).

    Dengan larasan tersebut, pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam 5.4 saat, dengan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan iaitu sekitar 14.9 km/l (6.7 l/100 km). Kesemua varian dilengkapi dengan pengehad elektronikal sehingga 250 km/j dan ia turut diberikan Adaptive Variable Suspension (AVS) dan sistem suspensi udara secara standard. Turut diberikan ialah sistem mod pemanduan dengan enam pilihan – Eco, Comfort, Customise, Normal, Sport S dan Sport S+.

    Barisan LS di Thailand juga dilengkapi dengan kaca akustik, lampu utama LED triple-beam dengan BladeScan Adaptive High Beam System (AHS), lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, bumbung panoramik boleh digelangsar dan sistem kemasukan iluminasi.

    Lain-lain ciri yang turut diberikan termasuklah kluster instrumen digital, kawalan suhu empat-zon, sistem pencahayaan ambien, tingkap belakang larasa kuasa, tirai suria untuk tingkap belakang, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, paparan infotainmen 12.3-inci, sistem bunyi Mark Levinson 23-pembesar suara, panel operasi skrin sesentuh untuk barisan kedua, paparan utama, tempat duduk hadapan (28-hala) dan belakang (22-hala) larasan elektronik dengan fungsi memori, haba dan aliran udara.

    Ia juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan dan keselamatan yang komprehensif, dengan ciri standard termasuk Pengurusan Bersepadu Dinamik Kenderaan (VDIM), kawalan cengkaman, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki, Sistem Keselamatan Pra-Pelanggaran (PCS), Bantuan Tukar Lorong, pemantauan titik buta, Bantuan Kesan Lorong, kepekaan lintasan trafik belakang, 12 beg udara, paparan pandangan panoramik, bantuan parkir dan kawalan kelajuan adaptif.

    Walau bagaimana pun, LS 500 dan LS 500h menerima ciri tambahan termasuklah cermin pandang belakang digital, paparan hiburan untuk tempat duduk belakang, tempat duduk belakang dengan sokongan lumbar dan ottoman roda aluminium 20-inci (dengan tayar 245/56). LS 350 tidak menerima ciri tersebut dan diberikan roda yang lebih kecil bersaiz 19-inci.

    Sebagai tambahan, LS 350 diberikan kemasan kayuan pori terbuka sama ada tona Ash Burl atau Walnut, sementara LS 500 dan LS 500h Executibe menerima kemasan Laser Cut yang lebih bergaya. Seperti yang dimaklumkan dari awal, hanya LS 500h Pleat Executive menerima kemasan Kiriko Cut Glass. Pelanggan di Thailand juga diberikan 10 pilihan warna luaran, dan bergantung dengan apa yang dipilih dengan warna dalaman sama ada hitam, Hazel atau Crimson dan hitam.

     
     
  • Jaguar F-Pace SVR ditunjuk — lebih pantas, lebih tork

    Jaguar F-Pace SVR ditunjuk — lebih pantas, lebih tork

    Selepas model SUV Jaguar F-Pace sudah diberikan versi wajah baru beberapa bulan sebelum ini. Dan kini, giliran model SVR-nya pula menerima layanan yang sama. Kali ini, ia melibatkan kemaskini bukan sahaja di luar, sebaliknya di dalam juga.

    Enjin 5.0 liter supercas V8 masih dikekalkan, tetapi kini hadir dengan tambahan 20 Nm tork menjadi 700 Nm semuanya, dengan kuasa yang masih sama 550 PS. Ini juga telah menyumbang kepada tambahan laju pecutan 0-100 km/j sebanyak 0.3 saat (sebelum ini dalam masa 4 saat), sementara laju maksimum kini tiga kilometer per jam lebih pantas menjadi 286 km/j.

    Lebih menarik, pertambahan prestasi itu tidak memberi kesa kepada kadar penggunaan minyak atau pembebasan karbon dioksida. Angka rasminya bahkan sedikit lebih menurun; masing-masing 12.2 liter bagi setiap 100 km dan 275 gram per kilometer. Untuk menampung peningkatan tork yang ada, kotak gear automatik lapan-kelajuan yang digunakan hadir dengan torque converter yang lebih besar dari model sedan XE SV Project 8.

    Jaguar F-Pace SVR ditunjuk — lebih pantas, lebih tork

    Sistem pacuan semua roda yang lebih cenderung ke roda belakangnya hadir dengan Intelligent Driveline Dynamics, diperkemas dengan differential belakang yang ditala semula. Naik taraf casis antara lain turut melibatkan penyerap hentak adaptif yang menjadikan pemanduan dalam kelajuan rendah lebih selesa, serta respon stereng yang lebih baik.

    Pemandu juga akan dapat merasakan perbezaan yang lebih ketara antara Comfort dan Dynamic bagi penyerap hentak dan stereng melalui JaguarDrive Control. Brek pula disokong oleh brake-by-wire Integrated Power Booster yang baru, dengan talaan khas bagi SVR untuk jarak pedal yang lebih pendek. Cakera brek pula bersaiz 395 mm di depan, dan di belakang dengan saiz lebih besar 396 mm.

    Jaguar F-Pace SVR ditunjuk — lebih pantas, lebih tork

    Di luar, SVR menerima rekaan baru daripada model akan datang Jaguar. Antaranya lampu utama LED yang lebih tirus (hadir dengan lampu tinggi matrix), gril lebih besar, bonet lebih panjang dan lampu belakang gaya I-Pace. Menjadikan imejnya lebih garang ialah bampar depan baru dengan bentuk X dengan elemen bilah pada bahagian intake. Di belakang, rekaan bampar juga lebih agresif dengan bahagian diffuser yang lebih besar yang bersekali dengan empat hujung ekzosnya.

    Menurut Jaguar, rintangan dinamik kereta ini berkurangan sedikit, daripada 0.37 kepada 0.36. SVR juga menggunakan rim aloi 22-inci. Di dalam pula, rekaan serba baru diberikan untuk ruang kabin. Dengan papan pemuka yang lebih tirus, konsol tengah yang lebih tinggi serta skrin sentuh di tengah dengan saiz lebih besar, 11.4-inci. Hal yang khusus untuk SVR antaranya ialah kerusi prestasi balutan kulit Alcantara.

     
     
  • VW tutup sepenuhnya operasi Volkswagen Motorsport

    VW tutup sepenuhnya operasi Volkswagen Motorsport

    Tahun lalu Volkswagen mengumumkan bahawa semua program perlumbaannya dengan enjin pembakaran dalaman dihentikan bagi menumpukan kepada pembangunan perlumbaan elektrik. Namun ia tidak bertahan lama – jenama dari Jerman berkenaan telah mengesahkan bahawa semua aktiviti sukan permotoran mereka akan dihentikan serta merta.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, keputusan untuk menutup Volkswagen Motorsport ini adalah sebahagian dari langkah penstrukturan semula syarikat. Kesemua 169 kakitangan VW Motorsport GmbH akan dipindahkan ke jabatan-jabatan lain dalam jaringan Volkswagen AG.

    “Jenama Volkswagen kini dalam perjalanan untuk menjadi pembekal utama dalam mobiliti elektrik lestari. Sehingga ke tahap terakhir ini, kami berpadu tenaga dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aktiviti sukan permotoran untuk jenama Volkswagen. Tenaga kerja sukan permotoran akan terus diserap ke dalam Volkswagen AG,” kata ketua pegawai pembangunan VW, Frank Welsch.

    “Kepakaran teknikal yang mendalam staf-staf ini dan juga pengetahuan yang ditimba dari projek [prototaip elektrik sepenuhnya] ID.R akan kekal dalam syarikat dan akan membantu kami bagi menghasilkan model-model efisien keluarga ID untuk jalan raya,” tambah Welsch lagi.

    VW tutup sepenuhnya operasi Volkswagen Motorsport

    Walaupun Volkswagen tidak lagi menghasilkan jentera-jentera baharu untuk program perlumbaan pelanggan, komponen-komponen alat ganti untuk jentera rali Polo GTI R5 dan juga kereta lumba touring Golf GTI TCR akan terus dibekalkan kepada pasukan yang masih menggunakannya dalam jangka masa panjang. Produksi Polo R5 juga akan dihentikan sepenuhnya tahun ini.

    “Pasukan Volkswagen Motorsport GmbH telah mencapai kejayaan yang signifikant untuk jenama ini untuk tempoh masa lebih sedekad. Untuk semua kejayaan, gelaran dan rekod di seluruh dunia dan komitmen masing-masing, saya dengan ikhlas mengucapkan terima kasih untuk semua kakitangan. Kami gembira kami akan menerima semua staf pada masa yang mencabar ini dan akan mengambil semua tawaran untuk semua pekerja,” kata ketua pegawai sumber manusia VW, Wilfried von Rath.

    Walaupun membuat penampilan dalam tempoh yang singkat, VW Motorsport telahpun menempa pelbagai kejayaan besar. Antaranya pasukan rali dunia Volkswagen yang berjaya bergelar juara dunia untuk kategori pengeluar dan pemandu dengan Sebastien Ogier empat tahun berturut-turut (2013-2016) dan juga tiga kemenangan di Rali Dakar dengan Toureg.

    Kereta lumba elektrik ID.R juga telah mencatatkan pelbagai rekod penting iaitu dengan menjadi kereta elektrik terpantas untuk tiga laluan ikonik iaitu Hill Climb di Goodwood dan Pikes Peak, dan juga lap terpantas di litar Nurburgring Nordschleife.

     
     
  • Proton jual 11,411 kereta pada Nov 2020 – 18% lebih tinggi berbanding Nov 2019; YTD cecah 96,410 unit

    Proton jual 11,411 kereta pada Nov 2020 – 18% lebih tinggi berbanding Nov 2019; YTD cecah 96,410 unit

    Proton telah mengumumkan prestasi jualan bagi bulan November 2020, dengan rekod sebanyak 11,411 unit – termasuk pasaran domestik dan eksport. Jumlah tersebut dilihat naik sedikit sebanyak 19 unit (atau 0.167%) berbanding 11,392 unit pada Oktober. Malah ia juga 18% lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada tahun 2019, iaitu sekitar 9,643 unit yang terjual.

    Dengan rekod yang dicatatkan pada November, pengeluar kereta nasional ini berkata, jumlah keseluruhan jualan (YTD) bagi 2020 kini mencecah 96,410 unit, di mana ia lebih 7.7% berbanding 89,476 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu. Syarikat ini juga berkata buat masa ini pegangan pasaran dianggarkan sebanyak 20.1% , di mana ia lebih rendah berbanding 21.3% yang dicatatkan pada akhir Oktober.

    Bagi prestasi mengikut model pula, sebanyak 4,279 unit Saga telah terjual pada November, sementara Iriz dan Persona pula masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 637 dan 1,943 unit. Manakala Exora, X70 dan X50 pula mendahului segmen pasaran masing-masing, dengan MPV tersebut telah mencatatkan jualan sebanyak 629 unit.

    Proton jual 11,411 kereta pada Nov 2020 – 18% lebih tinggi berbanding Nov 2019; YTD cecah 96,410 unit

    Sementara X70 pula mencatatkan jualan sejumlah 2,157 unit, manakala X50 pula sebanyak 1,756 unit, di mana model SUV terbaharu yang dilancarkan pada 27 Oktober lalu, telah sampai kepada 447 pelanggan yang menempahnya.

    “Jualan kenderaan di Malaysia melebihi jangkaan yang dibuat pada awal tahun ini dan anggaran kami adalah Kadar Keseluruhan Industri (TIV) melebihi 56,000 unit bagi tiga bulan berturut-turut. Tawaran akhir tahun biasanya diberi oleh jenama kenderaan adalah antara sebab fenomena ini, tambahan juga insentif PENJANA dan pelancaran model baru seperti Proton X50 telah meningkatkan jumlah jualan.

    “Bagi Proton, tumpuan kami tetap pada kualiti produk dan khidmat pelanggan supaya kami boleh menghasilkan produk dan pengalaman pelanggan yang unggul. Kami akui, kadar penghantaran Proton X50 masih belum sampai tahap maksima, tetapi kami sentiasa berjaga-jaga untuk memastikan pelanggan menerima produk terbaik yang memenuhi harapan mereka. Namun demikian, jumlah kenderaan yang dihasilkan akan meningkat tiap-tiap bulan untuk mengurangkan tempoh menunggu pada masa kini, kami berharap para pelanggan boleh bersabar,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    Walau pun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, Proton tetap optimis untuk mengembangkan pasarannya ke negara luar.

    “Jualan eksport akan tetap sebagai salah satu tunggak utama Proton bagi tahun 2021 dan masa depan. Oleh kerana prestasi pasaran tempatan kami telah stabil, lebih penekanan perlu diberi kepada usaha menjadikan Proton jenama automotif serantau dan global.

    “Sebagai syarikat automotif nasional, kami mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. Apabila jumlah eksport kami meningkat, komuniti vendor tempatan akan bermanfaat juga. Oleh itu, kami akan membuat lebih banyak pengumuman mengenai aktiviti di pasaran luar negeri pada masa hadapan,” tambah Roslan.

     
     
  • Proton X50 – 1,756 pelanggan terima pada November, 2,203 unit keseluruhan; kini SUV segmen-B paling laris

    Proton X50 – 1,756 pelanggan terima pada November, 2,203 unit keseluruhan; kini SUV segmen-B paling laris

    Proton mengumumkan bahawa sejumlah 1,756 unit SUV segmen-B X50 telah dihantar ke pelanggan yang menempahnya sepanjang bulan November 2020. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah dijual setakat ini adalah 2,203 unit selepas dilancarkan secara rasmi pada 27 Oktober 2020.

    Ia secara tidak langsung menjadikan X50 SUV segmen-B lima tempat duduk paling laris di Malaysia buat masa sekarang. Model SUV segmen-C Proton X70 juga masih kekal sebagai model paling laris dalam kelasnya dengan jualan sebanyak 2,157 unit sepanjang bulan lalu.

    Walaupun jumlah jualan untuk lain-lain model Proton dilihat sedikit menurun pada November, prestasi yang ditunjukkan oleh X50 dan X70 ini membolehkan momentum positif Proton diteruskan tahun ini dengan angka keseluruhan 11,411 unit dijual sepanjang bulan lalu atau meningkat 18% berbanding bulan sama tahun 2019.

    Proton X50 – 1,756 pelanggan terima pada November, 2,203 unit keseluruhan; kini SUV segmen-B paling laris

    “Bagi Proton, tumpuan kami tetap pada kualiti produk dan khidmat pelanggan supaya kami boleh menghasilkan produk dan pengalaman pelanggan yang unggul. Kami akui, kadar penghantaran Proton X50 masih belum sampai tahap maksima, tetapi kami sentiasa berjaga-jaga untuk memastikan pelanggan menerima produk terbaik yang memenuhi harapan mereka. Namun demikian, jumlah kenderaan yang dihasilkan akan meningkat tiap-tiap bulan untuk mengurangkan tempoh menunggu pada masa kini, kami berharap para pelanggan boleh bersabar,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    Proton X50 ditawarkan dalam empat varian berbeza, bermula model paling asas Proton X50 Standard dijual pada harga RM79,200, diikuti varian Executive dijual pada harga RM84,800, model Premium pula berharga RM93,200, manakala versi tertinggi Proton X50 Flagship dijual pada harga RM103,300.

    Dari kesemua varian yang ditawarkan, hanya varian tertinggi Flagship dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan 177 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 255 Nm pada takat 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Proton X50 – 1,756 pelanggan terima pada November, 2,203 unit keseluruhan; kini SUV segmen-B paling laris

    Untuk varian lain, ia masih diberikan enjin 1.5 liter Turbo tetapi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) menjana 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Walau bagaimanapun, kesemua jenis enjin hanya dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan 7-DCT yang dibangunkan bersama Geely dan Volvo, memacu hanya roda hadapan. Gandingan ini membolehkan model Flagship memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut perincian untuk setiap varian Proton X50 ini, anda boleh baca laporan yang telah kami sediakan pada pautan di bawah.

  • Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k
  • Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian
  • GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

    GALERI:Gambar rasmi Proton X50 2020

     
     
  • Toyota panggil semula Hilux & Fortuner kerana masalah pada servo brek, babitkan model 2018-2019

    Toyota panggil semula Hilux & Fortuner kerana masalah pada servo brek, babitkan model 2018-2019

    Pengedar jenama Toyota Di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan panggilan semula terhadap 12,997 unit trak pikap Hilux dan juga kembar SUVnya iaitu Fortuner berhubung masalah pada servo brek kenderaan-kenderaan tersebut.

    Dari jumlah keseluruhan berkenaan, 11,571 unit daripadanya adalah Hilux dan 1,426 unit selebihnya adalah Fortuner. Kesemua kenderaan yang dipanggil ini adalah model yang dijual oleh UMWT dan diproduksi antara Julai 2018 sehingga Januari 2019. Model lain dengan tarikh pengeluaran tidak sama tidak terlibat sama sekali dengan panggilan semula kali ini.

    Menurut UMWT, masalah berkenaan berpunca dari omboh resin dalam servo brek berkenaan yang boleh menyebabkan prestasi membrek terjejas. Panggilan semula ini dibuat sejurus selepas UMWT menerima informasi dari Toyota Motor Corporation.

    Toyota panggil semula Hilux & Fortuner kerana masalah pada servo brek, babitkan model 2018-2019

    Kesemua pemilik kenderaan yang terjejas akan dihubungi oleh UMWT menerusi surat. Semua kerja-kerja pembaikkan akan dibuat tanpa melibatkan sebarang kos dari pelanggan.

    Untuk keterangan lanjut berkenaan panggilan semula ini atau untuk mengetahui status kenderaan Toyota anda, UMWT menasihatkan pelanggan yang terjejas terus menghubungi mana-mana pusat servis Toyota yang bertauliah atau hubungi talian bebas tol 1800-8-TOYOTA (869682).