Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Boon Siew Honda sasar tamatkan 2017 dengan 25% perkongsian pasaran; lancar 10 model tahun hadapan

    Boon Siew Honda sasar tamatkan 2017 dengan 25% perkongsian pasaran; lancar 10 model tahun hadapan

    Tahun 2017 menyaksikan selain sebagai tahun yang bermakna bagi Boon Siew Honda (BSH) kerana menyambut ulang tahun ke-60 operasinya di Malaysia, syarikat itu juga berjaya menunjukkan peningkatan dalam jumlah jualan tahun ini hasil pengenalan pelbagai model antaranya CRF250, NSS300, CBR650F, CB650F, Beat dan EX5 edisi ulang tahun.

    Dalam satu pembentangan kepada media pagi ini oleh Timbalan Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Datuk Seri Datuk Wira Tan Hui Jing, beliau memberitahu BSH mensasarkan jumlah keseluruhan jualan tahun ini akan mencatatkan peningkatan sebanyak 18% berbanding tahun lepas, yang bersamaan dengan 122,150 buah motosikal.

    Jika diletakkan dengan jumlah keseluruhan industri, ini adalah bersamaan dengan 25% perkongsian pasaran, dan BSH yakin ia dapat dicapai kerana pada bulan November sahaja, jualannya sudah mencecah 113,000 buah. Model yang paling laris adalah RS150R, dengan jumlah jualan sehingga 3,000 buah sebulan.

    Boon Siew Honda sasar tamatkan 2017 dengan 25% perkongsian pasaran; lancar 10 model tahun hadapan

    Bagi tahun hadapan, BSH mensasarkan jumlah jualan yang lebih tinggi, serta perkongsian pasaran yang mencecah sehingga 30% daripada jumlah keseluruhan industri. Untuk mencapai sasaran ini, BSH merancang untuk memperkenalkan 10 buah model baru pelbagai kategori, yang termasuk tiga model baru sepenuhnya dan selebihnya adalah facelift ataupun naik taraf.

    Untuk model baru tahun 2018 ini, BSH juga ada menayangkan gambar model tersebut, tetapi dikaburkan. Kami boleh meneka daripada bentuknya antara model yang dijangka tiba adalah X-ADV, Africa Twin, CB1100RS, SuperCub, Grom/Monkey, CB150R dan beberapa kapcai. Daripada sembang santai kami dengan Pengarah Urusan BSH, Nobuhide Nagata pula, beliau juga seakan memberi petanda ketibaan PCX hibrid.

    “2018 adalah tahun yang penting bagi BSH kerana kami mahu mengambil langkah yang besar dan merampas takhta teratas dalam pasaran. Kami mensasarkan pengenalan 10 model baru dan pastinya akan memberi kejutan kepada orang ramai dengan barisan produk yang mencabar pemikiran biasa serta jangkaan orang ramai,” kata Tan Hui Jing.

     
     
  • Kia Malaysia siar teaser terkini bagi Picanto 2018

    Kia Malaysia siar teaser terkini bagi Picanto 2018

    Seakan memberikan petanda, ia bakal dilancarkan di pasaran malaysia tidak lama lagi, pengedarnya di sini, Naza Kia, telah menyiarkan teaser terbaharu bagi Picanto 2018 menerusi laman web mereja. Walau pun tidak menyebut model “kompak” secara spesifik, namun imej lampu utama yang disiarkan itu mengesahkan ia adalah hatch segmen-A generasi akan datang tersebut.

    Spesifikasi permulaan bagi model JA baharu juga telah disenaraikan, dan ini termasuk dengan elemen keselamatan seperti enam beg udara, ABS, kawalan kestabilan dan bantuan mula-mendaki. Namun ini bukanlah kejutan, kerana model TA sedia ada juga telah menampilkan elemen tersebut secara standard.

    Ia juga termasuklah lampu utama projektor dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan kemasukan tanpa kunci, yang kesemuanya juga telah ditampilkan pada model terdahulu. Apa yang baharu ialah skrin sesentuh infotainmen tujuh-inci, dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta kamera undur bersama garisan panduan dinamik.

    Kia Malaysia siar teaser terkini bagi Picanto 2018

    Walau bagaimana pun, ia tidak menyebut tentang penjana kuasa yang bakal ditawarkan, namun dijangka Picanto tetap menggunakan enjin yang sama iaitu 1.25 liter empat-silinder seperti sebelum ini, dengan kuasa 87 PS pada 6,000 rpm dan tork 122 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan. Versi manual lima-kelajuan juga ditawarkan pada model terdahulu, namun disebabkan ia kurang mendapat sambutan maka kemungkinan kali ini ia tidak akan ditawarkan untuk pasaran tempatan.

    Semasa sesi pra-tonton Picanto baharu bulan lalu, Naza Kia mengumumkan, model tersebut akan dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan, dan ada sumber memaklumkan, harganya mungkin lebih kurang RM60,000. Tetapi mungkin ia lebih atau kurang berbanding model sebelum ini yang berharga RM61,800 (atas jalan, dengan insurans). Jika berminat, anda boleh mendaftarnya DI SINI

    GALERI: Kia Picanto 2018 yang dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Proton bawa pengedar tinjau operasi Geely di China

    Proton bawa pengedar tinjau operasi Geely di China

    Sebagai langkah persediaan untuk memperkemas operasi sedia ada, Proton membawa 28 wakil pengedar terbaik syarikat itu berkunjung ke China untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana Geeli mengendalikan operasi cawangan mereka di sana.

    Ia juga sebagai langkah awal pengedar-pengedar Proton mempersiapkan diri untuk menaik taraf dan mempercekap perkhidmatan dan kemudahan mereka bagi menyambut pengenalan model baru yang dijangka akan diperkenalkan tahun depan – kemungkinan besar adalah model Geely Boyue.

    Beberapa pengedar yang mengikuti kunjungan ini juga menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju Proton yang baru selepas ini. “Sebagai contoh, Geely mempunyai bilik pameran dengan ruang menunggu yang sama seperti hotel 5 bintang. Layanan ini biasanya biasanya hanya akan diterima oleh pelanggan-pelanggan kenderaan premium Eropah sahaja,” jelas Pengarah LHM One Stop, Ryan Lai.

    Proton bawa pengedar tinjau operasi Geely di China

    Selain itu, peluang untuk memandu uji model SUV Boyue juga mengubah tanggapan awal pengedar tentang model yang akan diperkenalkan di Malaysia itu. “Setelah melihat dan mencubanya sendiri, saya fikir ini model yang sangat sesuai untuk mengembalikan imej Proton yang baru selepas ini,” tambah Ryan.

    Lawatan berkenaan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengedar terhadap tahap layanan serta kecermatan penawaran dalam usaha memenangi hati pelanggan yang dilakukan oleh Geely di China dan berharap banyak perkara yang boleh dipelajari dan dilaksanan di sini. Kita lihat bagaimana nanti. Anda rasa kualiti perkhidmatan Proton di sini akan menjadi lebih baik?

     
     
  • Honda Civic EJ6 – Jelmaan lengkap EK9 Type R spesifikasi ‘perang’ dalam bentuk sedan empat pintu

    Honda Civic EJ6 – Jelmaan lengkap EK9 Type R spesifikasi ‘perang’ dalam bentuk sedan empat pintu

    Walaupun Honda kini telah beralih kepada teknologi Earth Dreams dengan memfokuskan penggunaan pengecas turbo bagi menghasilkan pembakaran yang efisien, jenama ini sebenarnya masih lagi dibayangi imejnya pada era 90’an, iaitu sebagai pembina enjin produksi tanpa apa-apa pendesak dengan kuasa yang mengkagumkan – dikenali sebagai enjin DOHC VTEC.

    Selain dari enjin generasi terakhir dari siri-K, enjin yang popular untuk teknologi Variable Valve Lift and Timing Electronic Control berkenaan tentulah dari siri-B yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1989 menerusi model Integra DA6. Walaupun enjin siri ini direka hingga kapasiti 2.0 liter (B20), namun yang diberikan kepala silinder dengan teknologi DOHC VTEC hanyalah pada enjin B16 (1.6 liter), dan B18 (1.8 liter).

    Dari segi usia, teknologi enjin siri-B tersebut sudahpun hampir tiga dekad, namun pengubahsuaiannya seakan tidak berkesudahan dan masih lagi sangat popular hingga saat ini. Selain dari laju, enjin yang dikenali dengan dua karekter (macam enjin biasa ketika dipandu secara normal, berubah menjadi seperti enjin perlumbaan sebenar jika sistem VTEC pada mod ‘on’) ini juga sangat tahan dan boleh dipandu sebagai kenderaan harian jika diubahsuai dengan betul.

    Honda Civic EJ6 – Jelmaan lengkap EK9 Type R spesifikasi ‘perang’ dalam bentuk sedan empat pintu

    Ini antara faktor mengapa Muhammad Shafarin Harun dari Pulau Pinang memilih DOHC VTEC sebagai permainannya. Dia mula yakin dengan enjin ini setelah diberi peluang untuk memandu uji sebuah Civic EF hatchback oleh kawannya dengan enjin B16A selama seminggu berserta ayat “hang bawaklah kereta ni macam manapun, tengok dia punya tahan macam mana”.

    Selepas dari itu Shafarin tidak lagi memandang kereta lain dan menukar Proton Iswara miliknya ketika itu dengan sebuah Civic EF hatchback juga, dijana enjin B16A. Namun setelah umur meningkat, badan hatchback berkenaan perlu ditukar kepada sebuah kenderaan yang lebih praktikal, membuatkan dia memilih untuk membeli sebuah Honda Civic EJ6 sedan empat pintu yang kini telah bersamanya selama lebih empat tahun.

    Tidak seperti EF yang dibeli siap dengan enjin DOHC VTEC, EJ ini dibeli dalam keadaan standard bersama enjin D15 1.5 liter VTEC SOHC. Maka bermulalah kehidupan Shaharin sebagai peneroka kedai-kedai halfcut untuk melengkapkan kereta yang baru dibeli ini.

    Honda Civic EJ6 – Jelmaan lengkap EK9 Type R spesifikasi ‘perang’ dalam bentuk sedan empat pintu

    Perkara pertama yang dilakukan adalah memadankan set halfcut lengkap bahagian hadapan Civic EK9 Type R dari Jepun pada badan Civic EJ yang dipasang di kilang Oriental Assemblers, Jalan Tampoi di Johor Bahru berkenaan. Segala peralatan yang boleh dipindahkan dari halfcut Type R spesifikasi tahun 2000 tersebut yang boleh dipadankan secara plug and play telah dipindahkan – termasuk papan pemuka, tempat duduk Recaro asli, karpet utama dan juga kesemua karpet alas kaki.

    Ya, enjin B16B Type R ini turut disumbatkan sekali menggantikan enjin ‘VTEC bujang’ asal, tetapi ia tidak lagi dalam keadaan asal. Enjin berkenaan telah dileraikan terlebih dahulu, kemudian set peralatan ‘perang’ lengkap dari Toda dipadankan – merangkumi aci engkol dan set lengkap omboh.

    Kepala silinder enjin ini juga dirombak semula bagi membolehkan ia menyedut udara yang lebih banyak ke kebuk pembakaran. Kesemua liang injap telah menerima proses port and polish peringkat ketiga, manakala aci sesondol pula ditukar kepada unit dengan durasi lebih tinggi berjenama Toda dari siri C2 yang digerakkan oleh cam pulley juga dari Toda.

    Honda Civic EJ6 – Jelmaan lengkap EK9 Type R spesifikasi ‘perang’ dalam bentuk sedan empat pintu

    Siap bahagian dalaman enjin, kelengkapan luaran pula diperkemaskan semula. Untuk membawa udara ke liang kemasukan, Shafarin menggunakan intake manifold dari Blox Racing yang dikahwinkan dengan throttle body lebih besar dari S90. Tiada sistem air intake normal pada enjin ini di mana penuras udara disumbat terus pada mulut throttle body.

    Untuk sistem ekzos pula, ia menerima custom header dari keluli tahan karat dan diakhiri dengan muffler dari J’s Racing. Bagi melaras semula talaan udara-bahan api yang tentunya telah berubah dengan pelbagai ubahsuai drastik ini, Shafarin masih lagi menggunakan kotak komputer asal tetapi cip utamanya telah ditukar kepada cip dari Hondata siri S300.

    Seperti yang anda boleh lihat pada gambar, enjin ini diletakkan pada ruang yang begitu selesa dan kemas berwarna biru. Ia duduk dengan menggunakan set cagak enjin lengkap dari Hasport, manakala sistem pendawaiannya pula boleh dikatakan telah disorokkan hampir keseluruhannya. Rocker cover enjin telah disalut dengan krom keemasan, manakala perincian kecil lain seperti hos-hos biru dari Samco serta ‘stokin’ Spoon yang membalut reservoir bendalir brek dan klac turut menambahkan seri ruang ini.

    Honda Civic EJ6 – Jelmaan lengkap EK9 Type R spesifikasi ‘perang’ dalam bentuk sedan empat pintu

    Setelah berhabis begitu banyak duit pada enjin, Shafarin tidak teragak untuk membawa keretanya ke mesin ujian dyno untuk mengetahui sama ada pelaburannya ini berjaya atau tidak. Hasilnya, skrin dyno menunjukkan angka 220 hp – jauh lebih besar dari angka asal Civic Type R EK9 yang mampu menjana 180 hp.

    Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear lima-kelajuan manual asal EK9 Type R, bersama klac dari Ogura Racing serta LSD heliks standard model berkenaan. Bagi memastikan badan kereta ini dapat dikendalikan lebih baik dari sebelum ini, sistem suspensi turut dinaik taraf.

    Kesemua sudut hab roda kini diberikan set suspensi lengkap boleh laras tinggi/rendah dan keras lembut dari GAB. Manakala untuk sistem suspensi bebas belakang pula, lengan bawah asal telah digantikan dengan lengan aftermarket asli berjenama Function 7, bukan sebarangan komponen cap ayam yang boleh dibeli dari kedai aksesori.

    Manakala untuk roda pula, Civic ini menerima rim Enkei RPF1 berwarna hitam dengan tayar semi-slick Yokohama Advan AD05, manakala belakang pula dipadankan dengan rim Mugen MF10 dengan tayar Bridgestone Potenza RE003. Walaupun dari jenama berbeza, kesemua rim dan tayar ini adalah sama dari segi saiz iaitu 15-inci untuk rim dan 195/55R15 untuk tayar. Kenapa pakai tayar semi-slick? Walaupun Civic Shafarin ini nampak macam show car, tetapi hakikatnya beliau agak aktif berlumba drag.

    Bahagian luaran, kereta ini banyak menerima peralatan aftermarket untuk EK9 Type R. Bampar hadapan asal telah digantikan dengan unit dari C-West, manakala fender dan bonet pula dipadankan dengan komponen yang diperbuat dari gentian karbon masing-masing dari Spoon dan Shift Sport bagi mengurangkan berat keseluruhannya.

    Bumbung EJ ini pula diberikan bumbung suria yang diambil dari Civic EG, manakala lampu belakang ditukar kepada EK sedan spesifikasi tahun 1999 bersama bampar belakang Civic EK Domani yang telah dikerat pada bahagian bawah. Bahagian belakang juga turut menerima komponen gentian karbon iaitu pada kedua-dua pintu belakang dan penutup but belakang. Untuk keseluruhan panel badan lain pula, kereta ini menerima warna oren yang cukup menyerlah.

    Selain dari komponen original Type R, bahagian dalaman sedan ini turut diberikan berberapa peralatan aftermarket antaranya meter tiga serangkai dari GReddy yang memberikan bacaan tekanan dan suhu minyak pelincir serta suhu air, dan juga roda stering Momo Competition lengkap dengan quick release bosskit.

    Manakala untuk panel dalaman pintu, komponen asal telah ditukar kepada unit yang diambil dari Civic EK4 JDM, manakala tempat duduk belakang pula ditukar dengan menggunakan tempat duduk dari Integra DB8.

    Jika anda menyemak laman-laman jualan kereta terpakai, anda tentu perasan kereta yang diproduksi dari tahun 1996 hingga 1999 ini masih lagi bernilai antara RM15k hingga RM40k, bergantung kondisi serta ubahsuai. Mengapa ia masih lagi mahal? Kereta Shafarin ini antara jawapannya – masih lagi cantik, laju, dan komponen gantian serta aftermarket yang mudah untuk didapati walaupun berumur lebih 20 tahun.

    Ditanya berapa lama lagi dia akan menggunakan kereta ini, Shafarin menjawab dia tidak akan menjualnya pada masa terdekat kerana memang tidak balik modal. Ini kerana pelaburan yang dikeluarkan untuk projek yang hampir semua dilakukan oleh MH JDM Autopart ini cukup untuk membeli sebuah Perodua Myvi 1.5 Advance 2018 secara tunai.

    Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu.

     
     
  • Toyota Vios 2018 dilancarkan di Singapura – RM272k

    Toyota Vios 2018 dilancarkan di Singapura – RM272k

    Akhirnya, Toyota Vios 2018 yang dinanti-nantikan tiba – untuk pasaran di Singpura. Sedan dari segmen B itu kini telah dilancarkan di sana, dan seperti yang dijangkakan, ia ada persamaan dengan Yaris Ativ yang dijual di Thailand; tetapi dengan enjin yang lebih besar dan berkuasa.

    Suka atau tidak, ia akan berkongsi wajah depan yang mirip, dengan bahagian atas gril yang lebih kurus, manakala lampu utama yang digandingkan dengan bahagian gril bawah yang besar, sekali dengan DRL LED. Rekaan badan yang lebih kemas dan bahagian belakang yang bertambah lebar juga diwarisi oleh Vios terbaru ini.

    Toyota Vios 2018 dilancarkan di Singapura – RM272k

    Ruang dalaman bagaimanapun menampilkan rekaan yang lebih moden serta stereng tiga jejari dari Toyota Altis. Dua varian ditawarkan – paling asas varian E, dengan harga SG$89,988 (RM271,900) termasuk COE dan varian G dengan lebih kelengkapan yang dijual pada harga SG$95,988 (RM290,000)

    Kelengkapan standard termasuk lampu utama halogen reflektor, lampu kabus depan, rim aloi 15-inci, keyless entry, butang Push Start, cermin depan akustik, stereng larasan ketinggian dan teleskopik, tempat duduk fabrik, sistem Toyota Telematics dan kamera undur.

    Toyota Vios 2018 dilancarkan di Singapura – RM272k

    Vios G turut menerima lampu utama projektor, DRL LED, lampu belakang LED, rim dwi-tona aloi 16-inci, stereng multi-fungsi balutan kulit, kawalan pendingan hawa zon tunggal, sistem tunjuk arah, kerusi belakang dengan nisbah lipatan 60:40 serta perehat lengan di tengah dengan pemegang cawan. Dari segi keselamatan, ia datang dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan VSC dan Hill-Start Assist.

    Tidak seperti Yaris Ativ yang menggunakan enjin 1.2 liter untuk menepati peraturan kereta Eco di Thailand, Vios ini dilengkapi enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i terdahulu, dengan janaan kuasa 105 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm. Ini dipadankan bersama transmisi CVT dengan tujuh nisbah maya yang digunakan pada Vios yang diperkenalkan tahun lalu, yang berupaya mencapai kelajuan 170 km/j dan memberikan bacaan penggunaan minyak gabungan 5.8 liter bagi setiap 100 km.

     
     
  • Mercedes-Benz NZ Wheels Autohaus JB dinaik taraf

    Mercedes-Benz NZ Wheels Autohaus JB dinaik taraf

    Mercedes-Benz Malaysia bersama NZ Wheels telah melancarkan Mercedes-Benz NZ Wheels Johor Bahru Autohaus yang telah dinaik taraf. Kini, premis berkenaan lengkap dengan AMG Performance Centre yang pertama di Selatan tanah air.

    Dengan kos naik taraf RM6 juta, Autohaus berkenaan merangkumi keluasan 18,692.40 kaki persegi dengan 32 petugas. Bilik pamerannya mampu menampung 11 kenderaan dalam satu masa, sementara terdapat 12 ruang servis yang membolehkannya menampung kapasiti 500 kenderaan setiap bulan.

    Ruang menunggu Star Lounge turut disediakan untuk pelanggan – dengan perkhidmatan dan layanan peribadi yang mengikut gaya hidup pelanggan. Ini termasuk perkhidmatan mengambil dan menghantar kenderaan, penghantaran di luar waktu bekerja serta servis fast lane.

    “Kami berbangga dapat mempertingkatkan tahap layanan melalui rangkaian jualan dan servis untuk manfaat pengguna. Ia juga menjadi petunjuk kepada kerjasama baik antara Mercedes-Benz dan rakan kongsi yang ada,” jelas Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia, Claus Weidner.

    Kini menepati piawaian Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II) dan menampilkan identiti korporat terbari jenama itu, Mercedes-Benz NZ Wheels Johor Bahru Autohaus merupakan satu daripada enam pengedar sah yang menyediakan perkhidmatan bagi pelanggan-pelanggan di Selatan.

     
     
  • Holden Colorado SportsCat – trak asal Chevrolet terima peningkatan kosmetik, kelengkapan di Australia

    Holden Colorado SportsCat – trak asal Chevrolet terima peningkatan kosmetik, kelengkapan di Australia

    Sekali pandang, trak pikap ni nampak menarik? Ini ialah Holden Colorado SportsCat yang dihasilkan oleh Holden Special Vehicles (HSV). Dipertontonkan di Australia, trak ini menggunakan asas model Chevrolet Colorado Z71 paling tinggi, dengan enjin yang juga sama – 2.8 liter diesel Duramax dengan 180 hp dan 440 Nm.

    Walaupun dengan prestasi enjin yang sama, SporsCat diberikan banyak kemaskini lain. Tujuan utamanya adalah untuk memperbaiki pengendalian dan keselesaaan, serta prestasi off-road. Suspensi bahagian depan menggunakan strut brace dan palang anti-roll yang lebih tebal, juga dengan spring yang lebih tinggi dan keras.

    Kedudukan Colorado ini juga lebih lebar, dengan rim aloi diperkukuh 18-inci, dengan tayar Cooper Zeon LTZ Pro Sports All-Terrain. Kelengkapan lain termasuk penyerap hentak MTV, silinder brek utama yang lebih besar (untuk jarak pedal brek yang lebih pendek dan maklumbalas yang lebih baik serta sistem ESC.

    Holden Colorado SportsCat – trak asal Chevrolet terima peningkatan kosmetik, kelengkapan di Australia

    Suspensi yang dinaikkan dan tayar lebih besar meninggikan bahagian depan sebanyak 45 mm, menjadikan sudut bahagian depan juga lebih tinggi. Jarak kelegaan tanah kini bertambah kepada 251 mm (Colorado standard 210 mm), dan lebih tinggi berbanding Ford Ranger Wildtrak dengan 237 mm.

    Dua varian akan ditawarkan; SportsCat dan SportsCats +. Model biasanya akan turut dilengkapi pelindung ruang belakang dengan quick-release serta sports bar aloi, lencana “Colorado” di belakang, EZ-down soft lowering, rim aloi diperkukuh 18-inci warna kesat dan kemasan SportsCat lainnya.

    Antara kedua-dua SportsCat dan Colorado biasa juga akan terdapat perbezaan penampilan, misalnya gril tunggal (berbanding gril berkembar), bampar yang direka semula berserta lampu kabus LED, dua cangkuk di depan (boleh menarik beban tiga tan) dan plat sisi yang tersendiri.

    Varian SportsCat+ (warna merah dalam gambar) juga mempunyai perincian visual yang berbeza. Antaranya gril honeycomb, lengkung fender yang lebih besar, sport bar dan ruang masukan udara pada bonet depan. Kelengkapan lain seperti kit brek AP Racing (empat-piston dan cakera 362 mm di depan dan 300 mm di belakang).

     
     
  • Perodua Myvi ungguli Pencarian Model Kereta di Google 2017 – harga minyak, MRT antara topik popular

    Perodua Myvi ungguli Pencarian Model Kereta di Google 2017 – harga minyak, MRT antara topik popular

    Jika tahun 2016, Perodua Bezza, menjadi model kereta yang paling dicari menerusi Google, untuk 2017 ini pula, Myvi 2018 telah mengungguli takhta yang sama.

    Setiap kali bulan Disember, Google akan mendedahkan pencarian menerusi Internet yang sering dilakukan oleh rakyat Malaysia sepanjang tahun. Di mana Google akan menghimpunkan semua pencarian tersebut dan berkongsi data menerusi ‘Zeitgeist’ tahunan untuk Malaysia, mengikut kategori pencarian yang menjadi trending.

    Bagi kategori Orang pula, untuk 2017, aktres yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, Izara Aishah mengungguli pencarian, sementara JJPTR (operator bagi permainan duit JJ Poor to Rich) pula untuk kategori Berita.

    Harga minyak juga menjadi topik terhangat di kalangan rakyat Malaysia. Ia menduduki tangga kedua dalam kategori Berita, ini memang bukan suatu kejutan, selepas kerajaan mengambil langkah untuk mengumumkan harganya secara mingguan sejak akhir Mac lalu.

    Malah Transit Aliran Massa (MRT) memperoleh tempat ke-empat dalam kategori yang sama. MRT Laluan Pertama Sungai Buloh-Kajang (SBK) dari Sungai Buloh ke Semantan yang beroperasi sejak Disember tahun lalu, diikuti dengan MRT Laluan Kedua yang menghubungkan Sungai Buloh ke Kajang telah mula beroperasi pada Julai tahun ini.

    Manakala filem yang turut melibatkan kereta, The Fate of the Furious (atau Fast and Furious 8, di dalam pencarian) turut menjadi perhatian dengan berada di tempat ke-enam dalam Pencarian dan pertama dalam Filem.

    Tidak seperti tahun sebelum ini, tiada kategori Model Kereta didedahkan untuk 2017. Walau pun tiada Top 10 untuk 2017, namun hanya satu model kereta yang terdapat dalam senarai Pencarian iaitu Perodua Myvi 2018 yang menduduki tangga ke-10.

    Pencarian mula mencanak pada bulan lalu selepas ia dilancarkan, dan melihat akan sambutan yang begitu hangat memang tidak dinafikan Myvi 2018 berjaya menjadi model kereta yang paling dicari bagi tahun ini.

     
     
  • Porsche Macan SportDesign Series dilancarkan di Malaysia – terhad 40 unit, harga dari RM545,000

    Porsche Macan SportDesign Series dilancarkan di Malaysia – terhad 40 unit, harga dari RM545,000

    Selepas memperkenalkan Porsche Macan GTS pada Jun lalu, Sime Darby Performance (SDAP) telah melancarkan pula Macan SportDesign Series bagi pasaran Malaysia. Tampil dengan imej yang penuh bergaya dan sporty, Macan SportDesign Series ini didatangkan dengan dua pilihan warna luaran iaitu Volcano Grey Metallic dan Carrara White Metallic.

    Bahagian luarannya diserikan dengan imej hadapan yang lebih dinamik dengan jaluran kelabu bersama garisan merah secara menegak memberikan gaya yang lebih sporty, ditambah pula dengan padanan lampu utama hitam LED serta Porsche Dynamic Light System (PDLS+),skirt sisi, rel bumbung dan roda bersaiz 21-inci menambahkan imej yang garang bagi SUV mewah ini.

    Malah rimnya juga hadir dengan dua pilihan iaitu 911 Turbo Wheel dengan rekaan pelbagai-jejari serta Sport Classic Wheel dengan kekemasan hitam berkilat. Melewati bahagian belakangnya pula, padanan lampu LED dan corong ekzos dengan kekemasan hitam berkilat yang cukup sporty turut menjadi pilihan.

    Porsche Macan SportDesign Series dilancarkan di Malaysia – terhad 40 unit, harga dari RM545,000

    Menjengah bahagian kabinnya pula, imej yang penuh sporty, mewah dan elegen menjalari segenar ruang. Kabin Macan SportDesign Series didominasi dengan kombinasi kulit hitam dan Garnet Red. Malahan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan turut disertakan dengan larasan berkuasa 14-hala bersama fungsi memori.

    Menambahkan lagi sifat sporty, skim warna Garnet Red turut digunakan pada elemen rekaan yang lain termasuklah jahitan kontras, tali pinggang keledar, kluster instrumen dan Sport Chrono stopwatch. Melengkapkan lagi elemen kemewahannya pula, ia turut didatangkan dengan Sistem Bunyi Sekeliling Bose bersama 14-pembesar suara dan 545 watts bagi memberikan pengalaman audio yang lebih sofistikated.

    Lain-lain elemen yang turut disertakan termasuklah suspensi udara dengan sistem keserataan, dan larasan ketinggian pengendalian termasuk Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Sport Chrono Package.

    Porsche Macan SportDesign Series dilancarkan di Malaysia – terhad 40 unit, harga dari RM545,000

    Bagi mekanikalnya, penjana kuasanya adalah sama seperti model asas Macan iaitu dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac PDK tujuh-kelajuan dengan menyalurkan kuasa ke semua rodanya.

    Dengan gabungan penjana kuasa ini, ia mampu menghamburkan output sehingga 252 hp antara 5,000 hingga 6,000 rpm dengan puncak tork sehingga 370 Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm. Sekaligus membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.7 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 229 km/j.

    SDP turut memaklumkan bahawa Macan SportDesign Series ini hanya didatangkan dengan sejumlah 40 unit sahaja dan dijual pada harga RM545,000 (tanpa cukai jalan dan insurans) seunit. Ia turut didatangkan dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaraan percuma.

     
     
  • Harga minyak bagi 14-20 Disember – semua turun lagi

    Harga minyak bagi 14-20 Disember – semua turun lagi

    Minggu lalu, harga bahan api bagi petrol dan diesel catatkan penurunan. Corak yang sama juga berlangsung minggu ini, dengan harga runcit bagi semua bahan api berkenaan turun lagi dalam jumlah antara satu hingga lima sen bagi tempoh seminggu ke hadapan.

    Harga petrol kedua-duanya akan turun sebanyak empat sen, menjadikan RON 95 dijual pada harga RM2.25 seliter manakala petrol RON 97 turun lima sen dan dijual pada harga RM2.52 seliter.

    Sementara itu, diesel juga mencatatkan penurunan walaupun hanya melibatkan satu sen berbanding minggu lepas. Diesel Euro 2 akan dijual pada harga RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 5 – seperti biasa akan mahal 10 sen – akan dijual pada harga RM2.30 seliter.

    Harga runcit terbaru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti dan akan kekal sehingga Rabu minggu depan, 20 Disember 2017.

     
     
  • VIDEO: Volvo temui cara hindari turbo lag pada enjin

    Turbo lag adalah satu masalah biasa bagi enjin yang mempunyai sistem pendesak kuasa turbo. Ia memberikan sedikit kelambatan di antara waktu anda menekan pedal minyak dan tindak balas daripada enjin itu mula terasa. Bagi Volvo, barisan enjin PowerPulse terbaru mereka juga menggunakan turbo, tetapi mereka mendakwa telah menjumpai cara untuk mengatasi turbo lag.

    Secara ringkasnya, unit pengecas turbo mendapat kuasa daripada gas ekzos, yang memusingkan turbin pada satu sisi, yang kemudiannya bersambung pada satu lagi turbin di sebelah lagi bahagian ke arah lubang kemasukan angin. Kitaran turbin ini menghasilkan angin yang lebih padat, seterusnya membawa kepada lebih oksigen dan lebih kuasa.

    Disebabkan terdapat sedikit masa diperlukan untuk memusingkan pengecas turbo daripada kadar kitaran enjin (rpm) yang rendah dan kitaran gas ekzos yang juga rendah, pemandu juga akan dapat merasakan terdapat kelambatan di antara waktu mereka memijak pedal minyak dan tindak balas enjin itu mula terasa.

    Penyelesaian yang digunakan oleh Volvo untuk enjin turbo diesel mereka adalah dengan meletakkan satu tangki udara mampat yang mendapat angin daripada compressor elektrik. Compressor ini mengambil angin daripada salur penapis udara. Angin yang tersedia mampat ini menunggu input daripada pedal minyak dan kemudiannya terus menyuntik udara kepada bahagian turbin ekzos pengecas turbo untuk menggerakkannya dengan lebih pantas.

    Untuk enjin petrol pula, Volvo menggunakan kedua-dua supercharger dan pengecas turbo untuk mengelakkan turbo lag. Untuk enjin jenis ini, unit supercharger mekanikal mengambil alih tugas compressor angin seperti pada enjin diesel turbo tadi. Supercharger ini juga dapat digerakkan lebih pantas berbanding pengecas turbo kuasa ekzos. Bagi varian enjin T8 Twin Engine, kelambatan tindak balas diatasi lebih lagi dengan pacuan kuasa elektrik.

     
     
  • AD: TintNOW.my tawarkan promosi akhir tahun – dapatkan hadiah bernilai RM200 bagi setiap pembelian

    AD: TintNOW.my tawarkan promosi akhir tahun – dapatkan hadiah bernilai RM200 bagi setiap pembelian

    Laman web pertama bagi tujuan pemasangan filem penapis haba kenderaan di Malaysia, TintNOW.my kini sedang memberikan promosi akhir tahun. Setiap pembelian dari sekarang hingga 31 Januari 2018 nanti akan menerima hadiah bernilai RM200 — RM100 bagi kad Touch n’ Go dan RM100 bagi kad bahan api Petron untuk perjalanan balik kampung anda.

    Promosi ini sah untuk semua pakej produk yang ditawarkan di TintNOW.my, termasuk bagi pilihan paling asas yang bermula pada harga RM550. TintNOW.my merupakan satu-satunya laman web di Malaysia yang membolehkan anda memilih pakej filem penapis haba untuk kereta anda serta membuat bayaran secara atas talian. TintNOW.my kemudiannya akan datang dan mengambil kereta anda, melakukan pemasangan dan menghantar semula kereta anda. Semua ini boleh dilakukan dari ruang selesa anda sendiri, baik di pejabat ataupun rumah.

    TintNOW.my memberikan penyelesaian kepada masalah kesuntukan masa untuk menghantar kereta anda bagi pemasangan filem penapis haba. Perkhidmatan atas talian ini, dibawakan kepada anda oleh paultan.org, mempunyai lima kelebihan berikut:

  • Pengambilan dan serahan kereta percuma: Kereta anda akan diambil dari lokasi pilihan anda sendiri tanpa caj tambahan. Pemandu yang akan hadir dan mengambil kereta berkenaan cukup terlatih dan telah mengikuti kursus pemanduan defensif untuk memastikan keselamatan kereta anda. Turut disertakan ialah ID Checker setiap staf untuk memastikan orang yang sepatutnya sahaja akan datang dan berjumpa anda.
  • Potongan harga: Semua harga yang dipamerkan dalam TintNOW.my adalah lebih rendah dari biasa, jadi pengguna akan membayar harga yang terbaik dalam pasaran.

  • Pembelian boleh dikesan: Ando boleh memerhatikan pergerakan kereta anda menggunakan kod pengesan khas, jadi anda akan sentiasa dikemaskini berkaitan lokasi semasa kereta anda.

  • Jaminan lima tahun: Semua pembelian akan menerima jaminan lima tahun.

  • Pemasangan hari yang sama: Bagi pilihan tertentu, kami akan melakukan perkhidmatan pemasangan pada hari yang sama. Maksudnya, kereta anda akan dipasang dengan filem penapis haba dan diserahkan kembali pada hari yang sama.

  • Pilihan produk meluas: TintNOW.my mempunyai pilihan produk yang sangat luas dan pelbagai untuk kereta anda. Dari jenama yang menjimatkan hinggalah kepada jenama tahap pertengahan seperti Armorcoat dan SolarGard, termasuk juga jenama premium seperti V-KOOL. Turut ditawarkan ialah filem keselamatan serta pilihan yang tidak menepati piawaian JPJ.
  • Lawati laman TintNOW.my sekarang untuk menikmati promosi istimewa ini, sementara stok masih ada. Semua kad kredit utama dan pindahan bank akan diterima, dan paling penting, laman web ini mesra peranti mudah alih.

     
     
  • Bugatti panggil semula 47 unit Chiron kerana kimpalan yang terjejas pada pendakap tempat duduk hadapan

    Bugatti panggil semula 47 unit Chiron kerana kimpalan yang terjejas pada pendakap tempat duduk hadapan

    Walau semahal mana pun sesebuah kereta, ia masih lagi dibina oleh manusia dan tidak mustahil untuk dipanggil semula atas kerosakan-kerosakan tertentu. Contohnya, masalah yang timbul pada 47 unit Bugatti Chiron ini, yang menyebabkan ia perlu dipanggil semula oleh pembuat supercar dari Perancis berkenaan.

    Secara spesifiknya, Bugatti mengesan masalah yang berlaku pada pendakap pemasangan tempat duduk hadapan di mana terdapat kimpalan yang telah terjejas di bahagian tersebut.

    Walau bagaimanapun, Bugatti tidak memberikan notis kepada setiap pemilik untuk membawa sendiri kereta mereka ke pengedar, sebaliknya para ‘Flying Doctors’ Bugatti akan menelefon setiap pemilik berkenaan bagi membuat temu janji untuk mengambil kereta tersebut dan di bawa ke pengedar untuk diperiksa.

    Jika dikesan mempunyai masalah yang dinyatakan, keseluruhan pemasangan tempat duduk tersebut akan diganti baharu secara percuma. Untuk pengetahuan anda, khidmat ‘Flying Doctors’ ini sememangnya adalah sebahagian servis yang ditawarkan oleh Bugatti untuk pelanggan mereka.

    ‘Flying Doctors’ berkenaan boleh terbang kemana sahaja di dunia bagi menjalankan servis, penyelenggaraan mahupun pembaikkan pada setiap kereta Bugatti. Menurut syarikat tersebut, program ini “boleh disamakan dengan servis concierge di hotel-hotel enam-bintang”.

    Juruteknik-juruteknik berkenaan juga boleh dihubungi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Mereka juga boleh memantau kereta dari jarak jauh, dan jika pembaikan perlu dilakukan, ia akan di atur atau mereka akan terus datang ke rumah pemilik.

    GALERI: Bugatti Chiron

     
     
  • Persatuan gesa kelonggaran bagi petak khas OKU di Pulau Pinang – benarkan kad dan pelekat fotostat

    Persatuan gesa kelonggaran bagi petak khas OKU di Pulau Pinang – benarkan kad dan pelekat fotostat

    Persatuan Perlindungan Pengguna Pulau Pinang telah mengajukan pertanyaan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) jika ada kemungkinan untuk melonggarkan peraturan tempat letak kereta OKU. Hal ini untuk membenarkan juga mereka yang sempurna fizikal tetapi membantu warga OKU di bawah jagaan mereka untuk meletak kenderaan di petak khas berkenaan.

    The Sun melaporkan, persatuan itu meminta MBPP untuk membenarkan pemandu membuat salinan fotostat kad OKU di bawah jagaan mereka dan mempamerkannya pada kenderaan yang digunakan. Ini berikutan kejadian seorang wanita yang membawa ibunya yang kuran upaya dikunci tayar keretanya kerana diletakkan di petak khas OKU.

    Presidennya, Datuk K. Koris Atan berkata, pihak berkuasa tempatan sepatutnya memberi kelonggaran terhadap penjaga OKU. Jelasnya, kad dan pelekat OKU yang dikeluarkan ketika ini hanya untuk kegunaan individu yang layak itu sendiri, dan bukannya untuk penjaga sekali.

    Persatuan gesa kelonggaran bagi petak khas OKU di Pulau Pinang – benarkan kad dan pelekat fotostat

    “Sekarang ini, ramai OKU yang terpaksa bergantung kepada penjaga mereka di dalam urusan harian, termasuk ke bank dan berurusan di jabatan kerajaan. Jadi, jika mereka boleh buat salinan fotostat bagi kad dan pelekat OKU dan tinggalkan dalam kereta, ia sepatutnya lebih memudahkan dan tidak mendatangkan masalah sekiranya menggunakan petak khas OKU,” ujar beliau.

    Pendekatan ini akan berhasil sekiranya OKU hanya membenarkan penjaga mereka untuk membuat salinan yang dimaksudkan dan tidak menyalahgunakan proses berkenaan. Berikutan pertemuan yang berlangsung itu, MBPP bersetuju untuk mempertimbangkan dengan lebih lanjut cadangan berkenaan. Pihak berkuasa tempatan itu menguatkuasakan dengan ketat peraturan tempat letak kereta OKU.

    Tahun lalu, majlis bandaraya berkenaan telah mengambil tindakan terhadap 53 pesalah yang menggunakan tapak khas OKU di negeri berkenaan. Setiap kesalahan diberikan sama RM100. Menurut kaunselor MBPP, Chris Lee Chun Kit, matlamat utamanya adalah untuk memastikan kemudahan untuk OKU tidak disalah guna.

     
     
  • Mercedes-Benz G-Class 2019 – foto rasmi ruang dalaman rekaan baharu; terima perubahan besar

    Mercedes-Benz G-Class 2019 – foto rasmi ruang dalaman rekaan baharu; terima perubahan besar

    Mercedes-Benz telah menyiarkan foto rasmi bagi imej ruang dalaman model Mercedes-Benz G-Class 2019, yang pertama kali kita lihat menerusi foto yang disebarkan pada bulan lepas. Jenama ini telah mengesahkan kabin bagi Geländewagen telah menerima perubahan yang besar, dengan kombinasi rekaan dalaman terkininya.

    Walau bagaimanapun terdapat beberapa persamaan bagi papan pemuka G-Class baharu ini dengan A-Class generasi akan datang, seperti mana yang Mercedes dedahkan tiga minggu lalu. Dengan rekabentuk yang sedikit sederhana termasuk pada corong pendingin hawa dan perumah skrin yang panjang yang mengabungkan panel instrumen digital 12.3-inci dengan skrin tengah utama 12.3-inci.

    Walau pun di bawah panel papan pemuka mungkin boleh diletakkan tiga corong pendingin hawa, namun hanya dua sahaja bagi G-Class, di mana slot di bahagian tengah diletakkan butang kawalan untuk mechanical-locking differential bagi off-road. Di bawahnya pula terdapat dua baris suis dan butang bersama jam analog, seperti yang dilihat pada W213 E-Class. Pada papan pemuka juga terletaknya pemegang unik G-Wagen.

    Selain itu, kelihatan tempat duduk hadapan Active Multicontour (dengan pemanas, pengaliran dan fungsi urut), dipisahkan oleh konsol tengah yang tinggi dan door card. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan kawalan tempat duduk tradisional Mercedes dan dua pembesar suara Burmester (daripada 16). Seperti sebelum ini, kawalan untuk tingkap juga terletak di bahagian atas door card.

    Malahan kabin bagi G-Class baharu ini turut dibentangkan dengan aura yang lebih moden dan mewah berbanding imej yang lebih ringkas dan praktikal seperti mana model semasa. Malah G-Class baharu ini juga ditampilkan dengan rekaan yang lebih bergaya.

    Dijangka bakal diperkenalkan di North American International Auto Show (NAIAS) di Detroit bulan hadapan, Mercedes-Benz G-Class 2019 ini juga mengekalkan bentuk badan yang menjadi trademark dan casis ladder-frame, dengan tambahan lebah dan panjang bagi jarak roda (lebih 150 mm bagi ruang kaki di belakang). Pilihan enjinnya pula termasuk 4.0 liter biturbo V8, 2.9 liter enam-silinder diesel baharu dan turbodiesel empat-silinder.

    Ia juga didakwa bakal memberikan penjimatan bahan api hasil penambahbaikan penyahaktif silinder dan teknologi hibrid-sederhana 48-voltan pada enjin terpilih. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke kedua-dua gandar menerusi sistem AWD dengan tiga pengunci differential individual.

     
     
  • VIDEO: Barisan jentera bersejarah Nissan Skyline dan GT-R pada Nismo Festival 2017 di Fuji Speedway

    Setiap tahun, Nissan akan ‘melepaskan’ jentera-jentera berprestasi tingginya yang disimpan di muzium warisan sejarah mereka ke litar Fuji Speedway, untuk beraksi semula dalam acara Nismo Festival. Untuk pengetahuan anda, tahun ini merupakan edisi ke-20 penganjuran festival berkenaan yang telah diadakan buat pertama kali pada tahun 1997.

    Khas untuk penganjuran kali ini, Nismo.TV telah menyiarkan sebuah video memaparkan barisan jentera-jentera perlumbaan sebenar Nissan Skyline dan GT-R dari zaman KPGC10 Hakosuka hingga ke R35.

    Seperti yang diketahui, GT-R mula diproduksi pada tahun 1969 yang dibina berasaskan Skyline C10, iaitu Skyline pertama yang dipasarkan dengan lencana Nissan sepenuhnya tanpa nama Prince Motor Company. Kereta berwarna putih dengan jalur badan hijau pada video ini merupakan Skyline GT-R versi perlumbaan Touring Car Jepun pada tahun 1971, manakala yang berjalur merah pula merupakan versi tahun 1972.

    Dengan enjin enam silinder 2.0 liter S20 dan tiga buah karburator perlumbaan Weber, jentera ini pernah merekodkan kuasa talaan tertinggi lebih dari 260 hp dan pernah dipandu berberapa pelumba lagenda Jepun seperti ‘Gan-San’ Motoharu Kurosawa dan pengasas Impul, Kazuyoshi Hoshino.

    GT-R generasi kedua hadir pada September 1972, dan pada Nismo Festival kali ini Nissan telah membawa keluar model prototaip ‘Kenmeri’ Skyline GT-R KPGC110 berkenaan yang didedahkan buat pertama kali pada tahun tahun tersebut. Model prototaip ini diberikan warna badan hijau gelap dengan jalur emas bersama rim RS-Watanabee juga dengan kemasan emas, dan diberikan sedikit kelainan rekaan-rekaan kecil berbanding model produksi, terutamanya pada bahagian muka.

    Beralih ke era 80’an, Nissan tidak lagi menghasilkan model GT-R sebenar tetapi Skyline RS Turbo (R30 dan R31) dijana enjin empat silinder FJ20 tidak kurang hebatnya. Paling popular tentulah jentera perlumbaan R31 ‘Iron Mask’ Group 5 Super Sillhoute merah-hitam Tomica yang begitu ikonik.

    Jentera-jentera Super Sillhoute ikonik lain dari era berkenaan turut dibawa ke Nismo Festival kali ini – antaranya Nissan Silvia S12 dan juga Nissan Bluebird 910 ‘Coca-Cola’.

    GT-R dilahirkan semula pada tahun 1989 menerusi model Skyline R32 GT-R. Kali ini ia dijana enjin enam silinder 2.6 liter turbo berkembar RB26DETT dan dipadankan sistem pacuan semua roda Attesa ET-S Pro, serta mula dikenali sebagai ‘Godzilla’. Tiga buah jentera Group A ikonik R32 dibawa kali ini iaitu GT-R Taisan Advan yang pernah dipandu oleh ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya, Calsonic Skyline R32 GT-R dan HKS Skyline R32 GT-R.

    Nissan turut membawa jentera-jentera perlumbaan GT-R dari era selepasnya iaitu R33, R34 dan R35, dari versi perlumbaan Super GT dan Jepun dan juga perlumbaan-perlumbaan endurance luar dari negara matahari terbit berkenaan seperti Le Mans, FIA GT3 dan sebagainya.

     
     
  • Volkswagen Jetta 2018 – teaser rupa penuh ditunjuk

    Volkswagen Jetta 2018 – teaser rupa penuh ditunjuk

    Semalam Volkswagen telah mengeluarkan gambar teaser yang memberikan gambaran awal Jetta generasi seterusnya melalui lukisan digital bahagian tepi kereta tersebut, Kini, beberapa lagi lukisan digital dikeluarkan menampakkan keseluruhan bentuk kenderaan, dari depan, belakang dan dalam. Kereta sebenar hanya akan dipertontonkan semasa Detroit Auto Show Januari nanti.

    Bahagian depan Jetta 2018 ini menggunakan gril heksagonal yang bersambung dengan lampu hadapan seperti T-Roc, lampu kabus yang berbucu tajam dan garisan atas bonet yang jelas. Bumbungnya yang mempunyai garisan seperti sebuah coupe juga boleh dilihat jelas melalui lukisan ini.

    Volkswagen Jetta 2018 – teaser rupa penuh ditunjuk

    Pada bahagian belakang, lampu berbentuk trapezoid, tempat nombor plet luas pada penutup but dan muncung ekzos berkembar yang bersepadu mengingatkan kepada Virtus yang baru dilancarkan (Polo Sedan/Vento), dan membawa gaya lebih seperti model Audi A4 B9. Bahagian dalam pula mempunyai rekaan yang mendatar, skrin paparan di tengah dan stereng tiga cabang.

    Kereta ini jelas menunjukkan perbezaan dengan Jetta yang pernah dikeluarkan sebagai teaser oleh Volkswagen Canada bulan lalu, di mana model itu mempunyai profail yang lebih berpetak. Ini sekaligus membawa kemungkinan terdapat dua versi Jetta baru akan diperkenalkan kepada pasaran dunia, dengan model yang lebih bergaya ini untuk pasaran Amerika Syarikat.

    Volkswagen Jetta 2018 – teaser rupa penuh ditunjuk

    Menurut laporan pandu uji awal oleh media di Amerika Syarikat, Jetta baru ini adalah lebih besar berbanding sebelum ini, dengan ukuran yang 43.5 mm lebih panjang, 20 mm lebih lebar dan lima milimeter lebih tinggi daripada sebelum ini. Jarak roda pula 33 mm lebih panjang, iaitu 2,685 mm, seterusnya berkemungkinan memberikan ruang kaki yang lebih luas.

    Di sebalik badannya, Jetta akhirnya akan menggunakan platform MQB, iaitu platform yang sudah digunakan untuk Golf, Polo, Passat dan juga SUV Atlas tiga baris tempat duduk. Kuasa akan datang daripada enjin 1.4 liter tubo petrol yang berkemampuan 150 hp dan 249 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, dan bukannya unit DSG klac berkembar. Turut disediakan adalah pilihan kotak gear manual enam kelajuan.

     
     
  • Toyota C-HR dalam gaya agresif sentuhan Kuhl Racing

    Toyota C-HR dalam gaya agresif sentuhan Kuhl Racing

    Di Malaysia, kita masih lagi menantikan tarikh pelancaran rasmi bagi model Toyota C-HR yang telah beberapa kali membuat penampilan umum setakat ini. Terbaru, risalah perincian dan harganya juga sudah mula beredar.

    Tetapi lain halnya di luar negara, model berkenaan telah banyak diberikan sentuhan khusus yang berbeza-beza untuk menyerlahkan penampilannya dari sisi yang lebih garang. Sebagai contoh, rekaan terbaru daru Kuhl Racing ini, yang mempersiap Toyota C-HR untuk acara Tokyo Auto Salon 2018.

    Toyota C-HR dalam gaya agresif sentuhan Kuhl Racing

    Apa yang dilakukan terhadapnya? Antaranya ialah kit suspensi udara oleh Air Force dengan “rim kangkang” 20-inci aloi oleh Verz-Wheels. Kereta ini turut menerima keseluruhan kit badan yang begitu agresif – dari bampar depan, bahagian fender, kit sisi badan, diffuser yang terapung serta spoiler pendeknya.

    Melengkapi modifikasi yang dilakukan itu ialah penggunaan paip ekzos berkembar serta kerja cat kustom dari Rohan Grinder Ghost yang digandingkan dengan 3D diamond block paint. Nampak ok tak ubah suai yang dilakukan oleh Kuhl Racing ini? Dapat idea untuk bikin sendiri C-HR anda nanti?

     
     
  • VIDEO: Ford dedah lagi video teaser Ranger Raptor – diberikan mod ‘Baja’; bakal dijana enjin diesel?

    Ford kini mendedahkan video teaser kedua untuk trak pikap Raptor versi lebih kecil (bagi pasaran yang tidak menerima trak F-150) yang diasaskan dari trak pikap Ranger T6, digelar Ranger Raptor. Untuk video baharu ini, ia telah mendedahkan sebahagian mod pemanduan yang bakal diberikan pada trak pikap off-road berprestasi tinggi berkenaan.

    Menerusi video pendek tersebut, Ford telah mendedahkan rupa skrin paparan pelbagai info pada kluster meter. Apabila pemandu memilih mod ‘Baja’, trak pikap berkenaan digambarkan boleh beraksi agresif pada permukaan jalan berpasir. Skrin tersebut juga memaparkan trak ini bakal menerima mod ‘Sport’ yang hanya boleh digunakan ketika pemandu memilih gear 2H pada sistem 4WD.

    Secara tidak sengaja juga, Ford telah mendedahkan sedikit klu berkenaan enjin yang bakal digunakan – berbanding F-150 Raptor yang menggunakan enjin petrol EcoBoost V6 3.5 liter turbo berkembar, Ranger Raptor ini nampaknya bakal dijana enjin turbodiesel, berdasarkan takat redline pada takometer yang ditunjukkan pada sekitar 4,500 rpm.

    VIDEO: Ford dedah lagi video teaser Ranger Raptor – diberikan mod ‘Baja’; bakal dijana enjin diesel?

    Untuk pengetahuan anda, Ranger Raptor ini dibangunkan oleh Ford Australia. Untuk pasaran negara berkenaan, Ranger T6 standard ditawarkan dengan dua pilihan enjin turbodiesel Duratorq dari siri Puma iaitu 2.2 liter berkuasa 158 hp/385 Nm dan 3.2 liter menjana 197 hp/470 Nm.

    Jadi, berkemungkinan Ranger Raptor ini mungkin dijana versi 3.2 liter yang ditala semula bagi mengerah lebih kuasa. Boleh jadi juga ia mungkin dikuasakan dengan enjin turbodiesel 2.0 liter EcoBlue baharu yang kini secara berperingkat akan menggantikan enjin-enjin Puma sedia ada.

    Ford telah mendedahkan enjin EcoBlue tersebut pada tahun lalu, dan menyatakan ia mampu menjana sehingga 240 PS dan memberikan 20% lebih tork pada takat rpm serendah 1,250 rpm berbanding enjin 2.2 liter sebelumnya. Jika Ranger Raptor diberikan enjin berkenaan, ini bermaksud ia adalah model pertama menerima enjin EcoBlue pada rantau ini.

     
     
  • 67 lokasi kemalangan maut tertinggi di 40 daerah seluruh negara bakal dilengkapi papan tanda amaran

    67 lokasi kemalangan maut tertinggi di 40 daerah seluruh negara bakal dilengkapi papan tanda amaran

    Jabatan Siasatan Penguatkuasan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan, semua 67 lokasi panas atau ‘hot spot’ kemalangan maut di seluruh negara akan dilengkapi papan tanda amaran. Ia adalah bagi panduan peringatan kepada pengguna jalan raya.

    Menurut pengarah JSPT Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, kesemua 67 lokasi yang dikenal pasti adalah membabitkan 40 daerah keseluruhan yang disahkan mencatat kadar kemalangan maut tertinggi, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, papan tanda amaran tersebut akan dipasang pada jarak kira-kira tiga kilometer sebelum kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan iaitu sebagai amaran awal kepada pengguna agar lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan terbabit.

    “Terdapat 40 daerah dengan 67 lokasi panas kemalangan maut di seluruh negara. Di mana Kuala Muda adalah tiga daerah yang mencatat kemalangan maut paling tinggi selepas Kuala Lumpur dan Batu Pahat. Untuk daerah Kuala Muda sahaja papan tanda amaran ini dipasang di 10 lokasi panas. Selain tiga lagi daerah di Kedah yang tersenarai antara 40 paling tinggi kes kemalangan maut iaitu Kota Setar, Kulim dan Kubang Pasu,” katanya kepada pemberita, semalam.

    Sharul Othman berkata, kajian JSPT dan pelbagai agensi lain mendapati sikap pengguna dan kecuaian manusia menjadi penyumbang utama kepada kemalangan yang berlaku di negara ini dan kegagalan mengawal sikap ketika berada di jalan raya, menjadi faktor utama kemalangan maut terus berlaku setiap tahun.

    “Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah memandu laju, tukar laluan tanpa isyarat, berlumba, mencelah, langgar arahan lampu isyarat dan guna telefon bimbit,” katanya sambil menambah analisis kemalangan dibuat sepanjang tiga tahun sejak 2015 tidak jauh berbeza walaupun menunjukkan kadar yang berlaku semakin berkurangan.

    Tambahnya lagi, pada 2015 sejumlah 489,606 kemalangan berlaku dengan 6,193 kes kemalangan maut dan 6,706 kematian.

    “Ia meningkat kepada 521,466 kes pada 2016 dengan 6,570 kes kemalangan maut dan 7,152 kematian, manakala untuk tahun ini pula 446,129 kes kemalangan dilaporkan dengan 5,244 kes kemalangan maut dan 5,646 kematian. Penunggang dan pembonceng motosikal masih penyumbang utama kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026