Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    Sebelum ini ada laporan yang mengatakan bahawa enjin yang digunakan pada Proton X50 dan Geely Binyue adalah tidak sama dengan enjin 1.5L turbo tiga-silinder pada SUV kompak XC40 versi plug-in hybrid (PHEV) iaitu XC40 Recharged T5.

    Namun ketika sesi temu ramah bersama Dr. Håkan Sandquist, pengarah strategi trenkuasa Geely di China Euro Vehicle Technology (CEVT) baru-baru ini, beliau sendiri mendedahkan bahawa enjin yang digunakan oleh ketiga-tiga SUV berkenaan sememangnya dari keluarga yang sama.

    Buat masa sekarang, Volvo XC40 pasaran Malaysia masih hanya ditawarkan dalam versi T5 AWD yang dijana oleh enjin Drive-E 2.0 liter turbo tanpa sistem hibrid. Walau bagaimanapun, model T5 Recharged yang menggunakan enjin 1.5 liter tersebut telah pun dilancarkan di Thailand bulan lalu, dan ia adalah versi CBU yang diimport dari kilang Volvo di Shah Alam, Selangor.

    Jadi model dalam versi lebih mesra alam berkenaan mungkin akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat. Volvo XC40 T5 Recharged ini bukan sahaja menggunakan enjin 1.5 liter yang sama dengan X50 dan Binyue, malah ia juga dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT yang sama.

    CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    New Volvo XC40 T5 plug-in hybrid

    Apa yang berbeza, model PHEV ini menerima motor elektrik yang dipadankan pada kotak gear berkenaan dan ia masih memacu roda hadapan – konfigurasi ini juga sebenarnya sama dengan Geely Binyue PHEV yang dijual pada pasaran China.

    Walau bagaimanapun, Dr Sandquist menjelaskan bahawa pakej akhir untuk kedua-dua versi enjin Volvo dan Geely/Proton ini adalah berbeza. Malah kedua-duanya juga menampilkan kod enjin mengikut konfigurasi jenama masing-masing, di mana enjin Volvo diberikan kod B3154T5, manakala pada Geely/Proton pula ia diberikan kod enjin JLH-3G15TD.

    Apa yang dimaksudkan dengan pakej akhir berkenaan? Enjin 1.5 liter pada Volvo T5 Recharged menghasilkan kuasa 180 PS, manakala untuk Proton X50 Flagship/Geely Binyue dijana enjin 1.5 liter dengan sistem suntikan terus (T-GDI) menghasilkan 177 PS/255 Nm – pastinya ada talaan dan berberapa komponen kecil lain antara kedua-dua enjin ini dihasilkan berbeza.

    Unik untuk pasaran Malaysia, X50 dalam tiga varian lebih rendah diberikan enjin 1.5 liter turbo yang sama tetapi hanya dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (PFI). Versi ini menghasilkan kuasa lebih rendah iaitu 150 PS/226 Nm.

    CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    Walaupun gandingan enjin dan transmisi antara Volvo XC40 dengan Proton X50/Geely Binyue ini adalah sama, kerangka asas badan kedua-dua model berkenaan adalah berbeza. XC40 dihasilkan dengan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo, yang turut digunakan pada model Geely yang lebih premium seperti Xingyue, Xingrui dan berberapa model dari divisi mewahnya iaitu Lynk & Co.

    Manakala untuk Proton X50 dan Geely Binyue pula, ia diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA), yang dihasilkan oleh Geely tanpa penglibatan terus dari Volvo.

    Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, barisan enjin dari keluarga 1.5 liter turbo ini dihasilkan oleh CEVT bagi digunakan untuk pelbagai projek Volvo Cars dan juga Geely Auto, serta jenama-jenama lain di bawah payung kumpulan tersebut termasuk Proton dan Lynk & Co. Sejak ia diperkenalkan, enjin ini telah digunakan pada lebih 600,000 kenderaan, manakala kotak gear 7DCT tersebut pula berada pada lebih satu juta kenderaan.

    Enjin modular dari keluarga Volvo Engine Architecture (VEA) ini dihasilkan dalam saiz yang kompak kerana direka bagi disesuaikan dengan teknologi elektrifikasi seperti sistem hibrid ringkas, penambah jarak, hibrid dan PHEV dengan mudah.

    CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    Selain dari versi T-GDI dan PFI, barisan enjin ini turut menampilkan versi yang beroperasi dalam kitaran Miller – ia menjana kurang kuasa kuda kerana pemasaan injap bervariasinya dilaras bagi memberikan pengunaan bahan api yang lebih efisien, namun kuasa yang berkurang tersebut ditampung dengan penampilan motor elektrik pada sistem hibrid.

    Kami turut bertanya pada Dr Sandquist mengapa sela masa untuk servis pada XC40 Recharge T5 adalah 20,000 km, manakala pada Proton X50 pula hanya 10,000 km. “Sebenarnya, ini adalah soalan yang baik. Ia pastinya berasaskan kualiti minyak enjin dan berberapa perkara lain, tetapi saya tidak pasti perinciannya,” kata Dr. Sandquist.

    “Kami perlu tanya wakil pasaran tempatan. Tetapi ia adalah enjin asas yang sama, jadi satu-satunya perkara yang dapat saya fikirkan adalah perbezaan kualiti minyak enjin,” tambahnya lagi.

     
     
  • JPJ lantik Zailani Hj Hashim sebagai KP baharu

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengumumkan pelantikan Dato’ Zailani Hj. Hashim sebagai Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, bagi menggantikan Datuk Seri Shaharuddin Khalid yang memegang jawatan berkenaan sebelum ini.

    Dengan pengalaman luas bertugas di pelbagai kementerian dan agensi perkhidmatan awam, sebelum ini Zailani pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Selain itu, beliau juga berpengalaman dalam bidang keselamatan dan ketenteraman awam termasuk pernah menjawat jawatan Pegawai Integriti dengan pengalaman bertugas di Kementerian Dalam Negeri.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, JPJ meyakini pelantikan ini akan terus memacu kecemerlangan jabatan berkenaan dalam menggalas amanah negara sebagai agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini.

     
     
  • X Street Mania Tour – tampil perlumbaan supermoto dari MSF, siri Drift dari Tengku Djan dan McClubz

    X Street Mania Tour – tampil perlumbaan supermoto dari MSF, siri Drift dari Tengku Djan dan McClubz

    Siri perlumbaan peringkat akar umbi dalam negara, Malaysia Speed Festival (MSF) kini bergandingan dengan Prince of Drift Tengku Djan Ley dan juga jenama budaya automotif tempatan McClubz bagi menganjurkan X Street Mania Tour, iaitu siri jelajah sukan permotoran yang bakal berlangsung pada 2021.

    Siri ini bakal menyajikan aksi-aksi lebih ‘liar’ untuk peminat sukan permotoran di Malaysia, dengan pusingan-pusingan yang akan diadakan di Subang Jaya, Melaka, Ipoh dan Terengganu, dengan perlumbaan seperti Supermoto dan juga drift. Setiap pusingan hujung minggu X Street Mania ini akan berlangsung selama dua hari, yang turut akan diserikan dengan persembahan lagak ngeri, pameran dan pertandingan-pertandingan seperti autoshow.

    Untuk perlumbaan supermoto dan drift, ia pastinya bakal memberikan aksi-aksi gelangsar dengan asap tayar yang banyak di litar. Acara ini akan dikendalikan MSF dengan pengalaman kejayaan menganjurkan perlumbaan selama 10-tahun di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    “Sasaran kami adalah untuk menghidangkan siri sukan permotoran dengan tahap aksi yang lebih menarik dalam negara dan membawa ia lebih dekat kepada peminat, bagi menghasilkan satu acara yang akan memberikan wow kepada penonton. Sejak dari zaman kami di Proton R3, Tengku Djan dan saya sentiasa mahu mewujudkan acara sukan permotoran ekstrem yang difokuskan kepada hiburan. Ini masa yang tepat untuk dilangsungkan,” kata prinsipal MSF, Adian Yein.

    X Street Mania Tour – tampil perlumbaan supermoto dari MSF, siri Drift dari Tengku Djan dan McClubz

    Kejohanan drift pada X Street Mania ini adalah siri Drift McClubz Speed Junkies yang akan menampilkan kejohanan tahunan, disasarkan akan disertai oleh para drifter terbaik di Malaysia. “Kami mahu menaikkan tahap sukan drift di Malaysia dan membawa semula zaman kegemilangan Formula Drift Asia yang dilangsungkan dari 2009 hingga 2012 dulu,” kata Tengku Djan.

    “Pertandingan drift tahap-tinggi akan mempromosikan serta meningkatkan kualiti drifter di Malaysia, dengan sasaran untuk menghasilkan wakil Malaysia yang berkualiti di kejohanan tahunan Piala FIA Intercontinental Drifting,” tambahnya lagi.

    Siri Speed Junkies Drift ini akan dilangsungkan sebanyak dua pusingan untuk setiap acara hujung minggu X Street Mania Tour berkenaan, di mana setiap satu pusingan akan menawarkan pungutan mata untuk peserta bagi mengejar gelaran juara nasional.

    Untuk perlumbaan Supermoto pula, ia akan diwakili oleh siri MSF SuperMoto. Ia akan menampilkan dua kategori utama iaitu SuperMoto dan HyperMoto. SuperMoto adalah kategoti untuk motosikal 450 cc, dan akan dibahagikan kepada tiga sub-kategori berdasarkan pengalaman penunggang. Manakala untuk HyperMoto pula adalah kategori untuk motosikal lebih dari 450 cc dan akan dibahagi kepada dua sub-kategori; satu-silinder dan dua-silinder.

    “Ramai penunggang MotoGP menggunakan supermoto sebagai asas latihan bagi membina kemahiran menunggang mereka. MSF SuperMoto mensasarkan untuk menaikkan perlumbaan supermoto dengan meningkatkan pendedahan menerusi acara perlumbaan dalam Malaysia, dengan harapan ia akan mewujudkan kumpulan penunggang yang kompetitif dari Malaysia yang kemudiannya boleh berlumba pada peringkat rantau,” kata pengurus komunikasi MSF, Liew Chin Hooi.

    Selain dari perlumbaan-perlumbaan ini, pengunjung yang datang ke setiap acara X Street Mania ini turut akan disajikan dengan hiburan-hiburan tambahan seperti pertunjukan kereta-kereta ubahsuai dari McClubz.

    “Lebih dari 600 kereta hadir pada perhimpunan terakhir Speed Junkies Drift Competition pada 2019. Malangnya kami tak dapat mengadakan aktiviti pada 2020 kerana pandemik, tetapi kami sudahpun mendapat sokongan dari kelab-kelab kereta utama yang mampu untuk menambah warna dan getaran kepada X Street Mania,” kata pengasas McClubz Merlvyn Tan.

    X Street Mania akan diadakan sebanyak lima pusingan pada 2021, dengan pusingan pembukaan di litar Elite Speedway Subang Jaya, Selangor pada 27-28 Februari 2021, diikuti pusingan kedua pada 10-11 April 2021 di Melaka International Motorsports Circuit (MIMC), Melaka.

     
     
  • Proton Iriz RX Supercar 2021 – Iriz R5 lebih liar dengan bekalan 600 hp untuk perlumbaan rallycross Eropah!

    Proton Iriz RX Supercar 2021 – Iriz R5 lebih liar dengan bekalan 600 hp untuk perlumbaan rallycross Eropah!

    Ini satu berita yang tak disangka-sangka – pasukan yang berlumba dalam kejohanan FIA RallyCross Eropah iaitu Team RX Racing mengumumkan mereka akan menghasilkan jentera Proton Iriz RX Supercar yang boleh digunakan dalam kejohanan British Rallycross Championship 5 Nations Trophy, European Rallycross Championship dan World Rallycross Championship bermula pada 2021.

    Jentera ini akan dihasilkan bersama Tony Bardy Motorsport (TBM) dan ia akan diasaskan dari kerangka Proton Iriz R5 yang dibangunkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) di UK. Pembinaan jentera Iriz RX Supercar ini kini sedang berjalan di fasiliti MEM di Derbyshire dan jentera ini nanti akan dipandu oleh pelumba utama Team RX Racing iaitu juara RallyCross British 2007, Ollie O’Donovan.

    Menurut pengasas TBM dan ketua jurutera Team RX Racing, Tony Bardy, selepas 15-tahun berlumba dengan pasukan tersebut menggunakan Ford Fiesta dan Ford Focus dengan spesifikasi RX Supercar berkuasa 600 hp, kini Ollie O’Donovon mahu mencuba sesuatu yang lain dari kebiasaan, dan sebab itu mereka kini memilih Proton Iriz untuk berlumba.

    “Kami ada kereta lain yang dirancang untuk masa hadpaan, tapi Ollie tak nak sama dengan orang lain, dia mahu sesuatu yang berlainan. Saya juga memikirkan perkara yang sama, tapi untuk bermula dari asas ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membina dan membangunkan sesuatu yang benar-benar baru,” kata Tony Bardy.

    Proton Iriz RX Supercar 2021 – Iriz R5 lebih liar dengan bekalan 600 hp untuk perlumbaan rallycross Eropah!

    “Kemudian saya teringat, saya kenal MEM sudah lama, dan Iriz adalah sesuatu yang sangat berbeza. Ia tak ambil masa yang lama untuk kami mengambil keputusan ini, bagi menghasilkan Proton RallyCross Supercar pertama. Pasukan MEM mahu melakukannya, dan mereka komited untuk merealisasikannya.

    “Iriz sudah pun menyertai banyak rali dan membuktikan konsepnya, jadi selagi kami mampu untuk menghasilkan kuasa dari enjin yang kami ada sekarang, yang saya pasti kami boleh, saya tak nampak sebab kenapa kami tak dapat berada pada tahap yang kami mahukan. Kualiti Iriz R5 adalah tinggi, dan untuk terlibat dalam projek baharu ini bersama Iriz RX adalah seperti menghirup udara segar,” jelasnya lagi.

    Menurut Ollie O’Donovan pula, mereka ada cara lebih mudah dengan membeli terus jentera dari kejohanan dunia, tetapi kali ini dia dan pasukannya mahukan sesuatu yang lain dari yang lain.

    “Kereta ini akan diasaskan dari Iriz R5 yang sememangnya sudah berjaya, tetapi ini adalah satu lagi pembangunan yang serba baharu. Ada banyak kerja yang perlu dibuat sebelum kami boleh fikirkan penampilan pertama, tetapi saya sudahpun tak sabar untuk memandunya dalam ujian dan berlumba denganya di litar-litar rallycross terbaik di dunia dalam kejohanan di Britain, Eropah dan Kejohanan Rallycross Dunia,” kata O’Donovan yang juga bertindak sebagai prinsipal pasukan Team RX Racing.

    Proton Iriz RX Supercar 2021 – Iriz R5 lebih liar dengan bekalan 600 hp untuk perlumbaan rallycross Eropah!

    Menurut prinsipal MEM, Chris Mellors pula, ketika mereka membangunkan Iriz R5 ini pasukannya turut memikirkan bahawa jentera ini turut boleh dijelmakan sebagai jentera rallycross, dan sebab itu ia telah pun dihasilkan dengan berberapa ciri yang over-engineered.

    Dan seperti apa yang telah dijelaskan sendiri pada kami sebelum ini, Chris sekali lagi menyatakan asas Iriz itu sendiri sudah cukup bagus kerana menampilkan jarak roda yang paling panjang berbanding jentera R5 lain tetapi tetapi agak pendek dari segi dimensi keseluruhan, bersama pergerakan suspensi yang baik serta geometri suspensi hadapan yang sangat mengkagumkan direka oleh jurutera Proton dari kilang.

    “Kami ada banyak talaan yang boleh dibuat dan kami akan buat komponen-komponen khas baru yang sesuai untuk rallycross, tetapi kami sudah tidak jauh dari itu. Kami sudahpun mendapatkan keputusan yang sangat positif dalam ujian rali baru-baru ini, dan kami akan terikat dengan pembangunan jentera baru ini. Kami suka menang, dan itu yang akan kami turut lakukan dalam projek ini,” kata Chris Mellors lagi.

    Perincian teknikal berkenaan jentera ini masih belum diumumkan, namun boleh dijangka ia bakal menampilkan spesifikasi sama seperti jentera-jentera RX Supercar yang lain seperti janaan enjin 2.0 liter turbo menghasilkan hampir 600 hp, berat sekitar 1,300 kg, kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda, dan juga kelengkapan aerodinamik yang lebih agresif dari jentera R5.

     
     
  • Yamaha Aerox/NVX 155 2020 GP Edition di Indonesia

    Yamaha Aerox/NVX 155 2020 GP Edition di Indonesia

    Penawaran model khas GP Edition pada motosikal Yamaha masih lagi diteruskan melalui yang terbaru, Aerox 155 Connected ABS 2020 pasaran Indonesia. Model ini dijual pada harga 29.5 juta Rupiah (RM8,481) dan cuma lebih mahal 500,000 Rupiah (RM143) berbanding Aerox 155 Connected ABS biasa.

    Seperti yang sudah diketahui, versi GP Edition ini cuma menggunakan grafik inspirasi daripada jentera MotoGP pasukan factory Yamaha, sementara kelengkapan serta perincian teknikalnya masih lagi sama seperti model biasa.

    Aerox 155 2020 diperkenalkan kali pertama di Indonesia November lalu dan ia masih lagi belum tiba di negara kita. Model baru ini menggunakan hampir kesemua panel badan baru termasuklah rekaan lampu LED depan (dengan DRL) dan belakang. Selain daripada itu, ia juga diberikan dengan fungsi lampu kecemasan (hazard light).

    Yamaha Aerox/NVX 155 2020 GP Edition di Indonesia

    Enjin pula masih lagi menggunakan unit satu silinder SOHC 155 cc VVA dengan gerek dan lejang yang sama seperti sebelum ini, tetapi nisbah mampatan lebih tinggi iaitu 11.6:1 (sebelum ini 10.5:1) dan sekaligus meningkatkan kuasanya menjadi 15.2 hp pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Bagi model Connected, Aerox 155 2020 ini menggunakan panel meter digital baru yang boleh disambung terus dengan aplikasi Y-Connect yang boleh memberikan notifikasi telefon bimbit, kedudukan terakhir motosikal, cadangan lokasi bengkel, penggunaan bahan api, notifikasi masalah serta analisa tunggangan Eco Riding.

     
     
  • Sistem sambungan My Triumph akan ditawarkan untuk model lama yang sudah menggunakan skrin TFT

    Sistem sambungan My Triumph akan ditawarkan untuk model lama yang sudah menggunakan skrin TFT

    Triumph baru sahaja mengumumkan bahawa sistem sambungan My Triumph juga bakal ditawarkan kepada model lama dari tahun 2017 yang sudah menggunakan panel instrumen TFT. Kit khas sudah pun dibangunkan dan boleh dipasang pada motosikal dengan bayaran naik taraf yang tidak dinyatakan.

    Bagi model Street Triple tahun 2017 hingga 2019, serta Tiger 800 2018 hingga 2019 (XRX, XCX, XRT, XCA, XRX LRH), kit ini akan sedia ditawarkan bermula 21 Disember 2020 manakala bagi Speed Triple dan Tiger 1200 ia hanya akan bersedia pada tahun depan.

    Setelah dipasang dengan kit naik taraf ini, pemilik boleh memuat turun aplikasi My Triumph pada telefon pintar dan menyambungkannya kepada sistem di motosikal seterusnya memaparkan petunjuk navigasi, serta mengawal muzik, panggilan serta GoPro.

    Sistem ini juga mempunyai ciri My Garage yang boleh memaparkan informasi penting tentang motosikal termasuk odometer, penggunaan bahan api purata serta jarak dan masa untuk servis seterusnya. Bagi model baru, tidak semua dilengkapi dengan sambungan My Triumph ini dan ada di antaranya masih lagi dijual sebagai secara berasingan.

     
     
  • Proton X50 – guna petrol RON 95 sudah cukup bagus kerana enjin tersebut dihasilkan untuk petrol RON 92

    Proton X50 – guna petrol RON 95 sudah cukup bagus kerana enjin tersebut dihasilkan untuk petrol RON 92

    Ketika Geely mendedahkan perincian berkenaan siri enjin 1.5 liter turbo mereka September lalu, di mana ia turut digunakan pada Proton X50 di Malaysia, kami tertarik dengan satu fakta – angka 177 PS/255 Nm yang dihasilkan pada enjin dalam versi T-GDI iaitu pada model Flagship adalah dengan menggunakan petrol RON 92, manakala jika anda gunakan petrol RON 95 ia mampu mencapai kuasa 179 PS/265 Nm.

    Jadi peluang untuk menemuramah Dr. Håkan Sandquist, pengarah strategi trenkuasa Geely di China Euro Vehicle Technology (CEVT, badan yang bertanggungjawab menghasilkan enjin berkenaan) baru-baru ini, kami sempat bertanyakan adakah ia akan menghasilkan kuasa lebih besar sekiranya ia menggunakan petrol RON lebih tinggi seperti RON 97 dan RON 100 yang dijual di Malaysia.

    Menurut Dr. Sandquist, ketika menghasilkan enjin-enjin 1.5 liter turbo tersebut, mereka hanya menggunakan petrol RON 92 kerana ia adalah petrol yang paling mudah untuk dijumpai di China. Jadi dengan menggunakan petrol RON 92 sudah memadai untuk enjin ini, dan ia boleh berfungsi tanpa sebarang masalah dengan RON 95 malah mampu menghasilkan sedikit lagi kuasa tambahan.

    Proton X50 – guna petrol RON 95 sudah cukup bagus kerana enjin tersebut dihasilkan untuk petrol RON 92

    Namun disebabkan ia adalah enjin dengan pengecas turbo yang sememangnya dihasilkan dengan nisbah mampatan lebih rendah berbanding enjin naturally aspirated (NA) iaitu pada kadar 10.0:1 untuk versi suntikan pelbagai titik (PFI) dan 10.5:1 pada versi suntikan terus (GDI), penggunaan RON lebih tinggi seperti 97 dan 100 tidak akan memberikan sebarang manfaat ketara dari segi penghasilan kuasa, jelas Dr. Sandquist.

    Perkara ini datang sendiri dari mulut jurutera yang menghasilkan enjin 1.5 liter turbo berkenaan, dan di China sendiri kebanyakkan pengguna masih menggunakan petrol RON 92. Jadi untuk pemilik-pemilik Proton X50, jangan gusar untuk menggunakan petrol RON 95 pada kereta anda ya.

     
     
  • Proton X50 – kenapa masih guna timing belt?

    Proton X50 – kenapa masih guna timing belt?

    Macam biasa, antara soalan yang ditanya oleh rakyat Malaysia untuk setiap model baharu yang dilancarkan oleh Proton akhir-akhir ini adalah “enjin pakai timing belt ke timing chain ni?” Begitu juga dengan produk terkini yang baharu sahaja diperkenalkan oleh Proton pada Oktober lalu iaitu Proton X50.

    Seperti yang dah ramai tahu, X50 dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang bukan sahaja dikongsi dengan Geely, malah turut digunakan pada berberapa model baharu Volvo – dan enjin ini menggunakan sistem timing belt bagi menggerakkan aci sesondol yang mengawal pemasaan bukaan injap pada kepala silinder.

    Jadi kenapa masih pakai timing belt yang dianggap sebahagian orang sebagai satu “teknologi lama” (yang sebenarnya timing chain juga anda boleh jumpa pada Toyota Corolla generasi pertama KE10 pada tahun 1966)? Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Dr. Håkan Sandquist, pengarah strategi trenkuasa Geely di China Euro Vehicle Technology (CEVT) iaitu badan yang bertanggungjawab menghasilkan enjin berkenaan, dalam satu sesi temu ramah bersama media baru-baru ini.

    Proton X50 – kenapa masih guna timing belt?

    Menurut Dr. Håkan Sandquist, pelbagai kerja-kerja penilaian yang dibuat bagi memastikan tahap ketahanan dan prestasi enjin tiga-silinder ini. Ia termasuk ujian pada suhu dalam julat antara -40 darjah selsius sehingga 40 darjah selsius, altitud sehingga 4,000 meter dan juga ujian perjalanan dalam jarak berjuta-juta kilometer.

    Enjin 1.5 liter tersebut adalah dihasilkan untuk pasaran global, dan implementasi oleh Proton pada pasaran Malaysia hanya sebahagian kecil darinya. Jadi CEVT bukan hanya mahu ia berfungsi dengan baik untuk aplikasi Proton, malah ia perlu terampil pada projek-projek Zhejiang Geely Holding yang lain termasuk untuk Volvo Cars dan Geely Auto

    Sandquist turut menyatakan bahawa dia turut “mendengar soalan yang sama dari banyak tempat lain,” namun beliau menegaskan bahawa ada banyak perkara berkenaan kepakaran kejuruteraan dalam merancang rekaan satu-satu enjin itu sama ada mahu menggunakan timing belt atau timing chain. Beliau turut menyatakan ada pengeluar OEM (yang tidak dinyatakan nama) sebelum ini menggunakan timing chain kembali menggunakan timing belt kerana berberapa isu yang timbul.

    Proton X50 – kenapa masih guna timing belt?

    Pengarah CEVT tersebut menjelaskan bahawa Volvo sudah lama menggunakan teknologi timing belt ini, dan ia telah menjalani pelbagai ujian pengesahan sebelum diperkenalkan dalam pasaran, contohnya SUV kompak Volvo yang menggunakan enjin sama seperti X50 iaitu XC40 dalam varian T3, dan T5 Recharged.

    Malah model-model lain Volvo yang lebih besar seperti S60, XC60 dan XC90 (menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E) juga menggunakan sistem timing belt. “Jika ia cukup bagus untuk Volvo, ia cukup bagus untuk kami,” kata Sandquist.

    Untuk aplikasi enjin 1.5 liter tiga-silinder ini di Malaysia, Proton tampil dalam dua variasi; model tertinggi Flagship menampilkan sistem suntikan terus (T-GDI) yang menghasilkan kuasa 177 PS/255 Nm, manakala untuk tiga varian lebih rendah menggunakan sistem suntikan pelbagai titik menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS/226 Nm.

    Proton X50 – kenapa masih guna timing belt?

    Namun kedua-dua enjin ini menggunakan sistem timing belt yang sama, dan menurut jadual selenggara yang dikeluarkan oleh Proton, penukarannya perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

    Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar tali sawat yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

     
     
  • Polis laksana Ops Lampu Isyarat Merah hingga 31 Dis

    Polis laksana Ops Lampu Isyarat Merah hingga 31 Dis

    Disebabkan ramai pengguna jalan raya yang ingkar dengan peraturan lalu lintas termasuklah melanggar lampu isyarat merah, maka Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak lebih tegas dengan melaksanakan Ops Lampu Isyarat Merah bermula hari ini (16 Dis) sehingga 31 Dis 2020.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias, operasi itu bertujuan mengesan mereka yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah, terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal, termasuk penghantar makanan atau barangan serta pemandu kenderaan lain, laporan Bernama.

    “Tindakan saman serta merta akan diambil atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan. Kami memandang serius sikap dan trend pemanduan ini yang boleh menyebabkan kemalangan serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Polis laksana Ops Lampu Isyarat Merah hingga 31 Dis

    Beliau berkata statistik penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah pada tahun lepas merekodkan 69,267 saman, dengan motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 32,657 diikuti kereta (29,873), lori (2,808) dan 3,929 lain-lain kenderaan.

    Bagi tempoh sejak Januari hingga Nov pula 52,170 saman dikeluarkan dengan kenderaan motosikal mencatatkan saman tertinggi iaitu 26,764 diikuti kereta (20,751), lori (2,208) dan 2,447 lain-lain kenderaan.

    Azisman berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 17 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

     
     
  • Geely Haoyue tampil dalam video “rasmi” pertama

    SUV terbaru Geely, Haoyue (atau Okavango di Filipina) mengundang banyak tanda tanya. Sebuah crossover tujuh-tempat duduk yang dibangunkan lebih cenderung untuk citarasa Asia Tenggara berbanding China. Lebih menarik (atau aneh?) ialah video ini, yang diterbitkan oleh pengeluarnya sendiri, yang diberi jolokan sebagai sebuah “review” rasmi.

    Hos Amerika yang mengendalikannya (memetik kata-katanya sendiri) telah memandu Haoyue, menekankan beberapa elemen rekaan, ruang barangan, tilam boleh kempis (memang ada, sebagai pilihan), sistem kamera 360-darjah dan bumbung panoramik yang luas. Dia turut memberikan pandangan tentang aspek pemanduan, menyatakan SUV ini memberikan kuasa yang besar dan pengalaman yang menyenangkan.

    Memandangkan video ini diterbitkan oleh Geely sendiri, yang jangkakan sisi kritikan yang mendalam, walaupun hos tersebut ada menyebut tentang roda 18-inci yang baginya agak kecil, bahagian dalaman yang terasa murah dan penggunaan torsion beam berbanding suspensi independen di belakang.

    Geely Haoyue tampil dalam video “rasmi” pertama

    Hoayue merupakan SUV paling besar dalam barisan kenderaan Geely dan ditawarkan dalam versi lima atau tujuh-tempat duduk – yang kedua ini datang dengan larasan semua kerusi secara individual. Kuasa dibekalkan oleh enjin 1.8 liter turbocas empat-silinder yang sama pada Proton X70, yang menghasilkan 181 PS dan 300 Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi klac-berkembar tujuh-kelajuan.

    Di Filipina, Okavango yang ada di sana menggunakan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder dan ciri mild hibrid 48-volt seperti Azkarra (Boyue Pro), menghasilkan 190 PS. Harga pula bermula dari 1,208,000 pesos (RM102,000) hingga 1,328,000 pesos (RM112,100). Adakah Hoayue akan dipasarkan di sini sebagai model Proton kelak? Itu kena tunggu.

     
     
  • Proton Saga facelift kini di Mesir – harga bermula RM43k hingga RM53k, ditawar dalam tiga varian

    Proton Saga facelift kini di Mesir – harga bermula RM43k hingga RM53k, ditawar dalam tiga varian

    Proton Saga facelift kini sudah pun diperkenalkan dalam pasaran Mesir, dikenali sebagai model 2021. Ia ditawarkan dalam tiga varian yang sama seperti pada pasaran Malaysia dan ia diimport sepenuhnya dari negara kita, cuma yang berbeza Saga untuk pasaran Mesir ini dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kiri, diberikan sistem pemanas dan tidak diberikan traction control.

    Model paling asas Proton Saga Standard MT dijual pada harga bermula 166,900 pound (RM43,045), versi Standard AT dijual pada harga 188,900 pound (RM48,719), manakala varian tertinggi Premium AT pula dijual pada harga 202,900 pound (RM52,330).

    Kesemua kelengkapan yang diberikan pada setiap varian juga sama seperti di Malaysia di mana semua varian dibekalkan dengan ciri seperti lampu hadapan reflektor halogen, cermin sisi larasan elektrik dengan lipatan manual, butang but belakang pada kunci kawalan jauh, spoiler but belakang, paparan meter dengan skrin pelbagai info monokrom, upholsteri fabrik dan tempat duduk belakang boleh lipat.

    Kedua-dua varian Standard diberikan pemain audio 1DIN bersama hubungan Bluetooth, dua pembesar suara, penderia parkir hanya untuk bahagian belakang.

    Manakala untuk varian tertinggi Saga Premium AT pula, ia menerima tambahan kelengkapan seperti lampu nyalaan siang LED, roda stereng dengan suis telefon dan audio, skrin sesentuh infotainmen ‘terapung’ 7-inci dengan fungsi Android dan EasyConnect (hubungan ke telefon pintar Android), empat pembesar suara, penderia parkir hadapan dan rim aloi 15-inci.

    Untuk keselamatan, semua varian diberikan dua beg udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang.

    Juga tiada perubahan pada sistem penjana di mana Saga di Mesir ini masih menggunakan enjin 1.3L VVT berkuasa 94 hp pada takat 5,750 rpm tork maksima 120 Nm pada takat 4,000 rpm. Model MT diberikan kotak gear manual lima-kelajuan, manakala varian AT pula dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan torque converter konvensional.

    Setiap pembelian Proton Saga 2021 di Mesir ini diberikan perlindungan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

     
     
  • Toyota GR Yaris dijual pada harga RM364k di Thailand, sekali dengan latihan pemanduan, tiba pada Mac 2021

    Toyota GR Yaris dijual pada harga RM364k di Thailand, sekali dengan latihan pemanduan, tiba pada Mac 2021

    Selepas pra-tempahan untuk Toyota GR Yaris dibuka bulan lalu, Toyota Thailand kini mengumumkan harga rasmi untuk hot-hatch berkenaan – ia akan dijual pada harga 2.69 juta baht pada pasaran tersebut, atau RM363,596 dalam nilai matawang kita. Harga berkenaan memang sudah dijangka kerana pada pasaran lain di seluruh dunia GR Yaris memang dijual pada harga hampir sama atau lebih tinggi sedikit berbanding Honda Civic Type R FK8.

    Namun dengan harga yang dibayar itu, pemilik bukan sahaja akan menerima jentera rali untuk jalan raya ini, malah turut diberikan pelbagai keistimewaan lain, antaranya keahlian automatik untuk kelab pemilik GR Yaris Thailand, dengan akses terus kepada aktiviti kelab seperti sesi track day dengan Toyota Gazoo Racing Motorsport Thailand.

    Mereka juga berpeluang menyertai sekolah perlumbaan atau kursus pemanduan yang ditawarkan oleh Toyota Gazoo Racing, selain pakej insuran percuma selama setahun dan juga penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun atau 60,000 km. Pelanggan terawal yang menempah bakal menerima kereta mereka bermula Mac 2021.

    Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo, namun model pasaran Thailand ini menampilkan talaan sama seperti versi pasaran Eropah yang menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm, berbeza dengan GR Yaris JDM yang menghasilkan 272 PS/370 Nm.

    Tetapi untuk senjata mekanikal yang lain ia masih sama, menampilkan kotak gear manual enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda GR-Four bersama LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

    Walaupun diasaskan dari Yaris biasa pasaran Eropah, model yang dihasilkan bagi membolehkan Toyota menghasilkan jentera WRC lebih berpotensi pada masa hadapan ini menampilkan pelbagai ciri bespoke yang diminta dan dibangunkan bersama prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Tommi Makinen.

    Toyota GR Yaris dijual pada harga RM364k di Thailand, sekali dengan latihan pemanduan, tiba pada Mac 2021

    Ia hadir dengan badan tiga-pintu (berbanding lima-pintu pada model standard), bumbung belakang yang lebih rendah bagi tujuan aerodinamik, panel-panel badan lebih kuat dan ringan diperbuat dari aluminium serta bumbung karbon, dan juga sistem suspensi belakang jenis double wishbone bagi menggantikan sistem Torsion Beam untuk membolehkan gandar sistem pacuan semua roda disesuaikan.

    Selepas Thailand, Malaysia juga dijangka bakal menerima GR Yaris ini berdasarkan teaser yang telah pun disiarkan oleh UMW Toyota sebelum ini, dan fasiliti GR Garage yang menjual GR Supra juga sudah tersedia pada pasaran tempatan. Berdasarkan trend di seluruh dunia dan harga Honda Civic Type R di Malaysia, adalah selamat untuk kita jangka ia akan dijual pada harga sekitar RM350k. Macam mana? Dah ada yang bersedia dengan duit simpanan?

    GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Polis Johor saman 9,985 pemilik kenderaan guna nombor pendaftaran ‘fancy’ dari Jan 2020 hingga kini

    Polis Johor saman 9,985 pemilik kenderaan guna nombor pendaftaran ‘fancy’ dari Jan 2020 hingga kini

    Menggunakan plat nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi atau fancy merupakan salah satu kesalahan lalu lintas. Pastinya semua pemilik kenderaan sedia maklum dengan perkara ini, tetapi masih ramai yang berdegil.

    Menurut Polis Johor, sejak awal Januari hingga ke hari, pihaknya telah mengeluarkan 9,985 saman terhadap pemilik kenderaan bagi kesalahan penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’ sehingga mengelirukan serta sukar dikenal pasti, laporan
    Bernama.

    Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya akan mempertingkatkan operasi bagi mengesan pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan itu dan kesalahan melanggar lampu isyarat, bermula hari ini sehingga 31 Dis menerusi Op Khas.

    Jelasnya, penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ menyukarkan pengecaman sekiranya terdapat kesalahan dilakukan individu termasuk melanggar lampu isyarat, kemalangan, langgar lari dan kes-kes jenayah.

    “Akan ada lebih banyak operasi dalam dua minggu ini. Bagi sesiapa yang menggunakan nombor ‘fancy’, cepat tukar..jangan sampai kami ambil tindakan,” katanya. Malahan pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi sama ada terhadap orang awam mahupun anggota polis dan agensi penguat kuasa sekiranya melakukan kesalahan seumpama itu.

    Ayob Khan berkata antara alasan diberikan pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi adalah kerana mahukan kelainan, ingin kelihatan bergaya dan mahu menunjukkan status.

     
     
  • Subaru sahkan bakal ada EV baharu – SUV elektrik saiz Forester, kongsi platform e-TGNA dengan Toyota

    Subaru sahkan bakal ada EV baharu – SUV elektrik saiz Forester, kongsi platform e-TGNA dengan Toyota

    Subaru telah mengesahkan perancangan untuk memperkenalkan kenderaan elektrik sepenuhnya pada separuh pertama dekad ini. EV tersebut merupakan SUV saiz pertengahan, lebih kurang seperti saiz Forester, dan bakal dibangunkan dengan platform yang dikongsikan bersama Toyota.

    Ini merupakan satu langkah terbaharu untuk Subaru, yang sebelum ini telah mempunyai enjin e-Boxer mild hybrid untuk model utamanya seperti Impreza, XV dan Forester. Menurut Subaru, Lebih banyak info mengenai EV ini hanya akan dikongsikan pada tahun hadapan. Sasaran jangka masa panjang bagi Subaru ialah mampu mencapai sekurang-kurangnya 40% jualan di peringkat global bagi model elektrik atau hibrid menjelang tahun 2030.

    Kerjasama antara Subaru dengan Toyota untuk EV bukan lagi berita yang mengejutkan kerana ia pernah diumumkan sebelum ini. Pada Jun 2019, kedua-dua syarikat berkata, mereka akan bekerjasama membangunkan platform untuk EV pelbagai saiz, termasuk sedan dan SUV segmen-C dan -D.

    Klik untuk besarkan

    Sebahagian daripada perancangan terbabit, SUV elektrik segmen-C akan dibangunkan untuk setiap jenama, seperti mana yang pernah dilakukan pada Toyota 86 dan Subaru BRZ sebelum ini. Platform terbabit akan menggunakan kepakaran pacuan semua-roda Subaru dan juga pengalaman elektrifikasi oleh Toyota.

    Toyota juga akan memperincinkan lagi platform e-TNGA, modular yang akan menjadi asasnya bukan semata-mata untuk “SUV elektrik Toyobaru” tetapi juga bagi SUV segmen-D, sedan segmen-C, crossover segmen-C dan van mini segmen-C Toyota sendiri.

    Awal bulan ini, Toyota telah mengeluarkan teaser model pertama berasaskan e-TNGA, yang merupakan SUV saiz-pertengahan yang akan dipertontonkan tidak lama lagi. Ternyata, Subaru juga tidak mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan model yang sama hasil kerjasama ini.

     
     
  • Peugeot Sport Le Mans Hypercar diperincikan — 680 hp, 2.5 liter biturbo V6, 268 hp motor elektrik gandar

    Peugeot Sport Le Mans Hypercar diperincikan — 680 hp, 2.5 liter biturbo V6, 268 hp motor elektrik gandar

    Peugeot telah mula mendedahkan perincian bagi jentera saingannya bagi perlumbaan Le Mans Hypercar (LMH), yang dijangka akan ditunjukkan sepenuhnya pada hujung tahun 2021 untuk perlumbaan sulung pada tahun 2022. Ketika ini, kereta berkenaan ditunjuk dalam imej tanpa rekabentuk badan luaran, yang ketika ini masih dalam fasa pembikinan.

    Ini akan menampilkan sistem janaan kuasa elektrifikasi Hybrid4 Peugeot, yang terdiri daripada unit 2.6 liter 90-darjah biturbo petrol V6 dengan janaan 680 hp yang terletak di tengah-belakang dengan pacuan roda belakang. Ini digandingkan dengan motor elektrik 268 hp yang dipasangkan di bahagian depan. Enjin pembakaran dalaman tersebut mempunyai berat 165 kg, dengan transmisi tujuh-kelajuan, kotak gear manual sequential kendalian paddle shifter serta motor elektriknya dikuasakan oleh bateri 900-volt.

    Dibangunkan secara bersama oleh Peugeot Sport dan anak syarikat Total, Saft, bateri berkenaan boleh menggunakan sumber elektrik biasa sebelum bergerak, dan selepas itu akan bergantung kepada janaan semula tenaga melalui Kinetic Energy Recovery System (KERS) jentera itu. Sel-sel bateri telah dipilih untuk jenis berkenaan yang lebih cenderung kepada ketepuan tenaga berbanding tenaga itu sendiri – konsisten dengan keperluan untuk perlumbaan endurance.

    Peugeot Sport Le Mans Hypercar diperincikan — 680 hp, 2.5 liter biturbo V6, 268 hp motor elektrik gandar

    Motor elektriknya akan beroperasi sebaik sahaja kenderaan mencecah kelajuan 120 km/j, selari dengan peraturan perlumbaan LMH akan datang, yang menegaskan penggunaan tenaga elektrik adalah dilarang di bawah kelajuan itu. Maksudnya, pemandu perlu memulakan perlumbaan dari keadaan pegun menggunakan enjin biasa sahaja.

    Hasil janaan kuasa enjin pembakaran dalaman itu bagaimanapun dihadkan kepada 408 hp sahaja bagi keseluruhan sistem dengan janaan elektrik digunakan, dan kemudian beralih kepada kapasiti penuh 680 hp sebaik sahaja bateri berkenaan habis. Bagi aspek memperlahankan jentera, sistem brake-by-wire dikawal secara elektronik, dan pemandu boleh menyelaraskan tahap engine braking dan sistem brek hirdraulik akan dipaksa untuk mencari keseimbangan antara keduanya.

    Peugeot Sport Le Mans Hypercar diperincikan — 680 hp, 2.5 liter biturbo V6, 268 hp motor elektrik gandar

    Output enjin konvensional itu boleh ditingkatkan kepada 700 hp sekiranya bateri pacuan habis di penghujung laluan lurus, dan jentera itu akan dipasangkan sensor yang meninjau tahap kuasa yang disalurkan kepada keempat-empat rodanya dalam masa nyata seperti yang digariskan oleh peraturan Balance of Performance (BOP).

    Pengeluar kenderaan Perancis itu menarik diri daripada perlumbaan endurans pada tahun 2012. Mereka mempertimbang untuk kembali berlumpa pada 2017, dengan syarat bahawa kos untuk berlumba itu mampu ditanggung.

     
     
  • Toyota Starlet 2020 – model untuk pasaran Afrika Selatan, rebadge dari Suzuki Baleno, bermula RM55k

    Toyota Starlet 2020 – model untuk pasaran Afrika Selatan, rebadge dari Suzuki Baleno, bermula RM55k

    Umum mengetahui Toyota sudah tidak lagi menggunakan nama Starlet pada hatchback kompak selepas model generasi kelimanya, dan digantikan dengan Toyota Vitz atau Yaris bergantung pada pasaran. Namun tahun ini, nampaknya nama Starlet telah muncul semula, dan model generasi baharu tersebut hanya digunakan pada pasaran Afrika Selatan.

    Sebenarnya, Starlet generasi baharu ini adalah model rebadge dari Suzuki Baleno, dan di India Maruti Suzuki Baleno tersebut turut di rebadge dengan logo Toyota dikenali sebagai Toyota Glanza – nama yang turut ada kaitan dengan Starlet.

    Toyota Starlet 2020 ini dilancarkan di pasaran Afrika Selatan pada September lalu dan ia hadir dalam lima varian berbeza bermula dengan versi asas Starlet 1.4 Xi MT dijual pada harga R204,900 (RM55k) sehingga varian tertinggi Starlet 1.4 Xr AT dijual pada harga R272,500 (RM74k).

    Dari segi rupa luaran, Toyota Starlet ini menampilkan rupa yang sama sepenuhnya dengan Suzuki Baleno dalam versi facelift terkini pada setiap sudut, kecuali gril yang ditukar dengan elemen yang menampilkan dua jalur utama bersama logo Toyota yang diletakkan pada bahagian tengah.

    Toyota Starlet 2020 – model untuk pasaran Afrika Selatan, rebadge dari Suzuki Baleno, bermula RM55k

    Begitu juga pada bahagian kabin, hanya logo Suzuki diubah kepada logo Toyota pada bahagian tengah roda stereng, manakala perincian lain kedua-dua model ini nampak seiras.

    Model-model dengan lencana XR akan menerima kelengkapan tertinggi termasuk rim aloi 16-inci dua tona dengan tayar 185/55R16, pembuka pintu kemasan krom, lampu kabus hadpaan, lampu hadapan LED projektor bersama lampu nyalaan siang, lampu isyarat membelok pada cermin sisi, spoiler belakang dan juga sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Manakala untuk semua varian, ia hadir standard dengan sistem penghawa dingin, stereng berkuasa elektrik, tempat duduk belakang boleh lipat 60/40, cermin sisi larasan berkuasa, pengunci kawalan jauh dan pelbagai lagi. Model paling tinggi diberikan sistem brek cakera di belakang, manakala varian lain hanya menggunakan sistem dram.

    Sama seperti Baleno, Toyota Starlet pasaran Afrika Selatan ini dijana oleh enjin 1.4 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 92 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 130 Nm pada takat 4,200 rpm. Di India, Toyota Glanza hanya dijana oleh enjin 1.2 liter menjana 83 hp/115 Nm.

    Toyota Starlet 2020 – model untuk pasaran Afrika Selatan, rebadge dari Suzuki Baleno, bermula RM55k

    Bergantung pada varian, Toyota Starlet ini menerima sama ada kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik. Menurut Toyota Afrika Selatan, Starlet dengan kotak transmisi manual mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.9 saat, manakala versi automatik pula mencatatkan masa 11.6 saat untuk pecutan sama.

    Untuk keselamatan, kesemua varian dibekalkan dengan dua beg-udara dan juga sistem brek ABS bersama EBD dan BA, serta sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan elektronik (VSC). Model tertinggi Xr dilengkapi dengan beg udara tambahan pada bahagian tirai dan sisi, manakala model dengan transmisi automatik turut diberikan sistem bantuan mula mendaki.

    Lima warna badan ditawarkan untuk Toyota Starlet ini iaitu Mystic Pearl White, Ice Silver, Torch Red, Iron Grey Metallic dan Urban Blue. Toyota Afrika Selatan menawarkan perlindungan waranti selama tiga-tahun/100,000 km untuk model ini.

     
     
  • CFMoto lancar jenama Zeeho untuk model elektrik – tunjukkan model konsep Cyber dengan motor 10 kW

    CFMoto lancar jenama Zeeho untuk model elektrik – tunjukkan model konsep Cyber dengan motor 10 kW

    Pengeluar motosikal terkenal dari China, CFMoto telah melancarkan satu jenama baru yang dikenali sebagai Zeeho untuk meletakkan model elektrik mereka di bawahnya. Sebagai pengenalan, syarikat itu juga memperkenalkan sebuah model elektrik konsep yang dinamakan sebagai Zeeho Cyber.

    Model ini masih lagi dipanggil sebagai konsep tetapi versi produksinya dikatakan bakal memasuki pasaran pada tahun 2022. Reka bentuk moden motosikal ini nampak cukup menarik dan ia sebenarnya dihasilkan dengan kerjasama Kiska, iaitu syarikat rekaan yang juga mempunyai kerjasama dengan pengeluar lain termasuk KTM.

    Antara perincian menarik yang boleh dilihat pada motosikal konsep ini adalah termasuk brek cakera depan dan belakang yang menggunakan angkup Brembo, sistem pacuan rantai, lampu LED dan juga panel instrumen digital seperti telefon pintar. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi sistem brek ABS dan kawalan cengkaman.

    Untuk penggeraknya, CFMoto memberitahu, Cyber menggunakan motor elektrik 10 kW yang mendapat kuasa daripada bateri 4 kWh, dan mampu menghasilkan kuasa 14 hp. Melalui cas penuh, ia boleh digunakan sehingga jarak 130 km dan boleh membawa kepada kelajuan maksimum 120 km/j.

    Daripada tahap kosong, bateri ini boleh dicas sehingga 80% dalam masa 30 minit, dan ia juga boleh menghasilkan pecutan 0-50 km/j dalam masa 2.9 saat. Selain daripada skuter kecil ini, CFMoto juga akan megnhasilkan beberapa lagi model elektrik berlainan bentuk untuk melengkapkan penawaran produk Zeeho.

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2021 diperkenalkan Feb depan

    Mitsubishi Outlander 2021 diperkenalkan Feb depan

    Selepas foto spyshot Mitsubishi Outlander 2021 tersebar baru-baru ini, pengeluar kereta Jepun ini akhirnya mengeluarkan satu teaser untuk SUV baharu ini. Ia turut dijangkakan akan diperkenalkan secara rasminya pada Februari 2021.

    Seperti yang kita lihat sebelum ini, Outlander generasi ke-empat baharu ini sangat berbeza daripada model sedia ada, ia dijelmakan mengikut rekaan model konsep Engelberg Tourer/e-Yi. Malahan kebanyakan perincian Engelberg Tourer termasuk lampu nyalaan siang LED yang tirus, lampu hadapan utama pada bampar hadapan dan juga elemen ‘X’ pada muka dengan kemasan krom yang tebal diberikan pada Outlander 2021 ini.

    Pada bahagian sisi, dengan jelas Outlander generasi baharu ini menampilkan garis badan serta bentuk tiang-D bersama kemasan krom dan kemasan hitam bagi memberikan rupa ‘bumbung terapung’ yang sama seperti Engelberg Tourer. Manakala di belakang, ia turut hadir dengan lampu yang nipis seiras dengan model konsep yang muncul di Geneva Motor Show 2019 tersebut.

    Mitsubishi turut berkata Outlander dibangunkan di bawah terma Jepun “I-Fu-Do-Do”, yang membawa maksud ‘asli’ dan ‘megah’. Ia turut ditambah dengan rekaan luaran yang lebih “diperhalusi” dan bahagian hujung hadapan yang bersifat “ekstrovert” memberikan bayangan pada penggayaan model masa hadapan Mitsubishi.

    Buat setakat ini, tiada perician mengenai mekanikalnya, namun dijangkakan Outlander akan terus menawarkan varian enjin petrol dan plug-in hybrid. Bagi penjana kuasa PHEV, ia mungkin diberikan enjin yang lebih besar iaitu 2.4 liter, dengan motor elektrik pada setiap gandar dan juga bateri lithium-ion 20 kWh. Ia turut dijangkakan mampu memberi pacuan semua elektrik melebihi 70 km dan jarak keseluruhan lebih 700 km.

    Outlander baharu ini dijangka akan didedahkan menerusi siaran langsung pada Februari hadapan, dengan perincian penuhnya bakal diumumkan pada tahun baharu. Sebagai permulaan, ia akan dipasarkan ke Amerika Syarikat, Kanada dan Puerto Rico sebelum diperluaskan lagi ke pasaran global.

     
     
  • Akio Toyoda ucap terima kasih pada Tommi Makinen; 2 juara dunia dengan Yaris WRC, bangunkan GR Yaris

    Akio Toyoda ucap terima kasih pada Tommi Makinen; 2 juara dunia dengan Yaris WRC, bangunkan GR Yaris

    Seperti yang diumumkan Oktober lalu, bermula 1 Januari 2021, Tommi Makinen tidak lagi akan bertugas sebagai prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), kerana dinaikkan pangkat sebagai penasihat untuk sukan permotoran Toyota secara keseluruhan.

    Sebagai menghargai apa yang dilakukan oleh Makinen sebagai bos pasukan rali dunia berkenaan selama empat tahun, presiden Toyota, Akio Toyoda mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada juara dunia WRC empat kali berkenaan.

    Menurut Toyoda, Tommi Makinen bukan sahaja membantunya mewujudkan kembali pasukan rali dunia Toyota ini pada 2017 selepas menarik diri pada tahun 1999, malah dengan bimbingan beliau TGR WRT telah menghasilkan jentera Yaris WRC yang telah pun melahirkan dua orang juara dunia Toyota; Ott Tanak pada 2019 dan Sebastien Ogier untuk musim 2020.

    “Ini rali terakhir untuk Tommi sebagai prinsipal pasukan. Saya sangat bersyukur dapat bekerja dengannya. Ketika kami mengambil keputusan untuk kembali ke WRC, saya minta beliau untuk bantu bangunkan kereta dan tubuhkan pasukan. Secara jujurnya, saya rasa permintaan saya agak berlebih-lebih.

    “Tetapi beliau lakukan dengan persediaan hanya setahun dan pasukan sudahpun mencapai tempat kedua pada pusingan permulaan, kemudian menang tempat pertama pada pusingan seterusnya di Sweden. Kami berhadapan dengan banyak ujian selepas itu, tetapi setiap pengalaman mempunyai maksud dan menjadikan kereta kami lebih kuat,” kata Toyoda selepas berakhirnya pusingan terakhir WRC 2020 yang berlangsung di Monza, Itali minggu lalu.

    Selain dari menghasilkan jentera WRC sedia ada, Akio Toyoda juga berterima kasih kepada Tommi Makinen kerana menghasilkan model produksi jalan raya yang lahir dari teknologi WRC iaitu Toyota GR Yaris yang diperkenalkan buat pertama kali di Tokyo Auto Salon awal tahun ini.

    Akio Toyoda ucap terima kasih pada Tommi Makinen; 2 juara dunia dengan Yaris WRC, bangunkan GR Yaris

    Kereta tersebut walaupun diasaskan dari model biasa Yaris, ia menerima pelbagai ciri bespoke khas seperti badan tiga-pintu yang lebih kuat, panel-panel badan lebih kuat dan ringan dari material aluminium dan karbon, bentuk bumbung lebih aerodinamik.

    Ciri-ciri bespoke yang ada pada GR Yaris ini adalah permintaan dari Tommi Makinen sendiri kerana model ini pada awalnya dirancang untuk dijadikan asas kepada jentera Yaris WRC 2021 yang lebih kompetitif, namun terpaksa dibatalkan kerana perubahan regulasi FIA untuk WRC 2022 yang melibatkan penggunaan kerangka tubular space frame dan juga janakuasa hibrid.

    Model jalan raya GR Yaris berkenaan turut dijana oleh enjin produksi petrol 1.6 liter tiga-silinder turbo paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, menghasilkan 272 PS/370 Nm dan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual bersama sistem pacuan semua roda GR-Four, yang juga dibangunkan dan diuji oleh pasukan Tommi Makinen menjadikan ia sebagai model rali jalanan dan kelahiran semula Toyota Celica GT-Four.

    Akio Toyoda ucap terima kasih pada Tommi Makinen; 2 juara dunia dengan Yaris WRC, bangunkan GR Yaris

    Walaupun kereta ini tidak kesampaian untuk dijadikan jentera WRC pada musim 2021, ia telah diterima baik dalam pasaran dan mendapat pujian dari media seluruh dunia serta disifatkan sebagai kereta sport Toyota yang sebenar kerana dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan tanpa kerjasama jenama lain seperti Toyota 86 dan Toyota GR Supra.

    Malah untuk pasukan-pasukan rali persendirian, kerja-kerja mentransformasi model produksi ini kepada jentera rali juga agak mudah kerana kerangka dan unit janakuasa asasnya sememangnya dibangunkan untuk sukan berkenaan. Antara hasil awal transformasi tersebut adalah jentera GR Yaris AP4 dari pasukan Toyota Gazoo Racing Australia yang layak untuk bertanding dalam kategori tertinggi Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC).

    Untuk tugas baharu Tommi Makinen dalam jawatan seterusnya nanti, beliau akan bertindak sebagai penasihat bukan sahaja dalam menghasilkan jentera-jentera lumba dan juga pembangunan pelumba-pelumba Toyota, malah beliau akan terlibat dalam pembangunan kereta-kereta prestasi produksi jalan raya dari Toyota. Jadi boleh dijangka, banyak lagi kereta sport Toyota selepas ini yang akan mendapat sentuhan dari Tommi Makinen!