Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Plat kenderaan OKU bakal gantikan pelekat sedia ada

    Plat kenderaan OKU bakal gantikan pelekat sedia ada

    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengumumkan pihaknya bersetuju dengan cadangan plat kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU) akan digunakan bagi menggantikan penggunaan pelekat kenderaan OKU sedia ada.

    Dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) Bilangan 1 Tahun 2020, yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun semalam, perkara tersebut telah dicadangkan dan dipersetujui kerana ia mengambil kira kepentingan dan keperluan OKU, serta waris yang memerlukan kemudahan itu disebabkan oleh limitasi mobiliti dan faktor keselamatan, laporan Bernama.

    “Cadangan ini akan membolehkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan fasiliti OKU dapat dilaksanakan secara bersepadu dan meluas oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan KPWKM itu.

    Menurut KPWKM, kategori OKU yang layak bagi penggunaan plat kenderaan itu adalah kategori Fizikal, Sub Kategori OKU Pembelajaran iaitu ‘Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) Akut, Autism Akut, OKU Kategori Pelbagai dan Waris OKU berkenaan (satu waris) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

     
     
  • Volvo M’sia lanjut waranti bateri hibrid 8-tahun/160,000 km untuk semua model PHEV yang dijual dari Dis 2015

    Volvo M’sia lanjut waranti bateri hibrid 8-tahun/160,000 km untuk semua model PHEV yang dijual dari Dis 2015

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan bakal melanjutkan waranti untuk bateri hibrid iaitu kepada lapan-tahun atau 160,000 km untuk model PHEV yang dijual di sini dari Disember 2015. Ini bermakna semua model PHEV bakal menerima manfaat dari tempoh lanjutan ini, termasuklah barisan pertama bagi XC90 T8 Twin Engine yang diperkenalkan di sini pada 3 Disember 2015.

    Sebelum ini, program lanjutan waranti bateri lapan-tahun/160,000 km hanya untuk kenderaan Volvo PHEV baharu yang didaftarkan dari 1 Januari 2020. Pengarah Urusan VCM, Nalin Jain, berkata, “Kami gembira untuk mengumumkan berita ini, liputan waranti dilanjutkan bagi pelanggan kami yang membeli mana-mana model Volvo PHEV sejak dilancarkan iaitu dari barisan pertama XC90 PHEV di Malaysia. Ini adalah cara kami menunjukkan penghargaan buat semua pelanggan.”

    Sementara itu, VCM turut memberikan hadiah mingguan untuk pelanggan yang menyertai peraduan #MYVolvoJourney. Pelanggan Volvo yang menghantar kenderaan untuk diselenggara atau dibaiki di mana-mana pusat servis bertauliah layak untuk menyertainya. Apa yang perlu dilakukan hanya menulis kisah pendek secara kreatif berkenaan pengalaman menyelenggara Volvo mereka dan menghantar penyertaan terbabit bersama bukti penyelenggaraan tersebut.

    Setiap minggu seramai 10 pemenang akan diumumkan, setiap satunya bakal menerima beg tote kulit Sandqvist yang bernilai RM2,146. Malah juga akan diumumkan tiga pemenang utama yang bakal membawa pulang beg Thule Travel bernilai RM7,753 setiap satu. Peraduan ini berlangsung dari 4 hingga 31 Disember 2020, dan pemenang mingguan akan diumumkan pada setiap hari Jumaat. Manakala pemenang utama pula akan diumumkan pada 8 Januari 2021.

     
     
  • PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan antara 22 Dis-19 Jan sempena Krismas/cuti sekolah

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan antara 22 Dis-19 Jan sempena Krismas/cuti sekolah

    Memandangkan kita sudah boleh merentas negeri biarpun negara masih diancam dengan pandemik Covid-19, pasti ramai yang mengambil keputusan untuk pergi bercuti atau pun pulang ke kampung halaman pada hujung minggu ini. Mungkin ada yang siap sambung cuti antara Krismas (25 Disember) hingga ke 1 Januari 2021 sempena Tahun Bahru.

    Bagi yang memilih memandu sendiri dan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS), syarikat konsesi ini telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di antara 22 Disember 2020 hingga 19 Januari 2021.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi. Manakala, pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 12 tengah hari.”

    Sambungnya lagi, “Sementara itu, orang ramai daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.”

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan antara 22 Dis-19 Jan sempena Krismas/cuti sekolah

    Beliau turut berkata, pihaknya amat menggalakkan orang ramai mengikuti jadual perjalanan yang disarankan untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, sekaligus mengurangkan kesesakan.

    “PLUS juga menjangkakan peningkatan trafik sehingga 30% atau kira-kira 1.7 juta kenderaan pada waktu puncak setiap hari berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa akan menggunakan lebuh raya kendalian PLUS sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu yang akan datang,”jelasnya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi semua prosedur kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan mereka di lebuh raya dengan memakai pelitup muka, mendaftar menerusi Aplikasi MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri.

    Malah pada setiap kali musim perayaan, PLUS juga telah mengatur pelbagai strategi untuk menghadapi peningkatan trafik dengan meningkatkan operasi lebuh raya bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan selesa termasuk di kawasan rehat dan rawat.

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan antara 22 Dis-19 Jan sempena Krismas/cuti sekolah

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihatkan pelanggan supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-Wallet mereka mencukupi pada setiap masa. Terdapat kira-kira 13,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara bagi membolehkan pelanggan lebuh raya menambah nilai kad lebih awal.

    Pelanggan lebuh raya juga disaran supaya membuat pra-pesanan makanan dan minuman menerusi Aplikasi PLUS untuk membawa pulang makanan untuk menikmati pengalaman yang lebih mudah dan selesa ketika berhenti rehat di R&R terpilih.

    Selain itu, pemandu juga diingatkan supaya memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara pada ketika ini. “Sila pastikan kenderaan anda diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, sentiasa memakai tali pinggang keledar di tempat duduk depan dan belakang, tidak berhenti di lorong kecemasan sekiranya tidak perlu dan patuhi had laju ketika berada di lebuh raya.

    “Pelanggan lebuh raya PLUS boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Aplikasi PLUS, twitter @PLUSTrafik, berinteraksi secara digital menerusi Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik lebuh raya atau menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000. Mereka juga disarankan supaya menggunakan aplikasi perjalanan Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya lagi.

     
     
  • AD: Perodua tawarkan rebat tunai sehingga RM2,200 dengan 0% SST — panggilan terakhir 31 Disember

    AD: Perodua tawarkan rebat tunai sehingga RM2,200 dengan 0% SST — panggilan terakhir 31 Disember

    Kalau berhasrat nak beli kenderaan Perodua, sekaranglah masa yang terbaik untuk itu. Kenapa? Kerana syarikat peneraju dalam pasaran tempatan ini sedang menawarkan promosi penebusan tunai sehingga RM2,200 sepanjang bulan Disember. Ini juga merupakan peluang terakhir anda untuk menikmati pengecualian cukai SST 2020 yang diberikan oleh kerajaan.

    SUV Aruz kini ditawarkan dengan penebusan tunai bernilai RM2,200 bagi Aruz X dan RM2,000 bagi varian paling tinggi, Aruz AV. Sebagai sebuah SUV tujuh-tempat duduk buatan tempatan, anda juga akan menikmati penjimatan maksimum daripada pengecualian SST – sebelum rebat tunai, Aruz dijual pada harga RM68,526 bagi varian X dan RM73,226 bagi AV, 6% lebih rendah berbanding harga biasa.

    Dikuasakan oleh enjin 1.5L Dual VVT-i dengan Eco Idle, Aruz adalah sebuah kenderaan keluarga yang luas dengan tujuh-tempat duduk dengan penggayaan menarik sebuah SUV. Ciri keselamatan juga menjadi kekuatannya; selain enam beg udara dan VSC sebagai ciri standard, AV juga menyediakan sistem Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 dari Perodua yang termasuk di dalamnya ciri seperti amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, amaran pergerakan hadapan dan kawalan salah operasi pedal. Aruz juga memerima penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP.

    Jika anda mencari sebuah kereta kompak untuk urusan harian, Perodua menawarkan tebus tunai sebanyak RM500 bagi model Axia, terutamanya bagi varian GXtra. Sebagai satu daripada enam variannya, GXtra merupakan tambahan terbaru bagi barisan Axia yang diperkenalkan pada 2019, dan sangat yang berbaloi.

    Dijual asalnya pada harga RM33,940 dengan pengecualian cukai 2020, ia mempunyai lebih banyak kelengkapan berbanding Axia G dengan hanya tambahan RM1,455. Kit tambahan tersebut termasuk cermin sisi kuasa dan lipatan elektrik, penyahkabus cermin belakang, gril krom, kemasan perak pada papan pemuka, larasan ketinggian untuk kerusi pemandu, cangkuk beg anti-ragut, dua speaker di belakang dan sensor parkir belakang. Semua ini merupakan tambahan berbaloi, apatah lagi jika mengambil kira ciri Vehicle Stability Control (VSC), sebuah ciri yang sangat penting.

    Jika anda memiliki kenderaan semasa untuk trade-in, Pre-Owned Vehicles (POV) Perodua juga sedang menawarkan penebusan tunai bernilai RM300 sepanjang bulan ini, boleh didapati di bilik pameran Perodua terpilih. Untuk maklumat lanjut berkaitan promosi Disember dan POV yang ada, klik di sini

     
     
  • Petronas Primax 97 dengan Pro-Race dilancar – pertama di dunia guna Advanced Dual Friction Modifier

    Petronas Primax 97 dengan Pro-Race dilancar – pertama di dunia guna Advanced Dual Friction Modifier

    Petronas Dagangan baru sahaja melancarkan bahan api Petronas Primax 97 dengan Pro-Race yang dikatakan sebagai bahan api terbaik mereka. Petrol RON 97 4M ini sudah mula ditawarkan di seluruh negara, dengan kadar jualan semasa RM2.08 seliter mengikut harga mingguan dari 19 hingga 25 Disember.

    Bahan api RON 97 ini menggantikan Primax 97 dengan Advanced Energy Formula yang ditawarkan sebelum ini sejak Ogos 2015. Menurut Petronas, bahan api yang dipertingkat ini telah dibangunkan untuk memenuhi permintaan enjin berteknologi masa kini dengan memberikan pengguna lebih kuasa, maklum balas serta prestasi yang cekap.

    Bahan penting dalam formula baru ini adalah pakej aditif yang termasuk Advanced Dual Friction Modifier – pertama di dunia – yang diberitahu 25% lebih cekap dalam mengurangkan geseran berbanding bahan api sebelum ini. Ia meningkatkan interaksi bahan bakar dan minyak untuk meningkatkan kecekapan bahan api demi jarak perjalanan lebih jauh dan mengurangkan emisi karbon. Bahan api baru ini juga dapat menghapuskan 99.9% mendapan pada bahagian penting enjin.

    “Petronas Primax 97 dengan Pro-Race adalah bahan api terbaik kami, memandangkan formulasi barunya direka untuk teknologi enjin yang maju dan memenuhi keperluan pemanduan berprestasi tinggi pelanggan sekarang. Selepas memindahkan teknologi bendalir dari litar ke jalanan, kami sangat teruja kerana akhirnya dapat membenarkan pelanggan merasai sendiri pemanduan lebih lancar, yang dapat dicapai melalui manfaat tiga dalam satu yang terdiri daripada kuasa, maklum balas serta kecekapan,” kata pengarah urusan dan CEO PDB, Azrul Osman Rani.

    Bahan api ini mendapat banyak manfaat daripada pengalaman Petronas membangunkan teknologi bendalir untuk pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas, yang berjaya menjadi juara pengeluar sebanyak tujuh kali berturut-turut pada tahun 2020.

    “Semangat bersaing di dalam litar adalah sangat tegang. Saya memerlukan bahan api yang dapat memberikan kami kuasa untuk bergerak lebih baik – apabila memecut, mengambil selekoh dan bila saya perlu untuk berada di hadapan. Petronas Primax 97 dengan Pro-Race adalah bahan api yang dapat memberikan kuasa kepada kereta, terutamanya apabila sangat diperlukan. Saya tahu apa maksud kuasa. Anda juga patutnya begitu,” kata juara F1, Lewis Hamilton.

    Petronas Primax 97 dengan Pro-Race dilancar – pertama di dunia guna Advanced Dual Friction Modifier

    Sebelum bahan api ini dilancarkan untuk pasaran, prestasinya telah dinilai sendiri oleh pelanggan melalui satu acara ujian tanpa mengetahui produk sebenarnya. Ia dilakukan dalam keadaan dunia sebenar, dan hasilnya, dua daripada tiga peserta program tersebut dapat merasakan prestasi lebih baik daripada Petronas Primax 97 dengan Pro-Race berbanding bahan api premium lain yang digunakan.

    Secara spesifiknya, 69% daripada peserta menyatakan bahan api baru ini memberikan lebih kuasa, sementara 66% juga bersetuju mereka merasakan ia lebih responsif. Untuk kecekapan, 73% daripada mereka yang terlibat dalam ujian ini mengesahkan kenderaan mereka mencatat jarak perjalanan lebih jauh dengan bahan api Petronas baru.

    “Hasil ujian serta maklum balas yang kami terima daripada pemandu ini sangat memberangsangkan. Sebagai sebuah syarikat tenaga dan rakan kongsi penyelesaian yang terkemuka, kami terus mencari cara untuk memperhalusi dan mempertingkatkan penawaran kami supaya dapat terus menjadi pilihan utama pelanggan. Kami yakin Petronas Primax 97 dengan Pro-Race ini akan mengatasi jangkaan pelanggan dan menyenangkan lagi pengalaman pemanduan mereka,” kata Azrul.

     
     
  • Nissan Magnite dilancarkan di Indonesia – bermula RM60k, 1.0L turbo, pilihan kotak gear manual dan CVT

    Nissan Magnite dilancarkan di Indonesia – bermula RM60k, 1.0L turbo, pilihan kotak gear manual dan CVT

    Setelah mengejutkan pasaran India dengan harga yang begitu murah, kini SUV kompak Nissan Magnite secara rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia juga dengan harga yang cukup rendah.

    SUV kompak berkenaan ditawarkan dalam tiga varian berbeza di negara tersebut bermula dengan model paling asas Upper MT berharga 208.8 juta rupiah (RM59,629), model spesifikasi tinggi Premium MT berharga 226.3 juta rupiah (RM63,855) dan model kemasan sama dengan kotak gear automatik Premium CVT berharga 238.8 juta rupiah (RM68,196).

    Indonesia masih lagi belum menerima Almera turbo, namun enjin HR0A 1.0 liter tiga-silinder yang sama mendarat di negara berkenaan terlebih dahulu menerusi model Magnite ini dengan menjana 100 PS dan tork maksima 160 Nm. Model MT diberikan kotak gear manual lima-kelajuan, manakala model automatik pula diberikan kotak gear CVT X-Tronic, bagi mengalirkan kuasa ke roda hadapan.

    Nissan Magnite dilancarkan di Indonesia – bermula RM60k, 1.0L turbo, pilihan kotak gear manual dan CVT

    Apabila dikelaskan sebagai kompak, bagaimana saiz sebenar Nissan Magnite ini? Panjang keseluruhan SUV ini adalah 3,994 mm dengan jarak roda 2,500 mm. Manakala lebarnya pula adalah 1,758 mm dengan tinggi 1,572 mm.

    Jadi jika dibandingkan dengan Proton X50, Magnite adalah 336 mm lebih pendek dengan jarak roda 100 lebih dekat, serta 42 mm kurang lebar. Jika di bawa ke Malaysia, Magnite sebenarnya adalah lawan terus kepada SUV Perodua D55L yang akan dilancarkan tahun hadapan, diasaskan dari Daihatsu Rocky.

    Magnite juga adalah model pertama yang akan menggunakan logo baharu Nissan di Indonesia dan ia juga menampilkan rupa luar serta kabin yang sama seperti model pasaran India. Rekaan versi produksi Magnite ini juga dilihat tak lari jauh dari versi konsepnya.

    Pada bahagian muka, ia diberikan gril besar bersama sepasang lampu utama yang nipis. Lampu nyalaan siang dihasilkan berasingan, dengan jalur LED berbentuk-L yang diletakkan pada bucu bampar, dan ia turut diberikan kemasan skid plate dan juga rel bumbung sebenar bagi melengkapkan rupa lasaknya.

    Kesemua ruang roda turut diberikan kemasan overfender, dan ia bersambung dengan kemasan sama pada panel rocker sisi serta pada bampar hadapan dan belakang bagi menghasilkan perlindungan sekeliling badan. Penampilan bahagian belakang pula dilengkapkan lampu LED yang direka melintang bersama spoiler pada pada bahagian atas pintu tailgate.

    Model pasaran Indonesia ini juga ditawarkan dengan skema warna badan tona tunggal atau dwi-tona. Untuk model satu warna badan, ia boleh dipilih dalam warna Blade Sliver, Onyx Black, dan Storm White. Manakala untuk versi dua tona pula, ia ditawarkan dalam warna Garnet Red dan Pearl White dimana kedua-duanya digandingkan dengan bumbung Onyx Black.

    Nissan Magnite dilancarkan di Indonesia – bermula RM60k, 1.0L turbo, pilihan kotak gear manual dan CVT

    Magnite dipadankan dengan rim bersaiz 16-inci dan tayar tebal dengan saiz 195/60R16. Ia mengahsilkan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm.

    Dalam kabin, Magnite diberikan papan pemuka dengan rekaan bertingkat bersama corong pendingin hawa berbentuk heksagon manakala di tengah pula terdapat skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen. Butang penghidup enjin terletak rendah di konsol tengah dan di bawahnya terdapat tempat simpanan barang serta soket USB.

    Kelengkapan lain turut diberikan pada Magnite termasuk panel instrumen TFT tujuh inci, sistem pemantau tekanan angin tayar, cruise control dan tempat duduk dibalut fabrik. Untuk keselamatan, Magnite pasaran Indonesia dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, Vehicle Dynamic Control, Traction Control, Hill Start Assist dan kamera 360 darjah.

     
     
  • Presiden Toyota tak suka peralihan kereta elektrik – kereta jadi mahal, karbon dioksida makin tinggi

    Presiden Toyota tak suka peralihan kereta elektrik – kereta jadi mahal, karbon dioksida makin tinggi

    Toyota mungkin antara jenama automotif Jepun yang terawal memperkenalkan teknologi elektrifikasi untuk model produksi massa bermula dengan model hibrid Prius pada tahun 1997. Namun Presiden gergasi automotif Jepun berkenaan, Akio Toyoda nyata tidak bersetuju dengan pengumuman kerajaan negaranya yang mahu enjin petrol sepenuhnya diharamkan bermula 2030.

    “Ketika ahli politik diluar sana berkata, ‘Mari kita mansuhkan semua kereta dengan kuasa petrol,’ adakah mereka faham apa sebenarnya semua ini?” kritik Toyoda terhadap pimpinan negara berkenaan ketika berucap dalam satu sidang media atas kapasitinya sebagai pengerusi Persatuan Pengeluar Automobil Jepun pada Khamis lalu, lapor WSJ.

    Toyoda menerangkan bahawa Jepun akan kehabisan tenaga elektrik pada musim panas sekiranya semua kereta di negara tersebut menggunakan kuasa berkenaan. Infrastrktur yang diperlukan untuk menyokong sistem caj untuk kenderaan elektrik ini di Jepun akan menelan belanja antara 14 trilion hingga 37 trilion yen, terangnya lagi.

    Beliau turut menyatakan bahawa jika kerajaan Jepun bersungguh-sungguh untuk mengharamkan kereta petrol ini, model perniagaan industri kenderaan sedia ada akan runtuh dan seterusnya akan menyebabkan berjuta orang kehilangan pekerjaan.

    Penghasilan tenaga elektrik di Jepun masih lagi belum menggunakan banyak tenaga boleh diperbaharui seperti sebahagian negara di Eropah. Di Jepun, kebanyakkan elektrik masih dijana menggunakan arang batu dan juga gas asli. “Lebih banyak kereta elektrik kita hasilkan, lebih banyak karbon dioksida akan dihasilkan,” kata Toyoda lagi.

    Bos Toyota berkenaan turut menyatakan bahawa pengharaman kereta berkuasa petrol ini turut akan menyebabkan harga kereta menjadi semakin mahal dan bukan semua orang akan berkemampuan untuk memilikinya kelak.

    Seperti yang disebutkan tadi, buat masa sekarang Toyota bukanlah anti terhadap teknologi mesra alam tersebut, dan Toyota Prius masih peneraju dalam pasaran kereta hibrid. Jenama tersebut kini mula melakukan pelbagai pembangunan untuk kereta berkuasa elektrik sepenuhnya termasuk menubuhkan syarikat kerjasama dengan jenama China, BYD bagi tujuan berkenaan.

    Selain membangunkan teknologi elektrifikasi, Toyota turut menghasilkan kereta yang dijana oleh sel bahan api hidrogen untuk dijual dalam pasaran iaitu Toyota Mirai.

     
     
  • Petronas akan lancarkan minyak baru jam 3 petang ini – saksikan siaran langsung atas talian di Facebook

    Sebentar lagi Petronas akan memperkenalkan sesuatu yang baru dan setakat ini, melalui teaser yang disiarkan, ia memberi petunjuk kepada bahan bapi premium baru dari syarikat tempatan itu.

    Berkemungkinan ia adalah petrol RON 97 baru dan jangkaan ini dibuat kerana formula yang digunakan untuk Petronas RON 97 sekarang sudah diperkenalkan sejak lima tahun lalu. Waktu pengenalannya, ia adalah petrol RON 97 gred Euro 4M pertama yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, lebih awal daripada waktu yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu 1 September 2015.

    Pelancaran ini akan dibuat secara langsung atas talian melalui laman Facebook Petronas Brands jam 3pm hari ini, dan anda juga boleh menyaksikannya sendiri untuk lebih banyak maklumat tentang produk baru ini.

     
     
  • PLUS tutup lorong kanan KM50.15-KM46.50 antara Simpang Renggam-Sedenak hingga 4 April 2021

    PLUS tutup lorong kanan KM50.15-KM46.50 antara Simpang Renggam-Sedenak hingga  4 April 2021

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan lorong kanan di antara Simpang Renggam dan Sedenak di KM50.15 hingga KM46.50 ditutup selama empat bulan kepada semua kenderaan bermula hari ini (21 Disember 2020) sehingga 4 April 2021.

    Penutupan lorong terbabit adalah bagi menggantikan penghadang jalan besi di bahagian tengah lebuh raya kepada tembok penghadang konkrit secara berperingkat bagi mengelakkan insiden kenderaan berat terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

    Menurut PLUS lagi, sepanjang tempoh tersebut, trafik di laluan terbabit akan dilencongkan ke lorong kiri dan lorong kecemasan.

    Justeru, pelanggan yang menghala ke selatan dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan CCTV yang disediakan. Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

     
     
  • Toyota GR Yaris hasilkan 308 PS dan tork maksima 387 Nm hanya dengan talaan ECU oleh Litchfield Motors!

    Toyota GR Yaris hasilkan 308 PS dan tork maksima 387 Nm hanya dengan talaan ECU oleh Litchfield Motors!

    Kita sudah pun menerima hot-hatch yang paling ditunggu-tunggu dari Toyota tahun ini, iaitu jentera yang lahir dari kejuaraan rali dunia (WRC) dengan pembangunan bersama Tommi Makinen iaitu Toyota GR Yaris dilancarkan minggu lalu. Untuk pasaran Malaysia, kita menerima GR Yaris dengan kuasa 261 PS dan tork maksima 360 Nm.

    Kuasa yang dihasilkan tersebut adalah sama dengan versi yang dipasarkan di Eropah, dan talaan tersebut dilihat sedikit lebih rendah dari versi pasaran domestik Jepun, yang menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm dari G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang sama berkenaan.

    Enjin tersebut kini diiktiraf sebagai enjin 1.6 liter tiga-silinder paling berkuasa di dunia, dan seperti yang diketahui ia tidak ditala bagi menghasilkan kuasa paling optimum dari kilang kerana ia perlu melepasi ujian-ujian tertentu untuk diluluskan bagi dijual, contohnya ujian pencemaran udara.

    Jadi, berapa agak kuasa yang dapat diekstrak dari enjin ini menggunakan segala hardware dari kilang tanpa pengubahsuaian kecuali talaan semula pada kotak komputer dan meningkat sedikit lagi tekanan boost turbo? Penala dari Britain, Litchfield Motors telah melakukan semula proses berkenaan dan menurut mereka ia konsisten untuk menghasilkan sekitar 308 PS dan tork maksima 387 Nm!

    Ini adalah proses biasa yang dibuat oleh Litchfield. Sebelum menghasilkan pelbagai lagi komponen berprestasi tinggi untuk satu-satu model baharu, mereka akan menala dahulu kotak komputer bagi mendapatkan input berapa kuasa paling optimum yang boleh dihasilkan dengan segala komponen-komponen dari kilang. Dan bermula dari hasil tersebut, barulah mereka mula menghasilkan peralatan lebih ekstrem untuk kereta tersebut dan diproduksi untuk dijual dalam pasaran.

    Toyota GR Yaris ini dijangka bakal mewarnai lapangan dunia ubahsuai selepas ini dan sudah tentu Tokyo Auto Salon 2021 yang akan berlangsung pada Januari nanti akan dipenuhi oleh pocket-rocket dari Toyota ini. HKS misalnya, mereka telahpun menghasilkan GR Yaris dengan kuasa 475 PS yang masih menggunakan komponen dalaman standard, dengan ubahsuai pengecas turbo lebih besar dan juga suntikan nitrus oksida.

    Untuk mengetahui lebih lagi berkenaan Toyota GR Yaris ini dan kenapa ia begitu hype, lebih hype dari abangnya Toyota GR Supra, baca artikel-artikel yang telah kami tulis sebelum ini pada pautan di bawah:

     
     
  • Mazda produksi semula alat ganti RX-7 untuk program Heritage Parts bagi mudahkan restorasi pelanggan

    Mazda produksi semula alat ganti RX-7 untuk program Heritage Parts bagi mudahkan restorasi pelanggan

    Seperti Nissan dan Toyota, Mazda juga kini hadir dengan program Heritage Parts, iaitu program produksi semula alat-alat ganti untuk kereta sport klasik mereka. Untuk kali ini, program berkenaan diperkenalkan untuk kereta sport ikonik dengan enjin wankel rotary, Mazda RX-7.

    Walau bagaimanapun, ia hanya ditawarkan untuk RX-7 genarasi kedua (FC3S) dan generasi ketiga (FD3S), tanpa menyenaraikan model generasi pertama Savanna SA22. Menurut Mazda, mereka akan memproduksi semula 30 jenis alat ganti untuk FC3S dan 61 alat ganti untuk FD3S, dan kesemuanya akan mula dijual bermula Februari 2021.

    Antara alat-alat ganti yang ditawarkan termasuk tiub-tiub vakum, getah-getah bushing untuk suspensi, kit pembaikkan semula sistem brek dan pelbagai lagi. Mazda turut menyatakan bahawa lebih banyak alat ganti akan diproduksi semula selepas ini. Bagi mendapatkan alat-alat ganti ini, anda perlu datang sendiri ke pengedar-pengedar rasmi Mazda di, er um, Jepun.

    Sebelum ini, program serupa turut ditawarkan untuk satu lagi kereta sport klasik Mazda iaitu Miata MX-5/Eunos Roadster generasi pertama (NA). Untuk model berkenaan, jenama dari Hiroshima berkenaan turut mengumumkan program restorasi kilang pada Ogos 2017, dan kereta pelanggan pertama ‘dilahirkan’ semula siap setahun selepas itu.

    Toyota juga telah menghasilkan semula sebahagian alat ganti untuk kereta sport ikonik mereka iaitu Toyota Supra generasi ketiga (A70) dan keempat (A80). Manakala untuk Nissan, sayap perlumbaan mereka iaitu Nismo pada awalnya hanya menawarkan alat ganti baharu termasuk enjin RB26DETT untuk Nissan Skyline GT-R R32, R33 dan R34, kemudian turut menawarkan program restorasi penuh kilang pada tahun ini.

     
     
  • Prasarana anjur ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ hingga 31 Mac – terhad untuk 8,333 pengguna

    Prasarana anjur ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ hingga 31 Mac – terhad untuk 8,333 pengguna

    Mulai hari ini (21 Disember 2020), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuka tawaran istimewa kempen ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ untuk pembelian pas perjalanan tanpa had My30.

    “Di bawah kempen kami yang berlangsung sehingga 31 Mac tahun depan untuk para pengguna perkhidmatan tren dan bas Rapid KL, satu baucar pas percuma My30 akan diberikan untuk setiap pembelian di mana Pass percuma My30 ini boleh digunakan sendiri untuk pembaharuan pada bulan berikutnya.

    Pas percuma My30 ini adalah terhad kepada 8,333 penebusan sahaja dan berdasarkan ‘siapa dulu dia dapat’ dan terhad kepada seorang pengguna dan sekali penebusan sahaja. Tempoh penebusan untuk pas percuma adalah antara 15 Januari 2021 dan 31 Mac 2021,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Prasarana.

    Prasarana anjur ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ hingga 31 Mac – terhad untuk 8,333 pengguna

    Menurut Prasarana lagi, pas perjalanan tanpa had My30 membolehkan warga negara Malaysia menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas Rapid KL berulang kali tanpa had untuk 30 hari di Lembah Klang dengan hanya berbelanja RM30.

    Pas-pas ini boleh dibeli di semua kaunter-kaunter khidmat pelanggan di stesen-stesen LRT, MRT, monorel dan BRT di samping lapan hab bas terpilih – Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama. Walau bagaimana pun, urusan penebusan bagi kempen ini hanya boleh dibuat di dua lokasi iaitu di Sayap Timur stesen KL Sentral dan di Hab Bas Pasar Seni.

    Prasarana anjur ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ hingga 31 Mac – terhad untuk 8,333 pengguna

    Kempen ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ ini adalah antara inisiatif yang diumumkan oleh Menteri berkenaan, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri pada 23 November lepas sebagai pelan pemulihan pelancongan domestik yang bakal diterajui oleh Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

    Di bawah inisiatif itu, agensi berkenaan akan bekerjasama erat bersama para pemain industri seperti operator pengangkutan awam darat, syarikat penerbangan dan badan-badan bukan kerajaan dalam industri pelancongan di samping penggiat-pengiat industri pelancongan seni.

    Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ‘My30 Plus30, Beli 1, Percuma 1’ dan info-info lain mengenai My30, anda boleh melayari laman web rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my

     
     
  • Ford Escort Mk.2 Retro Havoc X Rocket Bunny – projek restomod M’sia & Jepun dirancang ke SEMA!

    Kalau anda betul main kereta, mustahil tak kenal kit badan lebar Pandem Rocket Bunny yang di reka oleh Kei Miura dari Jepun ni kan? Bukan calang-calang punya nama, Kei Miura telah melakukan banyak projek kolobrasi dengan nama-nama besar seperti membekalkan kit badan untuk jentera-jentera drift Fat Five Racing Daigo Saito, dan juga barisan kereta-kereta eksotik dari Liberty Walk.

    Ini satu berita baharu yang agak mengejutkan – Kei Miura kini sedang menghasilkan kit badan Pandem Rocket Bunny ini untuk Ford Escort Mk.2, dan ia akan dipadankan pada projek Restomod Retro Havoc di Malaysia, dan dirancang untuk dipamerkan di antara acara budaya automotif terbesar di dunia iaitu SEMA Show di Amerika Syarikat!

    Menurut pengasas Retro Havoc, Rosli Mohamad Said atau lebih glamour dengan panggilan Alie Kuoppa, projek ini bermula dengan perbincangan dengan Hardcore Tokyo dan juga Kei Miura pada awal tahun ini untuk menghasilkan sesuatu yang baru pada 2021. Jadi, Alie bercadang untuk menghasilkan satu projek yang diasaskan dari Ford Escort Mk.2.

    Ford Escort Mk.2 Retro Havoc X Rocket Bunny – projek restomod M’sia & Jepun dirancang ke SEMA!

    Kenapa Escort Mk2? Alie menyatakan bahawa dia memang sangat minat dengan kereta rali jalan raya berkenaan dan pernah memilikinya sejak masih menuntut di universiti dulu. Namun, Escort Mk2 empat pintu tersebut telah dicuri pada tahun 2014. Selepas itu Alie membeli lagi sebuah Escort Mk2 dalam versi dua pintu yang sememangnya perlu direstorasi semula.

    Jadi peluang yang dibuka pada perbincangan berkenaan digunakan Alie untuk merealisasikan impiannya bagi menghasilkan sebuah Ford Escort Mk.2 yang luar biasa. Tambah mengujakan, Kei Miura sendiri bersetuju untuk berkoloborasi untuk projek ini dan merancang untuk membawa hasil seni terbaharunya itu untuk di pamerkan di SEMA 2021 di Las Vegas, USA.

    Walaupun kit badan ini akan direka dan dihasilkan sendiri oleh Kei Muira di Tokyo, keseluruhan pembinaan semula Ford Escort Mk2 berkenaan akan dibuat di J10Z Garage, terletak di Baling, Kedah. Alie memilih bengkel tersebut kerana J10Z Garage telah melakukan banyak proses restomod kereta-kereta lama dengan hasil kerja yang cantik dan juga mampu menyiapkan satu-satu projek dalam masa yang ditetapkan.

    Ford Escort Mk.2 Retro Havoc X Rocket Bunny – projek restomod M’sia & Jepun dirancang ke SEMA!

    Ford Escort Mk2 Retro Havoc X Pandem ini bukan sahaja akan tampil dengan rupa yang luar biasa, ia juga dirancang dijadikan sebagai sebuah projek restomod dengan unit penjana luar biasa.

    Menurut Alie,kereta tersebut akan disumbatkan dengan enjin Toyota V8 4.0 liter 1UZ-FE, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan yang diambil dari enjin RB25 Nissan. Enjin berkenaan akan diletakkan di atas crossmember yang diambil dari Nissan Silvia S14, lengkap dengan sistem suspensi dan juga hab roda juga dari kereta sport Nissan tersebut.

    Manakala bagi menyalurkan kuasa ke roda belakang, sistem live axle asal Ford Escort berkenaan tidak lagi akan digunakan, sebaliknya juga digantikan dengan gandar dari Nissan Silvia yang menampilkan konfiguarsi suspensi gantungan jenis bebas yang lebih jitu.

    Untuk bahagian kabin pula, ia akan dibina semula oleh pembuat kusyen dan upholsteri yang berpusat di Negeri Sembilan iaitu Lucky. Alie turut merancang untuk mendapatkan kerjasama dari pembuat suspensi tempatan untuk menghasilkan penyerap hentak untuk Ford Escort ini, bagi membawa lebih banyak jenama Malaysia ke Amerika Syarikat nanti.

    Projek ini dijangka siap pada April 2021, manakala kemunculan rasmi bersama Kei Miura sendiri akan dibuat pada Jun 2021. Tahun lalu, Retro Havoc menerusi seorang ahlinya iaitu Engku Mohamed Hadri telah pun mempromosikan budaya automotif di Malaysia dengan memandu Toyota Corolla AE86 dari Putrajaya ke litar Nürburgring, Jerman melalui jalan darat. Moga satu lagi usaha dari Retro Havoc ini akan membawa nama Malaysia ke SEMA pula!

     
     
  • Proton X70 1.5 T-GDI dilancarkan di Pakistan – bermula RM123k untuk CBU dan RM118k untuk CKD

    Proton X70 1.5 T-GDI dilancarkan di Pakistan – bermula RM123k untuk CBU dan RM118k untuk CKD

    Setelah pelbagai berita dan teaser, akhirnya SUV segmen-C Proton X70 dilancarkan di Pakistan. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, X70 pasaran berkenaan tidak menerima enjin 1.8 liter T-GDI seperti di Malaysia, sebaliknya diberikan enjin lebih kecil 1.5 T-GDI bagi disesuaikan dengan konfigurasi cukai di sana, membolehkan ia dijual pada harga lebih kompetitif.

    Di Pakistan, X70 ditawarkan dalam dua varian iaitu Executive AWD dan model tertinggi Premium 2WD. Buat masa ini, ia hadir dalam bentuk CBU diimport sepenuhnya dari Malaysia, dijual pada harga Rs 4,890,000 (RM123,372) untuk Executive dan Rs 5,390,000 (RM 135,987) untuk Premium.

    Ketika dilancarkan semalam, Proton Pakistan yang diuruskan oleh Al-Haj Automotive turut mengumumkan X70 1.5 T-GDI dalam versi CKD yang akan dipasang di Karachi yang akan bermula sebelum separa pertama 2021 turut diumumkan sudah boleh ditempah, dan ia akan dijual lebih murah bermula Rs 4,690,000 (RM118,326) untuk Executive serta Rs 4,990,000 (RM125,895).

    Proton X70 1.5 T-GDI dilancarkan di Pakistan – bermula RM123k untuk CBU dan RM118k untuk CKD

    Dengan harga yang diumumkan ini, Proton X70 dijangka akan mengacau jenama Korea di Pakistan di mana Hyundai Tucson dijual pada harga antara Rs 5,099,000 (RM128,645) dan Rs 5,599,000 (RM141,260). Proton Pakistan juga memberikan waranti selama lima-tahun/150,000, iaitu pengeluar pertama yang menawarkan waranti sedemikian di pasaran tersebut.

    Enjin 1.5 T-GDI pada X70 pasaran Pakistan ini adalah sama dengan enjin tiga-silinder pada Proton X50 pasaran Malaysia, menghasilkan menjana 176 hp dan tork maksima 255 Nm. Ia turut digandingkan dengan transmisi yang sama iaitu kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT.

    Dari segi penawaran kelengkapan untuk setiap varian, model pasaran Pakistan ini dilihat sama dengan versi pasaran Malaysia. Model Executive hadir dengan ciri seperti lampu hadapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED, upholsteri kulit sintetik dengan tempat duduk pemandu larasan berkuasa, sistem infotainmen dengan fungsi “Hi, Proton” dalam bahasa inggeris (hanya untuk infotainmen dan pendingin hawa), kamera 360 darjah, sistem pemantau tekanan angin tayar dan juga rim aloi 18-inci.

    Proton X70 1.5 T-GDI dilancarkan di Pakistan – bermula RM123k untuk CBU dan RM118k untuk CKD

    Manakala untuk versi Premium, ia diberikan tambahan upholsteri kulit Nappa, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa, sistem “Hi Proton” untuk kawalan cermin tingkap, penderia kaki untuk pintu tailgate berkuasa, rim aloi 19-inci dan juga ciri seperti varian Premium X di Malaysia iaitu bumbung panaromik.

    Model paling tinggi ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan yang memberikan fungsi seperti Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Cruise Control Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem, Pemantau Titik Buta (BLIS), Sistem Amaran Bukaan Pintu (DOW) dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC).

    Untuk warna badan pula, X70 1.5 T-GDI pasaran Pakistan ini diberikan empat pilihan yang sama seperti di Malaysia iaitu Snow White, Armour Silver, Ruby Red dan Space Gray. Tiada pilihan warna Jet Grey dan Cinnamon Brown di sana, tetapi pelanggan di Pakistan menerima satu warna unik iaitu Quartz Black, iaitu hitam yang sama seperti Saga Anniversary Edition, dan setakat ini hanya dihasilkan untuk kegunaan kerajaan Malaysia serta sejumlah kecil ditawarkan untuk orang awam.

     
     
  • Gazoo Racing tala Perodua? Ini mungkin rupa Axia, SUV D55L diberikan sentuhan divisi lumba Toyota

    Gazoo Racing tala Perodua? Ini mungkin rupa Axia, SUV D55L diberikan sentuhan divisi lumba Toyota

    Jangan tak tahu, di Jepun, sayap perlumbaan rasmi Toyota iaitu Gazoo Racing bukan hanya menghasilkan model produksi jalan raya talaan prestasi untuk jenama itu sahaja. Malah ada jenama lain di bawah naungan kumpulan Toyota turut menerima sentuhan divisi berkenaan, contohnya Daihatsu GR Copen yang telah didedahkan tahun lalu.

    Dalam kita masih lagi ‘hype’ setelah UMW Toyota melancarkan dua model Gazoo Racing iaitu Toyota GR Yaris dan juga Toyota Vios GR Sport Khamis lalu, pakar manipulasi automotif kita, Theophilus Chin terfikir, macam mana kalau sentuhan Gazoo Racing ini diberikan pada satu lagi jenama di bawah Toyota yang bertapak di Malaysia iaitu Perodua?

    Jadi, Theo menghasilkan dua imej digital imaginasinya untuk membayangkan apa akan jadi jika perkara tersebut terjadi, dan ia diasaskan dari hatchback segmen-A Perodua Axia.

    Untuk “GR Axia” ini, Theo memberikan bampar hadapan dengan identiti kereta-kereta Gazoo Racing lain menampilkan gril sarang lebah petak bersaiz besar, bersama kemasan perumah lampu kabus direka bersegi pada kedua-dua sisi.

    Kemudian dia turut memberikan perincian-perincian sama seperti seperti GR Yaris kepada GR Axia ini termasuk spoiler dan bumbung hitam (karbon sebenar pada GR Yaris), bampar belakang dengan kemasan hitam lebih agresif, dua tip ekzos dan juga rim pelbagai jejari BBS bersama set brek besar disebaliknya.

    Selain dari Axia, Theo turut membayangkan sentuhan GR ini diberikan pada SUV segmen-B baharu Toyota iaitu Raize. Elemen yang diberikan kepada Raize GR Sport ini juga hampir sama seperti GR Axia tadi namun tanpa brek besar kerana ini dibayangkan sebagai model talaan ringan seperti Vios GR Sport.

    Sebab apa Theo turut hasilkan imej bayangan Raize GR Sport ini? Sebabnya tahun hadapan Perodua bakal melancarkan sebuah SUV kompak yang diasaskan dari Raize dan kembarnya Daihatsu Rocky di Malaysia. Nama untuk model terebut masih belum diketahui, tetapi setakat ini ia hanya dikenali dengan kod D55L.

     
     
  • Jari-Matti Latvala ganti tempat Tommi Mäkinen sebagai prinsipal Toyota Gazoo Racing World Rally Team

    Jari-Matti Latvala ganti tempat Tommi Mäkinen sebagai prinsipal Toyota Gazoo Racing World Rally Team

    Toyota telah mengumumkan bahawa bekas pemandu utama untuk Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Jari-Matti Latvala akan mengambil tugas prinsipal pasukan tersebut, setelah bos sedia ada iaitu Tommi Makinen dinaikkan pangkat sebagai penasihat untuk sukan permotoran Toyota secara keseluruhan.

    Latvala yang baru sahaja berumur 35-tahun walaupun belum pernah menguruskan mana-mana pasukan lumba dipilih sendiri oleh Presiden Toyota, Akio Toyoda kerana beliau suka akan sikap pemandu rali dari Finland berkenaan ketika masih bertugas sebagai pemandu utama TGR WRT bermula musim 2017 hingga 2018.

    “Kemampuannya sebagai pengurus masih lagi belum terbukti, tetapi sifat-sifat yang sama ada pada kami berdua adalah faktor penentu kepercayaan pasukan terhadapnya. Saya percaya ini akan membawa kekuatan kepada pasukan. Apabila memikirkan pasukan baru kami bermula 2021, muka Jari-Matti terus muncul dalam fikiran saya. Itu adalah kerana dalam banyak situasi di mana saya empati kepadanya sejak kami pertama kali kami berjumpa,” kata Akio Toyoda.

    “Dia sentiasa memikirkan peminat dan juga rakan-rakan sepasukan. Sebagai salah seorang pemandu utama, saya selalu nampak dia berlari ke arah peminat sejurus selepas dia keluar dari kereta di kawasan servis. Dia ambil berat terhadap semua orang dalam pasukan seperti mekanik dan jurutera dan selalu bercakap dengan mereka. Saya percaya sikap seperti ini dan karekternya akan memperkasakan pasukan serta membantu untuk mendapatkan gelaran juara untuk pengeluar,” tambah bos besar Toyota itu lagi.

    Jari-Matti Latvala ganti tempat Tommi Mäkinen sebagai prinsipal Toyota Gazoo Racing World Rally Team

    Sebelum ini Akio Toyoda pernah menyatakan bahawa Latvala adalah antara penyebab beliau mengambil keputusan untuk membawa semula Toyota ke WRC pada 2017 setelah menarik diri pada tahun 1999. Menurut beliau, ketika beliau ke Finland pada tahun 2014 untuk bertemu Latvala yang ketika itu memandu untuk pasukan Volkswagen, Toyota masih belum membuat keputusan sama ada mahu kembali ke WRC setelah 18-tahun menghilang atau tidak.

    “Saya sangat teruja kerana ia adalah acara WRC pertama yang saya hadir dan saya berdiri di lobi hotel dan berjumpa sendiri para pelumba. Jari-Matti merupakan pemandu pertama yang sampai. Ketika saya menegurnya secara teruja, dia menjawab dengan mesra. Ketika berbual, dia melihat saya sebagai seseorang dari Toyota dan gembira bercerita tentang Corolla dan Celica miliknya,” kata Toyoda.

    Latvala kemudian diumumkan sebagai pemandu utama Toyota ketika pasukan tersebut mendedahkan jentera Yaris WRC 2017 buat pertama kali setelah kembali semula ke WRC. “Ketika saya mengetahui Latvala akan menjadi pemandu kami dua tahun kemudian, saya sangat gembira dengan takdir yang sangat bermakna ini,” tambah Toyoda lagi.

    Toyoda turut mendedahkan bahawa dia tidak menjangkakan bahawa pasukannya beroleh podium pertama begitu awal setelah Latvala berada di tempat kedua Rali Monte Carlo 2017, iaitu pusingan pertama dalam musim pertama yang mereka sertai.

    Jari-Matti Latvala ganti tempat Tommi Mäkinen sebagai prinsipal Toyota Gazoo Racing World Rally Team

    Walau bagaimanapun, kontrak Latvala sebagai pemandu tidak disambung pada musim 2019, apabila TGR WRT mengambil keputusan untuk menampilkan tiga muka baharu dalam pasukan tersebut iaitu juara dunia enam-kali Sebastien Ogier (sekarang sudahpun tujuh apabila dia dinobatkan sebagai juara dunia 2020), Juara WRC2 2019 Kalle Rovanpera, dan bekas pemandu M-Sport Ford Elfyn Evans.

    “Saya berasa amat dihargai untuk mengambil alih tugas ini dengan pasukan, dan dengan kepercayaan Akio Toyoda yang diberikan kepada saya. Saya sangat teruja untuk meneruskan tugas yang telah dimulakan bersama dengan Tommi, setelah menyertai pasukan ini bermula sebagai pemandu,” kata Latvala setelah dilantik ke jawatan prinsipal pasukan berkenaan.

    “Sekarang, sebagai prinsipal pasukan, saya perlu lihat pada sudut lebih besar. Saya perlu memotivasikan semua orang dalam pasukan bagi bekerjasama untuk mencapai keputusan terbaik. Ini adalah cabaran baru dan saya bersedia untuknya.

    “Tommi telah melakukan tugas yang baik dengan pasukan, membinanya dari kosong dan membawa kepada kejayaan yang telah dicapai. Sudah tentu, ruang untuk memperbaikinya sentiasa ada dan saya mahu gunakan apa yang telah saya belajar selama ini sebagai pemandu untuk berkerjasama dengan pengarah-pengarah pasukan bagi memastikan pasukan ini mencapai kejayaan setinggi yang boleh,” kata Latvala lagi.

    Latvala juga sebelum ini telah dinamakan sebagai pemandu WRC paling berpengalaman dengan rekod memulakan sebanyak 209 perlumbaan. Dia telah memenangi sebanyak 18 rali dan sehingga kini masih memegang rekod sebagai pemandu paling muda pernah menjuarai pusingan WRC iaitu di Rali Sweden 2008 pada umur 22 tahun dan 313 hari.

    Dia juga mempunyai syarikat dikenali sebagai Latvala Motorsport, menjalankan perniagaan muzium kereta rali yang mempamerkan koleksi peribadinya, serta menjual barangan memorabilia dan cenderamata rasmi.

    Ketika tidak bersama TGR WRT pada musim 2020, Latvala berpeluang menyertai WRC pada pusingan Rali Sweden dengan Toyota Yaris WRC atas nama Latvala Motorsport, serta menyertai dan memenangi Askolan Granit Rally di Finland pada Oktober lalu menggunakan Toyota Celica ST165 Group A 1991 (pernah digunakan oleh Carlos Sainz) yang direstorasinya sendiri, menawaskan kereta-kereta R5 yang lebih moden.

     
     
  • Honda CBR250RR dilancar secara rasmi di Malaysia – versi terbaru siap quickshifter, 40 hp, harga RM26k

    Honda CBR250RR dilancar secara rasmi di Malaysia – versi terbaru siap quickshifter, 40 hp, harga RM26k

    Sejak didedahkan kali pertama pada tahun 2016, ramai peminat motosikal yang tertunggu-tunggu ketibaan model sports CBR250RR ke pasaran Malaysia. Kemudiannya September lalu, ia akhirnya masuk ke pasaran, tetapi hanya dalam jumlah unit yang terhad dan hanya untuk kegunaan litar sahaja. Kini, versi yang boleh digunakan atas jalan raya sudah dilancarkan secara rasmi, dengan harga jualan RM25,999 tidak termasuk insurans.

    CBR250RR yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ini adalah versi terbaru, seperti yang diperkenalkan di Jepun Julai lalu. Bermakna, ia datang terus dengan kuasa yang lebih tinggi berbanding model tahun 2016, dan dilengkapi terus dengan quickshifter.

    Motosikal sports permulaan ini ini dikuasakan oleh enjin dua silinder selari suntikan bahan api, DOHC penyejukan cecair, bersama gabungan transmisi enam kelajuan serta klac assist/slipper, mampu menghasilkan kuasa 40 hp pada 13,000 rpm dan 25 Nm tork 11,000 rpm.

    Walaupun cuma merupakan motosikal 250 cc, CBR250RR datang dengan kelengkapan yang dapat meningkatkan lagi rasa tunggangan berprestasi dengan fork USD, lengan ayun aluminium dengan monoshock yang mempunyai pelarasan pra beban, sistem pendikit ride-by-wire, tiga mod tunggangan serta brek cakera depan dan belakang bersama sistem ABS.

    Kemudiannya, kelengkapan moden lain yang terdapat pada motosikal adalah seperti lampu utama Dual LED, panel meter digital penuh, sistem ekzos sport serta kerangka jenis Diamond. Berat keseluruhan CBR250RR adalah 168 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14.5 liter.

    Melalui harga yang menarik ini, Boon Siew Honda Malaysia turut memberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km dan warna yang ditawarkan ada dua iaitu Winning Red dan Mat Gunpowder Black Metallic.

     
     
  • GALERI: Toyota Vios facelift 2021 – 1.5G, dari RM88k

    GALERI: Toyota Vios facelift 2021 – 1.5G, dari RM88k

    Dilancarkan pada waktu yang sama jentera hangat Vios GR Sport dan GR Yaris diperkenalkan secara rasminya menerusi siaran digital malam tadi, kehadiran Vios 2021 bersama kembarnya, hatchback Yaris 2021, sudah bersedia memberikan cabaran buat pesaing dalam segmen masing-masing. Sudah pun berada di bilik pameran Toyota, malahan UMW Toyota (UMWT) juga telah membuka tempahan bagi sedan segmen-B ini sejak sebulan yang lalu.

    Pencabar bagi model Honda City 2020 dan Nissan Almera Turbo 2020 ini hadir dengan tiga varian iaitu Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini, ia ditawarkan pada harga RM74,623 bagi varian asas 1.5J, diikuti dengan RM82,593 untuk 1.5E serta 1.5G pula berharga RM87,584. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans dan turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Galeri foto ini membawakan varian tertinggi iaitu Vios 1.5G. Dengan penawaran harga yang paling tinggi, pastinya varian ini diberikan ciri dalaman dan luaran yang lebih lengkap serta bergaya. Ia turut ditampilkan dengan rekaan bahagian hadapannya yang dirombak semula dan diperkemaskinikan. Ini termasuk dengan rekaan bampar, gril dan juga aerokit yang agak mirip dengan rekaan Corolla dan Camry baharu.

    Selain itu, daya tarikan lain yang ditonjolkan ialah dengan kehadiran lampu hadapan LED “triple bezel” baharu dengan fungsi ‘Follow-Me-Home’. Lampu nyalaan siang dan lampu kabus juga menggunakan unit LED.

    Menambahkan lagi imej ranggi pada pandangan sisi, Vios 1.5G ini juga dipadankan dengan roda aloi 16-inci dengan balutan tayar 195/50R16. Bahagian belakangnya, lampu dan bamparnya tidak diberikan sebarang perubahan, malah unit lampu LED masih dikekalkan.

    Dengan tambahan kos RM2,500, pelanggan juga boleh memilih kit aero yang ditawarkan secara pilihan, di mana ia ditambahkan dengan lips pada bampar hadapan dan belakang serta boot lid lip spoiler. Jika kit aero ini masih lagi ‘gagal’ menawan hati anda, boleh juga pilih pakej GR-S yang diinspirasikan dari model Vios GR-S yang berharga RM97.5k itu. Pakej ini didatangkan dengan gril GR Sport, suspensi talaan sport, kit aero spesifik GR-S, tempat duduk sport balutan kulit dan suede, rim aloi 17-inci dengan pertambahan kos RM7,700. Apa yang membezakan Vios anda itu dengan versi original GR-S ialah jentera prestasi tersebut menerima mod manual 10-kelajuan!

    GALERI: Toyota Vios facelift 2021 – 1.5G, dari RM88k

    Menjengah bahagian kabin, tidak banyak perubahan yang dilakukan, masih lebih kurang sama macam model terdahulu. Ciri kelengkapan yang diberikan untuk varian 1.5G termasuklah kulit upholstery, roda stereng dan tombol gear balutankulit, sistem Display Audio tujuh-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay), enam pembesar suara, cermin pandang belakang electrochromic, tempat duduk belakang boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40, kluster instrumen Optitron dengan paparan 4,2-inci, pendingin hawa automatik, kemasukan pintar dan butang penghidup enjin.

    Lain-lain ciri yang turut diberikan termasuklah mod pemanduan Eco dan Sport, dua port pengecasan USB, pencahayaan iluminasi bahagian kaki dengan rona biru dan Sistem Telematik Kenderaan (VTS). Pengecas tanpa wayar pada bahagian storan perehat tangan pula didatangkan secara pilihan dengan kos tambahan RM490.

    Untuk pasaran tempatan, Vios 2021 yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD), masih kekal dengan varian Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Juga tiada perubahan mekanikal, ia masih menggunakan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Turut digandingkan dengan transmisi CVT automatik tujuh-kelajuan.

    GALERI: Toyota Vios facelift 2021 – 1.5G, dari RM88k

    Bagi aspek keselamatannya, ciri keselamatan standard yang diberikan termasuklah tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ABS dengan EBD, Bantuan Brek (BA), Isyarat Henti Kecemasan (ESS), Peringatan Tali Keledar Belakang, Kawalan Mula Mendaki (HAC) dan cagak Isofix.

    Varian 1.5G turut menerima ciri keselamatan tambahan iaitu Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Brek Kecemasan Sendiri (AEB) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA) yang boleh dinyahaktif sekiranya tidak diperlukan.

    Selain itu, ia turut diberikan ciri baharu iaitu sistem Peninjau Pemandangan Panoramik (PVM) yang telah dinaik taraf kepada jenis 3D (sebelum ini hanya 2D). Ia dilengkapi juga oleh kamera belakang, penderia parkir, Peninjau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA).

    Toyota Vios 2021 masih ditawarkan dalam lima warna, di mana dua daripadanya adalah warna baharu. Warna Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic dan Silver Metallic adalah warna-warna yang sudah sedia ada pada model asal, manakala warna putih Super White II digantikan dengan Platinum White Pearl. Namun untuk warna merah Red Mica Metallic telah digugurkan bagi digantikan dengan satu lagi warna cerah iaitu Orange Metallic.

     
     
  • Harga minyak 19-25 Disember – Petrol naik sebanyak lima sen seliter, diesel naik hingga tiga sen seliter

    Harga minyak 19-25 Disember – Petrol naik sebanyak lima sen seliter, diesel naik hingga tiga sen seliter

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan kenaikan harga bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara bagi minggu bertarikh 19 hingga 25 Disember 2020. Di mana harga bagi petrol naik sebanyak lima sen seliter, manakala diesel pula mengalami kenaikan harga sehingga tiga sen seliter.

    Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 akan menjadi RM2.08 seliter berbanding RM2.03 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.73 seliter, bakal menjadi RM1.78 seliter.

    Bagi diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM1.96 seliter dan Euro 5 pula berharga RM2.06 seliter. Kesemua harga baharu ini akan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 25 Disember 2020.

     
     
  • GALERI: Toyota Vios GR Sport – RM95k, lebih sporty

    GALERI: Toyota Vios GR Sport – RM95k, lebih sporty

    Semasa pelancaran model baru Toyota semalam, satu model istimewa yang menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama dalam Asia Pasifik yang mendapatnya adalah Vios GR Sport, diperkenalkan dengan harga RM95,284 dengan pengecualian SST. Di sini, kami sertakan galeri model yang dibangunkan dengan inspirasi serta pengalaman daripada perlumbaan jalanan yang disertai Toyota tersebut.

    Selain lencana GR yang digunakan, model ini menampilkan aerokit agresif yang terdiri daripada bentuk bampar depan yang mirip GR Yaris, bampar belakang lengkap dengan diffuser, spoiler hitam di belakang serta skirting sisi dan cermin sisi yang juga dihitamkan. Kereta ini kelihatan lebih teguh dengan rim 17-inci aloi yang digunakan, dengan saiz tayar 205/45R17.

    Aspek casis dan pengendalian juga diberikan perhatian. Dengan suspensi talaan sport yang memberikan kendalian, kestabilan dan keselesaan ketika dalam kelajuan tinggi, Vios GR-S datang dengan transmisi Continuosly Variable Transmission (CVT) 10-kelajuan yang boleh dikendalikan menggunakan Sports Mode dan juga paddle shifter. Ia kekal menggunakan enjin 2NR-FE 1.5 liter yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm.

    Di dalam, latar warna hitam dan kontras benang merah pada kerusi balutan kulitnya, logo GR yang timbul pada perehat kepala, stereng tiga jejari balutan kulit, tombol gear yang juga balutan kulit serta pengalas kaki dengan logo GR.

    Butang penghidup enjin juga diberikan logo GR, sementara panel meter Optitron datang dengan jarum merah. Paparan multi-maklumat pada skrin 4.2-inci juga datang dengan animasi GR. Vios GR-S hanya didatangkan dalam dua warna: Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic. Berbanding Vios biasa, kelengkapan dan aksesori pakej GR ini bernilai RM7,700.