Sudah beberapa tahun KTM tidak mengeluarkan supermoto 450 cc dan pilihan yang ada bagi mereka yang mahukan jentera seperti ini adalah mengambil model motocross seterusnya melakukan pengubah suaian sendiri. Perkara itu kini berubah apabila pengeluar dari Austria itu memperkenalkan semula 450 SMR ke dalam pasaran.
Ia adalah sebuah model yang menggunakan asas daripada motocross 450 SX-F, namun yang paling jelas, rodanya ditukar kepada jenis kegunaan atas jalan bertar, iaitu unit Alpina 16.5 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut dengan tayar Bridgestone masing-masing bersaiz 125/600 dan 165/630.
Rangka utama motosikal ini menggunakan besi chromium molybdenum manakala subframe pula daripada aluminium. Ia kemudiannya dilengkapkan dengan fork WP XACT USD 48 mm yang ditala khas untuk supermoto serta monoshock WP XACT. Kedua-dua suspensi ini boleh dilaras sepenuhnya (mampatan dan lantunan) dan fork hadapan mempunyai tambahan injap pelepasan tekanan angin.
Bahagian brek seperti biasa menggunakan unit daripada Brembo, tetapi dengan angkup empat piston serta cakera yang lebih besar di hadapan (310 mm) berbanding model motocross. Tangki bahan api berkapasiti tujuh liter manakala tinggi dari tanah pula adalah 290 mm.
Enjin yang digunakan pada 450 SMR adalah sama seperti 450 SX-F, iaitu unit satu silinder empat strok SOHC 449.9 cc dengan sistem suntikan bahan api, dan dipadankan bersama transmisi lima kelajuan (nisbah gear khas untuk supermoto) yang dipasang dengan klac Suter dan sistem hidraulik Brembo. Enjin ini boleh dikerah sehingga 11,500 rpm dan mempunyai selang masa servis lebih lama (100 jam) hasil penggunaan bearing dan crankshaft yang dipertingkat.
Sebagai sebuah supermoto moden, penunggang disediakan dengan dua mod yang boleh dipilih melalui butang pada bahagian pemegang, Traction Control yang boleh ditutup menggunakan suis serta fungsi Launch Control elektronik.
Model skuter Honda Forza ditawarkan dalam pelbagai versi bergantung kepada pasaran dan sebelum ini ia pernah menggunakan enjin 125, 200, 250, 300 dan paling baru adalah 350 cc, diperkenalkan di Thailand Julai lalu.
Kini nampaknya pengeluar dari Jepun itu bersedia untuk menambah pilihan enjin bagi Forza dan satu video teaser telah disiarkan oleh Honda Eropah dalam laman Youtube. Daripada ayat “The Forza family is getting bigger” dalam video itu, kita boleh menjangkakan penggunaan enjin yang lebih besar.
Ini mungkin bagi membolehkan Forza bersaing dengan skuter seperti Yamaha T-Max 560 atau menggantikan Integra 700 yang pada masa sekarang masih tidak diperbaharui dengan enjin yang menepati tahap emisi Euro 5. Dalam barisan produknya, Honda juga mempunyai skuter berbentuk adventure iaitu X-ADV 750.
Sudah tentu, sebagai sebuah video teaser, tiada sebarang perincian teknikal yang diberitahu, tetapi Honda ada menunjukkan beberapa bahagian seperti tepi enjin, kerangka serta fairing hadapannya, dari sisi. Selain daripada itu, terdapat juga satu tarikh yang mungkin menandakan waktu ia akan diperkenalkan secara rasmi, iaitu 14.10.2020.
Daripada gambar ini kita boleh melihat rekaan yang moden berserta beberapa komponen aluminium yang kemas serta bahagian hadapan besar dan mempunyai banyak lekuk tajam. Walaubagaimanapun kita masih tidak mengetahui sama ada skuter ini akan menggunakan pacuan rantai ataupun tali sawat.
Susulan pengurangan saman 70% oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dilanjutkan sehingga 30 September ini, JPJ Negeri Selangor telah mencatatkan kutipan tertinggi mencecah RM1.6 juta sepanjang bulan lalu.
Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor, Muhamad Hafiz Usman, sebaik diskaun 70% ditawarkan bermula 1 Ogos lalu, sambutan yang yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan.
“Sepanjang bulan Ogos, JPJ Selangor mengutip RM1.6 juta daripada 21,476 transaksi saman dibayar pesalah-pesalah yang diberi kompaun. Setakat ini, kutipan daripada pembayaran saman JPJ Selangor adalah antara yang tertinggi berbanding kutipan negeri lain,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Dalam masa yang sama, beliau turut meminta orang ramai mengambil peluang untuk menyelesaikan saman masing-masing selepas tempoh pembayaran saman dilanjutkan sehingga akhir September ini.
“Sambutan baik yang diterima bukan saja daripada orang perseorangan, malah syarikat-syarikat yang pernah dikenakan saman JPJ turut menggunakan peluang itu untuk menyelesaikan saman yang tertunggak.
“Bagaimanapun, sebaik lanjutan tempoh pembayaran dipanjangkan sehingga 30 September, sambutan agak kurang menggalakkan. Kita tidak mahu pelanggan datang pada saat akhir, gunakanlah peluang yang ada ini untuk segera membuat pembayaran saman tertunggak masing-masing, sekali gus mengelak kesesakan nanti,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mengumumkan tawaran ini diberikan kepada semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.
Semalam JPJ Selangor turut mengadakan Operasi Fancy di Plaza Tol Batu 9, Cheras. Muhamad Hafiz berkata sebanyak 3,478 kenderaan diperiksa dengan 3,215 daripadanya adalah motosikal dan selebihnya 165 kereta serta 98 lori.
“Sebanyak 662 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan sebahagian besarnya kesalahan tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh iaitu 263 saman dikeluarkan. Selain itu, 44 saman lagi dikeluarkan atas kesalahan teknikal kenderaan, antaranya motosikal tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, cermin gelap, ekzos bising dan 155 lagi saman atas kesalahan lain.
“Manakala sebanyak tujuh buah kenderaan disita termasuk dua lori, sebuah kereta dan empat motosikal yang digunakan empat warga asing tanpa lesen memandu sah,” menurutnya.
Dalam operasi bermula 4 petang semalam, seramai 139 pegawai dan anggota daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak Lebuhraya Grand Saga terbabit.
Minggu lalu dalam satu gambar crossover segmen-B Kona yang disiarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), mereka sengaja meletakkan Hyundai Sonata 2020 di belakangnya, dan hanya nampak bahagian ekor sedan segmen-D berkenaan. Hari ini menerusi video sempena sambutan Hari Malaysia yang akan disambut minggu hadapan, kelibat model tersebut sekali lagi sengaja ditayangkan, mungkin sebagai isyarat bahawa ia mungkin dilancarkan di sini tidak lama lagi.
Hari Malaysia merupakan sambutan yang berlangsung pada 16 September setiap tahun bagi meraikan penyatuan Sabah dan Sarawak (serta Singapura ketika itu) dengan Tanah Melayu yang telah Merdeka dari British pada 1957 untuk membentuk negara Malaysia yag wujud sehingga kini.
Dalam video berkenaan, HSDM berkongsi apa maksud Hari Malaysia ini dari perspektif kakitangan mereka dari pelbagai jabatan syarikat tersebut. Bila tiba giliran dua jejaka yang selalu berurusan dengan kami iaitu Satria dan Alfian, ‘muka’ Sonata 2020 jelas kelihatan di belakang mereka.
Ia turut telah diperkenalkan ke pasaran Amerika Syarikat dan ditawarkan dengan enjin 1.6 liter GDI-Turbo CVVD baharu berkuasa 185 hp/241 Nm, versi NA 2.5 liter Smartstream dengan sistem suntikan bahan api terus, menjana 191 hp dan tork maksima 245 Nm.
Dua enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan, memacu roda hadapan. Sonata turut ditawarkan dalam versi hibrid dengan enjin Smartstream G2.0 GDi HEV dibantu dengan motor elektrik berkuasa 38 kW dan 205 Nm tork, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 195 PS
Selain dari rupa dan juga padanan enjin yang berkuasa, Sonata 2020 juga menampilkan kelengkapan dan teknologi yang begitu kompetitif, antaranya paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 12.3 inci, sistem bunyi Bose Premium, serta sistem bantuan pemandu SmartSense yang merangkumi sistem seperti Advanced Smart Cruise Control dengan fungsi stop and go, Forward Collision Avoidance Assist (AEB), Blind-Spot Collision Warning dan Lane Keeping Assist.
Walau bagaimanapun, masih belum ada petunjuk jelas bila model ini akan dilancarkan pada pasaran Malaysia, dan apa spesifikasi yang ditawarkan oleh HSDM untuk Sonata 2020 pasaran tempatan. Dari segi rupa, mana yang anda pilih? Honda Accord 1.5L Turbo, Toyota Camry, atau Hyundai Sonata generasi baharu ini?
GALERI: Hyundai Sonata generasi kelapan pasaran Amerika Syarikat
Volkswagen telah mendedahkan model Golf Estate dan Alltrack Mk8, yang menawarkan lebih praktikaliti dan ruang berbanding Golf Mk7 wagon sebelum ini. Model baru ini 66 mm lebih panjang, dengan ukuran penuh 4.63 meter, dan kebanyakannya adalah disebabkan oleh jarak roda yang lebih panjang, sekaligus menjadikan ruang kaki bertambah 38 mm.
Ruang barangan belakang kini berkapasiti 611 liter dengan tempat duduk tegak (bertambah enam liter), dan boleh menjadi sehingga 1,642 liter (+22 liter) apabila tempat duduk dibaringkan rata. Pada bahagian but ini juga terdapat cangkuk untuk beg, soket 12V dan 230 volt, serta cangkuk penunda elektrik yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Pembuka pintu ruang barangan tanpa sentuh juga disediakan sebagai pilihan tambahan.
Pada aspek rekaan, ia adalah sama sahaja seperti Golf biasa, bermula dari hadapan sehinggalah ke b-pillar. Garis bumbung lebih panjang dan ia menurun ke bawah kepada spoiler bumbung. Pada bahagian belakang, cerminnya adalah condong sementara lampu LED pula adalah unit baru yang dapat membezakan model wagon dengan hatchback.
Varian Alltrack secara ringkasnya adalah versi Estate yang lebih tinggi, dengan terdapat kemasan plastik di sekeliling roda, skirting serta bawah bampar, dan bampar hadapan seperti model GTI dengan lampu LED lima bintik. Kedua-dua model juga mendapat kemasan ekzos tersendiri.
Pilihan enjin untuk dua model ini masih belum didedahkan tetapi berkemungkinan ia menggunakan pilihan sama seperti versi hatchback yang termasuk enjin 2.0 liter TDI 200 PS/400 Nm, 2.0 liter TSI 245 PS/ 370 Nm, dan mungkin juga unit PHEV 1.4 liter 245 PS/400 Nm. Varian Alltrack juga mungkin datang standard dengan sistem pacuan semua roda 4Motion.
Ciri keselamatan yang diberi juga mungkin sama, termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, sistem komunikasi car-to-x dan pelbagai lagi. Pada versi hatchback juga terdapat panel instrumen Digital Cockpit 10.25 inci, skrin sesentuh 10 inci untuk sistem infotainmen dan lampu suasana LED 30 warna.
Dikhabarkan Nissan March (atau dikenali sebagai Micra di sesetengah pasaran) akan datang tidak akan dibangunkan oleh pengeluar kereta Jepun itu. Sebaliknya, generasi keenam March akan direka dan dibina oleh Renault, laporan Reuters.
COO Nissan Ashwani Gupta mendedahkan perkara ini kepada akbar Perancis Le Monde awal minggu ini dan berkata, “Untuk Micra generasi akan datang, kita hanya akan mengikut Renault, dan kita akan meminta Renault untuk membangunkan dan memasang Micra akan datang untuk kita.”
Tambah beliau, perancangan pembangunan Micra adalah salah satu contoh strategi “ketua-pengikut” baharu antara Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, dengan satu syarikat menerajui sesetengah jenis kereta.
Di Eropah, Micra generasi kelima yang dipertontonkan pada hujung 2016 dan dilancarkan di pasaran setahun selepas itu telah dipasang di kilang Flins milik Renault di Perancis, walau pun kemudahan terbabit akan diubah ke aktiviti kitar semula pada tahun 2024 apabila kitaran hayat pengeluaran yang dibuat di sana berakhir.
Model semasa March/Micra telah pun digubah secara besar-besaran berbanding model sebelumnya, malah ia juga dibangunkan dengan menggunakan platform Common Modular Family (CMF-B) dari pakatan terbabit. Apa pun, adakah March/Micra generasi baharu ini akan mengekalkan identiti Nissan, atau pun tidak kerana ia akan direka dan dibina oleh Renault? Kena tunggu perkembangan selanjutnya.
Selepas memperkenalkan G80 dan G90, Genesis kini mendedahkan pula G70 facelift, yang akan mula dijual di Korea bulan depan. G70 adalah model paling kecil yang ditawarkan oleh jenama mewah di bawah Hyundai ini, dan ia bersaing terus dengan model seperti Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series, Audi A4, Volvo S60, Lexus IS dan Jaguar XE.
Penampilan G70 kini berubah sepenuhnya, nampak lebih elegan berbanding sebelum ini dengan di hadapannya terdapat gril seperti logo Superman dan diapit lampu utama dua tingkat. Pada lampu itu terdapat dua jalur yang bertindak sebagai lampu siang dan juga lampu penunjuk arah. Pada bahagian tepi, garis badannya masih dikekalkan sementara lubang udara menegak pada fender telah dibuang dan diganti dengan sirip udara kecil yang terletak lebih rendah.
Lampu belakang pula mengikut konsep lampu hadapan, dengan juga mempunyai dua jalur manakala pintu butnya mempunyai lengkung ke atas seperti ducktail spoiler. Tempat nombor plet kini berada di bawah, berhampiran diffuser dan dua muncung ekzos di tepi.
Sementara semua rekaan bahagian luar adalah baru, bahagian dalam pula tidak banyak berbeza berbanding sebelum ini dengan rekaan papan pemuka yang sama. Skrin sesentuh 10.25 inci untuk sistem infotainmen adalah baru dan butang kawalan di bahagian bawah semakin berkurang. Menurut Genesis, sistem infotainmen baru ini mempunyai paparan baru dan boleh dikemas kini dengan mudah, mempunyai mod valet dan boleh menggunakan sistem bayaran CarPay. Panel instrumen juga adalah unit digital.
Perincian berkenaan enjin masih belum didedahkan, tetapi laporan oleh Car and Driver menyatakan G70 akan mendapat enjin empat silinder 2.5 liter turbo yang berkuasa 304 PS (300 hp)/422 Nm. Ini adalah unit Smartstream sama yang digunakan pada G80 dan GV80, menggantikan unit Theta II 2.0 liter turbo.
Enjin V6 3.5 liter turbo yang berkuasa 380 PS (375 hp) dan 530 Nm tork juga ada disebut, sebagai pengganti unit V6 3.3 liter turbo Lambda II. Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dengan pilihan sama ada pacuan RWD atau AWD.
Pada hujung Ogos, Thailand telah mengumumkan perancangan untuk menaikkan jualan kereta baharu di negara tersebut, yang menyusut akibat pandemik Covid-19. Perancangan tersebut bakal menyaksikan pemberian insentif cukai kepada individu dan syarikat yang mahu menukar kereta lama mereka dengan membeli kereta baharu.
Kementerian Industri negara terbabit bercadang untuk melancarkan kupon tukar-beli bernilai 100,000 baht (RM13,260) untuk setiap pemilik kereta, di mana ia boleh digunakan untuk mengurangkan cukai. Buat setakat ini, perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan projek ini dijangka akan diusulkan ke kabinet untuk mencapai kata putus dalam tempoh antara dua atau tiga bulan lagi, laporan Bangkok Post.
Menteri Industri Suriya Jungrungreangkit berkata projek terbabit membabitkan skim kupon tukar-beli yang akan ditawarkan untuk semua jenis model kereta, termasuk EV, dan akan berlangsung selama lima tahun, dengan jangka masa berkenaan mampu merancakkan kembali industri automotif Thai. “Projek ini dalam kadar segera bagi membantu pengeluar kereta dan juga perniagaan yang berkaitan yang terjejas akibat Covic-19,” ujarnya.
Menurut jabatan pengangkutan darat Thailand, negara terbabit telah memiliki lebih kurang tiga juta kenderaan berdaftar sejak lebih 15 tahun, dan mensasar untuk mengurangkan pencemaran dengan bertukar ke kenderaan baharu, terutamanya kenderaan jimat tenaga.
Langkah Thailand dalam menawarkan insentif cukai kepada para pembeli sebenarnya lebih kurang dengan pengecualian/pengurangan cukai jualan bagi kenderaan yang diumumkan menerusi pelan Penjana yang diumumkan Jun lalu. Insentif yang kita terima ialah pengecualian cukai jualan sebanyak 100% bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan pengurangan 50% bagi model import sepenuhnya (CBU) yang ditawarkan sehingga 31 Disember 2020.
Walaupun Toyota GR Yaris merupakan model prestasi penuh dari Gazoo Racing, ini bukan bermakna ia telah menerima semua kelengkapan dari sayap perlumbaan rasmi Toyota tersebut. Untuk pembeli di Jepun, mereka turut boleh memilih barisan aksesori asli GR bagi GR Yaris mereka untuk imej yang lebih tersendiri.
Pakej utama untuk aksesori GR Yaris berkenaan adalah kit aero yang terdiri dari spoiler hadapan yang lebih menonjol, dipadankan dengan kemasan tambahan pada skirt sisi. Pakej ini juga hadir dengan kemasan tambahan pada spoiler belakang, spoiler bampar belakang dan juga tambahan dua lagi tip ekzos, menjadikan keseluruhan empat tip pada bahagian diffuser.
Menurut Gazoo Racing, pakej aero tambahan tersebut bukan sahaja memberikan rupa lebih garang pada GR Yaris ini, malah turut meningkatkan daya downforce ketika dipandu laju. Untuk aksesori lain, ia lebih kepada aspek kosmetik antaranya pelekat GR pada kedua-dua sisi bampar hadapan dan belakang dan juga jalur badan di bawah cermin tingkap sisi.
Barisan aksesori ini juga tampil dengan pelindung pembuka pintu dan pemegang nombor plat dengan elemen gentian karbon. Manakala dalam kabin, kemasan pada papan pemuka yang menghadap penumpang juga boleh diganti dengan kemasan seperti gentian karbon. Karpet kaki dan nat roda GR juga ditawarkan.
Toyota GR Yaris ini merupakan model yang dihasilkan oleh Toyota dengan badan khas tiga-pintu berlainan dari model biasa Yaris hatchback lima pintu. Ia dibangunkan semata-mata untuk mendapatkan kerangka asas yang benar-benar berpotensi sebagai jentara rali WRC yang akan digunakan pada musim akan datang.
Dalam keadaan standard, model ini hadir dengan bumbung gentian karbon yang direka lebih landai untuk kesan aerodinamik lebih baik, serta panel-panel aluminium pada bonet hadapan dan but belakang. Di Jepun, GR Yaris ditawarkan dengan dua jenis enjin iaitu 1.5 liter Dynamic Force NA berkuasa 120 PS/145 Nm, dan juga dua model lebih berkuasa menerima enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo berkuasa 272 PS/370 Nm.
Model asas hanya menerima kotak gear CVT automatik pacuan hadapan, manakala model turbo pula dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual serta sistem pacuan semua roda GR Four. Sistem berkenaan hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang serta tiga mod yang memberikan agihan tork depan dan belakang berbeza iaitu Normal (60:40), Sport (30:70) dan Track (50:50).
Bercakap berkenaan model RS yang diberikan enjin yang cukup ‘lemah’, model tersebut sebenarnya dijual lebih kepada sebagai ‘kerangka’ bagi mereka yang bercadang untuk menghasilkan projek-projek gila, contohnya GR Yaris Daigo Saito yang disumbatkan dengan enjin 2JZ-GTE sebagai jentera drift yang menerima bekalan kuasa 1,000 hp.
Model BMW 3 Series G20 di Malaysia nampaknya akan menerima varian baru apabila versi plug-in hybrid 330e sudah ditemui di Putrajaya. Unit yang masih menggunakan nombor pendaftaran perdagangan ini kelihatan seperti versi M Sport, melihatkan kepada rekaan bampar belakangnya.
Hanya ini sahaja gambar yang kami perolehi, dan jika melihat kepada spesifikasi negara lain, 330e dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo berkuasa 184 hp, dan digabungkan bersama motor elektrik 80 kW (109 hp) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 252 hp dan 420 Nm tork.
Jumlah ini adalah sama dengan model 330e F30, tetapi 330e G20 mendapat ciri XtraBoost yang boleh memberikan tambahan 30 kW (41 hp, hanya dalam mod Sport) waktu memecut, seterusnya meningkatkan kuasa keseluruhannya kepada 292 hp. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.0 saat (0.1 saat lebih pantas berbanding 330e F30), dan mencecah kelajuan maksimum 230 km/j. Kadar penggunaan bahan api purata berada pada tahap 1.7 liter bagi setiap 100 km.
Di bawah tempat duduk belakang 330e G20 terdapat bateri 12 kWh yang dapat memberikan jarak pemanduan kuasa elektrik penuh 60 km apabila berada dalam cas penuh. Kedudukan bateri itu menjadikan ruang simpanan barang di belakang sedikit berkurang, menjadi 375 liter, berbanding 480 liter pada G20 biasa.
Dalam pasaran negara lain, 330e boleh dipasang dengan semua kelengkapan pilihan yang diberikan pada G20 biasa dan ini termasuk kit penuh M Sport, suspensi adaptif M, Variable Sports Steering, sistem brek sports M, Driving Assistant Professional dengan panduan stereng dan lorong, serta Parking Assistant dengan ciri Reversing Assistant baru.
Buat masa sekarang masih belum jelas bagaimana BMW Group Malaysia mahu meletakkan 330e M Sport ini dalam barisan produk mereka. Adakah ia akan menggantikan varian 330i M Sport, ataupun ditawarkan sekali bersama 320i Sport dan 330i M Sport? Bersama kita nantikan pelancarannya.
Volkswagen telah memperkenalkan model coupe Tiguan X yang dibangunkan berdasarkan Tiguan facelift 2020, dengan garisan bumbung landai ke belakang menampakkan bentuk umpama SUV coupe. Penggayaan yang diadaptasi seperti pengeluar kenderaan Jerman yang lain termasuk Audi Q3 Sportback,BMW X4 dan Mercedes-Benz GLC Coupe, walau pun ada perbezaannya.
Walaupun garisan bumbungnya dipendekkan, Tiguan X yang sebenarnya dibangunkan berdasarkan Tiguan Allspace yang lebih panjang dan bukannya versi jarak roda yang biasa, kerana SUV coupe baharu ini berukuran 4,770 mm panjang, laporan Car Sales. Di mana ruang kepala untuk tempat duduk belakang juga dikurangkan.
Separuh hadapan Tiguan X juga ternyata banyak berdasarkan bentuk badan Tiguan biasa, walau pun terdapat perubahan dari tiang-B ke belakang di mana garisan bumbung landai, pintu belakang dan bahagian belakang bagi Tiguan X ini berbeza daripada model standard. Cermin belakang landai yang disambung ke tailgate dengan spoiler, dan lampu belakangnya juga direka semula daripada Tiguan biasa.
Tiguan X akan dibangunkan dengan kerjasama FAW-Volkswagen, dan walau pun ia merupakan model eksklusif untuk China, namun kemungkinan besar akan dipasarkan ke pasaran global lain, laporan Autocar.
Tiguan X dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol, dengan menawarkan dua talaan, masing-masing 188 hp dan 223 hp. Ia akan dipadankan dengan pacuan semua-roda 4Motion dan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.
SUV coupe Tiguan X ini diperkenalkan selepas Tayron X – juga merupakan versi coupe bagi SUV. Tayron dilancarkan di pasaran China pada April tahun lalu. Selain enjin 2.0 liter, Tayron X turut menampilkan penjana kuasa EA211 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dalam barisannya.
UMW Toyota Motor (UMWT) baru-baru ini mengumumkan telah memindahkan tiga lagi operasi cawangannya kepada pengedar melibatkan lokasi di Subang Jaya, Sabah dan Sarawak bermula 1 September lalu.
Perkembangan ini melibatkan pengedar Borneo Mobility (Sabah) yang mengambil alih cawangan di Kota Kinabalu, Borneo Mobility (Sarawak) bagi kemudahan di Kuching dan PCM Subang bagi cawangan Subang Jaya. Langkah ini adalah susulan daripada pengumuman yang dibuat pada Oktober 2017 bahawa UMWT akan memindahkan semua operasi perniagaan cawangannya kepada pengedar dan juga pihak berkaitan lainnya.
“Adalah penting bagi kami untuk terus mencapai tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi. Langkah ini akan membolehkan kami untuk memberi tumpuan terhadap aktiviti-aktiviti yang lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar, sementara pihak pengedar pula boleh menumpukan usaha mereka untuk memenuhi kepuasan pelanggan dengan lebih baik,” ujar Presiden UMWT, Ravindran K.
“Kami berkerja dengan lebih dekat dengan pengedar-pengedar ketika ini untuk menzahirkan visi bersama untuk UMWT, iaitu untuk membawakan konsep “Best In Town”, bermaksud untuk memberi lebih tumpuan terhadap layanan individu terhadap pelanggan,” tambah beliau.
Sekitar dua minggu lepas, kami telah mengeluarkan satu artikel yang menjangkakan ketibaan model baru daripada Yamaha, sama ada NMax 2020, MT-15 ataupun MT-25. Nampaknya tekaan itu mengena dan hampir terjawab apabila Hong Leong Yamaha Motor menyiarkan teaser di media sosial mereka.
Apa yang boleh dilihat cuma bahagian hadapan, tetapi ia sudah cukup jelas untuk menampakkan bentuk lampu hadapan MT-15 yang unik. Walaupun ini adalah gambar bahagian hadapan MT-15, kami tidak menolak kemungkinan MT-25 juga akan tiba kerana risalah jualannya juga sudah tersebar atas talian.
Menguatkan lagi dakwaan ini, undangan yang kami terima untuk acara ini juga diletakkan dengan tema “Rush of Darkness” yang mana kalau kita perhatikan, perkataan Darkness itu sudah sering digunakan dan menjadi sinonim dengan barisan model MT.
Anda juga boleh menyaksikan sendiri pengenalan model baru ini melalui Facebook Yamaha Motor Malaysia pada 12 September 2020 jam 7.30 malam, namun kami masih tidak pasti sama ada ini adalah acara pelancaran ataupun sekadar pra tonton. Berkemungkinan, ia dipertontonkan sahaja terlebih dahulu, bersama harga anggaran dan akan memasuki pasaran dalam masa beberapa minggu lagi.
Yamaha MT-15 menggunakan enjin satu silinder 155 cc VVA bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. MT-25 pula menggunakan enjin dua silinder selari DOHC dan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan pilihan grafik baru bagi model Lagenda 115Z, yang terdiri daripada tiga warna iaitu kelabu matte dengan jalur kuning, hitam dengan jalur biru dan merah dengan jalur hitam. Harganya pula masih tidak berubah.
Kali terakhir Lagenda 115Z diberikan grafik baru adalah pada tahun 2017 dan hujung tahun lepas, HLYM juga telah mengeluarkan satu versi istimewa yang dipasang dengan grafik yang mendapat inspirasi daripada motosikal lumba pasukan Petronas Yamaha SRT. Harganya adalah RM5,580.
Selain penampilan, bahagian-bahagian lain Lagenda ini masih lagi sama iaitu dikuasakan oleh enjin satu silinder 113.7 cc SOHC suntikan bahan api, dan dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 10 hp dan 9.9 Nm tork.
Kelengkapan lainnya adalah termasuk fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, brek cakera di depan dan dram di belakang, tangki bahan api 4.1 liter, rim 17 inci, tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang serta pemula enjin tendang dan elektrik.
Dalam masa beberapa hari lagi, Nissan akan menunjukkan sebuah model konsep, Z Proto, yang akan memberi gambaran kepada model produksi Fairlady Z generasi ketujuh. Khabarnya, model ini akan memasuki pasaran sebagai 400Z, dan Nissan telah mengeluarkan teaser awal untuknya.
Bentuk asasnya sudah dapat dilihat melalui pra tonton pada bulan Mei, tapi video teaser terbaru ini memberikan kita gambaran beberapa lagi perincian bahagian luarnya. Bahagian hadapan yang tajam bersama lampu DRL LED bulat membawa kesinambungan daripada 240Z manakala lampu belakang berjalur melintang pula menyerupai unit pada 300ZX.
Kia juga dapat melihat sekali lagi bentuk fastback kenderaan ini, dan ia sememangnya banyak mengingatkan kepada 240Z, termasuklah bentuk c-pillar. Ia juga seperti mempunyai pilihan warna bumbung kontras – satu pilihan yang banyak disediakan untuk model baru Nissan – dan tombol gear yang berkemungkinan adalah unit manual.
Setakat ini masih belum ada perincian teknikal yang didedahkan, tetapi khabar angin mengatakan 400Z akan dibina atas platform sama seperti Infiniti Q60 dan tidak akan mempunyai sebarang kuasa bantuan elektrik. Sebaliknya, ia dijangka dikuasakan oleh unit V6 3.0 liter twin turbo VR30DETT juga daripada Q60, dengan kuasa 400 hp dan 500 Nm tork.
Ramai yang teruja dengan ketibaan model ini? Sama-sama kita nantikan pengenalannya secara virtual 16 September nanti.
Disiplin rali adalah antara cabang yang paling mencabar dalam sukan permotoran. Ia bukan sahaja memerlukan ketahanan, malah jentera juga perlu ditala agar lincah dalam apa jua bentuk permukaan jalan. Oleh itu, sedan atau hatchback antara pilihan asas yang ideal untuk sukan ini. Pernah dengar jentera rali yang dihasilkan dari MPV? Tiada lagi badan yang berani bermain dengan idea pelik ini selain Mitsubishi dengan jentera rali Xpander AP4!
Mitsubishi Xpander merupakan model yang berkait rapat dengan Mitsubishi Indonesia – model konsep Mitsubishi XM Concept didedahkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016, dan kemudian diterjemahkan dalam versi produksi Xpander pada GIIAS 2017, di mana pembinaan model berdasarkan permintaan MPV tujuh-tempat duduk mampu milik yang begitu tinggi di sana.
Dan idea penghasilan jentera rali Mitsubishi Xpander AP4 ini juga dicetuskan oleh pemandu rali Indonesia yang kariernya ‘dibangunkan’ oleh jentera-jentera Mitsubishi Lancer Evolution iaitu Rifat Sungkar. Program perlumbaan Xpander AP4 ini akan dijalankan oleh Xpander Rally Team, manakala proses pembangunannya yang berjalan tahun lalu dibuat oleh Mitsubishi Ralli Art New Zealand.
Seperti namanya, Xpander ini dibangunkan dengan memenuhi spesifikasi AP4 dan telah pun menerima homologasi penuh dari FIA. Regulasi AP4 merupakan formulasi baharu oleh FIA, iaitu kelas tertinggi dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) buat masa sekarang bagi menggantikan Group N.
Sedikit pencerahan kategori AP4 ini – ia bermaksud Asia Pasifik 4WD dan kategori ini berada tahap yang sama dengan kategori R5, serta ia dibuat khas hanya untuk APRC. Kategori ini dihasilkan oleh komuniti rali Asia Pasifik kerana kepupusan jentera-jentera Group N seperti Mitsubishi Lancer Evolution yang secara asasnya adalah model produksi dari kilang yang hanya diberikan rollcage, penukaran sistem suspensi serta hanya talaan kotak komputer untuk membolehkan ia terus berlumba dalam rali.
Jentera yang masih ada dalam pasaran, Subaru WRX STI misalnya juga kini sudah tidak kompetitif kerana saiznya yang terlalu besar, lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan jentera WRC dan R5 yang kini sudah beralih menggunakan hatchback segmen-B.
Walaupun spesifikasinya hampir sama dengan jentera R5, kereta-kereta AP4 ini tidak memerlukan homologasi yang ketat dari FIA seperti R5, membolehkan kos untuk menghasilkannya lebih murah dan ia boleh di bina oleh mana-mana bengkel tanpa perlu ke Eropah yang tentunya turut melibatkan kos duti import. Namun jentera AP4 ini hanya boleh bertanding dalam rantau Asia Pasifik sahaja, berbanding R5 yang boleh bertanding di seluruh dunia termasuk kategori kedua tertinggi dalam WRC iaitu WRC2.
Xpander AP4 ini diberikan set suspensi boleh laras sepenuhnya mengikut spesifikasi AP4, dan bergantung pada SS rali, ia akan diberikan talaan gravel yang tinggi dengan tayar tebal, mahupun talaan tarmac dengan badan yang direndahkan dengan set rim besar dibaluti tayar berprofil rendah.
Untuk enjin pula, sama seperti R5, kereta-kereta kategori AP4 ini perlu dilengkapi dengan enjin 1.6L, tetapi dengan unit restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm (R5 hanya 32 mm), manakala berat minimun dibenarkan adalah 1,250 kg.
Jadi, Xpander AP4 ini diberikan enjin seakan sama dengan jentera rali Proton Iriz R5, iaitu 4B11T dari Mitsubishi Lancer Exo X yang dikecilkan kapasitinya dari 2.0 liter ke 1.6 liter, ditala bagi menghasilkan 350 hp dan tork maksima 556 Nm untuk menggantikan enjin MIVEC 1.5 liter asal.
Jentera ini turut menerima kelengkapan-kelengkapan AP4 yang lain seperti kotak gear sequential enam-kelajuan Sadev, serta sistem pacuan semua roda dengan tiga unit LSD mekanikal pada bahagian tengah serta gandar hadapan dan belakang. Seperti jentera-jentera AP4 lain, ia diberi kit aero dengan kesemua fender yang lebih lebar bersama bampar hadapan dan spoiler belakang yang lebih agresif dihasilkan dengan dimensi maksima yang dibenarkan.
Manakala bahagian dalaman pula ‘dibogelkan’ dan diberikan rollcage enam poin chrommoly, set pedal box, tuil brek tangan hidraulik, sepasang tempat duduk perlumbaan lengkap dengan tali pinggang keledar bersama roda stereng dari OMP, serta kelengkapan-kelengkapan lain yang berkaitan.
Kenapa guna platform SUV MPV ini sebagai asas untuk sebuah jentera rali? Menurut Rifat Sungkar,bukan sahaja terpikat dengan rupa garang pada Xpander lebih-lebih lagi selepas seorang pereka grafik dan artis automotif bernama Yoga Budi Widiantoro menghasilkan imej bayangan Xpander AP4 berkenaan, malah menurutnya MPV tersebut mempunyai pengendalian terbaik berbanding saingannya yang lain.
Rifat juga menyatakan bahawa dia diberitahu oleh jurutera Mitsubishi sendiri bahawa Xpander ini dihasilkan dengan DNA kuat dari Lancer Evolution X, sebab itulah ia memberikan respon dan pengendalian yang cukup baik. Rifat yang juga mempunyai garaj ubahsuainya sendiri iaitu RFT Motorsport, telah menimbang Xpander persendiriannya dan terkejut MPV tersebut dihasilkan dengan nisbah berat hampir sempurna seperti sebuah kereta sport sebenar iaitu 50.1% di hadapan serta 49.9 di belakang!
Apa pun, kita semua tahu model-model Mitsubishi sememangnya mempunyai ‘semangat’ jentera rali dengan kebanyakkan model-model berkenaan dihasilkan dengan input-input dari yang diambil dari perlumbaan rali bermula pada era 70’an. Mitsubishi Xpander yang bakal dilancarkan pada pasaran Malaysia tidak lama juga tidak terkecuali dengan DNA ini, walaupun ia sebuah MPV keluarga yang boleh memuatkan tujuh-orang dewasa.
Produksi bagi generasi ketiga SUV Nissan Qashqai yang dilaporkan sebelum ini sepatutnya dimulakan pada bulan hadapan, terpaksa ditangguhkan ke pertengahan tahun 2021 akibat penularan pandemik COVID-19, laporan Financial Times.
Nissan yang memaklumkan pada Autocar berkata, “Persediaan diteruskan bagi pelancaran Qashqai baharu di Sunderland, yang turut melibatkan kos pelaburan untuk kilang pemasangannya sebanyak £400 juta (RM2.2 juta). Kami masih belum mengumumkan tarikh bagi model generasi akan datang, tetapi bakal berkongsi beberapa berita menarik untuk bulan-bulan akan datang.”
Nampaknya, kelewatan ini bakal membolehkan Nissan mengaturkan langkahnya sekiranya Britain tidak memperoleh perjanjian pasca Brexit dengan Kesatuan Eropah (EU). Kilang pengeluarannya di Sunderland mampu menghasilkan kira-kira 500,000 unit kereta setahun dan dieksport ke Eropah, dengan dua pertiga daripadanya adalah model Qashqai. Menurut Nissan, sebarang tarif perdagangan dengan EU akan ‘membahayakan’ model perniagaannya di Sunderland.
Model semasa Qashqai iaitu generasi kedua, telah dijual sejak tahun 2014. Mengikut perkhabaran, model baharu ini bakal menampilkan dua penjana kuasa hibrid baharu, dengan salah satunya kemungkinan adalah sistem e-Power. Menurut timbalan presiden bagi perancangan produk Nissan Eropah, Ponz Pandikuthira, “Kami sedang mengkaji teknologi e-Power untuk Eropah,” seakan memberikan bayangan ia bakal diperkenalkan di Eropah. Turut dijangkakan, sistem bantuan pemandu termaju Propilot juga akan ditampilkan pada model baharu tersebut.
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) selaku pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di sini telah mengumumkan bahawa model MPV Mitsubishi Xpander yang akan dijual untuk pasaran Malaysia adalah dari versi pemasangan tempatan (CKD).
Xpander akan dipasang di Pekan yang kini dilengkapi dengan bengkel kimpalan badan serba baru serta kelengkapan kimpalan yang juga baru. Kilang berkenaan turut akan dilengkapi dengan teknologi mengecat maju, termasuk sistem semburan ED-coating 360-darjah.
Ini untuk memastikan cat pelapis penghindar hakisan membaluti keseluruhan badan kenderaan serta cat yang sekata pada badan Xpander. Model ini juga akan melalui barisan ujian untuk memeriksa semua sistem berfungsi, termasuk sistem Active Stability Control (ASC) sebelum tiba di penghujung barisan pemasangannya.
“Pada Januari 2014, model pertama CKD bagi MMM ialah ASX yang dipasang di Tan Chong Motors Assembly di Segambut. Kemudian, pada September 2017, MMM memasang pula model kedua, SUV Outlander di kilang yang sama. Kini, Xpander akan dipasang di kilang baru di Pekan, Pahang oleh warga Malaysia dengan menerapkan teknologi dari Jepun,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.
“Xpander juga disesuaikan untuk pasaran di sini bagi memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan tempatan. Ia akan diletakkan tanda harga yang kompetitif untuk membolehkan pelanggan yang berkeluarga mampu memiliki kenderaan tujuh-tempat duduk ini pada harga yang berpatutan. Pelanggan juga boleh membuat tempahan tidak lama lagi,” tambah beliau.
Kepada yang berminat, anda kini boleh mendaftarkan minat ada melalui laman web rasmi Mitsubishi Motors Malaysia. Pelanggan juga boleh melihat model ini yang dipamerkan di Mid Valley Megamall, Centre Court bermula hari ini hingga 13 September 2020 dari 10 pagi hingga 10 malam.
Sementara itu, di dalam dua video berasingan yang dikongsikan oleh MMM seperti di bawah ini, dapat dilihat bahawa pasaran Malaysia juga akan menerima Apple CarPlay, serta kamera 360-darjah dan kabin dengan kemasan warna hitam.
Gentian karbon merupakan material yang paling sesuai untuk menggantikan logam untuk kebanyakkan komponen bagi menghasilkan sebuah kenderaan yang jauh lebih ringan. Sifatnya yang kurang lentur bukan sahaja dapat menghasilkan kerangka badan yang lebih kuat bagi memberikan titik graviti lebih rendah, pengendalian dan juga keselamatan yang lebih bagus, malah dengan jisim keseluruhan yang lebih ringan, sesebuah kenderaan itu juga dapat memberikan ekonomi bahan api yang jauh lebih baik.
Namun kerana proses pembuatannya yang rumit membuatkan kos untuk menghasilkan komponen-komponen gentian karbon ini menjadi tinggi. Oleh itu buat masa sekarang, penggunaan gentian karbon ini hanya banyak kita temui pada kereta lumba, kereta sport dan juga dalam industri aeroangkasa. Jika ia digunakan pada kereta penumpang biasa, sudah tentu harga kereta berkenaan akan melambung tinggi.
Jadi, Nissan mengambil inisiatif untuk membangunkan satu proses untuk menghasilkan komponen gentian karbon ini dengan cara yang lebih mudah, cepat dan mengurangkan kos, seterusnya membolehkan ia diproduksi secara besar-besaran dan dapat digunakan pada kereta penumpang biasa.
Jenis produk gentian karbon yang akan dihasilkan menerusi proses baharu tersebut adalah gentian karbon diperkuat plastik (CFRP), dan inovasi tersebut mengambil masa hanya separuh untuk menghasilkan komponen berkenaan, dan masa kitaran untuk acuan pula jimat sehingga 80% berbanding cara konvensional.
Proses baharu yang dibangunkan oleh Nissan ini dikenali sebagai acuan alihan resin dimampatkan (C-RTM). Dengan cara ini, lapisan gentian karbon akan dibentuk mengikut acuan di bawah dan di atas serta meninggalkan satu ruang kecil diantaranya. Kemudian resin akan disuntik pada ruang berkenaan dan dibiar mengeras.
Jurutera Nissan membangunkan teknik untuk mensimulasikan kebolehtelapan resin dalam serat karbon dengan tepat, sambil memvisualisasikan sifat aliran resin dalam acuan menggunakan acuan telus cahaya bersama sensor suhu di dalamnya. Hasil dari proses ini adalah komponen berkualiti tinggi dengan masa penghasilan yang lebih pendek.
Menurut Rieko Yamaguchi, dari bahagian Kejuruteraan Elemen Pembuatan Kenderaan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan Produksi Nissan, syarikatnya akan mula mengunakan komponen yang diperbuat dari CFRP ini pada struktur tiang-B (tiang di antara pintu hadapan dan belakang) untuk barisan model-model baharunya pada masa akan datang.
Walau bagaimanapun, Nissan masih belum memperincikan bila mereka akan memulakannya, dan model yang mana akan menjadi model pertama menerima komponen tersebut kelak.
Mercedes-Benz telah memperkenalkan varian G 350 daripada barisan G-Class di China, ini bermakna ia untuk mengurangkan impak terhadap sistem cukai bagi kereta dengan enjin besar di negara berkenaan, laporan Autohome. Model G 350 ini juga dikuasakan oleh enjin M264 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder peltrol, yang sama digunakan untuk C-Class dan GLC.
Di atas kertas, penjana kuasa ini mampu menghamburkan hingga 258 PS (255 hp) pada 5,800 rpm dan tork 370 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm, dengan kuasanya disalurkan menerusi transmisi automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic dan pacuan empat-roda. Bagi sudut prestasi, model asas Gelandewagen ini hanya mengambil 8.1 saat untuk pecutan dari titik sifar ke 100 km/j dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 190 km/j.
Sebagai perbandingan, G 500 (atau pun lebih dikenali sebagai G 550 di Amerika Syarikat dan beberapa pasaran lain) menampilkan enjin M176 4.0 liter turbo-berkembar V8 dengan hamburan kuasa 421 PS (416 hp) dan tork 610 Nm. Terdapat juga versi AMG dengan enjin M177 dengan kuasa 585 PS dan 850 Nm, yang turut ditawarkan di China pada harga 2.2288 juta yuan (RM1.355 juta).
Dengan enjin yang lebih kecil dan lebih kurang berkuasa, G 350 sebenarnya lebih murah berbanding G 500 di China. Menurut laman web pengeluar kereta terbabit di China, G 350 ditawarkan pada harga 1,429,800 yuan (RM868,537), sementara G 500 bermula dari 1.628 juta (RM988,934). Sekaligus memberikan pilihan yang lebih menjimatkan buat para pelanggan yang inginkan G-Class dengan penjimatan sebanyak 198,200 yuan (RM120,489).
Untuk varian paling asas, G 350 didatangkan dengan roda 19-inci, dua paparan 12.3-inci, kawalan suhu Thermotronic tiga-zon, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan fungsi pemanas, sistem pencahayaan ambien, suspensi Agility Control, Dynamic Select, sistem bunyi Burmester, Pre-Safe dan bantuan kekal lorong aktif.