Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Apple CarPlay sokong Waze, Google Maps bagi iOS 12

    Apple CarPlay sokong Waze, Google Maps bagi iOS 12

    Sebelum ini Apple Carplay lebih banyak menggunakan aplikasi Apple Maps untuk navigasi, berbanding Waze dan Google Maps yang lebih kepada pengguna Adroid Auto. Walau bagaimana pun, tidak lama lagi Apple CarPlay bakal menyokong aplikasi navigasi pihak ketiga tersebut untuk sistem iOS 12 yang bakal dilancarkan untuk iPhone dan peranti iOS yang lain.

    Perkara ini telah diumumkan dalam perbentangan bagi sistem operasi mobiliti baharu di Worldwide Developer Conference (WWDC) yang sedang berlangsung. Berdasarkan screenshot di atas, terpapar aplikasi Waze dan Google Maps, serta aplikasi China AutoNavi (perkhidmatan Google disekat di China).

    Apple CarPlay sokong Waze, Google Maps bagi iOS 12

    Buat masa ini, kami masih belum ada perincian yang lebih konkrit bagaimana sistem berkenaan bakal diimplimentasikan. Walau bagaimana pun, iOS 12 bakal diperkenalkan pada musim luruh ini, jadi ada mempunyai masa lagi sebelum mengakses aplikasi ini di dalam kenderaan. Seperti sedia maklum, sebelum ini Android Auto bekerjasama dengan Google Maps, dan Waze pula hanya ditawarkan pada hujung tahun lalu.

    Walau bagaimana pun, anda hanya boleh menggunakan CarPlay sekiranya sistem infotainem atau unit utama menyokong fungsi ini. Dan berita baik diterima apabila lebih banyak pengeluar kereta dan pengeluar sistem hiburan bakal menambah ciri ini, di dalam model kereta di pasaran Malaysia, termasuk yang terkini pada Kia Picanto baharu.

     
     
  • JPJ akan hantar dua peringatan penukaran beg udara Takata bagi pemilik yang terlibat, saman jika diabaikan

    JPJ akan hantar dua peringatan penukaran beg udara Takata bagi pemilik yang terlibat, saman jika diabaikan

    AppleMark

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kali ini benar-benar tegas dalam menyelesaikan masalah pemilik kenderaan terjejas dalam panggilan semula inflator beg udara Takata yang masih mengambil mudah perkara berkenaan. Mengikut rekod, berberapa kes meragut nyawa telah dilaporkan dan kini JPJ sendiri akan mengeluarkan dua peringatan kepada pemilik bagi untuk menghantar kereta mereka ke pusat bertauliah, manakala saman akan menyusul sekiranya amaran tersebut tidak diendahkan.

    Perkara ini diumumkan sendiri oleh menteri pengangkutan Anthony Loke hari ini selepas mesyuarat dijalankan bersama wakil dari Toyota, Honda, Nissan, BMW, Mitsubishi, Mazda dan Subaru. Kesemua jenama yang mempunyai kebarangkalian untuk terjejas berikutan isu inflator beg udara keluaran Takata Corp ini telah pun menjalankan panggilan semula mereka sendiri.

    Menurut Loke, kadar penukaran yang telah pun lengkap setakat ini adalah dari Honda dengan 79%, dengan 262,296 penukaran telah lengkap dari 332,458 unit yang terjejas dan telah dipanggil semula – ini termasuk sama ada penukaran untuk inflator beg udara bahagian pemandu dengan/atau bahagian penumpang hadapan yang perlu ditukar.

    Inflator beg udara bahagian pemandu (kiri) dan penumpang (kanan) dengan perumah logam yang berpotensi untuk pecah dalam isu ini, mampu menyebabkan kecederaan serius

    Untuk jenama lain pula, Toyota kini berada pada kadar 38.1% (89,030 dari 233,637 buah kereta) Lexus pada 54.5% (180 dari 303 kereta), Nissan pada 40.5% (71,986 dari 177,803 kereta), BMW pada 4% (331 dari 8,320 kereta), Mitsubishi pada 44% (16,170 dari 36,155 kereta), Subaru pada 6.2% (19 dari 305 kereta) dan Mazda pada 15.6% (1,718 dari 10,982 kereta).

    Loke turut menambah bahawa syarikat-syarikat pengeluar kenderaan ini telah pun berusaha sebaik mungkin bagi memberitahu pemilik kereta yang terjejas agar membawa kereta mereka untuk menukar komponen berkenaan. “Masih lagi ramai yang tidak mahu untuk menukar. Walaupun penukaran tersebut percuma dan dalam masa yang sama pelbagai kempen dijalankan, masih lagi ada yang mengatakan ia tidak perlu – mereka tidak mahu untuk menukar (inflator beg udara), ia membuang masa,” katanya.

    “Jadi, tolong, saya merayu kepada rakyat Malaysia, jika kereta anda terlibat, tolong luangkan satu jam (untuk membuat penukaran yang sepatutnya). Saya difahamkan penukaran tersebut tidak mengambil masa yang lama. Untuk beg udara bahagian pemandu, ia hanya mengambil masa 15 minit. Untuk bahagian penumpang, kebanyakkan kes hanya mengambil masa 45 minit. Jadi, jika kedua-dua bahagian perlu ditukar, masa maksimum yang diperlukan hanya sejam,” tambahnya.

    Bagi memastikan sistem yang betul digunakan untuk mengenalpasti kenderaan yang terlibat, Loke telah mewujudkan pasukan petugas bagi mengkoordinasikan antara JPJ dan syarikat pengeluar kenderaan. Untuk permulaan, wakil IT dari setiap syarikat tersebut akan menghadiri mesyurat esok bagi menyediakan mekanisma bagi menyaring data dengan lebih baik menerusi data setiap pihak (JPJ dan syarikat-syarikat kereta).

    Fokus utama di sini adalah untuk kereta yang terjejas tetapi masih lagi belum dihantar untuk penukaran komponen, di mana syarikat-syarikat kenderaan akan menghantar senarai tersebut kepada JPJ. Dari senarai berkenaan, peringatan akan dihantar kepada pemilik agar menghantar kereta mereka untuk menukar komponen tersebut dalam masa 14 hari.

    Selepas tempoh itu, syarikat akan menghantar laporan kepada kementerian bagi membolehkan mereka mengenalpasti kereta mana yang masih belum melakukan penukaran inflator beg udara tersebut. Dari situ, peringatan kali kedua akan dihantar kepada pemilik yang masih belum berbuat demikian, dengan bantuan dari syarikat insuran bagi memastikan peringatan dihantar ke alamat yang terkini.

    Sekiranya pemilik yang terlibat mengabaikan peringatan ini, saman berjumlah RM300 akan dikenakan kepada pemilik berkenaan kerana ingkar arahan JPJ. Selain dari saman, pemilik juga akan dilarang untuk memperbahrui cukai jalan kereta yang terjejas berkenaan. Loke menyatakan, langkah ini bukan sengaja dibuat untuk menghukum sesiapa, tetapi untuk memastikan kesemua kenderaan yang terjejas menukar inflator beg udara tersebut atas sebab keselamatan.

     
     
  • Plat nombor khas yang diluluskan hanya setahun untuk dijual dan didaftarkan, tiada lanjutan tempoh

    Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan, semua plat nombor khas hanya akan diuruskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), walau pun kementerian terbabit berkata plat siri khas yang telah diluluskan sebelum ini masih boleh dijual sehingga tahun hadapan.

    Menurut Loke, plat khas terdahulu yang diuruskan oleh NGO, yang masing-masing membayar JPJ RM1 juta untuk hak pengedaran, akan diberikan tempoh penangguhan satu tahun untuk menjual dan mendaftarkan nombor bagi siri yang diluluskan itu. Beliau menambah, tidak akan ada lanjutan kepada had masa yang diberikan oleh kerajaan, dan tiada pembaharuan dibenarkan.

    Plat khas terakhir yang diperkenalkan menerusi NGO ialah UP, walau pun sebelum ini sudah banyak plat khas seumpamanya diperkenalkan. Ini termasuklah GG, SAM, K1M, T1M, RIMAU, US, NBOS, NAAM, VIP, G, GT, U, Y, PERFECT dan PATRIOT yang telah pun kelihatan pada kenderaan di jalan raya kita.

    Pengumuman terakhir ini walau bagaimana pun bukan bermakna plat istimewa ini berakhir, tetapi selepas ini ia hanya akan dikendalikan menerusi satu saluran sahaja iaitu kerajaan sendiri. Siri plat khas pertama yang baru diperkenalkan, kendalian kerajaan, ialah ‘Malaysia’ yang bakal dibuka bidaannya mulai 2 hingga 16 Julai ini.

     
     
  • Shelby Mustang Super Snake 2018 – lagenda kembali dengan V8 superchager 800 hp, kit badan lebih agresif

    Penala lagenda dari Amerika Syarikat – American Shelby – kini memperkenalkan generasi terbaharu Shelby Mustang Super Snake yang dihasilkan dari Ford Mustang generasi terkini, dan sudah pun mula dijual pada pasaran tersebut.

    Jentera berkenaan diasaskan dari Mustang GT coupe, kemudian enjin Coyote 5.0 liter V8 tersebut diberikan unit supercharger bagi mengerah 710 hp. Tak cukup? Anda boleh memilih kit supercharger Whipple dengan tambahan kos bagi mendapatkan kuasa penuh 800 hp, membolehkan Shelby Mustang ini memecut dari 0-96 km/j (0-60 bs/j) dalam masa hanya 3.5 saat.

    Bukan sekadar kit superchager, Super Snake ini turut diberikan peralatan berprestasi tinggi lain bagi menampung lebihan 340 hp yang dihasilkan. Sistem penyejukkan diubahsuai dengan pemadanan radiator, tangki aluminium dan penukar haba yang lebih baik. Bagi model dengan transmisi manual, syaf aci pacu (half shaft dan drive shaft utama) telah ditukar dengan unit lebih berpretasi bersama penukar gear jenis short shifter, manakala model dengan kotak gear automatik pula diberikan unit penyejuk.

    Sistem brek juga dipertingkat dengan pemadanan sistem dari Brembo, menampilkan angkup enam-silinder di hadapan dan empat-silinder di belakang. Ia turut diberikan tayar berprestasi tinggi dan juga pakej pengendalian dari Ford Performance. Pembeli juga boleh menukar pakej dari Ford Performance tersebut dengan sistem suspensi litar dari Penske.

    Mengikut tradisi penghasilan Super Snake, versi terbaharu ini turut diberikan kit badan yang lebih agresif berbanding Mustang standard. Kit baharu berkenaan terdiri dari pemasangan muka baharu, hud hadapan, gril, spiltter udara hadapan, spoiler belakang, panel belakang dan diffuser.

    Kit badan lebih lebar turut ditawarkan sekiranya anda sudi membayar lebih, dan ia turut hadir dengan pakej jalur-jalur tambahan pada badan. Shelby Mustang Super Snake ini menerima rim aluminium forged bersaiz 20-inci dengan dua pilihan kemasan, dan model paling asas akan dijual pada harga bermula US$113,445 atau sekitar RM451k.

     
     
  • Hapuskan yuran RM10,000 AP terbuka – pengimport

    Hapuskan yuran RM10,000 AP terbuka – pengimport

    Kerajaan digesa untuk memansuhkan yuran bagi approved permits (AP) terbuka yang berjumlah hingga RM10,000 bagi setiap kenderaan terpakai memandangkan caj itu membebankan pembeli serta penjual. Perkara ini dibangkitkan oleh Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin, seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

    “Saya berharap kerajaan baru ini boleh menghapuskan yuran RM10,000 bagi setiap AP yang dikenakan oleh kerajaan sebelum ini. Jumlah itu membebankan pembeli dan penjual, yang turut terpaksa menanggung cukai GST 6% sebelum ini,” jelas beliau.

    Ahmad turut menambah, cadangan itu adalah untuk berlaku adil kepada pengimport tempatan. “Ia berbeza daripada pemegang AP francais, yang mana tiada yuran dikutip walaupun mereka mengimport dalam jumlah yang lebih besar. Jadi, adalah lebih adil untuk yuran bagi AP terbuka ini dihapuskan, memandangkan kami pengimport tempatan hanya membawa masuk kenderaan dalam jumlah yang kecil,” ujarnya.

    Mutiara Motors juga menjelaskan disebabkan yuran yang mahal seperti itu, pengimport persendirian kini berdepan dengan margin keuntungan yang sedikit, sekali gus memaksa mereka untuk mengurangkan saiz operasi, termasuk mengurangkan jumlah pekerja untuk menanggung kos operasi yang termampu.

    Berkaitan tempoh “cuti cukai” bermula dari 1 Jun hingga 1 September nanti, Ahmad mengalu-alukan langkah itu dan menyatakan bahawa angka jualan telah meningkat sebanyak 30% hingga 40%. “Secara purata, kami menjual antara 15 hingga 20 unit sehari, terutama kenderaan Toyota. Pelanggan memang menunggu tempoh GST 0% untuk membeli,” ujarnya lagi.

     
     
  • MIROS adakan kaji selidik had umur lesen motosikal

    MIROS adakan kaji selidik had umur lesen motosikal

    Bertolak daripada cadangan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini untuk menurunkan had umur bagi mendapatkan lesen motosikal – daripada 16 tahun kepada 14 tahun – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengadakan kajiselidik atas talian untuk tujuan itu. Pautannya ada di sini.

    Kaji selidik berkenaan bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai tentang had umur minimum untuk mendapatkan lesen motosikal di Malaysia. Selain daripada soalan-soalan demografik, ia juga bertanyakan tentang pendapat umum tentang topik seperti penunggang motosikal tanpa lesen. Kaji selidik ini memberi tumpuan kepada remaja-remaja yang menunggang motosikal, terutama untuk ke sekolah di kawasan-kawasan pedalaman yang tiada pilihan pengangkutan awam/persendirian yang lain.

    Cadangan awal tentang perkara berkenaan oleh Timbalan Menteri Datuk Azizah Mohd Dun sebelum ini yang menyarankan bahawa had umur untuk lesen motosikal diturunkan dari 16 tahun ke 14 tahun, dengan penunggang hanya dibenarkan menunggang di kawasan perumahan serta tempoh menunggang hanya terhad antara jam 7 pagi hingga 8 malam. Apa pula pandangan anda berkaitan hal ini? Adakah ia wajar untuk dilaksanakan?

     
     
  • UMWT sokong larangan perbaharui cukai jalan bagi kenderaan yang belum tukar inflator beg udara Takata

    UMWT sokong larangan perbaharui cukai jalan bagi kenderaan yang belum tukar inflator beg udara Takata

    Pengedar rasmi Toyota dan Lexus di Malaysia, UMW Toyota Motors (UMWT) telah mengeluarkan kenyataan bagi menyokong langkah Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mengarahkan kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara Takata tetapi masih lagi belum menukar komponen berkenaan agar dilarang untuk memperbaharui cukai jalan mereka.

    “Sejak 2013, Toyota Motor Corporation telah secara aktif menangani isu ini. Kenderaan yang terjejas telah dikenal pasti dan pengedar seluruh dunia telah diberitahu bagi menjalankan Kempen Servis Khas. Ketika kempen-kempen berkenaan, modul inflator beg udara telah ditukar tanpa sebarang caj terhadap pemilik-pemilik kenderaan,” kata naib pengerusi UMWT Akio Takeyama.

    UMWT telah memanggil semula model-model Toyota yang diproduksi dari 2001 hingga 2014 serta model-model Lexus dari 2007 hingga 2016, dan sehingga kini dilaporkan 53% untuk model Toyota di bawah enam tahun serta 91% model Lexus di bawah tiga tahun telah lengkap menukar komponen yang terjejas berkenaan.

    Syarikat tersebut telah melakukan segala yang termampu bagi memanggil semula semua kenderaan yang terjejas dan menggesa pemilik-pemilik kenderaan berkenaan untuk menghantar kereta mereka ke pusat-pusat servis bertauliah bagi menukar modul inflator beg udara Takata itu secara percuma. UMWT juga menghantar surat-surat peringatan kepada pemilik-pemilik berdasarkan alamat dalam pangkalan data mereka.

    “Keselamatan merupakan keutamaan tertinggi kami dan kami telah membuat segala yang termampu bagi menghubungi pemilik menerusi pelbagai cara. Kami berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan kerana mengambil berat dan akan memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini,” kata persiden UMWT Ravindran Kurusamy.

    UMWT sokong larangan perbaharui cukai jalan bagi kenderaan yang belum tukar inflator beg udara Takata

    Menteri Pengangkutan mengumumkan langkah larangan ini setelah satu lagi insiden meragut nyawa melibatkan sebuah Honda City pada 27 Mei lalu, yang telah disahkan oleh Honda Malaysia bahawa inflator beg udara yang terjejas tersebut telah pecah dan menyebabkan kematian.

    Menurut Honda Malaysia, berberapa peringatan telah dihantar kepada pemilik kereta berkenaan berdasarkan informasi dalam pangkalan data mereka bagi menukar komponen yang terjejas tersebut, namun tiada rekod menunjukkan penukaran itu lengkap serta kereta tersebut tidak lagi diservis di pusat servis Honda bertauliah.

    Untuk kenderaan-kenderaan keluaran Toyota pula, pemilik-pemilik boleh menyemak sama ada kereta mereka terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini menerusi laman web Kempen Servis Khas Toyota dengan memasukkan nombor identiti kenderaan (VIN atau nombor casis) pada penyemak yang disediakan, atau hubungi terus hotline Toyota di talian 1800-8-TOYOTA (869682).

    Bagi kenderaan berjenama Lexus pula, pemilik boleh terus menghubungi semua pengedar Lexus bertauliah di seluruh negara atau hubungi hotline Lexus di talian 1800-8-LEXUS (53987) atau layari www.lexus.com.my.

     
     
  • Audi Q8 – gambar awal SUV baharu sudah tersebar

    Audi Q8 – gambar awal SUV baharu sudah tersebar

    Kemunculan kali pertama Audi Q8 akan terjadi tidak lama lagi di China, tapi sekarang, gambarnya telah tersebar di internet, dimuat naik oleh Observador. Rekaan model produksi ini dilihat masih dekat dengan model Q8 Concept dan Q8 Sport yang pernah dipertontonkan sebelum ini, tetapi ada mempunyai sedikit perubahan.

    Bahagian luar kenderaan ini memang nampak garang dan sporty, tetapi pada bahagian dalam, ia lebih kepada kemewahan, dengan pengaruh ciri dari model A6 dan A8. Antara contohnya, corong pendingin hawa diletakkan supaya nampak bersepadu dengan kemasan hitam/perak yang berada sepanjang papan pemuka.

    Paparan kokpit virtual Audi mengisi ruang panel instrumen, dan ia sepatutnya datang dengan fungsi yang sama (atau lebih tinggi) daripada apa yang pernah dilihat sebelum ini. Selain itu, pada konsol tengah, anda akan dapat melihat penggunaan dua skrin yang juga pernah digunakan pada beberapa model baru lain. Skrin atas untuk fungsi infotainmen dan yang bawah untuk ciri lain seperti pengawal suhu.

    Berdasarkan gambar ini, Q8 baru nampak agak luas, dengan ruang kepala yang mencukupi, meskipun menggunakan gaya seperti coupe. Ciri lain yang boleh dilihat pada kenderaan ini adalah corong pendingin hawa di belakang, tempat duduk kulit, lampu suasana dan penggunaan bahan premium lain.

    Turut dapat dilihat melalui lencananya, unit di dalam gambar ini adalah model Q8 50 TDI Quattro. Jika mengikutkan cara penamaan baru Audi, ini adalah enjin diesel yang boleh menghasilkan antara 282 dan 308 hp, dan boleh jadi adalah unit V6 3.0 liter (mungkin juga dengan sistem hibrid).


    GALERI: Audi Q8 Concept

     
     
  • AD: PETRONAS Fluid Technology Solutions – teknologi dari litar lumba Formula 1, untuk kereta anda

    Sekali pandang, anda mungkin tidak akan perasan apa-apa persamaan antara perlumbaan Formula 1 dan pemanduan seharian anda. Memang, perjalanan ke tempat kerja tidaklah semenarik aksi di dalam litar, dengan kereta mencecah kelajuan melebihi 300 km/j. Tetapi, kalau diperhatikan lebih dekat, anda akan dapat melihat persamaannya.

    Sama seperti ketika pelumba F1 memecut dan memperlahankan jentera sepanjang menuju garisan penamat, begitu jugalah situasi ketika anda tersangkut di dalam jalan yang sesak. Dan, jika pemandu F1 perlu masuk ke pit stop untuk memeriksa tayar, begitu juga dengan anda – walaupun hanya untuk berehat sejenak dan menikmati makanan ringan.

    Walau apa pun, semua orang ingin tiba ke destinasi tepat pada masanya, tanpa sebarang masalah. Kerana, perkara terakhir yang anda inginkan ialah kerosakan pada kenderaan anda yang kemudiannya mengganggu seluruh urusan harian anda.

    Di sinilah PETRONAS Fluid Technology Solutions memainkan peranannya. Barisan lengkap bahan api PETRONAS Primax, minyak pelincir PETRONAS Syntium dan PETRONAS Tutela telah direka untuk memberikan prestasi optimum, kecekapan dan pelindungan – jadi anda tahu anda boleh bergantung kepada kereta anda untuk bergerak ke mana sahaja yang diperlukan.

    Tahap prestasi dan ketahanan yang boleh diperoleh dari produk-produk PETRONAS dapat dilihat dengan jelas melalui usahasama syarikat itu dengan pasukan Mercedes AMG PETRONAS Motorsport. Sejak kebangkiran era hibrid Formula 1 empat tahun lalu, kejuaraan sentiasa menjadi milik pasukan ini, mengukuhkan statusnya sebagai pasukan yang terus mengungguli ketika ini.

    AD: PETRONAS Fluid Technology Solutions – teknologi dari litar lumba Formula 1, untuk kereta anda

    Tahun lalu, Lewis Hamilton menjadi satu-satunya pemandu yang menamatkan semua perlumbaan musim berkenaan dan memperoleh mata dari setiap satunya, membolehkannya merangkul gelaran juara dunia bagi kali ke-empat.

    Malah, beliau masih mengekalkan rekod bagi mata penamat berturut-turut paling banyak, dengan kedudukan akhir tidak pernah lebih daripada tempat ke-sembilan antara perlumbaan Grand Prix Jepun 2016 hingga Grand Prix Sepanyol 2018 hujung minggu lalu (yang beliau menangi) – keseluruhannya 30 perlumbaan yang mengkagumkan.

    Pencapaian cemerlang ini turut membuktikan kemampuan PETRONAS untuk membangunkan minyak pelincir dan bendalir enjin bertaraf dunia di dalam kemuncak perlumbaan jentera bermotor – satu formula juara yang sejati.

    Memandangkan teknologi di dalam kenderaan yang ada hari ini banyak mewarisi pendekatan yang sama ada jentera Formula 1, sebagai contoh enjin turbocas dengan kapasiti yang lebih kecil serta sistem hibrid dan elektrik, ia tentunya memberikan kelebihan kepada anda.

    PETRONAS Primax dan PETRONAS Syntium terbukti di dalam merangkul kejuaraan dunia. Apa kata anda cuba gunakannya untuk kereta anda hari ini.

     
     
  • Kem. Pengangkutan akan perkenalkan siri plat nombor untuk negeri – SELANGOR, KEDAH, dan lain-lain

    Kem. Pengangkutan akan perkenalkan siri plat nombor untuk negeri – SELANGOR, KEDAH, dan lain-lain

    Bakal muncul nanti ialah siri nombor plat yang lebih unik tidak lama lagi, apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan kementeriannya mempunyai perancangan untuk memperkenalkan siri plat bagi negeri seperti Selangor, Perak, Johor dan lain-lain. Ini berikutan pengenalan siri nombor plat khas “Malaysia” yang baru diumumkan hari ini.

    Jika anda seorang rakyat Selangor dan memang sudah lama menantikan ‘SELANGOR 1’ untuk menghiasi plat pendaftaran kenderaan anda, nantikan masanya apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjadikan itu satu kenyataan. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, berkuatkuasa serta merta, setiap pembelian plat nombor haruslah menerusi JPJ (dan bukannya NGO) kerana ia adalah salah satu bentuk sumber pendapatan kerajaan.

    Bagaimana pun, Loke tidak mendedahkan siri plat untuk negeri yang mana yang bakal ditawarkan terlebih dahulu, namun berkata pengenalannya hanya akan bermula selepas siri plat “Malaysia” selesai pelaksanaannya (keputusannya akan diumumkan pada 23 Ogos 2018).

    Tambahnya lagi, siri plat nombor mengikut negeri ini akan dilaksanakan secepat mungkin iaitu pada September atau Oktober ini. Bagi pihak yang berminat, bolehlah membidanya menerusi dalam talian, di mana kementerian pengangkutan bercadang untuk melaksanakan sistem bidaan elektronik bagi menggantikan sistem manual sedia ada.

     
     
  • Alfa Romeo akan perkenal GTV, 8C dan dua SUV baru

    Alfa Romeo akan perkenal GTV, 8C dan dua SUV baru

    Baru-baru ini Alfa Romeo telah membentangkan rancangan empat tahun ke hadapan syarikat, di mana ia turut menunjukkan beberapa model baru akan masuk dalam pasaran menjelang tahun 2022. Pembuat kenderaan dari Itali ini mensasarkan untuk meliputi lebih banyak pasaran, dari 46% sekarang kepada 71%.

    Perkara paling menarik yang dapat dilihat daripada perancangan ini adalah kemunculan semula dua nama ikonik iaitu GTV (Gran Turismo Veloce) dan 8C. Kedua-dua model ini akan menjadi sebahagian daripada kenderaan “istimewa” yang akan menyertai 4C Coupe dan 4C Spider.

    Melihat kepada GTV yang merupakan sebuah kereta prestasi, ia akan menampilkan pembahagian berat 50:50 serta tempat duduk hingga untuk empat orang. Bagi enjin pula, ia akan datang dengan e-booster (pengecas turbo elektrik) yang dapat menghasilkan sehingga 600 hp. Turut akan diberi adalah sistem pacuan semua roda dan torque vectoring.

    Untuk rekaan, kereta tersebut membawa sedikit persamaan dengan Giulia versi dua pintu yang ada sekarang, tetapi mempunyai lengkuk roda yang lebih agresif dan rekaan lampu hadapan berbeza. Perancangan Alfa Romeo ini juga ada menyatakan pengenalan platform baru, dan mungkin GTV ini nanti akan menggunakannya.

    Pengenalan enjin baru juga termasuk dalam rancangan ini, bersama strategi penggerak elektrik. Ini termasuk sistem hibrid konvensional dan plug-in hybrid yang boleh memberikan jarak pergerakan menggunakan elektrik sahaja lebih 50 km dan pecutan 0-100 km/j sekitar empat saat. Enjin diesel pula tiada dalam perancangan masa hadapan Alfa.

    Satu lagi model yang diberitahu akan diperkenalkan adalah 8C, yang akan datang dengan enjin twin-turbo di tengah dan gandar hadapan yang mendapat bantuan kuasa elektrik. Alfa mendakwa, sistem hibrid pada kenderaan ini (berkemungkinan adalah jenis plug-in) boleh menghasilkan sehingga 700 hp dan boleh membawa ia memecut 0-100 km/j dalam masa bawah tiga saat.

    Alfa Romeo akan perkenal GTV, 8C dan dua SUV baru

    Nama 8C sebelum ini digunakan pada 8C Competizione, yang dihasilkan dalam dua bentuk badan iaitu coupe dan convertible, dan masing-masing cuma dikeluarkan sebanyak 500 unit. Nama ini juga pernah digunakan pada beberapa model jalanan, lumba serta sports pada tahun 1930-an.

    Selain model istimewa ini, Alfa Romeo juag akan memperbaharui model seperti Giuletta, Giulia dan Stelvio. Turut akan diperkenalkan adalah versi jarak roda panjang bagi kenderaan sedan dan SUV untuk negara seperti China yang dikata akan menjadi pasaran premium terbesar di dunia menjelang 2022.

    Untuk memenuhi kemahuan pengguna terhadap model SUV, satu model kompak akan dimasukkan di bawah Stelvio, manakala model yang lebih besar akan memberi saingan kepada BMW X5, Mercedes-Benz GLE dan Audi Q7. Semua model baru ini nanti akan mempunyai sistem plug-in hybrid, ciri autonomous sehingga tahap 3 dan sistem sambungan lain. Melalui rancangan ini, Alfa Romeo mensasarkan peningkatan jualan global dari sekitar 170,000 unit kepada 400,000 unit menjelang 2022.

     
     
  • Jalan Tun Razak arah selatan ditutup dari 1 Jun lalu hingga 9 Julai 2019 untuk kerja-kerja penaiktarafan

    Jalan Tun Razak arah selatan ditutup dari 1 Jun lalu hingga 9 Julai 2019 untuk kerja-kerja penaiktarafan

    Klik untuk besarkan

    Bagi melancarkan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Tun Razak, Naza Engineering & Construction Sdn Bhd telah mengumumkan laluan terbabit, iaitu dari arah selatan, telah mula ditutup dari 1 Jun lalu sehinggalah 9 Julai 2019. Laluan yang terbabit adalah dari Jalan Langgak Golf ke Bulatan Kampun Pandan (menerusi Jalan Tun Razak) dan dari Jalan Bukit Bintang menghala Jalan Tun Razak (ke arah Bulatan Kampung Pandan).

    Sehubungan itu, pelan pengurusan trafik jangka masa panjang telah dilaksanakan oleh Naza Projek Emergency Response Team, yang diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bagi pengguna jalan raya yang menghala Bulatan Kampung Pandan dari Jalan Raja Chulan atau Jalan Bukit Bintang dinasihati untuk membuat lencongan menerusi Jalan Imbi atau ke arah utara Jalan Tun Razak dan membuat pusingan U berhampiran Menara Tabung Haji sebelum memasuki semula jalan berkenaan.

    Dalam masa yang sama, Naza Engineering & Construction Sdn Bhd turut menasihati para pengguna jalan raya supaya mempertingkatkan keselamatan ketika memandu dan sentiasa mengikuti isyarat trafik yang diletakkan di sepanjang laluan terbabit.

     
     
  • VIDEO: Honda Pride – khidmat lepas jualan terperinci

    Bagi kebanyakan orang, ketika mempertimbangkan untuk membeli kenderaan, perkara yang paling kerap dipertimbangkan ialah tentang harganya dan spesifikasi. Walaupun perkara ini penting, sebenarnya terdapat lagi hal yang lebih utama untuk jangka masa panjang – pengalaman pemilikan kenderaan yang dibeli.

    Dengan Honda yang kini telah berjaya menjual lebih banyak kenderaan berbanding dahulu, syarikat itu juga terus komited dalam memberikan khidmat lepas jualan yang terbaik; di sinilah Honda Pride memainkan peranannya.

    Tak kira anda memandu model Honda yang lama atau yang baru, anda layak untuk menikmati 12 manfaat yang akan diberikan bagi aspek lepas jualan berkenaan – untuk lebih jimat dan mendapat ketenangan fikiran.

    Sebagai contoh, semua kenderaan Honda akan menjalani jadual servis penyelenggaraan pencegahan berkala, iaitu bagi setiap 10,000 km berbanding hanya 5,000 km dahulu. Untuk itu, alatan seperti perangkap habuk dan penyaring bahan api adalah dari jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.

    VIDEO: Honda Pride – khidmat lepas jualan terperinci

    Honda juga menawarkan servis berselang dengan kos buruh percuma. Bagi alat ganti pula, potongan 15% akan diberikan, sementara sistem minyak enjin pukal (bulk oil) pula digunakan untuk memberi penjimatan kepada pengguna – anda hanya perlu membayar sebanyak mana yang kereta anda perlukan sahaja. Ini secara tak langsung dapat menghindarkan pembaziran.

    Semua juruteknik Honda yang menyelenggarakan kenderaan anda juga bertauliah. Kelengkapan yang digunakan juga khusus, termasuk mesin diagnostik. Jadi, kereta anda akan dijaga dan diperiksa dengan rapi dan anda tidak perlu risau.

    Banyak lagi perkara yang disediakan di bawah Honda Pride ini. Honda Insurance Package (HIP) misalnya memudahkan urusan pelindungan kenderaan anda. Bantuan kecemasan juga ada disediakan. Jika anda ingin tahu dengan lebih terperinci tentang Honda Pride, luangkan masa untuk menonton video yang kami sediakan ini. Jangan lupa, kongsikan juga pandangan anda tentang inisiatif Honda Pride di ruang komen. Adakah ia sangat berbaloi?

     
     
  • Siri plat nombor khas “Malaysia” diperkenalkan oleh Kem. Pengangkutan – sasar untung lebih RM22 juta

    Siri plat nombor khas “Malaysia” diperkenalkan oleh Kem. Pengangkutan – sasar untung lebih RM22 juta

    Sempena dengan sambutan Hari kemerdekaan Ke-61, Kementerian Pengangkutan telah memperkenalkan siri plat nombor khas “Malaysia”, yang bakal mula dibuka untuk bidaan dari 2 hingga 16 Julai ini. Menurut menterinya, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media di pejabat kementerian berkenaan, siri plat nombor khas ini turut berobjektif bagi memupuk semangat kecintaan kepada negara selaras dengan tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu ‘ Sayangi Malaysiaku’ seperti yang diumumkan
    Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Tawaran bidaan nombor pendaftaran khas ini melibatkan 10,000 siri bermula dari Malaysia 1 sehingga Malaysia 9999. Bagi yang berminat untuk membidanya, bolehlah berurusan di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh Malaysia. Keputusan bidaan hanya akan diumumkan pada 23 Ogos 2018.

    Loke turut menjangkakan siri plat nombor khas ini mampu menjana keuntungan melebihi RM22 juta bagi mengisi tabung kerajaan. “Tiada nombor yang akan dikhaskan untuk mana-mana VIP dan semua nombor akan dimiliki oleh pembida tertinggi, kecuali Malaysia 2020 yang akan ditawarkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” ujarnya dalam sidang media di kementeriannya pagi tadi.

    Pada 24 Mei lalu, Loke menyatakan tidak akan ada lagi bidaan untuk nombor plat khas yang akan dibenarkan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Katanya, “Mulai dari sekarang, semua pembelian nombor plat mesti dilakukan melalui JPJ, tanpa apa-apa pengecualian. Ini merupakan pendapatan kerajaan dan kita berhasrat untuk mengutip semuanya sendiri.”

     
     
  • GALERI: Land Rover buat sambutan ulang tahun ke-70

    GALERI: Land Rover buat sambutan ulang tahun ke-70

    Land Rover Series I pertama yang dilancarkan pada tahun 1948

    Land Rover adalah satu jenama automotif yang cukup terkenal dengan penghasilan kenderaan lasak. Sejak pelancaran model pertamanya iaitu Series I di Amsterdam Motor Show pada tahun 1948, ia terus diterima ramai dan banyak digunakan untuk pelbagai aktiviti dan menyumbang kepada masyarakat.

    Kini masuk tahun 2018, sudah 70 tahun Land Rover wujud sebagai satu jenama yang ikonik, dan bagi menunjukkan ia adalah sesuatu yang istimewa, syarikat itu telah melakukan sambutan tersendiri dengan pelbagai aktiviti. Bagi yang tidak dapat hadir ke acara yang dilakukan di United Kingdom, anda boleh melihat video yang dimuat naik di Youtube syarikat itu.

    Di negara kita, Land Rover juga memberikan banyak sumbangan, terutamanya model Defender. Ia digunakan bukan sahaja sebagai kenderaan pasukan penguatkuasa seperti polis dan askar, malah juga pelbagai lagi jabatan kerajaan yang memerlukan kenderaan lasak.

    GALERI: Land Rover buat sambutan ulang tahun ke-70

    Semakin masa berlalu, model-model lama ini mungkin sudah diganti, tetapi masih ada yang menyambung khidmat apabila unit yang dilelong oleh jabatan-jabatan ini disambar oleh orang awam yang mempunyai semangat untuk melihat ia terus beraksi.

    Jadi kami percaya, peminat Land Rover ini juga ada banyak di Malaysia, dan di sini kami naikkan galeri gambar sempena sambutan ulang tahun ke-70 Land Rover di Coventry, United Kingdom. Selain gambar acara, ada juga gambar di pusat baik pulih serta koleksi syarikat itu sendiri.

     
     
  • BMW Z4 2019 – perincian, gambar, video rasmi disiar

    BMW Z4 2019 – perincian, gambar, video rasmi disiar

    Pelancaran BMW Z4 baru semakin hampir, dan pengeluar dari Jerman itu telah mengeluarkan perincian pertama berkenaan kereta tersebut, bersama beberapa gambar dan video waktu ia diuji di Miramas, Perancis. Menurut BMW, ujian di Miramas memberi fokus kepada talaan terperinci sistem suspensi dan pemanduan, dengan varian tertinggi adalah Z4 M40i.

    Model M Performance ini akan mempunyai enjin enam silinder sebaris yang “sangat berkuasa” (berkemungkinan unit 3.0L twin-scroll turbo yang dipadankan bersama transmisi auto lapan kelajuan), suspensi sport dengan penyerap kawalan elektronik, gandar hadapan baru, rim aloi ringan M dengan tayar berbeza saiz depan dan belakang, sistem brek sports M dan differential belakang yang boleh dikunci secara elektronik.

    “Konsep BMW Z4 ini adalah lebih ke arah kelincahan dan dinamik pemanduan. Tahap ketegaran badan yang tinggi serta sambungan suspensi yang tegap memberikan asas yang sempurna untuk tetapan yang dapat menjamin kualiti prestasi sebuah kenderaan sports, dalam aspek ketepatan stereng serta pecutan,” terang ketua bahagian suspensi, Jos van As.

    Z4 generasi kedua E89 dulu tidak begitu diangkat sebagai roadster yang terbaik, tetapi BMW menjanjikan lebih lagi melalui model baru ini, terutamanya dalam aspek dinamik. Mereka juga memberitahu ujian setakat ini menunjukkan Z4 generasi ketiga “akan menawarkan peningkatan yang ketara dalam ciri sport-nya.”

    “Z4 generasi pertama adalah sporty. Generasi kedua pula lebih kepada selesa. Untuk yang baru ini, ia boleh melakukan keduanya. Apa yang kami kekalkan daripada model terdahulu cuma namanya,” kata pengurus produk, Andreas Ederer.

    Perkara ini kededngaran logik kerana Z4 berkongsi asas sama dengan sebuah lagi kereta sports akan datang iaitu Toyota Supra. Walaubagaimanapun, kedua model ini masih akan menunjukkan perbezaan yang tersendiri dan tidak akan menjadi seperti kembar Subaru BRZ dan Toyota 86.


    GALERI: BMW Z4 Concept

     
     
  • Lego Technic Bugatti Chiron – lengkap dengan enjin W16, kotak gear 8-kelajuan dan sistem AWD berfungsi

    LINK: Lego 42083 Technic Bugatti Chiron – RM1,779.90

    Peminat Lego Technic untuk genre automotif tentunya telah pun mendapatkan set Porsche 911 GT3 RS sebelum ini, dan terbaharu Lego telah melancarkan kit siri yang sama, kini menampilkan hypercar Bugatti Chiron.

    Kit Chiron ini direka dengan skala 1:8, menjadikan dimensinya 56 cm panjang, 25 cm dan 14 mm tinggi. Anda perlu memasang kesemua 3,599 komponen lego berkenaan bagi menjadikan ia sebuah kereta yang lengkap.

    Lego Technic Buagati Chiron ini diberikan ciri-ciri terperinci yang hampir sama dengan kereta sebenar. Ia diberikan gril ladam kuda Bugatti, garis badan sisi, rim 10-jejari dengan tayar berprofil rendah, cakera brek serta lampu belakang yang seiras. Malah replika ini juga turut mempunyai spoiler belakang aktif yang boleh dinaikkan menggunakan speed key seperti Chiron sebenar.

    Lego Technic Bugatti Chiron – lengkap dengan enjin W16, kotak gear 8-kelajuan dan sistem AWD berfungsi

    21761451

    Kabin Chiron ini juga diberikan perincian yang halus. Ia mempunyai paparan kluster meter dan ciri-ciri Chiron sebenar yang lain seperti papan pemuka, konsol tengah dan juga tempat duduk. Beg tidur Bugatti juga disertakan dan diletakkan pada but kargo hadapan.

    Apa yang mengakagumkan pada kit Lego Technic ini sebenarnya adalah perincian pada sistem mekanikal. Replika enjin W16 8.0 liter empat turbo berkuasa 1,500 PS/1,600 Nm tersebut dibuat terperinci menampilkan kesemua omboh yang boleh bergerak, disambungkan pada aci engkol yang juga berfungsi.

    Putaran enjin berkenaan dipindahkan ke kotak gear lapan-kelajuan yang juga berfungsi (anda boleh menukar gear pada pedal penukar pada stereng), dan seterusnya dialirkan ke sistem pacuan semua roda yang turut beroperasi. Stereng kereta Lego ini juga boleh menukar arah roda hadapan sekiranya diputarkan.

    Kereta replika ini hanya dikeluarkan dalam warna French Blue dua-tona. Ia diberikan plat nombor siri produksi unik seperti kereta sebenar, dan nombor berkenaan membolehkan pembeli menerima kandungan istimewa di laman sesawang rasmi Lego. Set ini datang dengan kotak eksklusif bersama booklet pengumpul “meja kopi” yang lengkap dengan arahan untuk membinanya.

    Berminat? Serentak dengan pelancaran globalnya 1 Jun lalu, pengedar rasmi Lego di seluruh Malaysia (termasuk Legoland Malaysia) mula menjual kit ini dengan harga RM1,999.90.

    LINK: Lego 42083 Technic Bugatti Chiron – RM1,779.90

     
     
  • Lagi bayi terbunuh, tercampak dalam kemalangan

    Lagi bayi terbunuh, tercampak dalam kemalangan

    Gambar ehsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

    Antara perkara yang sangat menyedihkan adalah apabila munculnya berita-berita tentang kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian bayi. Dalam kejadian terbaru di Kota Tinggi, Johor, seorang bayi berusia lapan bulan mati serta-merta kerana terpelanting dan kepalanya terhantuk papan pemuka selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan dengan sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.

    Laporan NST menyatakan, pemandu sebuah Honda Civic lama telah hilang kawalan pada kejadian sebelah petang itu dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Wira. Bayi berkenaan, Nur Aira Rayna Muhamad Rafizan dari Endau, Mersing tercampak ke depan dan kepalanya terhantuk ke papan pemuka, menyebabkan kematian serta-merta.

    Kami di paultan.org sangat-sangat berharap agar ibu bapa yang mempunyai anak kecil tidak mengambil mudah penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak ketika mereka berada di dalam kenderaan. Tidak ada yang lebih baik boleh disediakan kepada anak anda ketika berada di dalam perjalanan.

    Tidak kiralah jika peraturan mengenai penggunaannya diwajibkan atau tidak ketika, kerana untuk memastikan keselamatan nyawa, kita tak perlu menunggu semua itu. Langkah pencegahan perlu diambil oleh ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas anak-anak pada bila-bila masa.

    Di bawah ini, kami sentuh kembali tentang beberapa kesilapan amalan berkaitan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak:

  • Kerusi tidak dipasang dengan betul atau terlalu longgar
  • Kerusi tidak bersesuaian dengan usia, berat dan ketinggian kanak-kanak – sebagai contoh, kanak-kanak tiga tahun di dalam kerusi untuk bayi, atau menggunakan booster seat
  • Kerusi dipasang, tetapi bayi atau kanak-kanak tidak direhatkan padanya dengan kemas, ketat dan selamat
  • Kanak-kanak diletakkan dengan ketat dan rapi, tetapi kerusi tidak dipasang – ibu bapa merasakan cukup sekiranya anak mereka duduk pada kerusi berkenaan dengan selamat
  • Slot tali keselamatan salah – sesetengah kerusi khas memerlukan slot tali keselamatannya diubah selari dengan pembesaran kanak-kanak
  • Menggunakan kerusi kanak-kanak yang telah rosak
  • Jangan ambil mudah senarai yang dinyatakan ini, walaupun hanya untuk perjalanan jarak dekat. Pastikan kanak-kanak serta kerusi khas mereka dipasangkan dengan betul dan rapi. Video di bawah ini boleh dijadikan panduan untuk anda.


     
     
  • Mazda gigih perkenalkan teknologi generasi baharu – SkyActiv-D gen-2 dengan peningkatan 20% pada 2020

    Mazda gigih perkenalkan teknologi generasi baharu – SkyActiv-D gen-2 dengan peningkatan 20% pada 2020

    Baru-baru ini telah berlangsung Mazda Asian Tech Forum 2018 di Mine Proving Ground, Fukuoka, Jepun yang dihadiri oleh media permotoran termasuk dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam. Ia adalah bagi mendedahkan lebih banyak teknologi generasi baharu yang bakal diperkenalkan di peringkat global, termasuklah enjin SkyActiv-G generasi kedua yang dinamakan sebagai SkyActiv-X.

    Selain SkyActiv-X, Hidetoshi Kudo, pegawai eksekutif yang mengendalikan strategi produk dan pengurusan R&D Mazda Motor Corporation, telah mendedahkan rancangan pengeluar ini untuk memperkenalkan teknologi generasi baharu bagi pengeluaran kenderaan jenama ini pada masa hadapan.

    Sebelum ini, umum mengetahui, sejak akhir tahun lalu, Mazda telah giat mempromosikan SkyActiv-X yang direncana bakal diperkenalkan di peringkat global pada tahun 2019. Enjin SkyActiv-X ini menggunakan teknologi Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), iaitu konsep enjin petrol yang tidak menggunakan palam pencucuh, sebaliknya pembakaran akan dimulakan oleh kuasa mampatan campuran udara dan bahan api, sama seperti konsep enjin diesel empat-lejang.

    Mazda gigih perkenalkan teknologi generasi baharu – SkyActiv-D gen-2 dengan peningkatan 20% pada 2020

    Dari tahun 2019 dan seterusnya, Mazda juga akan mula memperkenalkan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan pacuan elektrik yang lain, sebagai menyokong penyelesaian di rantau ini bagi menggunakan nisbah tenaga bersih yang lebih tinggi dalam penjanaan kuasa, sekali gus membantu mengurangkan pencemaran udara. Usaha Mazda dalam teknologi elektrifikasi ini dilihat mampu mengurangkan risiko peralihan enjin konvensional ke penjana kuasa elektrik, termasuk usaha dalam membangunkan teknologi yang membolehkan jenama ini kekal bersaing di pasaran yang semakin melangkah ke arah pengurangan pengeluaran enjin konvensional.

    Oleh itu, Mazda sedang berusaha untuk menghasilkan Hybrid Electric Vehicle (HEV) sederhana dan Battery Electric Vehicle (BEV), dijangka akan diperkenalkan pada tahun 2019. Seperti mana yang pernah didedahkan pada tahun 2016, untuk merealisasikan perancangan dalam membangunkan penjana kuasa sedemikian, Mazda telah pun membuat keputusan untuk bergabung tenaga dengan Toyota Motor Corporation.

    Melalui perjanjian yang telah ditandatangani, Toyota akan menyediakan teknologi hibrid dan advanced fuel-cell mereka kepada Mazda, sementara Mazda pula akan berkongsi teknologi enjin petrol dan diesel SkyActiv mereka sebagai balasan. Malahan menerusi projek berkenaan, menjelang tahun 2035, Mazda akan memiliki 11.2% kenderaan elektrik dan 4.4% lagi bagi kenderaan elektrik sel-bahan api, selain 84.4% enjin yang masih mengekalkan enjin pembakaran dalaman (ICE).

    Kudo turut berkata, pada tahun 2020 pula, Mazda akan memperkenalkan enjin SkyActiv-D generasi kedua yang diberikan peningkatan daripada segi emisi diesel iaitu sebanyak 20%. Malahan pada tahun yang sama juga, ujian terhadap Mazda Co Pilot Concept juga akan dimulakan. Di mana ia disasarkan bakal diperkenalkan pada tahun 2025, termasuk bagi teknologi pemanduan sendiri (autonomous driving) yang bakal menjadi teknologi standard bagi semua modelnya.

    Bermula tahun 2019 ke atas, Mazda juga akan mula memperkenalkan Mazda Connect baharu, Skyactiv-Vehicle Architecture dan juga Kodo Design 2. Malahan Mazda pernah mempamerkan model konsep Mazda Vision Coupe di Tokyo Motor Show 2017 yang memberikan gambaran awal mengenai rekaan Kodo pada masa hadapan. Ia mempamerkan rekaan dengan nilai estetika minimalis dalam bentuk ringkas bagi rekaan-rekaan kenderaan akan datang dari jenama tersebut.

     
     
  • Integrasi tugas-tugas SPAD sedang dibincangkan; pas pengangkutan, RTS Johor Bahru-Singapura dikaji

    Integrasi tugas-tugas SPAD sedang dibincangkan; pas pengangkutan, RTS Johor Bahru-Singapura dikaji

    AppleMark

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementeriannya masih lagi sedang memperhalusi bagaimana untuk menyepadukan fungsi-fungsi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), lapor The Star. Pemansuhan agensi berkenaan pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat pertama menteri kabinet dua minggu lalu.

    Anthony menjelaskan, walaupun dibubarkan, bidang kuasa dan tugas-tugas SPAD akan diteruskan seperti biasa, sebagai contoh berkaitan perlesenan, kajian serta penguatkuasaan. Beliau juga menyatakan telah melawat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebelum ini untuk berbincang mengenai langkah yang boleh diambil.

    “Suruhanjaya itu ada 997 staf ketika ini. Daripada jumlah itu, 372 adalah pegawai penguatkuasa,” jelas beliau pada Jumaat lalu, menyatakan semua petugas itu akan dipindahkan terus ke JPJ. “Bagi unit-unit yang lain di bawah SPAD, misalnya unit perancangan dan dasar, kami masih lagi mengkaji pilihan-pilihan yang ada untuk menyerap mereka ke dalam kementerian,” tambah beliau.

    Menurut beliau lagi, langkah seterusnya untuk meminda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 akan dibawa dan diusulkan ketika perjumpaan di parlimen nanti. “Kami belum membuat apa-apa keputusan muktamad lagi. Tetapi, secara prinsipnya, ia akan berada di bawah bidang kuasa kementerian pengangkutan,” tambah beliau.

    Integrasi tugas-tugas SPAD sedang dibincangkan; pas pengangkutan, RTS Johor Bahru-Singapura dikaji

    Di dalam perkembangan lain, Anthony juga menjelaskan bahawa kementeriannya sedang mengkaji pelaksanaan pas bulanan RM100 bagi pengangkutan awam tanpa had di Lembah Klang, yang merupakan sebahagian daripada janji manifesto Pakatan Harapan untuk PRU14 lalu. “Kaedah pelaksanaannya sudah dicadangkan kepada saya, tetapi ia akan memberikan kesan kewangan yang besar kepada kerajaan. Saya terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan kabinet untuk itu,” tambahnya.

    Sebagai tambahan, SPAD juga telah diberikan tempoh sebulan untuk menyediakan laporan menyeluruh berkaitan arah tuju perkhidmatan teksi dan ride-hailing di negara ini dan bagaimana untuk memperbaikinya. “Saya jangkakan ini akan siap pada bulan Julai, dan kami akan membuat pengumuman berkaitan dengannya nanti,” ujar beliau lagi.

    Terakhir, berkaitan projek Rapid Transit System (RTS) antara Johor Bahru-Singapura, ia akan diteruskan. Tetapi, kerajaan meminta lanjutan tempoh sebelum perjanjian usaha sama ditandatangani. Penangguhan itu adalah untuk membolehkan kajian awal dijalankan dan dibentangkan kepada kabinet terlebih dahulu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026