Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volvo XC60 raih Kereta Tahunan Jepun 2017-2018

    Volvo XC60 raih Kereta Tahunan Jepun 2017-2018

    Volvo XC60 telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Jepun 2017-2018, selepas tiga tahun berturut-turut tahta ini dimonopoli oleh jenama Jepun – Subaru Impreza (2016-2017), Mazda MX-5 (2015-2016) dan Mazda 2 (2014-2015). Sebelum ini, Volkswagen Golf juga pernah meraih pengiktirafan yang sama iaitu pada tahun 2013-2014.

    Mula diperkenalkan pada tahun ini di Geneva Motor Show, XC60 generasi kedua ini turut diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA) yang sama seperti model siri 90 (XC90, S90, V90) yang lebih besar. Ini bermaksud ia turut tidak ada masalah untuk dipadankan dengan unit janakuasa petrol turbo-supercharger bersama sistem hibrid T8 Twin Engine yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm.

    Model ini telah pun dilancarkan di negara jiran termasuk Singapura dan Thailand, namun masih menanti detik yang sesuai untuk diperkenalkan di Malaysia. Walau bagaimana pun, beberapa minggu lalu, SUV ini telah dikesan sedang diuji di jalan raya, di Glenmarie, memberikan petanda ia bakal dilancarkan di negara ini tidak lama lagi.

    Dengan markah sebanyak 294 mata, SUV jenama Sweden ini berjaya menewaskan BMW 5 Series (242 mata) yang hanya mampu berada di tempat duduk kedua, diikuti dengan Toyota Camry (232 mata). Disusuli dengan Suzuki Swift (210 mata) dan Honda N-Box (189 points).

    Bagi separuh lagi daripada senarai 10 teratas, Lexus LC (115 mata) berada di tangga ke-enam iaitu di hadapan Alfa Romeo Giulia (89 mata), Mazda CX-5 (83 mata), Citroen C3 (35 mata) dan akhir sekali, Volkswagen Tiguan (11 points).

    Anugerah lain yang turut diberikan ketika pengumuman tersebut ialah Toyota Prius PHEV yang diberikan Anugerah Inovasi Terbaik. Sementara Lexus LC turut memenangi kategori Anugerah Emosional dan Toyota Prius juga menerima Anugerah Pencapaian Istimewa kerana berjaya dijual tidak kurang daripada 10 juta hibrid dalam tempoh 20 tahun.

     
     
  • Honda sambut ulang tahun ke-60 dan pengeluaran 5 juta motosikal di M’sia – mula dengan 50 Honda Cub

    Honda sambut ulang tahun ke-60 dan pengeluaran 5 juta motosikal di M’sia – mula dengan 50 Honda Cub

    Pengeluar dan pengedar motosikal Honda di Malaysia iaitu Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) telah mengadakan sambutan ulang tahun ke-60 dan pengeluaran yang mencecah 5 juta buah motosikal. Ini adalah satu pencapaian yang cukup dibanggakan syarikat itu, yang sebelum ini memulakan perniagaan di Malaysia pada tahun 1957 di Pitt Street, Pulau Pinang.

    Pada masa itu, mereka cuma memulakan perniagaan dengan penjualan 50 buah motosikal import Honda Cub, dan pada tahun 1969 barulah satu persefahaman untuk mengeluarkan motosikal Honda di Malaysia dilakukan dengan Honda Motor Co Ltd. Pada tahun 1986, pengeluaran BSH sudah mencecah 1 juta unit. Pada tahun 2008, Oriental Holdings Berhad dan Honda Motor Co Ltd telah menubuhkan syarikat perkongsian bersama bernama Boon Siew Honda Sdn. Bhd.

    Honda sambut ulang tahun ke-60 dan pengeluaran 5 juta motosikal di M’sia – mula dengan 50 Honda Cub

    “Dalam masa lebih 60 tahun ini, Oriental Holdings Sdn Bhd telah membina hubungan yang rapat dengan Honda Motor dan kami telah menyatukan visi kami untuk menawarkan motosikal yang inovatif dan boleh dipercayai melalui perjanjian tersebut. Melalui kerjasama ini juga kami dapat melihat peningkatan ekonomi Malaysia,” kata pengerusi Boon Siew Honda, Datuk Seri Loh Cheng Yean.

    “Terima kasih atas sokongan yang didapati daripada pelanggan kami di Malaysia, hasilnya Boon Siew Honda telah mencapai pengeluaran 5 juta unit motosikal di sini. Semangat pengasas syarikat ini yang ingin membantu orang ramai dalam kehidupan harian serta mengejar keseronokan menunggang telah diserap oleh semua pekerja dan kami berazam untuk terus memperkenalkan produk yang melebihi jangkaan pengguna,” kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Boon Siew Honda, Nobuhide Nagata.

     
     
  • 12 unit Volkswagen Beetle edisi terhad laris dalam tempoh 20 minit semasa Lazada Online Revolution

    12 unit Volkswagen Beetle edisi terhad laris dalam tempoh 20 minit semasa Lazada Online Revolution

    Dalam tempoh 20 minit sahaja kesemua 12 unit edisi terhad Volkswagen Beetle laris terjual secara dalam talian menerusi Lazada Malaysia. Di mana unit pertama telah berjaya dibeli dalam tempoh 26 saat pertama selepas tengahmalam 12 Disember 2017.

    Beberapa hari lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan SEA Lazada Malaysia telah mengumumkan satu kolaborasi bersejarah yang menyaksikan 12 unit Volkswagen Beetle dijual secara dalam talian. Kerjasama itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki sebuah Volkswagen Beetle edisi terhad yang eksklusif. Ia adalah sempena kempen Lazada Online Revolution yang bermula pada 12 hingga 14 Disember 2017.

    Beetle edisi terhad didatangkan dalam dua rekaan iaitu “Herbie 53” dalam warna putih (Pure White) dan putih perak (White Silver) serta “Hot Bug” yang berwarna merah (Tornado Red). Ia dijual pada harga RM112,112 seunit (tanpa pendaftaran dan insurans). hanya untuk Semenanjung Malaysia sahaja. Ia turut didatangkan dengan jaminan pengeluar dan bantuan tepi jalan selama lima-tahun.

    12 unit Volkswagen Beetle edisi terhad laris dalam tempoh 20 minit semasa Lazada Online Revolution

    Pelanggan yang berminat untuk memiliki Beetle ini hanya perlu melayari platform Lazada dan membeli satu Welcome Kit pada harga RM5,000 yang bertindak sebagai yuran tempahan pra-pembayaran. Welcome Kit ini mengandungi satu rantai kunci Volkswagen dan kad Touch & Go edisi terhad dengan nilai RM100. Sebaik sahaja pembelian dimuktamadkan, pelanggan akan dihubungi oleh wakil Volkswagen bagi membolehkan mereka memilih pengedar serta menyempurnakan proses pembelian.

    “Kami berasa sangat gembira kerana ia berjaya mencipta sejarah di atas kersama ini, dengan menjual 12 unit Beetle edisi terhad dalam tempoh masa yang singkat dan ini dianggap perkara yang luar biasa. Ia benar-benar membuktikan penerimaan rakyat Malaysia terhadap pembelian secara dalam talian,”ujar Erik Winter, pengarah urusan VPCM.

     
     
  • Jentera rali Volkswagen Polo GTI R5 didedahkan

    Jentera rali Volkswagen Polo GTI R5 didedahkan

    Seperti yang diketahui, operasi pasukan rali dunia Volkswagen telah ditamatkan bermula musim WRC tahun ini. Namun, jenama dari Jerman berkenaan nampaknya masih lagi berminat untuk bertanding dalam perlumbaan dengan disiplin tersebut. Oleh itu, mereka telah mendedahkan jentera Polo GTI R5 baharu yang akan diperkenalkan untuk program perlumbaan pelanggan.

    Jentera ini akan diasaskan dari Volkswagen Polo GTI generasi terkini (Mk6) yang baharu sahaja didedahkan pada Jun lalu dan hanya mula dipasarkan pada hujung tahun ini. Untuk versi produksi, Polo GTI akan dijana enjin 2.0 liter empat silinder turbo TSI bekuasa 200 PS, namun untuk bertanding dalam kategori R5, ia perlu dikuasakan dengan enjin dengan kapasiti 1.6 liter turbo.

    Enjin empat-silinder dengan sistem suntikan bahan api terus tersebut mampu menghasilkan kuasa 272 PS/400 Nm. Tenaga dari enjin berkenaan dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear sequential perlumbaan lima-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda. Seperti juga jentara rali lain, kereta ini turut akan diberikan pakej keselamatan yang menyeluruh.

    Menurut Volkswagen, dengan kuasa tersebut dan berat keseluruhan hanya 1,320 kg (mengikut spesifikasi R5 FIA), Polo ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat.

    Pembangunan kereta ini sebenarnya telah bermula pada awal 2017, manakala sesi ujian awalan pada permukaan batu kerikil dan aspal telah dilakukan di Fontjoncouse, Perancis November tahun ini, dan kemudian akan diteruskan di Great Britain bulan ini. Volkswagen akan menggunakan segala kepakaran mereka ketika berkecimpung dalam WRC selama empat tahun (2013-2016) dan mendominasi keseluruhan perlumbaan tersebut dengan menjadi juara pengeluar dan pemandu menerusi Sebastien Ogier sepanjang tempoh berkenaan.

    Projek ini juga diketuai oleh François-Xavier “FX” Demaison, iaitu Pengarah Teknikal Volkswagen Motorsport yang juga orang yang bertanggung jawab menghasilkan jentera Polo R WRC sebelum ini. Jurutera projek senior Gerard-Jan de Jongh iaitu bekas jurutera perlumbaan untuk Sebastien Ogier turut terlibat dalam pembangunan Polo GTI R5 berkenaan.

    “Polo GTI R5 telah menjalani ujian awalan tanpa apa-apa masalah. Maklum balas dari pemandu ujian juga sangat positif,” kata Demaison. “Ia jelas kerana kelebihan yang dimiliki sepasukan jurutera dan mekanik yang berpengalaman, yang membantu membangunkan Polo yang telah memenangi kejuaraan dunia.”

    “Kami turut mengambil kelebihan dari kerjasama rapat dan baik bersama rakan di jabatan pembangunan teknikal di Wolfsburg, serta rakan kami di Škoda, yang telah menawarkan jentera R5 kepada pelanggan mereka sejak 2015,” tambah Demaison.

     
     
  • Kerajaan nilai semula mekanisme penetapan harga minyak tahun depan – elak lebih banyak stesen ditutup

    Kerajaan nilai semula mekanisme penetapan harga minyak tahun depan – elak lebih banyak stesen ditutup

    Kaedah Harga Automatik (APM) yang digunakan sejak 1983 untuk mengawal selia harga minyak di Malaysia akan menyaksikan sedikit perubahan. Kerajaan sedang memikirkan untuk menilai semula APM pada separuh kedua 2018 selepas menimbang pandangan pihak-pihak berkepentingan, lapor The Star.

    Pihak berkepentingan yang dimaksudkan di sini ialah pengusaha stesen minyak, yang segelintir daripadanya tidak berpuas hati dengan cara pelaksaan APM di dalam pendekatan sistem apungan yang diamalkan kini yang menggantikan subsidi minyak pada Disember 2014. Mereka mendakwa sistem terbaru ini menyebabkan harga petrol turun-naik dan inventori yang tidak menentu.

    Menurut akhbar itu, langkah kerajaan untuk tidak lagi mengawal selia harga minyak seperti sebelumnya sejak tiga tahun kebelakangan ini telah menyebabkan percanggahan kepada struktur perjanjian antara pengusaha stesen petrol dan syarikat minyak.

    Masalah ini telah menyebabkan semakin banyak stesen minyak menamatkan operasi. Jika menurut Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) mendakwa 120 stesen terpaksa ditutup dalam tempoh tiga tahun ini. Seluruh negara mempunyai 3,500 stesen minyak.

    Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas menyatakan sebanyak 57 stesen mereka telah tutup dalam tiga tahun terakhir ini. Ia sebuah lonjakan daripada hanya tujuh stesen ditutup bagi tempoh 2012 hingga 2014. Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Shell juga mengikut jejak yang sama; 45 stesen terpaksa ditutup bagi tempoh sama, berbanding hanya tujuh stesen ditutup dari 2012 hingga 2014. 16 stesen Petron pula ditutup dalam tempoh sama.

    Kerajaan nilai semula mekanisme penetapan harga minyak tahun depan – elak lebih banyak stesen ditutup

    Apa penjelasan kerajaan tentang hal ini? Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin di dalam satu wawancara bersama StarBiz menyangkal angka-angka yang diberikan oleh semua persatuan itu dan menyatakan jumlah sebenar stesen minyak yang tutup adalah lebih rendah. Namun, beliau menyedari rungutan pengusaha stesen terhadap masalah untuk mengawal tahap pembelian stok dari syarikat minyak.

    “Bila saya melihat dengan lebih dekat permasalahan itu, ia cenderung ke arah salah faham antara syarikat minyak dan pengusaha stesen,” jelas beliau dan menambah, bergerak ke hadapan, kerajaan akan menilai semula APM yang digunakan sekarang ini dengan melihat ke arah rungutan pengusaha untuk mewujudkan satu kaedah yang menguntungkan mereka dan juga syarikat minyak.

    “Saya perlu melihat cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini, mungkin akan berlangsung pada separuh kedua tahun depan. Harga minyak sedang melonjak kini. Jadi, jika saya ingin menyebelahi pengusaha dalam hal ini, ia dikhuatiri akan menyebabkan inflasi yang lebih tinggi,” jelas beliau.

    Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz menjelaskan situasi ini. Katanya, pengusaha stesen menggunakan untung yang diperoleh daripada pembelian stok dengan kos yang lebih rendah untuk membeli semula stok yang lebih mahal, dan keadaan ini sekarang bertambah rumit.

     
     
  • SPYSHOT: Mazda uji enjin Wankel Rotary generasi baharu pada badan RX-8 di litar Nürburgring, Jerman

    SPYSHOT: Mazda uji enjin Wankel Rotary generasi baharu pada badan RX-8 di litar Nürburgring, Jerman

    Setakat ini, Mazda masih lagi bermain teka-teki adakah mereka akan membina atau tidak generasi baharu kereta sport dengan enjin Rotary, sebagai legasi kepada barisan model siri RX sebelum ini. Namun dalam ketidakpastian berkenaan, pengeluar dari Hiroshima berkenaan nampaknya menguji sebuah RX-8 di litar Nürburgring, Jerman, dipercayai dijana enjin Wankel Rotary generasi baharu.

    Kereta berkenaan mengenakan nombor pendaftaran dari daerah Hochtaunuskreis, Jerman (dikenali menerusi abjad ‘HG’ pada plat nombor) sama seperti kereta-kereta prototaip Mazda yang ditemui diuji sebelum ini. Ini adalah kerana Mazda mempunyai pusat R&D di Eropah yang terletak di bandar Oberursel dalam daerah berkenaan.

    Untuk RX8 yang digunakan pada ujian kali ini, ia diberikan bampar hadapan dengan liang kemasukan udara lebih besar dan juga paip-paip tambahan – dipercayai bagi membekalkan lebih udara untuk enjin yang lebih berkuasa.

    Selepas produksi RX-8 ditamatkan pada 2012, Mazda pernah hadir dengan kereta sport konsep dengan enjin Wankel Rotary pada tahun 2015, namun setahun selepas itu CEO mereka, Masamichi Kogai menyatakan syarikatnya belum bercadang untuk membina model produksi sebenar. Kogai menegaskan bahawa Mazda kini sedang membangunkan enjin Rotary yang akan berfungsi sebagai enjin penambah jarak untuk sistem hibrid yang akan diperkenalkan pada tahun 2019.

    SPYSHOT: Mazda uji enjin Wankel Rotary generasi baharu pada badan RX-8 di litar Nürburgring, Jerman

    Namun, jenama berkenaan turut ditemui telah mempatenkan enjin Wankel Rotary turbo generasi baharu digelar SkyActiv-R yang menampilkan kedudukan port kemasukan dan port ekzos yang diterbalikkan berbanding enjin 13B, 12A mahupun 10A sebelum ini.

    Menurut khabar angin, enjin baharu ini bukan sahaja kembali disuap dengan turbo (enjin Renesis 13B pada RX-8 sebelum ini tidak diberikan turbo seperti 13B pada RX-7 FD3S dan FC3S), malah kapasitinya turut ditingkatkan kepada 1.6 liter dan mampu menjana sekitar 400 hp. Ada juga khabar yang mengatakan, ia turut akan dibantu motor elektrik hibrid, dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 450 hp.

    Bagi model generasi baharu yang mungkin digelar RX-9 tersebut, ia dijangka akan dibina dengan pelbagai komponen dan struktur yang lebih ringan. Manakala untuk rekaannya pula, ia mungkin akan menerapkan rupa dari model konsep RX-Vision sebelum ini.

    Dengan kemunculan unit ujian ini, mungkin ia petanda bahawa model sports rotary generasi seterusnya akan menjadi kenyataan pada masa akan datang. Ketua R&D Mazda, Kiyoshi Fujiwara sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekumpulan kecil jurutera masih lagi ditugaskan untuk pembangunan enjin Rotary turbo berkenaan, untuk kereta sport yang akan diletakkan lebih tinggi dari MX-5.

     
     
  • Pemilik kenderaan di Singapura boleh hantar servis di bengkel luar tanpa batalkan waranti – diikuti M’sia?

    Pemilik kenderaan di Singapura boleh hantar servis di bengkel luar tanpa batalkan waranti – diikuti M’sia?

    Menurut Suruhanjaya Persaingan Singapura (CCS), pemilik kenderaan di negara tersebut kini boleh menghantar kenderaan mereka ke pusat servis persendirian tanpa membatalkan waranti, memandangkan kebanyakan pengedar kereta di sana telah bersetuju untuk menarik balik sekatan terhadap waranti kenderaan dan dokumen yang berkaitan dengannya.

    “CCS telah menyatakan rasa khuatir berkenaan perkara ini kepada pengedar kenderaan utama dan bekerjasama dengan mereka untuk menghapuskan sekatan terhadap waranti kenderaan dan dokumen yang berkaitan dengannya.,” kata suruhanjaya tersebut, dengan menambah bahawa pengedar yang terlibat telah bersetuju untuk melakukan perubahan yang patut kepada terma waranti oleh CCS. Semua perubahan ini akan dilaksana menjelang 31 Disember.

    Sekatan yang menghalang pemilik kenderaan menghantar kenderaan mereka ke bengkel persendirian dilihat mengehadkan kemampuan mereka untuk bersaing dengan pusat servis rasmi. Apabila perubahan kepada sekatan ini dilaksana, pengedar kenderaan hanya boleh membatalkan waranti apabila kerosakan didapati benar-benar disebabkan oleh bengkel persendirian tersebut.

    Informasi yang didapati daripada pengedar kenderaan di negara tersebut menunjukkan bahawa pelanggan yang menghantar kenderaan mereka ke pusat servis rasmi berkurangan selepas tempoh waranti tamat. Kedatangan ke pusat servis rasmi ini boleh naik sehingga 90% dalam tempoh beberapa tahun pertama kenderaan baru dijual, dan boleh menurun sehingga 40% apabila kenderaan tersebut semakin berusia.

    Pemilik kenderaan di Singapura boleh hantar servis di bengkel luar tanpa batalkan waranti – diikuti M’sia?

    Menurut CCS lagi, maklum balas pasaran juga menunjukkan bahawa pusat servis rasmi mengenakan bayaran alat ganti dan upah dua hingga tiga kali ganda lebih mahal berbanding bengkel persendirian. “Penghapusan sekatan waranti ini akan mewujudkan keadaan pasaran membaiki kenderaan dan servis yang lebih kompetitif, dengan lebih banyak pilihan bagi pemilik kenderaan, dan peluang lebih baik bagi bengkel persendirian yang sedia ada,” tambah CCS.

    Antara jenama dan pengedar yang telah didekati dan mendapat kerjasama dengan CCS adalah termasuk Alpine Motors Pte. Ltd. (Chevrolet), Borneo Motors (Singapore) Pte. Ltd. (Toyota dan Lexus), Cycle & Carriage Industries Pte. Ltd. (Citroen, Kia, Mercedes Benz dan Mitsubishi), Eurokars Group of Companies (Porsche, Mazda dan MINI), Kah Motor Co. Sdn. Bhd. (Honda), Komoco Motors Pte. Ltd. (Hyundai), Motor Image Enterprises Pte. Ltd. (Subaru), Performance Motors Ltd. (BMW), dan Tan Chong Motor Sales Pte. Ltd. (Nissan).

    Sementara itu bagi Volkswagen Group Singapore Pte. Ltd. (Volkswagen) dan Premium Automobiles Pte. Ltd. (Audi), CCS mendapati ia tidak mempunyai sekatan seperti itu dalam waranti mereka. Suruhanjaya itu juga memberitahu bahawa pengedar yang disebutkan awal tadi mencatat 90% daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual di Singapura tahun lepas.

    Apa pendapat anda? Patutkah langkah yang sama dilakukan di Malaysia? Mungkin ada pemilik yang mempunyai pilihan bengkel sendiri yang dipercayai.

     
     
  • Renault dan Daimler dedah enjin 1.3 turbo baharu

    Renault dan Daimler dedah enjin 1.3 turbo baharu

    2017 – Energy TCe 115 to 160 engine

    Renault telah memperkenalkan enjin empat silinder 1.3 liter petrol turbo baharunya, yang dihasilkan oleh Pakatan Renault-Nissan bersama pemilik jenama Mercedes-Benz iaitu Daimler. Untuk permulaan, enjin ini akan menjana MPV Renault Scenic dan Grand Scenic di Eropah, serta akan diperkenalkan secara progresif pada model-model Renault lain menjelang tahun 2018.

    Menurut Renault, enjin ini menerima teknologi salutan pada silinder yang dikenali sebagai Bore Spray Coating – teknologi yang sama diterima dalam penghasilan enjin Nissan VR38DETT untuk R35 GT-R. Selain itu, ia turut menerima sistem suntikan bahan api terus dan juga sistem Dual Variable Timing Camshaft – membolehkan enjin baharu ini memberikan tork lebih tinggi pada takat rpm rendah serta tork yang linear pada takat rpm tinggi.

    Enjin ini dihasilkan dalam tiga talaan kuasa. Untuk varian asas Energy TCe 115 ia menjana 115 hp pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 220 Nm bermula 1,500 rpm, manakala versi Energy TCe 140 pula dapat menghasilkan 140 hp pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,600 rpm. Enjin Energy TCe 115 dipadankan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan, sementara versi lain pula turut diberikan transmisi automatik Efficient Dual-Clutch (EDC).

    Untuk versi paling berkuasa Energy TCe 160, enjin berkenaan mampu mengekstrak 160 hp pada takat 5,500 rpm. Jumlah tork untuk enjin ini pula bergantung pada transmisi yang dibekalkan di mana versi manual enam-kelajuan mampu menjana 260 Nm bermula 1,750 rpm, manakala versi automatik EDC pula dapat menghasilkan jumlah tork 10 Nm lebih tinggi bermula 1,800 rpm.

    Selain dari Renault, enjin ini turut dijangka akan menjana model-model dalam Pakatan berkenaan iaitu Nissan dan Mitsubishi. Dan, oleh kerana ia turut dibina bersama Daimler, Mercedes-Benz A-Class generasi berikutnya juga mungkin akan dijana enjin ini.

    Untuk pengetahuan anda, ini bukan kali pertama Pakatan Renault-Nissan bekerjasama dengan Daimler. Antara contoh kerjasama mereka sebelum ini termasuk Infiniti Q50/Q60 (Nissan Skyline V37) yang menggunakan enjin 2.0 liter turbo dari Mercedes-Benz, serta trak pikap Mercedes X-Class yang dibina berasaskan Nissan Navara NP300.

     
     
  • Lebuhraya Senai-Desaru bakal dinaik taraf menjadi empat lorong – bagi mengelakkan trafik terus sesak

    Lebuhraya Senai-Desaru bakal dinaik taraf menjadi empat lorong – bagi mengelakkan trafik terus sesak

    Sebelum ini ada pengguna Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) mengeluh dengan keadaan laluan terbabit yang hanya mempunyai dua lorong sahaja. Di mana laluan daripada susur keluar tol Cahaya Baharu, Masai menuju ke Bandar Penawar, dibina dengan laluan dua lorong dua hala sehingga ke tol Bandar Penawar.

    Malahan ia seringkali mengundang kesesakan yang agak teruk biar pun pada mula pembinaannya dijangka kadar trafik di situ tidak begitu padat, namun sangkaan tersebut meleset sama sekali. Bukan itu sahaja, kemalangan jalan raya juga kerap kali dilaporkan di sana.

    Perkara ini mendorong pihak kerajaan untuk meluluskan projek menaik taraf SDE iaitu membabitkan pembinaan 26 kilometer laluan dua lorong sedia ada kepada empat lorong dua hala bagi keselesaan pengguna, laporan Berita Harian.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, kerja naik taraf itu kini di peringkat akhir kaji selidik dan memuktamadkan reka bentuk sebelum tender dibuka pada tahun hadapan. Walau bagaimana pun, beliau enggan mendedahkan nilai projek berkenaan.

    “Kita (kementerian) juga sudah mendapatkan kelulusan secara prinsip dan ditenderkan untuk naik taraf SDE daripada dua lorong menjadi empat lorong dua hala. Perkara ini (naik taraf) akan ditender tahun hadapan dan dengan itu secara keseluruhan kawasan Pengerang dengan jaringan jalan rayanya dapat disiapkan dan tingkatkan aktiviti serta ekonomi setempat di sini,” katanya.

    Beliau turut berkata, kerja naik taraf SDE yang disusuli pembinaan empat fasa jalan FT092 bernilai RM1.86 bilion akan memberi akses kepada penduduk, selain membantu pelaburan berimpak tinggi industri berasaskan eksport.

    SDE sepanjang 77 kilometer menghubungkan Senai ke Bandar Penawar, Kota Tinggi mula dibuka kepada pengguna, pada Jun 2011.

     
     
  • Kahn Automobiles perkenalkan Land Rover Defender enam tayar dengan bumbung kanvas boleh buka

    Kahn Automobiles perkenalkan Land Rover Defender enam tayar dengan bumbung kanvas boleh buka

    Hasil kerja Kahn Automobiles sememangnya terkenal bukan sahaja di negara asal mereka iaitu United Kingdom, malah di serata dunia. Syarikat pengubah suai kenderaan, terutamanya jenis 4×4 ini telah mencipta nama dengan kerja yang berkualiti, bertaraf tinggi dan premium.

    Untuk hasil terbarunya, Kahn telah mengeluarkan gambar awal sebuah model Defender yang diubah suai dengan enam tayar. Model seperti ini pernah dijual oleh Kahn sebelum ini, tetapi bezanya untuk model baru ini adalah ia mempunyai bumbung belakang boleh buka elektronik. Model ini digelar sebagai Flying Huntsman Coach Built 6×6 Soft Top.

    Harga model baru oleh Kahn ini masih belum diberitahu, malah gambar yang dikeluarkan cuma satu, dengan memberitahu lebih banyak perincian akan diumumkan kelak. Selain tambahan tayar serta bumbung tersebut, model ini juga dilihat mempunyai tambahan panel badan di bahagian tepi (atas lengkuk tayar) serta hud hadapan yang berbonjol.

    Kahn Automobiles perkenalkan Land Rover Defender enam tayar dengan bumbung kanvas boleh buka

    Bagi model Defender 6×6 sebelum ini, iaitu Flying Huntsman 6×6, Kahn menggunakan asas Land Rover Defender 2.2 TDCI, yang mempunyai kuasa 122 hp dan ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, dan sistem pacuan enam roda buatan khas serta differential tengah yang boleh dikawal secara elektronik. Seperti yang boleh dilihat dalam web syarikat ini, harga model tersebut adalah £249,995 (RM1.36 juta).

    Ya, harga tersebut memang sudah menyamai tahap supercar, dan selain naik taraf mekanikal, Kahn juga mengubah suai hampir keseluruhan kenderaan termasuk bahagian dalamnya supaya menjadi lebih mewah, moden dan unik dengan gaya tersendiri.

    GALERI: Land Rover Defender ubah suai oleh Kahn Automobiles

     
     
  • Kerajaan rancang hab pengangkutan awam di Putrajaya diberi penambahbaikan lebih bersepadu

    Kerajaan rancang hab pengangkutan awam di Putrajaya diberi penambahbaikan lebih bersepadu

    Kerajaan akan merancang untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di Putrajaya supaya pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu memiliki hab pengangkutan awam darat bersepadu pada masa akan datang.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, perancangan itu akan turut mengambil kira cadangan untuk meningkatkan jumlah perkhidmatan bas ekspres dari seluruh semenanjung mahupun Singapura dan Thailand ke Putrajaya bagi menarik kemasukan pelawat daripada pelbagai destinasi, laporan Bernama.

    “Selain itu cadangan mewujudkan perkhidmatan monorel dan trem di Putrajaya akan dikaji semula selepas ini supaya penduduk Putrajaya menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan. Ketika awal penubuhan Putrajaya, penduduknya hanya 15,000 namun kini sudah mencecah lebih 80,000. Oleh itu, beberapa perkara perlu dilihat semula untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di Putrajaya,” ujar beliau yang juga merupakan anggota Parlimen Putrajaya.

    Kenyataan itu diungkapkan selepas menyaksikan perjanjian pengambilalihan saham syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours (PAPTT) Sdn Bhd, di antara Putrajaya Leisures and Services (Pulse) Group Sdn Bhd dan Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) (KBESM) Sdn Bhd.

    Sebelum ini, kedua-dua pihak sudah menandatangani memorandum persefahaman pada Oktober lepas, dan GETS Global mengumumkan untuk memastikan 150 buah bas elektrik akan beroperasi di Putrajaya menjelang 2025 bagi menggantikan bas menggunakan gas asli (NGV) yang sedia ada.

    Katanya lagi, beliau ingin melihat penggunaan bas elektrik di Putrajaya dapat dilaksanakan lebih awal dari 2025.

    Selain itu, perbincangan akan diadakan untuk memperkenal perkhidmatan bas percuma di Putrajaya sebagaimana perkhidmatan GOKL di Kuala Lumpur selepas ini, katanya.

     
     
  • Kenderaan EEV kini cecah 45.6% di atas jalan – MITI

    Kenderaan EEV kini cecah 45.6% di atas jalan – MITI

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyatakan, jumlah kenderaan cekap tenaga (EEV) boleh mencapai sasaran awal sebanyak 50% menjelang hujung tahun ini.

    Ketika ini, jumlah kenderaan EEV yang berada di atas jalan raya Malaysia terdiri daripada 45.6%, atau kurang lebih 380,000 unit kereta dan 150,000 motosikal seperti dilaporkan The Sun.

    Ong juga menjelaskan angka bagi kenderaan EEV ini juga menyaksikan pertumbuhan purata 4.1% setiap bulan, dan peratusan berkenaan boleh terus tumbuh dan melangkaui 50%, ujarnya.

    “Tahun lalu, terdapat 42% kenderaan EEV, dengan membawa jumlah 403,200 kenderaan di atas jalan raya negara ini. Walaupun kami yakin ia akan mencapai 50% tahun ini, itu juga bukanlah sesuatu untuk kita berpuas hati. Kami berharap semua kenderaan di atas jalan negara ini nanti adalah EEV, tapi ia perlukan masa sebelum dapat dicapai, jelas Ong.

    “Kami mahu setiap titis petrol digunakan secekapnya untuk menjana kuasa bagi kenderaan. Tetapi dalam masa yang sama ia juga perlu mengurangkan kesan terhadap alam,” tambahnya lagi, dan menjelaskan harapan kementerian untuk melihat semua kenderaan baru di jalan raya adalah EEV. Sasarannya, pada tahun 2022, jumlah kenderaan EEV yang ingin dicapai ialah 80%.

     
     
  • Yamaha Indonesia lancar NMax 2018 yang dipertingkat

    Yamaha Indonesia telah memperkenalkan model NMax 2018, untuk pasaran di sana dan ia melihatkan beberapa perubahan dan naik taraf. Pertamanya, yang mengubah penampilan skuter ini adalah pilihan warna, di mana ia ditawarkan dalam empat warna baru iaitu hitam matte dengan rim warna emas, biru dengan rim hitam, kelabu matte dengan rim emas dan putih dengan rim kelabu. Warna hitam dan biru itu adalah warna yang ditawarkan di Malaysia pada masa ini.

    Jika sebelum ini NMax datang tanpa sistem brek ABS, tapi untuk model baru ini, pilihannya sudah ada, dengan terdapat beza harga 3.9 juta rupiah (RM1,113) di antara model yang dilengkapi dengan ABS two-channel dan model yang tidak mempunyai ABS. Diharap nanti, Hong Leong Yamaha juga boleh memperkenalkan sistem ABS ini nanti untuk NMax di pasaran Malaysia.

    Selain daripada itu, dua lagi perubahan ketara yang dilakukan pada NMax 2018 di Indonesia adalah panel meter LCD baru dengan pencahayaan terbalik (sebelum ini LCD tersebut menggunakan paparan belakang putih dan tulisan hitam, kini sebaliknya), dan suspensi belakang yang mempunyai tabung gas. Penggunaan suspensi ini dikatakan dapat menaikkan keselesaan serta stabil di atas pelbagai jenis jalan.

    Tiada perubahan pada kuasa enjin, di mana unit satu silinder 155 cc SOHC dengan sistem penyejukan udara dan VVA padanya masih lagi menghasilkan 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini adalah menggunakan sistem suntikan bahan api dan dipadankan dengan transmisi automatik jenis V-Belt.

    Di Malaysia, Yamaha NMax dijual pada harga RM8,812 termasuk GST, dan terletak di bawah satu lagi skuter Yamaha yang menggunakan enjin sama, tetapi lebih sporty iaitu NVX pada harga RM10,500 termasuk GST. Keistimewaan lain NMax adalah ia dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang, tangki minyak 6.6 liter, lampu hadapan LED dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk.

     
     
  • SPAD tingkatkan penguatkuasaan mulai 22 Dis hingga 2 Jan – tangani isu pemandu langgar undang-undang

    SPAD tingkatkan penguatkuasaan mulai 22 Dis hingga 2 Jan – tangani isu pemandu langgar undang-undang

    Sempena dengan musim cuti persekolahan, sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2018, pastinya ramai di antara kita yang mengambil cuti panjang. Jadi, bagi anda yang memandu, pastikan mengamalkan pemanduan yang selamat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya. Dan bagi yang menaiki pengangkutan awam termasuk bas ekspres, kalau ada pemandu yang tidak mengamalkan pemanduan berhemah, segera laporkan perkara tersebut ke pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    Dalam masa yang sama, SPAD akan melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu 24 jam mulai 22 Disember ini hingga 2 Januari hadapan. Ia adalah sempena dengan musim cuti sekolah, Krismas dan Tahun Baharu 2018. laporan Bernama.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, operasi tersebut akan melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan pihak penguatkuasa Lebuhraya. Ia adalah bagi menangani isu pengendali pengangkutan awam dan pemandu yang melanggar undang-undang.

    SPAD tingkatkan penguatkuasaan mulai 22 Dis hingga 2 Jan – tangani isu pemandu langgar undang-undang

    Kataya lagi, antara tindakan diambil termasuklah melakukan operasi penyamaran, audit penguatkuasaan terhadap rekod Sistem Kedudukan Global (GPS) kenderaan, rondaan dan perangkap kelajuan serta pemantauan kamera litar bertutup (CCTV) di Pusat Operasi Lebuh Raya.

    “Pegawai penguatkuasaan SPAD juga akan meronda lokasi-lokasi di pusat bandar serta terminal-terminal bas bagi memeriksa kaunter tiket dan dokumen, selain memantau dan mengambil tindakan terhadap aktiviti ulat tiket,” katanya kepada pihak pemberita, semalam.

    Beliau berkata SPAD juga memberi peringatan kepada pengendali bas ekspres supaya mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya melalui penekanan terhadap pematuhan Kod Amalan Industri SPAD selain mematuhi peraturan keselamatan setiap masa.

    Katanya SPAD juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali pengangkutan awam yang didapati cuai dalam pengurusan operasi mereka.

     
     
  • Volkswagen Jetta 2019 – lagi gambar ‘teaser’ didedah

    Volkswagen Jetta 2019 – lagi gambar ‘teaser’ didedah

    Volkswagen telah mendedahkan lagi teaser bagi model Jetta 2019, dengan mempamerkan dengan lebih jelas profile sedan itu, walaupun masih dalam bentuk lakaran.

    CEO Volkswagen Amerika Utara, Hinrich Woebcken sebelum ini ada memaklumkan bahawa Jetta terbaru itu nanti akan mengambil pendekatan rekaan sebuah coupe, dan nampaknya itu memang benar-benar terjadi, seperti apa yang dapat dilihat pada gambar ini.

    Cermin bahagian belakangnya melengkung lebih dekat ke arah spoiler dan lampu belakang, memberikan imej coupe berkenaan. Sementara itu, bahagian depan juga nampak lebih menonjol – rekaan lampu utama lebih besar (mungkin dengan pilihan LED) dan bersambung dengan gril hexagonal.

    Dibandingkan dengan satu lagi gambar yang dinaikkan pada laman web Volkswagen Kanada (gambar bawah), dapat dilihat ada persamaan ketara antara keduanya – yang kedua ini nampak lebih berpetak penampilannya.

    Volkswagen Jetta 2019 – lagi gambar ‘teaser’ didedah

    Mungkinkah akan ada dua versi bagi Jetta generasi terbaru nanti, sama seperti yang pernah dilakukan bagi model Passat sebelum ini, yang mana ada model spesifik yang direka khusus untuk pasaran Amerika Utara? Tidak seperti sedan yang lebih besar itu, Jetta setakat ini hanya hadir dalam satu bentuk sahaja bagi setiap generasinya. Untuk mengesahkan perkara ini, kita perlu menungggu hingga model berkenaan dikeluarkan.

    Laporan awal dari media di sana memberi petunjuk bahawa Jetta baru ini lebh besar berbanding yang lama, dengan ukuran 43.5 mm lebih panjang, 20 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi. Jarak antara roda juga meningkat sebanyak 33 mm menjadi 2,685 mm – tentunya menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas.

    Jetta baru itu nanti menggunakan platform MQB yang turut digunakan oleh model Golf, Polo dan juga Atlas terkini. Enjin dijangka akan menggunakan unit 1.4 liter turbo petrol, digandingkan dengan sama ada kotak gear automatik lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan untuk pasaran AS.

     
     
  • Lapor jalan berlubang di Selangor menerusi Waze

    Lapor jalan berlubang di Selangor menerusi Waze

    Sebagai seorang warga Selangor yang sejak dilahirkan memang duduk di Shah Alam, penulis melihat masalah jalan berlubang di serata tempat tidak pernah selesai. Ada jalan yang baru diturap, akan kembali berlubang. Atau sekian lama lubang tersebut kelihatan, barulah ia diturap. Pernah sekali penulis terlihat seorang penunggang motosikal kemalangan gara-gara terlanggar jalan yang berlubang. Kesian brader tu, dah lah motor rosak, badan dia sendiri mengalami luka ringan.

    Kini, mungkin masalah jalan berlubang di sekitar Selangor boleh diatasi dengan kadar segera apabila aplikasi Waze yang selama ini lebih sinonim sebagai sistem navigasi, telah mengetengahkan satu lagi fungsi yang membolehkan para pengguna melaporkan terus aduan kerosakan jalan ini kepada Kerajaan Negeri Selangor. Ya, ia hanya untuk aduan jalan berlubang di sekitar Selangor sahaja.

    Ini selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, pada April 2016, yang menurutnya, terdapat banyak mekanisma yang boleh digunakan dengan aplikasi ini, jadi pihak kerajaan negeri mahu bekerjasama dengan Waze yang membolehkan pengguna jalan raya terus melaporkan mana-mana jalan berlubang kepada perbandaran tempatan supaya tindakan segera dapat diambil.

    Apa yang perlu pengguna lakukan, cukup mudah. Apabila anda melihat ada jalan berlubang, segera memaklumkan kepada penumpang anda (atau anda sendiri boleh lakukan dengan syarat; sila berhentikan kenderaan anda di kawasan yang selamat dan jangan sesekali menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu!) dan tekan ikon Reports.

    Ikon Reports ini akan memberikan tiga jenis laporan. Kemudian pilih ikon Hazard. Dan pada Hazard Menu, pilih Hazard On Road dan kemudian Pothole.

    Seterusnya tekan ikon Share untuk menghantar laporan terbabit.


    Menerusi kenyataan yang dikongsikan oleh pihak Waze, Majlis Perbandaran Negeri Selangor akan menampal lubang terbabit dalam tempoh lima hari selepas aduan diterima.

    “Dengan inisiatif ini, pemandu di Selangor dapat membuat aduan secara lebih efektif kepada majlis perbandaran tempatan, jadi pihak terbabit boleh segera menampal lubang terbabit. Waze sentiasa bersama masyarakat dan kami juga mengalu-alukan agar lebih banyak pihak kerajaan negeri bekerjasama dengan kami menerusi program pertukaran data secara percuma ini,” ujar Edward Ling, Pengurus Negara bagi Waze Malaysia.

    Menurut Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), sebanyak 12 majlis perbandaran di bawah kerajaan Negeri Selangor yang terlibat iaitu Petaling Jaya (MBPJ), Shah Alam (MBSA), Hulu Selangor (MDHS), Kuala Langat (MDKL), Kuala Selangor (MDKS), Sabak Bernam (MDSB), Ampang Jaya (MPAJ), Kajang (MPKJ), Klang (MPK), Selayang (MPS), Sepang (MPSepang) dan Subang Jaya (MPSJ).

    Lapor jalan berlubang di Selangor menerusi Waze

    Walau bagaimana pun, terdapat beberapa jalan di Selangor adalah terletak di bawah pengurusan persendirian atau pun dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), pejabat daerah/tanah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan juga syarikat konsesi lebuhraya.

    Timbalan Pengarah Program SSDU DR Fahmi Ngah berkata, dari Januari hingga November tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menerima lebih 19,000 aduan menerusi pengguna Waze dan telah menampal hampir kesemua jalan berlubang yang di bawah seliaan pihak penguatkuasa tempatan.

    “Kerjasama dari rakyat ini telah menunjukkan impak yang ketara dan kami berharap agar rakyat Selangor terus membantu negeri ini bagi mengesan jalan berlubang melalui aplikasi Waze,” ujarnya.

     
     
  • PANDU UJI: Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD – harga, kelengkapan jadi kelebihan; itu sudah cukup?

    PANDU UJI: Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD – harga, kelengkapan jadi kelebihan; itu sudah cukup?

    Ketika membicarakan tentang SUV dalam segmen C, ketika ini terdapat sangat banyak pilihan yang menarik ditawarkan dalam pasaran tempatan. Hero utama tentulah Honda CR-V, yang sejak dari generasi awalnya menjadi pilihan ramai – pengenalan model generasi terbarunya tahun ini pula mengukuhkan lagi kedudukan itu.

    Kemudian, ada model-model seperti Nissan X-Trail, Mazda CX-5, Hyundai Tucson, Volkswagen Tiguan, Kia Sportage, Peugeot 3008 dan tentulah senarai ini boleh jadi lebih panjang lagi. Tetapi, semua SUV yang disebut ini – kecuali Nissan X-Trail – hadir dengan kapasiti yang mampu menampung lima penumpang sahaja. Nissan X-Trail hadir dengan tujuh-tempat duduk, atau lebih tepat sebenarnya 5+2.

    Jika mengambil kira jumlah tujuh tempat duduk yang ditawarkan pada mana SUV dalam kelas yang sama ini, ia hanya akan meninggalkan kita dengan dua pilihan sahaja sebenarnya – Nissan X-Trail dan juga model SUV yang akan kita tinjau lebih dekat dalam ulasan ini, iaitu Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD pemasangan tempatan (CKD).

    Mitsubishi Outlander ini pula bukanlah model yang baru diperkenalkan di sini. Ia awalnya diperkenalkan secara rasmi di Malaysia sekitar April 2016, dalam versi import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dengan hanya satu pilihan enjin iaitu 2.4L liter 4WD sahaja. Harga jualannya ketika itu ialah RM166,720 tanpa insurans.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Mazda tidak berminat dengan pembangunan enjin turbo berkapasiti kecil dan transmisi CVT – laporan

    Mazda tidak berminat dengan pembangunan enjin turbo berkapasiti kecil dan transmisi CVT – laporan

    Mazda sekali lagi menegaskan pendirian mereka yang tidak berminat untuk menghasilkan enjin-enjin berkapasiti kecil dengan suapan pengecas turbo dan juga transmisi CVT yang agak tidak seronok digunakan ketika memandu.

    “Kami telah mengenalpasti bahawa transmisi CVT dan enjin turbo berkapasiti kecil bukanlah solusi yang kami mahu. Ia tidak akan memberikan perasaan pemanduan sebuah Mazda,” kata jurutera janakuasa Mazda Amerika Utara Jay Chen kepada Road & Track semasa berlangsungnya Los Angeles Auto Show 2017.

    Menurut Chen lagi, strategi pengeluar automotif lain yang membina enjin turbo berkapasiti kecil ini hanyalah untuk “cuba mendapatkan ekonomi bahan api yang bagus dan kecekapan enjin dalam satu poin operasi yang sangat kecil.” Walau bagaimanapun, Chen mendakwa angka tersebut hanya cantik pada atas kertas, tetapi tidak pada pemanduan dunia sebenar. Tambahan pula, enjin sedemikian adalah tidak seronok untuk dipandu, tambah Chen.

    Buat masa sekarang, enjin NA dengan kapasiti besar Mazda SkyActiv-G generasi sedia ada masih lagi dihadapan berbanding enjin turbo kecil pengeluar lain sama ada untuk penghasilan CO2 mahupun kemampuan pemanduan. Enjin berkenaan mampu beroperasi dengan rpm yang lebih tinggi dan mampu mencapai nisbah mampatan setinggi (minimum 13.0:1) bagi memberikan pembakaran lean, manakala enjin diesel SkyActiv-D pula mampu menghasilkan nisbah mampatan lebih rendah dari enjin diesel konvensional dengan bacaan 14.0:1.

    Mazda tidak berminat dengan pembangunan enjin turbo berkapasiti kecil dan transmisi CVT – laporan

    “Kami tidak perlu untuk percaya apa yang orang lain lakukan. Kami percaya enjin pembakaran dalaman akan kekal dan percaya pendekatan kami adalah lebih baik. Sebelum ini Mazda telah cuba untuk bersaing dengan Toyota dan Honda sebagai pengeluar arus perdana, dan sebagai akibatnya kami telah terjejas,” kata Chen.

    Malah dengan langkah pengenalan enjin SkyActiv berkenaan pada tahun 2012 telah mendorong Toyota untuk membeli 5% kepentingan di dalam Mazda bagi membolehkan mereka belajar kepakaran syarikat pengeluar automotif dari Hiroshima tersebut dalam membina enjin.

    “Mereka [Toyota] sebenarnya mula melihat apa kelebihan usaha yang kami lakukan. Secara jelas, enjin baharu Toyota adalah hampir sama dengan enjin SkyActiv-G kami. Mereka cemburu dengan kami dan kebolehan kami untuk melakukan perkara yang berbeza dari kebiasaan. Perjanjian yang mereka lakukan bertujuan untuk belajar kepakaran kami dalam membina enjin. Sebab itu kami tidak mahu membangunkan transmisi CVT atau enjin turbo berkapasiti kecil, atau hibrid konvensional,” tegas Chen.

    Walaupun tidak berminat untuk menghasilkan enjin turbo di bawah sesaran 2.0 liter, Mazda masih lagi membina enjin turbo petrol dengan kapasiti lebih besar. SUV bersaiz besar CX-9 dan juga versi facelift kali kedua Mazda 6 diberikan pilihan enjin 2.5 liter empat silinder turbo SkyActiv-G (228 hp/420 Nm) yang direka bagi menghasilkan karekter tork seperti enjin NA V6 dengan kapasiti lebih besar. Sebagai perbandingan, CX-9 sebelum ini dijana enjin Cyclone V6 3.7 liter berkuasa 274 hp/367 Nm.

    Mazda tidak berminat dengan pembangunan enjin turbo berkapasiti kecil dan transmisi CVT – laporan

    Namun, Chen turut menjelaskan enjin berkenaan bukanlah direka untuk aplikasi prestasi tinggi, jadi tidak perlu untuk menunggu Mazdaspeed 3 (Mazda 3 MPS) generasi baharu atau Mazda MX-5 yang dijana enjin ini. “Miata masih lagi baharu,” katanya dan menambah “kesan kepada alam sekitarnya adalah sangat, sangat rendah.”

    Apa yang menarik, pada Ogos lalu Mazda telah mempatenkan enjin dengan konfigurasi pacuan belakang menggunakan dua pengecas turbo konvensional, bersama sebuah lagi supercharger elektrik. Walau bagaimanapun, enjin tersebut tidak akan diperkenalkan sebelum enjin SkyActiv-D generasi kedua membuat kemunculan sulung menjelang tahun 2020 kelak.

    Namun apa yang ditunggu-tunggu oleh peminat Mazda adalah enjin SkyActiv-X, iaitu enjin yang didakwa sebagai enjin komersial pertama didunia yang menggunakan konsep penyalaan mampatan, tetapi pembakarannya masih dikawal oleh nyalaan palam pencucuh. Enjin tersebut sebenarnya turut menampilkan unit supercharger, tetapi ia bukan bertugas sebagai alat untuk menambah kuasa enjin.

    Sistem berkenaan digelar ‘lean supercharger‘, yang mana fungsi utamanya adalah untuk ‘menolak’ lebih udara dan juga gas ekzos dari sistem EGR kembali ke silinder. “Kami akan mengelakkan dari menggunakan terma ‘superchager’, kerana ia akan membuatkan orang ramai menganggap ia sebuah enjin 2.0 liter supercharger seterusnya mengharapkan jumlah penghasilan kuasa tertentu,” jelas Chen.

    Mazda tidak berminat dengan pembangunan enjin turbo berkapasiti kecil dan transmisi CVT – laporan

    “Dalam usaha untuk mencapai penyalaan dari mampatan, kami menggunakan nisbah campuran bahan api sehingga 50:1, jadi kami perlu menolak lebih banyak udara untuk masuk [ke kebuk pembakaran],” tambah Chen dan menambah “jadi, supercharger ini sebenarnya secara fizikalnya akan memberikan lebih udara dan EGR balik ke dalam silinder, bersama jumlah petrol yang tidak berubah.”

    Turut bercakap berkenaan enjin ini adalah seorang lagi jurutera janakuasa Mazda, Yoshiaki Yamane yang menambah “tugas [supercharger] berkenaan adalah untuk membekalkan udara yang mencukupi ke liang kemasukan, dan oleh itu, ia tidaklah besar sangat.” Beliau turut menjelaskan enjin dengan supercharger besar tidak selalunya sangat cekap bahan api. “Bekalan udara tambahan ini adalah sangat hampir dengan idea situasi pembakaran,” tambahnya lagi.

    Enjin SkyActiv-X ini juga turut tiada masalah untuk dipadankan dengan kotak gear manual, dan berita baik untuk peminat transmisi tersebut, ada kemungkinan Mazda akan menawarkan padanan berkenaan. Buat masa sekarang, Mazda masih lagi menguji enjin SkyActiv-X tersebut dalam versi kotak gear automatik dan juga manual.

    Mazda tidak berminat dengan pembangunan enjin turbo berkapasiti kecil dan transmisi CVT – laporan

    Bagi purist kenderaan-kenderaan Mazda buat masa sekarang, lagi berita baik untuk anda adalah jurutera-jurutera ini mengesahkan karekter enjin baharu berkenaan adalah hampir sama dengan enjin SkyActiv-G sedia ada, tetapi dengan respon yang lebih baik.

    “Pandu Mazda 3 anda pada gear lebih rendah. Selepas itu anda boleh bayangkan bagaimana ia akan dapat dipandu nanti,” kata Chen. Kedua-dua mereka amat berbangga dengan enjin baharu berkenaan yang dijangka akan membuat kemunculan sulung pada 2019.

    Seperti biasa, pembangunan enjin rotary baharu turut ditanya dan menurut Yamane Mazda mempunyai pasukan kecil dianggotai oleh 20 individu untuk memnbangunkan enjin tersebut dan masih lagi belum ada rancangan yang jelas untuk memproduksi kembali teknologi tersebut. Mazda merupakan syarikat yang kecil, jadi ia perlu menumpukan sumber yang sememangnya terhad kepada pembangunan keluarga SkyActiv.

     
     
  • Kia Ray facelift 2018 akan tampil di Korea bulan ini

    Kia Ray facelift 2018 akan tampil di Korea bulan ini

    Kia Ray adalah sebuah model domestik yang dijual di Korea sejak tahun 2011. Ia akhirnya akan diberi facelift, dan pengeluarnya telah menyiarkan teaser lukisan digital di laman Facebook Hyundai Group, berserta kenyataan ia akan membuat penampilan pertama bulan ini.

    Enam tahun untuk satu facelift adalah tempoh masa yang lama, dan mungkin ada yang menyangka ia adalah sebuah model serba baru. Walaubagaimanapun, lukisan yang disiarkan ini menampakkan tiada banyak perubahan, dan boleh membawa makna, ia sememangnya adalah sebuah model facelift dengan sedikit penggayaan yang berbeza.

    Model di dalam lukisan ini tidak lagi mempunyai gril ‘tiger nose‘ di bawah lampu serta logonya, dan ia diganti dengan gril yang lebih bersepadu dan terletak di antara dua lampu hadapannya. Terdapat juga dua lagi gril kecil berasingan di bahagian yang lebih rendah.

    Kia Ray facelift 2018 akan tampil di Korea bulan ini

    Bahagian tepi lampu utama yang pergi ke sisi kenderaan telah dibulatkan, dan kini menggunakan sistem projector, dengan lampu siang LED terletak di bawahnya. Untuk lampu kabus pula, ia kini berbentuk lonjong seperti pil.

    Pergi ke bahagian belakang pula, cermin yang melengkung sehingga ke tepi masih lagi ada, tetapi lampunya telah direka semula dengan bahagian dalamnya mempunyai pencahayaan LED berbentuk C. Bentuk lonjong menegak seperti lampu kabus di hadapan juga digunakan untuk bahagian belakang.

    Keunikan Kia Ray adalah pada bahagian penumpang, iaitu sebelah kanan (stereng di sebelah kiri), ia mempunyai pintu gelungsur dan tidak mempunyai tiang tengah di antara tempat duduk hadapan dan tempat duduk belakang, seterusnya memberikan bukaan yang lebih luas. Panjang keseluruhannya adalah 3.59 meter dan datang dengan enjin Kappa 1.0 liter yang berkuasa 78 hp dan kotak gear automatik empat kelajuan. Ada juga versi elektrik yang menawarkan jarak gerak 139 km.

    GALERI: Kia Ray

     
     
  • HSR Singapura-KL: Cadangan empat perjalanan bagi setiap sejam, dijangka mula beroperasi tahun 2026

    HSR Singapura-KL: Cadangan empat perjalanan bagi setiap sejam, dijangka mula beroperasi tahun 2026

    Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR), yang dijangka beroperasi pada tahun 2026, dicadangkan empat perjalanan bagi setiap jam untuk untuk tempoh kekerapan jadual trennya.

    Menurut Pengarah Komersial MyHSR Corp, Tonny Yeap, dua perjalanan adalah bagi laluan antarabangsa Kuala Lumpur- Singapura dan Singapura-Kuala Lumpur tanpa henti, manakala dua lagi membabitkan perjalanan domestik Kuala Lumpur-Iskandar Puteri, Johor serta sebaliknya, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, bagi perjalanan laluan antarabangsa, ia mengambil masa selama 90 minit, manakala domestik antara Kuala Lumpur ke Iskandar Puteri pula dianggarkan satu jam 50 minit. Selain itu, penumpang laluan domestik boleh menaiki kereta api ulang-alik dari Iskandar Puteri ke Singapura yang mengambil masa 15 minit.

    “Secara tidak langsung, dengan menggunakan HSR, dapat menjimatkan masa antara 48-60% berbanding memandu kenderaan sendiri,” katanya pada sesi taklimat bersama media mengenai projek KL-SG HSR hari ini.

    Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, KL-SG HSR mempunyai lapan stesen iaitu di Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri, selain Jurong East di Singapura.

    Di mana jajaran landasan di Negeri Sembilan membabitkan laluan sepanjang 52 kilometer, manakala stesen HSR di Labu di sini, akan dibina dengan reka bentuk menarik diinspirasikan daripada Istana Besar Seri Menanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026