Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan Juke Enigma 2021 edisi istimewa didedahkan

    Nissan Juke Enigma 2021 edisi istimewa didedahkan

    Nissan telah mendedahkan model Juke Enigma edisi istimewa, dengan menawarkan fungsi Alexa Amazon buat pertama kali untuk pasaran Eropah. Ia kini mula dijual dengan harga bermula £23,195 (RM108k).

    Sistem kawalan suara Alexa Amazon kini ditawarkan untuk semua model Juke yang lengkap dengan sistem infotainmen NissanConnect. Dengan ini, pengguna boleh mengetahui pelbagai status kenderaan misalnya status dikunci pintu, baki minyak, lampu menyala serta tempat kereta diparkir. Pengguna juga boleh memaklumkan kepada Alexa untuk memasukkan alamat bagi sistem tunjuk arah.

    Nissan Juke Enigma 2021 edisi istimewa didedahkan

    Dari segi rekaan, Juke Enigma menerima beberapa kemasan dengan estetika gelap, misalnya pada rim 19-inci Akari, serta hiasan grafik dengan corak menarik pada garis bumbung dan perumah cermin sisi.

    Turut hadir ialah grafik khas untuk Enigma pada tiang C. Pilihan warna pula ada tiga, terdiri daripada Gun Metallic Grey, Storm White dengan bumbung hitam dan hitam keseluruhannya. Naib Presiden, Perancangan Produk Nissan Eropah, Marco Fioravanti berkata; “Nissan Juke Enigma memberikan penggayaan unik bagi model berkenaan yang sebelum ini tampil dengan rekaan menarik serta kelengkapan teknologi maju.”

     
     
  • Laluan LPT1 dari Temerloh-Lanchang masih ditutup

    Laluan LPT1 dari Temerloh-Lanchang masih ditutup

    Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) yang merupakan laluan sambungan utama antara kawasan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia dilaporkan masih lagi ditenggelami air di beberapa bahagian laluan Temerloh-Lanchang bagi kedua-dua arah. Dengan paras air tinggi di KM 113 dan KM 115, LPT1 tidak boleh dilalui oleh trafik.

    Menurut pengendaliya, Anih Berhad dalam kemaskini status pagi ini, keadaan banjir antara Lanchang dan Karak (KM 84.6) semakin bertambah baik, dengan laluan ke KL telah mula dibuka sejak 9 pagi semalam. Laluan ke Kuantan bagaimanapun masih ditutup kepada trafik.

    Dengan E8 ditutup sebahagiannya, Lembaga Lebuhraya Malaysia mencadangkan beberapa laluan alternatif yang melibatkan lencongan ke Negeri Sembilan. Ini disebabkan jalan lama (Laluan 2) juga turut dinaiki air sebahagiannya dari Temerloh ke Lanchang. Bagi yang ingin ke Kuantan dari KL, mereka boleh melalui Simpang Pertang di Negeri Sembilan. Dari situ, hala menuju Muadzam Shah hinggalah ke tol Gambang.

    Bagi yang dari Pantai Timur dan ingin kembali ke KL, mereka juga boleh bergerak ke Muadzam Shah sebelum merentas Negeri Sembilan menuju Bahau, Kuala Pilah dan seterusnya Seremban. Bagi mereka yang masih tersangkut dan berada dalam perjalanan tersebut, banyak-banyak bersabar dan sentiasa patuhi arahan lencongan.

     
     
  • Honda kekal jenama bukan nasional no.1 di M’sia kali ke-6 berturut-turut; jual 60,469 kereta sepanjang 2020

    Honda kekal jenama bukan nasional no.1 di M’sia kali ke-6 berturut-turut; jual 60,469 kereta sepanjang 2020

    Honda Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa mereka berjaya menjual sejumlah 60,469 unit kenderaan sepanjang 2020, menjadikan ia kekal sebagai jenama bukan nasional paling laris di Malaysia buat kali ke-enam berturut-turut.

    Menurut syarikat tersebut, Honda City menjadi model paling banyak menyumbang rekod jualan tersebut dengan mewakili 34% dari jumlah keseluruhan, diikuti Honda Civic sebanyak 20% dan Honda HR-V sebanyak 17%.

    Honda City generasi keempat masih lagi dijual dalam momentum yang baik sehingga pengakhiran hayat produksinya, dan kemudian disambung dengan lebih baik oleh model generasi kelima yang dilancarkan pada pasaran tempatan pada Oktober tahun lalu.

    Model generasi baharu sedan segmen-B tersebut telah terjual sebanyak 5,500 unit sehingga Disember lalu, mencatatkan rekod jualan tertinggi pernah direkod oleh City. Sehingga kini, Honda Malaysia telah menerima sejumlah 15,200 unit tempahan City baharu berkenaan, di mana 10,800 unit daripadanya telah pun diterima oleh pelanggan.

    Honda Malaysia turut menyatakan bahawa, antara semua varian ditawarkan, City 1.5V iaitu model tertinggi untuk versi janaan petrol sepenuhnya adalah model yang paling laris dengan mewakili 52% dari keseluruhan unit yang dijual. Untuk warna pula, 26% dari keseluruhan pelanggan Honda mahukan kereta mereka dalam rona Platinum White Pearl.

    Honda kekal jenama bukan nasional no.1 di M’sia kali ke-6 berturut-turut; jual 60,469 kereta sepanjang 2020

    Manakala untuk pecahan pasaran pula, bahagian tengah Semenanjung Malaysia mencatatkan jualan paling tinggi dengan menyumbang 48%, diikuti bahagian selatan dengan 19% dan utara dengan 18%.

    “Tahun 2020 mungkin sangat mencabar namun kami berjaya untuk mengekalkan kedudukan nombor 1 dalam segmen bukan nasional buat tahun ke-enam berturut-turut, dan kami benar-benar berasa rendah hati dengan sokongan yang diterima. City terus membuktikan posisinya sebagai model segmen-B bukan nasional paling popular di kalangan rakyat Malaysia yang sukakan ciri-ciri termaju dengan pakej harga yang menarik,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

    “Kepercayaan berterusan anda semua terhadap Honda membolehkan kami terus mencuba yang terbaik dalam servis kami kepada anda dalam masa yang sama kami berusaha untuk merealisasikan falsafah ‘3 Joys of Honda’ iaitu Joy of Buying, Joy of Selling dan Joy of Creating.

    “Kami turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang melanjutkan pengecualian cukai jualan, yang akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli kereta dengan lebih penjimatan,” tambah Ishiyama lagi.

     
     
  • VIDEO: YDP Agong pandu sendiri Toyota Hilux redah banjir di LPT untuk bantu mangsa di Maran, Pahang

    Seperti yang kita ketahui, hujan lebat yang melanda negara akhir-akhir ini telah menyebabkan banjir yang teruk di berberapa negeri terutama di Johor dan Pahang. Dan di Pahang, ia turut menjejaskan laluan utama ke Pantai Timur iaitu Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di kawasan Karak-Temerloh (arah Kuantan) dan Temerloh-Lanchang (arah KL) yang dinaiki air sehingga perlu ditutup untuk kesemua kenderaan.

    Seperti setiap musibah banjir yang terjadi di Pahang sebelum-sebelum ini, Yang diPertuan Agong Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melawat sendiri mangsa-mangsa banjir yang terjejas, ditemani Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Baginda tidak menggunakan pengangkutan udara, sebaliknya menggunakan jalan darat dengan memandu sendiri trak pikap Toyota Hilux bagi mengetahui sendiri keadaan tempat-tempat terjejas dengan lebih terperinci. Namun dalam perjalanan lawatan mengejut ke daerah Maran, Pahang bagi mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Maran, konvoi Baginda terpaksa meredah laluan yang dinaiki air di LPT.

    VIDEO: YDP Agong pandu sendiri Toyota Hilux redah banjir di LPT untuk bantu mangsa di Maran, Pahang

    Apa yang menarik, walaupun laluan tersebut agak sukar, Al-Sultan Abdullah masih memandu sendiri Hilux berkenaan, dan video aksi baginda tersebut disiarkan oleh laman facebook rasmi Istana Negara.

    Dan menerusi hantaran laman berkenaan kira-kira sejam yang lalu, konvoi berkenaan sudah pun sampai ke destinasi yang dituju dan Sultan Abdullah sudah pun bertemu dengan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, iaitu di SMK Maran, Surau Kampung Jara, SK Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin.

    Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang berada di PPS tersebut dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

    Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada NADMA, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus-lumus membantu rakyat setiap kali banjir.

    Seri Paduka Baginda juga mengajak seluruh rakyat bersama Baginda mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

     
     
  • Mitsubishi Outlander Sport buat penampilan di AS — dua varian baru; Limited Edition dan Black Edition

    Mitsubishi Outlander Sport buat penampilan di AS — dua varian baru; Limited Edition dan Black Edition

    Mitsubishi Outlander Sport 2021, atau dikenali sebagai ASX di pasaran lain, kini mula diperkenalkan untuk pasaran Amerika Utara. Crossover kompak berkenaan merupakan model paling laris jenama itu di rantau itu, dan menampilkan beberapa kemaskini dari aspek keselamatan bagi versi 2021, dengan varian Limited Edition dan Black Edition.

    Versi Limited Edition menerima kemasan hitam untuk perumah cermin sisi, gril dan rim aloi 18-inci-nya, sementara bahagian kabin menerima kemasan benang merah pada kerusi, tombol gear, stereng dan tuil brek parkir.

    Sementara itu, bagi varian Black Edition, ia menampilkan bukaan udara depan dan belakang rekaan baru, dengan kemasan hitam berkilat dan merah. Ia juga dilengkapi penutup corong minyak aluminium, pelekat hiasan sisi badan, perumah cermin sisi dan pemegang pintu hitam, rim 18-inci hitam, lencana Black Edition dan kemasan hitam bahagian belakang. Pilihan warna dalaman termasuk Red Diamond, Pearl White, Black Labrador dan Sunshine Orange.

    Bergantung kepada tahap kemasan, kabinnya menerima sama ada sistem paparan audio tujuh-inci, atau yang lebih canggih, paparan audio Smartphone-link lapan-inci generasi kedua dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Mitsubishi Outlander Sport buat penampilan di AS — dua varian baru; Limited Edition dan Black Edition

    Bagi sistem janaan kuasa, tiada perubahan dilakukan, Outlander Sport masih menggunakan sama ada unit 2.0 liter MiVEC empat-silinder petrol dengan output 148 hp dan 197 Nm, atau unit yang lebih besar 2.4 liter MiVEC empat-silinder dengan janaan 168 hp dan 226 Nm tork. Pacuan depan dan pacuan semua roda kekal ditawarkan.

    Aspek keselamatan, Outlander Sport 2021 dilengkapi dengan Forward Collision Mitigation (FCM), Lane Departure Warning (LDW) dan Automatic High Beam (AHB). Lain-lain kelengkapan termasuk sensor pengilap cermin, lampu kabus LED, cermin pandang belakang anti-silau dan lampu utama automatik adalah ciri standard untuk semua, kecuali bagi varian S yang paling asas.

    Mitsubishi Outlander Sport akan dijual secara rasmi pada Februari, dengan harga bermula dari US$20,995 (RM84k) bagi model paling asas hingga US$26,995 (RM108k) bagi model GT AWC yang paling lengkap.

     
     
  • Nissan Magnite hanya dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    Nissan Magnite hanya dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    SUV segmen-B Nissan Magnite telah pun membuat kemunculan sulungnya di India pada Disember lalu, dan kemudian dilancarkan di Indonesia pada bulan yang sama – dalam kedua-dua pasaran ini, Magnite dijual pada harga yang cukup kompetitif dan mungkin akan menggugat pasaran pesaingnya yang lain.

    Namun dalam ujian pelanggaran penilaian keselamatan ASEAN NCAP, Magnite nampaknya tidak menampilkan markah yang cemerlang apabila agensi berkenaan hanya memberikan penarafan empat bintang. Walau bagaimanapun, perincian penuh ujian berkenaan masih lagi belum didedahkan dan bakal diumumkan pada masa terdekat.

    Nissan Magnite ini diuji oleh ASEAN NCAP sebelum 1 Januari lalu bersama Proton Iriz dan Persona yang dihantar semula oleh Proton untuk dinilai semula (kedua-dua model Proton berkenaan masih kekal menerima lima-bintang). Ini bermakna ia adalah model terakhir dinilai menggunakan protokol 2017-2020 ASEAN NCAP.

    Nissan Magnite hanya dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    Untuk protokol baharu ASEAN NCAP 2021-2025 kelak, ia turut akan menekankan aspek “teknologi perlindungan kepala” (seperti beg udara tirai) serta akan memperkenalkan kategori Keselamatan Terhadap Penunggang Motosikal seperti teknologi pemantau dan kamera titik buta.

    Di Indonesia, SUV kompak ini ditawarkan dalam tiga varian berbeza di negara tersebut bermula dengan model paling asas Upper MT berharga 208.8 juta rupiah (RM59,629), model spesifikasi tinggi Premium MT berharga 226.3 juta rupiah (RM63,855) dan model kemasan sama dengan kotak gear automatik Premium CVT berharga 238.8 juta rupiah (RM68,196).

    Untuk keselamatan, Magnite pasaran Indonesia dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, Vehicle Dynamic Control, Traction Control, Hill Start Assist dan kamera 360 darjah.

    Ia dijana oleh enjin HR0A 1.0 liter tiga-silinder yang sama dengan Nissan Almera turbo menjana 100 PS dan tork maksima 160 Nm. Model MT diberikan kotak gear manual lima-kelajuan, manakala model automatik pula diberikan kotak gear CVT X-Tronic, bagi mengalirkan kuasa ke roda hadapan.

    Panjang keseluruhan SUV ini adalah 3,994 mm dengan jarak roda 2,500 mm. Manakala lebarnya pula adalah 1,758 mm dengan tinggi 1,572 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Proton X50, Magnite adalah 336 mm lebih pendek dengan jarak roda 100 lebih dekat, serta 42 mm kurang lebar. Jika di bawa ke Malaysia, Magnite sebenarnya adalah lawan terus kepada SUV Perodua D55L yang akan dilancarkan tak lama lagi, diasaskan dari Daihatsu Rocky.

    Magnite dipadankan dengan rim bersaiz 16-inci dan tayar tebal dengan saiz 195/60R16. Ia mengahsilkan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm.

    Model pasaran Indonesia ini juga ditawarkan dengan skema warna badan tona tunggal atau dwi-tona. Untuk model satu warna badan, ia boleh dipilih dalam warna Blade Sliver, Onyx Black, dan Storm White. Manakala untuk versi dua tona pula, ia ditawarkan dalam warna Garnet Red dan Pearl White dimana kedua-duanya digandingkan dengan bumbung Onyx Black.

    Dalam kabin, Magnite diberikan papan pemuka dengan rekaan bertingkat bersama corong pendingin hawa berbentuk heksagon manakala di tengah pula terdapat skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen. Butang penghidup enjin terletak rendah di konsol tengah dan di bawahnya terdapat tempat simpanan barang serta soket USB.

    Kelengkapan lain turut diberikan pada Magnite termasuk panel instrumen TFT tujuh inci, sistem pemantau tekanan angin tayar, cruise control dan tempat duduk dibalut fabrik.

     
     
  • Pengayuh gesa lorong motosikal ditutup pada hujung minggu — bertujuan untuk jamin keselamatan mereka

    Pengayuh gesa lorong motosikal ditutup pada hujung minggu — bertujuan untuk jamin keselamatan mereka

    Ada kelompok pengayuh basikal telah menyuarakan cadangan kepada pihak berkuasa untuk mengasingkan penggunaan lorong khas motosikal pada hujung minggu untuk kegunaan mereka. Hal ini disampaikan oleh wakil komuniti Bukit Jelutong Plan A, Faz Adhili kepada Astro Awani. Ini bertujuan untuk kebaikan dan keselamatan pengayuh basikal.

    “Saya cadangkan, pada hujung minggu, laluan khas motosikal di lebuhraya utama seperti Guthrie, Kesas dan Lebuhraya Persekutuan ditutup dan diasingkan hanya untuk kegunaan pengayuh basikal sahaja,” ujar Faz. “Ini kerana, kadar trafik lorong motosikal berkenaan pada hujung minggu adalah rendah,” tambahnya.

    Bercakap dalam sebuah video di Awani Pagi, beliau menyatakan yang ini merupakan langkah berkesan untuk memastkan keselamatan kelompok pengayuh basikal dan memerlukan tolak ansur daripada semua pihak untuk menjayakannya. Beliau menambah, memang ada lorong khas untuk basikal di Shah Alam dan Kuala Lumpur, tetapi lorong berkenaan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana ada banyak kereta yang diparkir sepanjang jalan dan menghalang laluan mereka. Anda rasa cadangan ini wajar atau bagaimana?

     
     
  • Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Ketika UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan hot-hatch Toyota GR Yaris untuk pasaran Malaysia bulan lalu, harga atas jalan yang diumumkan adalah termasuk dengan cukai jualan penuh, iaitu RM299,000, memandangkan ketika itu insentif PENJANA dengan potongan SST akan berakhir pada 31 Disember 2020.

    Walau bagaimanapun, pada 29 Disember lalu kerajaan telahpun meluluskan permohonan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk melanjutkan insentif PENJANA berkenaan sehingga 30 Jun 2021. Ini bermakna, Toyota GR Yaris yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 50%, membolehkan ia dijual pada harga RM286,869 atau lebih RM12k lebih murah dari harga asal!

    Dengan harga asal yang ditawarkan, harga GR Yaris dengan sistem pacuan semua roda ini sebenarnya sudahpun cukup kompetitif. Hot-hatch pacuan roda hadapan Honda Civic Type R misalnya, ketika ia dilancarkan di Malaysia pada 2017, ia ditawarkan pada harga RM330k. Dan di Thailand, GR Yaris ini dijual pada harga RM364k.

    Malah GR Yaris yang ini bukanlah model yang dihasilkan dalam jumlah yang benar-benar besar. Toyota akan memproduksi hatchback homologasi kejuaraan rali dunia (WRC) ini terhad hanya 25,000 unit untuk pasaran seluruh dunia, manakala pasaran Malaysia hanya diberikan tidak lebih dari 200 unit sahaja. Lihat sahaja bagaimana model-model WRC homologation special era 90’an seperti Lancer Evo dan Impreza WRX STI GC8 yang harganya semakin hari semakin naik buat masa sekarang, dan GR Yaris ini bakal mengikut jejak yang sama.

    Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Malah sebagai meraikan ketibaan model ini ke pasaran tempatan, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal yang akan menyaksikan pembeli GR Yaris menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris 2021, dengan keseluruhan pakej berkenaan bernilai RM5,000. Rugi kalau tak beli masa dapat diskaun ni!

    Walaupun diasaskan dari Yaris biasa pasaran Eropah (lain dengan Yaris ‘Janna Nick’ di Malaysia) dengan platform TNGA-B, model ini menampilkan pelbagai ciri bespoke yang diminta oleh Tommi Makinen. Ia hadir dengan badan tiga-pintu (berbanding lima-pintu pada model standard), bumbung belakang yang lebih rendah bagi tujuan aerodinamik, panel-panel badan lebih kuat dan ringan diperbuat dari aluminium serta bumbung karbon – ini memerlukan GR Yaris dipasang di kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City.

    Malah pada bahagian belakang, sistem torsion beam seperti Yaris standard tidak lagi digunakan, digantikan dengan suspensi belakang jenis double wishbone bagi membolehkan gandar sistem pacuan semua roda disesuaikan pada jentera rali jalan raya ini.

    Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, namun model pasaran Malaysia ini menampilkan talaan sama seperti versi pasaran Eropah yang menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm, berbeza dengan GR Yaris JDM yang menghasilkan 272 PS/370 Nm.

    Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (memberikan fungsi heel & toe automatik), bagi memastikan ia dimiliki oleh mereka yang benar-benar suka memandu. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

    Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

    Tiada brek parkir elektronik seperti Honda Civic Type R sebaliknya ia diberikan brek tangan manual yang membolehkan anda membuat aksi hand brake turn yang diperlukan oleh sebuah jentara rali. Malah ketika anda menarik brek tangan ini, agihan tork pada gandar belakang juga sebenarnya diputuskan bagi memudahkan anda memulakan aksi drift, dan ia disambung kembali apabila brek berkenaan diturunkan.

    Model pasaran Malaysia ini turut hadir dengan Performance Pack yang diberikan secara standard. Pakej berkenaan memberikan ‘senjata tambahan’ seperti LSD jenis Torsen, sistem suspensi lebih keras yang fokus untuk pemanduan litar dan juga rim aloi BBS lebih ringan berdiameter 18-inci standard dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40ZR18.

    Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Manakala untuk brek, GR Yaris dibekalkan standard dengan cakera brek hadapan yang dilarik two-piece bersama angkup monoblok empat omboh, dan di belakang pula diberikan cakera yang juga dilarik bersama angkup dua-omboh.

    Untuk kelengkapan standard lain, GR Yaris pasaran Malaysia ini menerima lampu hadapan, lampu isyarat membelok, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang kesemuanya dengan teknologi LED. Ia juga diberikan pengelap cermin automatik dan juga muffler dengan tip berkembar untuk sistem ekzos.

    Pada bahagian dalaman pula model ini diberikan tempat duduk ‘semi-bucket’ balutan kulit dengan sulaman logo GR dan jahitan benang merah, roda stereng GR pelbagai fungsi balutan kulit, tombol gear balutan kulit, set pedal aloi, paparan meter analog dengan skrin pelbagai-info berwarna 4.2-inci dan cermin pandang belakang elektrokrmomik.

    Hot-hatch ini juga diberikan sistem pendingin hawa dua-zon, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci disokong Apple Carplay dan Android Auto serta dihubungkan kepada enam-pembesar suara.

    Untuk keselamatan, jentera rali jalan raya ini di hadir dengan enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem pemantau tekanan tayar, penderia parkir belakang, serta sistem kestabilan elektronik (VSC) dan Traction Control (TRC) bersama brek ABS, EBD dan BA.

    Malah kereta ini juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem seperti Pre- Crash System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA) dan Auto High Beam (AHB). UMW Toyota turut menawarkan sistem telematik VTS secara opsyen.

    Toyota GR Yaris pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam pilihan tiga warna badan iaitu Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black. Walaupun ia sebuah model berprestasi tinggi, GR Yaris masih dilindungi waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Sama juga seperti GR Supra, GR Yaris hanya dijual di pengedar-pengedar terpilih yang mempunyai fasiliti GR-Garage.

    GALERI: Gambar rasmi Toyota GR Yaris pasaran Malaysia

     
     
  • Toyota Innova facelift 2021 – tempahan kini dibuka, tiga varian, harga bermula RM112k hingga RM130k

    Toyota Innova facelift 2021 – tempahan kini dibuka, tiga varian, harga bermula RM112k hingga RM130k

    Selepas teaser MPV ini disiarkan, UMW Toyota Motor (UMWT) kini mengumumkan bahawa Toyota Innova facelift 2021 sudahpun boleh ditempah, dan harganya juga telah pun didedahkan.

    Toyota Innova facelift 2021 ini ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan versi asas Innova 2.0E berharga RM111,622, diikuti Innova 2.0G berharga RM122,483, dan varian tertinggi 2.0X dijual pada harga RM129,677. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan hingga 30 Jun 2021. Versi teksi untuk model 2.0E juga ditawarkan pada harga RM97,978.

    MPV yang dikemaskini ini bukan sahaja menerima rupa yang disegarkan, malah sistem keselamatan tambahan juga kini dibekalkan secara standard untuk semua varian. Perubahan luaran yang diberikan pada Innova facelift ini termasuk bampar baharu bersama gril berbentuk trapezoid dengan kemasan hitam dan krom, disesuaikan dengan sepasang lampu hadapan baharu yang lebih tajam.

    Lampu kabus dan juga perumahnya turut direka semula, kini diposisikan secara menegak, sesuai dengan mukanya yang diperbaharui. Walau bagaimanapun, tiada perubahan besar dilihat pada bahagian belakang kerana ia masih menggunakan perumah lampu berbentuk-L yang sama. Apa yang berbeza, hujung keliling lampu tersebut kini digelapkan, manakala kemasan yang menghubungkan keduanya kini berwarna hitam.

    Toyota Innova facelift 2021 – tempahan kini dibuka, tiga varian, harga bermula RM112k hingga RM130k

    Perubahan lain yang boleh dilihat termasuk cermin sisi untuk model 2.0G dan 2.0X kini menerima perumah krom bersama lampu isyarat membelok, manakala spoiler belakang yang hanya ditawarkan untuk model 2.0X telah direka semula untuk memberikan kesan aerodinamik lebih baik.

    Varian 2.0X juga kini didatangkan dengan kemasan penggayaan tambahan yang ekslusif hanya untuknya, seperti kemasan pelindung pada ruang roda, kemasan sisi dan juga skirt sisi yang direka semula. Ia juga menerima rim aloi kemasan kelabu gelap berdiameter 17-inci.

    Pada bahagian dalaman, model 2.0G dan 2.0X dibekalkan dengan skrin sesentuh sembilan-inci untuk sistem infotainmen yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan turut memaparkan visual dari Pemantau Pandangan Panaromik 3D yang dibekalkan secara standard untuk kedua-dua varian berkenaan.

    Kesemua port USB juga telah ditingkat taraf yang memberikan pengecas pantas, manakala dua port di hadapan diposisikan semula ke papan pemuka dari panel konsol tengah, dan penumpang di baris ketiga turut menerima port USB mereka sendiri.

    Perincian lain yang diberikan pada Toyota Innova 2021 ini termasuk tempat duduk kapten pada baris kedua, tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dengan larasan lapan-hala, serta lampu suasana LED untuk kabin.

    Untuk keselamatan pula, kesemua Innova 2021 ini dibekalkan dengan tujuh beg-udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) bersama traction control, ABS dengan EBD dan BA, serta Bantuan Mula Mendaki. Model 2.0G dan 2.0X turut menerima pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

    UMWT turut menawarkan opsyen tambahan iaitu sistem Toyota Vehicle Telematics (VTS) yang boleh mengesan pergerakan MPV ini menggunakan teknologi GPS dan GSM, serta pengecas peranti mudah alih tanpa wayar dan juga perakam video digital hadapan dan belakang.

    Tiada perubahan dari segi mekanikal pada model facelift ini, dan ia masih digerakkan dengan enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat silinder NA berkuasa 139 PS dan tork maksima 183 Nm. Kuasa dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan dan turut disertakan dengan penukar mod manual.

    Toyota Innova facelift 2021 ditawarkan dalam enam warna badan iaitu Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic. Model tertinggi 2.0X turut ditawarkan dengan warna istimewa Crimson Spark Red Metallic. Setiap pembelian MPV ini disertakan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz GLA200 Progressive Line – RM244,200, 1.3L turbo jana 163 PS dan tork 250 Nm

    GALERI: Mercedes-Benz GLA200 Progressive Line – RM244,200, 1.3L turbo jana 163 PS dan tork 250 Nm

    Mercedes-Benz GLA generasi kedua telah pun dilancarkan di Malaysia pada Disember lalu, kira-kira selepas setahun ia membuat kemunculan sulung globalnya. Pada pasaran tempatan, kita ditawarkan GLA H247 ini dalam dua varian iaitu GLA 200 Progressive dan GLA 250 AMG Line.

    Model yang anda lihat dalam galeri penuh yang kami sediakan ini adalah dari versi paling asas GLA 200 Progresive Line, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM244,200, bersama pengecualian cukai jualan sebanyak 50% untuk kenderaan CBU yang dilanjutkan kerajaan Malaysia sehingga 30 Jun 2021.

    GLA 200 ini dijana oleh enjin petrol M282 1.3 liter turbo empat silinder yang dibekalkan oleh Renault. Walaupun berkapasiti kecil, ia mampu menghasilkan 163 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,620 hingga 4,000 rpm.

    GALERI: Mercedes-Benz GLA200 Progressive Line – RM244,200, 1.3L turbo jana 163 PS dan tork 250 Nm

    Kuasa hanya dialirkan pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan dari Getrag. Gandingan tersebut membolehkan SUV kompak ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.7 saat dan mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

    Dengan pakej Progresive Line, GLA 200 pasaran Malaysia ini dilengkapkan dengan gril ‘sayap’ tunggal bersama latar belakang gaya-permata. Ia juga tidak diberikan bampar hadapan dengan rekaan segarang model GLA 250 AMG Line, namun kemasan skid plate tetap dibekalkan dalam kemasan krom.

    Kesemua model GLA generasi baharu ini dibekalkan dengan lampu hadapan LED High Performance dan juga penyerap hentak pasif, namun varian GLA 200 ini tidak diberikan suspensi lebih rendah seperti GLA 250. Ia juga dipadankan dengan rim 18-inci, berbanding model GLA 250 yang menerima set rim berdiameter 19-inci.

    GALERI: Mercedes-Benz GLA200 Progressive Line – RM244,200, 1.3L turbo jana 163 PS dan tork 250 Nm

    Pada bahagian dalaman, GLA menampilkan rekaan asas seperti model-model kompak Mercedes-Benz lain, dan nampak seiras seperti MPV B-Class. Papan pemuka model ini menampilkan dua paparan 10.25-inci iaitu sebahagian dari sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Sistem tersebut menawarkan hubungan Android Auto dan Apple Carplay, bersama sistem kawalan menggunakan suara “Hey, Mercedes”.

    Perincian lain yang turut disertakan termasuk tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, upholsteri kulit buatan Artico, elemen kemasan berbentuk spiral, sistem pendingin hawa zon tunggal Thermatic, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, bantuan parkir, kamera undur, penderia parkir hadapan dan belakang, pintu tailgate bukaan tanpa sentuh, brek kecemasan automatik, amaran buka pintu dan sistem Pre-Safe.

    GLA generasi baharu ini bukan hanya dihasilkan sebagai versi crossover dalam keluarga A-Class, malah ia sebenarnya adalah alternatif kepada X247 GLB (yang dihasilkan sebagai MPV), tampil dengan bentuk SUV dengan bumbung yang lebih rendah.

    GALERI: Mercedes-Benz GLA200 Progressive Line – RM244,200, 1.3L turbo jana 163 PS dan tork 250 Nm

    GLA 200 ini juga dijual pada harga RM25k lebih rendah dari GLB 200 yang berharga RM269,118, manakalan GLA 250 pula adalah sekitar RM33k lebih murah dari GLB 250 yang dijual pada harga RM318,009.

    Berbanding model generasi sebelum ini pula, GLA generasi baharu ini adalah 10 cm lebih tinggi, tetapi 14 mm lebih pendek. Walau bagaimanapun, ia dihasilkan dengan jarak roda yang 30 mm lebih panjang bagi memberikan ruang kaki yang 114 mm lebih panjang bersama ruang but 435 liter (14 liter lebih besar) sebelum tempat duduk belakang dilipat dengan pilihan nisbah 40:20:40.

     
     
  • Perodua catat jualan keseluruhan 220,154 unit pada 2020, 10,154 unit lebih banyak dari sasaran awal

    Perodua catat jualan keseluruhan 220,154 unit pada 2020, 10,154 unit lebih banyak dari sasaran awal

    Selain dari Proton, satu lagi jenama automotif nasional iaitu Perodua turut mencatatkan jualan yang cukup baik sepanjang tahun 2020 walaupun industri automotif secara keseluruhannya menguncup kerana pandemik Covid-19 tahun lalu.

    Menurut Perodua, mereka berjaya menghantar sejumlah 220,154 unit kenderaan kepada pelanggan sepanjang tahun 2020. Ini bermakna Perodua bukan sahaja berjaya mengatasi sasaran awalnya yang ditetapkan pada 210,000 unit, malah angka berkenaan terlebih sebanyak 10,154 unit!

    “Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana memilih Perodua dan kepada pihak kerajaan kerana melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan di bawah program PENJANA bagi mengekalkan momentum jualan industri automotif,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Beliau menambah bahawa Perodua berjaya mengeluarkan 220,968 kenderaan pada 2020 walaupun pengeluaran dihentikan antara Mac dan Mei 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Perodua catat jualan keseluruhan 220,154 unit pada 2020, 10,154 unit lebih banyak dari sasaran awal

    “Sungguhpun demikian, pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan pada Jun 2020 berjaya menarik minat pembeli kenderaan. Permintaan ini dapat melangsungkan pengeluar kenderaan serta ekosistem automotif tempatan.

    “Perodua juga mencapai detik satu juta Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pada November 2020 – tepat dua tahun selepas mencapai detik setengah juta – lalu mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengeluar EEV terbesar di Malaysia dari segi jumlah,” kata Dato’ Zainal.

    Menurut bos besar Perodua itu lagi, pencapaian jualan yang lebih baik daripada dijangkakan, memberi kesan positif secara langsung kepada ekosistem automotif Malaysia dengan membantu para pembekal dan pengedar menghadapi cabaran pada 2020.

    “Kami menjangkakan tahun yang lebih baik kerana terdapat petunjuk positif bahawa pandemik COVID-19 akan dapat diatasi dengan vaksin yang baru dikeluarkan. Kami akan mengumumkan sasaran 2021 kami pada masa yang terdekat,” ujar beliau.

    Perodua catat jualan keseluruhan 220,154 unit pada 2020, 10,154 unit lebih banyak dari sasaran awal

    Dato’ Zainal berkata bahawa buat masa ini, syarikatnya akan terus memenuhi tempahan yang sedia ada dan berusaha ke arah jumlah jualan yang lebih tinggi pada 2021.

    “Kami mengucapkan Selamat Tahun Baru 2021 kepada semua rakyat Malaysia. Perodua akan terus menambah baik semua aspek operasi kami bagi memenuhi serta mengatasi semua keperluan dan kehendak mobiliti anda, termasuk menambah baik kecekapan bahan api melalui teknologi canggih yang akan kekal mampu milik,” kata Dato’ Zainal.

    Walau bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan kali ini tidak disertakan dengan perincian pecahan jualan setiap modelnya. Namun Dato’ Zainal ada menyatakan bahawa Perodua akan mengumumkan sasaran mereka untuk tahun 2021 dan juga kemaskini lain selepas ini.

    Tahun ini Perodua dijangka akan melancarkan satu lagi model yang paling ditunggu iaitu SUV segmen-B diasaskan dari Daihatsu Rocky yang setakat ini hanya dikenali dengan nama kod D55L. Jadi boleh dijangka momentum jualan Perodua ini mungkin akan terus meningkat pada 2021.

     
     
  • Honda buat penapis udara bunuh virus dalam kabin

    Honda buat penapis udara bunuh virus dalam kabin

    Sebagai respon kepada pandemik coronavirus yang melanda, Honda telah melancarkan sebuah rekaan produk terbaru yang bertujuan untuk membunuh virus di dalam kenderaan. “Topeng” penapips antiviral berkenaan, yang dipasang di atas panapis udara kabin, dikenali sebagai Kurumask dan dikeluarkan oleh bahagian Access syarikat itu sebagai aksesori bagi model N-Box terbaru.

    Tidak seperti penapis N95 yang diperkenalkan oleh Geely dan lain-lain pengeluar, penapis daripada Honda ini tidak direka untuk menyekat partikel daripada memasuki kabin, sebaliknya untuk memerangkap droplet dengan risiko jangkitan virus yang mungkin ada dan mematikannya.

    Kandungan antiviral berkenaan terdiri daripada rawatan peralihan zinc phosphate — elemen yang sama untuk menghindar karat pada badan kenderaan. Honda mendakwa Kurumask mampu menghindarkan 99.8% atau lebih droplet virus yang ada dalam kabin, dalam tempoh 15 minit serta mengurangkan virus yang ada pada permukaan dalaman itu sehingga 99.9% dalam 24 jam.

    Honda juga mendakwa memandangkan Kurumask tidak menggunakan bahan kimia untuk membunuh virus, risiko virus itu untuk bertindak balas juga jauh lebih rendah. Ditawarkan hanya untuk N-Box setakat ini, Kurumask akan dipasangkan juga kepada model lain kelak. Produk ini dijual di pengedar sah Honda di Jepun pada harga 7,040 yen (RM270).

     
     
  • Teaser Toyota Fortuner facelift 2021 di Malaysia — imej sporty Legender didedah, pendaftaran minat dibuka

    Teaser Toyota Fortuner facelift 2021 di Malaysia — imej sporty Legender didedah, pendaftaran minat dibuka

    UMW Toyota Motor (UMWT) tak tunggu lama untuk meriahkan tahun baru dengan mula menunjukkan iklan acah untuk Fortuner facelift, dan pelanggan kini boleh mendaftarkan minat mereka melalui laman web rasmi syarikat itu.

    SUV dengan penampilan yang diperkemas ini pertama kali diperkenalkan di Thailand pada Jun 2020, bersama dengan Hilux terkini, yang sudah pun berada di pasaran kita. Bagi Fortuner, gaya nampak macam ada perubahan, melibatkan rekaan gril dan bampar baru – terdapat juga rekaan bukaan udara hiasan pada bampar tersebut.

    Di antara gril dengan rekaan beralun kini dilengkapi lampu utama bi-LED serta dengan DRL yang juga dari jenis sama. Di belakang, lampu turut menggunakan jenis LED dengan rekaan baru yang lebih elegan.

    Imej teaser di laman UMWT menunjukkan Fortuner akan hadir dengan wajah yang lebih sporty, mirip dengan penampilan varian paling tinggi di Thailand, Legender. Antara ciri yang dimaksudkan ialah sisi yang lebih tajam tetapi ruang lampu kabus yang lebih kecil, serta pemisahan ketara antara bukaan udara atas dan bawah.

    Teaser Toyota Fortuner facelift 2021 di Malaysia — imej sporty Legender didedah, pendaftaran minat dibuka

    Walaupun luarannya berbeza, ruang dalaman Fortuner ini kekal sama seperti sebelumnya. Mungkin yang boleh dijangkakan ialah pertambahan beberapa kelengkapan. Di Thailand, ini termasuklah kluster meter Optitron 4.2-inci dengan head unit dan skrin sentuh baru, lengkap dengan sokongan Android Auto dan Apple Carplay. Varian Legender juga menerima pakej Toyota Safety Sense — dengan Dynamic Radar Cruise Control, Pre-Collision System dan Lane Departure Alert — kemungkinan besar ini juga ada untuk pasaran tempatan.

    Untuk negara jiran, Fortuner ditawarkan dalam dua jenis enjin diesel GD; 2GD-FTV 2.4 liter yang menghasilkan 150 PS dan 400 Nm. Unit yang lebih besar pula ialah unit 1GD-FTV 2.8 liter menghasilkan 204 PS dan 500 N — naik 27 PS dan 50 Nm berbanding sebelumnya. Fortuner yang kita ada di Malaysia pula hanyalah dengan penawaran enjin 2GD-FTV diesel dan unit petrol 2TR-FE 2.7 liter (166 PS and 245 Nm) – dengan automatik enam-kelajuan dan 4WD sahaja.

     
     
  • Toyota Innova facelift 2021 – teaser didedah, tampil muka Venturer, pendaftaran minat dibuka di M’sia

    Toyota Innova facelift 2021 – teaser didedah, tampil muka Venturer, pendaftaran minat dibuka di M’sia

    Versi facelift terbaharu MPV Toyota Innova yang membuat kemunculan pertama kali di Indonesia Oktober tahun lalu, kini bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi- pengedarnya UMW Toyota Motor (UMWT) telahpun menyiarkan teaser model berkenaan secara rasmi, dan pendafataran minat juga telah dibuka secara atas talian.

    Innova yang dikemaskini tersebut bukan sahaja menerima perubahan dari segi rupa, malah ia diberikan berberapa peningkatan pada kelengkapan. Berdasarkan model pasaran Indonesia, Innova menerima gril berbentuk trapezoid yang lebih kecil begi meggantikan gril heksagonal pada model sedia ada, dan ia dipadankan dengan lampu hadapan lebih tirus.

    Bampar hadapan Innova facelift ini turut direka semula dengan pembaharuan pada perumah lampu kabus. Namun di belakang, perumah lampu berbentuk-L masih lagi sama dengan hanya hujung keliling kluster berkenaan digelapkan lagi untuk menyerlahkan rupanya.

    Teaser yang didedahkan oleh UMWT ini juga menunjukkan kita akan menerima Innova yang digelar sebagai versi Venturer di Indonesia. Model tersebut diberikan kemasan lebih sporty pada bahagian bawah bampar hadapan, serta tambahan kemasan krom dan krom gelap, bersama rim lima-jejari.

    Pada bahagian dalaman pula, Innova facelift ini masih menampilkan rekaan asas sama seperti model sedia ada. Namun ia tetap menerima berberapa peningkatan bergantung pada varian.

    Di Indonesia, Innova facelift ini ditawarkan dalam dua jenis enjin iaitu versi petrol dengan unit 1TR-FE 2.0 liter empat silinder, dan juga versi turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat-silinder. Kedua-dua jenis enjin ini juga boleh dipilih sama ada menggunakan kotak gear lima-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik.

    Untuk versi petrol, ia menjana 139 PS dan tork maksima 183 Nm. Manakala untuk enjin diesel, ia menjana 149 PS manakala talaan tork pula adalah berbeza berdasarkan transmisi – model manual menghasilkan 342 Nm, manakala versi automatik pula menjana 360 Nm.

    Namun untuk di Malaysia, kita dijangka akan ditawarkan dengan unit penjana seperti model sedia ada iaitu hanya enjin petrol 1TR-FTE digandingkan dengan kotak gear automatik.

    GALERI: Toyota Innova facelift pasaran Indonesia

     
     
  • Proton catat jualan 109,719 unit pada 2020, 8.8% lebih tinggi berbanding 2019 walaupun dilanda pandemik

    Proton catat jualan 109,719 unit pada 2020, 8.8% lebih tinggi berbanding 2019 walaupun dilanda pandemik

    Walaupun 2020 adalah tahun yang sukar untuk semua sektor termasuk industri automotif, pengeluar automotif nasional, Proton mencatatkan prestasi jualan keseluruhan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

    Sepanjang tahun lalu, Proton berjaya menjual sebanyak 109,716 unit kenderaan termasuk 13,306 unit yang dijual sepanjang September 2020, menyaksikan pertumbuhan sebanyak 8.8% berbanding jumlah jualan keseluruhan 2019 yang mencatatkan jualan sebanyak 100,821 unit.

    Prestasi ini jelas satu kejutan memandangkan pandemik Covid-19 yang memaksa semua pengeluar termasuk Proton untuk menghentikan operasi pemasangan dan jualah selama dua-bulan ketika berlangsungnya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menurut Proton lagi, mereka adalah satu-satunya jenama automotif di Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan jualan pada 2020.

    Syarikat berkenaan turut menyatakan bahawa bahagian pasaran mereka dianggarkan meningkat sebanyak 4.4% kepada angka 21.1%. Manakala pasaran eksport jenama berkenaan turut meningkat sebanyak 49.8% bagi membolehkan Proton mengatasi trend industri automotif Malaysia yang dijangka menguncup sebanyak 13%.

    Proton catat jualan 109,719 unit pada 2020, 8.8% lebih tinggi berbanding 2019 walaupun dilanda pandemik

    Proton turut menjelaskan bahawa pertumbuhan ini disumbangkan oleh empat model asas yang dihasilkan secara tempatan iaitu Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga (PIES), serta sambutan luar jangkaan SUV segmen-B Proton X50 walaupun pelancarannya terpaksa ditangguhkan kerana Covid-19.

    Berdasarkan angka keseluruhan, Proton Persona menjadi sedan segmen-B paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 23,917 unit. Begitu juga Proton X70 yang menjadi juara dalam kelasnya iaitu SUV Segmen-C paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 21,944 unit. Proton Exora juga dinamakan sebagai MPV segmen-C paling laris dalam negara dengan jualan 5,849 unit.

    Sedan paling mampu milik Proton iaitu Saga mencatatkan jualan sebanyak 46,527 unit, membolehkan ia menjadi sedan segmen-B nombor dua paling laris di Malaysia. Untuk Proton Iriz pula, ia menduduki tangga ketiga dalam kelas hatchback segmen-B dengan jualan sebanyak 7,636 unit.

    Model paling hype Proton untuk tahun 2020 iaitu X50 yang dijual secara rasmi hanya sekitar dua bulan sepanjang tahun 2020 selepas dilancarkan pada 27 Oktober lalu, berjaya dihantar kepada 3,787 pelanggan membolehkan ia menduduki tangga ketiga dalam carta jualan keseluruhan SUV segmen-C di Malaysia.

    Bahagian eksport Proton juga telah berjaya mencatatkan kejayaan pada 2020 walaupun terdapat banyak halangan bagi pergerakan barangan secara global. Disember lalu, Proton Saga pasangan tempatan (CKD) yang pertama di Kenya telah diperkenalkan dan diikuti pelancaran Proton X70 di Pakistan.

    Pasaran Mesir dan Bangladesh turut menerima Proton Saga tahun lalu, manakala Proton X50 pula memasuki pasaran eksport pertamanya pada 19 Disember apabila ia dilancarkan di Brunei Darussalam, sekaligus menjadikannya model Proton keempat yang dilancarkan disana pada 2020.

    “Kami bersyukur kerana berjaya mencatatkan prestasi yang tinggi pada 2020. Jikalau saya menggambarkannya sebagai suatu cabaran, ia adalah pernyataan yang meremehkan tetapi kami tetap gigih. Prestasi kami disokong oleh banyak faktor termasuk kepercayaan dari pelanggan, sokongan oleh kerajaan, komitmen dari vendor, ketahanan pihak penjual dan ketekunan kakitangan kami, kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

     
     
  • Harga minyak 2-8 Januari 2021 — petrol naik 4 sen

    Harga minyak 2-8 Januari 2021 — petrol naik 4 sen

    Permulaan tahun 2021, harga bahan api bagi minggu pertama Januari pun menyapa dengan kenaikan harga. Ini meneruskan lagi corak peningkatan harga sejak beberapa minggu lalu.

    Kementerian Kewangan memaklumkan hari ini bahawa harga RON 95 Euro 4M untuk tempoh seminggu ke hadapan akan dijual RM1.84 seliter, naik empat sen berbanding minggu lalu. Bagi RON 97 Euro 4M pula, jumlah kenaikan juga sama sebanyak empat sen, menjadikan harga barunya RM2.14 berbanding RM2.10 minggu lalu.

    Bahan api diesel tidak ketinggalan daripada kenaikan harga ini, dengan diesel Euro 2M naik tiga sen kepada RM2.01 seliter berbanding RM1.98. Ini juga bermakna diesel Euro 5 akan lebih mahal 10 sen menjadi RM2.11 seliter berbanding RM2.08 minggu lalu.

    Semua harga baru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti hingga Jumaat, 8 Januari 2021. Selamat Tahun Baru 2021!

     
     
  • Proton Iriz, Persona 2021 dapat Asean NCAP 5-bintang

    Proton Iriz, Persona 2021 dapat Asean NCAP 5-bintang

    Lagi berita penting buat Proton sebelum tirai tahun 2020 dilabuhkan. Dua model facelift akan datang jenama itu, Proton Iriz dan Persona 2021 telah disahkan menerima penarafan lima-bintang bagi protokol ASEAN NCAP. Perkara ini diumumkan dalam atu kenyataan rasmi ringkas yang dikeluarkan hari ini melalui laman web ASEAN NCAP sendiri.

    Tiga kategori yang dinilai untuk protokol ini termasuk Adult Occupant Protection (AOP), Child Occupant Protection (COP) dan Safety Assist Technologies (SAT). Berdasarkan ujian model terakhir kenderaan Proton untuk ujian ini, iaitu SUV Proton X70 dan X50, yang telah juga menerima penarafan 5-bintang setiap satunya, keputusan sama bagi Persona dan Iriz 2021 terbaru sudah dijangka.

    Dengan perincian keputusan lengkap yang akan diumumkan nanti, ini sedikit sebanyak memberi petunjuk bahawa dua model facelift ini nanti akan menampilkan perubahan yang agak ketara, memandangkan kedua-duanya dihantar sekali lagi untuk ujian semula versi terbaru berkenaan. Kebanyakan pengeluar biasanya akan menggunakan saja keputusan ujian sebelumnya untuk mana-mana model facelift yang sama.

    Proton Iriz, Persona 2021 dapat Asean NCAP 5-bintang

    Difahamkan, dua model bari ini akan menggunakan transmisi baru untuk menggantikan CVT dari Punch yang digunakan sebelum ini. Andaiannya adalah, sama seperti Saga yang kini menggunakan kotak gear 4AT Hyundai, Persona dan Iriz 2021 juga akan mengikut jejak yang sama. Atau, mungkin juga akan ada kejutan lain – model kereta kompak di China menggunakan transmisi CVT, mungkin ini juga ada kebarangkaliannya.

    Proton menghantar kedua-dua model terbaru ini untuk ujian semula, dengan protokol yang sama seperti dilakukan terhadap X70 dan X50 sebelum ini. Ada kemungkinan lain tentang langkah ini; Persona dan Iriz mungkin telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan aktif terbaru. Ini juga bukanlah satu hal yang aneh, misalnya untuk Proton memperkenalkan ciri seperti AEB bagi kedua-dua model itu, memandangkan pesaing seperti Myvi memang sudah menyediakannya.

    Walaupun, sebenarnya, kehadiran sistem seperti AEB bukanlah penentu sama ada sesebuah kenderaan itu akan diberikan penarafan keseluruhan 5-bintang. Namun, perlu diambil maklum, ketika ini masih belum ada pengesahan lanjut secara rasmi daripada Proton. Cuma, perkembangan ini menguatkan lagi khabar angin yang bertiup, yang mencadangkan bahawa Proton akan mengemaskini sistek keselamatan terhadap dua model tersebut.

     
     
  • Kia daftar logo dan paten untuk identiti baru di Korea

    Kia daftar logo dan paten untuk identiti baru di Korea

    Tahun lepas, Kia telah menunjukkan buat kali pertama logo baru mereka pada kereta konsep Imagine dan sejak daripada itu, lgoo itu juga sudah beberapa kali dilihat pada gambar paten dan spyshot kereta baru. Sekarang, kita juga sudah mengetahui bahawa pengeluar dari Korea Selatan ini akan menggunakan slogan baru, “Movement that Inspires” bersama logo ini.

    Logo serta slogan ini ditemui oleh Korean Car Blog apabila ia muncul di laman web Korean Intellectual Property Rights Information Service (KIPRIS) awal bulan ini. Tiada lagi garis bulat keliling logo seperti yang digunakan sejak 1994, dan tulisan Kia itu sendiri menggunakan bentuk baru lebih tajam dengan garisan tegak dan serong.

    Slogan “Power to Surprise” yang diperkenalkan pada tahun 2012 pula akan diganti dengan “Movement that Inspires”. Slogan ini bertepatan dengan tempoh pertumbuhan Kia, yang berjaya menghasilkan pelbagai model baru yang bergaya serta menyertai segmen mewah yang lebih tinggi melalui sedan K9/K900.

    Logo serta slogan baru ini mungkin akan diperkenalkan secara rasmi bulan hadapan apabila Kia membentangkan strategi “Plan S” mereka. Menurut Automotive News, CEO Kia, Ho Sung Song memberitahu bahawa syarikat mensasarkan untuk menjadi “lebih dinamik, bergaya dan inventif dengan melancarkan 11 kereta elektrik baru menjelang tahun 2025 dan model yang pertama akan didedahkan tahun depan.

     
     
  • Geely tunjuk teaser model ketiga guna asas CMA – tujuh tempat duduk, pengeluaran bermula tahun depan

    Geely tunjuk teaser model ketiga guna asas CMA – tujuh tempat duduk, pengeluaran bermula tahun depan

    Geely telah menyiarkan gambar teaser untuk model ketiga yang menggunakan asas CMA, di mana ia menggunakan bentuk sebuah SUV. Model tersebut setakat ini cuma dipanggil sebagai KX11 dan pengeluarannya dikatakan bakal bermula suku ketiga tahun 2021.

    Platform CMA, ataupun Compact Modular Architecture dibangunkan bersama oleh Volvo dan Geely di bawah China Euro Vehicle Technology (CEVT). Antara model yang sudah menggunakan platform ini adalah Geely Xingyue dan Xingrui, lima model Lynk & Co, Volvo XC40 serta Polestar 2.

    Laporan dari China menunjukkan KX11 akan diletakkan hampir dengan SUV paling besar Geely, iaitu Haoyue, dengan ukurannya 4.8 meter panjang dan jarak roda 2.8 meter. Berdasarkan ukuran ini, kita boleh menjangka tetapan tiga tempat duduk dan kapasiti muatan hingga tujuh orang.

    Geely tunjuk teaser model ketiga guna asas CMA – tujuh tempat duduk, pengeluaran bermula tahun depan

    Enjin yang boleh digunakan pada platform ini pula terdiri daripada petrol turbo tiga silinder dan empat silinder, hibrid serta plug-in hybrid. Teknologi yang berkaitan juga bakal menjadikan model ini lebih tinggi daripada Haoyue.

    Daripada sebuah model Geely, KX11 ini juga mungkin akan membawa kepada sebuah SUV Volvo pula, untuk bersaing dengan Volkswagen Tiguan atau Mercedes-Benz GLB. Jika dimensi yang diketahui setakat ini adalah benar, KX11 versi Volvo ini mungkin akan terletak di antara XC90 dan XC60.

     
     
  • JKR janji akan kambus “pothole” dalam masa 24-jam

    JKR janji akan kambus “pothole” dalam masa 24-jam

    Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kerja-kerja pembaikan bagi mengambus jalan berlubang selari dengan kempen “Aku Janji Zero Potholes” yang diperkenalkan semula Julai lalu, lapor Bernama.

    Dalam satu kenyataan, JKR menyatakan kempen yang pernah dianjurkan antara tahun 2016 hingga 2018 itu mensasarkan untuk memperkukuh komitmen ke atas penyelenggaraan jalan di negara ini.
    “Ini merupakan inisiatif kementerian bersama dengan JKR dan enam pemegang konsesi bagi jalan persekutuan di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

    “Di bawah kempen ini, kerja-kerja mengambus lubang pada permukaan jalan akan dilakukan dalam masa 24-jam selepas ia dikesan atau dilaporkan, dan dalam masa tiga hari bagi kerja-kerja pembaikan kekal di dalam kontrak Penyelenggaraan Jalan Persekutuan,” jelas kenyataan tersebut.

    Lubang pada permukaan jalan ini (atau pothole) didefinisikan mempunyai diameter antara 200 hingga 1,000 mm. Sekiranya ia kurang daripada 200 mm, kerja baik pulih tidak akan melibatkan pemotongan, sebaliknya ia akan dikambus segera. Sekiranya diameter lubang mencecah 1,000 mm, ia memerlukan teknik pemotongan sebelum dikambus. “Sekiranya ia lebih besar daripada 1,000 mm, maka ia akan dikenal pasti sebagai kegagalan penurapan.”

    Kementerian berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM1.09 bilion untuk penyelenggaraan jalan persekutuan di negara, termasuk untuk elektrik, lampu isyarat dan lampu jalan bagi tahun 2021. Sebanyak 4,091 aduan berkaitan infrastruktur diterima sehingga 30 November. Daripada jumlah itu, 1,473 aduan berkaitan dengan kerosakan jalan. Semua aduan telah diambil tindakan oleh JKR.